Total Tayangan Halaman

Minggu, 28 Desember 2014

kebenaran hakiki 31 - 40 ( sampai selesai)



31. Tarekat Ujian Bala Bencana

Allah s.w.t memilih dari kalangan orang-orang yang beriman orang-orang yang tertentu bagi menjalankan sesuatu tugas menurut kehendak-Nya. Mereka yang akan diberi tugas khusus akan dibawa melalui latihan kerohanian yang disusun secara langsung oleh Tuhan. Melalui latihan tersebut mereka mengalami perubahan kerohanian sehingga rohani mereka menjadi cukup kuat untuk menanggung beban tugas yang diamanahkan oleh Tuhan.
Latihan kerohanian secara khusus biasanya melibatkan ujian bala bencana. Ujian ditujukan kepada jiwa dan jiwa yang menghadapi tekanan ujian biasanya akan mengadakan tindak balas bagi menghadapi tekanan tersebut. Tindak balas itu membuat jiwa menjadi kuat dan berkemampuan menghadapi keadaan yang kan ditemui semasa menjalankan tugas khusus nanti.
Al-Quran telah menceritakan dengan indah kesah hamba Allah s.w.t yang telah berjalan dalam tarekat ujian bala. Surah Yusuf, surah yang ke dua belas, menceritakan kesah suka duka Nabi Yusuf a.s. Ketika kecilnya beliau a.s didengki dan dikhianati oleh saudara-saudara sendiri. Yusuf a.s dicampakkan ke dalam perigi yang dalam. Beliau a.s terpaksa tinggal di dalam perigi tersebut beberapa lama sehinggalah satu kumpulan pengembara datang ke tempat itu. Yusuf a.s diselamatkan daripada perigi tetapi dijual pula sebagai hamba. Beliau a.s dibeli oleh seorang bangsawan Mesir.
Zaman remaja Yusuf a.s menemukan beliau a.s dengan fitnah kaum wanita. Keelokan paras rupa Yusuf a.s menyebabkan beliau a.s menjadi idaman setiap wanita yang memandang kepada beliau a.s, termasuklah isteri tuannya sendiri. Keremajaan tidak membuat Yusuf a.s hilang pedoman. Beliau a.s berjaya melepaskan diri daripada perangkap wanita bangsawan, isteri tuannya itu, tetapi sebagai natijah kepada keengganannya melayani keinginan wanita tersebut beliau a.s telah dianiaya dan dimasukkan ke dalam penjara. Yusuf a.s menerima semua ujian itu dengan hati yang reda.
Ujian bala bencana yang dihadapinya satu persatu itu telah mematangkan jiwa Yusuf a.s. Bila jiwa beliau a.s sudah cukup kuat, tarekat ujian bala pun berakhir. Datang pula tarekat kehidupan harian. Yusuf a.s dikeluarkan daripada penjara dan dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir secara terhormat.
Kesah suka duka Yusuf a.s memberi pengajaran kepada orang yang beriman bahawa hidup ini bukan selalunya senang, selesa dan mudah. Tidak semua yang diidamkan boleh diperolehi dan tidak semua yang dirancangkan boleh terlaksana. Kadang-kadang seseorang itu perlu melalui penderitaan yang lama sebelum menemui kebahagiaan. Yusuf a.s telah menempuh semua peringkat penderitaan dengan hati yang sabar dan tabah, sentiasa bertenang tanpa berkeluh-kesah. Setelah tamat tempuh ujian datanglah peringkat mempraktikkan apa yang sudah dipelajari selama berada dalam kursus intensif dahulu.
Nabi Musa a.s juga melalui tarekat ujian bala sebelum diangkat menjadi Rasul. Musa a.s berasal daripada keturunan Bani Israil. Kaumnya ditindas oleh kaum Kibti yang berkuasa. Pemerintah Kibti adalah Firaun. Ketika kaumnya ditindas oleh kaum Kibti, Musa a.s hidup dengan aman di dalam istana Firaun, kerana beliau a.s adalah anak angkat Firaun. Kehidupan yang tidak berhadapan dengan cabaran, penderitaan dan kesusahan tidak mampu membuat Musa a.s layak menerima jawatan sebagai Rasul Allah. Oleh itu Musa a.s dibawa kepada tarekat ujian bala bagi memantapkan kerohanian beliau a.s. Musa a.s dengan tidak sengaja telah membunuh seorang Kibti. Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan kaum Kibti. Mereka berpakat untuk membunuh Musa a.s. Musa a.s terpaksa melarikan diri, meninggalkan negerinya dan kesenangan yang dinikmatinya. Beliau a. s terpaksa merantau dari satu tempat ke satu tempat sehingga beliau a.s sampai ke negeri Nabi Syuaib a.s. Beliau a.s tinggal bersama-sama Nabi Syuaib a.s dan bekerja sebagai pengembala kambing. Setelah beberapa tahun kemudian Musa a.s berkahwin dengan anak Nabi Syuaib a.s yang bernama Siti Safar.
Setelah berkahwin Musa a.s membawa isteri beliau a.s merantau. Semasa dalam perantauan itu Siti Safar yang sarat mengandung mengalami kesakitan. Ketika itu hari hujan. Musa a.s tidak dapat menghidupkan api untuk memanaskan isteri beliau a.s. Beliau a.s keluar mencari api. Beliau a.s melihat cahaya api dari kejauhan. Beliau a.s pergi ke sana. Sampai di sana bukan api yang beliau a.s temui. Musa a.s menemui destininya. Beliau a.s menyaksikan kenyataan Tuhan dan beliau a.s diangkat menjadi Rasul.
Sebagai pesuruh Allah s.w.t, Musa a.s menerima perintah yang sangat berat. Beliau a.s mesti kembali kepada kaum Bani Israil dan kaum Kibti, menyeru mereka supaya kembali kepada ajaran tauhid. Musa a.s mesti berhadapan semula dengan kaum yang masih lagi menyimpan dendam mahu membunuh beliau a.s. Perintah Allah s.w.t mesti dilaksanakan tanpa ragu-ragu dan dengan membuang segala kepentingan diri sendiri.
Tarekat ujian bala bermula daripada manusia yang pertama lagi. Adam a.s dan Hawa hidup senang lenang di dalam syurga. Kehidupan syurga adalah abadi. Di dalamnya tidak ada kematian, tidak ada penyakit, tidak ada susah, tidak ada panas, tidak ada lapar dan tidak ada apa sahaja yang tidak menyenangkan. Rupanya kehidupan syurgawi tidak cukup untuk memantapkan kerohanian seseorang manusia bagi mencapai makam pilihan Tuhan dan mampu menanggung tugas khusus yang Tuhan tentukan. Selama Adam a.s tinggal di dalam syurga beban sebagai khalifah di bumi tidak dipikulnya. Beliau a.s perlu menjalani perubahan bentuk kehidupan, untuk itu beliau a.s dihantar ke bumi, ke dalam dunia. Di bumi Adam a.s menjalani tarekat ujian bala. Beliau a.s mesti menjalani tarekat yang ada kematian, ada penyakit, ada kesusahan, ada panas, ada lapar ada berbagai-bagai perkara yang tidak menyenangkan. Tarekat ujian bala mengajar dan memperkenalkan apa yang tidak dialami dan dikenal di dalam syurga, dengan demikian pengalaman dan pengenalan Adam a.s menjadi sempurna. Baharulah Adam a.s layak memikul tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Mahkota khalifah itu hanya boleh dipakai oleh Adam a.s setelah beliau a.s menjalani tarekat ujian bala dan memasuki pintu taubat. Ujian bala bencana dan taubat adalah dua perkara yang sangat penting dan berkesan dalam menaikkan taraf kerohanian seseorang insan.
Umat manusia yang dari keturunan Adam a.s akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh bapa mereka itu. Bahang syurgawi dirasakan juga oleh keturunan beliau a.s. Syurga adalah kekal abadi dan manusia merasakan tempat mereka tinggal ini juga abadi. Semasa di dalam syurga Adam a.s sangat menginginkan kehidupan yang abadi dan itulah yang membuatnya boleh diperdayakan oleh iblis supaya memakan buah daripada pokok larangan yang kononnya boleh membuatkan Adam a.s menjadi abadi di dalam syurga. Keturunan Adam a.s juga akan mendekati pokok larangan di dalam dunia kerana menyangkakan ia akan membuat mereka hidup kekal di dalam dunia. Pokok larangan di dalam dunia itu adalah hawa nafsu. Orang yang merasai buah daripada pokok hawa nafsu akan merasakan dunia ini sebagai syurga yang kekal abadi. Timbullah keasyikan kepada dunia dan lalailah mereka di dalam arus keseronokan. Dalam kelekaan itulah mereka dijajah oleh iblis.
Ketika manusia sedang asyik di dalam kelekaan dan dikuasai oleh iblis itu, jatuhlah kemurkaan Allah s.w.t ke atas mereka. Hancurlah syurga dunia mereka. Lenyaplah khayalan mereka tentang keabadian dunia dan kelazatan hawa nafsu. Tahulah mereka bahawa hawa nafsu adalah pokok larangan yang membuat manusia lupakan amanat Allah s.w.t. Manusia yang telah menerima padah daripada pokok larangan itu akan menjadi menyesal. Mereka bertaubat bersungguh-sungguh kepada Tuhan. Bercucuranlah air mata mereka membasahi pipi, misai dan janggut. Sujudlah mereka ke Hadrat Ilahi Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.
Taubat telah menjadikan Adam a.s sebagai manusia pilihan dan diberi kedudukan istimewa sebagai khalifah Allah di bumi. Taubat juga menjadikan keturunan Adam a.s sebagai manusia pilihan yang akan meneruskan tugas kekhalifahan di bumi. Manusia yang diheret kepada taubat adalah manusia istimewa yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Seseorang hamba yang akan memikul tugas kekhalifahan di bumi akan dipersiapkan melalui cara yang sesuai bagi memantapkan kerohaniannya. Ujian bala bencana merupakan satu bentuk latihan yang perlu bagi membentuk kewibawaan seseorang. Orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala dipisahkan daripada kesenangan dan punca yang menyenangkannya. Dia dikeluarkan daripada alam keasyikan dan kelalaian. Beban dunia yang sedang dipikulnya, seperti kebesaran, kemuliaan dan kekayaan dicabut daripadanya. Dia dijadikan miskin sesudah kaya, hina sesudah mulia dan kerdil sesudah berkedudukan tinggi. Hamba yang melalui tarekat kemiskinan ini akan menjadi sangat miskin sehingga dia hampir-hampir mengemis untuk mendapatkan keperluannya. Tuhan selamatkannya daripada menjadi pengemis. Dibukakan sedikit pintu rezeki untuknya. Bekerjalah dia sesuai dengan bidang rezeki yang dibukakan kepadanya. Bidang kerja peringkat ini berbeza daripada bidang kerja yang lalu. Kali ini medan rezeki yang boleh diterokainya sangat sempit, tidak memadai untuk dia menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapinya, hinggakan dia hampir-hampir meminjam. Bila dia sampai hampir kepada keadaan akan meminjam, Tuhan bukakan sedikit lagi bidang rezekinya. Selamatlah dia daripada keperluan meminjam.
Latihan melalui tarekat ujian bala sehingga ke peringkat ini sudah berjaya menghancurkan sebahagian besar daripada keegoan dirinya. Dia sudah sampai ke pintu mengemis dan meminjam. Tuhan selamatkannya daripada mengemis dan meminjam kerana masih ada lagi sisa-sisa ego diri yang menghalangnya untuk mengemis dan meminjam dengan rela. Ujian bala bencana kan terus menekan keegoan dirinya sehingga sisa-sisa itu juga terhapus. Dia memasuki peringkat latihan kerohanian yang lebih berat. Pada peringkat ini pintu rezekinya ditutup sama sekali sehingga tidak ada jalan langsung untuknya mencari rezeki. Pintu meminjam juga tertutup baginya. Tuhan menghalang tangan manusia daripada memberinya pinjaman. Hiduplah dia dalam keadaan yang sangat susah. Beban berat yang menekan jiwanya itu menyebabkan hatinya ‘pecah’. Peringkat ini merupakan peringkat peralihan kepada perkembangan kerohaniannya. Dirinya yang lama ‘digantikan’ dengan diri yang baharu. Hati yang telah ‘pecah’ itu ‘digantikan’ dengan hati yang baharu. Dalam suasana hati yang baharu inilah dia dapat merasakan sesuatu hubungan yang unik dengan alam ghaib. Dia merasakan seakan-akan petunjuk dan bimbingan ghaib mendatangi hatinya. Dia merasai kemunculan gerak hati yang datang dari daerah kesedaran yang dalam. Gerak hati yang demikian menguasai jiwanya. Dia bergerak dan melakukan sesuatu dengan ‘arahan’ atau cetusan rasa yang seni, yang kuat menguasai hatinya dan dia yakin dengan cetusan rasa tersebut. Cetusan rasa atau gerak hati itulah yang menjadi pembimbingnya. Pada tahap ini baharulah dikatakan dia benar-benar memasuki bidang kerohanian.
Dia memasuki latihan kerohanian peringkat selanjutnya. Dia menerima cetusan rasa, gerak hati atau ‘perintah dari dalam’ agar dia mendapatkan apa yang diperlukan dengan cara meminta kepada orang lain. Tuhan bukakan tangan orang ramai supaya memberi kepadanya. Jika dia meminta dia akan memperolehi apa yang diperlukannya dan jika dia enggan meminta dia tidak akan memperolehi apa-apa. Peringkat meminta-minta ini merupakan latihan menghancurkan keegoan tahap paling halus. Sisa-sisa ego diri terhapus daripada hatinya. Tidak ada apa-apa lagi baginya kecuali mematuhi cetusan rasa atau gerak hati yang dinisbahkan kepada ilham yang dihantar oleh Tuhan. Perbuatan meminta-minta kepada orang lain tidak sedikit pun membuatnya berasa aib. Apabila orang ramai memberi apa yang dia minta, bertambahlah keyakinannya bahawa gerak hatinya adalah benar. Akhirnya dia sampai kepada tahap kematangan jiwa tanpa ego diri. Jadi, latihan di atas tidak diperlukannya lagi.
Bentuk latihan kerohaniannya diubah daripada meminta kepada meminjam. Tuhan bukakan hati orang ramai yang berkemampuan untuk memberinya pinjaman, walaupun pada zahirnya kelihatan dia tidak akan mampu membayar pinjaman tersebut. Dalam peringkat meminta-minta dahulu dia melihat makhluk sebagai sumber rezekinya. Pada peringkat meminjam ini pula dia melihat rezekinya datang daripada Tuhan melalui makhluk. Walaupun tangan manusia menghulurkan bantuan kepadanya tetapi dia melihat ‘Tangan’ Tuhan yang sebenarnya memberi. Dia melalui proses latihan yang demikian beberapa lama. Kemudian bentuk latihan diubah lagi.
Dalam peringkat latihan kerohanian yang berikutnya dia tidak boleh lagi melihat makhluk sebagai sumber rezeki dan juga tidak boleh bergantung kepada Tuhan melalui makhluk. Dia dibawa kepada suasana mesti bergantung kepada Tuhan semata-mata, tiada perantaraan. Pada peringkat ini Tuhan putuskan hubungannya dengan makhluk. Orang-orang yang dahulunya tidak keberatan memberi apa sahaja yang dia meminta dan meminjam, kini terhalang berbuat demikian. Tangan makhluk tertahan daripada memberinya sesuatu jika dia meminta kepada mereka. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan secara langsung. Jika dia memerlukan sesuatu, dia hanya perlu menadah tangannya, memohon kepada Tuhan, pasti Tuhan akan hantarkan apa yang diperlukannya itu melalui cara yang Dia pilih. Latihan yang begini membuat hatinya bergantung kepada Tuhan sahaja, tidak lagi melihat keberkesanan makhluk.
Kemudian latihan yang dikenakan kepadanya diubah dalam bentuk lain pula. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan dengan hatinya, dengan berharap penuh kepada Tuhan, tanpa ucapan lisan, tanpa menadah tangan. Jika dia meminta dengan lisan atau menadah tangan dia tidak akan memperolehi apa yang diperlukannya. Jika dia meletakkan harapan kepada Tuhan di dalam hatinya Tuhan akan memberi. Latihan begini menambahkan kesedaran dan penghayatannya bahawa Tuhan mengetahui yang zahir dan yang batin, yang diucapkan dengan lidah dan yang dibisikkan oleh hati, yang meminta dan yang mengharap. Bertambahlah pengenalannya tentang Tuhan.
Apabila dia sudah mengenali Tuhan secara demikian, dia dibawa kepada suasana latihan yang lain pula. Pada peringkat ini dia tidak boleh meminta apa-apa, baik secara lisan atau pengharapan dalam hati. Dia tidak boleh lagi berdoa atau menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Jika dia meminta atau berharap, apa yang diminta dan diharapkan itu tidak akan diperolehinya. Dia hanya boleh menyerah sepenuhnya kepada Tuhan. Terserah kepada-Nya mahu memberi atau tidak dan apa yang mahu diberi-Nya. Dalam suasana yang demikian dia dapati Tuhan tetap memberikan keperluannya walaupun dia tidak meminta dan mengharap. Tuhan tetap memeliharanya dan memberikannya apa yang patut. Pada peringkat ini dia mengenali Tuhan al-Karim yang memberi apabila diminta, memberi tanpa diminta, memberi hanya dengan hamba berhajat sahaja, memberi menurut keperluan hamba tanpa hamba meminta atau berharap, memberi yang lebih baik daripada apa yang hamba minta atau harapkan, memberi pada waktu yang sesuai hamba menerimanya dan memberi tanpa had, tanpa terpengaruh kepada permintaan, harapan atau kehendak sesiapa pun. Allah s.w.t adalah Tuhan yang berbuat apa yang Dia kehendaki. Pada tahap ini tidak ada lagi kehendak dan hawa nafsu yang mengingkari Tuhan pada si hamba itu. Inilah peringkat kewalian umum. Peringkat seterusnya bergantung kepada tugas khusus yang akan dipikul oleh hamba yang mencapai kewalian umum itu. Dari kalangan wali-wali yang umum itulah dipilih dan diberi latihan yang lebih khusus untuk menjalankan sesuatu tugas yang Tuhan kehendaki bagi manfaat makhluk-Nya.
Latihan kerohanian yang disusun oleh Tuhan secara langsung atau yang diistilahkan sebagai tarekat ujian bala memberi kesan yang lebih mendalam dan lebih cepat dalam mempertingkatkan kekuatan rohani, berbanding dengan latihan secara suluk dan lain-lain. Para sahabat Rasulullah s.a.w yang melalui tarekat ujian bala tidak perlu memasuki tarekat yang ada suluk atau khalwat, tetapi mereka merupakan golongan yang paling teratas dalam senarai wali-wali Allah s.w.t. Latihan secara bersuluk dan berzikir adalah jalan biasa, sementara pembentukan kerohanian secara ujian bala bencana adalah jalan pintas yang cepat menyampaikan kepada matlamat. Ahli ibadat dan ahli zikir mungkin mengambil masa dua tahun untuk mencapai tahap kerohanian yang dicapai oleh ahli bala dalam masa dua bulan.
Istilah ujian membawa maksud yang sangat luas. Ujian boleh ditakrifkan sebagai rangsangan atau pengaruh alam benda kepada rohani manusia. Alam benda pada hakikatnya tidak mempunyai sebarang kekuasaan dan kekuatan, tetapi percantumannya dengan alam rohani menyebabkan alam benda mampu mengeluarkan kesan dan pengaruh. Kesan dan pengaruh alam benda itu tertuju kepada rohani, iaitu menarik rohani agar melupakan kedudukannya yang asli yang hanya tahu bertauhid. Maksud ujian yang sebenarnya adalah ujian kepada pegangan tauhid. Rohani yang berpegang kepada tauhid diuji apakah alam benda akan membuatnya melakukan syirik. Dalam segi ini bolehlah dikatakan kewujudan alam benda hanyalah daya yang merangsang untuk menguji rohani. Ujian tersebut menjadi dalil sama ada rohani mampu bertahan dalam tauhid dan sampai kepada kedudukannya sebagai amr Tuhan atau pun jatuh ke dalam lembah syirik. Rohani yang dapat bertahan menerima ujian alam benda akan mengasihi Tuhan dan merindui-Nya. Rohani yang tewas di dalam ujian itu akan memanjai syahwatnya dan meletakkan sepenuh perhatian kepada alam benda.
Tujuan latihan kerohanian sama ada dengan cara berzikir atau ujian bala bencana adalah untuk mengeluarkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t daripada hati. Hati hanya layak diisi dengan Allah s.w.t, kecintaan kepada-Nya dan ketaatan kepada-Nya, sementara yang selain-Nya hanya layak duduk di pinggiran sahaja. Bagi mencapai tahap ini diperlukan kesabaran. Kesabaran merupakan sumber kepada segala kebaikan dan melaluinya orang yang beriman dapat meningkat kepada taraf menyerah diri dengan sepenuh kerelaan kepada Tuhan. Daripada makam sabar orang mukmin melompat ke makam reda. Ketika di dalam makam kesabaran ada perjuangan menentang yang batal. Bila sudah sampai kepada makam reda perjuangan tidak ada lagi kerana yang batal sudah hancur. Tipu daya syaitan, rangsangan hawa nafsu dan tarikan dunia tidak ada kuasa terhadap orang yang reda sepenuhnya dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t. Hati yang demikian dinamakan hati yang bertauhid.
Pada peringkat permulaan menerima ujian daripada Tuhan si hamba banyak berdoa memohon Tuhan mengangkatkan kesusahannya dan memberikannya kesenangan. Tuhan tidak menerima rayuannya dan dia dibiarkan berterusan di dalam kesusahan. Dia menghadapi perjuangan batin yang hebat. Senjatanya adalah sabar. Dia bersabar dan terus bersabar sambil meletakkan harapan kepada Tuhan. Setelah beberapa lama, kesusahan dan masalah yang dihadapinya tidak juga terangkat daripada bahunya, mulalah berubah pandangannya. Dia mula menilai kembali apa yang menyusahkan dan menjadi masalahnya itu. Penilaian semula membuatnya melihat bahawa perkara yang dianggap sebagai kesusahan dan masalah itu sebenarnya bukanlah perkara besar yang perlu ditakuti untuk bertembung dengannya. Kesusahan dan masalah itu timbul daripada keinginannya terhadap sesuatu dan yang diingininya itu bukanlah sesuatu yang berharga, terutamanya pada sisi Tuhan dan pada kehidupan akhirat. Dia menyedari bahawa dia hanya mengejar sesuatu yang tidak berharga, yang diingini oleh hawa nafsunya, dan dia lari daripada sesuatu yang sangat berfaedah. Berubahlah keadaan hatinya dan hilanglah keinginannya kepada apa yang dia mahukan selama ini. Bila dia dapat mengalahkan keinginannya maka menanglah rohaninya. Rohani mula celik dan melihat kepada perjalanan takdir Tuhan, tidak lagi melihat kepada kekuatan makhluk yang bergerak di dalam arus takdir. Dia melihat bahawa segala perkara berada di dalam genggaman Tuhan. Tidak ada sesiapa yang berkuasa mendatangkan kebaikan dan kemudaratan kecuali dengan izin Allah s.w.t. Fanalah dia dalam lautan takdir.
Kefanaan di dalam lautan takdir memperlihatkan aspek ketuhanan pada segala kejadian. Dia melihat Tuhan yang mentadbir dan mengurus. Jika dia memperolehi sesuatu pengetahuan dia merasakan Tuhan yang mendatangkan pengetahuan itu kepadanya. Keadaan ini membuatnya merasakan seolah-olah Tuhan bertutur-kata dengannya. Bertambahlah keseronokannya mengenang Tuhan dan bertambahlah keinginannya mahu menghampiri Tuhan. Orang yang berada pada peringkat ini tidak berminat lagi untuk mendampingi makhluk Tuhan. Dia lebih suka bersendirian sambil mendengar ‘tutur-kata’ Tuhan. Fikirannya telah bebas daripada urusan orang ramai dan dunia seluruhnya. Dia juga telah membuang usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan sesuatu. Dia tidak lagi menggunakan cara keduniaan untuk mendapatkan sesuatu faedah atau menghindarkan sesuatu bahaya. Dia bergantung dan menyerah bulat kepada Tuhan. Ini menandakan dia sudah berjaya menundukkan hawa nafsunya. Apabila dia maju ke hadapan lagi dia sampai kepada suasana tidak mempunyai sebarang matlamat dan tujuan, baik berupa keduniaan atau pun keakhiratan. Maksud dan tujuannya hanya satu, iaitu Allah s.w.t. Ini menandakan dia tidak lagi dikuasai oleh sebarang kehendak dan keinginan. Pada tahap ini apa yang muncul daripadanya terjadi secara spontan, tanpa berfikir atau merancang dan pada masa yang sama dia merasakan kedamaian dan kelazatan berhubungan dengan Allah s.w.t.
Apabila hawa nafsu, kehendak diri dan segala sesuatu telah hancur dari hatinya, maka hati itu menjadi sesuai untuk diisi dengan kehendak Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikannya insan baharu yang dilengkapi dengan kehendak dan tenaga yang baharu. Kehendaknya sesuai dengan kehendak Allah s.w.t dan tenaganya bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memeliharanya agar sisa-sisa nafsu dan kehendak diri tidak kembali menguasainya. Apabila sisa-sisa nafsu dan kehendak diri cuba muncul, Allah s.w.t akan menghancurkannya sehingga selamatlah hamba itu berada di dalam suasana yang baharu. Bila hamba telah sesuai dengan Allah s.w.t, perintah-Nya, peraturan-Nya dan kehendak-Nya, maka seluruh alam akan tunduk kepada hamba Allah itu. Bila hamba menetap di dalam menjaga agar tidak terjerumus ke dalam yang haram, maka apa sahaja yang haram akan lari daripadanya walau di mana dia berada. Begitulah keadaan wali Allah (hamba yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah s.w.t).
Di dalam tarekat ujian bala si hamba bukan sahaja menjadi sasaran anak panah bala, malah kadang-kadang dia juga menjadi busur panah yang menghantar bala kepada orang lain, seperti peranan tanah, air, api dan angin yang menyampaikan bala kepada makhluk Tuhan. Bila Tuhan perintahkan air menghanyutkan apa sahaja, api membakar apa sahaja, angin menerbangkan apa sahaja dan tanah menimbuskan apa sahaja tanpa kasihan belas atau timbang rasa dan tidak ada ragu-ragu. Suami dipisahkan daripada isteri. Anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa. Pemilik dipisahkan daripada harta miliknya. Tanaman dipisahkan daripada peladang. Ternakan dipisahkan daripada penternak. Hamba Tuhan iaitu manusia, juga sering berfungsi sebagai alat yang menyampaikan bala kepada orang lain. Khaidir a.s diperintahkan menebuk kapal dan membunuh kanak-kanak yang masih kecil. Ibrahim a.s diperintahkan menyembelihkan anaknya sendiri. Manusia lain juga biasa mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Ada orang yang terlanggar orang lain dan menyebabkan kematiannya, meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa tempat bergantung. Ada pula orang yang tertembak rakan sendiri semasa berburu. Ada juga kejadian seorang yang membawa anak jirannya bermain di pantai dan si anak tersebut mati lemas. Menjadi alat yang menyampaikan bala kepada orang lain lebih berat daripada menjadi sasaran bala, tetapi bila Tuhan kehendaki, perkara yang demikian tetap juga berlaku. Bila hamba reda menerima ujian bala dari Tuhan dan reda juga menjadi alat menyampaikan bala maka Allah s.w.t pun reda kepadanya:

Wahai nafsu muthmainnah! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda (dan) diredai. Iaitu masuklah ke dalam (golongan) hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku. (Ayat 27 – 30 : Surah al-Fajr )
Hamba pilihan Tuhan dibawa kepada sesuatu matlamat yang khusus untuknya. Jika muncul di dalam hatinya sesuatu yang boleh mengubah haluannya menuju matlamat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, akan didatangkan ujian kepadanya agar kecenderungan yang cuba memesungkannya itu segera hilang dan dia kembali kepada haluan yang betul. Demikianlah hamba pilihan itu dijaga agar hatinya tidak terpengaruh dengan apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Melalui proses yang demikian hatinya menjadi bersih dan langkahnya akan sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Kesabarannya menghadapi ujian menjadi bertambah kuat. Bila Allah s.w.t reda dengannya, Dia akan menjaganya dan menyelamatkannya daripada kejahatan makhluk-Nya. Hati hamba itu menjadi kuat dalam mengawal anggotanya. Darjat takwanya bertambah dan tenteramlah dia di sisi Tuhan Yang Maha Perkasa.
Orang mukmin pilihan melalui dua peringkat kehidupan. Dalam peringkat pertama dia hidup dalam kesejahteraan, keberkatan dan menerima nikmat yang tidak terhingga. Perjalanannya sesuai dengan peraturan Tuhan. Rumah tangganya aman damai. Pekerjaan yang dibuatnya mendatangkan keberkatan. Doanya sangat makbul. Dia memperolehi ilmu yang halus-halus dan diberi pula kesempatan untuk menyaksikan perkara ghaib. Hiduplah dia dalam kedamaian, kesejahteraan, tidak diganggu oleh apa-apa pun. Kehidupan yang demikian menetap padanya beberapa lama sehingga dia menyangkakan itulah penetapan dan makamnya.
Kemudian datanglah peringkat kehidupannya yang kedua. Secara tiba-tiba sahaja Tuhan melontarkan batu-batu ujian kepadanya. Dia ditimpa oleh bala yang datang berturut-turut dan dari berbagai-bagai jurusan. Dia tidak berupaya menahan apa yang datang itu. Seluruh kehidupannya dibolak-balikkan oleh gelombang ujian. Dia menghadapi kesusahan dan penderitaan yang amat sangat. Perubahan yang berlaku secara mendadak itu membuatkan orang mukmin tadi tercengang-cengang, tidak mengerti. Dia kehilangan segala yang berharga. Orang-orang yang segolongan dengannya terpisah daripadanya tanpa sesuatu sebab yang kukuh. Dia tidak dapat mencari penjelasan. Jika datang sesuatu alamat atau mimpi dia tidak mampu menghuraikannya. Dia kehilangan pedoman untuk memahami sesuatu perkara yang sampai kepadanya. Bila dia membuat sesuatu janji dia tidak pasti apakah dia dapat melaksanakan janji tersebut. Bila dia berdoa tidak ada tanda-tanda yang doanya akan dimakbulkan. Bila dia cuba merenung ke dalam lubuk hatinya untuk mencari sesuatu keterangan, dilihatnya hatinya dibungkus oleh kejahilan. Apa juga cara yang digunakannya hanya kekecewaan yang ditemuinya. Hanya nasib malang yang menyata pada penglihatannya. Dia ditinggalkan dalam keadaan demikian beberapa lama. Dalam keadaan yang sudah sangat berat itu kadang-kadang kesusahan dan penderitaan ditambah lagi ke atas bahunya. Hatinya digoncangkan dengan sesungguhnya. Masuklah dia ke dalam ruang di mana semua pintu tertutup dan semua langkah terikat. Pada masa itu hatinya akan menjadi kosong. Tidak ada apa-apa lagi yang tinggal dalam hatinya. Tabiat dan sifat kemanusiaannya hilang terus. Kesedarannya terhadap dirinya tidak ada lagi. Dia tidak memperdulikan lagi kesusahan dan penderitaan yang menimpanya. Tatkala itu dia hanya mempunyai kesedaran rohani semata-mata.
Ujian yang datang dengan hebatnya secara bertimpa-timpa telah menghancurkan dirinya yang mempunyai kehendak dan nafsu, yang sebelum itu datang dan pergi bersilih ganti Setiap kali diri yang hilang itu kembali ia menggerakkan sisa-sisa nafsu dan kehendaknya yang masih tinggal. Ujian yang datang dengan hebat itu telah benar-benar menghapuskan sisa-sisa nafsu, keinginan dan syahwatnya. Baharulah dia benar-benar mencapai tahap yang suci murni iaitu kesucian roh sebelum berkait dengan jasad. Baharulah dia benar-benar masuk ke dalam makam penetapan yang tidak akan berubah lagi. Bebaslah hatinya daripada lintasan dan rangsangan. Pancainderanya tidak ada kekuatan lagi untuk melakukan maksiat. Dia adalah umpama malaikat suci yang dipelihara daripada dosa dan noda. Allah s.w.t pun membuka pintu rahmat dan keredaan-Nya. Hatinya dipenuhi oleh cahaya iman dan ilmu. Dia dikembalikan kepada kedudukannya yang mulia. Keberkatan dan kesejahteraan hidup dikurniakan semula kepadanya. Dia menjadi tumpuan orang ramai. Mereka bersedia untuk berkhidmat kepadanya. Manusia dari berbagai-bagai lapisan mengunjungi dan memuliakannya. Dia dipelihara secara zahir melalui makhluk tetapi pada hakikatnya melalui kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t. Bila dia sudah sampai kepada makam penetapan keadaan yang ada dengannya berkekalan sehingga dia meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya.
Orang yang sedang dilatih pada jalan kerohanian akan mengalami ujian yang mengubah suasana hatinya. Perkara biasa jika doa mereka menjadi tidak makbul sesudah makbul, perkataannya tidak terlaksana sesudah ia mudah menjadi kenyataan. Ada orang yang diberi kebolehan untuk mengubati penyakit. Apa sahaja penyakit yang diubatinya akan sembuh. Kemudian keadaan berubah. Apa sahaja penyakit yang diubatinya tidak akan sembuh. Sesudah itu dia masuk kepada suasana di mana kadang-kadang sembuh dan kadang-kadang tidak sembuh, ada doanya yang makbul dan ada yang tidak makbul, ada firasatnya yang menyata dan ada yang tidak. Latihan yang demikian perlu bagi meyakinkannya bahawa dia tidak akan terlepas daripada pergantungan dengan Allah s.w.t walau dia berada pada makam mana sekali pun. Timbullah keyakinannya bahawa pada setiap makam kerohanian mesti ada pengharapan dan ketakutan kepada Allah s.w.t. Hamba Allah yang dijaga akan ditetapkan untuk menyaksikan kehambaannya pada setiap masa, pada semua makam. Sesiapa yang inginkan kejayaan pada jalan kerohanian dan mencapai ketetapan, hendaklah melazimi kehambaan sepanjang masa dengan sebenar-benar kehambaan pada segala keadaan dan makam.
Orang yang belum mencapai makam penetapan perlu berwaspada dengan dirinya sendiri. Dirinya yang menjadi sumber kepada nafsu dan berbagai-bagai keinginan akan kembali kepadanya dan meninggalkannya beberapa kali. Setiap kali ia datang ia akan cuba mengheretnya kepada apa yang telah ditinggalkannya sebelum tenggelam ke dalam lautan kerohanian dahulu. Ketika ia muncul seketika itu, timbullah keinginannya kepada harta, perempuan dan kedudukan yang pernah dimiliki dan dikasihinya dahulu. Nafsunya meminta dipuaskan dan keinginannya meminta dipenuhi. Nafsu dan keinginannya meminta dia kembali kepada alam yang telah ditinggalkannya. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dengan diri sendiri. Jihad terhadap diri perlu dilakukan secara berterusan. Jangan terpedaya dengan helah hawa nafsu dan keinginan yang banyak muslihatnya. Berjihadlah sehingga ia tidak kembali lagi buat selama-lamanya. Baharulah diri itu bangkit semula sebagai insan baharu, bertenaga baharu, berpandangan baharu, mempunyai selera dan citarasa baharu, berwawasan baharu dan segala-galanya pada dirinya adalah baharu yang melayakkannya bergelar hamba Tuhan.
Orang yang sedang melakukan mujahadah perlu mendirikan benteng di sekeliling hatinya. Hati itu perlu dipelihara agar apa sahaja yang selain Allah s.w.t tidak dapat masuk ke dalamnya. Hati mesti dipertahankan dengan pedang tauhid. Apa sahaja yang mahu masuk ke dalam hati dan mencabar kedudukan Allah s.w.t mestilah dipancung dengan pedang tauhid sehingga bebaslah hati daripada yang selain Allah s.w.t. Hati hanya dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah s.w.t, ketaatan kepada Allah s.w.t, penyembahan hanya untuk Allah s.w.t, pemujian hanya untuk Allah s.w.t dan tidak ada apa lagi yang mencabar kedudukan Allah s.w.t pada hatinya. Bila keadaan ini sudah sebati dalam hatinya Allah s.w.t memasukkannya ke dalam pemeliharaan-Nya (kewalian). Tugas mengawal hatinya diambil alih oleh tentera-tentera Allah s.w.t yang bertugas melindunginya secara berterusan dengan menggunakan pedang tauhid. Syaitan, hawa nafsu kebinatangan, pengaruh dunia dan makhluk yang merosakkan, angan-angan kosong dan apa sahaja yang tidak baik tidak berupaya lagi menawan hati hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t. Keberkatan, kekeramatan dan kemuliaan yang dikurniakan kepadanya tidak menggoncangkan hatinya. Isteri-isteri, anak-anak dan kaum keluarganya dijaga agar tidak menjadi fitnah kepadanya. Apa sahaja yang daripada dunia ditapis terlebih dahulu sebelum sampai kepadanya agar yang datang itu tetap bersih dan tidak membahayakannya. Beban yang ditanggungnya akan diangkatkan supaya tidak ada lagi penguasaan makhluk ke atasnya. Jadilah dia hamba yang merdeka daripada sekalian makhluk. Dia hanya memperhambakan dirinya kepada Tuhan. Dia masuk ke dalam penjagaan ar-Rahim yang mendakapnya dengan rahmat, kasih sayang dan keredaan-Nya. Penghidupannya adalah berenang dalam lautan takdir, bertindak secara spontan menurut firasat hatinya yang dipenuhi oleh nur suci.
Tanda seseorang itu telah sampai kepada makam takdir dan berada dalam ketetapan adalah Tuhan mengembalikan keinginannya (dalam keadaan terpelihara) dan dia diperintahkan supaya mengambil bahagiannya yang selama ini disimpan bagi keselamatannya. Bahagiannya itu ditahan buat sementara kerana dia masih di dalam perjalanan dan belum mencapai ketetapan. Tanpa ketetapan hati apa yang diingini boleh merosakkan hati itu sendiri. Bila dia sudah memperolehi ketetapan dia boleh menerima bahagiannya tanpa dicederakan oleh apa yang diterimanya itu. Apa yang diperuntukkan kepadanya hanya dia yang berhak mengambilnya. Tidak ada sesiapa yang dapat merebut haknya.
Allah s.w.t menetapkan keadaan hamba-Nya itu sebagai manusia biasa yang bertubuh badan dan hidup di dalam dunia supaya Dia dapat menyerahkan haknya yang Dia sebagai Pemegang amanah telah menyimpannya demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila hatinya sudah teguh dan kuat, tidak boleh digugat oleh apa yang diperuntukkan kepadanya, maka ia diserahkan kepadanya untuk dinikmatinya sebagai balasan terhadap perjuangannya menahan diri dan melawan hawa nafsu. Allah s.w.t bukakan pintu-pintu kebaikan supaya nyatalah kedudukannya pada sisi-Nya dan terbuktilah kebenaran janji-janji-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam mentaati-Nya. Allah s.w.t bukakan keinginannya terhadap apa yang disediakan untuknya dan dia digerakkan supaya meminta yang demikian. Permintaannya pasti dimakbulkan kerana Allah s.w.t tidak mahu menyekat bahagian yang Dia telah tentukan untuk hamba-Nya, juga supaya terbukti kedudukan hamba itu, keredaan Allah s.w.t kepadanya dan keberkatan doanya. Itulah nikmat yang Allah s.w.t sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas kepada-Nya, bersabar terhadap ujian-Nya dan reda dengan takdir-Nya, sekalipun panjang masa perjuangannya dia sentiasa mengawal diri agar tidak keluar daripada sempadan yang Dia tentukan dan melalui berbagai-bagai peringkat kerohanian sehinggalah mencapai makam penetapan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Setelah melengkapi bulatan perjalanannya dia kembali kepada kedudukannya sebagai seorang individu untuk mengambil bahagiannya dalam kehidupan dunia ini sehingga berakhir hayatnya.
Tarekat ujian bala adalah sistem latihan kerohanian yang Allah s.w.t susun kepada hamba-hamba-Nya yang dipilih untuk melaksanakan kewajipan sebagai khalifah atau wakil-Nya di bumi, menyeru umat manusia supaya kembali kepada jalan-Nya. Mereka mengajar manusia supaya mengenal Tuhan, mentaati peraturan-Nya, memakmurkan bumi ini dengan kebaikan dan membasmi kemunkaran. Tuhan Yang Maha Mengasihi tidak berhenti menghantarkan wakil-wakil-Nya kepada umat manusia supaya orang yang benar-benar ikhlas mahu mencari-Nya akan menemui-Nya melalui bimbingan wakil-Nya.
                                                         

32. Tarekat Orang majzub

Manusia pilihan kelas tertinggi adalah Nabi-nabi. Tuhan kurniakan kepada mereka kekuatan rohani yang luar biasa. Mereka mampu menempuh alam ghaib dan berhadap kepada Hadrat Ilahi tanpa berlaku kegoncangan kepada akal fikiran, kesedaran dan sifat-sifat kemanusiaan mereka. Mereka diperkenalkan dengan berbagai-bagai suasana ketuhanan (hakikat ketuhanan) dan mengalami berbagai-bagai perkara yang ganjil dalam keadaan jaga, tidak terbalik pandangan, tidak terlepas kehambaan dan tidak hilang kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya. Mereka tidak terdorong kepada suasana fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan berpisah dengan Tuhan. Nabi-nabi menghadap kepada Tuhan tanpa melupai makhluk. Mereka juga melayani makhluk tanpa lalai daripada Tuhan. Makhluk tidak melindungi Tuhan dan Tuhan tidak menghapuskan makhluk. Kedua-duanya berada dalam kesedaran nabi-nabi.
Manusia yang selain nabi-nabi akan menerima kesan yang kuat daripada pengalaman kerohanian yang dinisbahkan kepada suasana ketuhanan. Keadaan ini lebih kuat lagi berlaku kepada orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala. Kegoncangan yang hebat oleh ujian bala menyebabkan hati mereka ‘pecah’. Akibatnya kesedaran kepada alam maujud dan diri sendiri hilang. Tabiat dan sifat kemanusiaan juga tertanggal. Kesan yang muncul daripada ‘pertembungan’ dengan suasana ketuhanan itu dinamakan jazbah dan orang yang mengalami jazbah dinamakan majzub.
Jazbah adalah hal yang dialami oleh hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh akal. Hijab diangkatkan dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib dan kenyataan tentang Tuhan. Suasana jazbah itu berbeza bagi seorang dengan seorang yang lain. Secara umumnya orang yang mengalami jazbah atau ahli majzub boleh dibahagikan kepada empat jenis.
Majzub jenis pertama adalah orang yang dibawa oleh Tuhan kepada beberapa pengalaman kerohanian yang berkait dengan ketuhanan dan mencapai beberapa makam yang tinggi dalam tempuh yang singkat serta mereka mendapat keasyikan terhadap Allah s.w.t tanpa berguru dengan sesiapa dalam hidup mereka. Jazbah merombak keperibadian mereka secara menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada keadaan mereka sebelum kedatangan jazbah. Mereka tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka lebih merasakan kedamaian dan kebahagiaan jika mereka bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t. Apa yang berlaku di sekeliling mereka, baik atau buruk, tidak menarik minat mereka. Kegoncangan yang berlaku dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka keluar daripada keasyikan mereka. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka teringatkan Allah s.w.t sahaja. Mereka tidak suka mendengar cerita yang selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t dan yang mengenai Allah s.w.t sahaja yang dapat menembusi hati mereka. Bila mereka dikuasai oleh jazbah hilanglah kesedaran, fikiran, penglihatan, pendengaran dan pergerakan mereka. Orang majzub tidak sedarkan diri mereka dan alam maujud sekaliannya. Dalam keadaan demikian mereka mengalami berbagai-bagai hal atau pengalaman kerohanian. Mereka berpindah dari satu makam ke satu makam yang lain dengan cepat. Orang majzub seperti ini dikasihi oleh Allah s.w.t dan Dia melindungi mereka daripada orang jahil yang jahat perangai. Oleh kerana mereka sudah hilang kesedaran dan sifat kemanusiaan, maka hilang juga keupayaan mereka untuk membezakan yang baik daripada yang buruk. Majzub yang seperti ini tidak boleh dijadikan pembimbing orang ramai kerana adab sopan dan peraturan masyarakat tidak ada dalam kesedaran mereka.
Majzub jenis kedua, setelah dilenyapkan akal dan kesedaran seperti jenis pertama, mereka dikembalikan semula kepada kesedaran kemanusiaan sedikit demi sedikit. Mereka diturunkan dari satu makam kepada makam yang lain. Penurunan tersebut mengurangkan kesan jazbah sehingga akhirnya mereka sampai kepada penetapan dan kesedaran sepenuhnya. Ketika menaik kesedaran mereka terhadap yang selain Allah s.w.t hilang dengan cepat dan dalam keadaan demikian mereka ‘menemui’-Nya. Ketika penurunan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya tidak kembali dengan cepat. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum kesan jazbah hilang sepenuhnya daripada kesedaran mereka. Ada sebahagian daripada mereka yang kesan jazbah tidak hilang sampai ke akhir hayat mereka. Bagi majzub kumpulan kedua ini jazbah berperanan sebagai ‘kuasa pemaksa’ yang mengheret mereka keluar daripada alam kelalaian dan memasukkan mereka ke jalan yang memperadabkan mereka dengan Tuhan. Rahmat Tuhan yang menarik mereka kembali kepada jalan yang lurus. Perubahan yang berlaku kepada mereka terjadi dengan pantas. Mungkin dalam masa kurang daripada dua bulan mereka sudah melalui semua stesen kerohanian dan mengalami hal ketuhanan yang mencukupi untuk mereka mengenal Tuhan secara hakiki. Setelah kembali kepada sifat kemanusiaan semula mereka meneruskan kehidupan menurut jalan kenabian, menurut Sunah Rasulullah s.a.w dan menjadikan kehidupan nabi-nabi dan wali-wali sebagai iktibar. Proses penurunan majzub jenis kedua ini merupakan pembalikan kepada proses menaik orang salik.
Majzub jenis ke tiga tidak hilang akal fikiran dan kesedaran mereka. Perubahan kerohanian berlaku dalam sedar dan jaga. Tidak ada perpisahan dengan sifat kemanusiaan, tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Mereka menetap dalam kehambaan, tidak terbalik pandangan, tidak mengalami mabuk dan tidak mengeluarkan ucapan latah yang menyalahi syariat. Orang yang di dalam kesedaran ini didatangkan jazbah kepada mereka sebagai kurniaan Tuhan untuk memperkenalkan mereka kepada Yang Hakiki kerana ilmu dan amal mereka tidak berupaya menyampaikan mereka kepada yang demikian. Kaum sufi umumnya berpendapat majzub yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan lebih baik daripada majzub yang mengalami kefanaan dan mabuk. Majzub yang di dalam kesedaran boleh menjauhkan diri mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan fitnah.
Majzub jenis ke empat adalah orang yang memasuki jalan suluk terlebih dahulu. Ketika bersuluk itulah akal fikiran dan kesedaran mereka dihapuskan. Majzub jenis ini mengenali alam terlebih dahulu sebelum mengenal Tuhan (mengalami hakikat ketuhanan). Bimbingan guru yang mursyid membuat perjalanan jazbah mereka teratur. Mereka meningkat dari satu makam kepada makam yang lain dengan bersistematik. Mereka melalui stesen-stesen kerohanian dengan bimbingan yang benar. Guru yang telah melalui semua stesen kerohanian, memperolehi makam-makam, mengetahui suasana kefanaan, kebaqaan dan Kebenaran Hakiki sesudah fana dan baqa, diperlukan bagi membimbing salik yang didatangi jazbah. Guru yang demikian dapat menyapu kekeliruan daripada mengelabui pandangan hati muridnya. Murid itu dapat maju ke matlamat terakhir dengan selamat dan teratur. Bimbingan guru membuat salik mengalami dan mengetahui pengalaman mereka. Pengenalan melalui pengalaman yang diterangi oleh pengetahuan mempercepatkan salik menjadi orang arif. Majzub jenis inilah dipersetujui oleh kaum sufi.
Majzub jenis pertama hidup terus menerus sebagai orang majzub, tidak kembali lagi kepada kehidupan manusia biasa. makrifat mereka berdasarkan pengalaman kerohanian mereka. Pengalaman mereka hanya untuk diri mereka sahaja, bukan untuk orang lain. Tanpa tajalli ilmu (terbuka pengetahuan tentang pengalaman yang dilalui) mereka tidak boleh dipanggil orang arif dan mereka tidak dibolehkan menjadi pembimbing orang ramai yang di dalam kesedaran biasa.
Majzub jenis ke dua melalui stesen-stesen kerohanian dan mencapai berbagai-bagai makam dalam tempuh yang singkat. Kumpulan ini biasanya memasuki jazbah tanpa persediaan dari segi ilmu dan juga mereka tidak mempunyai guru. Setelah mengalami jazbah mereka kembali kepada kesedaran biasa. Akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka dikembalikan. Mereka mendapati sukar untuk menghuraikan pengalaman kerohanian yang telah mereka lalui. Ketika di dalam zauk pengetahuan tidak penting, tetapi bila kembali sedar akal fikiran memerlukan kefahaman. Dari sini orang majzub yang kembali sedar itu digerakkan untuk menyelidik, mengambil iktibar dan bertanya kepada orang-orang yang arif. Keadaan mereka adalah umpama orang yang bermimpi pada malam hari dan termenung pada siangnya untuk mengingati apa yang dimimpikan dan apa pula maksud mimpi tersebut. Proses memahami dan menyusun perjalanan kerohanian jauh lebih lambat daripada proses pengalaman kerohanian itu sendiri. Pengalaman kerohanian yang dilalui dalam tempuh dua bulan mungkin mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk memahaminya dengan jelas dan menyusunnya secara terperinci. Kelambatan proses ini juga disebabkan oleh kesan jazbah yang sukar hilang dari kesedaran seseorang. Kebenaran yang ditemui melalui akal fikiran akan berubah-ubah mengikut kadar kesan jazbah yang sudah hilang daripada mereka. Apabila mereka bebas sepenuhnya daripada kesan jazbah, mereka akan temui Kebenaran Hakiki yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Walaupun mereka mengalami hakikat tetapi tanpa kematangan ilmu mengenai pengalaman tersebut, mereka tidak layak dipanggil orang arif. Ilmu mereka benar-benar matang setelah mereka kembali kepada al-Quran dan as-Sunah.
Majzub jenis ke tiga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai bekalan ilmu yang mencukupi. Kumpulan ini memasuki jalan kerohanian secara berhati-hati dan diselubungi oleh keraguan. Mereka memerlukan masa untuk mengharmonikan pengalaman yang dilalui dengan pengetahuan yang sedia ada. Apa yang diketahui sebelum mendapat jazbah berbeza daripada apa yang diketahui sesudah mendapat jazbah. Kedua-dua pengetahuan yang kelihatan berbeza itu kemudiannya dapat dipastikan bahawa perbezaan berlaku pada sudut pandangan sedangkan kebenarannya tidak berbeza. Pengalaman mengsahkan apa yang sudah diketahui. Bila kedua-dua jenis pengetahuan itu bersepakat keraguan mereka pun hilang. Pengetahuan yang lahir daripada cantuman dua sudut itu meneguhkan keyakinan.
Majzub jenis ke empat memasuki bidang suluk terlebih dahulu. Ketika menjalani suluk itulah mereka memperolehi jazbah. Tempuh mendapatkan jazbah berbeza-beza di antara seorang salik dengan salik yang lain. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Tidak kurang juga yang langsung tidak mendapat jazbah. Salik yang tidak mendapat jazbah atau lambat memperolehinya tidak seharusnya berasa kecewa. Jazbah bukanlah matlamat suluk. Kebaikan bagi orang yang menjalani jalan kerohanian adalah menjaga makam mereka. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Intisari bagi perjalanan kerohanian adalah kesabaran dalam menjalankan perintah Allah s.w.t dan kesabaran menanggung takdir-Nya. Salik hanya perlu menjaga takdir yang mereka berada di dalamnya. Sabar mengawal diri dan tidak bertelingkah dengan takdir merupakan kejayaan yang besar bagi salik, sekalipun mereka tidak mendapat jazbah. Teruskan tegak berdiri kerana Allah s.w.t, demi Wajah-Nya semata-mata bukan kerana sebarang keperluan. Salik jenis ini dibawa kepada ikhlas tanpa melalui jazbah. Ikhlas dan benar dengan Allah s.w.t merupakan matlamat perjalanan kerohanian, baik melalui jazbah atau secara sedar. Salik yang menetap dalam kesedaran beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan ikhlas. Mereka beriman kepada perkataan al-Quran dan Hadis dengan ikhlas tanpa memasuki bidang hakikat. Bagi salik yang mengalami jazbah pula berdampingan dengan guru menjadi syarat penting. Mereka perlu merujukkan kepada guru mereka semua pengalaman kerohanian yang mereka lalui semasa jaga mahupun secara mimpi. Salik jangan mudah membuat tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara.
Setiap orang majzub mempunyai jalannya sendiri yang berbeza dengan majzub yang lain. Masing-masing ditarik kepada jalannya oleh ‘kuasa ghaib’ yang diistilahkan sebagai Tarikan Rahmani (ketuhanan), Pembimbing Hakiki ataupun Perintah Batin. Orang majzub menerima Tarikan Rahmani tanpa mereka boleh menahannya. Tarikan tersebut membawa mereka kepada jalan khusus yang Tuhan sediakan untuk mereka. Tarikan tersebut juga mengarahkan mereka melakukan sesuatu perkara tanpa terikat dengan hukum logik. Tarikan yang langsung dari Tuhan itu juga memandu orang majzub sehingga selamat sampai kepada matlamat. Orang yang di dalam keadaan demikian sering mendapat peringatan dari dalam diri mereka sendiri. Peringatan yang demikian dinamakan Suara Hakiki. Jika timbul cita-cita mereka untuk berhenti tatkala terjadi kasyaf suara dari dalam diri mereka akan memberi peringatan: “Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Oleh itu jangan berhenti!” Jika terbuka kepada mereka rahsia alam maya, mereka diperingatkan oleh hakikat alam maya: “Sesungguhnya kami adalah ujian, kerana itu janganlah kamu kufur!” Hamba yang dipimpin itu menafikan apa juga yang ditemui di sepanjang jalan. Apa yang mereka saksikan adalah gubahan Tuhan, hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal terhijab, tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun. Akhirnya hamba menemui kenyataan bahawa Dia yang sebenarnya mengenali Diri-Nya. Dia yang mencari, Dia yang dicari dan Dia yang menemui. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.
Orang yang sedang dikuasai oleh Tarikan Rahmani akan kehilangan kekuatan akal fikiran dan kesedaran diri mereka. Pengaruh pancaindera dan alam sekeliling menjadi lemah kepada hati mereka. Rangsangan yang datang dari kehendak diri sendiri menjadi tumpul. Pada peringkat permulaan mengalami hal yang demikian, ketika akal fikiran, kesedaran dan kehendak diri masih mempunyai kekuatan, mereka tidak mengerti apakah yang sedang berlaku kepada diri mereka. Mereka merasakan kelainan tetapi tidak mengerti mengenainya. Walaupun begitu mereka terus juga berjalan menurut cetusan yang muncul dari dalam diri mereka. Setelah beberapa lama mereka mula menyedari kehadiran ‘kuasa ghaib’ yang menguasai mereka, memberi petunjuk dan bimbingan. Kelainan yang mereka alami mereka hubungkan dengan kehadiran kuasa ghaib tersebut. Mereka tidak tahu apakah hakikat kuasa ghaib itu tetapi mereka yakin bahawa ia adalah sesuatu yang suci dan berhubung rapat dengan pekerjaan Tuhan. Mereka yakin hanya dengan mengikuti petunjuk ghaib itu mereka dapat menghampiri Tuhan. Kehadiran kuasa ghaib tersebut dirasakan bertambah kuat dari masa ke masa. Ia membuat mereka berasa tenang dan mereka merasakan jalan menuju Tuhan semakin terang.
Penguasaan petunjuk ghaib ke atas diri mereka membawa mereka kepada peringkat di mana mereka menyaksikan kelakukan dan perbuatan muncul daripada diri mereka tanpa mereka berkehendak melakukannya, tanpa berfikir dan merancang dan juga tanpa menggunakan kekuatan diri sendiri. Segalanya berlaku secara spontan. Mereka tidak ikut campur dalam menghasilkan perbuatan diri mereka sendiri. Mereka hanya menyaksikan ‘kuasa ghaib’ menghasilkan kelakuan dan perbuatan diri mereka. Mereka tidak ada kehendak untuk membantah hal yang demikian, malah hal tersebut membuat mereka memerhatikan sesuatu tentang Tuhan. Apa yang berlaku secara spontan itu membukakan kefahaman mereka tentang Tuhan. Dalam keadaan yang demikian akal mereka menjadi umpama bekas yang dituangkan dengan kefahaman. Banyak perkara mengenai ketuhanan yang mereka tidak fahami sebelumnya ‘difahamkan’ pada peringkat ini. Hal yang demikian membuat hati mereka merasakan kewujudan hubungan di antara Tuhan dengan mereka. Jika kehendak kepada sesuatu yang lain menjadi lemah tetapi kehendak berjumpa dengan Tuhan menjadi kuat. Hati mereka sudah ada rasa kasihkan Tuhan. Mereka juga dapat merasakan kasihan belas Tuhan kepada mereka. Mereka mendapat penghayatan bahawa Tuhan tidak melupakan mereka, Tuhan sentiasa mengambil tahu tentang hal-ehwal mereka. Bertambahlah keseronokan mereka mengintai Tuhan.
Orang yang sedang diheret oleh petunjuk ghaib hilang minat kepada makhluk dan kehidupan dunia seluruhnya. Hati mereka hanya mencintai Allah s.w.t. Mereka menjadi hamba yang gilakan Allah s.w.t. Apa sahaja yang dipandang membalikkan sesuatu tentang Allah s.w.t. Dalam keasyikan mereka mengalami berbagai-bagai hakikat ketuhanan yang menambahkan pengenalan mereka tentang Tuhan. Puncak kecintaan hamba kepada Allah s.w.t adalah pengalaman Allah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Selepas pengalaman tersebut mereka memasuki suasana baqa dengan Allah s.w.t. Suasana kebaqaan membuat mereka merasakan yang mereka tidak berpisah dengan Allah s.w.t yang mereka cintai, walau di mana mereka berada dan apa juga yang mereka lakukan. Bila suasana demikian sudah menguasai hati mereka baharulah mereka boleh terima kehadiran makhluk kerana pada tahap ini kehadiran makhluk tidak lagi memisahkan mereka dengan Tuhan.
Perjalanan seterusnya membawa mereka kepada kesedaran mengenai tujuan mereka diciptakan. Kesedaran, akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka sudah dikembalikan. Mereka mula bergerak jauh daripada Tuhan tetapi dalam keadaan tidak berpisah. Bila kesedaran, fikiran dan sifat kemanusiaan mereka kembali sepenuhnya, mereka dapat melihat perbezaan di antara Tuhan dengan hamba. Mereka berpindah daripada suasana baqa kepada suasana kehambaan sepenuhnya. Mereka kembali kepada kewujudan diri sendiri dan menghabiskan sisa-sisa hidup mereka sebagai ahli syariat yang taat. Lengkaplah perjalanan kerohanian mereka. Pengalaman jazbah menjadi ingatan yang paling berharga bagi mereka kerana melalui pengalaman tersebut mereka berubah menjadi manusia baharu, mempunyai kehendak dan citarasa yang baharu. Jazbah telah menghancurkan ‘patung-patung’ dalam diri mereka yang mereka tidak berupaya menghancurkannya dengan kekuatan diri sendiri.

33. Persediaan Menerima Kedatangan Jazbah

Apabila Allah s.w.t berkehendak menyampaikan wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w, Dia menggerakkan hamba-Nya itu supaya berkhalwat di Gua Hiraa. Pemergian baginda s.a.w ke Gua Hiraa adalah kerana Tarikan Rahmani atau Petunjuk Ghaib yang datang secara langsung daripada Allah Yang Maha Tinggi. Petunjuk Ghaib mempersiapkan Nabi Muhammad s.a.w. Apabila baginda s.a.w sudah bersedia baharulah wahyu diturunkan.
Seseorang yang akan menerima urusan Tuhan akan dipersiapkan oleh Tuhan menurut kebijaksanaan-Nya. Seseorang yang akan menerima jazbah dipersiapkan terlebih dahulu. Ada orang yang diheret kepada jalan bersuluk. Walaupun mereka memasuki suluk di dalam kesedaran namun pada hakikatnya mereka ditarik oleh Petunjuk Ghaib. Petunjuk Ghaib bertindak ke atas mereka, yang pada zahirnya kelihatan sebagai bimbingan guru mereka. Kehadiran guru yang arif memudahkan murid memahami petunjuk-petunjuk sampai kepada mereka daripada alam ghaib.
Sebahagian ahli jazbah memasuki jalan yang tidak ada guru. Mereka boleh dibahagikan kepada dua golongan. Golongan pertama memasuki jalan memencilkan diri di tempat yang jauh daripada orang ramai. Ketika bersendirian itulah timbul kecenderungan dalam hati mereka untuk melakukan sesuatu ibadat dengan bersungguh-sungguh. Kemudian jazbah didatangkan kepada mereka. Golongan ini biasanya sukar untuk kembali kepada kehidupan biasa seperti orang ramai. Orang yang menjadi majzub secara terus menerus kebanyakannya terdiri daripada golongan ini. Golongan kedua pula adalah mereka yang menetap dalam masyarakat, tidak mengasingkan diri di tempat yang jauh. Ketika masih berada bersama-sama orang ramai itulah didatangkan minat kepada mereka untuk melakukan sesuatu amalan atau ibadat. Apabila mereka didatangi oleh jazbah mereka tetap juga berada di dalam lengkungan orang ramai. Ahli jazbah seperti ini mengalami berbagai-bagai perkara ganjil sambil diperhatikan oleh orang ramai. Mereka terpaksa berhadapan dengan reaksi orang ramai dan keadaan memudahkan buat mereka kembali semula kepada kehidupan biasa nanti.
Majzub berbeza daripada majnun (gila). Kepada kedua-duanya dibukakan keghaiban. Orang majnun tersangkut pada alam makhluk halus atau alam khadam. Mereka suka bercakap sendirian seolah-olah mereka bercakap dengan seseorang. Sebenarnya mereka memang bercakap dengan sesuatu yang orang lain tidak nampak dan tidak dengar. Isu percakapan mereka adalah perkara ganjil yang terdapat pada alam lain. Sekiranya orang majnun kembali kepada kesedaran biasa semula, mereka akan lupa kepada apa yang mereka telah alami pada alam makhluk halus itu. Pengalaman majnun tidak meninggalkan kesan yang mempengaruhi fahaman dan pegangannya.
Orang Majzub pula tertarik kepada ‘alam ketuhanan.’ Walaupun bercakap sendirian, isu percakapan mereka adalah Tuhan. Mereka banyak bercakap mengenai aspek misal ketuhanan. Kelakuan mereka yang kelihatan seperti orang yang tidak siuman, bercakap sendirian mengenai misal ketuhanan, boleh menyebabkan orang ramai menyangkakan mereka sudah gila. Apabila orang majzub kembali kepada kesedaran biasa semula, pengalaman jazbah tidak hilang daripada ingatan mereka. Pengalaman yang demikian meninggalkan kesan yang kuat pada jiwa mereka. Mereka yang keluar daripada alam jazbah membawa bersama-sama mereka kekuatan kerohanian yang kuat sehingga mereka mampu melakukan untuk masyarakat apa yang orang lain tidak mampu.
Allah s.w.t menyediakan berbagai-bagai cara bagi mempersiapkan hamba-hamba-Nya. Pengalaman seorang hamba Allah dimuatkan di sini untuk dijadikan iktibar bagi orang yang berminat pada jalan kerohanian.
Petunjuk Ghaib mendatangi hati si hamba itu sebagai kecenderungan atau dorongan yang kuat. Si hamba itu merasakan seolah-olah menerima perintah yang tidak boleh diengkari namun dia tunduk kepada ‘perintah’ itu dengan kerelaan. ‘Perintah’ yang datang itu menyuruh si hamba itu menziarahi 100 buah masjid.
Allah s.w.t memperakui masjid-masjid sebagai rumah-Nya. Tuan rumah sentiasa meraikan tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Allah s.w.t adalah Tuan rumah yang paling baik, menyambut para tetamu-Nya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.
Para kekasih Allah gemar mengunjungi rumah-Nya. Mereka jadikan masjid sebagai tempat bermunajat. Tempat yang selalu disebut nama-nama Allah s.w.t, diucapkan kata-kata pujian dan kesyukuran kepada-Nya, dipenuhi oleh keberkatan. Keberkatan itu umpama cahaya yang menerangi kegelapan. Sesiapa yang mendatangi cahaya akan dapat melihat dan berada jauh daripada cahaya akan tinggal di dalam kegelapan. Bermunajat di dalam cahaya keberkatan di dalam rumah-Nya melahirkan rasa kehadiran-Nya.
Si hamba mandi mensucikan diri dan berwuduk. Kemudian dia bersembahyang sunat dua rakaat bagi memulakan perjalanannya. Sesudah bersembahyang dia bermunajat kepada Tuhannya: “Ilahi! Engkau jualah maksud dan tujuanku. Keredaan Engkau jua yang daku cari. Berikan daku petunjuk di dalam perjalananku, berkatilah langkahku dan bimbinglah daku untuk sampai kepadaMu”. Selesai bermunajat kepada Tuhan si hamba memulakan perjalanan ke masjid-masjid dengan kalimah:

Kunjungan ke masjid-masjid cara ini bukanlah kunjungan sosial, bukan bertujuan untuk menuntut ilmu atau berkenalan dengan ahli-ahli masjid. Setiap masjid yang dikunjunginya adalah umpama negeri asing yang tidak seorang penduduk pun yang dikenalinya atau mengenalinya. Bertegur sapa dan bersalaman sekadar yang patut sahaja tanpa membanyakkan kata-kata merupakan adat berkunjung ke masjid. Setiap memasuki masjid kerjakanlah sembahyang sunnat tahiyyatul masjid, kemudian duduk beriktikaf sambil bermunajat kepada Allah s.w.t, memohon petunjuk dan bimbingan-Nya demi mencari keredaan-Nya. Jika waktu sembahyang fardu sudah sampai kerjakanlah sembahyang berkenaan secara berjemaah. Sesudah berwirid dan berdoa berpindahlah ke masjid yang lain pula.
Berkunjung ke masjid-masjid menurut Petunjuk Ghaib memberi kesan kepada jiwa hamba Allah itu. Suasana kehidupannya berubah. Dia mendapat kekuatan untuk menyelamatkan diri daripada pengaruh dan rangsangan yang datang daripada orang ramai. Kegiatan yang menyeronokkan dan melalaikan terpisah daripadanya. Jika dahulu dia sanggup menghabiskan wang yang banyak kerana tujuan berseronok dan membazir, kini setiap sen yang dia ada digunakan semata-mata untuk jalan Allah s.w.t. Jika dahulu dia sanggup mengembara dari jambatan ke jambatan kerana mencari nikmat memancing, kini dia mengembara dari masjid ke masjid kerana mencari nikmat bermunajat kepada Allah s.w.t. Kekuatan dan keupayaan yang sama kini digunakan untuk mencari keredaan Allah s.w.t. Setiap waktu dan ruang digunakan untuk mengingati Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam.
Si hamba kehilangan minat kepada makhluk dan aktiviti kehidupan harian. Seberapa banyak hilang minatnya terhadap makhluk, lebih banyak pula minatnya untuk menghampiri Allah s.w.t. Bila perhatiannya banyak tertuju kepada Allah s.w.t, fikiran dan hatinya kurang memerhatikan kepada hukum sebab akibat. Dia lebih memerhatikan perjalanan takdir daripada perjalanan sebab musabab. Bila perhatiannya tertuju kepada perjalanan takdir hatinya tidak lagi terganggu dengan kerenah makhluk yang bergerak di dalam arus sebab musabab. Dia sudah boleh merasakan kedamaian di tengah-tengah kekacauan yang berlaku di sekelilingnya.
Hati manusia mempunyai satu muka. Jika ia menghadap kepada makhluk ia akan membelakangi Tuhan. Jika ia menghadap kepada Tuhan ia akan membelakangi makhluk. Sekiranya Allah s.w.t berkehendak mengurniakan taufik dan hidayat kepada hamba-Nya, Dia akan palingkan muka hati si hamba itu kepada-Nya. Hati yang menghadap kepada Tuhan akan dapat merasai kehadiran-Nya, dengan demikian menambahkan keyakinan kepada Allah s.w.t. Si hamba akan menjadi seorang yang gemar beribadat. Dia sanggup melakukan ibadat dengan banyaknya semata-mata kerana Allah s.w.t, demi mencari keredaan-Nya. Kekuatan yang diperolehi oleh hati sewaktu menziarahi 100 buah masjid sudah mampu mengadakan sekatan kepada pancaindera daripada melakukan sesuatu yang Allah s.w.t tidak suka.
Apabila minat mahu berbakti kepada Tuhan sudah kuat, si hamba akan menilik kepada kecacatan dan keaiban dirinya. Dia berasa malu menghadap Tuhan dengan dirinya yang diselaputi oleh kekotoran. Dia juga melihat dirinya sebagai seorang yang ‘berpenyakit’, tidak berupaya membuat kebaktian kepada Tuhan dengan sempurna. Dia sangat ingin menyucikan dirinya dan menyembuhkan penyakitnya agar dia boleh berkhidmat kepada Tuhan dengan sekuat tenaganya dan dalam keadaan suci.
Setelah tamat peringkat menziarahi 100 buah masjid, didatangkan pula minat untuk ‘menziarahi’ dirinya sendiri.

Dan pada diri kamu apakah tidak kamu perhatikan? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat ) Si hamba merenung perjalanan kehidupannya di dalam dunia. Sudah sangat banyak kekotoran yang mengenai dirinya zahir dan batin, dan racun yang memasuki dirinya zahir dan batin. Dia perlu menyucikan rohani dan jasmaninya. Dia perlu mengubati penyakit rohani dan jasmaninya. Dalam dia mencari-cari alat penyucian dan penawar itu hatinya mengingati firman Tuhan:

Dan jika ada satu kitab bacaan yang (mampu) dijalankan gunung-gunung dengannya atau dibelah bumi dengannya atau dibuat bercakap orang-orang yang sudah mati dengannya (maka al-Quranlah Kitabnya). Bahkan kepunyaan Allah jua segala urusan. Apakah tidak tahu orang yang beriman bahawa jika Allah mahu nescaya Dia pimpin semua manusia? ( Ayat 31 : Surah ar-Ra’d )
Al-Quran mampu menyucikan kekotoran yang menjadi hijab di antara hamba dengan Tuhan. Al-Quran juga menjadi penawar yang menguatkan hamba berjalan kepada Tuhannya. Si hamba yakin dengan al-Quran sebagai Kitabullah yang diturunkan untuk kebaikan manusia. Oleh kerana kekotoran dan penyakitnya banyak berhubung dengan hati dia harus memulakan dengan hati al-Quran. Hati al-Quran dapat menyucikan hatinya dan menguatkannya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tiap sesuatu mempunyai hati, begitu juga al-Quran. Hati al-Quran adalah Surah Yaa Siin. Sesiapa membacanya akan ditulis pahala sebanyak sepuluh kali membaca al-Quran”. Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud: “Dalam al-Quran ada satu surah namanya Surah Yaa Siin. Surah ini mensyafaatkan bagi sesiapa yang membacanya dan menuntutkan keampunan bagi orang yang mendengarnya”. Fadhilat Surah Ya Sin sangat besar. Ia menjadi penawar bagi berbagai-bagai penyakit. Kekotoran dan penyakit tidak dapat bertahan apabila penawar dari Surah Yaa Siin memasuki setiap rongga dan sekalian maujud.
Si hamba meletakkan pergantungannya kepada Allah s.w.t. Selepas peringkat menziarahi 100 buah masjid dia menjadikan pembacaan Surah Yaa Siin sebagai wiridnya. Dibacanya berulang-ulang, sekadar kemampuannya setiap hari. Dia berada dalam keadaan demikian beberapa hari. Setelah dia selesai membaca Surah Yaa Siin sebanyak 203 kali dia membaca doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w:

Ya Allah! Ya Tuhanku! Adakanlah di dalam hatiku nur, dalam pendengaranku nur, dalam penglihatanku nur, adakanlah di sebelah kananku nur, sebelah kiriku nur, dihadapanku nur dan berikan daku nur. Berkat rumah Allah dan nur hati al-Quran memberi kekuatan kepada hati si hamba untuk menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib. Hatinya sudah bersedia untuk menghadapi perjalanan kerohanian, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

34. Perjalanan Menuju Allah
Keadaan hamba yang dipersiapkan untuk memasuki jalan kerohanian itu sudah sangat berbeza daripada keadaannya yang asal. Minatnya kepada orang ramai sudah tidak ada lagi. Dia tidak memperdulikan lagi televisyen, radio, surat khabar, talipon, kunjungan sahabat handai dan lain-lain. Dia lebih suka bersendirian. Dalam suasana bersendirian itulah dia dibawa kepada stesen kerohanian yang pertama.
STESEN PERTAMA
Si hamba membetulkan niatnya: “Ilahi! Engkaulah maksud dan tujuan. Keredaan Engkau yang daku cari”. Tiada niat lain lagi baginya. Dia tidak mengharapkan untuk menjadi wali atau mendapat kekeramatan. Dia tidak meminta ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Dia adalah umpama seorang pesalah yang sedang menanti dengan rela hukuman pancung yang akan dijatuhkan kepadanya. Dia menyerahkan ‘batang lehernya’ bulat-bulat kepada ‘pancungan’ takdir.
Dalam penyerahan itu si hamba merasakan hatinya seperti disinari cahaya yang terang, lebih terang daripada segala cahaya yang ada di bumi. Dalam suasana hati yang demikian dia merasakan kewujudan jalinan hubungan yang erat dengan Kenabian Ibrahim a.s. Rasa kehadiran Ibrahimiyah membuat si hamba mengenangkan keluhuran Nabi Ibrahim a.s yang hanif, dengan kekuatan sabar, reda dan tawakalnya. Ibrahim a.s meninggalkan isteri yang sarat mengandung di tempat yang tidak ada penghuni, demi menjunjung perintah Tuhan. Ibrahim a.s sanggup mengorbankan anak kesayangan demi menjunjung perintah Tuhan. Ibrahim a.s mempunyai kekuatan hati kerana hati beliau a.s berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sewaktu akan dicampakkan ke dalam api Ibrahim a.s berkata: “Tuhanku melihat keadaanku. Dia tahu apa yang baik untukku. Dia tidak akan membiarkan daku”. Api kehilangan keupayaan membakar apabila berhadapan dengan kekuatan penyerahan Ibrahim a.s.
Si hamba berdoa kepada Tuhan: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku sebahagian daripada apa yang telah Engkau kurniakan kepada Khalil-Mu, Ibrahim a.s. Kurniakanlah kepadaku rasa penyerahan yang sebenarnya kepada-Mu. Perkuatkanlah kesabaranku menghadapi ujian-Mu. Teguhkan tawakalku menanti keputusan-Mu. Kurniakanlah kepadaku keredaan yang sebenarnya dalam menerima takdir yang datang daripada-Mu, baik atau buruk”.
Hati si hamba sentiasa memanggil Tuhannya: “Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!” Inilah hamba-Mu yang berdiri kerana menjunjung perintah-Mu. Inilah hamba-Mu yang rukuk kerana memuji dan memuja-Mu. Inilah hamba-Mu yang sujud kerana mengharapkan Wajah-Mu. Wahai Tuhanku. Janganlah Engkau jadikan kejahilan dan kedaifanku sebagai hujah untuk Engkau tidak menerima kedatanganku”.

Kemudian didatangkan kecenderungan membaca al-Quran kepada hati si hamba. Si hamba memulakannya dengan membaca Surah al-Hadiid, Surah yang ke lima puluh tujuh. Dia membacanya dengan penuh penghayatan dan memahami maksudnya. Surah ini mengajar manusia supaya sanggup berkorban kerana Allah s.w.t demi menegakkan kebenaran. Diterangkan bahawa kehidupan di dalam dunia ini adalah perjuangan di antara yang benar dengan yang salah. Orang yang beriman kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan hari akhirat mestilah mempertahankan keyakinan yang benar dan apa sahaja yang benar. Surah ini juga memperingatkan bahawa mengenakan tipu daya kepada manusia. Manusia mestilah sedar bahawa dunia dengan segala kemewahannya tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan perjuangan pada jalan Allah s.w.t. Manusia digesa supaya mengejar nikmat yang ada pada sisi Allah s.w.t, disediakan untuk orang yang bertaubat dan bertakwa. Manusia juga diperingatkan supaya bersabar menerima ujian daripada Allah s.w.t. Ia mengajar manusia supaya beriman kepada Qadak dan Qadar.

Tidaklah mengena satu bencana atas bumi dan tidak pula pada diri kamu melainkan semua itu sudah tercatit dalam Kitab sebelum Kami melakukannya. Yang demikian bagi Allah sangatlah mudah. Allah khabarkan demikian supaya kamu tidak berputus asa terhadap apa yang telah hilang daripada kamu dan tidak menyombong dengan apa yang datang kepada kamu. Dan Allah tidak suka kepada orang yang menyombong. (Ayat 22 & 23 : Surah al-Hadiid )
Allah s.w.t menerangkan bahawa segala yang berlaku adalah menurut takdir yang Dia telah tentukan. Membuat yang demikian sangatlah mudah bagi Tuhan kerana Ilmu-Nya meliputi yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin. Orang yang beriman tidak seharusnya berputus asa apabila berpisah daripada sesuatu yang dia sayangi kerana mungkin menurut Ilmu Allah s.w.t yang demikian baik baginya. Kesusahan dan bala bencana membuat manusia menjadi sabar, reda, bertawakal dan bersyukur, lalu dia dibawa hampir dengan-Nya. Ini jauh lebih baik daripada apa yang terpisah daripadanya.
Surah al-Hadiid juga memperkenalkan Allah s.w.t melalui nama-nama-Nya. Nama-nama Tuhan menjadi jambatan menghubungkan hamba dengan Tuhan. Jika nama Tuhan ditilik dengan hati nescaya terlihat apa yang tidak dapat dilihat oleh mata.
Seterusnya si hamba membaca pula Surah as-Sajdah, Surah yang ke tiga puluh dua. Surah ini mengajak manusia memerhatikan hubungan mereka dengan Pencipta. Tuhan menciptakan manusia pertama daripada tanah dan keturunan manusia dikembangkan melalui air mani. Tuhan sempurnakan ciptaan manusia dengan pengurniaan kepada mereka roh dan diperlengkapkan dengan berbagai-bagai bakat serta keupayaan. Surah ini menceritakan keadaan orang yang beriman sujud kepada-Nya apabila mereka diperingatkan dengan-Nya Orang beriman memisahkan diri mereka daripada tempat tidur pada malam hari kerana melakukan ibadat kepada-Nya, memuji dan memuja-Nya dengan rasa takut dan harap. Manusia diberitahu bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta, Pengatur dan Pengurus segala-galanya. Hanya Dia yang berkuasa memberi pertolongan dan pembelaan. Dia Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Oleh itu layaklah jika hamba mengadu dan merayu kepada-Nya sahaja, tidak kepada yang lain. Manusia diperingatkan supaya menggunakan bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka untuk berbakti kepada-Nya bukan berbuat maksiat.
Si hamba semakin merasakan keakraban dengan al-Quran. Dibacanya pula Surah Luqman dengan penuh penghayatan. Surah ini menceritakan sifat orang yang beriman seperti yang telah digambarkan oleh Surah as-Sajdah. Luqman adalah seorang hamba Allah yang salih. Beliau banyak bertafakur merenung alam keliling dan kehidupan di dalamnya. Tuhan bukakan kepadanya rahsia kehidupan. Beliau dapat melihat kehidupan ini dengan pandangan hikmah, kerana itu beliau digelar ahli hikmah. Ahli hikmah melihat yang tersirat sedangkan orang lain melihat yang tersurat.
Keseronokan membaca al-Quran berterusan. Dibacanya pula Surah Yusuf. Surah ini menceritakan bahawa orang yang memperolehi hikmah adalah orang yang tahan menanggung ujian. Ujian merupakan proses penyucian dan pembentukan jiwa manusia.
Si hamba beralih pula kepada Surah Saba’. Surah Yusuf menceritakan hamba-Nya yang diuji dengan kesusahan. Surah Sabaa pula menceritakan tentang hamba-hamba-Nya yang diuji dengan kesenangan dan kekuasaan. Nabi Daud a. s menjadi raja yang sangat luas daerah kekuasaannya, hinggakan angin dan gunung ditundukkan kepadanya. Anakandanya, Sulaiman a.s, mewarisi kekuasaan tersebut. Kekuasaan Sulaiman a.s ditambah lagi hinggakan haiwan dan jin tunduk kepadanya. Kerajaan dan kekuasaan yang begitu luar biasa tidak sedikit pun menggugat iman Daud a.s dan Sulaiman a.s.
Si hamba kemudiannya membaca Surah Faatir. Surah ini menggambarkan dengan indah bangunan alam maya ciptaan Tuhan. Diceritakan keharmonian perjalanan anggota-anggota alam. Manusia yang menggunakan akal fikiran akan dapat menghayati kerapian ciptaan Tuhan untuk mereka merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan. Surah Faatir menekankan bahawa segala-galanya berpusat kepada Kudrat dan Iradat Tuhan yang tidak terbatas. Semuanya diciptakan dan diaturkan oleh satu kuasa sahaja, iaitu Allah Yang Maha Esa. Manusia diciptakan dan dihantarkan ke bumi. Kemudian dikirimkan petunjuk supaya manusia dapat menjalankan urusan dan bertugas sebagai khalifah di bumi. Mereka diberi peringatan bahawa mereka akan berhadapan dengan gangguan-gangguan. Gangguan tersebut memperingatkan mereka kepada tujuan mereka dihantarkan ke bumi.
Setelah membaca Surah-surah al-Hadiid, as-Sajdah, Luqman, Yusuf, Saba’ dan Faatir, si hamba mendapat keinsafan yang mendalam. Dibacanya pula Surah at-Taubah sebagai pengakuan bahawa dia bertaubat daripada segala kesalahan dan kekeliruannya.
Si hamba menghayati tujuh buah Surah daripada al-Quran. Pembacaan al-Quran kali ini sangat menyentuh jiwanya. Hatinya berasa terang dan jelas memandang kepada jalan yang mahu ditujunya. Tujuan dan matlamatnya untuk menghampiri Tuhan semakin teguh. Sesungguhnya membaca al-Quran dalam suasana kehadiran Hakikat Ibrahimiyah memperkuatkan tapak kakinya untuk terus berjalan kepada Tuhan. Tidak ada apa lagi yang boleh mengalihkan pandangannya daripada matlamatnya.
Kemudian hatinya dibawa kepada suasana kehadiran Hakikat Musawiyah. Musa a.s adalah Kalim Allah, iaitu orang yang Allah s.w.t bercakap-cakap dengannya. Musa a.s mengerti tentang Kalam Allah s.w.t yang tidak bersuara dan berhuruf. Dalam suasana kehadiran Musawiyah itu si hamba memulakan pembacaan al-Quran dari permulaannya. Dimulakannya dengan membaca Surah al-Faatihah, Ibu Kitab, kunci pembuka keghaiban, cahaya yang terang benderang menerangi hati nurani. Hati yang diterangi oleh cahaya al-Faatihah merenung al-Quran, huruf demi huruf, ayat demi ayat. Al-Quran dibaca bukan sekadar mengeluarkan bunyi dan erti-makna malah lebih mendalam daripada itu al-Quran melahirkan daya rasa yang seni, yang melampaui apa yang mampu disampaikan oleh bunyi dan makna. “Jika ada satu Kitab yang mampu dijalankan gunung-gunung dengannya atau dibelah bumi dengannya atau dibuat bercakap orang yang telah mati dengannya, maka al-Quran adalah Kitab tersebut”. Apabila hati menghayati maksud ayat ini, maka al-Quran jualah yang membawa hati kepada jalan yang lurus, membelahnya untuk diisi dengan kebaikan dan menghidupkannya untuk memandang kepada Tuhan. Bacaan al-Quran bertindak seumpama air sejuk yang enak menyerap ke seluruh rongga dan ruang. Bacaannya memberi kesan kepada seluruh diri zahir dan Diri Batin, menyerap ke seluruh maujud, menjadi darah dan daging, menjadi cita-cita dan keinginan. nur al-Quran menghancurkan hijab yang didirikan oleh syaitan, dunia dan hawa nafsu. Tenaga nur al-Quran akan menghapuskan apa sahaja yang cuba menawan hati. nur al-Quran membebaskan hati daripada segala bentuk perhambaan kepada makhluk dan menetapkan satu perhambaan sahaja iaitu perhambaan kepada Allah s.w.t yang tidak bersekutu dengan-Nya sesuatu apa jua pun. Bila ruang hati sudah penuh dengan nur al-Quran baharulah manusia itu benar-benar menjadi hamba Allah yang sesuai dengan Kalam Allah s.w.t. Penghayatan bacaan al-Quran tanpa penyerapan nur al-Quran tidak memadai untuk membentuk insan al-Quran, seperti generasi Muslim yang diasuh secara langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Si hamba sampai kepada ayat 54, Surah al-Baqarah:

Dan (ingatlah) tatkala Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menzalimi diri-diri kamu dengan sebab kamu menyembah anak sapi. Oleh itu minta ampun kepada Tuhan dan bunuhlah diri-diri kamu. Yang demikian itu baik bagi kamu pada sisi Tuhan kamu. Lantas Dia ampunkan kamu kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun, Penyayang.” ( Ayat 54 : Surah al-Baqarah )
Hati si hamba disentuh oleh ayat di atas. Bukan kaum Nabi Musa a.s sahaja yang menzalimi diri mereka. Manusia lain juga tidak kurang menzalimi diri sendiri. Mereka juga ‘menyembah berbagai-bagai anak sapi’ yang dibentuk oleh hawa nafsu mereka. Musa a.s menyarankan agar bertaubat dan diri yang zalim itu dibunuh. Si hamba yang berada dalam suasana kehadiran Hakikat Musawiyah menyahut seruan ayat 54, Surah al-Baqarah itu. Si hamba berdiri menghadap kiblat sambil mengangkat tangannya. Dia melafazkan dengan penuh kekhusyukan:

Aku bertaubat daripada menzalimi diri sendiri. Si hamba mengerti bahawa kezaliman yang paling besar adalah meletakkan taraf ketuhanan Allah s.w.t tidak pada kedudukan yang adil dan meletakkan taraf makhluk melebihi apa yang sepatutnya. Dia benar-benar ikhlas ‘membunuh’ dirinya yang zalim agar diri yang adil sahaja tegak berdiri. Si hamba bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberinya taufik, hidayat dan kekuatan untuk melakukan taubat yang demikian. Peristiharan hamba yang ikhlas itu menjadi kenyataan kepada firman Tuhan:

Dan tidak! Aku bersumpah dengan jiwa yang selalu menegur dirinya (nafsu lawwamah). ( Ayat 2 : Surah al-Qiyamah )
Nafsu lawwamah adalah diri hamba yang menginsafi segala kesalahan yang telah dilakukannya dan benar-benar ingin memperbaiki diri sendiri.


STESEN KE DUA

Sambil membaca al-Quran si hamba memperbanyakkan zikir. Dipalukannya zikir itu kuat-kuat ke dalam lubuk hatinya, seumpama jentera yang memukul tiang konkrit ke dalam tanah hingga bergegar tanah di sekelilingnya. Ucapan zikir bergema di dalam diri. Gemanya menyelinap ke seluruh ruang diri.
Di dalam suasana kehadiran Hakikat Musawiyah hati si hamba diperkuatkan bagi melawan anasir syirik yang cuba menguasai jiwanya. Kemudian dia berpindah pula kepada suasana kehadiran Hakikat Isaiyah. Si hamba meneruskan pembacaan al-Quran dalam suasana yang baharu ini. Dalam suasana ini hati banyak memerhatikan urusan taubat. Hati mencari-cari cara taubat yang lebih baik. Dia mahu memutuskan dirinya daripada rantai-rantai yang mungkin boleh mengheretnya semula kepada kesalahan. Dia mahu menjadi orang yang benar dengan taubatnya.
Dia terus membaca al-Quran dari satu Surah ke Surah yang lain dalam suasana hati memohon keampunan kepada Allah s.w.t, mengharapkan taubatnya diterima oleh-Nya. Dalam suasana bertaubat memohon keampunan Allah s.w.t, dalam kehadiran Hakikat Isaiyah atau dalam sinaran cahaya kenabian Isa a.s, si hamba mendapat pengertian bahawa bertaubat bukan sekadar menyesal dan meninggalkan kesalahan. Lebih penting daripada itu adalah menyesuaikan baki hayat yang masih ada dengan al-Quran secara zahir dan batin. Taubat adalah pintu kepada al-Quran, bukan sekadar pintu meninggalkan kesalahan dan dosa. Taubat yang sebenarnya berlaku di dalam sinaran nur al-Quran, dalam suasana hati yang sama dengan hati orang yang sedang mengerjakan sembahyang dengan khusyuk. Setelah selesai membaca Surah Maryam sebelum memasuki daerah Surah Taha, si hamba ‘digerakkan’ supaya meletakkan tangannya ke atas dada al-Quran, pada muka pertama Surah Taha dan dia mengucapkan:

Aku bertaubat daripada perbuatan syirik dan munkar. Kemudian si hamba menadah tangannya ke langit dan bermunajat kepada Tuhan: “Wahai Tuhanku! Engkau Mengetahui kezaliman dan kejahatan diriku. Jika tidak kepada Engkau kepada siapa lagi hendakku pohonkan keampunan. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Mengampuni dan Maha Mengasihani. Ya Allah, ya Tuhanku! Ampuni segala dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu-bapaku ,dosa-dosa isteri dan anak-anakku, dosa-dosa saudara-saudaraku dan dosa-dosa sekalian kaum Muslimin dan Muslimat. Sesungguhnya Engkau jualah yang mengampunkan dosa-dosa hamba-Mu. Amin!” Si hamba menyapu mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya yang telah menyentuh al-Quran dan menadah ke langit itu. Dia merasakan aliran wap sejuk berjalan ke seluruh tubuhnya. Dia berada dalam keadaan demikian beberapa ketika.


STESEN KE TIGA

Si hamba meneruskan perjalanannya di dalam daerah-daerah Surah al-Quran. Hatinya memasuki suasana kehadiran kenabian Daud a.s. Nabi Daud a.s telah menerima tanah kepunyaan Nasuha untuk didirikan masjid. Nasuha yang pada mulanya enggan menyerahkan tanah tersebut tetapi kemudian mendapat taufik dan hidayat daripada Tuhan, lalu dia bertaubat. Taubat itu dinamakan taubat nasuha, iaitu taubat orang yang meyakini akan berjumpa dengan Tuhan dan kembali kepada-Nya. Setelah menerima tanah Nasuha, bekerjalah Nabi Daud a.s membina rumah Allah. Si hamba yang telah benar dengan taubatnya bekerja membina hatinya untuk menjadi rumah Allah.
Setelah melepasi daerah Surah Muhammad, si hamba masuk ke dalam daerah Surah al-Fat-h, sampai kepada ayat ke 29.

Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan) berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil, sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan (kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah janjikan mereka yang beriman dan beramal salih dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )
Si hamba membaca ayat di atas dengan khusyuk. Diulanginya beberapa kali. Kemudian dia digerakkan supaya menghadap kiblat dan mengangkat tangannya. Dia mengadakan baiah (janji setia) dengan sepenuh jiwa raganya:


Daku mengadakan baiah dengan Rasulullah s.a.w Tangan kanan yang menyaksikan baiah di atas diletakkannya ke dada sebelah kiri, berbetulan dengan kedudukan hati. Sebaik sahaja tapak tangannya yang menyaksikan baiah itu menyentuh dadanya dirasakannya seolah-olah “Muhammad ur-Rasulullah ” menjadi pedang yang tajam memancung tangkal hatinya. Pancungan tersebut seumpama petir memanah ke hatinya. Terlalu kuat pancungan dan panahan tersebut hinggakan dia terbaring. Dia merasakan tusukan bisa di dalam hatinya. Dia bermohon kepada Allah s.w.t agar diberikan kepadanya kekuatan untuk menahan bisa yang sedang merobekkan hatinya itu. Pada saat itu Kaabatullah muncul dalam pandangan mata hatinya. Dalam penyaksian tersebut hatinya ‘mengucup’ Hajaral Aswad dengan penuh rasa tawadhuk kepada Allah s.w.t. Baharulah berkurangan kepedihan yang menikan hatinya.
Pengalaman yang singkat itu membuat si hamba mengerti kebesaran ucapan kalimah “Muhammad-ur-Rasulullah.” Ia adalah pedang kebenaran yang memancung apa sahaja yang selain Allah s.w.t yang berada di dalam hati. Ia merobekkan istana iblis yang telah sekian lama terbina di sana. Ia meruntuhkan dinding dan tembok yang didirikan oleh syaitan, hawa nafsu dan dunia. Pedang kebenaran menghalau segala yang keji. Bila segala yang keji sudah menyingkir terbinalah sebuah istana yang indah di dalam hati.

Kalbu (hati) orang mukmin adalah istana Allah.


STESEN KE EMPAT

Hati si hamba masuk pula kepada suasana kehadiran Cahaya Kenabian Sulaiman a.s. Sulaiman a.s menyudahkan pembinaan masjid yang pembinaannya dimulakan oleh ayahandannya, Daud a.s. Mereka membina masjid di atas tanah Nasuha yang bertaubat.
Daud a.s dan Sulaiman a.s merupakan dua orang hamba Allah yang diberikan kerajaan dan kekuasaan yang tidak diberikan kepada manusia lain. Kurniaan Allah s.w.t yang begitu besar menambahkan kesyukuran mereka. Si hamba yang telah memasuki pintu taubat menemui pula pintu kesyukuran.
Si hamba yang hatinya dikuasai oleh rasa bersyukur kepada Allah s.w.t meneruskan pembacaan al-Quran. Alunan kesyukuran pada jiwa ketika membaca al-Quran berbeza daripada alunan taubat. Kedua-duanya tidak mampu dihuraikan. Hati yang telah merasainya akan mengerti. Di dalam alunan kesyukuran itu si hamba sampai kepada daerah Surah ar-Rahman. Dia sampai kepada ayat ke 13:

Dan kurniaan Tuhan kamu yang mana lagi hendak kamu dustakan? ( yat 13 : Surah ar-Rahman )
Si hamba terpegun sejenak. Bacaannya terhenti. Dicubanya membaca sekali lagi ayat tersebut tetapi lidahnya kelu. Dia merasakan kekerdilan diri yang amat sangat. Apabila dia mencuba lagi untuk meneruskan bacaannya dirasakannya sebuah gunung yang besar terhempap ke atas kepalanya. Tiba-tiba mata hatinya menyaksikan keagungan ar-Rahman. Keagungan ar-Rahman menguasai hatinya. Dia merasakan seolah-olah nafasnya dan perjalanan darahnya terhenti. Ingatan kepada ar-Rahman itu menggoncangkan sekalian maujudnya. Apabila dia berhadapan dengan ar-Rahman dirasakannya dirinya umpama lilin yang cair dimakan api, umpama tepung yang diterbangkan angin kencang. Tidak ada daya dan upayanya untuk menghampiri daerah ar-Rahman. Dia sujud ke Hadrat Tuhan ar-Rahman dan bermunajat: “Wahai ar-Rahman! Engkau perlihatkan Keagungan-Mu kepada hamba-Mu yang kerdil dan daif ini. Dalam serba kelemahan dan kekurangan ini hamba-Mu memohonkan keampunan dan kemaafan-Mu. Maafkan daku wahai Yang Maha Agung! Tidak terdaya hamba-Mu ini melalui Surah ar-Rahman Yang Agung ini. Izinkan daku meneruskan perjalananku kepada Surah-surah yang lain dengan meninggalkan apa yang tidak terdaya daku melaluinya”.
Pengalaman berhadapan dengan Surah ar-Rahman membuatkan si hamba mengerti bagaimana Gunung Thursina hancur lebur bila dihadapkan kepada tajalli Tuhan. Berhadapan dengan Surah ar-Rahmaan sudah menghancur-leburkan kewujudan insan, Apa lagi jika benar-benar berhadapan dengan keagungan-Nya. Kesucian dan kemuliaan malaikat Jabrail a.s masih tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan keagungan Allah ar-Rahman!
Si hamba sampai kepada daerah Surah al-Ikhlas. Diulangi bacaannya beberapa kali. Kemudian diletakkan tangannya di atas dada Surah al-Ikhlas dan diucapkannya dengan penuh kekhusyukan.:

Diucapkannya kalimah di atas beberapa kali dengan sepenuh jiwa raganya. Dia merasakan sesuatu keanehan. Dirasakannya kalimah suci itu menyelinap ke seluruh tubuhnya dan ke seluruh jiwa raganya. Tiada ruang lagi pada dirinya yang tidak diresapi oleh kalimah suci itu. Sekalian maujudnya menyaksikan:

Tapak tangan kanannya yang menyentuh dada al-Quran semasa dia mengucapkan Kalimah Syahadah tadi diletakkannya di dadanya, berbetulan dengan hati. Seluruh maujudnya, zahir dan batin, dikuasai oleh kalimah La ilaha illa Llah. Ia menjalar ke dalam darah, daging, urat saraf, tulang belulang dan seluruh tubuhnya dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sekaliannya menyaksikan dengan penuh tawadhuk kepada Tuhan bahawa La ilaha illa Llah. Apa yang dirasainya daripada ucapan Kalimah Tauhid kali ini sangat berbeza daripada yang sudah-sudah. Tidak pernah dia merasakannya begini, walaupun dia selalu mengucapkan kalimah tersebut. Pengalaman La ilaha illa Llah yang diperolehinya kali ini tidak akan ditukarkan dengan sesuatu, walaupun dengan sebuah gunung emas. Dunia dan isinya bukanlah harga untuk ditukar dengan kalimah suci ini. Si hamba bermunajat kepada Tuhan dengan segala kerendahan hatinya: “Ya Allah! Ya Ahad! Bawalah daku kepada-Mu. Jangan Engkau tinggalkan daku walau satu detik pun. Jangan Engkau biarkan yang selain-Mu mengurus daku walau satu saat pun. Janganlah Engkau kembalikan daku kepada pekerjaan zalim, munkar dan melampaui batas. Daku berlindung kepada-Mu pada setiap waktu. Engkau jualah sebaik-baik Pelindung!”
Kemudian si hamba mengucapkan:

“Aku reda Allah s.w.t jualah Tuhan, Islam jualah agama, Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah imam (ikutan), Kaabah adalah Kiblat dan Mukminin serta Mukminat adalah saudara!”
Kemudian si hamba menghabiskan bacaan al-Quran hingga ke Surah yang terakhir. Dia telah diberi kesempatan mengalami sesuatu yang unik semasa melalui daerah-daerah Surah al-Quran. Pengalaman hati sukar dijelaskan. Hati yang merasai suka, duka, senang dan susah. Hati mengalami suasana yang dipanggil sabar, reda, tawakal dan syukur. Hati juga merasai suasana kehadiran cahaya kenabian, sebagaimana hati mengalami kehadiran (Hadrat) Ilahi. Merasai kehadiran cahaya kenabian bukan berhadapan secara nyata, bertutur-kata dengan mereka. Rasa kehadiran berlaku di dalam hati. Tutur-katanya bukanlah percakapan tetapi pengertian yang tiba-tiba tertanam pada lubuk hati.


STESEN KE LIMA
Setelah selesai membaca al-Quran si hamba meneruskan perjalanannya dengan memperbanyakkan zikir dan bersembahyang sunnat, sesuai dengan firman Tuhan:

Sesungguhnya aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku. Sebab itu abdikan dirimu kepada-Ku dan dirikanlah sembahyang buat mengingati Aku. ( Ayat 14 : Surah Taha )
Pengembaraan di dalam sembahyang membentuk hati yang kuat berserah diri kepada Allah s.w.t. Keinginan untuk bertemu dengan-Nya semakin kuat. Si hamba yakin bahawa hanya dengan menyerahkan segala urusan kepada-Nya sahaja boleh membawa seseorang hamba hampir kepada-Nya. Dalam keadaan demikian pergantungan si hamba itu kepada Allah s.w.t semakin teguh. Pengharapannya kepada makhluk tinggal hanya sedikit sahaja lagi. Ingatannya kepada Allah s.w.t sangat kuat dan ingatannya kepada makhluk sangat berkurangan. Lama kelamaan kuatlah penghayatan dalam hatinya suasana: “Maksud dan tujuan hanyalah Allah s.w.t. Keredaan-Nya yang dicari”.
Dalam keasyikan mengerjakan berbagai-bagai sembahyang sunnat itu hati si hamba disentuh oleh sepotong ayat yang sering dibaca dalam sembahyang. Si hamba dengan ikhlas membuat penyaksian:

Dengan Nama Allah, Pemurah, Penyayang.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.
Si hamba memperakui bahawa tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t. Oleh kerana segala daya dan upaya adalah hak Allah s.w.t, maka segala sembahyang, ibadat-ibadat, seluruh penghidupan dan juga kematian adalah diperuntukkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada yang lain. Tidak ada motif keduniaan dan keakhiratan.


STESEN KE ENAM

Si hamba tenggelam dalam penghayatan bahawa tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t. Bertambah kuat dia melakukan sembahyang dan zikir sebagai menyatakan bahawa segala daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya digunakannya untuk mencari keredaan Allah s.w.t jua. Hatinya menyaksikan bahawa segala perkara, semua kejadian, apa sahaja yang bergerak dan yang diam, semuanya terjadi kerana daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Pergantian malam dengan siang, pasang dan surut air laut, senang dan susah, sihat dan sakit dan semuanya adalah kenyataan kepada daya dan upaya yang dari Allah s.w.t jua. Daya dan upaya yang dari Allah s.w.t itu muncul dalam berbagai-bagai keadaan, rupa bentuk, sifat, ruang dan waktu. Si hamba melihat perbuatan dan kelakuan muncul daripada dirinya sebenarnya adalah daya dan upaya yang datang dari Allah s.w.t.


STESEN KE TUJUH

Dalam suasana yang dipenuhi dengan sembahyang dan zikir si hamba digerakkan untuk bertafakur. Dia gemar merenung segala perkara dan menghubungkannya dengan Tuhan. Sesuatu perkara yang pada mulanya kelihatan sulit, setelah direnungnya dengan mendalam dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Melalui proses tafakur itulah dia banyak mendapat kefahaman tentang berbagai-bagai perkara yang pernah dimusykilkannya dahulu. Dahulu akalnya tidak mampu mencari jawapan. Kini dia mendapat jawapan dengan mudah. Sedikit demi sedikit, melalui penemuan secara bertafakur, hatinya merasakan bahawa jawapan yang datang kepadanya bukan terjadi dengan tiba-tiba, tetapi ia berlaku secara terancang dan diuruskan dengan bijaksana. Hatinya merasakan bahawa dirinya diberi pengajaran dengan cara yang sangat misteri. Dari situ dia menyedari bahawa ada Pembimbing Rohani yang bertindak memberinya petunjuk, panduan dan nasihat dengan cara yang sangat sukar untuk difahami. Dia tidak mengetahui hakikat pembimbing tersebut tetapi dia merasakan kehampiran dengannya. Rasa kehadiran pembimbing tersebut membuatnya lebih berani bertafakur mengenai perkara-perkara ketuhanan yang pada zahirnya sukar dimengerti. Apa juga perkara yang mencetus minatnya untuk bertafakur, didapatinya jawapan yang memuaskan hatinya. Melalui proses tersebut dia mula mengenal Tuhan melalui pandangan yang berbeza daripada pengenalannya yang lalu.
Kehadiran Pembimbing Rohani menjadikan si hamba bersikap pasif, jiwanya tenang dan yakin, membiarkan Petunjuk Ghaib ‘membawanya’ ke mana sahaja. Pada peringkat ini si hamba seolah-olah memiliki dua jenis diri. Diri pertama adalah diri yang memiliki sifat kemanusiaan biasa. Diri kedua adalah diri yang bergerak di bawah kekuasaan Petunjuk Ghaib atau Pembimbing Rohani. Bila dikuasai oleh Petunjuk Ghaib akan lahirlah perbuatan yang ganjil, tidak logik yang kadang-kadang menyalahi adab sopan dan nilai kemanusiaan biasa. Walaupun lahir perbuatan yang kelihatan bodoh dan remeh temeh tetapi baginya perbuatan yang dicetuskan oleh Petunjuk Ghaib itu mengandungi pengajaran yang halus tentang Tuhan. Oleh itu si hamba berasa tenang dan tenteram walaupun keganjilan yang muncul pada dirinya telah membuat orang-orang yang hampir dengannya menjadi gelisah.

Si hamba bukan sekadar melihat Haula dan Kuwwata sebagai bakat dan tenaga yang menggerakkan makhluk, malah dilihatnya Haula dan Kuwwata adalah jambatan yang menghubungkan hamba dengan Tuhan. Tanpa Haula dan Kuwwata tidak mungkin hamba boleh menghadap kepada-Nya dan menghampiri-Nya. Haula dan Kuwwata adalah urusan-Nya yang pada satu aspek memungkinkan makhluk bergerak dan melahirkan kesan, sementara pada aspek yang lain pula merupakan ‘Rahsia’ yang memungkinkan hamba berhubung dengan Tuhan.


STESEN KE LAPAN

Si hamba masih lagi di dalam suasana bersembahyang, berzikir dan bertafakur. Rasa kehambaannya semakin mendalam. Dia hanya mementingkan soal hubungannya dengan Tuhan. Soal-soal kehidupan harian tidak mendapat perhatiannya. Dia tidak mengambil berat tentang soal-soal zahiriah seperti makan, minum, pakaian dan lain-lain. Kelakuannya sudah agak berlainan dengan kelakuan orang biasa. Cara dia makan kadang-kadang menimbulkan fitnah kepada orang yang memandangnya. Dia dapat melihat keganjilan yang berlaku kepada dirinya tetapi dia tidak berdaya menghalangnya dan juga dia tidak keberatan hal yang demikian terjadi kepada dirinya. Dia merasakan dirinya benar-benar tidak berdaya dan upaya. Dia merasakan dirinya digerakkan untuk melakukan sesuatu tanpa dia boleh membantah atau mengubahnya. Dia melihat anggotanya sebagai alat yang digunakan oleh kuasa dalaman yang menguasainya. Dia lebih banyak berada dalam keadaan dia tidak tahu mengapa dia berbuat sesuatu yang ganjil. Perbuatan yang tidak dapat dikawalnya itu disandarkannya kepada Pembimbingnya. Dia yakin bahawa dengan mematuhi Petunjuk Ghaib itu dia akan sampai kepada Tuhan.
Dia benar-benar mahu mengabdikan diri kepada Tuhan. Bukankah dia telah menyaksikan bahawa:

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.
Tiap kali dia membaca ayat tersebut di dalam sembahyang jiwanya menggeletar, darah daging dan urat sarafnya ikut menggeletar.
Tiba-tiba muncul dalam lubuk hatinya firman Tuhan:

Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata: “Kami telah beriman”, padahal mereka tidak diuji? ( Ayat 2 : Surah al-’Ankabut )
Dia mendengar dari dalam lubuk hatinya ‘Juru-bicara’ mengatakan: “Apakah kamu menyangka akan dibiarkan berkata, ‘Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya kerana Allah’, padahal engkau tidak diuji?” Ucapan Juru-bicara tersebut sangat menyentuh jiwanya. Adakah dia benar dengan apa yang selalu dibacakannya di dalam sembahyang itu?
Allah s.w.t adalah Maharaja yang sangat cemburu. Dia tidak mengizinkan hamba-Nya mempersekutukan kasih sayang dan taat setia kepada-Nya. Dia tidak mahu ada yang selain-Nya lebih dicintai dan ditaati daripada kecintaan dan ketaatan kepada-Nya. Tanda Dia cemburu adalah Dia mengharamkan sesiapa sahaja menyamakan Diri-Nya dengan sesuatu. Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Si hamba itu telah mengatakan bahawa dia mencintai Allah s.w.t lebih daripada segala yang lain. Pengakuan itu adalah bohong belaka kerana dia melebihkan kasihnya kepada dirinya daripada kasihnya kepada Tuhannya. Dia tidak mahu dirinya mengalami kesusahan dan penderitaan dalam membuktikan kecintaan-Nya kepada Allah s.w.t. Jika seseorang hamba itu benar-benar mencintai Tuhannya dia akan sanggup menyerahkan dirinya kepada Tuhannya.
Juru-bicara dari dalam hatinya membacakan firman Tuhan:

Katakanlah: “Kami datang dari Allah dan kepada-Nya kami kembali”. ( Ayat 156 : Surah al-Baqarah )
Si hamba terpegun sejenak. Dia merasakan ayat tersebut ditujukan khusus untuknya. “Kembalikan sembahyang kamu kepada Allah! Kembalikan ibadat kamu kepada Allah! Kembalikan hidup kamu kepada Allah! Kembalikan mati kamu kepada Allah!” Itulah gema yang memenuhi ruang hatinya. Sujudlah si hamba itu kepada Tuhannya dengan penuh tawadhuk dan bermunajatlah dia kepada Tuhannya: “Ya Allah! Engkaulah Tuhan, tiada Tuhan kecuali Engkau. Aku hanyalah hamba-Mu. Tidak ada satu hak pun pada diriku. Semuanya adalah hak Engkau. Nyawaku juga adalah hak Engkau. Engkau berhak mengambil apa yang menjadi hak Engkau. Aku tidak akan membantah atau mengeluh menerima ketentuan-Mu. Terimalah daku sebagai hamba yang berserah diri kepada-Mu. Izinkan daku mengerjakan sembahyang buat kali penghabisan sebelum Engkau mengambil nyawaku”.
Si hamba berdiri untuk mengerjakan sembahyang. Baginya itulah sembahyangnya yang penghabisan dalam hidupnya. Dia berdiri, rukuk dan sujud dengan penuh penyerahan. Tidak ada keresahan atau terkilan. Tidak ada takut atau berdukacita. Tidak ada kegembiraan atau keghairahan. Hatinya menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t, tanpa sebarang perasaan, harapan dan cita-cita. “Ya Allah! Inilah hamba-Mu yang berdiri dengan penuh penyerahan kepada-Mu. Ya Allah! Inilah hamba-Mu yang rukuk dengan penuh penyerahan kepada-Mu. Ya Allah! Inilah hamba-Mu yang sujud dengan penuh penyerahan kepada-Mu. Lakukanlah apa yang Engkau kehendaki”. Begitulah lebih kurang suasana hati si hamba ketika melakukan sembahyang yang penghabisan. Selepas mengucapkan salam si hamba sujud dengan penuh akur kepada ketentuan Tuhannya. Dia sujud lama sekali tanpa menyedari apa yang berlaku kepada dirinya dan di mana dia sedang berada. Kemudian hatinya mendengar ucapan Juru-bicara dari dalam dirinya: “Bangkitlah dari sujudmu sebagai insan baharu yang mati makhluk dari hatinya sehingga tidak melihat lagi ada makhluk yang berkuasa mendatangkan manfaat dan mudarat, yang tidak berkehendak lagi kepada dunia dan akhirat dan yang hidup dengan lakuan Allah s.w.t semata-mata”.
Si hamba bangkit dari sujudnya dan mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t.


STESEN KE SEMBILAN

Rasa kekerdilan diri semakin kuat menguasai hati si hamba. Bila diri berasa kerdil dapatlah hati merasakan kebesaran, ketinggian dan keagungan Allah s.w.t. Apa sahaja yang berkait dengan Allah s.w.t akan menggetarkan hati nurani. Nama-nama Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya dan ayat-ayat-Nya memberi kesan yang kuat kepada hati. Setiap disebut atau didengarnya nama dan ayat-ayat Allah s.w.t hatinya merasakan seperti ditikam dengan lembing tajam. Setiap patah suara azan yang berkemundang di udara ‘menerpa’ ke dadanya seumpama anak panah yang bisa. Dalam keadaan yang demikian si hamba sujud mengakui kebesaran, ketinggian dan keagungan Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Pengalaman yang demikian membuatnya mengerti maksud mukmin yang diceritakan oleh al-Quran.

Orang-orang mukmin apabila diperingatkan dengan Allah nescaya gementarlan hati mereka. (Ayat 2 : Surah al-Anfaal )
Si hamba bersyukur kepada Allah s.w.t kerana mengajarkan maksud ayat al-Quran melalui pengalaman yang membuatnya lebih mengerti dengan apa yang al-Quran katakan. Dia telah dikurniakan nikmat yang besar kerana diberi kesempatan untuk memahami maksud ayat al-Quran melalui pengalaman rasa. Bertambahlah kesyukurannya dan rasa kekerdilan diri di hadapan keagungan Allah s.w.t.
Di dalam suasana kekerdilan diri berhadapan dengan keagungan Allah s.w.t itu Juru-bicara dari dalam dirinya membacakan ayat:

Masuklah engkau ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah engkau ke dalam syurga-Ku. ( Ayat 30 : Surah al-Fajr )
Si hamba tersentak mendengar ‘ucapan’ tersebut. Dia tergamam seketika. Sebelum sesuatu berputik di dalam hatinya dia ‘mendengar’ peringatan daripada Petunjuk Ghaib: “Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Jangan kamu berhenti dan terpesona dengan keindahan syurga”. Si hamba dengan merendahkan diri bermunajat kepada Tuhannya: “Wahai Tuhanku! Tutupkanlah pandanganku daripada melihat syurga-Mu agar keindahannya tidak memukau daku, yang nanti menyebabkan langkahku menuju-Mu terhenti. Wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani. Janganlah Engkau jadikan syurga sebagai penghalang di antara Engkau dengan aku. Ambillah kembali syurga-Mu dan serahkannya kepada sesiapa sahaja yang ada tuntutan terhadap diriku agar aku bebas daripada mereka dan hanya menjadi hamba-Mu sahaja. Janganlah Engkau adakan selain-Mu sebagai hijab di antara Engkau dengan aku. Inilah hamba-Mu yang tidak ada maksud dan tujuan selain Engkau, wahai Tuhanku!”


STESEN KE SEPULUH

Si hamba membebaskan dirinya daripada sebarang pergantungan kepada daya usaha dan ikhtiar memilih, kosong daripada kehendak dan tujuan yang bersangkutan dengan dunia dan juga akhirat. Hatinya menjadi kosong daripada hawa nafsu, keinginan, harapan, cita-cita dan angan-angan. Jadilah hatinya benar-benar kosong. Dia adalah umpama mayat di tangan pemandi mayat.
Si hamba telah membuktikan kehambaan dan pengabdiannya kepada Tuhan dengan rela menyerahkan apa sahaja kepada-Nya dan bersedia menjalankan perintah-Nya seperti malaikat yang bersifat teguh. Apakah itu sudah memadai bagi menghilangkan kecemburuan Tuhan Yang Maha Cemburu? Pengorbanan yang demikian boleh dilakukan oleh seorang manusia untuk kekasihnya yang juga seorang manusia. Bukan sedikit manusia yang sanggup membunuh diri demi kekasihnya. Bukan sedikit manusia yang sanggup membinasakan orang lain demi kekasihnya. Pengorbanan untuk Allah s.w.t mestilah lebih agung daripada segala bentuk pengorbanan yang boleh dilakukan oleh manusia untuk sesama manusia. Pengorbanan yang paling tinggi boleh dilakukan oleh seorang hamba untuk Tuhannya adalah menetapkan keesaan-Nya, tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu, baik daripada anasir bumi atau langit, anasir nyata atau ghaib atau apa sahaja termasuklah dirinya sendiri. Allah Maha Esa, bagaimana yang lain boleh berhadapan dengan-Nya? Selagi ada istilah hamba selagi itu ada hamba yang berhadapan dengan-Nya. Selagi ada kesanggupan melakukan sesuatu selagi itu ada diri yang berkesanggupan berhadapan dengan-Nya. Selagi mengharapkan pangkat kewalian selagi itulah ada diri yang berharap menjadi wali berhadapan dengan-Nya. Selagi bercita-cita untuk dunia dan akhirat selagi itulah ada diri yang bercita-cita berhadapan dengan-Nya. Selagi ada itu dan ini selagi itulah ada diri yang itu dan ini berhadapan dengan-Nya. Tidak ada yang layak berhadapan dengan-Nya kerana Dia Maha Esa. Siapakah yang boleh duduk dalam majlis keesaan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri?
Apa juga yang tersisa pada si hamba dilenyapkan. Jadilah si hamba itu seumpama tong kosong yang berlubang. Setiap kali hujan turun ia menyucikan sisa-sisa kekotoran yang melekat pada dindingnya. Apabila dinding itu sudah tidak ada sebarang kekotoran, maka air yang bersih dan jernih keluar daripadanya tanpa sedikit pun berubah rupa dan warnanya sebagaimana air yang masuk ke dalamnya. Apa yang turun dari langit itulah juga keluar daripada tong kosong yang berlubang dan suci bersih. Tidak ada pertukaran dan perubahan.


STESEN KE SEBELAS

Si hamba telah menyerahkan apa sahaja yang bernama hak kepada Yang Empunya hak. Hati si hamba kosong daripada segala-galanya. Perhatian terhadap dirinya sendiri sudah tidak ada lagi, begitu juga dengan perhatiannya kepada segala sesuatu di sekelilingnya. Bila hati si hamba benar-benar kosong, maka Allah s.w.t penuhkannya dengan Kehendak dan Tujuan-Nya semata-mata. Allah s.w.t yang nengurus kehidupan si hamba yang telah terpisah daripada segala hak itu. Allah s.w.t yang menguasai Loh Kun. Si hamba menjadi alat yang melaluinya Urusan Allah s.w.t menjadi nyata. Bila Allah s.w.t katakan: “Jadi!” maka jadilah ia. Bila Allah s.w.t katakan: “Bergerak!” maka bergeraklah ia. Bila Allah s.w.t katakan: “Diam!” maka diamlah ia. Bila Allah s.w.t katakan:

Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Sembahlah Aku!Si hamba pun mengatakan:

Aku adalah Yang Haq !Si hamba pun mengatakan:

Aku adalah Yang Haq !


STESEN KE DUA BELAS


Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku. ( Ayat 14 : Surah Taha )
Allah s.w.t memerintahkan supaya mendirikan sembahyang. Si hamba berdiri mengerjakan sembahyang. Dalam suasana tong kosong yang berlubang, apa juga suasana sembahyang yang Tuhan kurniakan itulah yang zahir padanya. Bagaimana kedudukan sembahyang pada sisi Tuhan begitulah yang nyata pada si hamba. Allah s.w.t mengatakan sembahyang itu adalah ingatan kepada-Nya, maka yang ada dalam sembahyang itu adalah ingatan kepada-Nya. Bila kesedaran terhadap diri sendiri sudah tidak ada, si hamba hanya menjadi ‘yang menyaksikan’. Si hamba sudah ‘tidak ada’ untuk ingat kepada Allah s.w.t. Oleh itu ‘yang ada’ adalah Allah s.w.t yang ingat kepada Diri-Nya sendiri. Si hamba sudah ‘tidak ada’ untuk mengerjakan sembahyang, ‘yang ada’ adalah Allah s.w.t dan sembahyang itu adalah “Puji-pujian Allah s.w.t kepada Diri-Nya.” Pada ketika si hamba berada dalam suasana ‘dirinya tidak ada’. Dia mengalami suasana “Keesaan Allah s.w.t.” Dalam majlis keesaan tidak ada dua. Tidak ada yang ada dalam majlis keesaan-Nya melainkan Dia. Dia yang memuji Diri-Nya. Pujian Allah s.w.t kepada Diri-Nya adalah kelazatan yang paling lazat dan kebahagiaan yang paling bahagia, melebihi apa yang ada di bumi, di langit dan di syurga. Buat seketika hati si hamba diizinkan menikmati kelazatan dan kebahagiaan yang maha agung itu dalam suasana dirinya ‘tidak ada’, yang ada hanyalah Yang Maha Esa. Siapakah yang layak mendampingi-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Siapakah yang layak berhadapan dengan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Siapakah yang layak berkata-kata dengan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Siapakah yang layak mendengar ucapan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Dalam Majlis Keesaan yang ada hanyalah Yang Maha Esa. Allah s.w.t mengizinkan sebahagian daripada hamba-hamba-Nya mendapat pengertian tentang “Allah Maha Esa” melalui pengalaman kerohanian ketika hamba-hamba tersebut hilang perhatian dan kesedaran kepada sesuatu kecuali Allah s.w.t Yang Maha Esa. Apa yang berlaku kepada si hamba pada ketika itu seolah-olah Tuhan berkata: “Aku cabutkan dirimu buat seketika untuk Aku masukkan suasana keesaan-Ku agar engkau mengenali keesaan-Ku.”


STESEN KE TIGA BELAS

Yang nyata sudah ghaib. Yang ghaib sudah hilang. Tiada lagi kenyataan dan yang menyatakan. Tiada lagi ilmu untuk membahaskan. Tiada lagi penyaksian untuk menyaksikan. Tiada lagi cahaya untuk menerangkan. Tiada lagi kewujudan untuk membuktikan. Alam perasaan dan rujukan sudah tiada. Tiada atas tiada bawah. Tiada hadapan tiada belakang. Tiada kanan tiada kiri. Tiada ruang tiada zaman. Tiada siang tiada malam. Tiada panjang tiada pendek. Tiada jauh tiada dekat. Tiada perpisahan tiada penyatuan. Tiada persamaan tiada perbezaan. Tiada perkaitan dengan wujud tiada perkaitan dengan tidak wujud.
Tahu berkamil dengan tidak tahu. Kenal berkamil dengan tidak kenal. Itulah Allah, Rabbil ‘Izzati! Benteng keteguhan-Nya tidak mungkin diruntuhkan!
“Sesungguhnya Engkau adalah Allah yang aku saksikan dengan mata keyakinan, bukan dengan mata zahir, bukan dengan mata ilmu dan bukan juga dengan mata makrifat; tiada huruf, tiada suara, tiada rupa, tiada warna, tiada cahaya kerana sesungguhnya Engkau adalah:

Tiada sesuatu serupa dengan-Nya

35. Perbendaharaan Yang Tersembunyi

Juru-bicara dalam diri si hamba menyampaikan: “ Allah s.w.t bertitah, Jangan sesiapa mengganggu Keesaan-Ku. Tidak ada sesiapa dapat merobohkan Keperkasaan-Ku. Sesiapa yang mencerobohi Benteng Keperkasaan-Ku akan Aku bakar dengan api Keagungan-Ku dan dia akan binasa! Selamatkanlah diri kamu. Pergilah kamu dan masuklah kamu ke dalam Perbendaharaan-Ku Yang Tersembunyi untuk mengenal Daku sekadar Daku izinkan engkau mengenali Daku’”.
Perbendaharaan Yang Tersembunyi itu bernama:

Pintu gerbangnya bernama:

Kuncinya bernama:

Cahaya yang menerangi di dalamnya bernama:

Kenderaan di dalamnya bernama:

Dengan izin Allah s.w.t si hamba masuk ke dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi.

HAKIKAT ASMA’ (NAMA-NAMA ALLAH S.W.T)


Ke mana sahaja kamu hadapkan muka kamu di situ Wajah Allah. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )
Di dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi, ke mana sahaja di halakan pandangan hanya Wajah-Nya yang kelihatan. Wajah-Nya disaksikan sebagai:
Wajah-Nya menyata melalui sifat-sifat dan nama-nama-Nya. Wajah-Nya disaksikan melalui Jamal-Nya dan Jalal-Nya. Wajah Jamal-Nya menyata melalui nama-nama: ar-Rauf, al-Wadud, al-Halim, al-Karim, al’Afuwwu, al-Ghaffar, al-Mannan, al-Hannan, as-Sobbur, asy-Syakur dan ar-Razak. Wajah Jalal-Nya menyata melalui Nama-nama: al-Jabbar, al-Muntaqim, al-‘Aziz, al-Muta’al, al-Mutakabbir, al-Muhaimin, al-Jalil, al-‘Adzim, al-Kabir, al-Mu’iz, al-Qabidh dan al-Khafidh. Nama-nama Tuhan ada yang menunjukkan kepada sifat dan ada yang menunjukkan kepada Zat. Aspek Zat yang boleh disifatkan dipanggil tasybih dan yang tidak boleh disifatkan dipanggil tanzih. Kesempurnaan jiwa hamba adalah berada di antara kedua-dua aspek tersebut:

Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya dan Dia Mendengar dan Melihat (Ayat 11 : Surah asy-Syura )
Walaupun Dia tidak serupa dengan sesuatu tetapi Dia adalah Mendengar dan Melihat. Allah s.w.t menyatukan kedua-dua aspek tersebut pada satu ayat. Bila kedua-dua aspek tersebut menyatu pada jiwa si hamba dia akan merasakan ketenteraman dan kedamaian.
Ada nama-nama-Nya yang kelihatan sebagai berlawanan di antara satu dengan yang lain. Al-Hayyun menghidupkan dan al-Mumit mematikan. Al-Hadi memberi petunjuk dan al-Muzil menyesatkan. Kelihatan seolah-olah ada perlumbaan di antara nama-nama yang berlawanan sifat. Muncullah as-Salam yang mensejahterakan sehingga tidak berlaku perlumbaan atau perlawanan. Sekaliannya berada dalam kesejahteraan, mengambil bidang masing-masing tanpa mengganggu bidang yang lain. Percantuman dua perkara yang berbeza melahirkan pengenalan yang sebenarnya.

Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir, Dia Yang Zahir dan Dia juga Yang Batin. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid )
As-Salam yang mensejahterakan membawa setiap nama kepada ketetapan bidang tugas masing-masing. Bila sekaliannya berada dalam ketetapan as-Samad melengkungi sekaliannya. As-Samad menjadi sempadan bagi satu nama dan juga sempadan bagi sekalian nama-nama. Kesemua nama-nama dikemudikan oleh al-Wahid, memperkenalkan Wahdaniatik, keesaan Tuhan. Al-Wahid memimpin sekalian nama-nama bagi memperkenalkan al-Ahad. Penyaksian terhadap Wahdaniatik Tuhan membawa pengakuan terhadap kedudukan-Nya sebagai al-Malik, Raja yang memerintah dan juga al-Malik-ul-Mulk, Raja kepada segala kerajaan, dan juga Rabbul Arbab, Tuhan yang menguasai sekalian bakat-bakat ketuhanan. Kesemuanya menceritakan yang satu iaitu ALLAH! ALLAH adalah nama yang paling agung yang mengandungi dan menyimpulkan sekalian nama-nama yang lain. ALLAHmenunjukkan terkumpulnya sekalian nama-nama dan ALLAH adalah juga nama bagi Zat.

Sesungguhnya ALLAH menguasai segala sesuatu ( Ayat 20 : Surah al-Baqarah )ALLAH yang memegang semua kekuasaan menetapkan:

Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia yang menguasai ubun-ubunnya. Dan Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )
Allah s.w.t menetapkan nama-nama-Nya menjadi hakikat-hakikat yang menguasai sekalian kejadian-Nya. Setiap yang maujud ubun-ubunnya dipegang oleh nama Tuhan dan nama Tuhan yang menjadi hakikat itu mengheret makhluk yang di bawah bidang kekuasaan-Nya pada jalan yang Allah s.w.t telah tentukan. Tidak ada satu makhluk pun boleh bebas daripada nama Tuhan yang menjadi hakikat yang menguasainya. Nama al-Hadi membimbing seseorang kepada jalan yang benar. Semua guru-guru merupakan ‘cermin’ tempat zahirnya kesan kekuasaan al-Hadi. Sesiapa sahaja yang mendapat bimbingan kepada jalan yang lurus dan sesiapa sahaja yang membimbingnya, pada hakikatnya al-Hadi yang memberi bimbingan. Al-Muzil mempunyai kekuatan untuk menyesatkan dan kekuatan ini terzahir pada makhluk-Nya yang bernama iblis. Sekalipun kelihatan iblis yang menyesatkan manusia tetapi iblis bukan berdiri dengan sendiri. Iblis tidak mempunyai sebarang kekuasaan. Allah s.w.t mengizinkan iblis menumpang kekuasaan al-Muzil. Oleh kerana iblis menumpang kekuasaan nama Tuhan maka tidak ada kekuasaan makhluk dapat mengalahkannya. Hanya satu sahaja kekuasaan yang mampu mengatasinya, iaitulah kekuasaan ALLAH yang menguasai segala kekuasaan. Lantaran itu Dia mengajarkan:

Daku berlindung kepada ALLAH dari syaitan yang direjamSegala kekuasaan tunduk kepada kekuasaan ALLAH. Allah yang memiliki segala kekuasaan itu menetapkan:

Barangsiapa dibimbing oleh Allah pada jalan yang benar, engkau tidak dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, engkau tidak dapat membimbingnya kepada jalan yang benar. ( Maksud Hadis )
Manusia hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Allah s.w.t. Penyerahan kepada Allah s.w.t merupakan kekuatan maksima yang tidak terkalahkan oleh kekuatan yang lain.
Oleh kerana nama-nama Tuhan menjadi hakikat yang menguasai segala sesuatu, maka tidak ada makhluk yang dapat mengubah perjalanan hakikat yang menguasainya. Unta tidak boleh meminta menjadi matahari. Bulan tidak boleh meminta menjadi bumi. Gunung tidak boleh meminta menjadi langit. Malaikat tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta menjadi Tuhan. Setiap sesuatu dikawal oleh hakikat masing-masing. Dalam aspek ini setiap kejadian Tuhan tidak mempunyai pilihan. Mereka adalah hamba yang terikat. Sebagai satu kejadian yang dikawal oleh satu hakikat ia bebas bergerak di dalam sempadan hakikatnya. Oleh kerana nama Tuhan menjadi hakikat maka makhluk memperolehi bakat-bakat yang berkuasa melahirkan kesan. Hakikat yang menguasai manusia adalah hakikat yang paling lengkap dan sempurna. Tidak ada yang dapat mengatasi apa yang ada dengan manusia. Keistimewaan hakikat yang menguasai manusia menyebabkan di dalam sempadan kemanusiaan, manusia bebas melahirkan fikiran, perbuatan, kehendak dan pilihan. Dalam aspek ini manusia adalah hamba yang merdeka.
Hakikat yang menguasai makhluk itulah yang menyebabkan makhluk mendapat nikmat penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Hakikat menjadi pemangkin atau hijab yang mempertahankan apa yang Tuhan ciptakan. Hubungan wujud makhluk dengan Wujud hakikat adalah perkaitan mumkinul wujud dengan Wajibul Wujud. Wujud hakikat adalah wujud ketuhanan, wujud pemerintah atau pentadbiran ketuhanan. Wujud makhluk adalah wujud yang diperintah, wujud yang menumpang, yang bergantung, berhajat dan berharap kepada wujud yang memerintah.
Hakikat bukanlah makhluk. Ia adalah suasana pentadbiran Tuhan. Qadak dan Qadar yang ditentukan Tuhan adalah di dalam sempadan hakikat yang daripada suasana tersebut berlakulah takdir. Takdir tidak menyimpang daripada hakikat yang menguasainya. Setiap makhluk di heret oleh hakikat yang menguasainya. Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kenabian akan menjadi nabi. Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kewalian akan menjadi wali. Sesiapa yang berhakikatkan Hakikat Manusia akan menjadi manusia.

Tiada perubahan dalam kalimat Allah itu. ( Ayat 64 : Surah Yunus ) Orang yang mengenal dirinya sebenarnya mengenali hakikat yang menguasai dirinya, iaitu suasana ketuhanan yang menguasai kewujudan dan penghidupannya. Mengetahui hakikat ketuhanan yang menguasai diri tidak menjadikan diri itu Tuhan. Tuhan tetap Tuhan tidak berubah menjadi hamba. Hakikat ketuhanan adalah pemerintah dan hamba pula adalah makhluk yang diperintah. Diri tetap berada pada taraf kehambaan walaupun mengenali hakikat ketuhanan.
Diri yang menetap pada kedudukan kehambaan dengan menyerah sepenuhnya kepada pemerintah itulah sebenarnya wali Tuhan. Wali Tuhan pada peringkat ini menetap pada makam kehambaan dengan menyaksikan Rububiah pada setiap ketika dan dalam semua suasana.


HAKIKAT ALAM DAN HAKIKAT INSAN

Satu makhluk dikuasai oleh satu hakikat. Apabila sekalian makhluk dikumpulkan dan dilihat sebagai satu kewujudan sahaja ia dipanggil alam. Hakikat yang menguasai sekalian alam ini dipanggil Hakikat Alam. Manusia merupakan salinan kecil kepada sekalian alam. Apa sahaja yang ingin dilihat pada alam makhluk boleh dilihat pada manusia. Manusia boleh dilihat sebagai malaikat, syaitan, haiwan, bumi yang kaku atau langit yang tinggi, atau apa sahaja anasir alam. Pada manusia ada sifat kebaikan dan ada sifat kejahatan, ada unsur alam bawah yang gelap dan ada unsur alam atas yang terang. Keunikan ciptaan manusia itu menyebabkan manusia mengenal Tuhan dari berbagai-bagai aspek, melebihi pengenalan yang ada dengan makhluk yang lain. Makhluk lain bergerak dalam sempadan yang ditentukan untuknya sahaja. Malaikat yang menjaga langit pertama tidak boleh turun ke dunia dan tidak boleh naik ke langit ke dua melainkan dengan perintah Tuhan kerana sesuatu sebab. Malaikat yang menjaga matahari tidak menggangu urusan bulan. Malaikat yang bertugas memberi rezeki tidak terlibat dengan urusan mencabut nyawa. Setiap malaikat bergerak di dalam sempadannya masing-masing atau di kuasai oleh satu hakikat sahaja. Manusia dikuasai oleh hakikat-hakikat yang berkumpul sebagai satu hakikat. Manusia menguruskan penglihatan, pendengaran, pergerakan dan lain-lain. Manusia mampu melepasi alam bumi, Alam Langit dan sampai ke Arasy, seperti yang dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Manusia dalam aspek kerohaniannya boleh menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib dan menerima perkhabaran daripada Loh Mahfuz. Manusia mempunyai ilmu mengenai semua perkara. Keistimewaan manusia adalah kerana hakikat yang menguasai sekalian alam itu juga adalah hakikat yang menguasai manusia. Bila dipandang hakikat tersebut sebagai hakikat yang menguasai manusia istilah Hakikat Insan digunakan. Setiap makhluk akan hanya mempunyai ilmu menurut hakikat yang menguasainya. Perkara tersebut diketahui kerana maklumat mengenainya ada pada hakikat yang menguasainya. Apa yang tidak diketahui dan tidak mungkin diketahui adalah apa yang tidak termasuk di dalam sempadan hakikat yang menguasainya itu. Pada hakikat yang menguasai lembu tidak ada maklumat tentang 2 + 2 = 4. Mengajar lembu untuk mempercayai bahawa 2 + 2 = 4 adalah perbuatan yang sia-sia dan tidak akan berhasil walaupun dicuba sehingga ke hari kiamat.
Pada hakikat yang menguasai manusia ada maklumat tentang matematik, sains dan teknologi, termasuklah teknologi maklumat yang tercanggih, astronomi, perubatan, sastera, pertukangan, penternakan, pertanian dan lain-lain. Oleh sebab itu manusia boleh diajar mengenai perkara-perkara tersebut. Fungsi belajar sebenarnya adalah ‘memperingatkan’ manusia tentang apa yang sudah ada dengannya. Manusia tidak mempelajari perkara baharu kerana semua maklumat sudah pun dibekalkan kepada kejadian manusia sejak manusia yang pertama diciptakan.

Dan telah diajarkan kepada Adam sekalian nama-nama…. ( Ayat 31 : Surah al-Baqarah )Oleh yang demikian percubaan mengajar ilmu walau bagaimana rumit sekalipun ia boleh berjaya kerana dia hanya perlu ‘celik’ memandang kepada apa yang sudah tertanam pada kejadiannya yang asli.
Hakikat yang menguasai manusia iaitu Hakikat Insan dikenali juga sebagai Hakikat Adam kerana hakikat ini menguasai kejadian Adam a.s dan sekalian keturunannya. Hakikat Insan tidak boleh diketahui dan tidak ada kenyataannya tanpa penciptaan Adam a.s, yang dipanggil juga Bapa Jasad. Adam a.s adalah penggerak kepada alam badan kebendaan. Pada zaman dan ruang yang tidak ada Adam a.s, tidak ada anasir yang bergerak pada tubuh badan. Iblis juga tidak ada. Pada ketika itu semua kejadian berada dalam suasana rohani yang tidak tahu berbuat drrhaka kepada Tuhan. Apabila Allah s.w.t menciptakan Adam a.s dan meneranginya dengan hakikat yang menguasai perjalanan sekalian makhluk, yang terkandung padanya semua bakat dan nilai, maka segala kejadian boleh bergerak pada jalan menyatakan bakat masing-masing. Secara automatik muncullah iblis. Sebelum Adam a.s diciptakan, Azazil yang padanya tersimpan maklumat mengenai kejahatan tidak berupaya menggunakan bakat tersebut. Sebaik sahaja Adam a.s diciptakan maklumat mengenai kejahatan yang terpendam itu sudah boleh menyata dan dengan serta merta Azazil bertukar menjadi iblis. Penciptaan Adam a.s membolehkan anasir jahat memakai tubuh badan.
Malaikat yang tidak memerlukan badan kebendaan boleh wujud sebelum Adam a.s diciptakan. Pada zaman sebelum ada Adam a.s semuanya bertaraf malaikat, termasuklah Azazil, Bapa Jin. Semua mereka tidak ada pilihan melainkan beribadat kepada Tuhan. Dalam keadaan yang demikian neraka seolah-olah tidak akan mendapat rezeki. Sebaik sahaja Adam a.s diciptakan keupayaan dan bakat jahat telah mempunyai bekas untuk menyalurkan kejahatannya. Di sinilah letaknya rahsia syariat. Tanpa Adam a.s tidak ada kejahatan, maka syariat tidak diperlukan. Bila syariat tidak zahir hakikat tidak menyata. Semuanya tersembunyi dan tidak ada yang mengenal Tuhan. Bila syariat zahir baharulah ada makrifat tentang Tuhan.
Syariat mengandungi kesempurnaan makrifat kerana syariat memperkenalkan Yang Esa melalui dua aspek yang bertentangan. Syariat memperkenalkan yang kanan melalui kewujudan yang kiri, begitu juga sebaliknya. Jika tidak ada kiri tidak akan dikenali kanan. Syariat memperkenalkan cahaya dengan adanya gelap. Jika tidak ada gelap tidak akan diketahui apa itu cahaya. Syariat memperkenalkan taat dengan adanya ingkar. Jika tidak ada ingkar tidak akan diketahui apa itu taat. Syariat memperkenalkan ibadat dengan adanya maksiat. Jika tidak ada maksiat tidak akan diketahui apa itu ibadat. Syariat memperkenalkan pahala dengan adanya dosa. Jika tidak ada dosa tidak akan diketahui apa itu pahala. Satu perkara memperkenalkan lawannya yang satu lagi dan kedua-duanya memperkenalkan penghubung keduanya. Penghubung tersebut memperkenalkan wujud yang menguasai.
Penciptaan Adam a.s yang dikuasai oleh hakikat yang sempurna menyebabkan alam menjadi sempurna. Adam a.s adalah pasak alam yang menstabilkan alam. Tanpa Adam a.s neraka akan bergegar kerana tidak ada sesiapa yang akan masuk ke dalamnya. Bila Adam a.s diciptakan neraka menjadi tenteram kerana ia tahu haknya akan ditunaikan. Tanpa Adam a.s, hakikat kenabian dan hakikat kewalian tidak akan ada kenyataan, tidak akan muncul nabi-nabi dan wali-wali ke dunia, maka tidak ada sesiapa mengenal Tuhan.
Mengalami suasana Hakikat Insan di dalam Perbendaharaan-Nya yang tersembunyi memakrifatkan hamba dengan Pentadbiran Tuhan ke atas makhluk-Nya, termasuklah manusia.


HAKIKAT MUHAMMADIAH
(HAKIKAT KEPADA SEMUA HAKIKAT-HAKIKAT)

Hakikat Insan yang menguasai keturunan Adam a.s membekalkan segala bentuk maklumat yang diperlukan oleh bangsa manusia untuk menjadi khalifah di bumi. Walaupun begitu Allah s.w.t memperingatkan:

Kami firmankan: “Turunlah kamu sekalian dari (syurga) ini, kemudian jika datang pada kamu satu petunjuk daripada-Ku, maka barangsiapa yang menuruti petunjuk-Ku itu, tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka akan berdukacita”. ( Ayat 38 : Surah al-Baqarah )
Walaupun Adam a.s dikuasai oleh hakikat yang membekalkan maklumat yang lengkap namun beliau a.s tetap tertakluk kepada petunjuk yang Allah s.w.t turunkan dari masa ke masa. Ini bermakna ada hakikat yang lebih sempurna dan lebih lengkap serta menguasai Hakikat Insan itu. Pada Hakikat Insan terkumpul segala maklumat mengenai kejadian manusia dan sekalian makhluk, tetapi tidak dibekalkan maklumat mengenai yang bukan manusia dan bukan makhluk. Hakikat yang menyimpan segala maklumat mengenai apa yang ada dengan Hakikat Insan ditambah lagi dengan maklumat mengenai syariat Tuhan, makrifat tentang Tuhan, suasana Ilmu Tuhan dan apa sahaja selain Allah Yang Hakiki, dinamakan hakikat kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Ia lebih dikenali sebagai Hakikat Muhammadiah, kadang-kadang dipanggil sebagai Hakikat Muhammad sahaja. Hakikat Muhammadiah ini merupakan Hakikat yang menguasai Nabi Muhammad s.a.w, sebab itu dinamakan Hakikat Muhammad. Inilah yang membuatkan Nabi Muhammad s.a.w lebih istimewa daripada semua manusia dan sekalian makhluk. Hakikat Muhammadiah atau urusan Tuhan yang menguasai kejadian Nabi Muhammad s.a.w itu adalah juga urusan Tuhan yang menguasai sekalian urusan-urusan Tuhan.
Manusia dari segi fitrahnya dihubungkan dengan Hakikat Insan tetapi dari segi Islam, iman, tauhid dan makrifat dihubungkan dengan Hakikat Muhammadiah. Hakikat Muhammadiah menyata melalui Rasul-rasul dan Nabi-nabi. Jika semua keturunan manusia dikuasai oleh Hakikat Insan atau Hakikat Adam, maka semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul dikuasai oleh hakikat yang menyeluruh atau Hakikat Muhammadiah.
Adam a.s diperakui sebagai wakil kepada sekalian manusia. Muhammad s.a.w pula menjadi wakil kepada sekalian Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Bila disebut Nabi Muhammad s.a.w ia membawa maksud kesatuan sekalian Nabi-nabi dan Rasul-rasul kerana pada Nabi Muhammad s.a.w terkumpul semua kebaikan para nabi dan para rasul, ilmu sekalian nabi dan rasul, syariat yang dibawa oleh sekalian nabi dan rasul dan semua mengenai Islam, iman, tauhid dan makrifat para Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul Allah yang paling agung, paling sempurna dan paling mulia. Oleh yang demikian sekalian makhluk menyaksikan:

Maklumat yang tersimpan pada hakikat yang menyeluruh menyata dengan sempurna pada Nabi Muhammad s.a.w.
Apabila disebut Nabi Muhammad s.a.w ia meliputi risalat sekalian Rasul-rasul. Jika disebut Nabi Ibrahim a.s atau Nabi Musa a.s ia membawa maksud satu bentuk risalat daripada risalat yang menyeluruh yang berkumpul pada kerasulan Muhammad s.a.w. Semua nabi-nabi menyaksikan “La ilaha illah Llah Muhammad ur-Rasullullahhttp://alhakiki.tripod.com/035t.JPG”. Semua nabi-nabi memberi peringatan tentang kedatangan Muhammad Rasul Allah, Rasul yang paling mulia dan paling sempurna, yang membawa intisari yang lengkap dan menyeluruh bagi maklumat yang terkumpul pada sumber kerasulan iaitu Hakikat Muhammadiah.
Walaupun Hakikat Muhammadiah merupakan hakikat yang menyeluruh, tetapi ia bukanlah Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w bukanlah Allah s.w.t dan bukan juga penjelmaan Allah s.w.t. Hakikat Muhammadiah adalah urusan Allah s.w.t ‘yang menyampaikan’ melalui rasul-rasul-Nya apa yang Dia berkehendak menyampaikan. Bila urusan Allah s.w.t ini berhubung dengan Jibrail a.s dan rasul-rasul ia dipanggil wahyu. Wahyu yang terpendam pada sisi Allah s.w.t dipanggil Hakikat Muhammadiah. Bila ia dipandang sebagai penyimpan segala maklumat tentang urusan Tuhan ia dipanggil Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Hakikat Muhammadiah atau urusan Tuhan yang menyeluruh atau Perbendaharaan Yang Tersembunyi itu dikurniakan secara lengkap dan sempurna kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah wahyu yang paling lengkap. Risalat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah risalat yang paling lengkap. Kerasulan yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah kerasulan yang paling lengkap dan paling tinggi.
Istilah Hakikat Muhammadiah kadang-kadang menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah orang. Perlu difahamkan bahawa Hakikat Muhammadiah pada suasana urusan Tuhan itu tidak turun atau menjelma menjadi Nabi Muhammad s.a.w, apa lagi menjadi orang lain. Urusan Tuhan tetap berada pada tahap urusan Tuhan. Hakikat tetap berada pada tahap hakikat. Apa yang diperkatakan adalah suasana makrifat, penyaksian dalam ilmu dan pengalaman rasa (zauk). Hal atau keadaan hakikat yang sebenarnya hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu. Manusia hanya bercerita menurut kadar makrifat, ilmu dan pengalaman yang ada dengan mereka, sekadar yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka. Pengalaman kerohanian pada peringkat Hakikat Muhammadiah lebih membuat si hamba mengenali kemuliaan dan ketinggian darjat Nabi Muhammad s.a.w, walaupun baginda s.a.w hanyalah seorang manusia keturunan Adam a.s, seperti manusia yang lain.
Mengalami suasana Hakikat Muhammadiah melahirkan keasyikan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Sehingga kepada peringkat ini si hamba masih lagi tidak ada perhatian dan kesedaran terhadap dirinya sendiri. Perhatiannya dan kesedarannya hanyalah tertuju kepada apa yang dialaminya dalam suasana Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Bila dikuasai oleh keasyikan terhadap Rasulullah s.a.w, apa sahaja yang berkenaan dengan baginda s.a.w sangat memberi kesan pada jiwanya. Dia merasakan kehampiran yang amat sangat dengan Rasulullah s.a.w, seolah-olah tidak terpisah. Ucapan selawat dan salam memberi kelazatan kepada jiwanya. Dia menikmati puji-pujian terhadap Rasulullah s.a.w seakan-akan ia adalah untuknya juga. Dalam suasana yang demikian hatinya dikuasai oleh dua hal sahaja iaitu Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Dia tidak menyaksikan yang lain. Apa yang hatinya menyaksikan adalah kecintaan Allah s.w.t kepada rasul-Nya dan kecintaan serta ketaatan Rasulullah s.a.w kepada Tuhannya.
36. Kembali Menyaksikan Kewujudan Diri Sendiri

Hakikat Insan dan Hakikat Muhammadiah adalah pengalaman kerohanian di dalam kefanaan, iaitu ketika hilang perhatian dan kesedaran terhadap diri sendiri. Dalam suasana tersebut si hamba tidak tahu siapakah dirinya. Dia hanyalah yang menyaksikan.
Setelah mengalami suasana Hakikat Muhammadiah si hamba berpindah kepada suasana di mana kesedaran dan perhatian terhadap kewujudan dirinya mula datang semula secara sedikit demi sedikit. Hakikat yang membuka jalan kepada kesedaran ini dinamakan Hakikat Insan Kamil.

HAKIKAT INSAN KAMIL

Si hamba menyaksikan bahawa Insan Kamil adalah pertemuan di antara ketuhanan dan kehambaan. Pada Insan Kamil berkumpul pengetahuan tentang Tuhan dan pengetahuan tentang makhluk Tuhan. Insan Kamil mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih. Insan Kamil memperolehi maklumat Hakikat Muhammadiah secara lengkap dan sempurna. Insan Kamil yang memiliki ilmu dan makrifat yang sempurna. Insan Kamil yang mempunyai pengenalan yang sempurna tentang Tuhan. Insan Kamil juga mempunyai pengetahuan yang sempurna tentang apa yang Tuhan sampaikan kepada hamba-hamba-Nya.
Insan Kamil juga mempunyai maklumat Hakikat Insan secara sempurna. Oleh kerana Hakikat Insan mengumpulkan maklumat yang lengkap tentang manusia dan alam makhluk sekaliannya, maka Insan Kamil mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang manusia dan alam makhluk sekaliannya. Seluruh alam semesta ‘terkandung’ dalam Insan Kamil. Hati si hamba yang terbuka kepada suasana Hakikat Insan Kamil menyaksikan seluruh alam semesta berada dalam hatinya. Si hamba menyaksikan pengetahuan ketuhanan datang secara langsung kepada hatinya.
Pembukaan kepada Hakikat Insan Kamil membuat hati si hamba menyaksikan alam semesta disempadani oleh dirinya dan pada masa yang sama dia menyaksikan ‘Allah’ bersemayam dalam hatinya. Inilah peringkat yang paling tinggi bahayanya dalam semua peringkat pengalaman kerohanian. Ketuhanan dan kehambaan muncul pada hati yang sama, pada perasaan yang sama dan pada masa yang sama. Hanya kehambaan yang sentiasa membayanginya meneguhkan tapak kakinya berpijak pada jalan yang benar. Kehambaan pada peringkat ini sangat rapuh, mudah sahaja menjadi hancur lebur. Jika hal yang demikian terjadi hati si hamba tidak lagi melihat perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, dirinya dengan Tuhan. Keadaan seperti ini tidak muncul sewaktu menyaksikan Hakikat-hakikat yang lain termasuklah Hakikat Muhammadiah kerana pada ketika itu makhluk dan dirinya tidak ada dalam perhatian dan kesedarannya. Pada tahap mengalami suasana Hakikat Insan Kamil ini kesedaran dan perhatian kepada diri dan makhluk baharu sahaja muncul kembali, belum begitu kuat dan berpengaruh. Kesedaran dan perhatian tersebut baharu pada tahap seumpama bayang-bayang yang belum melekat benar pada hati. Hakikat Insan Kamil adalah umpama stesen bebas bagi hati. Ia boleh menjadi Tuhan dan hamba pada masa yang sama. Ia juga boleh menjadi nabi dan wali. Ia juga boleh menjadi malaikat.
Jika seseorang yang baharu sahaja kembali sedikit kesedarannya terhadap kewujudan dirinya larut dalam Hakikat Insan Kamil, hatinya akan mengalami apa yang biasa disebut oleh orang sufi sebagai bersatu dengan Tuhan. Rasa bersatu dengan Tuhan berbeza daripada mengalami suasana keesaan yang berlaku pada stesen kedua belas dahulu. Pada ketika itu keesaan dialami dalam suasana tiada kesedaran terhadap diri sendiri. Si hamba hanya menyaksikan Allah s.w.t semata-mata, tidak pada dirinya dan makhluk lainnya. Dia hanya menyaksikan satu wujud iaitu wujud Allah s.w.t, wujud yang lain tidak ada dalam perhatiannya. Oleh yang demikian tidak timbul isu bersatu dengan Tuhan pada peringkat itu. Pada peringkat Hakikat Insan Kamil pula wujud Allah s.w.t dan wujud dirinya menyata dalam kesedarannya dan mungkin dia tidak dapat membezakan yang satu dengan yang lain. Dalam keadaan demikian dia mungkin menyaksikan Allah s.w.t sebagai Haq (Yang Hakiki) dan juga khalq (makhluk sebagai bayangan Yang Hakiki). Dia mungkin merasakan dirinya sebagai Tuhan dan hamba Tuhan, yang sama dalam aspek yang berbeza. Dia mungkin melihat sifat-sifat yang ada pada dirinya sebagai sifat Tuhan dan dia menjadi penzahir sifat Tuhan secara sempurna. Dia mungkin merasakan pada wujudnya yang satu bertemu Wujud Tuhan dengan wujud alam semesta. Dia mungkin menyaksikan seluruh alam semesta seumpama bola kecil terkandung di dalam hatinya. Dia mungkin melihat badannya sebagai Arasy, rohnya sebagai Roh Muhammad dan zatnya sebagai Zat Tuhan. Dia mungkin juga melihat ilmunya sebagai Ilmu Tuhan dan bakat dirinya sebagai malaikat.
Bila dikuasai oleh rasa kelarutan dalam Hakikat Insan Kamil dia mungkin melihat dirinya berada pada satu falak di atas daripada falak yang ada makhluk yang lain. Malaikat, jin dan yang lain-lain mungkin dilihatnya berada di bawah daripada falak dirinya. Dia mungkin melihat bakat dirinya bergerak melalui makhluk yang lain. Jika dia berada dalam satu kumpulan pekerja dia mungkin melihat bakat dan daya upayanya berada pada setiap pekerja tersebut.
Suasana hati yang bertembung dengan Hakikat Insan Kamil mungkin membuat seseorang melaungkan “Ana al-Haq!”. Ucapan “Ana al-Haq” pada peringkat ini berbeza daripada ucapan Ana al-Haq pada peringkat stesen ke sebelas. Pada stesen ke sebelas dahulu si hamba semata-mata menjadi alat dan Tuhan Pengguna alat. Si hamba tidak melihat ucapan tersebut sebagai ucapannya. Dia menyaksikan Kalam Tuhan yang keluar daripadanya. Pada peringkat Hakikat Insan Kamil pula ucapan “Ana al-Haq” dilafazkan dalam keadaan ada kesedaran diri. Kesedaran tersebut membuatnya melihat ucapan itu sebagai ucapan Tuhan dan juga ucapan dirinya yang bersatu dengan Tuhan. Apa yang dia ucapkan itulah yang Tuhan ucapkan, dan apa yang Tuhan ucapkan itulah yang dia ucapkan. Beginilah keadaan yang berlaku kepada orang yang larut dalam Insan Kamil.
Ramai orang menyangkakan Insan Kamil adalah penghabisan jalan. Mereka jadikan Insan Kamil sebagai makam mereka.
Semua keturunan Adam a.s dinamakan manusia. Dalam bangsa manusia itu ada golongan yang sempurna dinamakan manusia yang sempurna. Dalam golongan manusia yang sempurna itu ada kumpulan yang menjadi Nabi dan Rasul. Bangsa manusia secara keseluruhannya dikuasai oleh Hakikat Insan. Golongan manusia yang sempurna itu pula dikuasai oleh Hakikat Insan Kamil. Dalam golongan manusia yang sempurna itu, yang menjadi nabi dan rasul dikuasai pula oleh Hakikat Muhammadiah.
Hakikat-hakikat, termasuklah Insan Kamil, bukanlah makhluk yang ada dalam alam. Hakikat adalah urusan Tuhan. Insan Kamil adalah urusan Tuhan yang menguasai satu kumpulan manusia yang sempurna kehambaannya kepada Allah s.w.t. Insan Kamil yang asli, yang ada pada sisi Tuhan tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak menempati ruang dan zaman dan juga tidak bernama. Manusia-manusia sempurna yang muncul di atas muka bumi bolehlah dikatakan salinan lengkap kepada Insan Kamil yang asli. Manusia yang paling sempurna, menjadi salinan Insan Kamil yang paling sempurna menerima penguasaan sepenuhnya daripada Hakikat Muhammadiah dan beliau adalah Nabi Muhammad s.a.w. Manusia-manusia sempurna yang lain, walaupun sempurna tetapi kesempurnaan mereka tidak mencapai tahap kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak menerima penguasaan Hakikat Muhammadiah secara lengkap, selengkap Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu hanya Nabi Muhammad s.a.w sahaja yang bernama Muhammad, yang lain bernama Ibrahim, Musa, Isa, Nuh dan lain-lain. Manusia sempurna yang lain tidak mengaku diri mereka sebagai Muhammad walaupun mereka juga menerima maklumat daripada Hakikat Muhammadiah. Sejak Nabi Adam a.s sampailah kepada Nabi Isa a.s tidak ada seorang Nabi pun yang mengaku menjadi Muhammad. Kumpulan manusia yang sah kesempurnaan mereka tidak mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad. Jika ada orang yang mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad, baik secara zahir atau secara batin, maka nyatalah mereka telah keliru dalam memahami hakikat.
Salinan Insan Kamil yang paling sempurna dalam kumpulan Nabi-nabi adalah Nabi Muhammad s.a.w, penutup Kenabian. Salinan Insan Kamil yang sempurna dalam kumpulan wali-wali adalah Muhammad Imam Mahadi, penutup kewalian. Muhammad Imam Mahadi tinggal di dalam dunia dan menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah s.w.t. Bila tugas tersebut selesai beliau kembali ke rahmatullah. Pada ketika itu salinan Insan Kamil tidak akan muncul lagi ke dunia. Bila salinan Insan Kamil tidak ada lagi di dalam dunia maka tertutuplah ilmu ketuhanan. Tidak ada lagi manusia yang mengenal Allah s.w.t. Pada ketika itu berlakulah kiamat besar.

Ada beberapa perkara lagi perlu diketahui berhubung dengan daerah Insan Kamil yang selalu diperkatakan apabila bercakap mengenainya. Insan Kamil dikatakan bersemayam di dalam Kaabatullah. Kaabatullah selalu disebut dalam memperkatakan tentang hakikat. Ada orang mengatakan dia bersembahyang menghadap Kaabatullah. Ada pula yang mengatakan dia bersembahyang di dalam Kaabatullah. Yang lain pula mengatakan dia sembahyang dengan ketiadaan Kaabatullah. Ada juga orang mengatakan dia menemui Rasulullah s.a.w di dalam Kaabatullah. Berbagai-bagai lagi keadaan Kaabatullah yang diceritakan orang dalam menggambarkan suasana hakikat.
Kaabatullah yang dikatakan seperti cerita di atas merupakan suasana simbolik bagi menggambarkan keadaan hubungan hati dengan Allah s.w.t. Umat Islam bersembahyang menghadap Kaabatullah bukan bermakna mereka menyembah Kaabatullah dan bukan juga Allah s.w.t berada dalam Kaabatullah. Allah s.w.t memilih Kaabatullah sebagai tempat yang boleh dirasakan kehadiran-Nya dengan kuat. Jadi, Kaabatullah dihubungkan dengan Hadrat Ilahi. Berhadap ke Kaabatullah bermakna menghadap kepada Hadrat-Nya.
Di dalam suasana hakikat, Kaabatullah menjadi misal bagi suasana ketuhanan. Bila dikatakan Insan Kami bersemayam di dalam Kaabatullah ia bermaksud Insan Kamil adalah suasana ketuhanan, berada dalam Ilmu Tuhan. Orang yang bersembahyang di dalam kesedaran melihat Kaabatullah berada di hadapannya. Orang yang di dalam zauk merasakan berada di dalam Kaabatullah. Orang yang baqa dengan Allah s.w.t tidak melihat kepada Kaabatullah. Orang yang ‘memasuki’ Ilmu Allah, mengenali suasana Hakikat Muhammadiah dan mengambil ilmu daripada sumber tersebut, menggambarkannya sebagai berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di dalam Kaabatullah dan menerima pengajaran daripada baginda s.a.w. Pengalaman-pengalaman yang disebut di atas merupakan pengalaman dalam ‘misal kepada hakikat’.
Penyaksian terhadap rupa, bentuk, cahaya dan warna adalah penyaksian kepada misal bagi hakikat-hakikat. Apa yang disaksikan itu menjadi cermin yang membalikkan kefahaman tentang hakikat yang tidak boleh disaksikan. Rasulullah s.a.w melihat pada malam Israk dan Mikraj, bentuk misal kesenangan dan kemewahan dunia sebagai perempuan cantik dan umur dunia yang sudah lanjut sebagai perempuan tua. Kedua-duanya menceritakan tentang hakikat dunia tetapi berlainan rupa bagi menceritakan maksud yang berbeza.
Hakikat boleh diibaratkan sebagai cahaya dan cermin sebagai Alam Misal. Jika benda nyata diletakkan di hadapan cermin dan cahaya dipancarkan kepadanya, akan kelihatanlah gambaran benda nyata itu di dalam cermin. Gambaran yang kelihatan di dalam cermin itu menyatakan bahawa pada benda nyata itu ada pancaran cahaya. Cahaya disaksikan dalam bentuk benda-benda nyata. Bentuk benda-benda nyata itu menjadi misal kepada cahaya, menceritakan bahawa di sana ada kehadiran cahaya. Tetapi benda nyata dan gambaran benda nyata yang kelihatan atau bentuk misal itu bukanlah cahaya. Cahaya tetap dalam keadaan aslinya yang tidak ada rupa dan warna. Ada orang yang tidak membezakan bentuk misal dengan cahaya yang asli. Orang yang tidak membezakan bentuk misal dengan hakikat kepada yang dimisalkan itu memahamkan hakikat ketuhanan mempunyai wajah-wajah tertentu.
Hakikat Insan Kamil adalah umpama cahaya yang hening. Hati insan umpama cermin yang jernih. Orang yang memandang ke dalam cermin hatinya bersuluhkan cahaya Hakikat Insan Kamil akan menyaksikan wajahnya sendiri di dalam cermin itu, lalu dia menyangkakan bahawa itulah wajah Insan Kamil yang asli, dan itu jugalah wajah Tuhan yang tidak dibezakan dengan Insan Kamil. Jika orang Hindu menyembah tuhan dalam rupa monyet orang tadi menyembah Tuhan dalam rupa dirinya sendiri. Lama-lama orang Hindu menyembah monyet, tidak lagi menyembah Tuhan. Lama-lama orang tadi menyembah dirinya, tidak lagi menyembah Tuhan. Inilah yang selalu terjadi kepada orang yang berjalan kepada hakikat tanpa membawa syariat.
Orang yang berjalan pada jalan kerohanian perlu melepasi bentuk-bentuk misal. Lepaskan apa juga yang sampai kepada penyaksian. Nafikan dengan kalimah “La ilaha illa Llah”. Orang yang berjaya melepasi bentuk-bentuk misal tersebut akan sampai kepada Penyaksian Hakiki, iaitu menyaksikan tanpa rupa, bentuk, cahaya, warna dan wajah. Pada Penyaksian Hakiki juga tidak ada suara, tidak ada huruf. Penyaksian berlaku kepada mata keyakinan. Si hamba yang menyaksikan dengan mata keyakinan mengucapkan: “Sesungguhnya hatiku tidak berasa syak lagi bahawa Engkau yang daku pandang tanpa rupa, tanpa bentuk, tanpa cahaya, tanpa warna, tanpa suara dan tanpa huruf”. Itulah keadaan memandang dengan tiada sesuatu yang dipandang, tahu tanpa sesuatu pengetahuan dan kenal tanpa sesuatu pengenalan. Penyaksian akal dinamakan ilmul yaqin. Penyaksian mata hati dinamakan ainul yaqin. Penyaksian mata keyakinan dinamakan haqqul yaqin. Haqqul yaqin meruntuhkan segala pengetahuan dan penyaksian kerana sesungguhnya Tuhan adalah:

Tiada sesuatu yang serupa dengan-NyaKeyakinan terhadap Allah s.w.t adalah:

Dan Dia Mendengar dan Melihat Jika seseorang mahu cepat sampai ke matlamat hendaklah bersegera melepaskan bentuk-bentuk misal yang sampai kepada penyaksiannya. Berpindahlah kepada Penyaksian Hakiki. Tanda seseorang sudah memiliki Penyaksian Hakiki adalah dia dapat melihat hakikat ketuhanan pada dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang. Nama, rupa, bentuk, cahaya dan warna tidak menghijab pandangannya untuk menyaksikan hakikat atau Rububiah. Makrifat tentang nama-nama Tuhan penting bagi memperolehi Penyaksian Hakiki. Jika Yang Menghidupkan tidak menghijab Yang Mematikan, Yang Menaikkan tidak menghijab Yang Menjatuhkan, Yang Memberi tidak menghijab Yang Menahan, Yang Awal tidak menghijab Yang Akhir, Yang Zahir tidak menghijab Yang Batin, maka yang disaksikan pada setiap masa dan dalam semua suasana adalah Yang Maha Esa. Apabila mata ilmu dan mata hati tidak menutup mata keyakinan maka yang disaksikan adalah Yang Haq!

Tidak semua orang yang memasuki daerah Hakikat Insan Kamil akan terdorong kepada suasana bersatu dengan Tuhan. Si hamba yang telah mengalami suasana kehadiran kenabian dan mengalami pula suasana keesaan Tuhan akan sentiasa dibayangi oleh rasa kehambaan kepada Tuhan. Pertembungan dengan Hakikat Insan Kamil tidak menyebabkan berlakunya perlarutan. Suasana Hakikat Insan Kamil dialaminya sebagaimana mengalami suasana Hadrat kenabian dan Hadrat ketuhanan. Si hamba tidak mengalami suasana menjadi Insan Kamil atau menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Insan Kamil merupakan salah satu Hadrat yang dialaminya dan melalui pengalaman tersebut dia mengerti maksud Insan Kamil.
Orang yang berjalan pada jalan kehambaan akan menetap sebagai hamba, tidak berubah menjadi Adam atau Muhammad atau Insan Kamil atau Tuhan. Sepanjang perjalanan dia berada dalam suasana dia yang menyaksikan dan melalui penyaksian tersebut dia memperolehi pengetahuan dan pengenalan (ilmu dan makrifat) tanpa melepaskan pandangan kepada “Allah Yang Maha Esa” dan “Tiada sesuatu serupa dengan-Nya”. Melalui jalan kehambaan kehadiran kenabian, kehadiran Hakikat-hakikat Insan, Muhammadiah dan Insan Kamil dan juga kehadiran Tuhan berperanan sebagai Pembimbing. ‘Pertemuan’ dengan Hadrat-Hadrat tersebut memperkuatkan Petunjuk Ghaib dalam dirinya. Juru-bicara dalam dirinya sentiasa memberi peringatan. Dia diperingatkan agar berjalan terus, jangan berhenti walaupun dilambai oleh syurga atau dihalang oleh neraka, walaupun dibukakan suasana Hakikat-hakikat. Semua itu untuk diketahui dan untuk dikenal, bukan tempat untuk bermakam.
Dalam suasana Hakikat Insan Kamil, seseorang biasa berjumpa dengan hakikat maut iaitu mengalami suasana Izrail. Boleh juga dikatakan jika seseorang itu tidak mengalami suasana Izrail dia tidak memasuki daerah Insan Kamil dengan sepenuhnya. Dia mungkin berjalan di bawah bayangan daerah itu sahaja.
Manusia biasa naik ke langit melalui jalan biasa yang dilalui oleh semua orang, iaitu jalan mati. Orang yang memasuki daerah Hakikat Insan Kamil juga mengalami kematian, tetapi bukan kematian tubuh badan. Kematian yang berlaku di sana adalah kematian secara kebatinan, iaitu merasai kehadiran Maut. Dia mungkin merasai suasana kematian beberapa kali pada alam kebatinannya. Pengalaman yang demikian membuka tutupan pada hati. Pada stesen kerohanian yang ke lapan si hamba telah menghadapkan dirinya kepada maut. Pada ketika itu dia menuju kepada pengecilan kesedaran terhadap diri sendiri. Ia menjadi lonjakan untuk mencapai stesen yang berikutnya. Tetapi pengalaman tersebut tidak banyak memberi pengertian kepada dirinya. Dalam daerah Hakikat Insan Kamil pula si hamba sedang menuju ke arah pembesaran kesedaran terhadap diri sendiri. Oleh itu setiap pengalaman menarik perhatiannya. kehadiran Maut pada daerah Insan Kamil memperjelaskan pengalaman pada stesen ke lapan dahulu. Dalam daerah Insan Kamil ini si hamba merasakan sangat hampir dengan Maut. Biasa terjadi pada peringkat ini dia mendapat firasat mengenai kematian orang-orang tertentu dan kemudiannya ternyata firasat tersebut adalah benar. Keadaan ini bersifat sementara sahaja. Apabila dia meninggalkan daerah Insan Kamil dia keluar juga daripada Hadrat Maut itu dan firasat tentang kematian tidak ada lagi.
Apabila Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil bertemu pada satu daerah, pada satu hati, suasana kehambaan akan menetap dan terhindarlah suasana ketuhanan. Hadrat Maut memperlihatkan kedaifan, kehinaan dan kejahilan si hamba. Hadrat Insan Kamil memperlihatkan kekuasaan, kemuliaan dan kebijaksanaan Tuhan. Orang yang benar-benar menyaksikan keagungan Tuhan adalah orang yang sedang menghadapi sakratul maut. Keadaan ini samalah seperti keadaan orang yang menerima wang satu juta dan pada masa yang sama dia mengetahui bahawa dia menghidapi penyakit kanser yang akan membawanya kepada maut. Begitulah umpamanya keadaan hati yang merasai Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil pada satu masa. Dia diperlihatkan kekerdilan dirinya sebagai hamba Tuhan dan keagungan Allah s.w.t sebagai Tuhan. Bertambah kuatlah rasa kehambaan pada dirinya. Jadi, Hadrat Insan Kamil yang menyebabkan sebahagian orang mengalami suasana bersatu dengan Tuhan boleh juga menambahkan rasa kehambaan. Si hamba yang bertambah rasa kekerdilan diri dan kehambaannya kepada Tuhan bermunajat kepada Tuhan dengan penuh tawaduk:
“Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada sesuatu bersekutu dengan-Mu. Daku hanyalah hamba-Mu yang lemah, hina dan jahil. Di hadapan Wajah-Mu Yang Maha Mulia dan Maha Suci daku menyaksikan betapa lemah, hina dan jahilnya diriku.
Engkau perlihatkan pakaian keindahan-Mu. Bukan Engkau memerlukan pakaian dan bukan juga Engkau menghijab Diri-Mu, tetapi jika tidak kerana pakaian keindahan-Mu nescaya hancur leburlah segala kewujudan yang menghadap kepada keagungan-Mu. Pakaian keindahan itu bukan menutupi Diri-Mu, kerana Engkau Maha Esa, mana mungkin ditutupi oleh sesuatu. Wujud kami jua yang Engkau selimuti dengan kelembutan pakaian keindahan-Mu, agar kami dapat bertetangga dengan kebesaran, kemuliaan, keperkasaan dan keagungan-Mu. Engkau berbuat demikian demi rahmat dan kasihan belas-Mu kepada kami.
Engkau memiliki satu pakaian yang Engkau pakai bila menyamar. Di dalam penyamaran-Mu berdatanganlah penyanggahan, kerana Engkau tidak dikenal dalam penyamaran-Mu. Kekasih akan menunjukkan kebencian. Sahabat akan menunjukkan permusuhan. Seteru akan mempergiatkan fitnah. Besarlah huru-hara terjadi apabila Engkau menyamar. Ilahi! Daku bermohon kepada-Mu. Selamatkanlah daku daripada pengingkaran tatkala menerima kedatangan-Mu dalam penyamaran. Jadikan daku sentiasa mengenali-Mu ketika menyamar dan ketika menyata.
Engkau Maha Cinta. Engkau mencintai agar Diri-Mu dikenali. Lalu Engkau perkenalkan Diri-Mu melalui nama-nama-Mu. Nama dan zat nama sendiri tidak berupaya mendatangkan kesan. Hanya Engkau, Zat yang memiliki segala kekuasaan dan kekuatan. Semuanya menumpang kekuasaan dan kekuatan Zat Diri-Mu Yang Maha Esa, Maha Tinggi. Sekaliannya menyaksikan bahawa: ‘Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala sesuatu’ ”.
Kesedaran si hamba kepada kewujudan dirinya dan makhluk lainnya semakin bertambah. Banyak perkara telah disaksikannya, diketahui dan dikenalinya namun kesedaran yang kembali kepadanya belum cukup kuat buat dia mengenali dirinya. Si hamba berhadap kepada Hadrat Tuhannya dan bermunajat:
“Ilahi Rabbi! Engkau perlihatkan kepadaku jalan kenabian, jalan asma’ dan jalan Insan Kamil. Daku melihat sekaliannya namun daku tidak melihat diriku di atas mana-mana jalan. Ilahi Rabbi! Siapakah pula aku ini?”
Juru-bicara dari dalam dirinya menyampaikan perutusan:
“Tuhan berkehendak engkau berdiri di hadapan-Nya bukan untuk bertutur-kata, bukan untuk mendengar pertuturan-Nya, bukan untuk mengajukan pertanyaan, bukan juga untuk meminta pengetahuan, tetapi hanyalah berdiri tegak semata-mata demi untuk-Nya. Baharulah engkau benar-benar mengenali Keagungan-Nya. Jangan engkau mendahului-Nya. Bila Dia berkehendak mengucapkan tutur kata Dia akan mengucapkan tutur kata-Nya. Bila Dia berkehendak memberikan kefahaman akan ditanamkan kefahaman ke dalam hatimu. Sebelum itu berdiri tegak di dalam makammu yang rendah itu!”
Si hamba berdiri tegak. Maksud berdiri tegak adalah hati menghadap kepada Allah s.w.t secara keseluruhannya, tidak condong ke kanan atau ke kiri. Ingatan dan penghayatan hanya kepada Allah s.w.t. Suasana demikian biasa dipanggil makam alif tanpa baris. Alif yang tidak berbaris tidak bergerak dan tidak bersuara.
Makam alif berdiri tegak biasa diperkatakan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai ahli hakikat. Mereka meletakkan baris-baris pada alif, maka jadilah alif baris di atas, alif baris di bawah dan alif baris di hadapan. Bila sudah diletakkan baris alif sudah boleh bersuara. Suara alif adalah ‘a’, ‘i’ dan ‘u’. Bagi mereka a, i dan u merupakan tahap makrifat yang sangat tinggi. Berbagai-bagai ilmu dibentuk berdasarkan a, i dan u itu. Oleh kerana mereka berpegang kepada alif yang berbaris, maka mereka hanya boleh mengeluarkan bunyi, tidak boleh mengeluarkan perbuatan. Golongan ini hanya bercakap tentang iman dan tauhid tetapi tidak melakukan amalan Islam. Bagi mereka puncak makrifat yang mereka temui itu tidak memerlukan mereka beramal. Inilah golongan yang sesat dalam istilah.
Apa yang berlaku dalam perjalanan kerohanian berbeza daripada jalan yang meletakkan baris kepada alif. Makam alif berdiri tegak adalah penjelasan kepada stesen kerohanian yang ke sebelas. Pada makam ini si hamba berdiri dengan penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t, tidak ada kehendak, tidak ada permintaan dan tidak ada apa-apa melainkan menyerah kepada Allah s.w.t semata-mata. Penyerahan pada peringkat ini lebih sukar daripada penyerahan pada stesen ke sebelas dahulu. Ketika itu kesedaran dan perhatian terhadap diri sendiri tidak ada, lalu penyerahan berlaku secara spontan. Pada peringkat alif berdiri tegak, kesedaran dan perhatian kepada diri sendiri sudah mula tumbuh. Sebelum kesedaran dan perhatian terhadap diri sendiri itu menawan hati, si hamba diperintahkan supaya berdiri tegak seumpama alif, menundukkan kesedaran dan perhatiannya secara menyeluruh di bawah kekuasaan dan pengawasan penyerahan kepada Allah s.w.t. Berbuat demikian di dalam kesedaran sangatlah sukar. Pada ketika itulah si hamba teringatkan Insan Kamil dan berharap Insan Kamil membantunya. Bila timbul sahaja ingatan dan perhatian kepada Insan Kamil terhijablah ingatan, perhatian dan pandangannya daripada Tuhannya. Juru-bicara dari dalam dirinya dengan segera menegurnya:
“Tuhan berkata: ‘Bagaimana engkau mahu masuk ke dalam majlis-Ku sedangkan engkau masih menggantungkan harapan kepada selain-Ku dan engkau masih inginkan yang selain-Ku!”
Teguran tersebut sangat memeranjatkan si hamba. Tuhan tidak mahu ada di antara-Nya dengan hamba-Nya sesuatu yang lain, walaupun sesuatu yang lain itu adalah Insan Kamil atau Qutubul Aqtab atau Wali Qutub atau apa sahaja. Si hamba dengan penuh tawadhuk menyeru Tuhannya:
“Wahai Pelindung diriku. Tunjukkan daku jalan yang lurus. Arahkan diriku dengan Diri-Mu untuk menatap Wajah-Mu”.
Si hamba kembali berdiri tegak dengan Allah s.w.t dan untuk Allah s.w.t. Alif berdiri tegak di hadapan Hadrat Allah s.w.t. Allah s.w.t hadapkan Nur-Nya kepada alif. Alif hancur lebur seperti hancurnya Gunung Thursina. Alif yang hancur tidak akan wujud lagi, tidak akan ada alif yang berbaris. Alif hilang, yang ada hanyalah Nur. Nur di mana-mana, tidak ada alif, tidak ada baris dan tidak ada sesiapa pun. Pada tahap ini ‘aku’ si hamba itu juga tidak ada. Hanya Dia yang ada dan hanya Dia yang mengenali Diri-Nya, tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya. Suasana pada tahap ini menjadi penjelasan kepada suasana kerohanian pada stesen ke dua belas.
Nur menghadap kepada Zat Yang Maha Agung. Lemah longlai nur di hadapan kemaha-agungan Zat. Nur berhadapan dengan Wahdaniatik Zat yang Qiamuhu Binafsih. Zat Berdiri Dengan Sendiri, cukup lengkap sendiri-Nya, tidak memerlukan nur untuk menerangi Diri-Nya. Fanalah nur, maka nyatalah Ghaibul Ghuyub Zat. Zat menerangi Zat oleh Zat dengan Zat. Zat dalam keesaan-Nya serba cukup. Zat Melihat sendiri-Nya, Mendengar sendiri-Nya, Berpengetahuan sendiri-Nya, Berkata-kata sendiri-Nya, Hidup sendiri-Nya, Berkehendak sendiri-Nya dan Berkuasa sendiri-Nya. Zat tidak memerlukan sifat tambahan untuk muslihat Diri-Nya. Sifat yang boleh diletakkan pada Zat adalah “Melampaui segala penyifatan” dan “Tiada sesuatu serupa dengan-Nya”. Bagi-Nya Wajah tanpa rupa, Mata tanpa kelopak, Ucap tanpa suara, Ilmu tanpa halaman, Dekat tanpa mana dan Jauh tanpa hingga. Semua ini memperjelaskan stesen kerohanian yang ke tiga belas.
Zat Maha Mencintai Diri-Nya. Dia Menyaksikan Diri-Nya bersama kesempurnaan sifat Diri-Nya. Dia memperakukan bahawa:

Sesungguhnya Aku adalah Allah!Dia sendiri menamakan Diri-Nya ALLAH. Demi Cinta-Nya kepada Diri-Nya Dia menetapkan:

Tiada Tuhan melainkan Aku!Dia telah menentukan bahawa Dia adalah Tuhan dan tidak akan ada Tuhan yang selain-Nya. Selanjutnya Dia mengadakan ketentuan Siratalmustaqim (Jalan yang lurus), yang pada jalan hakikat dinamakan Khutbah Makrifat. Khutbah Makrifat yang pertama adalah:

Muhammad Rasul Allah! Bagi mengwujudkan Muhammad Rasul Allah, Dia mengadakan urusan-Nya yang dikenali sebagai Hakikat Muhammadiah iaitu pemangkin atau hijab ketuhanan yang membolehkan Muhammad diciptakan. Berasaskan kepada penciptaan Muhammad itulah sekalian makhluk diciptakan. Dia tidak akan menciptakan makhluk jika Dia tidak berkehendak menciptakan kekasih-Nya, Muhammad. Pada urusan-Nya yang dipanggil Hakikat Muhammadiah itu diletakkan-Nya maklumat atau penyaksian yang melengkapkan Khutbah Makrifat:

Tiada Tuhan melainkan Allah! Sejak Allah s.w.t mengadakan urusan-Nya yang bernama Hakikat Muhammadiah, Dia telah menetapkan bahawa “Muhammad Rasul Allah” sebelum lagi makhluk diciptakan, sebelum alam diciptakan. Oleh itu setelah Dia menciptakan makhluk, maka sekalian makhluk wajib memperakui bahawa “Muhammad Rasul Allah” walaupun Muhammad yang bertubuh badan belum diciptakan. Nabi-nabi dan rasul-rasul sejak Nabi Adam a.s bersaksikan bahawa “Muhammad Rasul Allah” walaupun mereka datang ke dunia lebih dahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w, kerana mereka menerima maklumat daripada Hakikat Muhammadiah yang padanya ada kenyataan “Muhammad Rasul Allah”. Tujuan Allah s.w.t mengadakan Urusan-Nya (Hakikat Muhammadiah) itu adalah untuk menyatakan bahawa “Tiada Tuhan melainkan Allah.” Apabila Allah s.w.t ‘menanamkan benih’ “Tiada Tuhan melainkan Allah” pada Hakikat Muhammadiah, maka kemunculan makhluk yang ‘bersumberkan’ Hakikat Muhammadiah itu tidak mempunyai kekuatan untuk melahirkan Tuhan yang lain daripada-Nya. Sekali-kali tidak mungkin akan ada Tuhan yang selain Allah s.w.t. Termetrailah kedudukan-Nya sebagai Zat al-Haq, Yang Mutlak dan Ghaibul Ghuyub, terpelihara keagungan-Nya daripada dijangkau oleh sesuatu yang lain daripada Diri-Nya.
Semua kewujudan dibina di atas tapak tauhid. Hakikat Muhammadiah menerima amanah tauhid dan berkewajipan menanggung dan menyebarkannya sebagai Rasul Allah yang menjadi rahmat ke seluruh alam.
Hakikat Muhammadiah sebagai Urusan Allah s.w.t dipanggil Nur Allah. Pada Hakikat Muhammadiah dibekalkan maklumat yang lengkap tentang makhluk yang akan Allah s.w.t ciptakan. Dalam aspek ini Hakikat Muhammadiah dipanggil Hakikat Insan atau Hakikat Alam. Ia dipanggil juga Nur Muhammad. Sebab itu biasa dikatakan sekalian makhluk diciptakan daripada Nur Muhammad. Ia membawa maksud segala kejadian diciptakan menurut apa yang ada pada ketentuan Allah s.w.t, pada suasana hakikat yang dipanggil Nur Muhammad atau Hakikat Insan. Wajah atau aspek Hakikat Muhammadiah yang menghala kepada Allah s.w.t, yang menjadi hijab ketuhanan, dinamakan Nur Allah. Wajah atau aspek Hakikat Muhammadiah yang menghala kepada penciptaan makhluk, termasuklah penciptaan Nabi Muhammad s.a.w, dinamakan Nur Muhammad.
Pada Hakikat Muhammadiah dibekalkan pengetahuan dan pengenalan yang lengkap tentang Tuhan. Pada Hakikat Muhammadiah juga dibekalkan maklumat yang lengkap tentang pengabdian kepada Tuhan. Dalam wajah atau aspek ini Hakikat Muhammadiah dikenali sebagai Insan Kamil. Insan Kamil yang mengenali Tuhan dengan sempurna dan mengetahui cara mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sempurna. Apabila Insan Kamil menghala kepada manusia-manusia yang sempurna yang ada di bumi, yang mengetahui dan mengenal Tuhan dengan sempurna dan juga mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sempurna, Insan Kamil dikenali sebagai Hakikat Abdul Rab (hakikat hamba Tuhan). Kesempurnaan ilmu, makrifat dan pengabdian kepada Tuhan yang paling tinggi dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, kekasih-Nya dan hamba-Nya. Setingkat di bawah kedudukan Rasulullah s.a.w adalah golongan nabi-nabi. Di bawah daripada golongan Nabi-nabi adalah golongan wali-wali, siddiqin dan orang-orang salih. Mereka adalah kumpulan manusia yang berhakikatkan Hakikat Abdul Rab. Ketua agung bagi sekalian Abdul Rab adalah Nabi Muhammad s.a.w dan baginda s.a.w dikenali sebagai Abdul Allah (Hamba Allah). Manusia sempurna yang lain berhakikatkan Nama-nama Tuhan yang selain Nama Allah. Mereka berkedudukan sebagai Abdul Malik, Abdul Rahman, Abdul Latif, Abdul Karim dan sebagainya. Setiap Abdul Rab akan mempamerkan hakikat ketuhanan yang menguasainya. Pada Hakikat Abdul Rab (hakikat hamba Tuhan) diletakkan penyaksian Khutbah Makrifat:
http://alhakiki.tripod.com/036h.JPG
Tiada Tuhan melainkan Allah. Muhammad Rasul Allah. Hakikat kehambaan ditemui dalam Hakikat Muhammadiah. Apabila si hamba menemui hakikat kehambaan yang menguasainya, maka terbentuklah perakuan, perhatian dan kesedaran yang teguh tentang kewujudan yang Tuhan kurniakan kepadanya. Kesedaran pada peringkat ini adalah kesedaran dalam Ilmu. Si hamba menyaksikan hakikat dirinya dalam Ilmu Allah s.w.t. Dalam Ilmu Allah, si hamba melihat hakikat dirinya sebagai Abdul Rab yang dipersiapkan untuk menjadi hamba-Nya. Dalam suasana Ilmu Allah s.w.t itulah si hamba menyaksikan Kudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama’, Bashar dan Kalam Tuhan. Perhatian kepada sifat-sifat Tuhan menyedarkan si hamba tentang pergantungannya kepada sifat-sifat tersebut. Dia menumpang sifat-sifat Tuhan dan kerana itu dia kembali menyedari sifat-sifat atau bakat-bakat yang ada dengan dirinya, iaitu berkuasa, berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar, melihat dan berkata-kata. Si hamba menyaksikan semua bakat-bakat tersebut sebagai medan kehambaannya kepada Tuhan. Orang yang telah meletakkan baris pada alif hanya melihat bakat berkata-kata, lantaran itu mereka hanya bercakap tentang iman, tauhid dan makrifat tanpa beramal. Si hamba yang menemui kembali bakat dirinya setelah memperolehi kesedaran Abdul Rab, bukan hanya bercakap tetapi juga melaksanakan amal yang menunjukkan kehambaan kepada Tuhan. Inilah perbezaan besar di antara jalan yang menetap dalam kehambaan dengan jalan yang membuang kehambaan.


HAKIKAT ABDUL RAB

Jalan Hakikat Abdul Rab (hamba Tuhan) jarang ditemui kerana kebanyakan manusia mencari Insan Kamil. Mereka menyangkakan menjadi Insan Kamil merupakan kemuncak pencapaian. Mereka tidak tahu bahawa menjadi Hamba Tuhan itulah kesempurnaan jalan. Orang yang benar dengan Allah s.w.t ‘menemui’ Insan Kamil untuk dibawa kepada jalan Hamba Tuhan. Insan Kamil berperanan membuka jalan kehambaan kerana Insan Kamil mempunyai ilmu yang sempurna tentang Allah s.w.t dan pengabdian kepada-Nya. Salinan Insan Kamil yang paling sempurna, Nabi Muhammad s.a.w, membawa sahabat-sahabat baginda s.a.w ke jalan menghambakan diri kepada Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Mereka tidak mengejar makam-makam dan martabat dan tidak juga mengejar kekeramatan. Makam yang mereka tuntut ialah makam hamba Tuhan. Martabat yang mereka cari adalah ketakwaan kepada Tuhan. Kekeramatan yang mereka kejar adalah berjihad pada jalan Tuhan.
Si hamba bergerak jauh daripada daerah Insan Kamil. Pengetahuan dan pengenalan yang diperolehinya daripada ‘pertemuan’ dengan Insan Kamil itu sangat berguna bagi memperkuatkan kehambaannya. Berbekalkan pengetahuan dan pengenalan tersebut dia meneruskan perjalanannya bagi mencari kedudukannya sebagai seorang hamba Tuhan. Pada tahap ini kesedaran kemanusiaannya belum kembali sepenuhnya. Dia masih lagi dikuasai oleh kesedaran dalam Ilmu.
Kemudian si hamba mendengar Juru-bicara dari dalam dirinya membacakan:

Masuklah engkau (Abdul Rab) ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah engkau ke dalam syurga-Ku. ( Ayat 30 : Surah al-Fajr )
Ketika menaik, pada stesen ke sembilan, si hamba mendengar bacaan di atas sebagai ujian. Pada peringkat kesedaran di dalam Ilmu ini pula ayat tersebut merupakan perintah. Dia diperintahkan keluar daripada kesedaran Ilmu dan masuk sepenuhnya ke dalam kesedaran kemanusiaan. Syurga adalah barzakh atau sempadan atau pun suasana peralihan di antara kesedaran Ilmu dengan kesedaran kemanusiaan, kesedaran hakikat dengan kesedaran insan, suasana Pemerintah dengan suasana yang diperintah. Jasad Adam a.s diciptakan di dalam syurga dan di dalam syurga juga ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t. Di dalam syurga wujud yang diperintah menerima bakat dan keupayaan daripada wujud yang memerintah. Anasir jasad dicantumkan dengan anasir rohani di dalam syurga kerana satu tujuan:

Sesungguhnya Aku hendak ciptakan khalifah di bumi. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah ) Roh yang membawa bakat kekhalifahan berjumpa dengan jasad yang menyatakan bakat kekhalifahan itu. Pertemuan itu berlaku di dalam syurga. Pada peringkat ini si hamba yang di dalam kesedaran Ilmu itu menyaksikan jalan penurunan ke Alam Arwah, daripada kesedaran Ilmu kepada kesedaran rohani.
Sebelum keluar daripada kesedaran Ilmu si hamba diberi kekuatan untuk menghadapi dunia yang akan menjadi tempat menetapnya nanti sehingga ke akhir hayatnya. Si hamba tidak perlu takut kepada kehuru-haraan dunia kerana dengan izin Allah s.w.t kekuasaan dunia telah dicabut daripadanya sewaktu dia melalui proses menaik dahulu melalui suasana:

Matilah kamu sebelum kamu mati. ( Maksud Hadis ) Kesedaran terhadap hakikat ketuhanan iaitu Hakikat Abdul Rab, yang menguasainya memberinya kekuatan untuk menghadapi apa yang selain Tuhan. Hamba yang kembali ‘bersama’ Hakikat Abdul Rab merasakan dirinya yang lama sudah ‘kiamat’ dan diri yang baharu bergerak menurut kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Tuhan menceritakan suasana sesudah kiamat:

Pada hari yang akan digantikan bumi ini dengan bumi lain dan semua langit juga. Dan akan tampil mereka ke hadapan Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa. ( Ayat 48 : Surah Ibrahim )
Hamba yang menyaksikan penguasaan ketuhanan terhadap dirinya kembali kepada kesedaran rohani dalam keadaan seolah-olah telah berlaku kiamat dan segala sesuatu diheret ke hadapan Allah, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Tidak akan ada sesuatu yang keluar daripada kekuasaan dan keperkasaan Tuhan.
Ketika di dalam kesedaran rohani itu si hamba mendapat pengetahuan yang jelas bahawa kesempurnaan jalan bagi kehidupan di bumi adalah gabungan jalan kenabian dan jalan asma’. Jalan kenabian adalah syariat, iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )
Jalan Asma’ adalah menyaksikan Rububiah atau hakikat ketuhanan atau pun urusan Tuhan, pada setiap masa dan dalam semua suasana.

Apa sahaja yang melata ubun-ubunnya adalah dalam genggaman Tuhannya. Dan Tuhanku berada di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )

Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melimpar ketika kamu melimpar tetapi Allah yang melimpar, kerana Dia mahu memberi kemenangan kepada orang-orang yang beriman dari (jihad) itu satu nikmat yang baik. Sesungguhnya Allah Mendengar, Melihat. ( Ayat 17 : Surah al-Anfal )
Kesempurnaan jalan yang menggabungkan kedua-dua jalan tersebut, iaitu bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah s.w.t dan tidak lalai daripada mengingati serta memperhatikan sesuatu tentang-Nya pada setiap waktu dan semua suasana.
Dalam kesedaran rohani si hamba menyaksikan:

Ya Allah! Engkau adalah Tuhan dan daku adalah hamba-Mu. Ketika di dalam kesedaran rohani itu juga si hamba memperakui kewujudannya yang berjasad. Gabungan rohani dan jasad si hamba menyaksikan:

Aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad adalah Rasul Allah.Itulah penyaksian seorang insan yang menanggung amanah:
1: Rukun Islam.
2: Rukun Iman.
3: Rukun Ihsan
Kepada para insan yang berpegang teguh dengan amanah tersebut dibacakan ayat penetapan:
Ingatlah! Bahawa sesungguhnya aulia Allah itu tidak mereka takut dan tidak mereka berdukacita. Mereka adalah beriman dan mereka sebenarnya bertakwa. Mereka mendapat berita gembira di kehidupan dunia dan di hari akhirat; tiada lagi perubahan pada ketentuan Allah, itulah keuntungan yang besar.
( Ayat 62 – 64 : Surah Yunus )Si hamba memasuki daerah kesedaran rohani dengan munajat:
“Ilahi! Daku bukan seorang abid, maka daku tidak kuat beribadat. Daku bukan seorang alim, maka daku tidak tahu menyeru. Daku hanyalah seorang penyerah, maka terimalah daku. Lakukan apa yang Engkau mahu dengan diriku. Daku jualkan diriku kepada-Mu. Harganya adalah sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Engkau ambillah diriku dan kurniakan kepadaku sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Izinkan daku memakai pakaian sebagai hamba-Mu”.

Kemudian si hamba membacakan:

Katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkan daku dengan kemasukan yang baik dan keluarkan daku dengan keluaran yang baik. Dan jadikanlah untukku pertolongan yang langsung dari-Mu sebagai kekuatan yang menolong”. ( Ayat 80 : Surah Bani Israil )
“Engkau jualah Pelindung diriku, yang memfitrahkan daku untuk berdiri di antara kedua Tangan-Mu, Jalal dan Jamal-Mu, dan menetapkan daku dalam makam Hadrat-Mu. Nur-Mu yang menjadi perisai melindungi daku dalam melaksanakan perintah dan peraturan-Mu”.

Maha Suci Engkau, Tuhanku, Tuhan Yang Maha Perkasa dari apa yang mereka sifatkan. Dan salam sejahtera atas sekalian yang diutus. Dan segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kemudian si hamba mengalami suasana kebatinan yang digambarkan sebagai “dinding Kaabatullah terbuka dan terbentanglah bumi baharu yang rata dan sangat luas, dilengkungi oleh Rahmaniat Tuhan”. Si hamba diterangi oleh cahaya Hakikat Ahmadiah.

37. Menuju Kesedaran Insani
HAKIKAT AHMADIAH


Suasana Ilmu Allah diumpamakan berada dalam Kaabatullah. Orang yang berada di dalam kota tidak dapat menyaksikan apa yang ada di luar kota. Kota menghalang perhubungan orang yang berada di dalam dengan orang yang berada di luar. Dalam perjalanan kerohanian kota yang menghijab adalah kesedaran yang menguasai hati. Hati yang terbungkus dan terikat oleh suasana kebatinan yang menguasainya. Hati yang ‘terkurung’ di dalam suasana Ilmu tidak dapat bercampur gaul dengan orang ramai.
Suasana hakikat yang dialami oleh hati memberi kesan yang sangat mendalam. Ia tidak hilang dengan serta merta walaupun berlaku perubahan stesen dan makam. Apabila “dinding Kaabatullah terbuka” si hamba keluar daripada kesedaran Ilmu dan masuk kepada kesedaran rohani yang belum terikat dengan jasad. Pada permulaan peringkat ini kesan daripada ‘pertemuan’ dengan hakikat-hakikat masih lagi mempengaruhi kesedarannya. Pengaruh atau kesan daripada hakikat-hakikat tersebut membawa ke dalam kesedarannya penyaksian terhadap Hakikat Ahmadiah. Hatinya menyaksikan bahawa Ahmad adalah suasana roh yang paling latif, paling suci dan paling murni. Ahmad adalah nama bagi roh yang mempunyai kesempurnaan makrifat, kesempurnaan ilmu dan kesempurnaan kehambaan. Ahmad atau roh yang paling latif itulah menjadi roh kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Dan ingatlah tatkala berkata Isa anak Maryam: “Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku ini adalah Utusan Allah kepada kamu, membenarkan apa yang ada di antara kedua tanganku daripada Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya AHMAD!” Maka tatkala dia telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, “Ini adalah sihir yang nyata”. ( Ayat 6 : Surah as-Saff )
Sebelum Nabi Muhammad s.a.w lahir ke dunia baginda s.a.w disaksikan pada Alam Arwah sebagai Ahmad. Sesudah baginda s.a.w dilahirkan baginda s.a.w dinamakan Muhammad dan juga bergelar Ahmad. Dalam kesedaran peringkat Ilmu, si hamba merasai kehadiran Hakikat Muhammadiah, Hakikat Insan Kamil dan hakikat hamba Tuhan. Dia melihat Hakikat-hakikat tersebut sebagai urusan Tuhan yang menguasai perjalanan sekalian makhluk. Dalam kesedaran rohani pula si hamba merasai kehadiran Hakikat Ahmadiah dan dia menyaksikan bahawa roh yang paling latif itulah penjana segala urusan Tuhan kepada makhluk.

Dan mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah: “Roh itu adalah urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit”. ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )

(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah kamu meniarap kepadanya dalam keadaan sujud”. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )
Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy. Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada barangsiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )
Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Kewujudan roh yang paling latif itulah menyebabkan manusia memiliki bakat dan nilai kemanusiaan; manusia menjadi hidup, berkuasa, berkehendak, mengetahui, mendengar, melihat dan berkata-kata. Tanpa kewujudan roh yang paling latif atau Ahmad sebagai pemangkin atau hijab, apa yang daripada Tuhan tidak dapat diterima oleh makhluk. Makhluk yang selain roh yang paling latif itu tidak ada kekuatan untuk menyambut apa yang Tuhan ‘hantarkan’ daripada Hadrat-Nya.


HAKIKAT KHALIFAH


Dari kalangan hamba-hamba-Nya dipilihnya sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan dibukakan hijab di antara hamba-Nya itu dengan cahaya roh yang paling latif itu. Hamba yang ada perkaitan dengan roh yang paling latif secara demikian berkedudukan sebagai khalifah Allah. Khalifah Allah peringkat paling tinggi adalah golongan nabi-nabi, diikuti oleh golongan wali-wali dan orang salih. Khalifah Allah bertugas memberi peringatan tentang hari pertemuan dengan Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa. Mereka membimbing umat manusia kepada jalan yang lurus iaitu jalan Tuhan sekalian alam.
Hamba yang berkedudukan sebagai khalifah Allah telah dibawa kepada makam penyaksian yang meneguhkan keyakinan mereka, sebagaimana Allah s.w.t meneguhkan keyakinan Nabi Ibrahim a.s.

Dan demikianlah Kami bukakan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi supaya jadilah dia daripada orang-orang yang benar-benar yakin. ( Ayat 75 : Surah al-An’aam )
Keyakinan yang sebenarnya membawa hamba kepada suasana:

Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada yang menjadikan semua langit dan bumi, dengan ikhlas, dan tidaklah aku daripada orang-orang yang mempersekutukan-Nya. ( Ayat 79 : Surah al-An’aam )
Hamba yang sejati adalah hamba yang dapat melakukan “menghadap wajahnya kepada Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, dengan ikhlas dan tidak mempersekutukan-Nya”. Inilah makam yang paling tinggi boleh dicapai oleh seorang hamba Tuhan. Wajah hamba Tuhan menghadap kepada Yang Hakiki. Dia juga menyaksikan kerajaan-Nya. Perbuatan zahirnya dan amalan hatinya ikhlas kerana Allah s.w.t, bersih daripada syirik. Itulah para hamba yang layak bergelar khalifah Allah. Kepada mereka Allah s.w.t tujukan firman-Nya:

Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami adalah Allah!” kemudian mereka tetap lurus, nescaya akan turun kepada mereka malaikat (yang berkata), “Jangan kamu takut dan jangan kamu berdukacita dan bergiranglah dengan syurga yang pernah dijanjikan kepada kamu. Kami adalah pelindung-pelindung kamu pada penghidupan di dunia dan pada akhirat, dan untuk kamu di dalamnya apa sahaja keinginan dirimu dan untuk kamu di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai jamuan dari Pengampun, Penyayang”. ( Ayat 30 – 32 : Surah Fussilat )

Mereka adalah golongan yang menerima pembentukan yang paling baik daripada Allah s.w.t.
Pencelupan Allah! Dan siapakah yang lebih baik pencelupannya daripada Allah? Dan akan Dia jualah kami menyembah. ( Ayat 138 : Surah al-Baqarah)
Mereka yang menerima pencelupan yang paling baik adalah yang kekal di dalam kehambaan, mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, menyembah-Nya dan melaksanakan perintah dan peraturan-Nya. Mereka memulakan perjalanan sebagai hamba dan kembali sebagai hamba juga. Segala pengalaman kerohanian yang dilalui adalah untuk memperteguhkan kehambaan itu, menyesuaikan diri dengan al-Quran dan as-Sunah, mencontohi kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat yang mendapat keredaan Allah s.w.t. Mereka kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa seperti semula kerana tanpa kesedaran kemanusiaan hukum dan peraturan Tuhan tidak dapat dilaksanakan. Manusialah yang diangkat menjadi Rasul dan manusia juga yang mengembangkan ajaran Tuhan. Malaikat tidak diangkat menjadi Rasul untuk memimpin manusia. Tuhan memilih dari kalangan manusia juga untuk memimpin umat manusia. Sekalipun ada orang yang diizinkan mengalami berbagai-bagai suasana hakikat tetapi itu bukanlah matlamat. Matlamatnya adalah membentuk insan yang layak dipanggil umat Nabi Muhammad s.a.w yang berkedudukan sebagai hamba Tuhan.
Si hamba telah memanjat gunung yang tinggi. Dengan izin dan melalui bimbingan-Nya si hamba itu terselamat daripada segala bahaya yang ada di sepanjang jalan. Bahaya yang besar ada dua jenis. Bahaya jenis pertama datangnya daripada luar, dibawa oleh syaitan, dunia yang menipu daya dan makhluk yang menjadi agen syaitan. Bahaya tersebut dijumpai dalam perjalanan menuju Tuhan. Penghapusan kesedaran diri menjadi penawar bagi menghancurkan bahaya tersebut. Setelah melepasi bahaya yang datang daripada luar itu si hamba berhadapan pula dengan bahaya yang datang daripada dirinya sendiri yang bergerak melalui hawa nafsunya, memakai pakaian kehendak, cita-cita, angan-angan dan harapan. Selagi si hamba mempunyai kemahuan yang keras atau cita-cita yang kuat dia tidak akan selamat daripada bahaya dirinya. Nafsu mudah terangsang oleh sifat Rabbaniah (sifat ketuhanan). Nafsu mudah lupa diri dan memakai sifat yang tidak layak dipakai olehnya. Bahaya jenis ini hanya terhapus melalui penyerahan kepada Allah s.w.t secara menyeluruh dan mengikat dirinya dengan tali kehambaan walau bagaimana tinggi kedudukan yang dicapainya.
Dalam perjalanan menaik si hamba melepaskan segala hak kepada Yang Empunya Hak seperti orang membuka pakaiannya dan diserahkannya kepada Tuan pakaian. Penelanjangan secara menyeluruh atau tajrid menjadi kenderaannya. Di dalam kenderaan tajrid tidak ada ilmu dan tidak ada makrifat. Si hamba semata-mata berdiri tegak demi Wajah Allah s.w.t, untuk-Nya semata-mata dan bersama-Nya dalam segala perkara dan semua ketika. Si hamba menitipkan namanya, sifatnya dan kewujudannya kepada Allah s.w.t sehingga dia masuk ke Hadrat-Nya tanpa nama, tanpa sifat, tanpa perhatian kepada diri sendiri dan makhluk lainnya juga tidak ada. Pengalaman hakikat-hakikat tidak melepaskan pandangannya kepada Allah s.w.t. Insan kamil juga tidak boleh menjadi hijab di antara hamba dengan Allah s.w.t. Si hamba masuk ke Hadrat Allah s.w.t tanpa sebarang bekal. Penyerahan itulah kekuatan sejati yang menggerakkannya untuk maju terus sehingga sampai kepada matlamat.
Kini Allah s.w.t kembalikan apa yang diserahkan kepada-Nya untuk dijaga. Tuan pakaian mengembalikan pakaiannya dan dia diizinkan memakai pakaian tersebut sebagai menyatakan bahawa dia adalah hamba Tuhan. Bila si hamba memakai pakaian hamba Tuhan maka Tuhan menguruskan kehidupannya, sebagaimana yang dilakukan oleh Tuan terhadap hamba-Nya.
Peringkat permulaan kembali kepada kesedaran kemanusiaan si hamba hanya menyaksikan kekuasaan Tuhan semata-mata. Dia tidak melihat keberkesanan hukum yang Tuhan letakkan pada makhluk-Nya. Hatinya melihat bahawa makhluk dengan zat dirinya tidak memiliki apa-apa kuasa, tidak berupaya mendatangkan manfaat atau mudarat. Dalam kesedaran yang demikian jika dia berhadapan dengan ribut kencang dia tidak akan mencari perlindungan. Jika dia berhadapan dengan kilat dan petir juga dia tidak mencari perlindungan. Jika matanya berbetulan memandang kepada matahari dia tidak bersegera mengalihkan pandangannya. Dalam menghadapi semua yang kelihatan memberi kesan itu hatinya berkata, “Kamu adalah makhluk Tuhan. Kamu tidak ada kuasa membinasakan daku. Hanya Tuhan yang memiliki kekuasaan”. Keyakinan yang kuat kepada Tuhan melindunginya. Bila dia menghadapi anasir alam dengan meletakkan pergantungan bulat kepada Tuhan perkara yang menggerunkan bertukar menjadi ‘jinak’ dan ‘mesra.’ Angin kencang mengeluarkan lagu yang merdu. Cahaya kilat menjadi permainan bunga api yang indah. Matahari yang sedang terik memancar kelihatan suram, menyentuh bola mata dengan lemah lembut.
Ketika berada pada tahap ini si hamba tidak tahu berterima kasih kepada sesama manusia. Dia hanya melihat Tuhan yang memberi. Bila dia bergerak lebih jauh ke dalam kesedaran keinsanan pandangannya akan berubah. Jika dia menerima sesuatu daripada makhluk, sekalipun dia melihat Pemberi sebenar adalah Tuhan, tetapi dia sudah dapat menghargai makhluk yang dipilih oleh Tuhan menjadi utusan yang menyampaikan kurniaan Tuhan itu dan dia berterima kasih kepadanya. Terima kasih kepada makhluk dan syukur kepada Tuhan boleh berlaku dalam satu masa. Dia juga sudah boleh menghormati anasir-anasir alam yang memberi kesan kerana dia melihat Tuhan yang meletakkan kesan tersebut kepada mereka. Sebagai menghormati dan menerima peraturan Tuhan dia memperakui kesan yang ada dengan anasir-anasir tersebut. Dia sudah boleh melihat bahawa angin, kilat dan matahari boleh membinasakan dengan izin Allah s.w.t. Kesan yang Tuhan letakkan kepada anasir-anasir tersebut merupakan keizinan Tuhan kepada mereka untuk berfungsi menurut fitrah masing-masing.
Si hamba yang dibawa kembali kepada kesedaran keinsanannya dan ditentukan untuk menjalani sesuatu tugas khusus sebagai hamba Tuhan akan terlebih dahulu dibawa kepada pengalaman kehadiran Hakikat Habiballah, kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

38. Menuju Penetapan Insan Hamba Tuhan

HAKIKAT HABIBALLAH

Kehadiran Habiballah berbeza daripada kehadiran Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil membawa makrifat tentang urusan dan pentadbiran Tuhan. Habiballah pula memperingatkan si hamba tentang kedudukannya sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi, di dalam dunia, mempunyai tugas untuk dilaksanakan. Kehadiran Habiballah membawa si hamba menyaksikan seorang insan yang paling sempurna bergelar kekasih Allah. Insan tersebut adalah Nabi Muhammad s.a.w, manusia maksum yang tidak pernah melakukan kesalahan. Inilah manusia yang paling baik untuk dijadikan contoh teladan. Selagi belum sesuai dengan Sunah baginda s.a.w selagi itulah pencarian belum berakhir. Jangan menyangka orang yang asyik dengan Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil itu telah mencapai kesempurnaan. Kesempurnaan yang sebenar telah ditunjukkan oleh seorang manusia yang telah menerima dengan lengkap, penuh dan sempurna segala bakat dan keupayaan yang tersimpan pada Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Nabi Muhammad s.a.w, Muhammad bin Abdullah yang berbangsa Arab, itulah cermin yang sempurna bagi Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Jika ada orang mendakwa dirinya bermakrifat dengan Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil sedangkan dia berada pada jalan yang berbeza daripada jalan Nabi Muhammad s.a.w, sesungguhnya dakwaan orang itu adalah tidak benar. Orang berkenaan telah diserkup oleh kekeliruan di suatu peringkat dalam perjalanannya. Pencariannya belum berakhir. Kebenaran yang sejati belum ditemuinya. Mungkin kesan kefanaan dan mabuk belum terhapus sepenuhnya daripada hatinya.
Tanda seseorang itu belum pulih daripada kefanaan, mabuk dan kebaqaan adalah dia masih mencari-cari hakikat dirinya, makam dirinya dan mengintai-intai kalau-kalau namanya ada dalam senarai wali-wali agung. Dia masih lagi melihat hakikat dirinya pada makam ketuhanan, masih dikuasai oleh suasana Ilmu dan dia tidak berselera melakukan amalan syariat. Dia masih lagi dalam keadaan menanti-nanti sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa yang dinantikannya. Orang seperti ini perlu mengucapkan salawat banyak-banyak, mudah-mudahan dia mengenali Muhammad Habiballah yang sebenarnya. Bila Muhammad Habiballah sudah dikenali, maka semua pengalaman kerohanian yang sudah dilalui akan menjadi kenangan manis. Ia menjadi modal bagi seseorang mencari keuntungan di dalam syariat. Syariat adalah medan perniagaan yang luas. Modal yang tidak dilaburkan di dalam syariat tidak akan berkembang. Lama kelamaan modal tersebut akan kehabisan.
Ada orang yang telah mengalami hakikat mendapati sukar untuk masuk semula kepada syariat. Sekalipun mereka tidak membuang syariat mereka lebih suka ‘membawa diri’ daripada menyertai kegiatan orang ramai seperti yang dianjurkan oleh syariat. Ada di antara mereka yang tidak bersembahyang Jumaat bersama-sama dengan orang ramai. Mereka tidak mencegah kemunkaran yang berlaku di hadapan mata mereka. Mereka tidak mengajak orang lain kepada yang makruf. Sikap menyepi diri biasa ditemui pada orang yang melalui jalan hakikat.
Dalam perjalanan menaik seseorang itu mengalami keadaan fikirannya menjadi tidak aktif, kehendaknya menjadi lemah dan perhatian terhadap diri sendiri dan orang lain menjadi berkurangan. Dia kemudian sampai kepada satu tahap di mana semua itu tidak berfungsi seperti biasa. Segala-galanya hilang daripada kesedarannya, yang ada hanyalah Allah s.w.t. Dia hanya inginkan Allah s.w.t, ingatkan Allah s.w.t dan kasihkan Allah s.w.t. Hal ini meninggalkan kesan yang lama pada hati walaupun dia telah kembali kepada kesedaran kemanusiaan. Hati yang sudah dipenuhi dengan Allah s.w.t sukar menerima kehadiran yang lain, yang dirasakannya mencabar kedudukan Allah s.w.t dalam hatinya. Dia bimbang dengan memberi perhatian kepada makhluk akan berkurangan perhatiannya kepada Allah s.w.t. Suasana begini sukar diperbetulkan. Ia memerlukan kehadiran suasana yang lain yang lebih kuat baharulah hatinya tunduk dan menyerah kepada suasana baharu yang lebih kuat itu.
Kehadiran Habiballah memainkan peranan penting dalam menolak seseorang ahli hakikat ke dalam syariat secara menyeluruh. Tidak ada manusia yang kasihkan Allah s.w.t melebihi Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada manusia yang memberi perhatian kepada Allah s.w.t melebihi Nabi Muhammad s.a.w. Kasih dan perhatian Nabi Muhammad s.a.w kepada Allah s.w.t tidak menutup kasih dan perhatian baginda s.a.w kepada makhluk Allah. Kesibukan baginda s.a.w melayani orang ramai tidak menyebabkan baginda s.a.w lalai daripada mengingati Allah s.w.t. Pada yang demikian tersembunyi rahsia besar. Bagaimana hati yang mempunyai satu muka boleh berhadap kepada dua perkara dalam satu masa. Inilah yang dinamakan rahsia syariat. Syariat mengajar manusia mengenali Yang Esa melalui dua perkara yang berlawanan. Manusia yang mempunyai akal, hati dan dua aspek yang berlawanan pada dirinya, seperti kanan dengan kiri, menjadi bekas yang paling sesuai menerima syariat. Malaikat yang diciptakan dengan satu aspek sahaja, iaitu tidak ada lelaki dan perempuan juga tidak ada kanan dan kiri, tidak sesuai menanggung syariat. Manusia yang mempunyai dua nilai yang bertentangan pada dirinya boleh mengenal Tuhan melalui nilai-nilai tersebut. Semakin manusia menggunakan bakat dan nilai yang ada pada dirinya semakin dia mengenal Tuhan. Menggunakan bakat dan nilai yang ada pada diri merupakan sebaik-baik jalan untuk mengenal Tuhan. Tuhan dikenali kerana ada makhluk Tuhan. Berbakti kepada makhluk Tuhan atas dasar mentaati peraturan Tuhan menambahkan ingatan dan pengenalan kepada Tuhan. Sebab itulah kesibukan melayani makhluk Tuhan tidak membuat hati lalai daripada mengingati Tuhan, malah ingatan kepada-Nya menjadi lebih kuat lagi. Kesedaran tentang perkara ini diperolehi melalui kehadiran Muhammad Habiballah yang telah mempraktikkan yang demikian sepanjang hidup baginda s.a.w. Jika perhatian seseorang hanya tertumpu kepada Muhammad dalam hakikat atau Muhammad Insan Kamil, kesedaran tersebut tidak muncul. Muhammad Habiballah yang membimbing manusia kembali kepada kesedaran kemanusiaan sepenuhnya dan menggunakan bakat serta nilai diri untuk berbakti kepada Allah s.w.t secara langsung atau secara tidak langsung melalui khidmat-bakti kepada makhluk-Nya. Orang yang tidak berjumpa dengan kebenaran Muhammad Habiballah mendapati sukar untuk menetapkan kesedaran kemanusiaannya dan berkecimpung di dalam kegiatan masyarakat.
Orang yang memasuki jalan pelarutan diri ke dalam hakikat sukar kembali kepada kesedaran kemanusiaan. Bila ‘bertembung’ dengan Hakikat Allah s.w.t dia merasakan dirinya adalah Allah s.w.t. Bila ‘bertembung’ dengan Hakikat Muhammadiah dia merasakan dirinya adalah Muhammad. Bila ‘bertembung’ dengan Hakikat Insan Kamil dia merasakan dirinya adalah Insan Kamil. Bila ‘bertembung’ dengan Habiballah dia merasakan dirinya adalah Habiballah. Sukar baginya untuk keluar daripada mabuk untuk menyaksikan kebenaran yang sebenar-benarnya benar. Mabuk menjadi hijab menutup pandangannya daripada melihat dan menerima kenyataan. Orang yang seperti ini mungkin menerima penyerapan yang berkekalan oleh hakikat yang menguasai hatinya. Dia akan menjadi ujian kepada orang ramai, terutamanya mereka yang berminat kepada jalan hakikat.
Perkataan orang yang di dalam mabuk mengenai hakikat dan penyatuan dengan Tuhan memang seronok didengar. Manusia memang cenderung kepada perkara ganjil. Ujian akan berubah menjadi fitnah apabila orang yang di dalam mabuk mengeluarkan kekeramatan yang menyebabkan orang-orang jahil yang lemah iman memegang sepenuhnya perkataan orang yang di dalam mabuk itu. Orang yang di dalam mabuk berhak dimaafkan jika dia mengeluarkan ucapan yang menyalahi syariat tetapi orang yang di dalam kesedaran jika ikut yang demikian dia berhak dihukumkan kufur. Mereka wajib bertaubat dan kembali kepada jalan kenabian.
Orang yang berminat dalam soal-soal kerohanian mestilah yakin bahawa kebenaran yang paling tinggi bukanlah menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Kebenaran yang tertinggi adalah menjadi hamba Tuhan. Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil boleh dilihat sebagai Hamba Allah kerana kedua-duanya bergantung kepada Allah s.w.t, bukan berdiri dengan sendiri. Hamba Allah dalam suasana ketuhanan dipanggil Urusan Allah bagi membezakannya dengan makhluk yang mendiami alam. Urusan Allah adalah kewujudan di dalam Ilmu Allah, bukan kewujudan di dalam alam. Ilmu Allah tidak menempati ruang dan zaman. Ia juga bukan bertempat di dalam hati manusia. Hati hanya diizinkan merasai suasana Hadrat atau kehadiran hakikat bukan berhadapan dengan hakikat yang sebenar. Merasai kehadiran Insan Kamil bukan bermakna Insan Kamil benar-benar ada di hadapan. Merasakan menjadi Insan Kamil bukan bermakna benar-benar menjadi Insan Kamil. Merasakan menjadi Insan Kamil adalah suasana mabuk. Merasai kehadiran Insan Kamil pula adalah suasana menerima kenyataan Insan Kamil itu. Merasai kehadiran Allah s.w.t pula bermakna menerima kenyataan Allah s.w.t. Ia disebut juga ayat-ayat Allah, sifat-sifat Allah, nama-nama Allah, tanda-tanda Allah dan sebagainya. Walaupun digunakan istilah-istilah yang tidak pernah didengar seperti Lahut, Balhut, Ghaibul Ghuyub, Ghaibul Mutlak dan lain-lain, semuanya bukanlah Allah s.w.t tetapi hanyalah cerita tentang Allah s.w.t. Cerita yang paling baik dan paling benar mengenai Allah s.w.t adalah cerita daripada al-Quran. Tidak ada cerita lain yang kebenarannya mengatasi apa yang diceritakan oleh al-Quran. Oleh itu apabila mendengar cerita daripada mana-mana sumber rujuk semula kepada cerita al-Quran. Jangan diikuti orang yang di dalam mabuk kerana orang yang demikian sudah hilang pertimbangan.
Dalam perjalanan kerohanian, apabila ‘berjumpa’ dengan kehadiran Habiballah baharulah fikiran terbuka luas, begitu juga dengan kesedaran diri. Sebelum itu jiwa seseorang seumpama berada di dalam laut, dilambung oleh gelombang. Sekalipun tidak mabuk namun ‘pening-pening lalat’ tetap juga ada.
Dalam perjalanan kerohanian seseorang itu memasuki empat tahap kesedaran diri. Tahap pertama adalah kesedaran nafsu, dibahasakan sebagai Alam Nasut atau alam jasad. Kesedaran nafsu mengarahkan kepada ingatan yang jahat, melakukan dosa dan maksiat. Tahap ke dua adalah kesedaran kalbu atau hati, dibahasakan sebagai Alam Malakut. Dalam kesedaran hati timbul sifat patuh dan taat kepada perintah dan peraturan Allah s.w.t. Tahap ke tiga adalah kesedaran rohani, dibahasakan sebagai Alam Jabarut. Dalam kesedaran ini si hamba bebas daripada kegembiraan dan kerisauan, fikiran dan keinginan. Dia menjadi patuh kepada perintah rohani dan dia menjadi tenteram, dengan kepatuhan tersebut. Tahap ke empat adalah kesedaran Sir, dibahasakan sebagai alam Lahut. Dalam kesedaran ini si hamba tenggelam dalam tafakur tentang Tuhan. Penyaksiannya hanya kepada Tuhan, tidak kepada yang lain. Dia mengalami suasana hakikat-hakikat ketuhanan atau dikatakan juga hatinya menerima sinaran nur Ilahi. Selepas peringkat ini baharulah kesedaran diri kembali semula sedikit demi sedikit.
Permulaan jalan kembali kepada kesedaran itu dinamakan baqa. Kesedaran terhadap Insan Kamil muncul pada peringkat permulaan baqa. Baqa adalah suasana bergerak daripada Tuhan bersama Tuhan. Ada unsur perpisahan dan perbezaan dengan Tuhan tetapi masih lagi bersamaan. Kesedaran dalam peringkat inilah membuat seseorang bercakap secara berteka-teki dan samar-samar kerana suasana teka-teki dan kesamaran yang menguasai hatinya. Semakin jauh dia masuk ke dalam baqa semakin terhurai teka-teki tersebut dan semakin berkurangan kesamaran.
Baqa adalah salah satu daripada peringkat perjalanan kerohanian. Bila kesedaran pulih sepenuhnya kebaqaan tidak ada lagi.
Keseluruhan perjalanan boleh dibahagikan kepada empat peringkat. Peringkat pertama dinamakan jalan orang Islam biasa. Pada jalan ini penekanan adalah pada syariat zahir. Penggerak utama pada jalan ini adalah syurga dan peringatannya adalah neraka. Matlamat pada jalan ini adalah mencapai kedudukan sebagai seorang mukmin yang layak menjadi penghuni syurga. Jalan ini menjadi asas kepada jalan-jalan yang lain. Tanpa jalan ini jalan-jalan yang lain tidak dapat dibina. Orang yang meninggalkan jalan ini dan terus pergi ke jalan hakikat itulah yang mudah jatuh ke dalam jurang yang menyesatkan.
Sambungan kepada jalan syariat zahir adalah jalan syariat batin atau jalan tarekat tasauf. Jalan ini merupakan jalan hamba mencari Tuhan. Keinginan mengenal Tuhan mendorong mereka melakukan ibadat bukan kerana inginkan syurga atau takutkan neraka. Segala usaha dan ikhtiar digunakan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan. Pada peringkat awal mereka kuat bersandar kepada amal kerana menyangkakan kekuatan amal itulah yang mendekatkan mereka dengan Tuhan. Pada peringkat ini ada bahaya yang menanti. Bahaya tersebut adalah perasaan tidak sabar untuk cepat sampai kepada matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri tidak jelas. Sikap tidak sabar dan kurang penyerahan kepada Tuhan membuat seseorang mudah terdorong kepada amalan yang ganjil-ganjil yang diharapkan mempercepatkan perjalanan mereka. Sebahagian daripada mereka yang keliru pada peringkat ini mengambil amalan melihat jin dan bersahabat dengan khadam. Mereka menyangkakan amalan yang demikian adalah sebahagian daripada jalan ketuhanan yang mendekatkan diri mereka dengan Tuhan. Kesan daripada yang demikian ada yang gila akalnya atau pun gila hakikatnya. Gila hakikat adalah mendakwa diri sudah memiliki hakikat sedangkan dia belum memasuki jalan hakikat. Apa yang mereka anggapkan alam hakikat itu sebenarnya adalah alam khadam. Orang yang gila hakikat, dalam kesedaran biasa, mengaku mereka menjadi wali yang agung dan memiliki berbagai-bagai kekeramatan. Mereka menyangkakan mereka adalah manusia pilihan Tuhan atau pun mereka adalah nabi. Beginilah keadaan nabi palsu yang selalu muncul dalam sejarah. Nabi palsu itu yakin yang diri mereka adalah nabi, terutamanya jika pada diri mereka muncul sesuatu yang luar biasa. Perkara luar biasa itu mereka sangkakan mukjizat tetapi yang sebenarnya hanyalah perbuatan khadam yang mendampingi mereka.
Dalam melalui jalan ini seseorang mestilah membulatkan maksudnya kepada Allah s.w.t semata-mata, tidak dicampur dengan keinginan kepada kekeramatan dan pangkat kewalian. Apabila maksud sudah bulat kepada Allah s.w.t baharulah ada harapan untuk memasuki jalan kerohanian. Tanda seseorang itu telah memasuki jalan ketuhanan adalah dia dikurniakan Petunjuk Ghaib. Dia dapat merasakan kuasa ghaib mengheretnya dengan menangkis apa sahaja yang cuba membuatnya berhenti. Perhatian dan kesedaran terhadap segala sesuatu akan menjadi lemah. Dia masuk ke dalam kesedaran kebatinan. Dalam kesedaran tersebut dia mengalami kehadiran kenabian. Dia mengenali kenabian secara zauk.
Apabila hati sampai kepada suasana nama-nama Tuhan pula dia mengenali Tuhan melalui nama-nama tersebut. Di sini dia melihat urusan Tuhan menguasai perjalanan segala sesuatu. Seterusnya dia sampai kepada suasana keesaan Tuhan. Kemudian dia memasuki pula suasana yang menggambarkan bahawa tiada sesuatu yang serupa dengan Tuhan. Dia menemui kenyataan bahawa Tuhan tidak dijumpai melalui ilmu dan makrifat. Hamba yang sampai ke sini mengakui kelemahan dirinya di hadapan keperkasaan Tuhan. Wujudlah sifat kehambaan yang sejati dalam jiwanya. Kuatlah dia bersabar menanggung ujian Tuhan dan berserah diri kepada-Nya. Orang yang berhenti pada peringkat ini akan menjadi ahli ibadat yang tidak ada pekerjaan melainkan beribadat kepada Allah s.w.t. Akhir peringkat kedua adalah menyaksikan Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa.
Peringkat ke tiga dinamakan jalan hakikat. Dalam peringkat kedua dahulu si hamba menemui kenyataan bahawa ilmu dan amal tidak berupaya memecahkan benteng keperkasaan Tuhan. Penemuan tersebut membuat si hamba tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya. Apa juga amalan yang dilakukannya adalah kerana Allah s.w.t bukan kerana sesuatu kepentingan dirinya. Amal tidak lagi menjadi alat untuk mendapatkan sesuatu daripada Tuhan. Dia sudah memperolehi keyakinan bahawa yang dapat membawanya kepada Tuhan adalah Tuhan sendiri, dengan kehendak-Nya bukan dengan kehendak hamba-Nya, atau ilmu dan amal hamba-Nya.
Perjalanan pada peringkat ke tiga bermula daripada suasana keesaan. Si hamba dilambung oleh gelombang kefanaan yang kuat. Dia tidak lagi mengetahui siapakah dirinya. Dia terpisah daripada sifat kemanusiaan dan tidak lagi memperdulikan peraturan masyarakat. Orang yang berada pada peringkat ini patut dipisahkan daripada orang ramai supaya kehadirannya tidak mendatangkan fitnah terhadap dirinya dan juga orang lain. Ucapannya mengenai hakikat yang dialaminya mungkin akan menimbulkan salah faham orang lain. Pada peringkat ini si hamba berada ‘di luar’ sesuatu dan dia hanya menyaksikan. Dia melihat perbuatan muncul daripada dirinya tetapi dia melihatnya ‘dari luar’ dirinya, sebagaimana orang lain melihatnya. Dia merasakan yang dia tidak terlibat dengan perbuatan tersebut. Dia menyaksikan segala perkara sebagai tindak tanduk urusan Tuhan. Dalam suasana yang demikian dia mendapat pengertian bahawa sebenarnya bukan dirinya yang mencari Tuhan tetapi sebenarnya Dia yang mencari dan Dia yang dicari. Tidak ada sesiapa yang masuk campur dalam urusan-Nya. Orang yang dalam kefanaan menggambarkan peringkat ini dengan ucapannya “Dia yang mencari dan Dia yang dicari. Dia yang bertemu dengan Diri-Nya sendiri!” Orang yang di dalam kesedaran pula menggambarkan suasana pada tahap ini dengan ucapannya, “Aku kenal Tuhanku melalui Tuhanku sekadar yang Tuhanku izinkan daku mengenali-Nya”. Perjalanan yang bermula daripada suasana keesaan itu berakhir pada suasana Insan Kamil.
Insan Kamil adalah permulaan jalan peringkat ke empat, jalan menuju baqa, dinamakan jalan Diri mencari Diri. Pada peringkat suasana Insan Kamil ini kesedaran terhadap diri sendiri sudah mula datang kembali dalam keadaan dia tidak mengenali dirinya sendiri. Kesedaran yang sudah kembali sedikit itu menggerakkannya untuk mencari dirinya yang ‘hilang.’ Pada suasana Insan Kamil itu si hamba menyaksikan hakikat dirinya dalam Hakikat Muhammadiah. Dia menyaksikan hakikat dirinya sebagai Hakikat Abdul Rab (hamba Tuhan). Si hamba ditarik kepada satu nama Tuhan yang menguasai dirinya. Dia ditarik kepada Yang Empunya nama. Tarikan ketuhanan Yang Empunya nama itu membawa si hamba keluar dari alam fana sedikit demi sedikit, masuk ke alam baqa. Dalam kebaqaan itu si hamba melihat hakikat dirinya yang tidak berpisah dengan Tuhan. Hakikat Abdul Rab (kewujudan kehambaan pada sisi Tuhan atau urusan Tuhan yang menguasai perjalanan kehambaan kepada Tuhan) tidak berpisah dengan Tuhan. Penyaksian terhadap hakikat diri yang tidak berpisah dengan Tuhan dan suasana hati yang merasakan tidak berpisah dengan Tuhan itulah dinamakan baqa.
Penghujung jalan baqa menemukan si hamba dengan Hakikat Ahmadiah. Pada tahap ini si hamba menemui dirinya sebagai rohani yang ‘menerima’ bakat daripada hakikat kehambaan. Rohani hanya mempamerkan apa yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Penyaksian terhadap kewujudan rohani ini membuka perhatiannya kepada kewujudan jasadnya. Kesedaran kemanusiaan yang bertubuh badan kembali semula kepadanya secara sedikit demi sedikit. Dia (rohani) sudah memperakukan bahawa alam jasad itulah daerah kekhalifahannya atau tempat tinggalnya. Rohani dan jasad ‘bercantum’ semula dalam suasana kehadiran Habiballah. Diri yang mencari berpadu dengan Diri yang dicari. Si hamba kembali mengenali dirinya. Pusingan perjalanannya menjadi lengkap.Awal perjalanannya berpadu dengan akhir perjalanannya. Batinnya berpadu dengan zahirnya.
Perpindahan daripada suasana kebaqaan kepada suasana kehambaan sepenuhnya diistilahkan sebagai hijrah kerohanian. Si hamba berpindah daripada kesedaran hakikat kepada kesedaran kemanusiaan, masuk ke dalam syariat zahir dan batin. Nabi Muhammad s.a.w berhijrah daripada Makkah yang padanya ada Kaabah, pergi ke Madinah yang padanya syariat diperlengkapkan. Ahli hakikat juga perlu berhijrah meninggalkan ‘Kaabatullah’ (makam hakikat yang ada fana, bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan lain-lain suasana hakikat) pergi ke ‘Madinah’ (makam kehambaan yang padanya ada agama yang sempurna, syariat yang sempurna, peraturan zahir yang sempurna, amalan batin yang sempurna, Islam yang sempurna, iman yang sempurna dan makrifat yang sempurna). ‘Hijrah’ adalah makam hakikat dan makrifat yang paling tinggi. Apabila seseorang Ahli hakikat ‘berhijrah’ baharulah kesedaran kemanusiaannya kembali sepenuhnya. Syariat zahir dan batinnya sempurna. Agamanya pun sempurna.

Hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu. Dan Aku cukupkan nikmat-Ku atasmu. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat)mu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )
Perjalanan yang tidak merialisasikan maksud ayat di atas adalah perjalanan yang tidak lengkap. Perjalanan kerohanian yang lengkap mengandungi:
1: Jalan orang Islam biasa
2: Jalan hamba mencari Tuhan
3: Jalan Dia yang mengenali Diri-Nya
4: Jalan Diri mencari Diri atau jalan mengenal diri.
Ada orang yang sengaja mengambil jalan Diri mencari Diri, iaitu jalan mengenal diri sahaja tanpa mengambil jalan-jalan yang lain. Jalan mengenal diri yang dilalui oleh orang yang mengalami kefanaan, kelenyapan terhadap kesedaran diri sendiri, berbeza daripada jalan mengenal diri yang digubah oleh orang yang tidak ada zauk, tidak hilang kesedaran diri, tidak hilang akal fikiran, tetap gelojoh dengan makan dan minum dan masih mahukan kesenangan dunia. Golongan ini mengambil perkataan ahli zauk untuk dijadikan iktikad dalam kesedaran mereka. Mereka menyamakan hamba dengan Tuhan. Iktikad mereka telah sesat dan menyesatkan.
Di antara semua peringkat perjalanan kerohanian yang paling sukar dilakukan adalah berhijrah daripada hakikat kepada syariat. Ramai di antara ahli sufi tidak melakukan hijrah. Mereka tidak dapat melepaskan diri daripada kesan kefanaan dan mabuk. Pengalaman bersatu dengan Tuhan yang mengasyikkan membuat mereka enggan melepaskan keghairahan tersebut.
Ahli sufi yang dipimpin kepada jalan mahabbah melakukan hijrah dan kembali kepada jalan kenabian dengan sempurna. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari Makkah ke Madinah mengambil masa tujuh hari. Bukan perkara yang ganjil jika hijrah ahli hakikat ke syariat secara sepenuhnya mengambil masa tujuh tahun. Kehadiran Habiballah yang membuka pintu hijrah kepada ahli hakikat. Orang yang melihat dengan ‘mata’ Allah tidak dapat melihat kebenaran yang sejati. Orang yang melihat dengan ‘mata’ Rasul Allah yang dapat melihat kepada Yang Haq. Walaupun Allah s.w.t memperkenalkan sifat-Nya melalui sifat manusia tetapi itu hanyalah sekadar iktibar. Allah s.w.t tidak jadikan sifat-Nya sebagai sifat manusia. Sesiapa yang cuba menggunakan sifat Allah s.w.t akan terbaliklah akal dan hatinya. Orang yang sengaja berbuat demikian berkemungkinan menjadi tidak stabil mentalnya, biasanya dipanggil ‘isim’. Keadaan akal dan hatinya seumpama tayar kereta yang tidak seimbang, menggegarkan keseluruhan bahagian kereta. Allah s.w.t telah meletakkan “mata kebenaran” pada Nabi Muhammad s.a.w. Hanya dengan memandang melalui ‘mata’ Nabi Muhammad s.a.w seseorang itu dapat menyaksikan kebenaran yang sejati lagi tulen.

Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat ke seluruh alam. ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu satu teladan yang baik bagi orang yang percaya kepada Allah dan Hari Kemudian dan menyebut Allah (sebutan) yang banyak. (Ayat 21 : Surah al-Ahzaab )
Orang yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w dan mengikuti jalan baginda s.a.w akan sampai kepada kesudahan makam iaitu makam penetapan.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada pada makam Amin (kedudukan yang aman). ( Ayat 51 : Surah ad-Dukhaan )
Makam Amin adalah makam penetapan, dikurniakan kepada mereka yang bertakwa. Tidak ada takwa jika tidak ada syariat kerana takwa adalah memelihara syariat. Orang yang bertakwa mengakui kewujudan sempadan dan hukum-hukum. Mereka memelihara sempadan jalan yang lurus itu dan juga memerhatikan hukum-hukumnya. Perkara yang menyalahi syariat adalah umpama duri-duri di atas jalan dan orang yang bertakwa berjalan dengan menjaga tapak kakinya agar tidak terpijak duri.

39. Makam Penetapan



Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan masuk kepada suasana penetapan, hidup sebagai seorang Muslim biasa. Orang arif dan orang awam dalam agama Islam tertakluk kepada hukum dan peraturan yang sama. Semuanya bertuhankan Tuhan Yang Satu. Semuanya berpenghulukan Nabi yang satu. Semuanya berkiblatkan Kiblat yang satu. Semuanya berimamkan Kitab yang satu. Sekalian kaum Muslimin bersaudara.

Aku reda Allah adalah Tuhan, Islam adalah agama, Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah ikutan, Kaabah adalah Kiblat dan semua mukminin dan mukminat adalah saudara.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah.
Pada makam penetapan orang arif bergerak dalam masyarakat seperti air yang mengalir pada bumi, menghidupkan bumi yang mati. Bila bumi sudah hidup akan tumbuhlah pokok Islam yang akar tunjangnya teguh di dalam bumi dan pucuknya menggamit langit. Daunnya rendang menjadi tempat berteduh bagi musafir yang lalu sebentar di atas muka bumi. Buahnya enak dan lazat memberi kekuatan kepada musafir berjalan menuju destinasi.

Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan) berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil, sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan (kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah janjikan mereka yang beriman dan beramal salih dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )
Setiap Muslim mestilah memilih benih yang baik untuk di tanam. Tuhan hanya menyediakan satu tempat sahaja sebagai kebun untuk bercucuk tanam. Tuhan memberikan kepada manusia satu peluang sahaja untuk mengusahakan ladangnya. Kebun tersebut adalah dunia dan peluang tersebut adalah hidup di dalam dunia ini. Tidak ada kebun lain dan tidak ada peluang lain. Pokok yang paling baik ditanam adalah pokok yang batangnya berdiri tegak, dahannya rukuk merendahkan diri dan julainya yang berat dengan buah sujud mencecah bumi dengan penuh kehambaan. Pokok yang baik mengeluarkan buah yang baik untuk kehidupan dunia dan ia terus berbuah di dalam kubur. Di akhirat kelak buahnya akan memberikan kegembiraan yang abadi.
Pengalaman zauk dan jazbah hanyalah kedudukan yang sementara, bukan penetapan dan bukan matlamat. Nabi Muhammad s.a.w memasuki pengalaman Israk dan Mikraj hanya satu bahagian daripada malam sahaja. Dalam perjalanan yang mengambil masa yang singkat itu baginda s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu. Perintah sembahyang yang diterima dalam masa yang singkat itu membawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan sembahyang sepanjang hayat baginda s.a.w. Pengalaman yang singkat membuka jalan kepada penetapan. Baginda s.a.w yang dikeluarkan daripada dunia sebahagian daripada malam kembali semula ke dunia untuk meneruskan baki umur baginda s.a.w dan di dunia ini juga baginda s.a.w menghabiskan umur baginda s.a.w. Di sini juga jasad baginda s.a.w disemadikan. Begitulah jalan yang Tuhan tentukan untuk manusia yang paling mulia, paling sempurna.
Tuhan ciptakan Adam a.s tanpa ibu dan ayah. Tuhan ciptakan Isa a.s tanpa ayah. Tuhan ciptakan Kekasih-Nya, Muhammad s.a.w dengan beribu dan berbapa. Tuhan jadikan Kekasih-Nya itu merasai lapar, dahaga, sakit dan mati di dalam dunia. Sahabat-sahabat baginda s.a.w yang merupakan manusia pilihan kelas pertama melalui jalan yang demikian juga. Orang-orang yang benar yang datang kemudian melalui jalan itu juga. Itulah sebaik-baik jalan dan ia dinamakan Jalan Nabi atau Sunah Nabi Muhammad s.a.w.
Pada Jalan Nabi tentera Muslimin berperang dengan menggunakan pedang, kepintaran akal dan kekuatan jasmani. Mereka memukul dan dipukul. Mereka menerima luka-luka. Mereka membunuh dan dibunuh. Mereka selalu menang tetapi ada juga kekalahan. Namun mereka terus juga berjuang di dalam perbatasan manusia biasa. Mereka tidak bersandar kepada ilmu kebal atau ilmu menutup pandangan musuh. Mereka tidak bersandar kepada mukjizat. Jika Tuhan kirimkan mukjizat melalui Nabi-Nya mereka menerimanya dengan syukur. Jika Tuhan tetapkan mereka berperang dengan menggunakan bakat kemanusiaan biasa mereka terus juga berjuang dengan penuh semangat dan kesabaran.
Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah menunjukkan cara menghadapi kehidupan sebagai manusia biasa. Baginda s.a.w bersama-sama sahabat yang paling mulia, Abu Bakar as-Siddik, telah menunjukkan contoh yang paling baik dalam menghadapi cabaran sewaktu melakukan hijrah. Konsep bertawakal yang sebenarnya diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui peristiwa hijrah tersebut. Baginda s.a.w diutuskan untuk membimbing umat manusia yang tidak boleh terbang di udara atau berjalan di atas air dan juga tidak kebal. Jika orang yang membimbing menggunakan cara terbang di udara, berjalan di atas air, kenyang tanpa makan, tidak ditimpa penyakit, maka yang boleh mengikuti pembimbing yang demikian hanyalah para malaikat. Nabi Muhammad s.a.w dan pewaris perjuangan baginda s.a.w perlu bergerak dan bertindak di dalam sempadan kemanusiaan agar orang ramai boleh mengikuti mereka. Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan akan bergerak sebagai manusia biasa juga. Mungkin ada perkara yang luar biasa keluar daripada mereka. Itu adalah sebagai anugerah Tuhan kepada mereka. Perkara tersebut tidak boleh dipandang sebagai identiti mereka.
Ahli hakikat yang kembali kepada kesedaran biasa akan hidup seperti manusia lain juga. Pekerjaan utama mereka adalah menyeru umat manusia ke jalan Tuhan. Di samping itu mereka juga melakukan apa yang layak dilakukan sebagai manusia. Mereka membuat pekerjaan menurut bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka. Sebahagian daripada mereka menceburkan diri ke dalam bidang perdagangan untuk menjadi model kepada pedagang-pedagang yang lain. Ada yang menjadi pengusaha, nelayan, pemandu teksi, petani dan lain-lain. Golongan pilihan itu menyerap ke dalam masyarakat melalui semua bidang kehidupan agar umat manusia boleh menguruskan setiap bidang dengan mencontohi model yang Tuhan hantar kepada mereka. Manusia pilihan itu akan meneruskan kehidupan masing-masing menurut warna pencelupan pilihan Tuhan, sehinggalah mereka kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda meredai.

Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali. Di awal perjalanan kerohanian seseorang itu merasakan kehadiran Pembimbing Ghaib yang mengiringinya. Hadrat (kehadiran) tersebut sentiasa bersama-samanya sehingga dia sampai ke gerbang penetapan. Selama ‘dikuasai’ oleh Hadrat tersebut si hamba berada dalam suasana tidak bernama atau tidak ada identiti sendiri. Apa juga keberkatan yang diperolehinya diisbatkan kepada keberkatan Hadrat tersebut. Segala pengetahuannya diisbatkan kepada pengetahuan Hadrat berkenaan. Si hamba tidak mengakui sesuatu kebaikan itu sebagai kebaikan dirinya. Semuanya diisbatkan kepada Hadrat yang bersamanya.
Penguasaan Hadrat ghaib itu menjadi jazbah yang paling kuat menguasai seseorang yang berjalan pada jalan kerohanian. Hadrat inilah yang paling akhir berpisah dengan si hamba berbanding dengan semua pengalaman jazbah yang lain. Apabila si hamba masuk ke dalam kota penetapan, secara tiba-tiba sahaja si hamba menyedari Hadrat ghaib itu sudah kembali ke Hadrat Ilahi. Tugas Hadrat ghaib itu sebagai Pembimbing dan Protokol sudah selesai. Hadrat tersebut telah melaksanakan tugasnya membentuk si hamba itu menurut kehendak Allah s.w.t. Bila si hamba sudah boleh menguruskan dirinya sendiri Hadrat tersebut pun kembali kepada kedudukan urusan Allah s.w.t. Si hamba telah kembali kepada dirinya dengan lengkap dan sempurna. Dia sudah boleh memakai identitinya semula. Dia kembali kepada namanya yang sekian lama terpisah daripadanya. Peringkat perpisahan dengan Hadrat ghaib dan bersatu dengan nama dan identiti sendiri merupakan penetapan yang sebenarnya. Ia dinamakan makam penetapan yang teguh. Si hamba kembali kepada kedudukan sebagai satu individu yang memikul amanah dan ada tugas yang perlu dilaksanakannya. Pada tahap ini baharulah bakat khalifah yang dikenalinya pada peringkat Hakikat Khalifah dahulu menjadi bakat dirinya. Khalifah Allah berurusan secara langsung dengan Allah s.w.t, tidak melalui perantaraan yang nyata atau yang ghaib, tidak ada tawasul. Orang yang masih menggunakan cara tawasul menandakan kesan mabuk belum lagi habis daripadanya.
Khalifah pada makam penetapan bukan seperti khalifah pada makam hakikat. Khalifah Allah pada makam penetapan berpijak pada bumi nyata, tidak lagi ‘mencari-cari’ atau ‘memandang ke atas’ atau ‘menantikan sesuatu.’ Khalifah yang sudah menetap adalah golongan salihin dan siddiqin. Benar kedudukan syariat, benar kedudukan tarekat, benar kedudukan hakikat dan benar kedudukan makrifat pada satu kedudukan iaitu syariat yang lengkap. Inilah makam khalifah Allah yang menjadi pewaris nabi.
Khalifah Allah menguruskan daerah kekhalifahannya iaitu dirinya sendiri dan bidang pengkhususannya. Bidangnya yang paling penting adalah berdakwah ke jalan Allah. Bagi melakukan semua itu dia kembali ke dunia, menghadapi dunia yang diporak-perandakan oleh syaitan dan hawa nafsu. Dalam melaksanakan tugasnya dia dijaga oleh Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t menentukannya menguruskan hal-ehwal makhluk maka diberinya petunjuk dan kekuatan dalam melaksanakan tugasnya.
Allah s.w.t kurniakan kepada para khalifah-Nya kurniaan yang tidak rosak binasa. Mereka diberi kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan kesedihan. Nasib mereka menjadi baik dan tidak buruk lagi. Apa sahaja perkara keduniaan yang sampai kepada mereka sudah ditapis dan mereka menerima yang baik-baik sahaja. Kedudukan mereka akan ditinggikan dan tidak rendah lagi. Mereka menjadi pusat pertemuan orang ramai. Melalui sembahyang mereka kesulitan orang ramai dapat diselesaikan. Melalui doa mereka bala terangkat daripada orang ramai. Mereka menjadi pengawal kerohanian kepada orang-orang yang di dalam daerah kekhalifahan mereka. Apabila mereka sudah bersesuaian dengan Allah s.w.t dan perintah-Nya maka seluruh alam tunduk kepada mereka dalam keadaan merendah diri. Apabila mereka teguh menjaga diri daripada perkara yang haram, maka yang haram akan lari daripada mereka walau ke mana sahaja mereka pergi. Khalifah Allah adalah mereka yang kuat memerhatikan larangan Allah s.w.t, menjaga diri daripada terjerumus ke dalam perkara yang tidak disukai oleh Allah s.w.t dan mereka sangat bersegera di dalam melakukan ketaatan kepada-Nya.
Apa sahaja yang dari Allah s.w.t adalah nur. Malaikat yang bertugas menjalankan perintah Allah s.w.t adalah nur. Khalifah Allah diselimuti oleh nur suci. Nur pada matanya, nur pada telinganya, nur pada lidahnya, nur di kanannya, nur di kirinya, nur di hadapannya, nur di belakangnya dan seluruh maujudnya diselimuti oleh nur.

Takutlah kamu firasat orang mukmin kerana mereka melihat dengan nur Ilahi. ( Maksud Hadis ) Si hamba yang dibaluti oleh nur tidak dibahayakan oleh kegelapan. Ilmunya adalah nur yang dari Allah s.w.t. Nur membuka tutupan sehingga yang benar nyata kebenarannya dan yang salah tidak dapat berselindung. Tidak ada lagi syak dan wasangka. Nur Ilmu menghapuskan kesamaran dan teka teki. Segala perkara adalah jelas dan nyata. Yang jelas dan nyata itu adalah kebenaran al-Quran dan as-Sunah.
Si hamba yang telah kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan berupaya menguruskan hal-ehwal dirinya dan orang lain, diizinkan menikmati sepenuhnya bahagian yang baik-baik yang diperuntukkan kepadanya. Bahagian tersebut telah dipegang oleh Pemegang Amanah iaitu al-Waliyyu (Yang Memelihara) selama si hamba itu di dalam perjalanan demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila keupayaan khalifah dikurniakan kepadanya bahagiannya juga dikembalikan. Apa yang menjadi bahagiannya tidak dapat diambil oleh orang lain.
Ketika berjalan kepada Allah s.w.t dahulu diserahkannya semua hak dirinya kepada Allah s.w.t. Diserahkannya dirinya, namanya, sifatnya, bahagiannya dan sekalian makhluk kepada Allah s.w.t. Kini Allah s.w.t mengembalikan semuanya itu kepadanya. Dirinya, namanya, sifatnya dan bahagiannya kembali kepadanya. Makhluk juga kembali kepadanya. Dia menjadi pengurus terhadap apa yang Allah s.w.t kembalikan kepadanya. Pada zahirnya dia yang menguruskan tetapi pada hakikatnya Allah s.w.t, al-Waliyyu, yang menguruskan hal-ehwal si hamba itu. Hamba yang diuruskan oleh Allah s.w.t itulah yang dimaksudkan sebagai wali Allah dan khalifah Allah.

Si hamba yang sampai kepada makam penetapan menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai ibadat. Lidahnya basah dengan zikir. Dia mengucapkan zikir yang biasa diucapkan oleh orang Islam biasa dan hatinya terikat dengan masjid. Dia juga berbakti kepada orang tuanya selaku anak yang salih. Allah s.w.t kurniakan kedudukan yang tinggi lagi mulia kepada hamba-Nya yang sentiasa ingat kepada-Nya, yang hatinya terikat dengan masjid dan yang berbakti kepada orang tuanya. Kedudukannya satu tingkat di bawah kedudukan nabi-nabi. Hamba yang demikian diliputi oleh Nur Arasy, sebagaimana yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w sewaktu baginda s.a.w Mikraj melepasi Sidratul Muntaha. Maha Suci Allah s.w.t yang menciptakan satu golongan daripada umat manusia sebagai hamba-Nya yang pilihan untuk Dia taburkan rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia, sekalian makhluk-Nya dan sekalian alam ciptaan-Nya.

40. Umat Yang Diasuh Oleh nabi Muhammad s.a.w

Para sahabat Rasulullah s.a.w boleh dibahagikan kepada tiga golongan. Pertama adalah mereka yang memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Kedua adalah mereka yang memeluk Islam selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Ke tiga adalah mereka yang memeluk Islam sesudah pembebasan Makkah. Al-Quran telah meletakkan ketentuan bahawa golongan pertamalah yang paling mulia, diikuti oleh golongan ke dua dan seterusnya golongan ke tiga. Berdasarkan kenyataan al-Quran itulah Abu Bakar as-Siddik berhujah dengan kaum Ansar berhubung dengan isu perlantikan pengganti Rasulullah s.a.w. Kaum Ansar memperakui memang demikianlah kenyataan al-Quran. Oleh yang demikian golongan pertamalah yang berhak memegang jawatan amir dan golongan kedua jawatan wazir. Di antara yang paling mulia dalam golongan pertama, maka Abu Bakar as-Siddik adalah yang paling mulia. Neraca keadilan Umar al-Khattab telah menunjukkan keutamaan Abu Bakar as-Siddik. Sekalian kaum Muslimin membenarkan pertimbangan Umar dan Abu Bakar as-Siddik dilantik menjadi khalifah umat Islam yang pertama.
Golongan pertama telah melalui jalan yang tidak dilalui oleh golongan-golongan yang lain. Mereka adalah yang pertama beriman kepada Rasulullah s.a.w. Mereka terpaksa membayar harga yang mahal demi agama mereka dan iman mereka. Hak asasi mereka dirampas oleh kaum Quraisy. Ketahanan iman mereka benar-benar diuji. Setelah mereka lulus ujian iman baharulah Allah s.w.t mengeluarkan mereka daripada Makkah untuk melakukan satu laku pekerjaan yang sangat mulia, yang tidak dilakukan oleh golongan yang lain. Mereka memperolehi fadilat hijrah.
Setelah hijrah golongan pertama ini menjadi seumpama air meresap ke dalam golongan kedua untuk memberi kehidupan kepada mereka. Golongan kedua yang telah bersatu dengan golongan pertama telah menjadi kuat, dan kedua-duanya menjadi tentera Allah, para mujahidin. Hasil daripada perjuangan mereka itulah muncul golongan ke tiga dan seterusnya berkembang hingga ke hari ini dan sampai ke hari kiamat.
Di dalam golongan ke tiga terdapat orang-orang yang satu ketika dahulu sangat-sangat memusuhi Rasulullah s.a.w, kaum Muslimin dan agama Islam. Dari kalangan mereka ada orang yang pernah menyiksa kaum Muslimin, malah ada yang pernah membunuh orang Islam. Perjuangan golongan pertama dan ke dua bukanlah untuk membalas dendam atau untuk mencari keuntungan diri. Mereka adalah tentera Allah yang berkewajipan membawa agama Allah kepada umat manusia. Mereka adalah golongan manusia yang dipilih khusus untuk memimpin umat manusia agar selamat daripada neraka.
Ada sebahagian cendikiawan yang datang kemudian tidak bersetuju dengan beberapa tindakan para Mujahidin itu. Mereka perlu memahami daya nilai kemanusiaan dan daya nilai Muslim. Manusia umum menggunakan bakat fitrah kemanusiaan dalam membuat penilaian. Fitrah kemanusiaan hanya berupaya menggunakan kekuatan akal fikiran sebagai sumber yang paling kuat. Fitrah Muslim pula tunduk menyerah kepada wahyu. Penyerahan kepada wahyu Tuhan dilakukan dengan iman, bukan dengan hujah dan takwil. Kaum Muslimin berkewajipan menundukkan fitrah asas kepada fitrah Muslim yang menyerah kepada berita yang datang dari Tuhan. Kaum Muslimin hendaklah tidak membuang perkataan Tuhan kerana melihat kepada hukum logik fitrah asas.
Golongan pertama dan kedua menerima dengan baik orang-orang yang telah memusuhi mereka, menindas mereka, berperang dengan mereka dan membunuh saudara-saudara mereka. Keadaan demikian boleh terjadi kerana sifat pemaaf yang kuat tertanam dalam jiwa kaum Muslimin yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w.
Umat yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w berpusat kepada dua perkara penting iaitu al-Quran dan masjid. Mereka menjadi umat yang belajar al-Quran, mengamalkan al-Quran dan menyebarkan al-Quran. Islam dan al-Quran bergandingan. Tidak dinamakan Islam tanpa al-Quran. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan mempelajari al-Quran secara membaca, menghafal dan mengamalkan. Mereka juga berkewajipan menyebarkan apa yang mereka pelajari dan amalkan. Sesiapa yang menerima agama Islam daripada Nabi Muhammad s.a.w melalui proses yang demikian. Setiap orang dibawa tunduk kepada perkataan Tuhan, bukan kepada fikiran, ilham atau kasyaf orang tertentu. Orang yang memiliki fikiran, ilham atau kasyaf berkewajipan mengharmonikan apa yang ada dengan mereka itu dengan perkataan Tuhan. Apa sahaja yang bercanggah dengan perkataan Tuhan mesti ditolak.
Masjid adalah tempat yang paling mulia bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w banyak menghabiskan waktu baginda s.a.w di dalam masjid. Baginda s.a.w bersembahyang di dalam masjid. Baginda s.a.w menerima tetamu di dalam masjid. Baginda s.a.w menyusun strategi peperangan di dalam masjid. Peraturan yang baginda s.a.w lakukan di salam masjid menjadi asas kepada perlantikan Abu Bakar sebagai pengganti baginda s.a.w, kerana Abu Bakar dipilih oleh baginda s.a.w menjadi imam sembahyang semasa ketiadaan baginda s.a.w. Orang yang menjadi ketua kaum Muslimin adalah imam bagi saf yang berjemaah di dalam masjid. Begitulah pentingnya institusi masjid yang kepada umat yang dididik oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Quran dan masjid menjadi dasar yang kukuh kepada umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi golongan yang mencintai jihad. Mereka adalah golongan yang telah menjualkan harta dan nyawa mereka kepada Tuhan. Kecintaan mereka adalah kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya. Tidak ada yang mereka cintai melebihi yang tiga itu.
Semangat jihad pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang tidak ada tolok bandingnya dapat dilihat pada peristiwa Perang Uhud. Dalam peperangan tersebut 70 orang tentera Muslimin gugur syahid. Setelah para syuhada tersebut dikebumikan Nabi Muhammad s.a.w membawa mereka yang masih hidup pulang ke Madinah. Kebanyakan daripada mengalami kecederaan yang serius. Abdul Rahman bin Auf mendapat luka 20 liang. Hanya satu malam sahaja mereka berkesempatan berehat dan merawat luka mereka. Keesokan paginya para petugas telah menyeru semua tentera Muslimin yang menghadiri Perang Uhud kelmarin keluar untuk mengejar tentera musyrikin yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Hanya mereka yang menyertai peperangan kelmarin sahaja yang dibenarkan ikut serta. Betapa iman mereka diuji begitu hebat sekali oleh Tuhan. Mereka menyahut seruan tersebut tanpa ragu-ragu dan membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang yang benar-benar menjualkan diri dan harta mereka kepada Allah s.w.t. Mereka keluar semula daripada Madinah mengejar musuh yang telah mengalahkan mereka kelmarin. Mereka sanggup berbuat demikian kerana iman. Mereka percaya kepada janji Allah s.w.t bahawa para syuhada sebenarnya tidak mati. Mereka terus memperolehi nikmat dan kurniaan Tuhan sekalipun mereka tinggal di dalam alam yang berbeza.
Selepas Perang Uhud, Jabir bin Abdullah duduk termenung mengenangkan ayahnya yang telah syahid, di antara 70 syuhada Uhud itu. Rasulullah s.a.w bertanyakan keadaannya dan dia menceritakan punca kesugulannya. Rasulullah s.a.w bersabda: “Kalau Tuhan hendak berbicara dengan seseorang hanyalah dari sebalik hijab tetapi ayahmu dihidupkan dan Tuhan bercakap dengannya berhadapan. Lalu Tuhan berfirman, ‘Wahai hamba-Ku! Sebutlah apa yang engkau ingini nescaya Aku beri’. Dia menjawab, ‘Pintaku hanya satu wahai Tuhanku. Hidupkan aku sekali lagi supaya aku mati terbunuh kali ke dua pada jalan-Mu’. Tuhan menjawab, ‘Telah tertulis bahawa orang yang mati tidak akan kembali lagi’. Maka berkata pula hamba yang memohon tadi, ‘Wahai Tuhanku! Jika demikian sampaikanlah kepada makhluk-Mu yang telah aku tinggalkan bahawa betapa bahagianya daku sekarang’”. Rasulullah s.a.w bersabda: “Kawan-kawanmu yang syahid di Uhud itu, arwah mereka disimpan oleh Tuhan di dalam rongga burung hijau, terbang dan hinggap di sekitar sungai-sungai syurga, makan buah-buahannya dan hinggap pada kidil-kindil emas yang tergantung di bawah naungan Arasy. Setelah mereka merasai kelazatan makanan dan minuman dan sambutan yang amat baik atas mereka, berkatalah mereka, ‘Alangkah baiknya kalau kawan-kawan kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa yang diperbuat oleh Tuhan untuk menyambut kita ini. Siapakah agaknya yang kan menyampaikan kepada mereka di dunia bahawa kita ini hidup di dalam syurga dan tetap diberi rezeki, supaya mereka jangan enggan berjihad dan jangan takut berperang’. Tuhan menjawab, ‘Aku sendiri akan menyampaikannya’”.
Para mujahidin bergerak ke medan perang dengan ucapan: “Cukuplah Allah bagi kami dan Dia jualah sebaik-baik Penjaga”. Tekad mereka bulat. Keyakinan mereka penuh kepada kempimpinan Rasul Allah. Penyerahan mereka hanyalah kepada Allah s.w.t. Tugas mereka adalah menyebarkan apa yang Allah s.w.t sampaikan kepada Rasul-Nya. Mereka bekerja untuk menyelamatkan diri mereka, ahli mereka dan umat manusia umumnya daripada azab api neraka.
Pengikut Nabi Muhammad s.a.w hidup bersama-sama tiga perkara pokok iaitu al-Quran, masjid dan jihad. Jihad bukan sahaja mengangkat senjata. Dalam keadaan aman jihad mereka adalah memperkuatkan umat Islam secara rohani dan jasmani. Ahli ilmu memberi tumpuan kepada urusan mempelajari ilmu dan menyampaikannya kepada orang ramai. Dalam keadaan aman juga mereka berjihad merombak apa juga adat, kebudayaan dan peraturan yang tidak bersesuaian dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Apabila datang hukum Tuhan mengharamkan arak, maka dengan senang hati mereka melepaskan keinginan dan tabiat meminum arak. Begitu juga dengan lain-lain peraturan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Mereka menerima perintah Tuhan dengan penuh kerelaan, tidak berdolak-dalih atau berhujah dengan kekuatan akal mereka bagi tujuan mengabaikan perintah Tuhan.
Nabi Muhammad s.a.w mengajar umat baginda s.a.w supaya memelihara ketulinan, keaslian dan kemurnian Islam. Baginda s.a.w mahu umat baginda s.a.w membawa identiti sendiri yang mudah dikenal dan dibezakan daripada kaum lain. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan memelihara ibadat mereka, upacara keagamaan mereka, adat dalam masyarakat, kebudayaan dan sebagainya agar semua itu benar-benar bersih daripada pengaruh agama lain.
Kaum Muslimin diberi kesedaran bahawa kemasukan pengaruh agama atau adat lain walaupun dipandang kecil, akan membuka jalan kepada kemasukan pengaruh yang lebih besar. Mempertahankan ketulenan Islam merupakan jihad juga. Umat Islam seharusnya boleh berkata dan menunjukkan dengan pasti bahawa yang ini Islam dan yang itu bukan Islam. Seharusnya ada sempadan yang jelas di antara Islam dengan bukan Islam. Misalnya, bagi upacara perkahwinan, seharusnya dikenalpasti sempadan Islam, yang dibolehkan oleh Islam dan yang dilarang oleh Islam. Begitu juga bagi bidang-bidang perekonomian, politik pendidikan dan lain-lain. Apa juga yang datang dari luar yang boleh diterima oleh peraturan Islam hendaklah ‘diIslamkan’ terlebih dahulu, seumpama kulit binatang halal yang hendak digunakan disamakkan terlebih dahulu. Pekerjaan ‘menyamakkan’ segala ilmu, sistem, adat, kebudayaan, hukum dan lain-lain menjadi medan jihad yang sangat luas bagi cendikiawan Muslim. Setiap Muslim yang diberi kepakaran dalam sesuatu bidang sebenarnya diberi amanah oleh Tuhan supaya memelihara bidang yang menjadi kepakarannya itu agar berada dalam keadaan Islam. Kepentingan ekonomi, politik, kuasa atau sesuatu tidak seharusnya melunturkan warna Islam. Jihad cendikiawan Muslim dalam medan ini tidak akan habis sampai ke hari kiamat.