Total Tayangan Halaman
Jumat, 12 Mei 2017
Beberapa Persoalan Yahudi Kepada Rasulullah S.A.W Dan Jawapannya
Bismillahi r-Rahmani r-Rahim
Beliau (al-Mufid) berkata: Abd al-Rahman bin Ibrahim telah memberitahu kami, al-Husain bin Mihran telah memberitahu kami, al-Husain bin Abdullah telah memberitahuku daripada bapanya daripada datuknya daripada Ja'far bin Muhammad a.s daripada bapanya daripada datuknya al-Husain bin Ali bin Abu Talib a.s berkata: Seorang lelaki Yahudi datang kepada nabi s.a.w dan berkata: Wahai Muhammad! Andalah yang menyangka bahawa anda seorang Rasulullah dan diwahyukan kepada anda sebagaimana diwahyukan kepada Musa bin Imran? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya, akulah penghulu manusia (ana sayyid walad Adam ) tanpa meninggikan diri, aku adalah penutup para nabi, imam para muttaqin dan Rasul Tuhan semesta alam.
Yahudi berkata: Wahai Muhammad ! Adakah anda kepada kaum Arab atau kepada bukan Arab atau kepada kami?
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku adalah Rasulullah kepada semua manusia.
Yahudi berkata: Sesungguhnya aku akan bertanya anda tentang sepuluh kalimah yang telah dikurniakan Allah kepada Musa di tempat yang diberkati ketika dia bermunajat dengan-Nya. Tidak mengetahuinya melainkan seorang nabi yang diutus atau malaikat muqarrab.
Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Kemukakan soalan yang terlintas di hati anda.
Yahudi berkata: Wahai Muhammad ! Beritahukan kepadaku tentang kalimah yang telah dipilih oleh Allah untuk Ibrahim a.s ketika beliau membina rumah ini (Ka'bah)?
Rasulullah s.a.w bersabda: Subhana l-Lah wal-Hamdu li-Lah wa la ilaha illa llah wal-Lahu akbar.
Yahudi berkata: Wahai Muhammad! Kenapakah Ibrahim a.s. telah membina Ka'bah empat persegi?
Rasulullah s.a.w bersabda: Kerana kalimah adalah empat.
Yahudi berkata: Kenapakah Ka'bah dinamakan Ka'bah?
Rasulullah s.a.w bersabda: Kerana ia berada di tengah dunia.
Yahudi berkata: Beritahu aku tentang tafsir "Subhana l-Lah wa l-Hamdu li l-Lah wa la ilaha illa lla wal-Lahu akbar?
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah telah mengetahui bahawa manusia dan jin akan berbohong terhadap Allah s.w.t, maka Dia berfirman: Subhana l-Lah" iaitu Dia bersih dari apa yang mereka katakan terhadap-Nya, adapun firman-Nya "wa l-Hamdu li-Lah" Allah telah mengetahui bahawa hamba-hamba-Nya tidak berterima kasih kepada nikmat-Nya, lantaran itu Dia telah memuji diri-Nya sebelum makhluk memuji-Nya, ia adalah ucapan pembukaan, jika tidak, Allah tidak mengurniakan nikmat-Nya ke atas makhluk-Nya, adapun firman-Nya "la ilaha illa-Lah" iaitu keesaan-Nya di mana Allah tidak akan menerima amalan melainkan dengannya, tiada seorang pun yang akan memasuki syurga melainkan dengannya, ia adalah Kalimah Taqwa, ia dinamakan kalimah Taqwa kerana ia memberatkan timbangan (al-Mizan) di hari Kiamat, adapun "Allahu akbar" adalah kalimah yang tertinggi dan paling dicintai Allah iaitu tidak ada yang lebih besar daripada-Nya kerana dengannya solat dimulai dan dihormati Allah. Ia adalah salah satu daripada nama-nama Allah yang besar.
Yahudi berkata: Benar kata-kata anda, apakah ganjaran mereka yang mengucap dengannya?
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang hamba berkata: Subhana l-Lah, semua perkara selain daripada 'Arasy bertasbih bersamanya. Maka Dia memberi sepuluh kali ganda pahala kepadanya. Apabila beliau berkata: Al-Hamdulillah", maka Allah memberi nikmat dunia kepadanya sebelum dia diberi nikmat akhirat, ia adalah kalimah yang diucapkan oleh penghuni syurga apabila mereka memasukinya. Percakapan terputus di dunia selain daripada al-Hamdu. Demikianlah firman-Nya di dalam Surah Yunus (10):10 "Salam penghormatan mereka ialah salam.. Dan penutup doa mereka adalah al-Hamdulillahi Rabbi l-Alamin. Adapun pahala La ilaha illa l-Lah adalah syurga sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Rahman (55): 6 "Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula). Ia adalah darjat yang paling tinggi di syurga dan yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah.
Yahudi berkata: Memang benar wahai Muhammad! Anda telah menunaikan satu soalan. Adakah anda mengizinkan aku untuk bertanya anda soalan kedua? Rasulullah s.a.w bersabda: Bertanyalah kepadaku apa yang anda mahu. Jibrail di kanan Rasulullah s.a.w dan Mikail di kirinya memberitahu.
Yahudi berkata: Kenapakah anda dinamakan Muhammad, Ahmad, Abu l-Qasim, Basyir, Nadhir dan Da'i?
Rasulullah s.a.w bersabda: Adapun Muhammad kerana aku dipuji di langit, adapun Ahmad kerana aku dipuji di bumi, adapun Abu al-Qasim kerana Allah s.w.t membahagi-bahagikan neraka untuk mereka yang mengingkari aku (kafara bi) atau membohongi aku (yukadhibbuni) daripada mereka yang terdahulu dan terkemudian. Adapun Basyir kerana aku memberi berita gembira tentang syurga kepada mereka yang mentaati aku, adapun Nadhir kerana aku memberi amaran tentang neraka kepada mereka yang menderhaka kepadaku, adapun Da'i kerana aku menyeru manusia kepada agama Tuhanku; Islam.
Yahudi berkata: Memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku tentang yang ketiga: Kenapakah Allah menetapkan masa solat yang lima kepada lima waktu kepada umat anda pada masa malam dan siang
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya matahari ketika gelincir (al-zawal), satu bulatan memasukinya, semuanya bertasbih kepada Tuhanku selain daripada 'Arasy, maka pada masa itulah doa dilakukan kepada Tuhanku. Lantaran itu, Allah mewajibkan ke atas aku dan umat aku solat pada waktunya. Justeru Dia berfirman dalam Surah al-Isra' (17):78 "Dirikanlah solat dari sesudah matahari gelincir". Iaitu waktu neraka Jahanam didatangi pada hari Kiamat. Justeru seseorang mukmin yang mengerjakan solat pada waktu tersebut maka Allah akan mengharamkan jasadnya daripada neraka. Solat Asar adalah waktu di mana Adam a.s telah memakan bahagian pokok dan dikeluarkannya dari syurga.
Justeru Allah telah memerintahkan zuriatnya mengerjakan solat ini sehingga hari Kiamat, Dia telah memilihnya dan mewajibkannya ke atas zuriatnya, ia merupakan solat yang paling dicintai Allah s.w.t. Oleh itu, Alah s.w.t. telah berwasiat kepadaku supaya memeliharanya, Dia berfirman dalam Surah al-Baqarah (2):238 " Peliharalah segala solatmu dan (peliharalah) solat wusta " iaitu solat Asar. Solat Isyak adalah waktu Allah s.w.t telah menerima taubat Adam a.s. Jarak masa antara dia memakan buah dari pokok dan masa diterima taubatnya adalah tiga ratus tahun hari dunia dan satu hari akhirat adalah menyamai seribu tahun menurut hitungan kamu. Oleh sebab itu Adam a.s mengerjakan solat tiga rakaat, satu rakaat kerana kesalahannya.
Satu rakaat kerana kesalahan Hawa' dan satu rakaat adalah kerana taubatnya. Allah telah menerima taubatnya dan memfardukan ke atas umat aku tiga rakaat ini, iaitu waktu yang paling mustajab untuk memohon doa. Tuhanku telah berjanji kepadaku bahawa Dia tidak akan menghampakan siapa yang memohon kepada-Nya. Dia berfirman dalam Surah al-Rum (30):17 "Maka bertasbihlah kamu kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu kamu berada di waktu subuh" Adapun solat al-'Atamah, kerana kegelapan kubur dan kegelapan hari Kiamat. Lantaran itu, Allah telah memerintahkan aku dan umat aku supaya mengerjakan solat ini, tidak ada kaki yang berjalan kepada solat al-'Atamah melainkan Allah mengharamkan neraka ke atasnya, Allah akan menyinari kuburnya pada hari Kiamat dan akan memberinya cahaya yang membolehkannya melintasi titian (al-Sirat). Ia adalah solat yang Dia telah pilih untuk para rasul sebelumku. Adapun solat Subuh kerana ketika matahari naik maka ia naik dari tanduk syaitan (qarn al-Syaitan). Allah telah memerintahkan aku supaya mengerjakan solat Subuh sebelum naik matahari sebelum mereka kafir sujud kepadanya, maka umat aku sujud kepada Allah, lebih awal dilakukannya adalah lebih dicintai Allah, ia adalah solat yang disaksikan oleh malaikat malam dan siang.
Yahudi berkata: Anda memang benar. Wahai Muhammad! Beritahukan kepadaku tentang perkara ke empat; Kenapakah Allah memerintahkan empat anggota dibasuh sedangkan ia adalah tempat yang paling bersih pada anggota badan?
Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika syaitan mendatangkan waswasnya, maka Adam a.s. menghampiri pokok tersebut, lantas melihat kepadanya dan hilang perasaan malu. Dia berdiri dan kaki pertama yang berjalan kepada kesalahan (al-Khati'ah). Dia mengambilnya, membelahnya dan memakannya. Apabila dia memakannya, maka terlerailah ikatan cahaya dari tubuhnya, kemudian Adam telah meletakkan tangan di atas kepala dan menangis.
Setelah Allah menerima taubat Adam, maka Allah memfardukan ke atasnya dan zuriatnya membasuh empat anggota tersebut. Allah memerintahkan supaya membasuh muka kerana Adam melihat kepada pokok tersebut. Allah memerintahkan supaya membasuh lengan sehingga ke siku kerana dia telah menghulurkan kedua tangannya kepada kesalahan. Allah memerintahkan supaya disapukan kepala kerana dia telah meletakkannya di atas ubun-ubunnya (ummu ra'si-hi). Allah memerintahkan supaya menyapu kaki kerana dia berjalan kepada kesalahan. Kemudian disunatkan ke atas umat aku berkumur (al-Madhmadhah) dan menghisap air ke dalam hidung (al-Istinsyaq). Berkumur membersihkan hati daripada perkara yang haram dan menghisap air ke hidung menegah bauan neraka.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah balasan bagi mereka melakukan wuduk sebagaimana diperintahkan?
Rasulullah s.a.w bersabda: Pertama kali seseorang menyentuh air, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila dia berkumur, maka Allah akan menyinari lidah dan hatinya dengan hikmat. Apabila dia menghisap air ke dalam hidung, maka Allah menyelamatkannya daripada seksa kubur dan azab neraka. Apabila dia membasuh mukanya, maka Allah menyerikan mukanya di hari muka-muka menjadi hitam. Apabila dia membasuh dua lengannya, maka Allah mengharamkan ke atasnya ledakan neraka. Apabila dia menyapukan kepalanya, maka Allah menyapukan segala kesalahannya. Apabila dia menyapukan dua kakinya, maka Allah membolehkannya melintasi titian (al-Sirat) pada hari tergelincirnya kaki-kaki.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad. Beritahukan kepada aku tentang yang kelima; Kenapakah Allah memerintahkan mandi junub (al-Ightisal) setelah keluar air mani (al-Nutfah), tetapi Dia tidak memerintahkan "mandi" setelah kencing dan berak sedangkan air mani lebih bersih daripada kencing dan berak?
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Adam a.s. memakan (buah) pokok tersebut, maka ia berpindah kepada peluhnya, rambutnya dan kulitnya. Apabila seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan isterinya, maka air maninya keluar juga melalui setiap peluh dan rambutnya (kharajat al-Nutfah min kulli 'arqin wa sya 'rin). Lantaran itu, Allah mewajibkan ke atas zuriat Adam sehingga hari Kiamat supaya mandi junub. Kencing dan berak hanya mengeluarkan sisa makanan dan minuman manusia, maka ia memadai dengan wuduk.
Yahudi berkata: Apakah balasan bagi mereka yang telah mandi (ightisal) daripada yang halal?
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah membina untuknya setiap titik air ialah sebuah istana baginya di syurga iaitu perkara di antara Allah dan hamba-Nya daripada junub.
Yahudi berkata: Wahai Muhammad, beritahu aku soalan yang ke enam tentang lapan perkara yang tertulis di dalam Taurat bahawa Allah telah memerintahkan Bani Israel supaya menyembah-Nya selepas Musa?
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku menyeru anda kepada Allah, jika aku memberitahu anda akan mengakuinya?
Yahudi berkata: Ya, wahai Muhammad.
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perkara pertama tertulis di Taurat ialah Muhammad Rasulullah, kemudian baginda s.a.w. membaca Surah al-A'raf(7):157 "mereka dapatinya tertulis di dalam Taurat dan Injil" dan Surah al-Saf (61): 6 "memberi khabar gembira dengan seorang rasul yang akan datang sesudahku yang namanya Ahmad". Adapun tentang perkara kedua, ketiga dan ke empat, maka Ali, Fatimah; Puteri wanita syurga dan dua anak lelaki mereka berdua. Di dalam Taurat disebut sebagai Ilya, Syabra, Syubaira dan Haliyun, iaitu Fatimah,al-Hasan, al-Husain dan Ali a.s.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, beritahu aku tentang kelebihan anda ke atas para nabi dan kelebihan keluarga anda ke atas manusia
Rasulullah s.a.w bersabda: Adapun kelebihan aku di atas segala para nabi kerana aku telah memilih dakwah aku sebagai syafaat aku kepada umat aku pada hari Kiamat sementara para nabi selain daripada aku melakukan sebaliknya jika dakwah mereka diingkari. Adapun kelebihan keluarga aku; Ahlu l-Bait aku dan zuriat aku seperti kelebihan air ke atas setiap sesuatu, dengan airlah sesuatu itu hidup sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah al-Anbiya' (21):30 " Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?". Justeru mencintai Ahlu l-Bait aku, keluarga aku dan zuriat aku melengkapkan agama (yastakmilu d-Din).
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad. Beritahu kepada aku tentang perkara yang ketujuh; apakah kelebihan lelaki ke atas wanita?
Rasulullah s.a.w bersabda: Seperti kelebihan langit ke atas bumi, seperti kelebihan air ke atas bumi. Dengan air semua dapat hidup, begitulah dengan lelaki hiduplah wanita, tanpa lelaki Allah tidak akan menciptakan wanita. Wanita tidak akan memasuki syurga melainkan dengan kelebihan lelaki. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Nisa' (4):34 "Kaum lelaki itu adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain(wanita)".
Yahudi berkata: Wahai Muhammad! Kenapakah ia menjadi begitu?
Rasulullah s.a.w bersabda: Adam a.s diciptakan dari tanah, dari salbinya dan dirinya diciptakan wanita, orang yang pertama mentaati wanita adalah Adam a.s. Maka Allah telah menurunkannya dari syurga. Sesungguhnya Allah telah melebihkan kaum lelaki daripada kaum wanita di dunia, tidakkah anda terfikir bahawa wanita mengalami masa haid? Justeru mereka tidak boleh beribadat kerana kekotoran tersebut, sementara kaum lelaki tidak mengalami perkara tersebut.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, beritahu aku tentang perkara yang kelapan; kenapakah Allah telah mewajibkan puasa ke atas umat anda tiga puluh hari sedangkan Dia telah mewajibkan ke atas umat yang lain lebih banyak?
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Adam a.s manakala beliau memakan bahagian pokok, maka ia tinggal di dalam perutnya selama tiga puluh hari. Oleh itu Allah s.w.t. memfardukan ke atas zuriatnya tiga puluh hari lapar dan dahaga. Adapun mereka dapat makan di waktu malam adalah suatu kurniaan Allah ke atas makhluk-Nya. Demikian juga ke atas Adam a.s adalah tiga puluh hari sebagaimana ke atas umat aku. Kemudian baginda s.a.w. membaca Surah al-Baqarah (2):183 " Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelum kami agar kamu bertakwa"
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah balasan mereka yang berpuasa selama tiga puluh hari?
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak seorang pun mukmin berpuasa satu hari daripada bulan Ramadhan dengan penuh muhasabah melainkan Allah mewajibkan baginya tujuh sifat. Pertama: Perkara yang haram menjadi cair (yadhubu) dari jasadnya. Kedua: Ia menghampiri dirinya kepada rahmat Allah. Ketiga: Ia dapat menghapuskan kesalahannya, tidakkah anda mengetahui bahawa kafarah di dalam puasa itu dapat menghapuskan dosa? Keempat: Ia menyenangkan kematian. Kelima: Allah menyelamatkannya daripada lapar dan dahaga di hari Kiamat. Keenam: Pelepasan dirinya daripada neraka. Ketujuh: Allah akan memberinya makanan syurga.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, beritahu aku perkara yang ke sembilan; kenapakah Allah telah memerintahkan wuquf di 'Arafat selepas Asar?
Rasulullah s.a.w bersabda: Kerana selepas Asarlah waktu Adam a.s menderhaka kepada Tuhannya. Justeru Allah memfardukan ke atas umat aku wuquf, ibadat dan doa di tempat yang paling dicintai Allah iaitu di 'Arafat. Allah s.w.t. menjamin untuk menerima doa mereka dan waktu sekembalinya dari 'Arafat itulah waktu Adam menerima kalimat (wahyu) daripada Tuhan serta menerima taubatnya. Sesungguhnya Dia Penerima taubat lagi Penyayang.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah pahala bagi mereka yang melakukannya?
Rasulullah s.a.w bersabda: Dia yang telah mengutus aku dengan kebenaran sebagai pembawa berita gembira (basyiran) dan pemberi amaran (nadhiran). Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai tujuh pintu di langit: Pintu al-Taubat, pintu al-Rahmat, pintu al-Tafadhdhul, pintu al-Ihsan, pintu al-Jud, pintu al-Karam dan pintu al-'Afwu. Seseorang itu tidak berkumpul di 'Arafat melainkan dia layak memasuki pintu-pintu tersebut. Sesungguhnya Allah mempunyai seratus ribu malaikat. Setiap malaikat mempunyai seratus dua puluh ribu malaikat yang lain pula. Allah mempunyai seratus rahmat yang diturunkan kepada penghuni 'Arafat. Ketika mereka pulang, Allah mempersaksikan malaikat tersebut dengan memerdekakan penghuni 'Arafat dan apabila mereka pulang, maka Allah mempersaksikan malaikat bahawa Dia telah mewajibkan ke atas mereka syurga. Ada suara yang menyeru: Kembalilah kamu semua dalam keadaan diampuni, sesungguhnya kamu telah meredai-Ku dan Aku telah meredai kamu.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad. Beritahu aku perkara yang ke sepuluh tentang sembilan sifat yang telah dikurniakan Allah kepada anda berbanding dengan para nabi yang lain dan kepada umat anda berbanding dengan umat-umat yang lain?
Rasulullah s.a.w bersabda: Fatihah, azan, iqamah, berjemaah di Masjid-masjid, hari Jumaat, pembacaan secara nyaring (ijhar) di dalam tiga solat, rukhsah kepada umatku ketika sakit dan musafir, solat jenazah dan syafaat kepada pelaku-pelaku dosa besar dari umatku.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah pahala mereka yang membaca al-Fatihah?
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membaca al-Fatihah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala bilangan kitab yang diturunkan dari langit termasuk pahala pembacaanya. Adapun azan, maka muazin dari umatku akan dihimpunkan bersama para nabi, para siddiqin dan para syuhada'. Adapun solat berjemaah kerana saf-saf umatku seperti saf-saf para malaikat di langit yang ke empat. Satu rakaat di dalam berjemaah ialah dua puluh empat rakaat. Setiap rakaat itu lebih dicintai Allah dari beribadat selama empat puluh tahun. Adapun hari Jumaat merupakan hari yang Allah mengumpulkan mereka yang terdahulu dan terkemudian pada hari Hisab. Tidak ada mukmin yang berjalan dengan dua kakinya untuk mengerjakan solat Jumaat melainkan Allah meringankan kesengsaraan di hari Kiamat.
Selepas imam memberi khutbah merupakan waktu Allah merahmati mukminin dan mukminat. Adapun pembacaan secara nyaring (ijhar), maka tidak ada mukmin yang memandikan jenazah melainkan api neraka menjauhinya, meluaskan Titian (al-Sirat) untuknya menurut kadar kenyaringan suaranya dan memberi cahaya kepadanya sehingga memasuki syurga. Adapun rukhsah, maka Allah akan meringankan kesengsaraan hari Kiamat ke atas umatku yang melakukan rukhsah sebagaimana Allah membenarkannya di dalam al-Qur'an. Adapun solat jenazah, maka tidak ada mukmin yang mengerjakan solat jenazah melainkan dia boleh memberi syafaat atau diberi syafaat. Adapun syafaat aku adalah untuk pelaku-pelaku dosa besar daripada umatku selain daripada syirik dan kezaliman.
Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagiNya. Sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan pesuruh-Nya, sesungguhnya anda adalah penutup para nabi, imam para muttaqin dan Rasul Tuhan semesta alam.
Kemudian Yahudi itu mengeluarkan kertas putih dari tapak tangannya tertulis di atasnya semua jawapan Nabi s.a.w adalah benar, maka beliau berkata: Wahai Rasulullah! Demi Yang Mengutus anda dengan kebenaran sebagai seorang nabi bahawa aku tidak menyalinnya melainkan dari alwah (loh-loh) yang telah ditulis oleh Allah kepada Musa bin Imran. Sesungguhnya aku telah membaca di dalam Taurat seratus ribu ayat. Maka tidak ada satu ayat yang aku telah membacanya melainkan aku dapati tertulis padanya. Sesungguhnya aku telah membaca di dalam Taurat kelebihan anda sehingga aku mengesyaki nya. Wahai Muhammad! Aku telah memadamkan nama anda di dalam Taurat selama empat puluh tahun, setiap kali aku memadamkannya, aku dapati nama anda tertulis padanya. Sesungguhnya aku telah membaca di dalam Taurat masalah ini. Ia tidak boleh dijawab selain daripada anda. Pada masa anda menjawabnya Jibrail di kanan anda dan Mikail di kiri anda, Rasulullah s.a.w bersabda: Jibrail di kanan aku dan Mikail di kiri aku, selawat dan salam kepada Muhammad dan keluarganya.
Kelebihan Mukmin dan Ujiannya
Daripada Ruba'i daripada 'Umar bin Yazid berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Allah tidak akan mengazab satu kampung apabila tujuh orang mukmin berada di dalamnya . Daripada sanad ini Umar bin Yazid berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Setiap sesuatu ada perkara yang membuatkannya berehat. Mukmin berehat dengan saudara mukminnya sebagaimana burung berehat dengan kumpulannya. Tidakkah anda melihatnya?
Abu Ja'far a.s berkata: Sesiapa yang yakin dengan perkara yang akan datang, maka dia harus bijak di dalam perbelanjaannya . Beliau a.s. berkata: Pertolongan diturunkan dari langit ke atas hamba-Nya sekadar makanan .
Daripada Ruba'i daripada al-Fadhl berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya bilangan syaitan di atas mereka mukmin lebih banyak daripada bilangan tebuan di atas daging. Kemudian beliau a.s. menunjuk ke langit dan berkata: Melainkan Allah sahaja yang dapat mempertahankannya .
Daripada Ruba'i daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang memberi makan kepada saudaranya kerana Allah, maka baginya pahala seperti orang yang memberi makan kepada orang ramai (fi'aam min al-Nas) Ruba'i berkata: Aku telah menjadikan diri aku sebagai tebusan anda, apakah fiaam min al-Nas (bilangan yang ramai itu)? Beliau a.s. berkata: Seratus ribu orang .
Abu Abdullah a.s berkata: Enam perkara diangkat daripada umat ini: Kesalahan dan kelalaian, apa yang dipaksakan ke atasnya, apa yang mereka tidak tahu, apa yang mereka tidak mampu dan apa yang mereka terpaksa melakukannya
Mukmin Adalah Saudara Mukmin
Al-Sadiq a.s berkata: Mukmin itu adalah saudara mukmin, bagaikan matanya dan petunjuknya. Dia tidak mengkhianati saudaranya dan tidak pula menghinanya. Beliau a.s. berkata: Mukmin mendatangkan berkat kepada mukmin. Beliau a.s. berkata: Mukmin yang mejemput dua orang mukmin ke rumahnya, lalu memberi makan kepada mereka berdua sehingga kenyang adalah lebih baik daripada memerdekakan seorang hamba. Seorang mukmin yang memberi pinjaman kepada seorang mukmin kerana Allah, maka Allah akan menghitungkan pahala untuknya seperti pahala bersedekah. Seseorang mukmin yang berjalan kerana keperluan saudaranya maka Allah menulis kebaikan pada setiap langkahnya serta menghapuskan kejahatan pada setiap langkahnya, lalu diangkat untuknya beberapa darjat dan ditambahkan kepadanya sepuluh kebaikan, kemudian diberi syafaat pada sepuluh keperluan (hajat). Mukmin yang berdoa kepada saudaranya supaya zahirnya perkara ghaib, maka Allah akan mewakilkannya seorang malaikat yang akan berkata: Anda adalah sepertinya. Seseorang mukmin yang menyelamatkan saudaranya daripada kesusahan, maka Allah akan menyelamatkannya daripada kesusahan di akhirat. Seseorang mukmin yang membantu mukmin yang dizalimi (mu'minan mazluman) adalah lebih baik daripada berpuasa sebulan dan beriktikaf di Masjid Haram. Seseorang mukmin yang membantu mukmin mengikut kemampuannya, maka Allah akan membantunya di dunia dan akhirat. Beliau a.s. berkata: Mukmin yang menghina saudaranya sedangkan beliau mampu membantunya, maka Allah akan menghinanya di dunia dan di akhirat .
Beliau a.s. berkata: Muslim adalah saudara muslim dan hak muslim ke atas saudaranya ialah janganlah dia merasa kenyang sedangkan saudaranya lapar. Janganlah dia minum sepuas-puasnya sedangkan saudaranya dahaga. Janganlah dia memiliki pakaian berlebihan sedangkan saudaranya bertelanjang. Alangkah besarnya hak muslim ke atas saudara yang muslim.
Beliau a.s. berkata: Cintailah saudara muslim sebagaimana anda mencintai diri anda sendiri. Apabila anda perlu, maka mintalah daripadanya. Apabila dia meminta daripada anda, maka berilah kepadanya. Jangan anda merasa jemu untuk melakukan kebaikan kepadanya begitulah sebaliknya. Jadilah anda seorang yang baik terhadapnya, jika dia tidak ada (ghaib), maka jagalah dia semasa ketiadaannya. Apabila dia pulang, maka ziarahilah dia dengan penuh penghormatan, kerana dia adalah daripada anda dan anda daripadanya. Jika anda mencelanya, maka janganlah anda berpisah daripadanya sehingga anda memohon maaf. Jika dia mendapat kebaikan, maka anda bersyukurlah kepada Allah. Jika dia ditimpa bencana, maka bantulah dia. Apabila seorang mukmin berkata kepada saudaranya uffin, maka terputuslah wilayah antara mereka berdua. Apabila berkata seseorang lelaki: Anda adalah musuh aku, maka salah seorang daripada mereka berdua menjadi kafir, jika dia menuduh saudaranya dengan sesuatu tuduhan, maka imannya mengecil sebagaimana mengecilnya garam apabila terkena air.
Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya mukmin akan terpancar cahayanya kepada penghuni langit sebagaimana terpancarnya bintang-bintang di langit kepada penghuni bumi. Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya mukmin adalah wali Allah. Dia membantu dan menolong saudaranya. Dia tidak berkata kepada saudaranya melainkan kebenaran dan dia tidak takut selain daripada-Nya .
Daripada Hamzah al-Thumali berkata: Sesiapa yang memberi makan seorang mukmin yang kelaparan, nescaya Allah akan memberi makan buah-buahan di syurga kepadanya. Sesiapa yang memberi minum seorang mukmin yang dahaga, maka Allah akan memberi minuman yang istimewa kepadanya. Sesiapa yang memberi pakaian kepada seorang mukmin, maka Allah akan memakaikannya dengan pakaian yang hijau. Di dalam hadis yang lain menyebutkan dia sentiasa di dalam jaminan Allah selama beliau melakukan sedemikian .
Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya apabila dua orang mukmin bertemu dan berjabat tangan, maka Allah berdepan dengan mereka berdua dengan muka-Nya (zat-Nya). Dosa hilang dari muka mereka berdua sehingga mereka berdua berpisah. Beliau a.s. juga berkata: Demi Allah! Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik dari menunaikan hak mukmin. Beliau a.s. berkata: Demi Allah! Sesungguhnya hak seseorang mukmin lebih besar daripada Ka'bah (Wa l-Lahi inna l-mu'min la-a'zamu haqqan mina l-ka'bah). Beliau a.s. berkata: Doa seseorang mukmin untuk mukmin dapat menghindari bala dan mendatangkan rezeki .
Pahala Ziarah Mukmin Akan Saudaranya Kerana Agama
Al-Sadiq a.s berkata: Menunaikan hajat seorang mukmin adalah lebih baik (qadha'u hajati al-Mu'min khairun) dari membawa seribu ekor kuda pada jalan Allah dan memerdekakan seribu orang hamba . Beliau a.s. berkata: Tidak ada seorang mukmin yang memandikan (jenazah) seorang mukmin dalam keadaan membalikkannya (wa-huwa yuqallibu-hu) dan berkata: Tuhanku! keampunan-Mu dipinta" (Rabb 'afwa-ka) melainkan Allah mengampunkan orang yang memandikan jenzah itu (al-Ghaasil )
Jabir daripada Abu Ja'far daripada Ali bin al-Husain daripada al-Husain bin Ali a.s daripada nabi s.a.w bersabda: Jibra'il telah memberitahuku sesungguhnya Allah Azzawajalla telah menurunkan malaikat ke bumi. Malaikat itu mula berjalan sehingga sampai ke pintu rumah seorang lelaki. Tiba-tiba datang seorang lelaki meminta izin di pintu rumah itu. Malaikat bertanya kepadanya: Apakah hajat anda kepada tuan rumah ini? Dia menjawab: Dia adalah saudara seagama denganku. Aku menziarahinya kerana Allah. Malaikat berkata: Demi Allah! Itu sahaja yang telah membuatkan anda datang kepadanya? Lalaki itu menjawab: Itu sahaja yang membuatkan aku datang kepadanya. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada anda. Allah s.w.t. memberi salam kepada anda dan berfirman: Anda wajib memasuki syurga (wajabat laka al-Jannah). Malaikat berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman: Seseorang muslim yang menziarahi seseorang muslim bukanlah beliau menziarahinya, tetapi beliau menziarahi-Ku dan pahalanya (ke atas-Ku) adalah syurga . Al-Sadiq a.s berkata: Seorang muslim yang berjalan untuk memenuhi hajat (keperluan) seseorang mukmin adalah lebih baik daripada tawaf tujuh puluh kali di sekeliling al-Bait al-Haram .
Dia berkata: Abu Ja'far a.s berkata: Perasaan takut terhadap musuh kami di campak ke hati syi'ah (ulqia al-Ra'bu fi qulubi syi'ati-na min 'aduwwi-na). Tetapi apabila berlaku perintah kami dan keluar Mahdi kami maka seseorang daripada mereka lebih berani dari seekor singa jantan, lebih tajam dari mata tombak, menendang musuh kami dengan dua kakinya dan membunuh mereka dengan dua tapak tangannya .
Daripada Abu al-Hasan Musa a.s berkata: Bukan daripada kami mereka yang tidak melakukan muhasabah diri pada setiap hari. Jika dia melakukan kebaikan maka dia memohon kepada Allah supaya menambahkannya dan memuji Allah di atasnya. Jika dia melakukan perkara yang tidak baik maka dia memohon keampunan Allah dan bertaubat kepada-Nya .
Asal Kejadian Para Nabi dan Mukminin
Daripadanya, daripada Ruba'i daripada seorang lelaki
daripada Ali bin al-Husain a.s berkata: Sesungguhnya Allah telah menciptakan
para nabi dari tanah 'Illiyyiin. (syurga). Hati dan badan mereka (quluubu-hum
wa abdaanu-hum) adalah daripada tanah tersebut. Dia telah menciptakan hati
mereka mukmin daripada tanah itu tetapi tidak menciptakan badan mereka darinya.
Allah menciptakan mereka kafir, hati dan badan mereka daripada tanah Sijjin (neraka). Kemudian Allah s.w.t. mencampurkan kedua-dua tanah tersebut (fa-khalata al-tinatain). Maka keadaan inilah menyebabkan seorang mukmin melahirkan seorang kafir (yalidu al-Mu'min al-Kafir)dan seorang kafir melahirkan seorang mukmin (al-Kafir yalidu al-Mukmin). Keadaan ini jugalah menyebabkan seorang mukmin (boleh) ditimpa keburukan (al-Sayyiah) dan seorang kafir (boleh) mendapat kebaikan (al-Hasanah). Justeru hati mereka mukmin cenderung kepada asal ciptaan mereka manakala hati mereka kafir juga cenderung kepada asal ciptaan mereka.
Daripada Huraiz daripada Abu Abdullah a.s menjelaskan tentang firman Allah Surah Fussilat (41): 34 "Dan tidaklah sama kebaikan (al-Hasanatu) dan kejahatan (al-Sayyi'atu)". Beliau berkata: al-Hasanatu adalah al-Taqiyyatu dan al-Sayyia'atu adalah al-Idhaa'atu (penyebaran) "Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik. (Keadaan ini membolehkan) orang yang bermusuhan terhadapmu akan bertukar menjadi (seolah-olah) seorang sahabat yang baik.
Daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s. daripada bapa, datuk dan moyangnya daripada Amir al-Mukminin a.s daripada Rasulullah s.a.w daripada Allah Azzawajalla berfirman: Urusan kamu adalah dengan warak, ijtihad, menunaikan amanah, benar di dalam perkataan, lama sujud, rukuk, tahajud di waktu malam, memberi makan dan memberi salam.
Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang bersumpah (halifa) dengan (nama) Allah dalam keadaan berbohong (kadhiban), maka dia akan menjadi kafir (kafara). Sesiapa yang bersumpah dengan (nama) Allah dalam keadaan benar (sadiqan), maka dia berdosa (athima) kerana Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah(2):24 " Dan janganlah kamu menjadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan ".
Al-Baqir a.s berkata: Tidak ada seorang lelaki yang memberi penyaksian palsu ke atas seorang lelaki muslim bagi melucutkan haknya melainkan Allah menulis tempatnya di dalam catatan ke neraka. Beliau a.s. berkata: Perkukuhkan harta kamu (hassinuu amwala-kum) dengan mengeluarkan zakat dan ubatilah penyakit kamu (daawuu mardhaa-kum) dengan memberi sedekah .
Al-Sadiq a.s berkata: Tidak ada seekor burung yang diburu melainkan ia meninggalkan tasbih dan tidak ada harta yang ditimpa bencana melainkan ia tidak dikeluarkan zakat .
Allah menciptakan mereka kafir, hati dan badan mereka daripada tanah Sijjin (neraka). Kemudian Allah s.w.t. mencampurkan kedua-dua tanah tersebut (fa-khalata al-tinatain). Maka keadaan inilah menyebabkan seorang mukmin melahirkan seorang kafir (yalidu al-Mu'min al-Kafir)dan seorang kafir melahirkan seorang mukmin (al-Kafir yalidu al-Mukmin). Keadaan ini jugalah menyebabkan seorang mukmin (boleh) ditimpa keburukan (al-Sayyiah) dan seorang kafir (boleh) mendapat kebaikan (al-Hasanah). Justeru hati mereka mukmin cenderung kepada asal ciptaan mereka manakala hati mereka kafir juga cenderung kepada asal ciptaan mereka.
Daripada Huraiz daripada Abu Abdullah a.s menjelaskan tentang firman Allah Surah Fussilat (41): 34 "Dan tidaklah sama kebaikan (al-Hasanatu) dan kejahatan (al-Sayyi'atu)". Beliau berkata: al-Hasanatu adalah al-Taqiyyatu dan al-Sayyia'atu adalah al-Idhaa'atu (penyebaran) "Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik. (Keadaan ini membolehkan) orang yang bermusuhan terhadapmu akan bertukar menjadi (seolah-olah) seorang sahabat yang baik.
Daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s. daripada bapa, datuk dan moyangnya daripada Amir al-Mukminin a.s daripada Rasulullah s.a.w daripada Allah Azzawajalla berfirman: Urusan kamu adalah dengan warak, ijtihad, menunaikan amanah, benar di dalam perkataan, lama sujud, rukuk, tahajud di waktu malam, memberi makan dan memberi salam.
Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang bersumpah (halifa) dengan (nama) Allah dalam keadaan berbohong (kadhiban), maka dia akan menjadi kafir (kafara). Sesiapa yang bersumpah dengan (nama) Allah dalam keadaan benar (sadiqan), maka dia berdosa (athima) kerana Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah(2):24 " Dan janganlah kamu menjadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan ".
Al-Baqir a.s berkata: Tidak ada seorang lelaki yang memberi penyaksian palsu ke atas seorang lelaki muslim bagi melucutkan haknya melainkan Allah menulis tempatnya di dalam catatan ke neraka. Beliau a.s. berkata: Perkukuhkan harta kamu (hassinuu amwala-kum) dengan mengeluarkan zakat dan ubatilah penyakit kamu (daawuu mardhaa-kum) dengan memberi sedekah .
Al-Sadiq a.s berkata: Tidak ada seekor burung yang diburu melainkan ia meninggalkan tasbih dan tidak ada harta yang ditimpa bencana melainkan ia tidak dikeluarkan zakat .
Mukmin Diciptakan Dari Tanah Para Nabi A.S
Daripada Muhammad bin Hamraan: Aku telah bertanya kepada al-Sadiq a.s. Dari apakah Allah telah menciptakan tanah mukmin? Beliau a.s. menjawab: Dari tanah 'Illiyyin. Aku bertanya lagi: Dari apakah diciptakan seorang mukmin? Beliau menjawab: Dari tanah para nabi, lantaran itu mereka tidak boleh dikotori oleh sesuatu (fa-lan yunajjisa-hu sya'un) .
Langganan:
Postingan (Atom)