Total Tayangan Halaman

Jumat, 12 Mei 2017

Dialog Rasulullah S.A.W Dengan Abdullah Bin Salam



Daripada Ibn Abbas bahawa sesungguhnya apabila Allah mengutus Muhammad s.a.w, maka Dia telah memerintahkannya supaya menyeru makhluk kepada syahadah tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya. Orang ramai segera menyahut seruannya, lantas baginda s.a.w. memberi peringatan kepada mereka. Jibrail menyuruh baginda s.a.w. supaya menulis surat kepada Ahlu l-Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani. Jibrail melakukan imlak ke atas suratnya. Penulisnya pada masa itu ialah Sa'd bin Abu Waqqas, maka baginda s.a.w. telah mengutus surat kepada Yahudi Khaibar:

Bismillahi r-Rahmani-r-Rahim daripada Muhammad bin Abdullah al-Ummiyyu, Rasulullah kepada Yahudi Khaibar.

Amma ba'd Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya bumi adalah milik Allah. Dia mewariskannya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya. Balasan yang baik bagi mereka yang bertakwa. Tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Beliau menghantar surat itu kepada Yahudi Khaibar. Setelah suratnya sampai kepada mereka, maka surat itu dibawa kepada ketua mereka bernama Abdullah bin Salam: Ini adalah surat Muhammad kepada kita, anda bacalah kepada kami, lalu Abdullah membacanya dan berkata kepada mereka: Apakah yang kamu dapati di dalam surat ini? Mereka berkata: Kami dapati bukti (alamat)nya di dalam Taurat. Jika inilah Muhammad yang diberitahu oleh Musa, Daud dan Isa a.s, maka dia akan membekukan Taurat, menghalalkan kepada kita apa yang telah diharamkan ke atas kita sebelumnya, sekiranya kita tetap di atas agama kita adalah lebih baik bagi kita. Abdullah bin Salam berkata: Wahai kaum! Kamu telah memilih dunia ke atas akhirat dan azab ke atas rahmat?

Mereka menjawab: Tidak. Abdullah berkata: Kenapa kamu tidak mengikuti pendakwah Allah? Mereka berkata: Wahai Ibn Salam! Kami tidak mengetahui bahawa Muhammad itu benar tentang apa yang dikatakannya. Abdullah berkata: Jika begitu, kita akan bertanya kepadanya tentang Pencipta dan makhluk-Nya, nasikh dan mansuh. Sekiranya dia seorang nabi, maka dia akan menerangkan kepada kita sebagaimana dilakukan oleh para nabi sebelumnya.

Mereka berkata: Wahai Ibn Salam! Pergilah anda kepada Muhammad sehingga anda menentang percakapannya dan anda lihat bagaimana dia memberi jawapan kepada anda. Abdullah berkata: Kamu adalah kaum yang jahil. Sekiranya inilah Muhammad yang telah diberitahu kepada kita oleh Musa, Daud dan Isa ibn Maryam, maka dia adalah penutup para nab. Jika manusia dan jin berkumpul untuk memberi jawapan walaupun satu kalimat atau satu ayat kepada Muhammad, nescaya mereka tidak mampu dengan izin Allah. Mereka berkata: Anda memang benar wahai Ibn Salam, lantaran itu apakah muslihatnya? Abdullah berkata: Aku akan mengguna Taurat, aku akan membawa Taurat kepadanya, aku akan menyalin seribu empat masalah daripadanya. Setelah itu Abdullah bin Salam berjumpa dengan Nabi s.a.w pada hari Isnin selepas solat subuh. Abdullah berkata: Salam ke atas anda wahai Muhammad!. Nabi s.a.w bersabda: Ke atas mereka yang mengikut pertunjuk, rahmat Allah dan berkat-Nya. Siapakah anda? Abdullah menjawab: Aku ialah Abdullah bin Salam daripada ketua-ketua Bani Israel di kalangan mereka yang telah membaca Taurat dan aku adalah wakil kaum Yahudi kepada anda. Bersamaku beberapa ayat daripada Taurat supaya anda menerangkan kepada kami dan kami melihat anda daripada mereka yang baik-baik.

Nabi s.a.w bersabda: Segala puji bagi Allah di atas nikmat-Nya wahai Ibn salam! Adakah anda datang kepada kami sebagai seorang yang bertanya atau sebagai seorang yang degil? Abdullah menjawab: Sebagai seorang yang bertanya wahai Muhammad!. Baginda s.a.w. bersabda: Adakah di atas kesesatan atau di atas pertunjuk? Abdullah menjawab: Malah di atas pertunjuk wahai Muhammad!. Maka Nabi s.a.w bersabda: Bertanyalah apa yang anda kehendaki. Abdullah berkata: Aku sedar wahai Muhammad! Beritahu kepada aku tentang anda, adakah anda seorang nabi atau seorang rasul? Baginda s.a.w. bersabda: Aku adalah nabi dan rasul sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Mukmin(40):78 "Di antara mereka ada yang kami ceritakan kepada mu dan di antara mereka (pula) ada yang kami tidak ceritakan kepada mu".

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu kepadaku: adakah Allah telah bercakap kepada anda sebelumnya? Baginda s.a.w. bersabda: Tidak ada seorang hamba yang Allah bercakap kepadanya melainkan secara wahyu atau di sebalik tabir. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: adakah anda menyeru kepada agama anda atau kepada agama Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Malah tidak ada agama bagi aku selain daripada agama Allah.

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: kepada siapakah anda dakwahkan? Baginda s.a.w. bersabda: Kepada Islam dan Iman kepada Allah. Abdullah berkata: Apakah Islam? Baginda s.a.w. bersabda: Syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagi-Nya. Sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan rasul-Nya, sesungguhnya Kiamat akan berlaku tanpa syak. Sesungguhnya Allah akan membangkitkan mereka yang berada di dalam kubur. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!: Beritahu aku berapakah agama bagi Allah Tuhan semesta alam? Baginda s.a.w. bersabda: Satu agama, Allah adalah satu, tiada sekutu bagi-Nya. Abdullah berkata: Apakah agama Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Islam. Abdullah berkata: Adakah para nabi sebelum anda beragama dengannya? Baginda s.a.w. bersabda: Ya. Abdullah berkata: Bagaimana dengan syariat-syariat? Baginda s.a.w. bersabda: Syariat adalah bermacam-macam sebagaimana telah berlalu kepada mereka yang terdahulu. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!: Beritahu aku tentang syurga adakah mereka memasukinya dengan Islam atau Iman atau amal?
 

Baginda s.a.w. bersabda: Di antara mereka ada yang memasukinya dengan ketiga-tiganya iaitu bagi seorang muslim, mukmin dan beramal. maka dia memasuki syurga dengan tiga amalan atau dia seorang Nasrani atau seorang Yahudi, maka dia menjadi muslim beriman dengan Allah, membuang kekafiran daripada hatinya, lalu dia meninggal dunia di tempatnya tanpa meninggal mana-mana amalan, maka dia adalah daripada penghuni syurga itu adalah iman tanpa amalan. Bagi seseorang Yahudi atau Nasrani yang bersedekah atau melakukan infak kepada selain daripada zat Allah, maka dia adalah di atas kekafiran dan kesesatan, menjadi penyembah makhluk bukan khalik.

Jika dia meninggal dunia di atas agamanya, maka dia adalah di atas amalannya di neraka pada hari Kiamat, kerana Allah tidak akan menerima melainkan daripada mereka yang bertakwa. Abdulah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku adakah kitab diturunkan ke atas anda? Baginda s.a.w. bersabda: Ya. Abdullah berkata: Kitab yang mana satu? Baginda s.a.w. bersabda: Furqan. Abdullah berkata: Kenapa Tuhan anda menamakannya dengan Furqan? Baginda s.a.w. bersabda: Kerana ia mempunyai ayat-ayat dan surah-surah yang berasingan diturunkan bukan secara alwah (loh-loh) dan mashaf berbanding dengan Taurat, Injil dan Zabur yang diturunkan sebahagiannya di alwah dan kertas-kertas. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: manakah permulaan al-Qur'an? Baginda s.a.w. bersabda: Permulaan al-Qur'an adalah Bismillahi r-Rahmani r-Rahim.

Abdullah berkata: Apakah tafsir huruf Abjad Hawwaz? Baginda s.a.w. bersabda: Al-Alif adalah aalaa' Allah (nikmat Allah). Al-Ba' adalah bahaa' Allah (cahaya Allah). Al-Jim adalah jamalu l-Lah (kecantikan Allah). Al-Daal adalah dinu l-Lah (agama Allah). Al-Haa' adalah al-Hawiyah (neraka). Al-Wau adalah wailun li-ahli al-Nar (celakalah bagi penghuni neraka). Adapun al-Zai adalah zawiyah fi al-Nar (sudut neraka).

Abdullah berkata: Beritahu aku tentang empat perkara yang Allah telah menjadikan mereka dengan tangannya? Baginda s.a.w. bersabda: Allah telah menjadikan syurga Adan dengan tangan-Nya, menanam pokok Tuba di syurga dengan tangan-Nya, menjadikan Adam a.s dengan tangan-Nya dan menulis Taurat dengan tangan-Nya.

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Siapakah yang telah memberitahu anda semua ini? Baginda s.a.w. bersabda: Jibrail. Abdullah berkata: Jibrail daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Mikail. Abdullah berkata: Mikail daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Israfil. Abdullah berkata: Israfil daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Lauh Mahfuz. Abdullah berkata: Lauh daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada al-Qalam. Abdullah berkata: Al-Qalam daripada siapa? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada Tuhan semesta alam. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad.

Abdullah berkata: Beritahu aku tentang Jibrail: adakah ia daripada jenis wanita atau lelaki. Baginda s.a.w. bersabda: Daripada jenis lelaki, bukan daripada jenis wanita. Abdullah berkata: Apakah makanan dan minumannya? Baginda s.a.w. bersabda: Makanannya adalah tasbih dan minumannya adalah tahlil. Abdullah berkata: Anda memang benar. Abdullah berkata: Beritahu aku berapakah panjangnya? Baginda s.a.w. bersabda: Ia seperti malaikat lain. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Ia mempunyai lapan puluh perwatakan. Kisah Ja'dah dan Hilal adalah di depannya, bersinar cahayanya di kalangan malaikat seperti sinaran cahaya di malam yang gelap. Ia mempunyai dua puluh empat sayap kehijauan yang disaluti permata delima dan dihiasi pula dengan mutiara serta di atasnya kalung. Lapisannya adalah rahmat, butang bajunya adalah kekeramatan, belakangnya adalah ketenangan, bulunya adalah kekuningan, dahi yang terang berhidung mancung, berjanggut, berpendirian segak, tidak makan dan minum, tidak jemu dan lupa. Dia melaksanakan perintah Allah sehingga hari Kiamat. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!
 

Abdullah berkata: Apakah satu, apakah dua, apakah tiga, apakah empat, apakah lima, apakah enam, apakah tujuh, apakah lapan, apakah sembilan, apakah sepuluh, apakah sebelas, apakah dua belas, apakah tiga belas, apakah empat belas, apakah lima belas, apakah enam belas, apakah tujuh belas, apakah lapan belas, apakah sembilan belas, apakah dua puluh, apakah dua puluh satu, apakah dua puluh dua, apakah dua puluh tiga, apakah dua puluh empat, apakah dua puluh lima, apakah dua puluh enam, apakah dua puluh tujuh, apakah dua puluh lapan, apakah dua puluh sembilan, apakah tiga puluh, apakah empat puluh, apakah lima puluh, apakah enam puluh, apakah tujuh puluh, apakah lapan puluh, apakah sembilan puluh sembilan, dan apakah seratus?

Baginda s.a.w. bersabda: Ya, wahai Ibn Salam! Adapun satu, maka ia adalah Allah Yang Satu, Perkasa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada teman wanita dan tiada mempunyai anak, menghidupkan dan mematikan. Pada tangan-Nya kebaikan dan Dia berkuasa di atas setiap sesuatu.

Adapun dua, maka ia adalah Adam dan Hawa, sepasang suami isteri di syurga iaitu sebelum mereka berdua dikeluarkan daripadanya. Adapun tiga, maka ia adalah Jibrail, Mikail dan Israfil. Mereka adalah ketua-ketua malaikat dan mereka di bawah perintah Tuhan semesta alam. Adapun empat, maka ia adalah Taurat, Injil, Zabur dan Furqan. Adapun lima, maka ia telah diturunkan ke atas aku dan umat aku lima solat yang tidak diturunkan kepada mereka sebelum aku dan tidak difardukan ke atas umat selepas aku kerana tiada nabi selepas aku. Adapun enam, adalah Allah telah menjadikan langit dan bumi dalam enam hari. Adapun tujuh, tujuh langit yang kukuh seperti firman-Nya Surah al-Naba' (78):12 "Dan kami bangun di atas kamu tujuh langit yang kukuh". Adapun lapan ialah firman-Nya Surah al-Haqah (69):17 "Dan pada hari itu lapan malaikat membawa Arasy Tuhanmu di atas (kepala) mereka".

Adapun sembilan firman-Nya di dalam Surah al-Isra' (11):101 "Sesungguhnya kami telah memberi kepada Musa sembilan ayat (mukjizat) yang nyata".

Adapun sepuluh ialah firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2):196)"Itulah sepuluh (hari) yang sempurna". Adapun sebelas adalah kata-kata Yusuf kepada bapanya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Yusuf ((12):4 "(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada bapanya: Wahai bapaku sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang".
 

Adapun dua belas, setiap tahun adalah dua belas bulan, iaitu juga kata-kata Yusuf dalam Surah Yusuf (12):4 "matahari dan bulan ku lihat semuanya sujud kepadaku"

Adapun tiga belas, maka ia adalah saudara-saudara Yusuf. Matahari dan bulan adalah ibu dan bapa. Empat belas adalah empat belas lampu daripada cahaya yang tergantung di antara 'Arasy dan Kerusi, panjang setiap lampu sama dengan perjalanan seratus tahun. Lima belas adalah al-Furqan yang diturunkan dalam masa lima belas hari secara mufassalat selain pada bulan Ramadhan yang diturunkan al-Qur'an sebagai pertunjuk kepada manusia.

Enam belas adalah enam belas saf malaikat berlingkar di sekeliling 'Arasy sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Zumar(39): 79 "berlingkar di sekeliling Arasy"

Tujuh belas adalah tujuh belas ialah nama-nama Allah yang tertulis di antara syurga dan neraka. Tanpanya, maka neraka membakar mereka yang berada di langit dan di bumi. Lapan belas adalah lapan belas hijab daripada cahaya yang tergantung di antara Kerusi dan hijab-hijab. Tanpanya bukit-bukit yang tinggi akan menjadi cair, manusia dan Jin akan terbakar akibat cahaya Allah.

Abdullah berkata: Anda memang benar, wahai Muhammad!. Baginda s.a.w. bersabda: Sembilan belas adalah Saqar sebagaimana firman-Nya Surah al-Muddathir (74):28-30 "Saqar itu tidak meninggal dan tidak membiarkan. Pembakar kulit manusia. Di atasnya ada sembilan belas (malaikat penjaga)"

Dua puluh adalah kerana Zabur diturunkan kepada Daud dalam masa dua puluh hari selain daripada bulan Ramadhan . Firman-Nya di dalam Surah al-Isra' (17): 55 "Dan kami berikan Zabur kepada Daud"

Dua puluh satu adalah hari kelahiran Sulaiman bin Daud. Bukit-bukit bertasbih bersamanya. Dua puluh dua adalah hari pengampunan kepada Daud, dan hari Allah melembutkan besi untuknya bagi membuat baju besi. Dua puluh tiga adalah hari kelahiran Isa bin Maryam dan hari turunnya hidangan dari langit . Dua puluh empat adalah hari Allah bercakap-cakap dengan Musa. Dua puluh lima adalah hari Allah membelah laut untuk Musa dan Bani Israel. Dua puluh enam Allah menurunkan Taurat kepada Musa. Dua puluh tujuh adalah hari ikan paus memuntahkan Yunus dari perutnya. Dua puluh lapan Allah mengembalikan penglihatan Ya'qub. Dua puluh sembilan Allah mengangkat Idris ke tempat yang tinggi. Tiga puluh adalah firman-Nya di dalam Surah al-A'raf (7):142 "dan telah kami janjikan kepada Musa tiga puluh malam dan kami sempurnakan jumlah itu dengan sepuluh,maka sempurnalah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam"

Lima puluh adalah lima puluh hari bersamaan lima puluh ribu tahun. Enam puluh adalah kerana bumi mempunyai enam puluh jenis. Tujuh puluh adalah kerana Musa telah memilih tujuh puluh orang lelaki. Lapan puluh adalah kerana peminum arak disebat lapan puluh kali selepas ia diharamkan. Sembilan puluh sembilan adalah firman-Nya Surah al-Sad (38):23 "Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing"

Seratus adalah firman-Nya Surah al-Nur(24): 2 "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari kedua-duanya seratus sebatan"

Abdullah berkata: Anda memang benar, wahai Muhammad! Beritahu aku tentang Adam: bagaimana dia diciptakan dan daripada apakah diciptakannya?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ya, sesungguhnya Allah s.w.t dengan segala pujian terhadap-Nya, Maha Suci nama-nama-Nya dan tiada tuhan selain daripada-Nya yang telah menciptakan Adam daripada tanah. Tanah yang berasasl daripada buih dan buih dari ombak. Manakala ombak berasal dari laut dan laut dari kegelapan. Kegelapan daripada cahaya dan cahaya daripada huruf dan huruf daripada ayat. Ayat daripada bentuk dan bentuk daripada delima dan delima dari kun dan kun dari tiada sesuatu (la syai').

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku berapakah malaikat bagi seorang hamba Allah? Baginda s.a.w. bersabda: Setiap orang hamba mempunyai dua malaikat. Satu malaikat di kanannya dan satu malaikat di kirinya. Pada kanannya menulis kebaikan sementara pada kirinya menulis kejahatan. Abdullah berkata: Di manakah tempat duduk dua malaikat, apakah al-Qalam mereka berdua, bekas dakwat mereka berdua dan lauh mereka berdua?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tempat duduk mereka berdua adalah di atas kedua bahunya, al-Qalam mereka berdua adalah lidahnya, bekas dakwat mereka berdua adalah kerongkongnya. Dakwat mereka berdua adalah air liurnya. Lauh mereka berdua adalah hatinya. Mereka menulis amalan-amalan seseorang hamba sehingga kematiannya. Allah berfirman Surah al-Isra' (17):14 "Bacalah kitabmu dan cukuplah dirimu pada waktu itu sebagai penghisab terhadapmu".
 



Sifat Al-Qalam dan Lauh Mahfuz

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu kepada aku apakah Allah menjadikan selepas itu? Baginda s.a.w. bersabda: Al-Nun dan al-Qalam . Abdullah berkata: Apakah tafsir al-Nun dan al-Qalam? Baginda s.a.w. bersabda: Al-Nun adalah Lauh Mahfuz dan al-Qalam adalah cahaya yang terang sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Qalam (68):1"Al- Nun, demi al-Qalam dan apa yang mereka tulis". Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku berapakah panjangnya, lebarnya, apakah dakwatnya dan tempat mengalirnya?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Panjang al-Qalam adalah lima ratus tahun perjalanan dan lebarnya pula lapan puluh tahun perjalanan, ia mempunyai lapan puluh mata. Dakwat keluar di celah-celahnya pada Lauh Mahfuz dengan perintah Allah dan kekuasaan-Nya. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku tentang Lauh Mahfuz apakah ia? Baginda s.a.w. bersabda: Dari Zamrud hijau, di tepinya dilekatkan mutiara dan batangnya adalah rahmat. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku berapa detik bagi Tuhan semesta alam di Lauh Mahfuz setiap hari dan malam? Baginda s.a.w. bersabda: Tiga ratus enam puluh detik .

Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku apakah sifat biji (habbatan) yang diturunkan bersama Adam? Baginda s.a.w. bersabda: Sebesar telur ayam yang besar. Abdullah berkata: Apakah Adam buat dengan biji bersamanya? Baginda s.a.w. bersabda: Ia telah diturunkan bersama Adam dari syurga dan dipotong kepada enam ratus potongan, maka Adama a.s. telah menanamkan biji itu. Setelah itu tumbuhlah gandum dan biji-bijian yang lain. Abdullah berkata: Di manakah Adam diturunkan? Rasulullah s.a.w. bersabda: Di India. Abdullah berkata: (Dimanakah) Hawa' (diturunkan)? Baginda s.a.w. bersabda: Di Jeddah. Abdullah berkata: Iblis?. Baginda s.a.w. bersabda: Di Isfahan. Abdullah berkata: Ular? Baginda s.a.w. bersabda: Di Saqtariy.

Abdullah berkata: Apakah pakaian Adam ketika diturunkan dari syurga? Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiga helai daun dari daun syurga, satu dijadikan sarung, satu diletak di tubuhnya dan satu lagi dililit di kepalanya. Abdulah berkata: Apakah pakaian Hawa'? Baginda s.a.w. bersabda: Rambutnya sehingga sampai ke tanah. Abdullah berkata: Di manakah mereka berdua bertemu? Rasulullah s.a.w. bersabda: Di 'Arafat. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku tentang rumah pertama dibina oleh Allah di bumi? Baginda s.a.w. bersabda: Rumah di Makkah sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali Imran (3):96 "Sesungguhnya rumah yang pertama dibangunkan untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah di Makkah yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada semua manusia". Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku: adakah Adam diciptakan daripada Hawa' atau hawa' diciptakan daripada Adam?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Hawa' diciptakan daripada Adam, jika Adam diciptakan daripada Hawa', nescaya talak berada di tangan wanita bukan di tangan lelaki. Abdullah berkata: Keseluruhannya atau sebahagiannya? Beliau bersabda: Sebahagiannya, jika Hawa' diciptakan keseluruhannya (berasal dari Adam a.s.), nescaya kuasa hukuman (al-Qadha') dibolehkan kepada wanita sebagaimana lelaki. Abdullah berkata: Adakah daripada zahirnya atau daripada batinnya? Baginda s.a.w. bersabda: Malah daripada batinnya. Jika ia diciptakan daripada zahirnya, nescaya wanita boleh mendedahkan (sebahagian badan) sebagaimana lelaki, justeru itu wanita perlu menutup auratnya.
 

Abdullah berkata: Adakah dari kanan Adam atau dari kirinya? Baginda s.a.w. bersabda: Malah dari kirinya, jika Hawa diciptakan dari kanan Adam a.s., nescaya bahagian (warisan) lelaki dan wanita adalah sama. Dalam perkara ini, lelaki berhak dua bahagian dan bagi wanita satu bahagian. Dua orang wanita menyamai seorang lelaki. Abdullah berkata: Di tempat manakah Hawa' diciptakan daripada Adam? Baginda s.a.w. bersabda: Daripada tulang rusuk kirinya.

Abdullah berkata: Siapakah yang menduduki bumi sebelum Adam? Rasulullah s.a.w. bersabda: Jin. Abdullah berkata: Sebelum Jin? Baginda s.a.w. bersabda: Malaikat. Abdullah berkata: Sebelum malaikat? Rasulullah s.a.w. bersabda: Adam . Abdullah berkata: Berapakah masa di antara Jin dan malaikat? Baginda s.a.w. bersabda: Tujuh ribu tahun. Abdullah berkata: Di antara malaikat dan Adam? Baginda s.a.w. bersabda: Dua juta tahun. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku tentang Adam: adakah dia telah mengerjakan haji? Rasulullah s.a.w. bersabda: Ya. Abdullah berkata: Siapakah yang telah mencukur kepala Adam? Baginda s.a.w. bersabda: Jibrail. Abdullah berkata: Siapakah yang telah mengkhatankan Adam? Baginda s.a.w. bersabda: Berkhatan dengan sendirinya. Abdullah berkata: Siapakah yang berkhatan selepas Adam? Baginda s.a.w. bersabda: Ibrahim al-Khalil. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!.

Abdulah berkata: Beritahu aku tentang satu tempat yang telah disinari cahaya matahari sekali sahaja dan ia tidak akan menyinarinya lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Ketika Musa memukul laut dengan tongkatnya, maka laut terbelah kepada dua belas potongan. Matahari menyinari tempatnya (tanahnya). Allah menenggelamkan Fir'aun dan bala tenteranya, laut bercantum semula. Matahari tidak menyinari lagi tempat itu sehingga hari Kiamat. Abdullah berkata: Anda memang benar wahai Muhammad!

Abdullah berkata: Beritahu aku tentang rumah yang mempunyai dua belas pintu yang darinya dikeluarkan dua belas rezeki untuk dua belas orang lelaki? Baginda s.a.w. bersabda: Setelah Musa a.s. memasuki laut, dia menemui satu batu besar berwarna putih. Bentuknya empat persegi seperti rumah. Pada saat itu, Bani Israil dalam keadaan dahaga. Mereka membangkitkan keadaan itu kepada Musa a.s. Musa a.s. memukul batu itu dengan tongkatnya. Maka keluarlah daripadanya dua belas pancutan mata air daripada dua belas pintu.
 


Beberapa Persoalan Yahudi Kepada Rasulullah S.A.W Dan Jawapannya


Bismillahi r-Rahmani r-Rahim

Beliau (al-Mufid) berkata: Abd al-Rahman bin Ibrahim telah memberitahu kami, al-Husain bin Mihran telah memberitahu kami, al-Husain bin Abdullah telah memberitahuku daripada bapanya daripada datuknya daripada Ja'far bin Muhammad a.s daripada bapanya daripada datuknya al-Husain bin Ali bin Abu Talib a.s berkata: Seorang lelaki Yahudi datang kepada nabi s.a.w dan berkata: Wahai Muhammad! Andalah yang menyangka bahawa anda seorang Rasulullah dan diwahyukan kepada anda sebagaimana diwahyukan kepada Musa bin Imran? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya, akulah penghulu manusia (ana sayyid walad Adam ) tanpa meninggikan diri, aku adalah penutup para nabi, imam para muttaqin dan Rasul Tuhan semesta alam.

Yahudi berkata: Wahai Muhammad ! Adakah anda kepada kaum Arab atau kepada bukan Arab atau kepada kami?

Rasulullah s.a.w bersabda: Aku adalah Rasulullah kepada semua manusia.
 

Yahudi berkata: Sesungguhnya aku akan bertanya anda tentang sepuluh kalimah yang telah dikurniakan Allah kepada Musa di tempat yang diberkati ketika dia bermunajat dengan-Nya. Tidak mengetahuinya melainkan seorang nabi yang diutus atau malaikat muqarrab.

Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Kemukakan soalan yang terlintas di hati anda.

Yahudi berkata: Wahai Muhammad ! Beritahukan kepadaku tentang kalimah yang telah dipilih oleh Allah untuk Ibrahim a.s ketika beliau membina rumah ini (Ka'bah)?

Rasulullah s.a.w bersabda: Subhana l-Lah wal-Hamdu li-Lah wa la ilaha illa llah wal-Lahu akbar.

Yahudi berkata: Wahai Muhammad! Kenapakah Ibrahim a.s. telah membina Ka'bah empat persegi?

Rasulullah s.a.w bersabda: Kerana kalimah adalah empat.

Yahudi berkata: Kenapakah Ka'bah dinamakan Ka'bah?

Rasulullah s.a.w bersabda: Kerana ia berada di tengah dunia.

Yahudi berkata: Beritahu aku tentang tafsir "Subhana l-Lah wa l-Hamdu li l-Lah wa la ilaha illa lla wal-Lahu akbar?

Rasulullah s.a.w bersabda: Allah telah mengetahui bahawa manusia dan jin akan berbohong terhadap Allah s.w.t, maka Dia berfirman: Subhana l-Lah" iaitu Dia bersih dari apa yang mereka katakan terhadap-Nya, adapun firman-Nya "wa l-Hamdu li-Lah" Allah telah mengetahui bahawa hamba-hamba-Nya tidak berterima kasih kepada nikmat-Nya, lantaran itu Dia telah memuji diri-Nya sebelum makhluk memuji-Nya, ia adalah ucapan pembukaan, jika tidak, Allah tidak mengurniakan nikmat-Nya ke atas makhluk-Nya, adapun firman-Nya "la ilaha illa-Lah" iaitu keesaan-Nya di mana Allah tidak akan menerima amalan melainkan dengannya, tiada seorang pun yang akan memasuki syurga melainkan dengannya, ia adalah Kalimah Taqwa, ia dinamakan kalimah Taqwa kerana ia memberatkan timbangan (al-Mizan) di hari Kiamat, adapun "Allahu akbar" adalah kalimah yang tertinggi dan paling dicintai Allah iaitu tidak ada yang lebih besar daripada-Nya kerana dengannya solat dimulai dan dihormati Allah. Ia adalah salah satu daripada nama-nama Allah yang besar.

Yahudi berkata: Benar kata-kata anda, apakah ganjaran mereka yang mengucap dengannya?

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang hamba berkata: Subhana l-Lah, semua perkara selain daripada 'Arasy bertasbih bersamanya. Maka Dia memberi sepuluh kali ganda pahala kepadanya. Apabila beliau berkata: Al-Hamdulillah", maka Allah memberi nikmat dunia kepadanya sebelum dia diberi nikmat akhirat, ia adalah kalimah yang diucapkan oleh penghuni syurga apabila mereka memasukinya. Percakapan terputus di dunia selain daripada al-Hamdu. Demikianlah firman-Nya di dalam Surah Yunus (10):10 "Salam penghormatan mereka ialah salam.. Dan penutup doa mereka adalah al-Hamdulillahi Rabbi l-Alamin. Adapun pahala La ilaha illa l-Lah adalah syurga sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Rahman (55): 6 "Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula). Ia adalah darjat yang paling tinggi di syurga dan yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah.

Yahudi berkata: Memang benar wahai Muhammad! Anda telah menunaikan satu soalan. Adakah anda mengizinkan aku untuk bertanya anda soalan kedua? Rasulullah s.a.w bersabda: Bertanyalah kepadaku apa yang anda mahu. Jibrail di kanan Rasulullah s.a.w dan Mikail di kirinya memberitahu.

Yahudi berkata: Kenapakah anda dinamakan Muhammad, Ahmad, Abu l-Qasim, Basyir, Nadhir dan Da'i?

Rasulullah s.a.w bersabda: Adapun Muhammad kerana aku dipuji di langit, adapun Ahmad kerana aku dipuji di bumi, adapun Abu al-Qasim kerana Allah s.w.t membahagi-bahagikan neraka untuk mereka yang mengingkari aku (kafara bi) atau membohongi aku (yukadhibbuni) daripada mereka yang terdahulu dan terkemudian. Adapun Basyir kerana aku memberi berita gembira tentang syurga kepada mereka yang mentaati aku, adapun Nadhir kerana aku memberi amaran tentang neraka kepada mereka yang menderhaka kepadaku, adapun Da'i kerana aku menyeru manusia kepada agama Tuhanku; Islam.

Yahudi berkata: Memang benar wahai Muhammad! Beritahu aku tentang yang ketiga: Kenapakah Allah menetapkan masa solat yang lima kepada lima waktu kepada umat anda pada masa malam dan siang
 

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya matahari ketika gelincir (al-zawal), satu bulatan memasukinya, semuanya bertasbih kepada Tuhanku selain daripada 'Arasy, maka pada masa itulah doa dilakukan kepada Tuhanku. Lantaran itu, Allah mewajibkan ke atas aku dan umat aku solat pada waktunya. Justeru Dia berfirman dalam Surah al-Isra' (17):78 "Dirikanlah solat dari sesudah matahari gelincir". Iaitu waktu neraka Jahanam didatangi pada hari Kiamat. Justeru seseorang mukmin yang mengerjakan solat pada waktu tersebut maka Allah akan mengharamkan jasadnya daripada neraka. Solat Asar adalah waktu di mana Adam a.s telah memakan bahagian pokok dan dikeluarkannya dari syurga.

Justeru Allah telah memerintahkan zuriatnya mengerjakan solat ini sehingga hari Kiamat, Dia telah memilihnya dan mewajibkannya ke atas zuriatnya, ia merupakan solat yang paling dicintai Allah s.w.t. Oleh itu, Alah s.w.t. telah berwasiat kepadaku supaya memeliharanya, Dia berfirman dalam Surah al-Baqarah (2):238 " Peliharalah segala solatmu dan (peliharalah) solat wusta " iaitu solat Asar. Solat Isyak adalah waktu Allah s.w.t telah menerima taubat Adam a.s. Jarak masa antara dia memakan buah dari pokok dan masa diterima taubatnya adalah tiga ratus tahun hari dunia dan satu hari akhirat adalah menyamai seribu tahun menurut hitungan kamu. Oleh sebab itu Adam a.s mengerjakan solat tiga rakaat, satu rakaat kerana kesalahannya.

Satu rakaat kerana kesalahan Hawa' dan satu rakaat adalah kerana taubatnya. Allah telah menerima taubatnya dan memfardukan ke atas umat aku tiga rakaat ini, iaitu waktu yang paling mustajab untuk memohon doa. Tuhanku telah berjanji kepadaku bahawa Dia tidak akan menghampakan siapa yang memohon kepada-Nya. Dia berfirman dalam Surah al-Rum (30):17 "Maka bertasbihlah kamu kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu kamu berada di waktu subuh" Adapun solat al-'Atamah, kerana kegelapan kubur dan kegelapan hari Kiamat. Lantaran itu, Allah telah memerintahkan aku dan umat aku supaya mengerjakan solat ini, tidak ada kaki yang berjalan kepada solat al-'Atamah melainkan Allah mengharamkan neraka ke atasnya, Allah akan menyinari kuburnya pada hari Kiamat dan akan memberinya cahaya yang membolehkannya melintasi titian (al-Sirat). Ia adalah solat yang Dia telah pilih untuk para rasul sebelumku. Adapun solat Subuh kerana ketika matahari naik maka ia naik dari tanduk syaitan (qarn al-Syaitan). Allah telah memerintahkan aku supaya mengerjakan solat Subuh sebelum naik matahari sebelum mereka kafir sujud kepadanya, maka umat aku sujud kepada Allah, lebih awal dilakukannya adalah lebih dicintai Allah, ia adalah solat yang disaksikan oleh malaikat malam dan siang.

Yahudi berkata: Anda memang benar. Wahai Muhammad! Beritahukan kepadaku tentang perkara ke empat; Kenapakah Allah memerintahkan empat anggota dibasuh sedangkan ia adalah tempat yang paling bersih pada anggota badan?

Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika syaitan mendatangkan waswasnya, maka Adam a.s. menghampiri pokok tersebut, lantas melihat kepadanya dan hilang perasaan malu. Dia berdiri dan kaki pertama yang berjalan kepada kesalahan (al-Khati'ah). Dia mengambilnya, membelahnya dan memakannya. Apabila dia memakannya, maka terlerailah ikatan cahaya dari tubuhnya, kemudian Adam telah meletakkan tangan di atas kepala dan menangis.

Setelah Allah menerima taubat Adam, maka Allah memfardukan ke atasnya dan zuriatnya membasuh empat anggota tersebut. Allah memerintahkan supaya membasuh muka kerana Adam melihat kepada pokok tersebut. Allah memerintahkan supaya membasuh lengan sehingga ke siku kerana dia telah menghulurkan kedua tangannya kepada kesalahan. Allah memerintahkan supaya disapukan kepala kerana dia telah meletakkannya di atas ubun-ubunnya (ummu ra'si-hi). Allah memerintahkan supaya menyapu kaki kerana dia berjalan kepada kesalahan. Kemudian disunatkan ke atas umat aku berkumur (al-Madhmadhah) dan menghisap air ke dalam hidung (al-Istinsyaq). Berkumur membersihkan hati daripada perkara yang haram dan menghisap air ke hidung menegah bauan neraka.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah balasan bagi mereka melakukan wuduk sebagaimana diperintahkan?

Rasulullah s.a.w bersabda: Pertama kali seseorang menyentuh air, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila dia berkumur, maka Allah akan menyinari lidah dan hatinya dengan hikmat. Apabila dia menghisap air ke dalam hidung, maka Allah menyelamatkannya daripada seksa kubur dan azab neraka. Apabila dia membasuh mukanya, maka Allah menyerikan mukanya di hari muka-muka menjadi hitam. Apabila dia membasuh dua lengannya, maka Allah mengharamkan ke atasnya ledakan neraka. Apabila dia menyapukan kepalanya, maka Allah menyapukan segala kesalahannya. Apabila dia menyapukan dua kakinya, maka Allah membolehkannya melintasi titian (al-Sirat) pada hari tergelincirnya kaki-kaki.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad. Beritahukan kepada aku tentang yang kelima; Kenapakah Allah memerintahkan mandi junub (al-Ightisal) setelah keluar air mani (al-Nutfah), tetapi Dia tidak memerintahkan "mandi" setelah kencing dan berak sedangkan air mani lebih bersih daripada kencing dan berak?

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Adam a.s. memakan (buah) pokok tersebut, maka ia berpindah kepada peluhnya, rambutnya dan kulitnya. Apabila seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan isterinya, maka air maninya keluar juga melalui setiap peluh dan rambutnya (kharajat al-Nutfah min kulli 'arqin wa sya 'rin). Lantaran itu, Allah mewajibkan ke atas zuriat Adam sehingga hari Kiamat supaya mandi junub. Kencing dan berak hanya mengeluarkan sisa makanan dan minuman manusia, maka ia memadai dengan wuduk.

Yahudi berkata: Apakah balasan bagi mereka yang telah mandi (ightisal) daripada yang halal?

Rasulullah s.a.w bersabda: Allah membina untuknya setiap titik air ialah sebuah istana baginya di syurga iaitu perkara di antara Allah dan hamba-Nya daripada junub.

Yahudi berkata: Wahai Muhammad, beritahu aku soalan yang ke enam tentang lapan perkara yang tertulis di dalam Taurat bahawa Allah telah memerintahkan Bani Israel supaya menyembah-Nya selepas Musa?

Rasulullah s.a.w bersabda: Aku menyeru anda kepada Allah, jika aku memberitahu anda akan mengakuinya?

Yahudi berkata: Ya, wahai Muhammad.

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perkara pertama tertulis di Taurat ialah Muhammad Rasulullah, kemudian baginda s.a.w. membaca Surah al-A'raf(7):157 "mereka dapatinya tertulis di dalam Taurat dan Injil" dan Surah al-Saf (61): 6 "memberi khabar gembira dengan seorang rasul yang akan datang sesudahku yang namanya Ahmad". Adapun tentang perkara kedua, ketiga dan ke empat, maka Ali, Fatimah; Puteri wanita syurga dan dua anak lelaki mereka berdua. Di dalam Taurat disebut sebagai Ilya, Syabra, Syubaira dan Haliyun, iaitu Fatimah,al-Hasan, al-Husain dan Ali a.s.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, beritahu aku tentang kelebihan anda ke atas para nabi dan kelebihan keluarga anda ke atas manusia

Rasulullah s.a.w bersabda: Adapun kelebihan aku di atas segala para nabi kerana aku telah memilih dakwah aku sebagai syafaat aku kepada umat aku pada hari Kiamat sementara para nabi selain daripada aku melakukan sebaliknya jika dakwah mereka diingkari. Adapun kelebihan keluarga aku; Ahlu l-Bait aku dan zuriat aku seperti kelebihan air ke atas setiap sesuatu, dengan airlah sesuatu itu hidup sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah al-Anbiya' (21):30 " Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?". Justeru mencintai Ahlu l-Bait aku, keluarga aku dan zuriat aku melengkapkan agama (yastakmilu d-Din).

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad. Beritahu kepada aku tentang perkara yang ketujuh; apakah kelebihan lelaki ke atas wanita?

Rasulullah s.a.w bersabda: Seperti kelebihan langit ke atas bumi, seperti kelebihan air ke atas bumi. Dengan air semua dapat hidup, begitulah dengan lelaki hiduplah wanita, tanpa lelaki Allah tidak akan menciptakan wanita. Wanita tidak akan memasuki syurga melainkan dengan kelebihan lelaki. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Nisa' (4):34 "Kaum lelaki itu adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain(wanita)".

Yahudi berkata: Wahai Muhammad! Kenapakah ia menjadi begitu?

Rasulullah s.a.w bersabda: Adam a.s diciptakan dari tanah, dari salbinya dan dirinya diciptakan wanita, orang yang pertama mentaati wanita adalah Adam a.s. Maka Allah telah menurunkannya dari syurga. Sesungguhnya Allah telah melebihkan kaum lelaki daripada kaum wanita di dunia, tidakkah anda terfikir bahawa wanita mengalami masa haid? Justeru mereka tidak boleh beribadat kerana kekotoran tersebut, sementara kaum lelaki tidak mengalami perkara tersebut.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, beritahu aku tentang perkara yang kelapan; kenapakah Allah telah mewajibkan puasa ke atas umat anda tiga puluh hari sedangkan Dia telah mewajibkan ke atas umat yang lain lebih banyak?

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Adam a.s manakala beliau memakan bahagian pokok, maka ia tinggal di dalam perutnya selama tiga puluh hari. Oleh itu Allah s.w.t. memfardukan ke atas zuriatnya tiga puluh hari lapar dan dahaga. Adapun mereka dapat makan di waktu malam adalah suatu kurniaan Allah ke atas makhluk-Nya. Demikian juga ke atas Adam a.s adalah tiga puluh hari sebagaimana ke atas umat aku. Kemudian baginda s.a.w. membaca Surah al-Baqarah (2):183 " Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelum kami agar kamu bertakwa"
 

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah balasan mereka yang berpuasa selama tiga puluh hari?

Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak seorang pun mukmin berpuasa satu hari daripada bulan Ramadhan dengan penuh muhasabah melainkan Allah mewajibkan baginya tujuh sifat. Pertama: Perkara yang haram menjadi cair (yadhubu) dari jasadnya. Kedua: Ia menghampiri dirinya kepada rahmat Allah. Ketiga: Ia dapat menghapuskan kesalahannya, tidakkah anda mengetahui bahawa kafarah di dalam puasa itu dapat menghapuskan dosa? Keempat: Ia menyenangkan kematian. Kelima: Allah menyelamatkannya daripada lapar dan dahaga di hari Kiamat. Keenam: Pelepasan dirinya daripada neraka. Ketujuh: Allah akan memberinya makanan syurga.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, beritahu aku perkara yang ke sembilan; kenapakah Allah telah memerintahkan wuquf di 'Arafat selepas Asar?

Rasulullah s.a.w bersabda: Kerana selepas Asarlah waktu Adam a.s menderhaka kepada Tuhannya. Justeru Allah memfardukan ke atas umat aku wuquf, ibadat dan doa di tempat yang paling dicintai Allah iaitu di 'Arafat. Allah s.w.t. menjamin untuk menerima doa mereka dan waktu sekembalinya dari 'Arafat itulah waktu Adam menerima kalimat (wahyu) daripada Tuhan serta menerima taubatnya. Sesungguhnya Dia Penerima taubat lagi Penyayang.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah pahala bagi mereka yang melakukannya?

Rasulullah s.a.w bersabda: Dia yang telah mengutus aku dengan kebenaran sebagai pembawa berita gembira (basyiran) dan pemberi amaran (nadhiran). Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai tujuh pintu di langit: Pintu al-Taubat, pintu al-Rahmat, pintu al-Tafadhdhul, pintu al-Ihsan, pintu al-Jud, pintu al-Karam dan pintu al-'Afwu. Seseorang itu tidak berkumpul di 'Arafat melainkan dia layak memasuki pintu-pintu tersebut. Sesungguhnya Allah mempunyai seratus ribu malaikat. Setiap malaikat mempunyai seratus dua puluh ribu malaikat yang lain pula. Allah mempunyai seratus rahmat yang diturunkan kepada penghuni 'Arafat. Ketika mereka pulang, Allah mempersaksikan malaikat tersebut dengan memerdekakan penghuni 'Arafat dan apabila mereka pulang, maka Allah mempersaksikan malaikat bahawa Dia telah mewajibkan ke atas mereka syurga. Ada suara yang menyeru: Kembalilah kamu semua dalam keadaan diampuni, sesungguhnya kamu telah meredai-Ku dan Aku telah meredai kamu.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad. Beritahu aku perkara yang ke sepuluh tentang sembilan sifat yang telah dikurniakan Allah kepada anda berbanding dengan para nabi yang lain dan kepada umat anda berbanding dengan umat-umat yang lain?

Rasulullah s.a.w bersabda: Fatihah, azan, iqamah, berjemaah di Masjid-masjid, hari Jumaat, pembacaan secara nyaring (ijhar) di dalam tiga solat, rukhsah kepada umatku ketika sakit dan musafir, solat jenazah dan syafaat kepada pelaku-pelaku dosa besar dari umatku.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, apakah pahala mereka yang membaca al-Fatihah?

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membaca al-Fatihah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala bilangan kitab yang diturunkan dari langit termasuk pahala pembacaanya. Adapun azan, maka muazin dari umatku akan dihimpunkan bersama para nabi, para siddiqin dan para syuhada'. Adapun solat berjemaah kerana saf-saf umatku seperti saf-saf para malaikat di langit yang ke empat. Satu rakaat di dalam berjemaah ialah dua puluh empat rakaat. Setiap rakaat itu lebih dicintai Allah dari beribadat selama empat puluh tahun. Adapun hari Jumaat merupakan hari yang Allah mengumpulkan mereka yang terdahulu dan terkemudian pada hari Hisab. Tidak ada mukmin yang berjalan dengan dua kakinya untuk mengerjakan solat Jumaat melainkan Allah meringankan kesengsaraan di hari Kiamat.

Selepas imam memberi khutbah merupakan waktu Allah merahmati mukminin dan mukminat. Adapun pembacaan secara nyaring (ijhar), maka tidak ada mukmin yang memandikan jenazah melainkan api neraka menjauhinya, meluaskan Titian (al-Sirat) untuknya menurut kadar kenyaringan suaranya dan memberi cahaya kepadanya sehingga memasuki syurga. Adapun rukhsah, maka Allah akan meringankan kesengsaraan hari Kiamat ke atas umatku yang melakukan rukhsah sebagaimana Allah membenarkannya di dalam al-Qur'an. Adapun solat jenazah, maka tidak ada mukmin yang mengerjakan solat jenazah melainkan dia boleh memberi syafaat atau diberi syafaat. Adapun syafaat aku adalah untuk pelaku-pelaku dosa besar daripada umatku selain daripada syirik dan kezaliman.

Yahudi berkata: Anda memang benar wahai Muhammad, aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagiNya. Sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan pesuruh-Nya, sesungguhnya anda adalah penutup para nabi, imam para muttaqin dan Rasul Tuhan semesta alam.

Kemudian Yahudi itu mengeluarkan kertas putih dari tapak tangannya tertulis di atasnya semua jawapan Nabi s.a.w adalah benar, maka beliau berkata: Wahai Rasulullah! Demi Yang Mengutus anda dengan kebenaran sebagai seorang nabi bahawa aku tidak menyalinnya melainkan dari alwah (loh-loh) yang telah ditulis oleh Allah kepada Musa bin Imran. Sesungguhnya aku telah membaca di dalam Taurat seratus ribu ayat. Maka tidak ada satu ayat yang aku telah membacanya melainkan aku dapati tertulis padanya. Sesungguhnya aku telah membaca di dalam Taurat kelebihan anda sehingga aku mengesyaki nya. Wahai Muhammad! Aku telah memadamkan nama anda di dalam Taurat selama empat puluh tahun, setiap kali aku memadamkannya, aku dapati nama anda tertulis padanya. Sesungguhnya aku telah membaca di dalam Taurat masalah ini. Ia tidak boleh dijawab selain daripada anda. Pada masa anda menjawabnya Jibrail di kanan anda dan Mikail di kiri anda, Rasulullah s.a.w bersabda: Jibrail di kanan aku dan Mikail di kiri aku, selawat dan salam kepada Muhammad dan keluarganya.
 



Kelebihan Mukmin dan Ujiannya


Daripada Ruba'i daripada 'Umar bin Yazid berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Allah tidak akan mengazab satu kampung apabila tujuh orang mukmin berada di dalamnya . Daripada sanad ini Umar bin Yazid berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Setiap sesuatu ada perkara yang membuatkannya berehat. Mukmin berehat dengan saudara mukminnya sebagaimana burung berehat dengan kumpulannya. Tidakkah anda melihatnya? 

Abu Ja'far a.s berkata: Sesiapa yang yakin dengan perkara yang akan datang, maka dia harus bijak di dalam perbelanjaannya . Beliau a.s. berkata: Pertolongan diturunkan dari langit ke atas hamba-Nya sekadar makanan .

Daripada Ruba'i daripada al-Fadhl berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya bilangan syaitan di atas mereka mukmin lebih banyak daripada bilangan tebuan di atas daging. Kemudian beliau a.s. menunjuk ke langit dan berkata: Melainkan Allah sahaja yang dapat mempertahankannya .

Daripada Ruba'i daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang memberi makan kepada saudaranya kerana Allah, maka baginya pahala seperti orang yang memberi makan kepada orang ramai (fi'aam min al-Nas) Ruba'i berkata: Aku telah menjadikan diri aku sebagai tebusan anda, apakah fiaam min al-Nas (bilangan yang ramai itu)? Beliau a.s. berkata: Seratus ribu orang .

Abu Abdullah a.s berkata: Enam perkara diangkat daripada umat ini: Kesalahan dan kelalaian, apa yang dipaksakan ke atasnya, apa yang mereka tidak tahu, apa yang mereka tidak mampu dan apa yang mereka terpaksa melakukannya

Mukmin Adalah Saudara Mukmin


Al-Sadiq a.s berkata: Mukmin itu adalah saudara mukmin, bagaikan matanya dan petunjuknya. Dia tidak mengkhianati saudaranya dan tidak pula menghinanya. Beliau a.s. berkata: Mukmin mendatangkan berkat kepada mukmin. Beliau a.s. berkata: Mukmin yang mejemput dua orang mukmin ke rumahnya, lalu memberi makan kepada mereka berdua sehingga kenyang adalah lebih baik daripada memerdekakan seorang hamba. Seorang mukmin yang memberi pinjaman kepada seorang mukmin kerana Allah, maka Allah akan menghitungkan pahala untuknya seperti pahala bersedekah. Seseorang mukmin yang berjalan kerana keperluan saudaranya maka Allah menulis kebaikan pada setiap langkahnya serta menghapuskan kejahatan pada setiap langkahnya, lalu diangkat untuknya beberapa darjat dan ditambahkan kepadanya sepuluh kebaikan, kemudian diberi syafaat pada sepuluh keperluan (hajat). Mukmin yang berdoa kepada saudaranya supaya zahirnya perkara ghaib, maka Allah akan mewakilkannya seorang malaikat yang akan berkata: Anda adalah sepertinya. Seseorang mukmin yang menyelamatkan saudaranya daripada kesusahan, maka Allah akan menyelamatkannya daripada kesusahan di akhirat. Seseorang mukmin yang membantu mukmin yang dizalimi (mu'minan mazluman) adalah lebih baik daripada berpuasa sebulan dan beriktikaf di Masjid Haram. Seseorang mukmin yang membantu mukmin mengikut kemampuannya, maka Allah akan membantunya di dunia dan akhirat. Beliau a.s. berkata: Mukmin yang menghina saudaranya sedangkan beliau mampu membantunya, maka Allah akan menghinanya di dunia dan di akhirat .

Beliau a.s. berkata: Muslim adalah saudara muslim dan hak muslim ke atas saudaranya ialah janganlah dia merasa kenyang sedangkan saudaranya lapar. Janganlah dia minum sepuas-puasnya sedangkan saudaranya dahaga. Janganlah dia memiliki pakaian berlebihan sedangkan saudaranya bertelanjang. Alangkah besarnya hak muslim ke atas saudara yang muslim.

Beliau a.s. berkata: Cintailah saudara muslim sebagaimana anda mencintai diri anda sendiri. Apabila anda perlu, maka mintalah daripadanya. Apabila dia meminta daripada anda, maka berilah kepadanya. Jangan anda merasa jemu untuk melakukan kebaikan kepadanya begitulah sebaliknya. Jadilah anda seorang yang baik terhadapnya, jika dia tidak ada (ghaib), maka jagalah dia semasa ketiadaannya. Apabila dia pulang, maka ziarahilah dia dengan penuh penghormatan, kerana dia adalah daripada anda dan anda daripadanya. Jika anda mencelanya, maka janganlah anda berpisah daripadanya sehingga anda memohon maaf. Jika dia mendapat kebaikan, maka anda bersyukurlah kepada Allah. Jika dia ditimpa bencana, maka bantulah dia. Apabila seorang mukmin berkata kepada saudaranya uffin, maka terputuslah wilayah antara mereka berdua. Apabila berkata seseorang lelaki: Anda adalah musuh aku, maka salah seorang daripada mereka berdua menjadi kafir, jika dia menuduh saudaranya dengan sesuatu tuduhan, maka imannya mengecil sebagaimana mengecilnya garam apabila terkena air.

Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya mukmin akan terpancar cahayanya kepada penghuni langit sebagaimana terpancarnya bintang-bintang di langit kepada penghuni bumi. Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya mukmin adalah wali Allah. Dia membantu dan menolong saudaranya. Dia tidak berkata kepada saudaranya melainkan kebenaran dan dia tidak takut selain daripada-Nya .

Daripada Hamzah al-Thumali berkata: Sesiapa yang memberi makan seorang mukmin yang kelaparan, nescaya Allah akan memberi makan buah-buahan di syurga kepadanya. Sesiapa yang memberi minum seorang mukmin yang dahaga, maka Allah akan memberi minuman yang istimewa kepadanya. Sesiapa yang memberi pakaian kepada seorang mukmin, maka Allah akan memakaikannya dengan pakaian yang hijau. Di dalam hadis yang lain menyebutkan dia sentiasa di dalam jaminan Allah selama beliau melakukan sedemikian .

Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya apabila dua orang mukmin bertemu dan berjabat tangan, maka Allah berdepan dengan mereka berdua dengan muka-Nya (zat-Nya). Dosa hilang dari muka mereka berdua sehingga mereka berdua berpisah. Beliau a.s. juga berkata: Demi Allah! Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik dari menunaikan hak mukmin. Beliau a.s. berkata: Demi Allah! Sesungguhnya hak seseorang mukmin lebih besar daripada Ka'bah (Wa l-Lahi inna l-mu'min la-a'zamu haqqan mina l-ka'bah). Beliau a.s. berkata: Doa seseorang mukmin untuk mukmin dapat menghindari bala dan mendatangkan rezeki .