Solat
difardhukan kepada setiap orang Islam yang waras akal dan cukup umur pada
waktu-waktu yang khusus, lima kali sehari semalam.
Inilah
perintah Allah s.w.t.Firman Allah:
"Peliharalah segala solatmu dan
solat wusto. Berdirilah untuk Allah
(dalam solatmu) dengan khusyuk." (al-Baqarah:238).
Solat zahir
ini ialah berdiri, membaca al-fatihah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan
seterusnya dan sebagainya. Pergerakan dan lakuan solat ini melibatkan
anggota-anggota badan. Inilahsolat diri jasmani atau diri fizikal. Oleh kerana
pergerakan atau lakuan badan dalam solat ini banyak dan diulang-ulangi banyak
kali dalam solat lima waktu itu, maka itulah sebabnya ayat tadi menyebut
solawati (segala solat) iaitu disebut plural atai lebih dari satu. Bukan solat
tetapi solawaati (solat-solat). Itulah bahagian pertama tentang solat dalam
ayat tersebut.
Bahagian
kedua pula dalam ayat tersebut ialah tentang solat wusto.
Solat ini
bermaksud solat hati. Wusto itu boleh dimaksudkan sebagai pertengahan atau
tengah. Maka oleh kerana hati itu terletak di tengah diri, maka itulah
dikatakan solat wusto itu sebagai solat hati.
Tujuan solat
ini ialah untuk mendapatkan hati yang damai dan tenteram.
Hati itu
terletak di tengah antara kiri dan kanan, antara depan dan belakang, antara
atas dan bawah dan antara baik dan jahat. Hati itu titik tengah, point
perimbangan, point neraca atau median. Pernah
Nabi
Muhammad s.a.w bersabda:
"Hati anak Adam itu antara dua jari al-Rahman
(iaitu Allah). Ia dibolak-balikkan
kemana sahaja yang Allah kehendaki."
Maksud dua
jari al-Rahman itu ialah sifat Allah yang bernama `Yang Menghukum dan Mengazab'
dan sifat yang bernama `Yang Indah Yang Kasih Sayang, Yang Lemah Lembut'.
Solat dan
ibadat yang sebenar ialah solat dan ibadat hati. Kalau hati lalai dan tidak
khusyuk atau tidak konsentrasi dalam solat, maka solat zahir iaitu solat
badaniah akan berantakan dan kucar-kacir.
Apabila ini
berlaku kedamaian diri jasmani atau badaniah yang diharapkan itu melalui solat
zahir tidak akan tercapai.
Itulah
sebabnya Nabi s.a.w bersabda:
"Ibadat
(solat) zahir itu hanya mampu di lakukan dengan hati yang khusyuk."
Solat ialah
doa si hamba kepada Tuhannya. Solat juga ialah pertemuan antara hamba dengan
Tuhan. Tempat pertemuan itu di dalam hati. Jika hati itu tertutup, tidak endah
dan tidak peduli ataupun mati, maka solatnya tidak memberi sebarang manfaat
kepadanya. Solat yang tidak khusyuk itu tidak mendatangkan apa-apa faedah
kepada diri jasmani, kerana hati itu adalah zat bagi badan. Yang lain itu
bergantung kepadanya.
Sabda Nabi
Muhammad s.a.w:
"Ada
sekeping daging dalam badan manusia, apabila keadaannya baik, seluruh diri jadi
baik. Dan apabila ia tidak baik, seluruh diri jadi tidak baik. Sedarlah, daging itu ialah
hati."
Solat zahir
itu dilakukan pada waktu-waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Tempat
paling baik melakukan solat ialah di masjid, berjemaah dan menghadap kiblat.
Dalam solat berjemaah, makmum mestilah menurut imam.
Solat batin
tidak ada hujungnya dan tidak berwaktu-waktu. Solat ini tidak tertakluk kepada
tempat dan masa. Solat ini sentiasa dari dunia hingga ke akhirat. Masjid solat
ini terletak di hati. Jemaahnya ialah anggota-anggota batin atau daya-daya
ruhaniah yang berzikir dan membaca Asma-ul-Lah (nama-nama Allah) dalam bahasa
alam ruhaniah (alam batin). Imam dalam solat ini ialah kemahuan atau keinginan
(niat) yang kuat.
Kiblatnya
ialah kehadirat Allah Keesaan Allah
iaitu menurut al-Quran di mana sahaja memandang di situ wajah-Nya Yang Maha
Kekal dan Maha Indah.
Pendeknya
kiblatnya ialah Allah.Solat demikian boleh dilakukan oleh hati yang ikhlas,
hati yang tidak tidur dan tidak mati. Hati dan jiwa seumpama ini kekal dan
sentiasa beribadat atau bersolat sama ada dalam tidur atau dalam jaga. Ibadat
hati ini ialah seluruh hayat dan seluruh hayat ini adalah ibadat baginya. Di
situ tidak ada lagi bacaan di mulut, tidak ada lagi berdiri, rukuk, sujud,
duduk antara dua sujud dan sebagainya.
Mursyid di
sini ialah Nabi Muhammad s.a.w. Ia berkata-kata dengan Allah:
"Hanya
Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon
pertolongan." (al-Fatihah: 5).
Firman Allah
ini ditafsirkan sebagai tanda ketinggian kesedaran Insan Kamil (Manusia
Sempurna) iaitu mereka yang beberapa tingkat alam rasa dan pengalaman ruhaniah
dan tenggelam dalam tauhid atau keesaan Allah dan bersatu dengan Allah.
Hati
sebegini mendapat berkat dan rahmat dari Allah. Satu daripada kelebihan hati
yang sempurna ini ialah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w:
"Para Nabi dan kekasih-kekasih (para
wali) Allah terus solat dalam kubur mereka sebagaimana mereka bersolat di rumah
mereka di dunia ini."
Dengan kata
lain, hayat hati kekal terus bersolat kepada Allah. Setelah ibadat (solat)
zahir dengan solat batin berpadu, berharmoni dan bersatu, maka sempurnalah
solat seseorang itu dan ganjarannya amat besar. Hati atau ruh yang demikian
membawa seseorang itu hampir dan masuk ke hadirat Ilahi. Hatinya bersatu dengan
Allah dan badannya atau keduniaannya mencapai tingkat yang tertinggi mungkin.
Dalam alam nyata ini, ia jadi manusia atau hamba Allah yang warak dan alim.
Dalam alam
batin atau keruhanian, ia jadi ahli makrifat yang telah sampai ke peringkat
kesempurnaan mengenal Allah s.w.t.
Sekiranya
ibadat zahir tidak bersatu dengan ibadat batin maka itu belum sempurna dan
belum permai. Ganjarannya ialah hanya maju dalam peringkat dari segi pandangan manusia sahaja.
Ianya tidak membawa seseorang itu hampir kepada Allah dan berpadu dengan-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar