Total Tayangan Halaman

Rabu, 07 November 2012

BUNIAN


Bunian: Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia atau golongan makhluk halus?
Memang pernah saya menyebut dan mengulas tentang mahkluk halus, tetapi saya tidak
menyebut secara mendalam mengenai orang bunian. Oleh kerana saudara berminat, maka
saya cuba menjelaskannya.
Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar
dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk dalam jawapan terdahulu.
Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja, dalam masyarakat Melayu pernah di-
filemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang menceritakan perihal masyarakat makhluk
bunian.
Pada saya, makhluk ini wujud, ia tergolong dalam makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan
suatu perkampungan atau penempatan yang mereka berumahtangga, beranak pinak dan
bermasyarakat.
Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan manusia berkomunikasi dengan
bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk meminjam barang-barang harian. Betul
atau tidak cerita itu saya pulangkan kepada Allah S.W.T lebih mengetahui.
Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadis Nabi s.a.w menyebut
bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia,
malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia.
Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai ‘aamir atau ummar’ yang tinggal berhampiran
dengan manusia.
Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, ada
seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat. Lalu
keluarganya bertemu dengan Nabi s.a.w menceritakan kehilangan Khurafah.
Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya.
Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila sedar
dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.
Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat
itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan dalam mahkamah yang telus,
mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan
peguambela dan sebagainya. Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan
hujah dengan berkata, “Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu
anggota daripaa masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah
musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh
orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya.”
Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.
Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi s.a.w, maka ramai sahabat mempertikaikannya.
Maka Nabi s.a.w menyebut (maksudnya),
“Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul.”
Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan
tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Tetapi asalnya adalah cerita benar orang
yang bernama khurafah.
Saya sebut kisah ini kerana saya lihat seolah-olahnya yang berlaku ini, mungkin boleh
disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya mereka boleh melakukan sama seperti
manusia seperti dalam kisah Khurafah tersebut.
Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang banyak dari masyarakat jin
atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh soal orang bunian, menjadi
suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga kini, bunian dikaitkan dengan masyarakat
beragama yang mempunyai masjid, surau dan bunyi azan, termasuk orang mengaji
al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam.
Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam sebagaimana yang disebut dalam
Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran
yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke jalan yang lurus, maka kami beriman
(kata jin). Jin juga mengaku di kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir.
Oleh itu memang ada kemungkinan, masyarakat bunian ini jika betul seperti yang
didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.
Dalam masyarakat manusia contohnya ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat
Islam awal di zaman Rasulullah s.a.w di Madinah, dalam masyarakat ideal itupun wujud
golongan munafik dari kalangan Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga
wujud golongan tidak Islam, Islam fasik dan Islam munafik dan sebagainya.
Oleh itu apakah tidak mungkin dalam masyarakat bunian, berlaku sama seperti masyarakat
manusia?
Waalahu a’lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar