Total Tayangan Halaman

Kamis, 22 Oktober 2015

TAFSIR SURAT AL JUM'AH AYAT 9 - 10 DAN KELEBIHAN MALAM JUM'AT

Hadis Jabir al-Ja'fi dan Abu Ja'far A.S Tentang Surah al-Jumu'at

Diriwayatkan daripada Jabir al-Ja'fi berkata: Pada suatu malam aku berada di sisi Abu Ja'far a.s. Aku membaca ayat dalam Surah al-Jumu'at (62) :9-10 "Wahai mereka yang beriman,apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu (fa-s'au) kepada mengingati Allah (zikri l-Lahi)". Beliau a.s. berkata: Bagaimana anda membacanya wahai Jabir? Aku berkata: "Wahai mereka yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu (fa-s'au) kepada mengingati Allah. Beliau a.s berkata: Ini adalah tahrif wahai Jabir.

Aku berkata: Bagaimana aku membacanya-Allah telah menjadikan diri aku tebusan anda-? Beliau a.s berkata: fa mdhau ila zikri l-Lahi, bukan fa-s'au ila zikri l-Lahi, begitulah ia diturunkan. Jika ia adalah Sa'yan seperti di dalam ayat, maka ia bererti 'adwan (berlari dengan cepat) sedangkan Rasulullah s.a.w tidak menyukainya. Baginda s.a.w. membenci lelaki yang berlari dengan cepat bagi menunaikan solat.

Wahai Jabir! Kenapakah hari Jumaat dinamakan Jumaat? Aku berkata: Anda beritahu aku, Allah telah menjadikan diri aku tebusan anda. Beliau a.s. berkata: Wahai Jabir, Allah menamakan hari Jumaat sebagai Jumaat kerana pada hari itu dikumpulkan mereka yang terdahulu (al-Awwalin), mereka yang terkemudian (al-Akhirin). Kesemua makhluk Allah yang terdiri daripada Jin, manusia dan segala yang telah dijadikan oleh Tuhan kita terdiri daripada langit, bumi, laut, syurga, neraka. Segala yang dijadikan Allah di dalam al-Mithaq. Dia telah mengambil al-Mithaq daripada mereka untuk-Nya dengan ketuhanan-Nya (al-Rububiyyah). Untuk Muhammad s.a.w dengan kenabiannya (al-Nubuwwah). Untuk Ali a.s dengan kewaliannya (al-Wilayah).

Pada hari itu Allah berfirman kepada langit dan bumi dalam Surah Fussilat (41 ) :11 "Datanglah kamu berdua menurut perintah-Ku dengan suka hati atau terpaksa. Mereka berdua menjawab: Kami datang dengan suka hati " Justeru itu Allah menamakannya Jumaat kerana Dia telah mengumpulkan pada hari tersebut mereka yang terdahulu dan mereka yang terkemudian. Kemudian Dia berfirman: Wahai mereka yang beriman,apabila diseru untuk menunaikan solat (al-Salat) pada hari Jumaat" iaitu hari Dia telah mengumpulkan kamu padanya. Al-Salat adalah Amir al-Mukminin a.s. Yang dimaksudkan dengan al-Salat ialah al-Wilayah iaitu al-Wilayah al-Kubra. Pada hari itu para nabi, para rasul dan para malaikat, malah setiap suatu yang dijadikan Tuhan; manusia dan Jin, langit, bumi dan mukminun mengucap talbiah kepada Allah a.w (fa mdhau ila zikri l-Lahi).

Zikri l-Lahi adalah Amir al-Mukminin a.s wa dharu l-Bai'a (tinggalkanlah jual beli). Apa yang dimaksudkan dengan al-Bai'a adalah yang pertama (Abu Bakr). Dhali-kum (yang demikian itu) iaitu baiah Amir al-Mukminin a.s dan wilayahnya. Khairun la-kum (lebih baik bagi kamu) dari baiah yang pertama (Abu Bakr) dan wilayahnya sekiranya kamu mengetahui (in kuntum ta'lamun). Fa-idha qudiati s-Salatu (apabila selesai menunaikan solat) iaitu baiah Amir al-Mukminin a.s, fa ntasyiru fi l-Ardh (bertebaranlah kamu di bumi). Apa yang dimaksudkan dengan al-Ardh (bumi) adalah para wasi (al-Ausiya'). Allah memerintahkan supaya mentaati mereka dan mewalikan mereka sebagaimana Dia telah memerintahkan supaya mentaati Rasul dan mentaati Amir al-Mukminin a.s. Allah menggantikan nama mereka dengan nama al-Ardh sebagai kinayah. Wa- btaghu fadhla l-Lahi. Maka Jabir berkata: wa- btaghu min fdhli l-Lahi. Abu Ja'far a.s berkata: Ini juga tahrif, tidak sebagaimana ia diturunkan iaitu carilah kelebihan Allah ke atas para wasi "Dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung"

Kemudian Allah a.w berfirman: Wahai Muhammad, idha raau (apabila mereka yang syak atau menentang melihat) tijaratan (perniagaan) iaitu yang pertama (Abu Bakr) atau lahwan (permainan) iaitu yang kedua ('Umar) mereka kembali kepadanya (insarafu ilai-ha). Aku berkata: Infadhdhu ilai-ha. Beliau a.s berkata: Ini juga tahrif .Apa yang diturunkan ialah insarafu ilaiha di tempat infadhdhu ilai-ha. Wa taraku-ka (mereka telah meninggalkan kamu) bersama Ali sedang berdiri. Katakanlah wahai Muhammad ma inda-l-Lahi (apa yang ada di sisi Allah) iaitu wilayah Ali dan para wasi yang lain khairun mina l-Lahwi wa t-Tijarati (lebih baik daripada perniagaan dan permainan) iaitu lebih baik daripada baiah kepada yang pertama dan yang kedua bagi mereka yang bertakwa. Allah adalah sebaik baik pemberi rezeki.


Kelebihan Hari Jumaat dan Malamnya

Diriwayatkan daripada Jabir bin Yazid daripada Abu Ja'far a.s bahawa beliau a.s. ditanya tentang hari Jumaat dan malamnya. Beliau a.s. berkata: Malamnya bercahaya, harinya berseri, tiada satu hari di bumi di mana matahari condong lebih bebas daripada neraka selain pada hari Jumaat. Sesiapa mati pada hari Jumaat di dalam keadaan mengetahui hak Ahlu l-Bait a.s akan ditulis untuknya terlepas (bara'ah), daripada neraka dan terlepas daripada azab kubur. Sesiapa yang mati pada malam Jumaat, dia akan dibebaskan ('utiqa)daripada neraka .

Ali bin Mihziyar meriwayatkan secara marfu' kepada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa mati pada malam Jumaat di dalam keadaan mengetahui hak kami, dia dibebaskan daripada neraka dan ditulis untuknya terlepas daripada azab kubur.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar