Total Tayangan Halaman

Minggu, 16 Oktober 2016

kitab misykatul anwar imam gozali

Kitab  miskatul anwar ( imam alg0zali )
1."Cahaya"sebagai cahaya biasa: sebagai "mata";  sebagai "Aqal" 
 
________________________________________

Cahaya hakiki (yang sebenar) ialah Allah.  Lain daripada itu, nama "cahaya" adalah hanya perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud yang sebenar. 
Untuk menerangkan perkara ini,  saudara hendaklah tahu bahawa perkataan "cahaya" itu digunakan di tiga tempat pengertian. 
Pertama, digunakan oleh kebanyakan orang. 
Kedua,  digunakan oleh sedikit orang dan; 
Ketiga,  digunakan oleh beberapa orang sahaja. 
Kemudian saudara hendaklah tahu berbagai-bagai peringkat cahaya yang berkaitan dengan yang kedua dan ketiga dan darjah-darjah hakikat yang ada bersangkutan dengan peringkat-peringkat tersebut,  agar dengan itu saudara dapat mengetahui,  setelah peringkat-peringkat ini menjadi bertambah terang kepada saudara,  bahawa Allah itulah cahaya paling tinggi dan terakhir.  Selanjutnya apabila hakikat yang berkaitan dengan tiap-tiap peringkat itu telah ternampak,  maka disedarilah bahawa Allah itu sahajalah yang hakiki,  cahaya sebenarnya,  dan yang lain tidak mempunyai cahaya apa-apa. 
Pengertian Pertama 
Sekarang mari kita bincangkan pengertian yang pertama.  Di sini perkataan "cahaya" menunjukkan "fenomena" atau kejadian.  Fenomena atau apa yang nampak ialah istilah relatif (bandingan dan berubah-ubah),  kerana sesuatu itu ternampak kepada sesuatu yang lain dari dirinya,  atau tersembunyi daripada sesuatu yang lain dari dirinya.  Maka dengan itu,  nampak atau tidak nampak adalah relatif sahaja.  Selanjutnya pula,  nampak dan tidak nampak itu adalah relatif (bandingan) kepada kebolehan memandang (Perceptive faculties).  Pada kebanyakan orang kebolehan memandang yang paling kuat dan terang ialah deria-deria (senses).  Satu daripada deria-deria itu ialah deria lihat atau penglihatan mata.  Benda-benda ini pula dari segi deria lihat terbahagi kepada jenis-jenis berikut; 
1.  Tanda-tanda yang dengan sendirinya tidak boleh kelihatan, seperti benda-benda atau badan yang kelam (gelap). 
2.  Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan,  tetapi tidak boleh membuat benda-benda lain kelihatan,  seperti bintang-bintang,  api yang sebelum menyala. 
3.  Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan juga membuat benda-benda lain boleh kelihatan,  seperti bulan,  matahari,  atau lampu dan api yang menyala. 
Nama cahaya ini diberi kepada golongan jenis yang mombor tiga(3) di atas itu.  Kadang-kadang kepada apa yang terpancar dari benda-benada yang bersinar ini dan pancaran itu terjatuh atau tertumpu kepada bahagian luar benda-benda yang kelam (tidak lut sinar) iaitu apabila kita katakan "bumi diterangi" ke dinding atau ke pakaian dan kadang-kadang kepada benda-benda yang bersinar itu sendiri kerana benda-benda itu bersinar dengan sendirinya. 
Kesimpulannya,  cahaya ialah perkataan yang digunakan kepada apa yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan membuat yang lain kelihatan,  seperti matahari.  Inilah takrif (definisi) cahaya dan hakikat berkenaan cahaya menurut pengertian yang pertama itu. 
Pengertian Yang Kedua 
Kita telah lihat sekarang bahawa hakikat cahaya itu ialah apa yang nampak kelihatan oleh orang yang melihat;  dan penglihatan itu;  terkadang kepada wujudnya dua perkara iaitu; 
• 1.  cahaya. 
• 2.  mata yang melihat. 
kerana meskipun cahaya itu adalah apa yang nampak dan disebabkan supaya nampak,  namun ia tidak nampak atau disebabkan supaya nampak kepada orang-orang buta. 
Oleh  yang demikian,  ruh (safiriah) si pelihat adalah sama penting dengan cahaya yang boleh dilihat itu.  Ruh itu memainkan peranan penting dalam penglihatan bahkan ia lebih penting kerana ruh si pelihat itulah yang mengerti dan melalui ruh itulah fahaman atau pengertian terjadi atau terjelma.  Cahaya tidak ada pengertian dan tidak ada pengertian atau fahaman berlaku melaluinya.  Tetapi hanya semata-mata apabila ia ada hadir sahaja. 
Sebenarnya perkataan "cahaya" itu ialah cahaya yang melihat yang kita namakan "mata".  Dengan demikian,  manusia memakai perkataan "cahaya" itu kepada cahaya mata. 
Orang yang kabur matanya,  dikatakan "cahaya penglihatannya kabur". 
Orang yang lemah penglihatan dikatakan "cahaya pandangan matanya lemah". 
Orang yang buta dikatakan "cahayanya habis gelap" 
Adalah dikatakan bahawa anak mata itu menumpukan "cahaya" pandangan dan memperkuatkannya.  Bulu mata pula dijadikan Allah berwarna hitam dan dijadikan untuk memandu dua biji mata itu pula berpusing-pusing supaya menumpukan "cahayanya."  Dikatakan juga mata putih itu menyelerakkan "cahaya mata" itu dan melimpahkannya,  dan memandang lama kepada permukaan putih berkilau,  atau lebih lagi memandang cahaya matahari akan menyilaukan "cahaya mata" itu dan mencacatkannya seperti mana permukaan yang lemah dicacatkan oleh permukaan yang kasar dan kuat. 
Sekarang tahulah saudara bahawa ruh si pelihat itu digelar cahaya.  Kenapa digelar demikian itu dan kenapa sewajarnya digelar demikian itu?.  Inilah pengertian kedua yang diketahui oleh sedikit orang sahaja. 
Pengertian Yang Ketiga. 
Hendaklah saudara tahu selanjutnya iaitu cahaya penglihatan biasa itu mempunyai beberapa kekurangan atau kecacatan. 
• Ia melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri. 
• Ia juga tidak dapat melihat perkara yang sangat jauh atau yang sangat dekat. 
• Ia tidak dapat melihat perkara yang di belakang dinding. 
• Ia melihat yang diluar sahaja dan tidak nampak yang di dalam. 
• Ia melihat bahagian-bahagian sahaja bukan keseluruhan. 
• Ia melihat perkara yang terbatas atau terhad dan tidak nampak perkara yang tidak terbatas. 
• Dalam melihat itu pula,  ia banyak membuat kesalahan,  kerana apa yang sebenarnya besar,  pada pandangannya nampak kecil, apa yang jauh nampak dekat, apa yang diam nampak bergerak, apa yang bergerak nampak diam. 
Inilah tujuh kecacatan yang ada pada mata biasa itu. 
Jika ada mata lain yang tidak mempunyai kecacatan atau kekurangan tersebut di atas,  bukankah betul juga jika mata sedemikian itu diberi nama "Cahaya" juga?. 
Ketahuilah bahawa ada sejenis mata di Alam Aqal atau jiwa manusia,  yang bebas dari kekurangan dari kecacatan yang ada pada mata biasa ini.  Itulah yang digelarkan "Aqal", "Ruh", "Jiwa".  Tetapi di sini eloklah kita tinggalkan sahaja beberapa istilah tersebut kerana istilah-istilah yang banyak itu menyebabkan orang yang kurang pintar fikirannya akan menyangka banyak pula idea-idea atau tanggapan-tanggapan yang dimaksudkan oleh istilah-istilah itu.  Apa yang kita maksudkan ialah sesuatu yang membezakan orang yang berfikiran dengan bayi,  dengan binatang dan dengan orang gila.  "Sesuatu itu"  kita katakanlah ia sebagai "Aqal".  Tak usahlah kita gunakan istilah-istilah seperti ruh atau jiwa itu,  supaya tidak mengelirukan perbincangan kita itu.  Kita pakai perkataan Aqal sahaja untuk semuanya.  Oleh yang demikian itu, aqal itu lebih baik kita namakan "cahaya" dan tidak dinamakan "mata" kerana "Aqal" itu tidak mempunyai tujuh macam kecacatan atau kekurangan yang tersebut tadi. 
Kita bincangkan sekarang. 
Kekurangan dan Kecacatan Pertama. 
Mata itu tidak dapat melihat dirinya sendiri tetapi Aqal dapat melihat dirinya dan juga yang lain.  Ia melihat dirinya dan tahu yang ia ada diberi ilmu, kuasa dan lain-lain;  dan melihat ilmunya sendiri dan melihat ilmu bagi ilmunya,  dan seterusnya .  Inilah keadaan mata batin yang dinamakan Aqal itu.  Mata biasa (lahir) tidak mempunyai sifat-sifat seumpama itu. 
Kekurangan dan Kecacatan Kedua. 
Mata kasar atau mata biasa ini tidak dapat melihat apa yang sangat dekat dan juga yang sangat jauh.  tetapi bagi Aqal,  tidak ada bezanya antara dekat dan jauh.  Dengan sekelip mata, Aqal dapat naik ke langit yang paling tinggi,  sekelip mata juga ia menurun ke perut bumi.  Jadi,  jelaslah kepada kita bahawa Aqal itu tidak tertakluk kepada tanggapan atau idea "JAUH" dan "DEKAT",  yang mana kedua idea itu berpakai dalam Alam Kebendaan sahaja,  tetapi Aqal termasuk dalm bidang Yang Suci dan Tinggi. 
Ini menunjukkan bahawa Aqal itu adalah satu pulau atau "ceruk" atau contoh sifat-sifat Ketuhanan.  Contoh ini pastilah bersesuaian atau sepadan dengan asalnya,  meskipun ia tidak sampai ke tingkat persamaan atau setaraf dan ini mungkin menyedarkan saudara tentang maksud yang sebenarnya berkenaan hadi Nabi SAW. yang bermaksud; 
"Allah menciptakan Adam menurut bayanganNya sendiri". 
Tetapi buat setakat ini tidaklah sesuai lagi kita bicarakan secara lebih mendalam tentang perkara ini. 
Kekurangan dan Kecacatan Ketiga. 
Mata kasar ini tidak dapat melihat apa yang di belakang dinding,  tetapi Aqal bebas lepas terbang sampai ke langit yang maha tinggi dan ke alamnya sendiri,  dan alam ghaib.  Hakikat sesuatu tidak terhijab kepada Aqal.  Yang menjadi hijab (tabir) padanya ialah yang dianggap sebagai kepentingan sendiri iaitu ibarat hijab yang dianggap oleh mata,  kerana kehendak sendiri,  apabila kulit mata di tutup.   Perkara ini akan kita bincangkan lagi di bab ketiga karangan ini. 
Kekurangan dan Kecacatan Keempat. 
Mata melihat bahagian luar sesuatu benda sahaja,  tetapi tidak melihat bahagian dalam benda itu.  Ini bererti mata kasar ini hanya nampak bentuk-bentuk benda itu sahaja,  bukan hakikat benda itu.  Tetapi Aqal menembusi batin benda itu dan terus ke rahsianya. 
• Ia mengetahui hakikat sesuatu dan juga jiwanya. 
• Ia dapat mengenal dan menimbulkan sebab-sebab dan hukum-hukum - 
• dari apa sala benda itu, 
• bagaimana terjadi berapa banyak bentuk-bentuk ideal(sempurna) yang ada padanya, 
• apa peringkat kejadiannya, 
• apa perhubungannya dengan kejadian yang lain, 
• dan banyak lagi. 
Eloklah di sini kita ringkaskan sahaja. 
Kekurangan dan Kecacatan Kelima. 
Mata hanya melihat sebahagian sahaja daripada keseluruhan yang ada kerana semua konsep atau tanggapan dan banyaknya perkara yang dapat diketahui oleh pancaindera adalah di luar garisan pandangannya.  Ia (mata) tidak melihat bumi, bau, rasa dan tidak tidak mempunyai kebolehan mendengar, membau, merasa,  bahkan semua sifat-sifat kebatinan itu tidak terlihat olehnya.  Mata tidak nampak keadaan suka, duka,  sedih,   sakit,  seronok,  cinta,  kemahuan,  kuasa,  kehendak,  ilmu dan lain-lain lagi.  Oleh itu bidang mata kasar itu sangat sempit dan tindakannya terbatas.  Tidak dapat melebihi lingkungan bidang warna dan bentuk.  Warna dan bentuk adalah kejadian yang paling kasar kerana benda-benda yang zhohir atau tabiat ini adalah makhluk atau kejadian yang kasar. 
Tetapi bidang Aqal ialah seluruh Alam Wujud, kerana ia mengetahui segala kejadian yang kita sebutkan tadi dan bebas meliputi segala yang lain juga,  dan dapat pula Aqal itu membuat keputusan yang tentu dan benar.  Itulah dia rahsia batin benda-benda yang zhohir dan itulah dia bentuk-bentuk tersembunyi bagi benda-benda zhohir. 
Sebutkan kepada saya(Imam Ghazali) apa pula haknya mata kasar itu diberi taraf sama dengan Aqal dalam pemberian nama "cahaya" itu ?.  Sesungguhnya tidak.  Mata itu sebenarnya gelap.  Penglihatan adalah semata-mata satu daripada alat pengintip bagi Aqal.  Aqal memberi mata satu tugas untuk melihat perkara yang kasar,  iaitu warna dan bentuk,  Aqal menyuruh mata membawa laporan tentang warna dan bentuk tadi kepada Tuhannya,  yang akan menghakimkan menurut arahan penelitian dan pertimbangan Aqal itu.  Begitu jugalah dengan kebolehan-kebolehan yang lain. 
Tetapi alat pengintip Aqal - khayalan, fantasi (bayangan fikiran),  pemikiran,  ingatan,  dan di belakang mereka adalah hamba-hamba abdi yang menjalankan tugas mereka dalam dunia mereka sekarang ini.  Semua itu ada yang ditahan dan ada yang diberi kebebasan,  seperti mana bebasnya seorang raja menguasai hamba abdinya,  bahkan lebih bebas dari itu lagi.  Untuk menghuraikan perkara ini akan mengambil masa yang panjang dan perkara ini telah pun dihuraikan dalam kitab saya yang berjudul "Ihya Al-'Ulum" di bawah tajuk "Keajaiban fikiran". 
Kekurangan dan Kecacatan Keenam. 
Mata tidak boleh melihat apa yang tidak terhad.  Yang boleh dilihatnya ialah sifat-sifat benda yang diketahui dan semua itu adalah terhad dan terbatas.  Tetapi Aqal mengetahui tanggapan-tanggapan dan konsep bukanlah sesuatu yang terhad.  Memang benar berkenaan dengan ilmu yang telah dicapai,  isinya yang dikemukakan kepada Aqal itu adalah terhad.  Ia ada keupayaan mengetahui yang tidak terhad.  Ini jika hendak diterangkan sepenuhnya,  memang panjang,  tetapi jika saudara mahukan contoh, maka inilah satu contoh dari ilmu kira-kira. 
Dalam ilmu ini Aqal memahami siri-siri angka bulat atau angka penuh (bukan pecahan) dan siri-siri ini tidak terhad.  Juga,  Aqal tahu angka-angka sebelum dua, tiga dan lain-lainnya;  dan ini pun tidak ada hadnya.  Aqal juga tahu semua perkaitan yang berbeza-beza antara nombor-nombor itu,  dan ini juga tidak terhad.  Akhirnya Aqal mengetahui pengetahuannya sendiri tentang sesuatu perkara.  Tahunya tentang pengetahuan itu pun tidak terbatas. 
Kekurangan dan Kecacatan Ketujuh. 
Mata nampak benda yang besar itu kecil.  Ia melihat matahari sebesar mangkuk dan bintang sebesar wang syiling yang bertaburan di atas permaidani biru.  Tetapi Aqal mengetahui bahawa matahari dan bintang itu besar,  bahkan lebih besar dari bumi.  Kepada mata,  bintang-bintang itu nampak tidak bergerak;  dan kanak-kanak nampaknya tidak juga tinggi badannya.  Tetapi bagi Aqal,  ia tahu kanak-kanak itu semakin tinggi badannya berikutan dengan meningkatkan umurnya.  Bintang itu bergerak dengan pantas melalui jarak yang beribu-ribu batu. 
Dikatakan bahawa Nabi SAW. bertanya kepada Jibrail; 
"Adakah matahari itu bergerak?" 
Jibrail menjawab; 
"Tidak - Ya". 
Nabi bertanya lagi; 
"Bagaimanakah itu?" 
Jibrail menjawab; 
"Antara aku berkata tidak dan ya itu,  matahari telah bergerak sejauh 500 tahun perjalanan". 
Oleh yang demikian,  kesilapan dan kekurangan pandangan mata itu memang banyak,  tetapi Aqal melampaui semua itu dan tidak ada kesilapan yang demikian itu. 
Mungkin saudara berkata bahawa ada saudara lihat orang yang cerdik itu membuat kesilapan dan kesalahan juga.  Jawab saya(Imam Ghazali) - Kebolehan khayalan dan fikiran mereka selalunya melalui pertimbangan mereka menghukumkannya dan ini menimbulkan keyakinan yang mereka anggap itulah keputusan yang dihukumkan oleh Aqal.  Kesilapan atau kesalahan itu terletak kepada kebolehan yang rendah itu.  Bacalah karangan saya tentang semua kebolehan ini dalam kerangan saya berjudul  "Mu'ayar al-Alim" dan "Muhaqiq An-Nadzhor".  Tetapi apabila Aqal dipisahkan dari dustaan dan tipuan fantasi dan khayalan,  maka kesalahan bagi Aqal itu tidak mungkin. 
Aqal akan melihat itu sebagaimana sebenarnya.  Pemisahan ini sangatlah sukar,  dan hanya mencapai kesempurnaannya setelah mati.  Barulah waktu itu terang dan nyata kesalahan dan segala rahsia terbuka luas;  dan tiap-tiap orang akan bertemu dengan suka atau duka yang telah disediakan oleh dirinya  dan "lihatlah kitab yang merekodkan tiap-tiap pahala dan tiap-tiap dosa, tanpa satu pun yang tinggal". (Al-Quran). 
Ketahuilah bahawa khayalan dan fantasi itu pun adalah hijab juga.  Oleh itu orang yang telah diperdayakan dan ditipu oleh khayalannya sendiri,  kepercayaan salahnya sendiri,  dan fikirannya yang sia-sia akan menjawab, "Tuhan kami!  Kami telah lihat engkau dan mendengar engkau.  Hantarkanlah kami kembali (ke dunia) dan kami akan membuat kebaikan.  Sesungguhnya sekarang kami yakin sebenar-benarnya". (Al-Quran). 
Dari pandangan di atas tahulah saudara bahawa mata itu lebih tepat dipanggil "cahaya" dan bukan cahaya biasa yang dilihat oleh pancaindera itu,  dan selanjutnya,  Aqal itu lebih wajar digelar "Cahaya" dan bukannya mata.  Memang  benar dikatakan bahawa antara keduanya ada perbezaan yang besar nilainya,  sehingga kita boleh bahkan mesti menganggap bahawa Aqal itulah yang sebenarnya dinamakan "CAHAYA". 

2.  Al-Quran sebagai Matahari "Aqal" 
 
________________________________________

Selanjutnya adalah diperhatikan bahawa meskipun Aqal manusia itu sebenarnya melihat tetapi benda-benda yang dilihatnya bukanlah semuanya terletak di bidang yang sama.  Dalam beberapa hal,  pengetahuan telah sedia ada terkandung dalam Aqal itu seperti halnya dengan kebenaran yang telah memang pasti,  umpamanya: 
• sesuatu perkara yang sama tidak boleh bersama dengan asalnya dan 
• di samping itu juga tanpa asalnya atau wujud di samping tidak wujud;  atau 
• sesuatu perkara itu benar dan tidak benar;  atau 
• pertimbangan yang benar bagi sesuatu perkara adalah benar juga bagi sesuatu perkara yang serupa; atau 
• wujud yang khusus mesti diikuti juga oleh wujud yang umum. 
Misalnya: 
hitam membawa pengertian tentang wujud "warna". 
Begitu juga dengan "Manusia" dan "binatang". 
Tetapi perkaitan tersebut bukanlah pasti benarnya kepada Aqal kerana "warna" tidak melibatkan "hitam" dan begitu juga "binatang" tidak melibatkan "manusia" dan banyak (proposition) atau masalah yang lain. 
Ada yang wajib,  ada yang mungkin,  dan ada yang mustahil.  Ada juga proposisi yang  tidak bersetujuan dengan Aqal apabila proposisi atau masalah itu kembali semula kepada Aqal,  proposisi itu terpaksa menggoncang Aqal,  menggerakkan Aqal. Pukulkan logam pada besi supaya keluar api.  Misalan masalah seperti ini ialah Teori Spekulasi (masalah pertimbangan) dan untuk mengetahui teori itu, Aqal terpaksa dibangkitkan dengan Qalam (logik) falsafah.  Apabila cahaya falsafah telah bersinar,  maka manusia pun melihat apa yang sebenarnya,  pada hal sebelum itu, penglihatannya itu terpendam.  Falsafah paling agung ialah Qalam Allah umumnya dan al-Quran khususnya. 
Oleh yang demikian,  ayat-ayat Al-Quran itu bagi Aqal adalah umpama cahaya matahari bagi mata.  Dengan adanya cahaya matahari,  perbuatan melihat dapat dilaksanakan.  Oleh itu, Al-Quran itulah yang paling wajar dinamakan "cahaya" sepertimana cahaya matahari itu digelar cahaya juga. 
Kesimpulannya, al-Quran itu adalah ibarat matahari dan Aqal itu ibarat cahaya mata.  Di sini tahulah kita maksud ayat Al-Quran; 
"Percayalah kepada Allah dan RasulNya dan cahaya yang Kami turunkan". 
dan ayat; 
"Telah datang bukti yang nyata dari Tuhanmu dan Kami turunkan cahaya yang terang". 

3. Alam Nyata dan Alam Ghaib: dan cahaya keduanya 
 
________________________________________

Sekarang saudara telah tahu bahawa ada jenis mata iaitu; 
Mata zhohir dan mata batin.  Mata zhohir termasuk dalam Alam Deria atau Alam Pancaindera.  Mata batin termasuk dalam Alam Keruhanian atau Alam Ghaib.  Tiap-tiap mata tersebut ada mempunyai matahari dan cahaya masing-masing,  supaya dapat melihat dengan sempurna. 
Matahari pun ada dua jenis.  Satu daripada matahari ini ialah matahari biasa yang nampak oleh deria lihat dan yang satu lagi ialah termasuk dalam bidang Alam Ghaib;  iaitu al-Quran dan lain-lain kitab Allah.  Jika ini telah diterangkan sepenuhnya dan seterang-terangnya kepada saudara,  maka satu daripada pintu Alam Ghaib ini telah dibuka kepada saudara. 
Alam ini penuh dengan keajaiban.  Ia lebih hebat dari alam yang nampak oleh mata kasar itu.  Orang yang tidak mempedulikan Alam tinggi itu dan hanya melekatkan dirinya dengan alam nyata sahaja,  maka dia itu adalah ibarat binatang dan bukan manusia sebenarnya.  Dia lebih sesat lagi dari binatang kerana binatang itu tidak dikurniakan sayap untuk terbang ke Alam tinggi itu.  Al-Quran ada menerangkan orang seperti itu dengan firman Allah; 
"Orang-orang yang demikian itu adalah lembu kerbau,  bahkan lebih sesat lagi". 
Perkaitan Alam Kasar dengan Alam Ghaib itu adalah ibarat kulit buah dan isinya atau ibarat bentuk(acuan) dengan nyawa, atau gelap dengan terang, atau neraka dengan syurga.  Kerena itulah Alam Ghaib itu digelar Alam Tinggi atau Alam Ruh atau Alam Nur (cahaya) dan Alam Nyata ini digelar Alam Bawah atau Alam Rendah,  atau Alam Benda atau Alam Gelap. 
Tetapi janganlah saudara anggap apa yang saya maksudkan dengan Alam Tinggi ini sebagai langit atau tujuh petala langit,  meskipun ia berada di atas.  Langit itu dapat dilihat oleh mata kasar manusia dan binatang.  Tetapi pintu ke Alam Tinggi itu tertutup kepada manusia dan manusia bukan menjadi penghuni alam itu kecuali; 
"Bumi ini baginya bertukar menjadi bukan bumi,  dan begitu jugalah langit". (Al-Quran). 
Pendeknya,  kecuali semua yang mendatang ke dalam bidang deria dan khayalan termasuk langit yang kelihatan itu menjadi buminya dan langit itu melebihi jangkauan derianya.  Inilah kenaikan (mikraj) pertama bagi setiap Salik (orang dalam perjalanan menuju Allah) dalam perjalanannya menuju  ke Hadirat Allah Subhanahuwa Taala.  Manusia telah dihantarkan ke tempat yang rendah dan kemudian mestilah manusia itu naik ke tempat paling tinggi. 
Bukan seperti para malaikat,  kerana malaikat itu adalah termasuk dalam Alam Keruhanian itu,  sentiasa berada di hadirat Allah dan dari situ mereka melihat ke alam rendah ini.  Nabi Muhammad SAW.  pernah berkata; 
"Allah mencipta makhluk  dalam kegelapan;  kemudian dipancarkan Nur (cahaya) kepada makhluk itu". 
dan sabda beliau lagi yang bermaksud; 
"Allah mempunyai malaikat-malaikat yang tahu kerja-kerja manusia lebih dari manusia itu mengetahui dirinya". 
Adalah Nabi-Nabi apabila mereka mikraj ke Alam Tinggi itu,  mereka sampai ke tempat 
yang paling tinggi.  Dari situ mereka melihat keseluruhan alam ghaib itu kerana orang yang berada d Alam Tinggi tersebut adalah bersama Allah dan mempunyai kunci kepada yang ghaib.  Saya maksudkan iaitu dari tempat di mana orang itu menjadi sebab kepada benda-benda yang ada ini turun ke dalam alam deria atau alam nyata.  Ini adalah kerana alam nyata ini adalah satu daripada kesan-kesan daripada alam tinggi itu.  Alam nyata ini adalah keluaran atau terbitan dari alam ghaib itu seperti ibarat bayang-bayang itu terbitan dari sesuatu badan atau ibarat air buah yang keluar dari buah, atau akibat dari sebab. 
Kunci daripada ilmu berkenaan kesan atau akibat itu dicari dan didapati dalam sebab.  Kerana itulah alam nyata ini adalah sati jenis daripada alam ghaib, seperti yang kita nampak apabila kita mengkaji tentang Misykaat (ceruk), lampu dan pokok kerana sesuatu yang dibandingkan itu tentulah sejajar dan ada persamaan dengan sesuatu dengan yang diperbandingkan, samada persamaan itu jauh atau dekat.  Ini pun satu perkara lagi yang sangat mendalam pengajiannya.  Barang siapa yang mengetahui maksud batinnya akan dilihatlah dengan mudah tentang kebenaran dan kesungguhan jenis-jenis itu dalam Al Quran. 
Saya (Imam Ghazali) katakan bahawa apa sahaja yang  yang  melihat diri dan bukan diri patut sekali mendapat gelaran "cahaya" dan apa yang memberi tambahan kepada itu dengan satu lagi tugas,  iaitu menjadikan  "bukan diri" itu boleh kelihatan,  adalah lebih wajar lagi digelar "cahaya".  Lebih wajar daripada sesuatu yang tidak ada kesan apa pun walaupun di luar dirinya. 
Inilah cahaya yang berhak dinamakan "lampu yang  bersinar" (Al-Quran) kerana cahayanya terpancar kepada bukan diri.  Inilah sifatnya Ruh Kenabian yang tinggi itu,  kerana melalui caranya itulah terpancar sinaran ilmu ke alam ini.  Ini menerangkan juga kenapa Allah memberi Muhammad gelaran "yang bersinar"(Al-Quran).  Semua Nabi-nabi itu adalah lampu-lampu dan begitu juga orang-orang Alim(berilmu);  tetapi perbezaan antara mereka adalah tidak terkira. 

4. Cahaya ini sebagai lampu-lampu Alam Rendah dan Alam Tinggi; dengan susuanan dan peringkatnya. 
 
________________________________________

Jika sewajarnyalah digelar sesuatu itu yang dirinya cahaya pandangan itu terpancar keluar sebagai "Lampu Yang Bersinar",  maka sesuatu itu yang dirinya lampu itu dengan sendirinya terpasang nyala,  bolehlah diibaratkan sebagai api. 
Semua lampu-lampu Alam Rendah (Alam Nyata) ini pada asalnya dipasang dari cahaya Maha Tinggi,  dan berkenaan Ruh Kenabian itu ianya ditulis sebagai "Minyaknya bersinar meskipun tidak disentuh oleh api". dan menjadi "cahaya atas cahaya" apabila disentuh oleh api.  Dengan itu,  punca atau sumber yang menyalakan ruh-ruh rendah itu ialah Ruh-ruh Maha Tinggi,  sebagaimana diceritakan oleh Sayyidina Ali dan Ibn. Abbas r.a demikian; 
"Allah mempunyai satu malaikat yang mempunyai 70,000 muka.  Bag tiap-tiap satu muka ini ada 70,000 lidah dan lidah ini sentiasa memuji Allah SWT.". 
Inilah dia yang dibezakan dari semua malaikat dalam ayat yang  bermaksud; 
"Pada hari di mana ruh itu berdiri dan malikat berbariskan bersaf-saf". (Al-Quran). 
Ruh-ruh Alam Tinggi ini,  jika mereka dianggap sebagai sumber yang menyalakan lampu-lampu Alam Rendah ini,  maka bolehlah dibandingkan dengan "API" dan menyalanya itu tidak dapat dilihat kecuali  "di atas tepi gunung". (Al-Quran). 
Sekarang marilah kita bincangkan perkara yang berkenaan lampu-lampu Alam Tinggi ini yang dirinya dipasang lampu-lampu Alam Rendah ini.  Marilah kita susun lampu-lampu itu menurut nyalanya  satu lepas satu yang paling atas dalam susunan itu ialah nama cahaya yang paling mulia dan dialah yang mengambil tempat paling tinggi dalam susunan itu. 
Perumpamaan susunan ini di alam deria (pancaindera) hanya boleh difahami oleh seseorang yang melihat cahaya bulan yang menembusi tingkat rumah,  dan cahaya itu tertumpu kepada sekeping cermin yang terlekat pada dinding,  dan cahaya itu berbalik ke dinding yang satu lagi,  dan seterusnya berbalik menuju lantai.  Maka teranglah lantai itu. 
Cahaya lantai itu datang dari dinding,  dan cahaya dinding itu datang dari cermin,  dan cahaya cermin itu datang dari bulan,  dan cahaya bulan datang dari matahari,  kerana matahari itu yang menyinarkan cahayanya pada bulan. 
Dengan itu,  empat cahaya ini tersusun bertingkat-tingkat satu lepas satu.  Tiap-tiap satu cahaya lebih sempurna dari yang satu lagi,  dan tiap-tiap ada mempunyai tingkatan tertentu dan darjat sewajarnya yang tidak boleh melampaui tingkatan darjat bagi dirinya itu. 
Ingin saya(Imam Ghazali) beritahu kepada saudara, bahawa telah ternyata kepada orang yang mempunyai makrifat,  iaitu jika demikianlah susunan cahaya-cahaya Alam Tinggi itu.  Maka yang paling tinggi ialah yang paling hampir dengan cahaya terakhir atau sumber cahaya itu.  Maka dengan itu,  Israfin(malaikat) adalah lebih tinggi dari pangkat Jibrail.  Dan di kalangan mereka itu ada malaikat yang hampir sekali dengan Hadirat Allah SWT.,  dan Allah itulah yang menjadi sumber cahaya-cahaya ini,  dan di kalangan itu pula ada manusia yang paling hampir;  dan di antara kedua peringkat itu banyak dan ada susunan-susunannya pula,  berperingkat-peringkat. 
Oleh itulah dikatakan; 
"Tidak seorang pun daripada kamu melainkan mempunyai tempat kedudukan tertentu masing-masing", 
dan; 
"Sesungguhnya kami adalah berpangkat;  kami adalah daripada mereka yang mulutnya sentiasa memuji Allah". (Al-Quran). 

5. Sumber semua peringkat cahaya:  Allah 
 
________________________________________

Kemudian ingin saya hendak beritahu  saudara bahawa peringkat-peringkat cahaya ini bukanlah naik ke atas tanpa had.  Had atau peringkat muktamatnya ialah cahaya yang bercahaya dengan sendirinya.  Cahaya tidak didatangkan dari punca yang lain ;  bahkan cahaya itulah yang mengeluarkan cahaya kepada yang lain, menurut susunan dan peringkat masing-masing. 
Tanya diri saudara sendiri.  Manakah yang lebih patut dipanggil cahaya;  yang bercahaya sendirinya dan menyinari yang lain,  atau pun yang cahayanya datang dari sumber lain dari dirinya?.  Tentu saudara telah tahu jawapannya, bukan?  Dengan itu,  dapatlah kita kesimpulan bahawa panggilan cahaya itu sebenarnya patut diberi kepada cahaya tertinggi itu.  Di atas itu tidak ada cahaya lagi,  bahkan cahaya yang lain itu datang daripadanya. 
Berani saya katakan bahawa istilah "cahaya" ini sepatutnya diberi kepada cahaya yang tertinggi itu dan yang lain dari itu sebenarnya tidak bercahaya.  Cahaya yang ada pada yang lain itu adalah pinjaman semata-mata.  Mereka sendiri tidak mempunyai cahaya,  hanya berharapkan cahaya pinjaman.  Jadi,  mereka sebenarnya tidak ada cahaya.  Memanggil "orang yang meminjam"  dengan nama "orang yang memberi pinjam" adalah semata-mata panggilan tanpa isi sebenarnya.  Cubalah fikirkan, siapakah sebenarnya yang mempunyai barang (di sini katakanlah, kuda), orang yang memberi pinjam kuda tunggangan  atau orang yang meminjam kuda tunggangan itu?  Yang mempunyai kuda tunggangan itukah yang berharta (di sini berkuda) atau orang yang meminjam itu yang berharta?  Orang  yang meminjam itu tetap tidak mempunyai kuda kerana kuda bukan dia yang punya.  Yang mempunyai kuda itulah tuannya. 
Oleh yang demikian,  cahaya hakiki ialah Dia yang menjadikan makhluk dan mentadbir mereka itu.  Dia yang memberi cahaya dan menahan cahaya.  Tidak ada sekutu baginya.  Cahaya itu Dia punya.  Yang lain tidak berhak campur tangan dalam urusanNya.  Kecuali ada juga Dia menggelar yang dijadikan itu "cahaya" semata-mata kerana ia menghendaki supaya dipanggil demikian.  Ibarat tuan yang hendak memberi hanya satu hadiah,  dan diberinya hamba itu nama "tuan".  Apabila hamba itu menyedari hakikat ini,  dia pun tahulah bahawa dirinya itu dan kepunyaannya itu adalah hak tuannya,  bukan hak dirinya.  Allah itulah tuan yang mempunyai sekelian Alam,  dan tidak ada apa dan siapa pun yang bersyarikat dengan Dia. 
Sekarang tahulah saudara bahawa cahaya itu  ialah yang kelihatan dan ternampak. 
Saudara juga telah tahu peringkat-peringkat cahaya itu.  Selanjutnya saudara tahu juga bahawa tidak ada gelap yang lebih gelap dari "bukan wujud" kerena sesuatu benda yang gelap itu dipanggil "gelap" kerena ia tidak kelihatan.  Ia tidak terlihat meskipun ia ada wujud.  Tetapi yang tidak ada wujud pada pandangan orang lain dan pandangan dirinya adalah yang paling  gelap. 
Sebaliknya atau lawannya ialah wujud,  dan wujud ialah cahaya,  kerena kecuali benda itu terzhohir pada yang lain,  wujud itu terbahagi kepada dua jenis.  Satu,  ialah yang mempunyai wujud pada dirinya;  dan dua,  ialah wujudnya itu didapati dari bukan dirinya.  Wujud jenis yang kedua ini ialah wujud pinjaman,  yang bererti tidak wujud sendirinya,  bahkan pada hakikatnya,  ia tidak wujud.  Wujud itu itu tergantung kepada yang lain.  Oleh itu,  pada hakikatnya ia tidak wujud,  seperti perumpamaan orang yang mempunyai kuda dengan orang yang yang meminjam kuda tadi. 
Oleh itu,  Wujud Hakiki ialah Allah Subhanahuwa Taala dan juga cahaya hakiki ialah Allah Subhanahuwa Taala jua. 

6. Hakikat bagi segala Hakikat. 
 
________________________________________

Dari titik permulaan inilah makrifat Allah naik ke atas dari Majazi (bukan sebenarnya) kepada Hakiki.  Ibarat memanjat dari tanah rendah ke gunung yang tinggi,  dan di tingkat akhir kenaikkan mereka itu dapatlah mereka melihat bahawa sebenarnya tidak ada yang lebih wujud kecuali Allah sahaja dan "segalanya binasa kecuali wajahNya" (Al-Quran). 
Bukanlah binasa dan hancur serta di masa-masa yang tertentu, tetapi adalah binasa dan hancur musnah sentiasa.  Apa sahaja selain Allah,  apabila dipandang dari segi dirinya,  adalah pada hakikatnya,  tidak wujud.  Wujud yang ada pada sesuatu selain Allah itu adalah semata-mata pemberian Allah jua.  Allah yang memberi makhluk itu wujud.  Wujud makhluk itu bergantung kepada Wujud Allah.  Oleh yang demikian, Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud. 
Tiap-tiap sesuatu itu ada dua wajah.  Wajahnya dan Wajah Allah.  Wajahnya itu tidak ada apa-apa,  tetapi Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud.  Dengan itu, tidak ada Yang Wujud kecuali Allah.  Segala-gala yang lain adalah binasa dan hancur lebur,  melainkan Allah yang berkekalan sentiasa. 
Orang-orang yang mempunyai makrifat seperti ini tidak perlu menunggu kebangkitan hari Qiyamat untuk mendengar Allah berfirman; 
"Siapakah yang berkuasa hari ini?  Allah sahaja Yang Esa dan tidak ada tandinganNya"(Al-Quran). 
kerana firman itu sentiasa kedengaran oleh mereka yang mempunyai makrifat itu.  Mereka hairan mengapa diteriakkan "Allahhu Akbar" yang menunjukkan ia lebih besar daripada segala kebesaran yang lain.  Kenapa? kerena yang besar itu adalah Dia dan Dia sahaja yang mempunyai kebesaran.  Lain dari Dia tidak ada besarnya bahkan yang lain itu adalah kosong,  tiada ada yang bersekutu dengan Dia.  Semua yang wujud ini,  pada hakikatnya adalah WujudNya jua.  Tidaklah mungkin Dia itu "Lebih Besar" dari wajahNya sendiri.  Allah itu Maha Agung dan Maha Besar,  tidak boleh dikatakan  "Lebih Besar" atau "Paling Besar" ,  kerena ia membawa pengertian perbandingan.  Pada hal kebesaran itu tidak boleh dan tidak ada bandingannya.  Kebesaran itu tidak boleh diketahui sepenuhnya oleh sesiapa pun,  walaupun Nabi-nabi atau Malaikat-malaikat.  Tiada siapa yang dapat mengenal dan mengetahui Allah itu sepenuhnya (seratus peratus) kecuali Dia sendiri jua;  kerana tiap-tiap yang diketahui itu adalah termasuk dalam bidang yang mengetahui,  satu keadaan yang mana adalah menafikan semua kemuliaan,  semua kebesaran.  Bukti penuh tentang ini ada saya beri dalam karangan saya(Imam Ghazali) yang lain. 
Orang-orang yang mempunyai makrifat itu,  apabila kembali dari kenaikkan mereka ke Alam Hakikat itu,  sebulat suara mengakui bahawa mereka tidak melihat apa pun kecuali Allah Yang Maha Esa sahaja.  Ada yang sampai ke peringkat ini dengan saintifik,  ada pula percubaan dan secara subjektif. Di sini,  mereka nampak Keesaan Yang Mutlak dan akan tenggelam di dalamnya.  Berbilang-bilang dan banyak tidak ada pada pandangan mereka.  Mereka kagum dan terpesona memandang Keesaan itu.  Tiada daya upaya mereka kecuali menyebut "Allah",  bahkan menyebut diri mereka sendiri pun tidak berupaya.  Tiada apa lagi beresama mereka kecuali Allah. 
Mereka mabuk dalam suasana yang di dalamnya aqal mereka sendiri pun lenyap,  hingga ada yang berkata 
• "Akulah Yang Haq" dan juga 
• "Maha Suci Aku", 
• "Alangkah Agungnya Aku" dan 
• "Dalam baju ini tidak ada yang lain kecuali Allah" 
...............tetapi perkataan orang-orang cinta Allah ini dalam mabuknya itu mestilah disembunyikan dan jangan dihebahkan.  Apabila mereka keluar dari mabuk itu, mereka pun kembali semula kepada Aqal mereka dan Aqal inilah neraca Allah di muka bumi ini. 
Mereka sedar bahawa mereka bukanlah bersatu (dengan Tuhan) tetapi hanya menyerupai atau mewakili Allah sahaja.  Seseorang pencinta Allah yang dalam puncak perasaan cinta berkata; 
"Akulah Dia yang aku Cintai dan Dia yang aku Cintai itu ialah aku; Kami adalah dua jiwa dalam satu badan". 
Kerana mungkin bagi seseorang yang tidak pernah melihat cermin seumur hidupnya akan terpesona oleh cermin itu apabila ia melihat cermin itu dan menyangka apa yang dilihatnya dalam cermin sebagai bentuk rupa cermin itu sendiri,  "serupa" dengannya.  Seseorang lain melihat arak dalam gelas dan menyangka arak itu sebagai warna gelas itu.  Jika sangkaan itu telah menjadi sebati difikirnya,  ia pun lenyap dalam sangkaan itu,  lalu ia menyanyi; 
"Gelas itu nipis,  arak itu jernih,  kedua-keduanya serupa,  perkara ini rumit sekali,  kerana seolah-olah ada araknya dan tidak ada gelas arak di situ,  atau seolah-olah ada gelas arak dan tidak ada araknya". 
Di sini ada perbezaan antara perkataan,  "Arak itu ialah gelas arak",  dengan perkataan, "ianya seolah-olah gelas arak". 
Apabila keadaan ini wujud,  ianya digelar FANA, bahkan FANA DALAM FANA,  bagi orang yang mengalaminya,  kerana Ruh itu telah FANA dalam dirinya, bahkan FANA DALAM FANANYA,   kerana ia tidak sedar dirinya dan tidak sedar tentang tidak sedarnya.  Kalau ia sedar tentang tidak sedarnya,  maka sedarlah ia tentang dirinya. Bagi orang yang tenggelam  dalam keadaan ini ,  maka keadaan ini digelar dalam bahasa kiasan "persamaan"; dan dalam bahasa hakikat "penyatuan".  Di bawah hakikat-hakikat ini ada tersimpan rahsia-rahsia yang mana kita tidak bebas untuk membincangkannya. . 

7. Wajah Allah: Penerangan "mendalam" tentang perhubungan cahaya-cahaya ini dengan Allah.. 
 
________________________________________

Mungkin saudara ingin benar hendak tahu berkenaan wajah yang mana cahaya Allah itu dikaitkan dengan langit dan bumi,  atau pun wajah yang mana Dia itu sendiri cahaya langit dan bumi.  Inilah yang hendak kita bincangkan sekarang. 
Sekarang saudara telah tahu bahawa Allah itu cahaya,  dan yang lain dari Dia tidak ada cahaya.  Setiap cahaya adalah Dia,  dan juga cahaya keseluruhan adalah Dia juga. 
• Oleh kerana cahaya itu bermaksud sesuatu yang menzhohirkan atau yang menampakkan yang lain;  atau 
• lebih tinggi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya dan untuknya yang lain dizhohirkan 
• bahkan lebih tinggi dari itu lagi iaitu bermaksud sesuatu yang dengannya untuk dirinya dan dirinya yang lain terzhohir. 
Sekarang saudara tahu juga bahawa apa sahaja digelar cahaya yang sebenarnya ialah sesuatu yang dengannya,  untuknya,  dan diri yang lain itu terzhohir atau ternampak.  Cahaya ialah yang bercahaya dengan sendirinya.  Cahaya itu timbul dalam dirinya,  dari dirinya dan untuk dirinya.  Cahaya tidak datang dari sumber yang lain.  Cahaya yang sedemikian itu tidak lain tidak bukan hanya Allah sahaja.  Saudara juga telah mengetahui bahawa langit dengan bumi ini dipenuhi dengan cahaya,  yang bersangkutan dua peringkat cahaya,  iaitu pandangan mata dan pandangan akal. 
Cahaya yang pertama itu ialah apa yang kita lihat di langit seperti matahari,  bulan dan bintang;  dan apa yang kita lihat di bumi,  seperti sinaran cahaya yang melimpahi seluruh muka bumi,  yang menampakkan semua warna,  bentuk,  binatang,  tumbuh-tumbuhan dan benda-benda lain dalam semua keadaan;  dan jika tiada cahaya ini,  maka tidaklah kita nampak warna,  atau tidaklah ada warna. 
Tiap-tiap bentuk dan saiz (besar atau kecil) yang terlihat oleh kita adalah diketahui oleh warna,  dan tidak mungkin melihatnya tanpa warna. 
Berkenaan cahaya Akal,  maka Alam Tinggi itu dipenuhi oleh cahaya itu,  iaitu seperti kejadian malaikat;  dan Alam Rendah  ini pun dipenuhi oleh cahaya itu iaitu seperti hidup (nyawa) binatang dan hidup manusia.  Susunan atau keadaan Alam Rendah ini dizhohirkan dengan cahaya malaikat.  Inilah susunan atau keadaan yang disebut oleh Allah; 
• "Dialah yang membentuk kamu dari tanah,  dan menampakkan kamu di permukaan bumi, agar Dia menjadikan kamu sebagai khalifah di atas muka bumi" dan 
• "menjadikan kamu khalifah di muka bumi',  dan 
• "Sesungguhnya aku adalah khalifah di muka bumi". (Al-Quran) 
Oleh yang demikian, saudara lihat bahawa seluruh alam ini dipenuhi oleh cahaya pandangan zhohir dan cahaya Aqal Batin,  dan juga cahaya-cahaya tingkat rendah ini dipancarkan  atau dikeluarkan kepada satu dari yang lain.  Umpama cahaya yang keluar dan terbit dari sebuah lampu;  sementara  lampu itu sendiri ialah Cahaya Kenabian yang tinggi.  Ruh-ruh Kenabian itu dinyalakan dari ruh-ruh yang tinggi,  seperti lampu dinyalakan api,  dan ruh-ruh yang tinggi ini dinyalakan kepada satu dari yang lain. 
Susunan ini adalah berperingkat-peringkat ke atas.  Semua ini naik naik ke atas sampai ke cahaya  bagi segala cahaya.  Sumber dan punca segala cahaya iaitu Allah.  Semua cahaya-cahaya lain adalah pinjaman dari Allah dan Dialah sahaja cahaya sebenarnya.  Segalanya datang dari cahayaNya,  bahkan Dialah segala-galanya.  Dialah yang sebenarnya ada.  Tiada cahaya kecuali Dia.  Cahaya yang lain hanya cahaya wajah yang menyertaiNya,  bukan terbit dari diri mereka sendiri.. 
Oleh yang demikian,  wajah dan muka segala sesuatu menghadap kepada Dia dan menghala kepadaNya.  Firman Allah; 
"Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka,  di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran). 
Tiada Tuhan selain Dia,  kerana perkataan "TUHAN" itu menunjukkan sesuatu yang kepadaNya semua muka menghadap dalam ibadat dan dalam penyaksian Dialah Tuhan.  Saya (Imam Ghazali) maksudkan iaitu muka atau wajah manusia iaitu hati manusia,  kerana hati itulah cahaya dan ruh.  Bahkan sebagaimana; 
"TIADA YANG DISEMBAH MELAINKAN DIA", 
maka begitulah juga ; 
"TIADA YANG MENYEMBAH SELAIN DIA", 
kerana perkataan "DIA" itu membawa maksud sesuatu yang boleh ditunjukki.  Tetapi dalam tiap-tiap perkara dan sebarang keadaan dan hal,  kita boleh menunjuk sahaja.  Setiap kali saudara menunjuk sesuatu,  tunjukkan itu pada hakikatnya adalah kepada Dia,  meskipun saudara tidak sedar oleh kerana kejahilan saudara tentang hakikat bagi segala hakikat,  yang mana telah kita bincangkan dulu. 
Seseorang itu tidak mungkin menunjuk cahaya matahari,  tetapi boleh menunjuk matahari.  Maka begitu jugalah halnya dengan perhubungan segala sesuatu (makhluk) dengan Allah.  Perumpamaan perhubungan makhluk dengan Allah adalah seperti perhubungan cahaya matahari dengan matahari. 
Oleh itu,  ucapan "TIADA TUHAN SELAIN ALLAH"  adalah ucapan tauhid kebanyakan orang. 
Tetapi ucapan tauhid sedikit orang(yang mempunyai makrifat) ialah "TIDAK ADA DIA MELAINKAN DIA". 
Yang pertama untuk orang awam,  dan yang kedua itu untuk "orang khusus".  Yang kedua itu lebih benar, lebih tepat dan lebih sesuai.  sudah sewajarnyalah orang yang mengucap demikian  itu memasuki Alam Keesaan (Uluhiyah) dan Ketunggalan yang Maha suci dan Mutlak;  Kerajaan Yang Maha Esa dan Maha Tunggal,  dan inilah peringkat atau kedudukan terkahir kenaikkan manusia.  Tidak ada tingkatan yang lebih tinggi dari itu lagi;  kerana "NAIK" itu melibatkan berbilang-bilang (banyak) seperti melibatkan dua tingkatan naik "DARI" dan naik "KE".  Apabila berbilang-bilang telah lenyap,  maka terdirilah Keesaan.  Perbandingan tidak ada,  semua isyarat atau pengucapan dari   "SINI"  ke  "SANA"  pun tidak ada.  Tidak ada lagi  "TINGGI"  atau "DALAM".  Tidak ada  "ATAS"  atau  "BAWAH". 
Dalam tingkatan tersebut,  naik ke atas lagi bagi ruh,  tidak mungkin,  kerana tidak ada lebih tinggi daripada yang paling tinggi.  Tidak ada berbilang-bilang (banyak) di samping Esa dan Tunggal.  Di sini berbilang-berbilang telah habis.  Tidak ada kenaikkan (Mikraj) lagi bagi jiwa dan ruh.  Jika ada pun, ia adalah "pertukaran di sini". 
Maka pertukaran itu ialah "Turun ke langit yang paling rendah";  sinaran dari atas ke bawah,  kerana yang paling tinggi itu,  meskipun tidak ada lebih tinggi lagi dari takat itu,  tetapi ada yang rendah.  Inilah matlamat (tempat paling tinggi) dari segala matlamat.  Tempat paling tinggi ialah matlamat terakhir yang dicari oleh ruh,  yang diketahui oleh mereka yang tahu dan kenal,  tetapi dinafikan oleh mereka yang jahil.  Ini termasuk dalm bidang Ilmu Tersembunyi yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang yang mempunyai makrifat.  Sekiranya mereka memperkatakan ilmu ini,  ia akan dinafikan oleh orang-orang yang Jahil tentang Allah. 
Tidak ada salahnya orang-orang yang mempunyai makrifat ini menyebut; "Turun ke langit yang paling rendah" iaitu turunnya seorang malaikat;  meskipun seorang daripada mereka itu telah disangkakan membuat penerangan yag kurang wajar.  Dia tenggelam dalam Keesaan Allah, dan berkata,  bahawa Allah telah  "turun ke langit paling rendah"  bahawa penurunan ini adalah penurunannya,  diibaratkan kepada cara-cara keadaan Alam zhohir,  maka digunakan perumpamaan tersebut.  Dia (orang yang tenggelam dalm Keesaan Allah itu) itulah yang dimaksudkan oleh sabda Nabi Muhammad SAW.; 
"Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar;  matanya yang dengannya dia melihat;  lidahnya yang dengannya dia bercakap". 
Jika Nabi itu menjadi telinga,  mata dan lidah Allah,  maka Allah sahajalah yang mendengar,  melihat,  bercakap.  Dialah juga yang dimaksudkan dengan dengan firmanNya kepada Nabi Musa; 
"Aku sakit,  tetapi engkau tidak mengunjungi Aku". 
Menurut ini,  pergerakan badan orang-orang yang betul-betul beriman dengan Kesaan Allah itu adalah dari langit yang paling rendah itu,  dan Aqalnya dari langit yang lebih tinggi dari langit yang kedua itu.  Dari langit Aqal itu dia naik ke atas  ke sempadan di mana  makhluk tidak boleh naik lagi,  iaitu Kerajaan Ketuhanan Yang Maha Esa,  tujuh lapis dan selepas itu "Dia duduk di atas singgahsana" tauhid dan situ "Memerintah" seluruh lapisan-lapisan langit itu. 
Orang telah tamat pengembaraan sedemikian rupa,  maka ayat ini boleh dipakai kepada dia; 
"Allah menjadikan Adam menurut bayanganNya" 
Apabila ayat ini direnungi dan difikirkan secara mendalam,  maka diketahulah bahawa maksudnya adalah serupa dengan kata-kata; 
"Akulah Yang Haq(Tuhan)". 
"Maha suci Aku" 
atau sabda Nabi SAW. bahawa Allah berfirman; 
"Aku sakit,  tetapi engkau tidak mengunjungi Aku" dan 
"Akulah telinganya, matanya dan lidahnya". 
Eloklah sekarang kita hentikan perkara ini kerana saya(Imam Ghazali) fikir saudara belum ada mendengar lebih dari apa yang sampaikan ini. 
Bersambung ke tajuk seterusnya

8. Perkaitan cahaya-cahaya ini dengan Allah; Penerangan yang lebih mudah. 
 
________________________________________

Mungkin saudara susah hendak faham dengan penerangan yang tersebut dahulu itu.  Maka saudara rasa payah hendak faham.  Maka di sini saya akan memberikan penerangan yang lebih mudah,  agar saudara dapat memahaminya. 
Maksud  "Allah itu cahaya langit dan bumi " boleh difahami jika dikiaskan kepada cahaya biasa yang nampak itu.  Apabila saudara melihat warna tumbuhan-tumbuhan disiang hari- katalah warna hijau - saudara tentu menyangka yang saudara melihat warna,  dan mungkin saudara mengatakan saudara hanya melihat warna,  tidak ada yang lain lagi.  Seolah-olah saudara mengatakan  "Saya tidak nampak yang lain kecuali warna hijau ".  Memang banyak orang berdegil mengatakan demikian.  Kata mereka perkataan " cahaya "  itu tidak ada ertinya,  hanya kosong,  kata mereka apa yang nampak hanyalah warna.  Dengan demikian,  mereka menafikan adanya cahaya meskipun cahaya itulah yang paling terang dan nyata sekali terzohir daripada benda-benda lain.  Kenapa tidak?  Kerana dengan adanya cahaya itulah benda-benda itu terzohir atau ternampak.  Kerana cahaya  itu sendiri boleh kelihatan dan membuat benda-benda lain kelihatan,  sebagaimana yang kita bincangkan dulu. 
Tetapi apabila matahari terbenam dan lampu langit lenyap dari pandangan,  dan bayangan atau gelap malam datang,  maka  barulah orang-orang ini sedar adanya perbezaan antara bayangan atau gelap dengan cahaya.  Maka barulah mereka meyakini bahawa cahaya itu memang ada disebalik semua warna dan dilihat bersama warna.  Bolehlah dikatakan bahawa oleh kerana paduan  persatuan cahaya dengan warna itu,  hinggakan cahaya itu tidak disedari ada di situ,  mungkin kerana terlampau terang dan nyata inilah menyebabkan cahaya kelihatan.  Mungkin kerana terlampau tarang dan nyata inilah menyebabkan cahaya tidak kelihatan,  kerana  sesuatu  yang melampaui dari sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang berlawanan dengannya. 
Jika penerangan ini telah jelas  kepada saudara,  maka  saudara hendaklah tahu selanjutnya iaitu mereka yang dikurnai dengan pandangan sedemikian ini akan melihat Allah di samping sesuatu  benda itu.  Mungkin ada yang berkata; 
" Tidak saya lihat sesuatu pun melainkan saya lihat Allah dahulu ". 
Kerana ada di antara mereka yang melihat benda-benda melalui Allah dan dalam Allah.  Ada pula yang melihat sesuatu benda itu dulu dan kemudian nampak Allah,  dalam dan melalui benda-benda itu. 
Kepada kelas ( golongan ) yang pertama itu,  Al-Quran ada menerangkan; 
" Tidakkah cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya?". 
Kepada kelas yang kedua ini dengan ayat; 
"Kami  akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda kami dalam seluruh alam dan diri mereka sendiri ". 
Bagi kelas ( golongan ) pertama,  mereka melihat Allah terus; dan yang kedua melihat  Allah melalui perbuatan-perbuatan  atau kerja-kerjaNya(Allah).  Yang pertama itu golongan Aulia Allah; dan yang kedua itu golongan orang-orang Arif  " yang telah yakin  dalam  ilmunya." Selain dari  dua golongan tersebut,  tidak  lain hanya orang-orang yang lalai;  di muka  mereka ada hijab  (tabir). 
Oleh yang demikian saudara mengetahui sekarang bahawa dengan adanya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan nampak dan  Allah itu membolehkan mata batin manusia melihat dan nampak kerana Allah itu ada bersama  segala sesuatu setiap  ketika dan  Dialah yang menampakkan segalanya  itu. Meskipun ada persamaan antara kedua itu, namun perbezaannya ada juga.  Cahaya biasa itu boleh hilang apabila matahari terbenam,  dan  datanglah gelap  yang menjadi hijab. Tetapi  Cahaya Ketuhanan  itu tidak boleh  hilang.  Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan.  Mataharinya tidak pernah terbenam.  Ia kekal selamanya dengan semua perkara. 
Oleh itu cara membezakan  (sebagai cara untuk membezakan wujudnya Allah dengan perbuatanNya) tidaklah berupaya kita.  Jika  rupa Allah itu boleh  dilihat,  maka akan  hancurlah langit dan bumi ini; dan oleh  itu,  melalui pembezaan,  akan menerbitkan kesan  dalam  fikiran,   yang serentak memaksa pengenalan kepada sebab  yang dengannya semua perkara ternampak zohir.  Tetapi sebagaimana yang kita  lihat,  semua kejadian  tetap sama dan tidak berubah-ubah  pada pandangan kita kerana Ketunggalan yang menjadikan mereka itu.  Kerana  "segala sesuatu memuji Dia"  (Al-Quran). 
Ini bererti  bukan setengah-setengah  perkara tetapi adalah  segala-galanya,  dan bukan kadang-kadang tetapi adalah sentiasa.  Dengan itu,  pembezaan ini tidak  timbul,  dan jalan menuju melihat rupa Allah itu terhalang.  Kerana jalan yang paling terang menuju mengenal benda-benda ialah melalui  pertentangan atau lawannya.  Benda-benda yang tidak ada lawan ( OPPOSITEE ) atau  sebaliknya,  dan keadaanya sentiasa serupa  apabila kita melihatnya,  akan  menyebabkan besar kemungkinan  pandangan kita disilapkannya.  Dalam hal ini,  gelap atau tidak terang  itu adalah akibat dari terlalu terang dan nyatanya,  dan dikelirukan atau disilapkan oleh sinarannya yang terang itu.  Maha Suci  dan Agunglah  Allah yang  melindungkan dirinya  dari makhlukNya  dengan kerana terangNya itu,  dan terhijab dari pandangan makhluk melalui SinarNya sendirinya yang terang benderang itu. 
Mungkin juga keterangan  ini tidak difahami oleh setengah-setengah orang yang kurang pintar,  dan mereka yang membaca keterangan saya berkenaan  " Allah bersama dengan segala sesuatu",  kerana cahaya ini ada bersama segala sesuatu.  Mungkin mereka memahami bahawa Allah itu ada setiap " tempat ".  Maha Suci dan Maha Tinggi Allah itu dikaitkan dengan " tempat ".  Tidak usahlah kita menyangka yang tidak terjangkau oleh akal.  Saya tegaskan bahawa Allah itu terawal atau terdahulu dari segala-galanya,  dan diluar had sempadan jangkauan pemikiran makhluk.  Dia menzohirkan segala-segalanya.  Bahawa "Yang menzohirkan " itu tidak boleh dipisahkan diri "Yang menzohirkan",  menurut segi pandangan si pemikir.  Inilah apa yang kita maksudkan bahawa Allah bersama dengan segala sesuatu. 
Saudara juga tentu tahu selanjutnya bahawa "Yang menzohirkan"  itu adalah terdahulu dan terlampau tinggi dari jangkauan "Yang menzohirkan",  meskipun dia "bersama" nya.  Dia "bersama" nya dari satu aspek (wajah)  dan  "terlampau jangkauan"  nya dari aspek yang lainnya. 
Janganlah dianggap di sini ada pertentangan atau perlawanan (CONTRADICTION).  Atau,  fikiranlah bagaimana dalam Alam deria  (yang mana tempat yang paling tinggi ilmu kita boleh maju ke atas) gerak tangan "bersama " dengan gerak banyangnya;  namun begitu gerak tangan itu terdahulu dari banyangnya itu juga. 
Barangsiapa yang tidak cukup pintar untuk menyikirkan ini,  maka hendaklah ia meninggalkan penyelidikan tentang perkara ini,  kerana:- 
"Bagi setiap ilmu ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan baginya. " 
Bersambung ke Bahagian Kedua InsyaAllah jika dimudahkan;   
..Pengetahuan tentang ibarat atau perumpamaan mukaddimah kepada penerangan tentang perumpamaan  misykaat (ceruk),  lampu,  kaca,  pokok, minyak dan api. 

Bahagian kedua
Penerangan bagi perumpamaan atau ibarat ini melibatkan dua perkara penting;  yang sangat luas  bidangnya.   Tetapi di sini saya berikan ringkasannya  sahaja. 
Pertama:   Ilmu pengetahuan dan cara (method)  perumpamaan,  bagaimana ruh atau isi tanggapan (idea-idea) itu  terkandung dalam perumpamaan tersebut;  perkaitan antara  keduanya;   keadaan batin persamaan ini antara Alam Deria (Alam Pancaindera) sebagai acuan dan kebendaan kepada perumpamaan dan Alam Tinggi yang dirinya turunnya  tanggapan idea. 
Kedua:   Peringkat-peringkat bagi beberapa ruh pada tanah liat (badan) kita,    dan  darjah cahaya yang ada pada tiap-tiap satunya. 
Kita bincangkan perumpamaan yang kedua ini untuk menerangkan yang pertama itu. 
 
________________________________________
A.  Zhohir dan batin dalam perumpamaan:  Jenis dan pasangan sejenisnya
 
Alam ini terbahagi kepada dua iaitu; 
• Alam Ruhani dan Alam Kebendaan atau 
• Alam Deria dan Alam Aqal atau 
Alam boleh juga dikatakan Alam Tinggi dan Alam Rendah. 
Semua istilah-istilah alam tersebut adalah hampir ertinya antara satu dengan yang lain.  Perbezaan hanya pada segi pandangan sahaja. 
• Jika saudara anggap kedua-kedua Alam itu dari seginya masing-masing,  maka saudara menggunakan istilah pertama (Alam Ruhani dan Alam Kebendaan) 
• Jika  berkaitan dengan anggota yang melihatnya,  maka itu adalah yang kedua (Alam Deria dan Alam Aqal). 
• Boleh  juga saudara katakan Alam Zhohir dan Alam Ghaib. 
Tidaklah hairan kenapa ada juga penuntut-penuntut yang mengkaji ilmu ini terkeliru tentang banyaknya istilah-istilah itu dan menyangka banyak pula tanggapan atau idea yang dimaksudkan.  Tetapi bagi orang yang mengenal hakikatnya,  mereka  tidak akan menyangka istilah-istilah itu yang terpenting.  Yang terpenting ialah maksud atau tanggapan yang dibawa oleh istilah-istilah itu.  Tetapi orang yang kurang pintar mungkin menganggap sebaliknya- iaitu ia mementingkan istilah dan tidak mementingkan maksud atau isinya.  Pada pandangan mereka istilah itulah punca atau sumber tempat hakikat itu terbit.  Berkenaan dua jenis pandangan fikiran itu.  Al-Quran menerangkan, 
 "Siapakah yang lebih benar dipimpin,  orang yang berjalan dengan mukanya tertunduk ke bawah,  atau orang yang berjalan lurus tegak?" 
 
________________________________________

1.  Dua alam:  Jenis dan pasangan sejenisnya 
 
________________________________________

Demikianlah tanggapan atau idea penting kedua-dua alam tersebut.  Kemudian saudara hendaklah tahu bahawa Alam Tinggi itu tidak ternampak oleh kebanyakan orang,  tetapi Alam Rendah ataupun Alam Nyata itu ternampak oleh semua orang,  kerana ianya adalah Alam Deria {Alam Pancaindera} dari tempat Alam Deria atau Alam Nyata inilah;  kita naik ke Alam Akal atau Alam Rohani. 
Berjalan untuk menuju ke Alam Tinggi itu akan terhalang jika tidak ada perhubungan antara kedua alam itu.  Jika pengembaraan ke atas itu tidak mungkin,  maka tidak mungkin jugalah kita hendak menghampiri ke Hadirat Ilahi.  Tidak ada seorang pun akan sampai hampir di sisi Allah,  kecuali kakinya berdiri di tengah-tengah majlis atau bidang Ketuhanan Yang Maha Tinggi dan Maha Suci itu. 
Apa yang kita maksudkan dengan istilah atau perkataan "Ketuhanan yang Maha Tinggi dan Maha Suci" itu ialah alam yang melampaui jangkauan atau capaian deria pemikiran atau khayalan.  Kerana menurut hukum {undang-undang} tertinggi itu,  bahawa ruh  yang mana asing kepada alam itu  tidak keluar dan tidak masuk ke alam itu;  maka kita gelarkan ianya majlis atau bidang Ketuhanan yang Maha Tinggi dan Maha Suci.  Maka ruh manusia yang menjadi saluran penzohiran (manifestasi) Yang Maha Tinggi itu,  bolehlah barangkali digelarkan "Lembah Suci " (Al- Quran) 
Majlis atau bidang Ketuhanan ini terdiri daripada majlis, atau bidang-bidang yang lebih kecil.  Setengah daripadanya masuk lebih jauh dari yang lain ke dalam tanggapan atau idea-idea Ketuhanan Yang Maha Tinggi dan Maha Suci ini.  Tetapi istilah "Majlis atau bidang" ini meliputi semua peringkat yang kecil-kecil itu.  Dari kerana itu janganlah saudara sangkakan istilah-istilah ini mempunyai maksud-maksud tersembunyi yang tidak difahami oleh orang-orang yang mempunyai makrifat.  Di sini saya tidak mahu melanjutkan perkara ini kerana asyik dengan menerangkan istilah-istilah ini menyebabkan saya terkeluar dari tajuk perbincangan kita.  Terpulanglah kepada saudara untuk mengkaji istilah-istilah tersebut. 
Sekarang kita kembali kepada perkara perbincangan kita.  Seperti yang kita katakan duhulu,  Alam Nyata ini adalah tempat bertolak ke Alam Tinggi itu.  Ayat yang bermaksud "Kemajuan pengembaraan di jalan yang lurus"  bererti  menuju ke tempat yang tinggi itu.  Ini boleh juga dikatakan "Al-Iman" dan "Tempat kediaman bimbingan yang benar".  Jika tidak ada perhubungan antara kedua-kedua alam tersebut,  maka tidaklah boleh naik seseorang itu dari satu alam ke alam yang satu  lagi itu.  Allah memberi RahmatNya kepada Alam Nyata seperti juga diberiNya kepada Alam Ghaib itu. 
Oleh itulah,  tidak ada satu benda pun dalam Alam Nyata ini yang tidak menjadi simbol atau perumpamaan kepada perkara-perkara di dalam Alam ghaib itu.  Alam Nyata ini adalah simbol atau atau qias atau ibarat atau perumpamaan Alam Ghaib.  Mungkin juga satu benda di alam ini menjadi simbol atau bayangan atau kiasan beberapa perkara di Alam Ghaib,  begitu juga satu perkara dalam Alam Ghaib itu mungkin mempunyai beberapa simbol atau bayangan di Alam Nyata ini.  Kita katakan sesuatu itu sejenis atau simbolik(seumpama) apabila nyata mempunyai dan bersesuaian dengan pasangannya itu dalam beberapa aspek. 
Menghitung sepenuhnya semua simbol-simbol atau perumpamaan-perumpamaan ini akan bererti menghitung semua benda-benda dan perkara-perkara dalam dua alam tersebut.  Tidak ada makhluk yang dapat membilang dan menghitungnya.  Kebolehan manusia tidak cukup untuk mengetahuinya di masa lampau dan dengan umur kita yang pendek ini,  kita tidak dapat menghuraikan sepenuhnya. Pada masa kini yang dapat saya terangkan kepada saudara ialah satu contoh sahaja yang besar dan luas yang diambil penerangan dan kesimpulan dari yang kecil dan sempit,  kerana pintu penyelidikan kepada rahsia-rahsia ilmu ini masih dibukakan kepada saudara. 
  

Bahagian kedua
2.   Satu contoh perumpamaan dari cerita Nabi Ibrahim a.s yang tersebut dalam Al-Quran 
 
________________________________________

Dengarlah sekarang,  jika Alam Tinggi mempunyai cahaya yang digelar "malaikat" dan cahaya itu dipancarkan pula kepada ruh-ruh,  maka oleh keran itu malaikat-malaikat itu bolehlah digelarkan "tuan",  dan tuan bagi segala tuan-tuan itu ialah Allah.  Tuan-tuan(malaikat-malaikat) ini mempunyai peringkat-peringkat sinaran yang berbeza-beza.  Simbol semua itu dalam Alam Nyata ialah matahari,  bulan dan bintang. 
Salik(orang yang dalam perjalanan hati/jiwa menuju Allah) naik ke satu peringkat seumpama sebuah bintang.  Sinaran cahaya bintang itu nampak kepadanya.  Maka disedarilah bahawa dunia di bawah sana mengagungkan pengaruh dan sinaran cahaya bintang itu.  Oleh kerana indah dan agungnya bintang itu,  Salik sedar tentang adanya keagungan bintang itu lalu ia berkata, "Inilah TuhanKu".  Salik mengembara lagi.  Maka dilihatnya pula ada yang lain yang lebih hebat dan besar dari bintang itu iaitu bulan,  dan cahaya  bintang tenggelam oleh sinaran bulan lalu Salik berkata; "Aku tidak mengagungkan sesuatu yang tenggelam".   Kemudian dia naik lagi ke peringkat yang disimbolkan sebagai matahari.  Ini lagi hebat daripada bulan,  tetapi matahari pun terbenam dan tenggelam juga.  Tentulah ada lagi satu kuasa yang lebih hebat dan Maha Agung. 
Salik(dalam Al-Qur'an ialah Nabi Ibrahim as.kerana ini adalah cerita Nabi Ibrahim as.) pun memutuskan untuk berkata, 
"Aku telah menghadapkan mukaku kepada 'Yang' menjadikan langit dan bumi.  akulah orang yang percaya(beriman) dan aku bukanlah termasuk ke dalam golongan mereka yang mensyirikkan Allah". 
Siapakah yang dimaksudkan oleh perkataan "Yang" dalam ayat itu????  Tentulah ia tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan.  Jika ada orang bertanya,  "Apakah simbol yang boleh dibandingkan atau disamakan dengan  "Yang"  itu ???" .  Tidaklah juga tidak ada jawapannya. 
Ketahuilah "Yang" tanpa bandingan dan sekutu atau persamaan itu ialah Allah.  Dia Maha Esa.  Oleh sebab itulah apabila orang-orang Arab bertanya kepada Nabi,  "Dengan apakah yang boleh kami bandingkan Allah itu?".  Nabi menjawab dengan firman Tuhan,  " 
Katakan bahawa Allah itu Esa, tidak ada akhir, tidak ada awal,  tidak ada bapa,  tidak ada anak,  tidak ada satu pun yang seumpama atau sebanding dengan Dia". (Al-Qur'an). 
Ini menunjukkan Allah itu Maha Tinggi dan tidak termasuk dalam bidang perbandingan. 
Firaun berkata kepada Nabi Musa a.s;  "Apa???....Menyembah Tuhan sekelian alam???" .  Seolah-olah hendak tahu Zat Tuhan.  Sebagai jawapan,  Nabi Musa hanya menunjukkan kepada perbuatan atau kerja Tuhan kerana itu lebih nyata kepada si penyoal,  dan berkata bahawa, 
"Allah itulah Tuhan langit dan bumi". 
Tetapi Firaun berkata kepada orang-orangnya,  "Ha!!!!!! dengar oleh kamu sekelian!!"  Seolah-olah mengejek Nabi Musa as.  kerana tidak dapat menjawab pertanyaannya tentang Zat Allah itu.  Kemudian Nabi Musa as.  berkata, 
"Tuhan kamu  dan Tuhan nenek moyang kamu ialah Allah". 
Tetapi Firaun menuduh Nabi Musa as.  telah gila.  Firaun mahukan kiasan atau ibarat tentang Zat Tuhan,  tetapi Nabi Musa a.s. hanya menceritakan perbuatan-perbuatan atau kerja-kerja(Af'aal) Tuhan itu sahaja.  Lalu Firaun pun berkata,  "Rasul yang diutuskan kepada kamu semua ini telah gila". 

3.  Contoh-contoh dasar tentang perumpamaan;  khususnya dari cerita Nabi Musa a.s yang tersebut dalam Al-Quran 
 
________________________________________

Marilah kita sekarang kembali kepada ceruk yang kita pilih untuk menerangkan cara simbolik (perumpamaan) ini.  Ilmu tentang penafsiran pandangan (hati) menentukan kepada kita tentang nilai tiap-tiap jenis simbol atau perumpamaan itu.  Ini adalah kerana "Pandangan (hati) itu ialah sebahagian daripada Nubuwah (Kenabian)". Apabila dipandang dalam mimpi atau pandangan hati,  matahari itu diibaratkan sebagai raja kerana cahayanya meliputi segala-galanya. Bulan diibaratkan sebagai menteri kerana melalui bulan itulah cahaya matahari dapat dipancarkan kepada dunia semasa matahari tidak ada (waktu malam). Ini bererti melalui menteri inilah pengaruh raja itu dapat dirasai oleh rakyat jelata yang tidak pernah melihat raja itu. 
Orang yang bermimpi melihat dirinya memakai cincin dan dengan cincin itu ia mengecap (mementerai) mulut lelaki dan rahsia-rahsia perempuan,  maka mimpi itu ditafsir atau dita'birkan sebagai azan Subuh di bulan Ramadhan. 
Orang yang bermimpi  melihat dirinya mencurahkan minyak zaiton kepada pohon zaiton ditafsirkan bahawa perempuan hamba yang dinikahinya itu ialah ibunya,  tetapi ia tidak tahu menahu yang perempuan hamba itu adalah sebenarnya ibunya. 
Cara menta'birkan atau mentafsirkan simbol-simbol atau perumpamaan-perumpamaan tidaklah terhad,  dan saya tidaklah hendak menghuraikannya satu persatu. Apa yang dapat saya katakan ialah sebagaimana adanya perkara-perkara di Alam Tinggi itu yang dibaratkan atau disimbolkan sebagai matahari adanya bulan dan bintang,  maka yang lain itu pun ada juga simbol-simbolnya apabila titik perkaitan itu sesuatu yang lain daripada cahaya. 
Misalnya jika di kalangan perkara yang wujud di Alam Tinggi itu ada satu perkara 
• yang tetap tanpa berubah, 
• besar tanpa berkurangan; 
• yang dirinya limpahan ilmu dan kemuliaan turun ke dalam hati sebagaimana air yang mengalir ke lembah; 
maka itu diisyaratkan atau disimbolkan dengan gunong. 
Jika sesuatu yang menjadi penerima anugerah kemuliaan itu ada berbagai-bagai peringkat maka;  maka sesuatu itu disimbolkan dengan lembah.  Jika kemualiaan-kemuliaan itu sampai ke dalam hati manusia,  berpindah dari hati ke hati;  maka hati-hati itu di simbolkan juga dengan lembah.  Kepala lembah itu menunjukkan hati Nabi-nabi,  Aulia-aulia dan Ahli-ahli Ilmu;  dan ini diturunkan pula oleh orang-orang selepas daripada mereka tersebut. 
Oleh itu,  jika lembah-lembah ini lebih rendah dari lembah yang pertama itu dan diairi dari lembah yang pertama itu,  maka lembah pertama itu adalah lembah "yang benar"  kerana disimbolkan dengan kebenaran dan kelebihannya.  Akhirnya lembah yang paling rendah dan airnya datang dari  peringkat yang terakhir dan terendah daripada lembah "yang benar" itu;  dan sewajarnyalah dengan itu diairkan dari "tepi lembah yang benar" itu dan bukan dari bahagian tengah dan  yang paling dalam. 
Jika ruh Nabi-nabi itu diibaratkan sebagai lampu yang bernyala-nyala;  yang dinyalakan oleh ilham atau wahyu ("Kami telah wahyukan engkau dengan ruh daripada Qudrat Kami" - Al-Qur'an),  maka simbol atau perumpamaan punca nyalanya itu ialah api.  Jika ada orang yang mendapat ilmu dari Nabi-nabi itu hidup dengan hanya menerima secara tradisi (kebiasaan) sahaja apa yang mereka terima dari Nabi-nabi itu,  maka mereka itu ibaratkan sebagai "suluh api" atau "tahi bintang".  Mereka  ini tidak menyiasat dengan lebih lanjut lagi pengajaran Nabi-nabi itu.  Tetapi ada orang yang pintar,  yang dikurniakan ilham dan pengalaman Keruhanian.   Mereka ini mendapat seolah-olah apa yang didapati oleh Nabi-nabi mereka.  Mereka ini disimbolkan sebagi "hamba panas api" kerana seseorang itu tidak mendapat panas api jika hanya mendengar sahaja perihal api itu.  Orang-orang yang merasai atau mendapat panas api ialah orang yang hampir dengan api itu. 
Jika peringkat pertama Nabi-nabi itu ialah peralihan mereka masuk ke Alam Ketuhanan Maha Tinggi,  jauh dari kekacauan dan gangguan deria dan sangkanya dan khayalan,  maka peringkat itu disimbolkan dengan "lembah suci".  Dan jika "lembah suci" itu tidak boleh dilalui kecuali selepas ditanggalkan kedua-dua alam (Alam Nyata dan Alam Ghaib) dan wajah ruh itu telah menghadap kepada Yang Maha Tunggal sahaja,  maka simbol atau ibarat menanggalkan kedua belah kasut oleh orang yang mengerjakan ibadat Haji di Mekah,  di kala dia menggunakan pakaian keduniaannya dan memakai pakaian Ihram dan menghadapkan mukanya ke kaabah. 
Sekarang marilah kita berpindah kepada perkara Hadirat Ilahi itu lagi sekali dan bercakap tentang simbol-simbolnya.  Jika Hadirat itu mempunyai "sesuatu"  di mana Ilmu-ilmu Ketuhanan dirakamkan pada luh-luh hati yang boleh menerima ilmu-ilmu itu,  maka "sesuatu"  itu disimbolkan pula dengan pena.  Hati yang padanya terakam ilmu-ilmu itu diibaratkan sebagi luh atau kitab atau buku.  Jika "sesuatu" yang memegang pena itu supaya ia dapat menulis,  maka "sesuatu" itu disimbolkan sebagai tangan. 
Jika Hadirat yang meliputi tangan, ruh, pena dan kitab itu disusun secara teratur,  maka Hadirat itu disimbolkan dengan bentuk atau bayangan.  Jika bentuk manusia itu mempunyai susunan tertentu maka ianya juga adalah seperti diciptakan "menurut bayangan atau bentuk Yang Penyayang".  Di sini ada perbezaan antara ayat "menurut bayangan Yang Penyayang"  dengan ayat  "menurut bayangan Allah". 
Kerana sayangnya itulah Allah menyebabkan Hadirat itu berupa dalam "bayangan" itu,  kerana sayangNya,  Allah kurniakan Adam satu "bentuk" atau  "bayangan"  yang meliputi setiap jenis yang ada dalam seluruh alam ini,  hinggakan seolah-olah Adam itu terdiri daripada semua perkara dalam alam ini atau salinan ringkasan alam ini.  Bentu Adam ("bayangan" ringkasan ini) dirakamkan dengan tulisan Allah.  Maka jadilah Adam itu tulisan Allah,  yang bukan berbentuk huruf,  seperti juga perkataan atau kalamNya di luar sempadan lingkungan bunyi dan suara;  dan penaNya di luar sempadan lingkungan buluh atau besi;  dan tanganNya bukan daripada daging dan tulang.  Jika tidak ada kasih sayang atau rahmat Tuhan ini,  maka setiap anak Adam tidak akan berupaya hendak mengenal Allah. 
Orang yang mengenal dirinya,  akan kenal pada TuhanNya.  Inilah kesan kasih sayang Allah.  Adam diciptakan "menurut bentuk yang penyayang"  bukan  "menurut bentuk Allah".  Oleh itu Hadirat Allah itu bukanlah sama dengan Hadirat Yang Penyayang,  bukan sama dengan hadirat Kesultanan, bukan sama dengan hadirat Ketuanan.  Kerana itulah Allah memerintahkan kita supaya memohon perlindungan dari tuan manusia,  ruh manusia,  tuhan manusia - (Al-Quran).   Jika tanggapan ini tidak dapat membawa pengertian bahawa "Allah menciptakan manusia menurut bayangan (bentuk) Yang Penyayang,  maka secara bahasanya (nahu) ayat itu tidaklah betul.  Tentulah dikatakan sahaja "menurut bayanganNya".  tetapi ayat itu menurut pendapat Imam Bukhari,  berbunyi  "menurut bayangan Yang Penyayang". 
Untuk membezakan antara Hadirat Kesultanan dan Hadirat Ketuanan(Rab),  itu memerlukan penerangan dan perbincangan yang sangat panjang.  kita tinggalkan dahulu perkara itu.  Cukuplah dengan contoh cara sombolik yang kita terangkan itu.  Sesungguhnya perbincangan tentang perkara tersebut tidaklah ada batas dan hadnya. 
Jika saudara tidak dapat menerima atau susah menerima kias atau perumpamaan tersebut,  maka senangkanlah hati saudara dengan ayat Al-Quran ini yang bermaksud; 
"Diturunkan dari langit itu hujan;  dan mengalir air hujan itu dalam lembah-lembah menurut keupayaan lembah-lembah itu". 
Dari ayat ini dapatlah ditafsirkan bahawa dimaksudkan dengan air itu ialah "ilmu pengetahuan" dan lembah-lembah itu ialah "hati-hati manusia". 

4.   Pengesahan benarnya tentang tanda zhohir dan nampak:  satu misalan 
 
________________________________________

Dari contoh perumpamaan dan cara itu,  janganlah saudara anggap pula saudara telah mendapat kebenaran dari saya untuk membolehkan saudara menyingkirkan bentuk zhohir yang nampak ini,  atau menyangka  telah batal apa yang zhohir itu.  Seolah-olah misalnya saya mengatakan Nabi Musa itu tidak memakai kasut,  tidak sebenarnya menerangkan perkataan "tanggalkan kasutmu".  Semoga Allah melindungi saudara daripada anggapan dan sangkaan yang salah dan silap itu. 
Hanya orang-orang bathiniah (kebatinan) sahaja yang membatalkan tanda-tanda zhohir itu.  Mereka memandang satu alam sahaja iaitu Alam Ghaib dan mereka tidak tahu perimbangan yang ada antara yang zhohir dengan yang batin.  Inilah segi atau aspek yang mereka tidak ambil tahu. 
Sebaliknya orang-orang yang membatalkan yang ghaib dan memandang yang zhohir sahaja adalah orang-orang Hasuwiyah (Kebendaan).  Dengan lain perkataan memujaradkan (abstrak) dan mengasingkan yang zhohir dari keseluruhannya ialah orang-orang kebendaan,  dan barangsiapa memujaradkan batin ialah orang kebatinan dan barangsiapa menyambung dan memperkaitkan yang ghaib dan yang zhohir itu,  maka dialah orang yang sempurna dan benar.  Kerana itulah Nabi Muhammad SAW.  pernah bersabda yang bermaksud; 
"Al-Qur'an itu mempunyai yang zhohir dan yang batin,  yang awal dan akhir". 
Saya terangkan bahawa Nabi Musa a.s.  benar-benar tahu dan mengerti tentang perintah  "tinggalkan kasutmu" itu yang membawa pengertian zhohir dan batin.  Beliau mematuhi perintah itu secara zhohir iaitu dengan menanggalkan kasutnya dan secara batinnya iaitu dengan menanggalkan dua alam tersebut (Alam Nyata dan alam Ghaib). 
Di sini saudara lihat ada perhubungan antara kedua-dua itu; 
• perkaitan perkataan zhohir dengan idea(tanggapan) batin, 
• perbezaan antara kedudukan yang benar dan yang salah, 
bolehlah kita huraikan seperti berikut; 
Seorang hamba mendengar sabda Nabi yang bermaksud; 
"Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada anjing (atau gambar)" 
Tetapi hamba itu terus juga memelihara anjing di rumah itu kerana katanya bahawa sabda Nabi itu bukanlah bermaksud yang lahir itu,  tetapi maksud sebenarnya ialah  "halau anjing kemarahan dari rumah hati kerena kemarahan itu menghalang ilmu yang datang dari cahaya kemalaikatan,  kerana marah itu adalah iblis hati". 
Seorang yang lain pula mematuhi perintah itu secara lahirnya(zhohirNya),  dan kemudian berkata;  "Anjing itu bukanlah sebab bentuk zhohirnya,  tetapi ialah sebab tanggapan anjing pada segi batinnya iaitu ganas dan cerobohnya.  Jika rumahku yang zhohir tempat badanku duduk lagi mesti dibersihkan dari anjing yang zhohir,  maka tentulah lebih lagi perlu dan pentingnya rumah hatiku iaitu iaitu tempat manusia ku sebenarnya dibersihkan dari sifat-sifat anjing,  dalam tanggapan keruhanian". 
Orang yang mematuhi kedua-duanya itu sekaligus,  maka itulah orang yang sempurna.  Maka  inilah apa yang dimaksudkan 
"Orang yang sempurna itu ialah orang yang tidak membiarkan cahaya ilmunya memadam cahaya ketaatan". 
Begitu juga dia tidak pernah dilihat membiarkan dirinya meninggalkan syariat,  meskipun kebatinannya telah cukup sempurna.  Orang yang meninggalkan syariat itu sebenarnya telah silap dan ini ada berlaku kepada beberapa orang yang menganggap dirinya Sufi yang mengatakan dibolehkan membuang syariat seperti menggulung tikar sahaja,  sehingga ada yang mengatakan sembahyang tidak perlu kepadanya lagi kerana ia sentiasa sembahyang dalam hatinya. 
Tetapi ini berlainan daripada kesesatan golongan orang-orang Abahiyah (orang-orang sesat yang dipengaruhi oleh pemikiran-meikiran kristian)  yang mempermain-mainkan kata falsafah seperti seseorang mengatakan;  "Allah tidak memerlukan kerja-kerja (amalan) kita".  dan dia tidak mahu langsung membuang marah dan nafsu ammarah yang ada padanya kerana pada kepercayaannya dia tidak diperintahkan untuk membuang marah dan nafsu yang engkar itu.  Sesungguhnya golongan yang akhir itu ialah yang paling jahil dan bodoh.  Tetapi bagi kesilapan golongan yang pertama itu,  ibarat kuda yang bagus yang terpelecok kakinya,  kesilapan orang-orang sufi yang telah diselewengkan oleh syaitan dari jalan yang lurus. 
Kita kembali semula kepada perbincangan kita berkenaan "menanggalkan kasut" itu.  Perkataan zohir itu menyedarkan maksud batinnya iaitu menanggalkan duaan alam.  Simbol yang zhohir itu ialah benda benda sebenarnya dan pemakaiannya kepada maksudnya yang batin itu ialah hakikatnya.  Mereka yang mengenal ini adalah jiwa-jiwa yang telah mencapai peringkat kaca lutsinar (kaca yang boleh tembus pandangan ke sebalik atau tembus sinaran cahaya).   Kita akan kaji maksud ini sekarang. 
Pada khayalan atau sangkaan (imaginasi),  benda yang zhohir yang menjadi bentuk simbol itu,  adalah keras dan kasar.  Ia melindungi maksud batinnya.  Ia terselit antara kita dengan cahaya yang tidak nampak itu.  Tetapi apabila benda kasar itu menjadi kaca lutsinar,  maka cahaya itu akan terus menerus tembus ke sebaliknya bahkan cahaya itu tidak terpadam oleh hembusan angin.  akan kita ceritakan tentang kaca lutsinar ini.  Sementara itu,  ingatlah bahawa alam rendah dan kasar pada pandangan Ambiya Allah,  telah menjadi seperti naungan "KACA" lutsinar,  dan "Misykaat (ceruk) cahaya"; 
• penapis yang menapis keluar dengan terang rahsia-rahsia Ketuhanan; 
• batu locatan menuju Alam Tinggi. 
Maka tahulah kita bahawa simbol yang zhohir ini adalah benar dan ada;  dan dibelakngnya terletak rahsia.  Ini pun serupalah boleh dipakai kepada simbol-simbol "Gunong",  "Api" dan lain-lain itu. 
  

5.  Satu lagi contoh dua segi atau pengesahan yang sama berkenaan zhohir dan batin ini. 
 
________________________________________

Apabila Nabi SAW. bersabda; 
"Saya lihat Abdul Rahman masuk syurga merangkak" 
maka janganlah saudara anggap Nabi SAW.   tidak melihat dengan matanya sendiri.  Sebenarnya Nabi SAw.  melihat perkara itu dalam jaganya,  seperti orang yang bermimpi melihat dalam mimpinya,  meskipun orang yang bernama Abdul Rahman bin Auf pada masa itu sedang tidur di rumahnya.  Kesan tidur yang hanya ada di sini dan pandangan-pandangan (batin) yang seumpamanya ialah; ianya  menyekat kuasa deria ke atas ruh;  yang mana adalah Cahaya Ketuhanan yang batin.  Ini adalah  kerana 
• deria telah terlebih dahulu menguasai ruh, 
• menarik kembali ke alam deria,  dan 
• memalingkan muka manusia jauh dari Alam Ghaib dan Alam Tinggi itu. 
Tetapi dengan menyekat deria itu,  setengah daripada cahaya Kenabian boleh menjadi terang dan tetap hingga deria tidak lagi menarik ruh itu kembali ke alamnya dan tidak juga menguasai seluruh perhatian mereka.  Oleh itulah mereka melihat dalam keadaan jaga apa yang dilihat oleh orang lain dalam mimpi. 
Tetapi jika ini telah mencapai kesempurnaan yang sebenarnya,  maka tidaklah terhad kepada melihat bentuk zhojir sahaja,  ianya melalui terus dari situ ke tanggapan batin;  maka terlihat oleh orang-orang itu bahawa; 
• iman sedang menarik jiwa atau ruh seorang Abdul Rahman bin Auf ke Alam Tinggi itu (di sebut "syurga") dan 
• harta kekayaan menarik ruh itu ke alam rendah iaitu dunia yang diduduki ini. 
Jika ruh itu lebih kuat terpengaruh oleh Alam Rendah,  maka perjalanan ruh itu menuju syurga akan terhalang.  Tetapi jika tarikan iman lebih kuat,  maka jiwa itu hanya mendapat kepayahan atau terhenti kadang-kadang dalam perjalanannya.  Mak perumpamaan (simbol) ini,  dalam alam deria ialah ibarat "merangkak" . 
Itulah rahsia-rahsia yang dinampakkan keluar dari belakang lutsinar hablur khayalan (imaginasi) itu.  Ini bukanlah terhad hanya kepada pandangan Nabi SAW.  terhadap Abdul Rahman itu sahaja,  meskipun dia sahaja yang beliau lihat pada masa itu. Pandangan ini membolehkan baginda membuat kesimpulan bahawa tiap-tiap orang yang kuat pandangan batinya dan teguh imannya,  tetapi harta-bendanya yang banyak menekan imannya,  hampir-hampir ia dipengaruhi oleh harta,  tetapi imannya masih kuat,  maka menanglah ia,  tetapi dalam keadaan merangkak-rangkak. 
Inilah simbol atau ibarat yang dipandang oleh Nabi SAW.  hingga baginda dapat membuat kesimpulan dari pandangan itu.  Contoh ini menerangkan kepada saudara bagaimana Nabi-nabi melihat benda-benda konkrit dan dapat terus memandang idea-idea keruhanian di sebalik benda-benda itu. Selalunya idea atau tanggapan itu dibawa terus kepada pandangan batin dahulu dan kemudian dari situ melihat kepada ruh khayalan dan menerima cop atau bekas benda konkrit yang dikiaskan oleh idea itu.  Apa yang diberikan oleh ilham dalam pandangan waktu tidur atau mimpi perlu ditafsir atau dita'birkan. . 

B.  Kaji Jiwa atau Ruh Manusia:  Lima kebolehan jiwa. 
 
________________________________________

Dengan tahunya kita berkenaan peringkat-peringkat ruh atau jiwa manusia yang bersinar itu,  maka dapatlah kita tahu pula perumpamaan atau kias yang dikemukakan oleh ayat An-Nur dalam Al-Qur'an itu. 
Yang pertama. Ruh (jiwa) deria (pancaindera). 
Ini ialah penerima maklumat yang dibawa oleh deria.  Inilah akar atau asal jiwa binatang dan menegakkan sifat-sifat jenis binatang.  Ruh ini ada juga pada bayi yang masih kecil. 
  
Yang Kedua. Jiwa khayalan. 
Ini ialah perakam maklumat yang dibawa oleh deria.  Disimpannya maklumat itu dan disediakan untuk dikemukakan kepada Jiwa atau Ruh Akal di peringkat atasnya,  apabila maklumat itu dikehendaki.  Jiwa ini tidak ada pada bayi pada permulaan pertumbuhannya(evolosi).  Inilah sebabnya seseorang bayi itu hendak/akan memegang sesuatu benda apabila dilihatnya,  dan ia akan lupa kepada benda itu apabila ianya hilang daripada pandangannya.  Tidak ada pertelingkahan (konflik) kehendak timbul dalam jiwa atau ruhnya kepada benda yang tidak ada pada pandangannya,  hinggalah ia meningkat umur sedikit.  Maka di kala itu mulalah ia menangis hendakkan sesuatu benda yang dipegang itu kerana bayangan benda itu ada padanya,  tersimpan dalam khayalannya.  Kebolehan ini ada pada setengah-setengah binatang,  tetapi bukan semua binatang.  Misalnya kelkatu yang membakar dirinya dalam api.  Kelkatu itu pergi menuju api kerana ia berkehendakkan cahaya matahari.  Di sangkanya api itu tingkap yang terbuka menuju cahaya matahari.  Maka terbanglah ia menuju api itu dan membakar dirinya.  Jika kelkatu itu terbang menuju tempat gelap,  ia akan berbalik terbang ke belakang semula berkali-kali.  Sekirannya ia ada jiwa yang dapat mengekalkan ingatan rasa sakit itu yang disampaikan oleh deria perasa,  maka tidaklah ia mahu kembali menuju api itu setelah ia dicederai oleh api tersebut.  Sebaliknya anjing,  setelah menerima pukulan sekali dengan kayu,  akan lari apabila sahaja ia melihat kayu. 
  
Yang Ketiga. Jiwa Akal. 
Ruh atau jiwa ini mengetahui idea-idea yang melebihi sempadan bidang deria dan khayalan.  Kebolehan ini hanya khusus ada pada manusia dan tidak ada pada binatang dan  anak-anak.  Benda-benda yang diketahui oleh deria ini  adalah kebenaran yang dipakai dengan menyeluruh dan pasti,  sebagaimana telah kita terangkan  dalam bahagian berkenaan cahaya akal yang mana itu lebih diutamakan daripada cahaya mata. 
  
Yang Keempat. Jiwa yang memikirkan dan membuat kesimpulan. 
Jiwa ini mengambil data-data dan butir-butir tentang bicara akal atau idea dan mengumpulkannya dan menyusunkannya sebagai pokok pemikiran dan diri situ diambilnya sesuatu maklumat.  Kemudian diambil pula dua kesumpulan dan dicampur lagi dan diambil kesimpulan yang baru dan begitulah seterusnya tanpa had batasan. 
  
Yang Kelima. Ruh Kenabian yang maha tinggi. 
Ruh ini ada pada Nabi-nabi dan beberapa orang Aulia Allah.  Dengan ruh ini,  perkara-perkara ghaib dalam Alam Tinggi sana dapat mereka lihat bersama dengan beberapa  pengetahuan langit dan bumi serta Ilmu Ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh Jiwa Akal dan Jiwa yang membuat kesimpulan itu.  Inilah yang dimaksudkan oleh ayat Al-Qur'an yang lebih kurang maksudnya; 
"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu dengan satu ruh dari Qudrat Kami;  Kamu tidak tahu Al-Kitab atau Al-Iman tetapi Kami jadikan ruh itu   satu cahaya yang dengannya Kami bimbing sesiapa yang Kami Kehendaki daripada hamba-hamba Kami.  Dan kamu sesungguhnya dibimbing pada jalan yang lurus". 
Oleh itu,  ingatlahwahai orang-orang yang hanya berhenti dan berpuashati dengan akal fikiran sahaja.  Tidakkah ada peringkat yang lebih tinggi lagi dari peringkat akal yang boleh melihat apa yang terlihat di dalam bidang akal?;  sebagaimana juga bidang akal itu lebih tinggi dari bidang deria dan dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh deria?.  Tidakkah ada yang lebih tinggi daripada akal itu?  Hati-hatilah jangan berhenti setakat itu sahaja dan menyangka sempurna. 
Perhatikan pula tentang kebolehan ilham yang didapati oleh penyair atau penyajak.   Jika saudara hendakkan  contoh daripada pengalaman harian yang  biasa dapat dilihat,  ianya dapat diperhatikan dari  kurniaan khusus yang ada pada beberapa orang sahaja.  Kurniaan yang berharga ini adalah khusus  diberikan kepada mereka padahal orang lain tidak berpeluang mendapat kurniaan itu.  Bukankah luarbiasa kebolehan ilham yang ada pada beberapa orang hamba Allah hingga mereka dapat mengeluarkan muzik dan irama yang menggoncangkan jiwa;  menimbulkan perasaan,  suka,  duka,  sedih,  pilu,  geram,  memberansangkan dan sebagainya.  Kesan-kesan dari perasaan ini hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang dikurniai dengan kebolehan tersebut.  Orang yang tidak ada kebolehan ini hanya setakat mampu mendengar dan melihat sahaja.  Mereka tidak dapat mengalami dan merasai kesan perasaan itu.  Bahkan sekiranya semua ahli bijak pandai dalam dunia ini membuat satu persidangan dengan tujuan hendak membuat seseorang itu mengetahui dan memahami maksud rasa muzik itu,  nescaya mereka tidak akan berjaya berbuat demikian. 
Inilah satu contoh yang mudah saudara  faham.  Sekarang gunakanlah ini pula kepada perkara Kenabian dan berjuanglah dengan ikhlas untuk menjadi seorang daripada golongan mereka yang mengalami dan merasai sedikit ruh Kenabian itu.  Aulia Allah khususnya telah merasai     sebahagian besar daripada pengalaman keruhanian Kenabian ini.  Jika saudara tidak dapat mencapainya,  cubalah pula melalui disiplin perumpamaan dan ibarat yang dikemukakan di muka surat terdahulu  yang akan menjadi seorang daripada golongan mereka yang memahami perkara ini secara saintifik (secara ilmu pengetahuan). 
Jika ini pun saudara tidak berupaya,  maka cukuplah dengan hanya mempercayainya. ("Allah meninggikan darjat orang-orang yang percaya(beriman) di kalangan kamu,  dan mereka yang mendapat ilmu dengan beberapa  darjat")- Al-Qur'an. 
Ilmu saintifik itu berada di atas peringkat percaya dan pengetahuan mistik(pengalaman keruhanian) itu di atas peringkat ilmu tersebut  Bidang pengalaman keruhanian itu ialah "rasa".  Bidang ilmu ialah budi bicara akal.  Bidang kepercayaan itu ialah hanya menerima sahaja apa yang dipercayai dan dianuti oleh ibu-bapa dan nenek-moyang,  serta dengan sikap tidak syak wasangka terhadap dua kelas atau golongan di atas tadi. 
Sekarang tahulah saudara lima ruh atau jiwa manusia.  Kita teruskan sekarang perbincangan kita.  Semua itu adalah cahaya kerana melalui ruh-ruh itulah,  segala benda-benda yang wujud itu boleh terlihat;  termasuk perkara-perkara di dalam deria dan khayalan.  Meskipun binatang-binatang nampak benda-benda itu,  tetapi manusia mempunyai kebolehan yang lebih halus dan lebih tinggi kerana kebolehan-kebolehan itu dijadikan untuk manusia menggunakannya untuk tujuan yang lebih tinggi dan mulia yang berbeza daripada binatang.  Bagi binatang,  kebolehan memandang itu dijadikan sebagai alat untuk mencari makan dan untuk menundukkan mereka itu bagi manusia.  Tetapi bagi manusia,  kebolehan memandang tersebut adalah bertujuan untuk mempelajari dan mengkaji ilmu-ilmu keagamaan.  Misalnya seseorang ini mungkin memandang dengan deria lihatnya seseorang yang lain  dan akan memahami melalui akalnya,  idea yang menyeluruh dan mutlak sebagaimana kita lihat dalam contoh diberikan mengenai Abdullah bin Auf itu. 
  
Bersambung ke Bahagian Terakhir yang membicarakan tentang pemakaian kata Ayat An-Nur dan Hadi berkenaan Hijab

Bahagian ketiga
A.  Penerangan tentang perumpamaan ayat An-Nur. 
 
________________________________________

Sekarang kita sampai kepada maksud atau pengertian perumpamaan atau simbol yang dikemukakan oleh ayat An-Nur ini.  Penerangan penuh tentang 
• pasangan antara lima kelas ruh 
• dan lima perkara misykaat,  kaca, lampu, pohon (pokok) dan minyak. 
Ini sangatlah luas dan panjang.  Tetapi di sini cukuplah dengan penerangan ringkas yang menunjukkan cara (method) perumpamaan itu. 
Pertama 
Perhatikan "ruh deria";  cahayanya datang melalui beberapa saluran iaitu mata,  telinga,  hidung,  dan lain-lain.  Simbol yang paling wajar untuk ini,  dalam pengalaman kita ialah "Misykaat"(lampu di dinding. 
Kedua 
Perhatikan pula "ruh khayalan" :  Ia ada tiga sifat. 
Pertama,  ianya adalah daripada perkara yang terdiri daripada Alam Rendah yang kasar ini;  kerana objek-objeknya mempunyai; 
• saiz, 
• bentuk, 
• ukuran yang tertentu dan terhad dan ada perkaitan dengan subjek(perkara) itu dari jaraknya. 
• Selanjutnya satu daripada sifat-sifat perkara kasar ini ialah ialah legap (tidak lut oleh sinar) kepada cahaya akal.  Akal adalah melebihi dan melampaui arah,  kuantiti (banyak bilangan) dan jarak. 
Kedua,  jika perkara itu terang,  halus terdisplin dan terkawal,  maka ia akan mencapai persamaan dengan idea-idea akal dan akan tertembus oleh cahaya daripada mereka itu. 
Ketiga,  khayalan ini pada mulanya sangatlah perlu agar dapat dikawal oleh pengetahuan akal;  dan dengan ini pengetahuan tersebut; 
• tidaklah terganggu, 
• tidak terumbang-ambing dan 
• lari dari kawalan. 
Bayangan yang dibekal oleh khayalan itu memegang kemas pengetahuan yang dibekal oleh akal.  Dalam dunia pengalaman saharian yang nyata ini,  saudara akan dapati bahawa benda atau objek yang ada ketiga-tiga sifat ini jika dihubungkan dengan cahaya biasa ialah "KACA".   Ini adalah kerana kaca pun pada mulanya adalah legap,  tetapi telah dibersih dan dihalusi hingga menjadi lutsinar (tembus oleh cahaya) kepada cahaya lampu.  Kaca ini pula melindungi lampu itu daripada padam oleh hembusan angin atau goncangan yang kuat.  Maka "KACA"  inilah simbol yang paling sesuai bagi khayalan. 
  
Ketiga. 
Jiwa Akal.  Ini memberi kita faham tentang idea-idea Ketuhanan.  Tentang perumpamaan ini,  telah terang kepada saudara.  Saudara telah mengetahui dari penerangan kita dahulu berkenaan dengan tanggapan bahawa Nabi-nabi itu adalah "Lampu Yang Memberi Cahaya". 
  
Keempat. 
Jiwa (Ruh) yang memikir dan membuat kesimpulan.  Keadaannya bermula dengan satu pendapat atau proposisi,  kemudian tercabang dua,  setelah itu tercabang empat,  dan begitulah seterusnya hingga dengan proses pemecahan secara logik ini,  ia menjadi beratus-ratus dan beribu-ribu banyaknya.  Akhirnya membawa kepada satu kesimpulan dan kesimpulan-kesimpulan ini pula mengeluarkan lagi banyak kesimpulan,  dan begitulah seterusnya.  Oleh yang demikian,  ruh ini disimbolkan sebagai "POKOK"  kerana keadaan ini seumpama pokok di alam nyata ini.  Selanjutnya kita perhatikan bahawa hasil atau buah (jiwa)  jenis ini mengeluarkan banyak ilmu dan menetapkannya.  Maka sewajarnyalah ia tidak disimbolkan dengan pokok epal atau delima atau lain-lain pokok kecuali pokok zaiton. 
Buah zaiton itu ada mengeluarkan minyak yang digunakan untuk minyak lampu dan minyak ini berbeza dengan lain-lain minyak.  Minyak zaiton ini menambah sinaran lampu.  Jika orang memberi kata sifat adjektif  "berkat"  kepada pokok tersebut,  maka sudah tentu hasil yang didapati dari pokok itu diberi kata sifat adjektif berkat juga.  Akhirnya jika cabang-cabang proposisi atau idea akal bersih itu tidak tertakluk kepada arah dan jarak,  maka wajarlah digelar simbol pokok ini sebagai "tidak timur dan tidak barat". 
  
Kelima. 
Roh Kenabian Yang Maha Tinggi.  Roh atau jiwa yang terang benderang ini ada pada aulia-aulia dan ambia Allah.  Jiwa fikiran manusia terbahagi kepada dua jenis. 
• Satu daripadanya perlu dan wajar dinasihati dan dibekali dari luar untuk mendapat ilmu terus dan menerus. 
• Yang satu lagi tidak perlu bekalan ilmu dari luar;  cukup dari dalam,  seolah-olah bercahaya dengan sendiri. 
Sekarang teranglah kepada kita bahawa kebolehan (fakulti) tabie yang kuat dan terang ini dikatakan sebagai "minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api". 
• Ada Aulia yang mempunyai cahaya yang sangat terang hingga "hampir"   tidak memerlukan lagi apa yang dibekalkan oleh ambia sementara 
• ada pula yang mempunyai cahaya yang "hampir-hampir" tidak memerlukan lagi apa yang dibekali oleh malaikat. 
Inilah perumpamaan yang sewajarnya bagi perkara ini. 
Cahaya roh manusia itu berperingkat-peringkat. 
• Maka peringkat deria itu adalah peringkat awal dan persediaan untuk khayalan (kerana khayalan boleh dianggap sebagai mengikuti deria). 
• Selepas itu diikuti pula oleh akal. 
• Kemudian dituruti pula oleh jiwa yang memikir dan membuat kesimpulan. 
Semua itu menerangkan; 
• kenapa kaca itu dikatakan tempat letak lampu; 
• dan misykat itu tempat letak kaca. 
• Ini bererti lampu itu di dalam kaca dan kaca itu dalam misykat (ceruk). 
• Akhirnya, sebagaimana yang kita lihat adanya cahaya yang berperingkat-peringkat itu mentafsirkan kepada kita ayat yang bermaksud "cahaya atas cahaya" itu. 

Kesimpulan ayat berkenaan gelap. 
Perumpamaan atas simbol cahaya hanya untuk hati atau jiwa orang-orang yang beriman, atau Nabi-nabi dan wali-wali Allah sahaja.  Bukan untuk hati orang-orang kafir kerana istilah  "cahaya"  ini ialah khusus untuk orang-orang yang dipimpin di jalan yang lurus.  Sebaliknya, bagi orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar dan lurus, maka ia adalah palsu dan gelap.  Bahkan lebih gelap daripada yang gelap.  Kegelapan itu tidak membimbing seseorang itu ke mana-mana.  Fikiran orang-orang kafir itu dan seluruh pandangan mereka adalah sesat dan menyeleweng dan fikiran mereka itu saling sokong menyokong antara satu dengan lain untuk menipu dan menyesatkan tuan punyanya (iaitu orang-orang kafir).  Mereka itu ibarat orang yang berada "di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak.  Di atasnya awan gelap; gelap di atas gelap" (Al-Quran). 
"Laut yang sangat dalam" itu bermaksud dunia-dunia ini yang penuh dengan mara bahaya, kejahatan, dosa dan noda. 
"Ombak" yang pertama itu ialah ombak hawa nafsu yang dirinya jiwa itu mendapat sifat-sifat kebinatangan, dan dikuasai oleh keseronokan hawa nafsu angkara murka, dan memuaskan cita-cita keduniaan sahaja; lalu "Mereka makan dan berpoya-poya seperti lembu kerbau.  Nerakalah tempat kediaman mereka". - (Al-Quran).  Ombak itu diibaratkan sebagai kegelapan-kegelapan.  Oleh itu cinta kepada makhluk menjadikan jiwa itu buta dan pekak. 
"Ombak"  yang dilapisan kedua itu bermaksud sifat-sifat ganas yang mendorong jiwa itu bersikap 
• marah, 
• hasad dengki, 
• benci, 
• menentang diri sendiri, 
• sombong, 
• megah dan 
• bangga. 
Sungguh sesuai benarlah simbol gelap ini kerana marah itu adalah iblis akal manusia.  Dan sesuai juga simbol ombak yang di atas itu kerana marah itu kebanyakan lebih kuat daripada nafsu syahwat;  marah yang mendidih menyelewengkan jiwa dari nafsu angkara dan membuatnya lalai dengan keseronokan.  Hawa nafsu tidak dapat menentang marah yang bersangatan. 
"Awan gelap"  itu adalah kepercayaan yang bukan-bukan,  bidaah yang menyesatkan dan pemikiran yang rosak yang menjadi lapisan-lapisan hijab yang mendinding orang-orang kafir daripada mendapat iman,  ilmu yang hakiki dan sinaran dari cahaya Al-Quran dan akal yang bersih.  Telah menjadi lumrah,  awan itu melindungi sinaran cahaya matahari.  Oleh kerana semua perkara tersebut adalah menggelapkan,  maka sesuai benarlah ayat ini "Gelap di atas gelap"  (Al-Quran).  Ini adalah kerana perkara-perkara tersebut menutup jiwa daripada mendapat ilmu tentang perkara-perkara yang dekat;  apatah lagi yang jauh.  Ianya mendinding orang-orang kafir daripada mengetahui apa yang dibawa oleh Nabi,  meskipun mereka sangat hampir dan boleh dipandang.  Sesuai benarlah dikatakan "jika seseorang menghulurkan tangannya,  tidaklah kelihatan tangan itu"  (Al-Quran). 
Pendek kata seperti yang kita lihat,  jika semua cahaya-cahaya ini berpunca dan berasal dari Yang Maha Esa,  maka sewajarnyalah tiap-tiap orang yang mengakui dan beriman dengan kalimah tauhid mempercayai bahawa, 
"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran) 
Cukuplah dulu untuk memuaskan hati saudara tentang rahsia-rahsia dalam ayat tersebut (An-Nur). itu 
Ke tajuk seterusnya......B. Penerangan tentang perumpamaan berkenaan 70,000 hijab.. 
Apakah  maksud hadis ini,  "Allah mempunyai 70 000 hijab cahaya dan gelap;  sekiranya Dia membuka hijab itu,  maka Keagungan wajahNya nescaya  akan menelan tiap-tiap orang yang menelannya dengan pandangannya"  (Setengah mengatakan "70 000" hijab, dan ada pula yang mengatakan "700" hijab). 
Maka saya(Imam Ghazali) terangkan demikian.  Allah itu sendiri memang Agung dan Mulia.  Hijab atau tirai itu adalah berkaitan kepada mereka yang terdinding dengan Zat Yang Agung itu.  Ada tiga jenis hijab yang ada pada manusia iaitu; 
• Gelap sebenarnya, 
• Campuran gelap dengan cahaya, 
• Cahaya sebenarnya. 
Pecahan kepada ketiga-tiga jenis itu adalah banyak.  Setakat  itu sahaja yang dapat kita  petikkan.  Boleh juga dibanyakkan atau dibilang-bilangkan pecahan-pecahan ini kepada yang lain,  tetapi tidak berapa yakin dengan hasil bilangan dan penentuannya itu.  Tidak ada siapapun yang tahu sama ada ianya benar-benar boleh dipastikan atau tidak.  Perkara menentukan bilangan itu sebanyak "700" atau "70 000" adalah perkara yang hanya kuasa Kenabian sahaja yang boleh mengetahuinya.  Pada pendapat saya(Imam Ghazali) bilangan-bilangan ini bukanlah perkara yang tetap kerana selalu juga bilangan-bilangan disebut tanpa bermaksud untuk membatas atau menghadkan bilangan itu,  tetapi hanya bermaksud untuk menyebut "banyak"  sahaja.  Allah lebih mengetahuinya. 
Oleh itu perkara bilangan tersebut adalah di luar keupayaan kita untuk menentukannya.  Maka sekarang saya akan terangkan tiga bahagian atau pecahan yang utama dan beberapa pecahan-pecahan selanjutnya daripada tiga itu. 
1.  Mereka Yang Terhijab Oleh Yang Sebenarnya. 
Bahagian pertama ialah mereka yang terhijab atau terdinding oleh gelap yang sebenarnya.  Mereka ini ialah orang "Atheis" tidak percaya dengan Allah dan hari kemudian.  Inilah orang "yang kasih kepada kehidupan dunia ini lebih daripada kehidupan akhirat"- (Al-Quran);  kerana mereka tidak percaya dengan apa yang akan datang kemudian. 
Mereka ini pula terbahagi kepada beberapa pecahan. 
Pertama, mereka yang hendak mencari sebab terhadap kehidupan di dunia ini dan mereka jadikan Alam Tabie ini sebagai sebab.  Tetapi Alam Tabie ini ialah satu sifat yang ada pada benda-benda.  Ianya pula adalah gelap kerana ia; 
• tidak ada ilmu pengetahuan, 
• tidak ada pandangan, 
• tidak ada kesedaran terhadap diri sendiri, 
• tidak ada kesedaran terhadap yang lain, 
• tidak ada cahaya pandangan melalui perantaraan mata. 

Kedua,  mereka yang dipengaruhi oleh kepentingan diri sendiri dan tidak mahu mengetahui tujuan hidup ini.  Mereka hidup sebagai kehidupan binatang.  Hijab ini ialah diri mereka sendiri (self-centered ego) dan hawa nafsu gelap mereka itu.  Tidak ada gelap yang lebih gelap daripada penghambaan kepada dorongan diri sendiri dan cinta diri sendiri.  Firman Allah yang bermaksud; "Tidakkah engkau orang yang mempertuhankan diri?"-(Al-Quran); dan sabda Nabi Muhammmad SAW.; "Mempertuhankan yang lain dari Allah,  yang paling dibenci ialah mempertuhankan diri sendiri". 
Bahagian yang kedua ini boleh dibahagi-bahagikan lagi kepada beberapa pecahan. 
•  Satu daripadanya ialah manusia yang menganggap dan berkeyakinan bahawa matlamat atau tujuan akhir hidup di dunia ini ialah untuk memuaskan hawa nafsu kebinatangan mereka sahaja,  sama ada berkenaan dengan jantina(sex),  atau makan-minum atau pun pakaian.  Inilah hamba  nafsu.  Hawa nafsu itulah Tuhan mereka.  Mereka percaya bahawa dengan memuaskan nafsu itu,  mereka akan mendapat kebahagiaan.  Inilah manusia yang merendahkan martabat mereka lebih rendah daripada martabat binatang.  Adakah sesuatu yang lebih gelap daripada in????.  Inilah orang yang dihijab sebenarnya. 
•  Satu lagi ialah golongan manusia yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah menakluk dan menguasai,  seperti mengambil orang-orang tawanan, membunuh dan merampas.  Demikian itulah anggapan orang-orang Arab,  orang-orang Kurdi yang tertentu dan kebanyakan orang-orang yang jahil.  Hijab pada mereka ialah sifat-sifat ganas dan garang.  Sifat-sifat ini menguasai mereka.  Mereka berasa senang hati dengan sifat-sifat mereka itu.  Inilah orang-orang yang bersifat binatang.  Mereka merendahkan martabat kemanusian mereka itu lebih rendah lagi daripada binatang. 
•  Satu golongan  manusia ialah yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah kekayaan harta benda kerana kekayaan ini adalah alat untuk memuaskan   tiap-tiap nafsu syahwat mereka.  Mereka menghabiskan masa muda dan tenaga mereka dengan memperbanyakkan dan mengumpul harta kekayaan -wang ringgit,  emas dan perak,    tanah dan rumah yang indah,  gedung-gedung besar dan lain-lain lagi.  Mereka mengumpul dan menyimpan wang ringgit sebanyak-banyaknya.  Mereka bertungkus lumus siang dan malam di mana sahaja untuk memperbanyakkan harta dengan puas-puasnya.  Apa yang ada itu nampak sedikit dan mereka terus mencari lagi tanpa berhenti dan berpuas hati.  Inilah orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah "orang malang, hamba orang!!!, orang malang, hamba emas!!".  Adakah gelap yang lebih gelap daripada ini?"  Mereka telah dibutakan oleh emas dan perak.  Mereka tidak sedar bahawa emas dan perak itu adalah jenis logam yang tidak berguna jika semata-mata untuknya sahaja.  Logam yang tidak lebih daripada batu-batu atau logam lainnya.  Emas dan perak hanya bernilai jika ia dijadikan alat untuk mencapai tujuan-tujuan yang berfaedah dan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang berguna. 
•  Golongan keempat ialah yang lebih buruk lagi.  Mereka ialah manusia-manusia yang menganggap bahawa kebahagiaan itu ialah dengan mencapai kemasyhuran diri,  mencari "nama" dan memperluaskan pengaruh sampai ramai orang yang menjadi pengikutnya serta menyanjungnya.  Mereka sentiasa berlagak dan melihat bayangan dirinya dalam cermin.  Ada yang mencurahkan wang ringgitnya membeli pakaiannya yang indah-indah sampai bagus dipandang orang dan disaksikan kecantikkannya itu,  meskipun ia menderita kekurangan dan dapur tidak berasap di rumahnya. 
Banyak lagi jenis-jenisnya yang terhijab ini.  Semua mereka itu terhijab dari Allah dengan hijab yang paling gelap dan mereka sendiri pun gelap.  Cukuplah dengan beberapa jenis dan misalan yang saya beri itu.  Tidak perlulah diterangkan tiap-tiap semua jenis itu lagi.  Satu daripada jenis yang patut kita terangkan di sini ialah orang-orang yang  mengucap dengan lidah mereka kalimah "Syahadah" kerana disebabkan oleh ketakutan atau bertujuan untuk mengemis daripada orang-orang Islam atau untuk bermuka-muka dengan orang-orang Islam,  atau hendakkan pertolongan kewangan dari orang-orang Islam atau hendak menyokong pendapat nenek-moyang mereka secara fanatik. 
Jika kalimah syahadah itu tidak boleh merevolusikan atau mengubahkan perangai seseorang itu supaya berbuat amal kebaikan,  maka itu bererti mereka belum lagi keluar dari gelap dan masuk ke dalam lingkungan cahaya.  Begitu juga wali-wali iblis yang membawa mereka keluar dari cahaya masuk ke dalam lingkungan gelap.  Tetapi bagi orang yang telah dipengaruhi sebenar-benarnya kalimah itu dan ia beramal sholeh dan meninggalkan dosa maksiat, maka inilah orang keluar dari dalam gelap meskipun mungkin ia masih ada dosa. 

2.  Mereka yang dihijab oleh campuran cahaya dengan gelap 
 
________________________________________

Mereka ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu; 
• Pertamannya, orang yang gelapnya itu berpunca dari deria (pancaindera); 
• Kedua,  gelapnya berpunca dari khayalan; 
• Ketiga, gelapnya berpunca dari logik akal yang palsu. 
Pertama. Terhijab oleh gelap deria. 
Mereka ini ialah orang-orang yang telah melangkah sempadan mempertuhankan diri sendiri, yang mana itu adalah sifat orang-orang yang dalam golongan pertama yang telah tersebut dahulu kerana mereka mempertuhankan kepada sesuatu yang di luar diri mereka,  dan ada sedikit keinginan untuk mengetahui Tuhan. 
• Peringkat pertama terdiri daripada mereka yang menyembah berhala. 
• Peringkat akhir terdiri daripada mereka yang menduakan Tuhan. 
• Antara kedua-kedua peringkat tersebut, ada  peringkat-peringkat lain lagi. 
        Orang-orang dalam peringkat pertama (penyembah-penyembah berhala) itu sedar pada umumnya yang mereka ada tuhan dan tidak mempertuhankan diri mereka sendiri.  Mereka percaya bahawa Tuhan mereka itu lebih  besar dan lebih berkuasa dari apa-apa yang lain;  tetapi gelap deria menghijabkan mereka daripada pengetahuan bahawa;  mereka mestilah melampaui Alam Deria dalam perkara ini.  Oleh itu,  mereka ambil logam-logam yang bernilai seperti emas,  perak,  permata dan lain-lain untuk dijadikan patung-patung sebagai Tuhan.  Orang-orang ini terhijab oleh cahaya Kekayaan dan Keindahan dari sifat-sifat Allah dan CahayaNya.  Mereka lekatkan sifat-sifat ini(kaya dan indah) kepada benda-benda yang dilihat oleh deria;  yang mana deria itu telah menyekat cahaya Allah.  Ini adalah kerana deria itu adalah gelap dari segi Alam Keruhanian,  sebagaimana yang telah kita terangkan dahulu. 
        Kelas kedua ialah puak-puak bangsa Turki yang liar yang tidak mempunyai masyarakat keagamaan yang tersusun dan tidak ada undang-undang agama yang tertentu.  Mereka percaya bahawa mereka ada Tuhan dan tuhan itu ialah sesuatu benda yang jinak.  Jika mereka  berjumpa seorang manusia atau sepohon pokok atau seekor kuda dan lain-lain yang luar biasa cantiknya,  maka mereka akan menyembah benda itu dan dikatakan itu tuhan mereka.  Mereka ini terhijab oleh cahaya keindahan bercampur dengan gelap deria.  Mereka masuk lebih jauh daripada penyembah-penyembah berhala ke dalam cahaya,  kerana mereka adalah penyembah-penyembah Keindahan secara mutlak bukan kepada individu,  dan mereka tidak hadkan atau bataskan khusus kepada satu individu sahaja dan membuang yang lain.  Keindahan yang mereka sembah itu ialah keindahan Tabie ciptaan Tuhan,  dan bukan ciptaan mereka sendiri.  Inilah yang membezakan mereka dari golongan penyembah berhala. 
        Kelas atau golongan yang ketiga berkata; 
"Tuhan kami mestilah cahaya pada zatnya.  Ia maha mulia dan maha agung,  maha gagah dan tidak bertolak ansur;  tetapi ia mestilah boleh dilihat;  kerana jika tidak kelihatan tentulah tidak bererti apa-apa". 
Oleh kerana mereka dapati api itu ada sifat-sifat yang tersebut tadi,  maka mereka sangka api itulah tuhan dan mereka sembah api itu.  Mereka inilah orang-orang yang terhijab oleh Kekuasaan dan Kekuatan yang mana kedua itu adalah dua daripada cahaya Allah. 
        Kelas atau golongan yang keempat pula memikirkan iaitu oleh kerana api itu boleh dikawal,  boleh dinyala dan dipadamkan bila dikehendaki,  maka api itu bukanlah tuhan sebenar.  Tuhan adalah hanya apa yang mempunyai sifat kekuasaan dan kekuatan dan manusia ini berada di bawah kawalannya dan ia mestilah berada di tempat tinggi.  Orang-orang golongan ini mengagung-agungkan Ilmu Nujum(Astrologi).  Mereka berkata bintang-bintang itu ada pengaruhnya masing-masing terhadap manusia.  Oleh itu,  ada antara mereka yang menyembah bintang-bintang seperti Jupiter dan lain-lain.   Ada pula yang menyembah sekumpulan falaniah-falaniah menurut banyaknya pengaruh yang mereka percaya ada pada falaniah-falaniah itu.  Mereka ini pula terhijab oleh cahaya-cahaya yang suci,  yang terang,  dan yang kuat;  yang mana ketiga-tiga tersebut itu adalah cahaya Allah. 
        Golongan atau kelas yang kelima pula menyokong golongan keempat dan idea asas mereka itu tetapi orang-orang dalam kelas ini tidak setuju bahawa tuhan mereka itu boleh dikatakan kecil atau besar di kalangan benda-benda yang memberi cahaya itu.  Tentulah yang paling besar itu patut dipertuhankan.  Oleh yang demikian,  mereka menyembah matahari yang mereka anggap sebagai yang paling besar.  Orang-orang ini terhijab oleh cahaya kebesaran,  di samping cahaya-cahaya tadi;  tetapi mereka masih dibutakan oleh gelap deria. 
        Golongan keenam lebih maju selangkah lagi.  Mereka berkata;  Matahari itu bukanlah menguasai semua cahaya.  Lain-lain benda pun ada cahayanya.  Sebagai tuhan,  tentulah ianya tidak bersyarikat atau bersekutu dalam perkara cahaya ini.  Mereka pun menyembah cahaya mutlak,  yang meliputi semua cahaya dan mereka anggap inilah cahaya.  Tuhan ini mestilah mempunyai sifat-sifat yang terbaik dan tidak tercela.  Tetapi dalam Alam Wujud ini ada kejahatan-kejahatan.  Kejahatan-kejahatan ini tentulah bukan dari tuhan kerana tuhan itu tidak bersifat jahat dan keji.  Lalu mereka sangkakan ada satu perjuangan antara tuhan yang gelap dan kedua-dua ini mereka namakan "Yazdan" dan "Ahriiman".  Pada sangkaan saya(Imam Ghazali),  inilah orang-orang yang menduakan Tuhan. 
Cukuplah setakat ini contoh-contoh bahagian ini.  Kelas-kelas ini lebih banyak lagi dari yang saya sebutkan itu. 
Kedua,  orang yang terhijab oleh cahaya yang bercampur dengan gelap dari khayalan. 
Mereka ini melangkah dari sempadan deria kerana mereka sedar adanya sesuatu di sebalik objek-objek deria.  Tetapi golongan ini tidak dapat melangkah lebih dari sempadan khayalan.  Oleh itu,  mereka sembah sesuatu yang benar-benar duduk di atas kursi singgahsana. 
    Peringkat yang paling bawah daripada kelas ini ialah mereka yang memperbadankan Tuhan;  kemudian itu ialah golongan "Karramitah".  Tidak perlu kita bincangkan tulisan dan pendapat mereka itu di sini kerana tidak ada gunanya di sini. 
    Yang paling tinggi darjatnya dalam golongan itu ialah mereka yang menafikan Allah itu berbadan dan segala yang berkenaan dengannya, kecuali satu - iaitu arah(direction),  dan itu ialah arah ke atas.  Kata mereka itu,  apa yang tidak ada arah,  tidak di dalam atau di luar alam,  maka itu tidaklah wujudnya kerana tidak termasuk pada akal khayalan.  Malangnya mereka gagal memandang bahawa darjat pertama sebenarnya bagi budi bicara akal membawa kita bersih dan bebas dari semua rujukan apa sahaja, arah atau pun ukuran. 
Ketiga,  orang-orang yang terhijab oleh cahaya Ketuhanan yang bercampur dengan gelap logik akal yang palsu. 
Mereka ini menyembah tuhan "yang mendengar,  melihat, dan berilmu,  berkuasa,  berkehendak dan hidup",  dan melampaui semua arah termasuk arah ke atas.  Tetapi konsep mereka tentang sifat-sifat ini diserupakan dengan sifat-sifat mereka sendiri,  hingga ada mereka berpendapat bahawa perkataan (KALAM) Tuhan itu ialah berhuruf dan berbunyi,  seperti manusia juga.  Sementara yang lain pula lebih maju lagi ke depan.  Kata mereka;  "Sebenarnya seperti kalam fikiran kita,  iaitu tidak berbunyi dan tidak berhuruf".  Oleh itu,  apabila mereka dicabar untuk menunjukkan bahawa Allah itu benar-benar "mendengar,  melihat,  hidup dan lain-lain",  maka penjelasan mereka seolah-olah memperbadankan tuhan itu sebagai manusia,  meskipun mereka menafikannya. 
Ini adalah kerana mereka tidak dapat memahami apakah sebenarnya maksud idea-idea tentang Sifat Allah itu.  Mereka berkata bahawa berkenaan dengan Iradat  atau Kehendak Allah itu,  adalah ianya bergantung atau berkaitan,  seperti kehendak atau iradat manusia juga,  berkehendak kepada sesuatu dan bertujuan.  Semua pendapat-pendapat ini sudah terkena; dan termasyhur dan kita tidak perlu panjang-lebarkan bicara berkenaan hal ini.  Mereka ini terhijab oleh beberapa cahaya Ketuhanan dan bercampur dengan kegelapan logik akal palsu.  Semua yang tersebut itu adalah kelas-kelas bagi bahgian kedua yang terdiri daripada hijab gelap bercampur cahaya. 
Ulasan Suluk. 
Golongan yang terakhir yang disebutkan oleh Imam Ghazali di atas banyak terdapat dalam masyarakat kita akhir-akhir ini.  Walaupun mereka bertuhankan Allah dan mengakui kerasulan Nabi, namun mereka jahil dengan idea-idea yang berkaitan sifat-sifat Ketuhanan Yang Maha suci lagi Maha Sempurna.  Biasanya golongan yang tersasar ini adalah dari golongan mereka yang; 
• Hanya berpandukan kepada Al-Quran dan  Hadis semata-mata dengan menolak mazhab-mazhab atau pendangan Ulama-ulama yang Muktabar, 
• Hanya berpandukan kepada Al-Quran semata-mata; 
• Menafikan Kefarduan Mempelajari Ilmu Usuluddin atau Sifat Dua atau Ilmu Tauhid; 
• Hanya bertaklid kepada warisan keluarga(Islam Baqa) semata-mata. 
Berhati-hatilah anda terhadap golongan yang sesat lagi menyesatkan ini. 
"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran) 
Allahu-A'lam 

3.  Mereka yang terhijab oleh cahaya sebenarnya 
 
________________________________________

    Bahagian ketiga ini ialah mereka yang terhijab oleh cahaya sebenarnya.  Bahagian ini pun terbahagi kepada beberapa kelas atau golongan.  Saya tidak hendak menyatakan semuanya,  hanya cukuplah kepada tiga sahaja. 
Pertama 
Orang yang  telah mencari dan mencapai fahaman maksud sebenarnya tantang sifat-sifat Allah.  Mereka telah  mengetahui bahawa apabila sifat-sifat Allah itu dinamakan berkata-kata(KALAM), berkehendak(IRADAT),  Kuasa (QUDRAT), ILMU,    Hidup(HAYAT),  Pendengar(SAMA'),  Pelihat(BASHAR) dan  lain-lain lagi,  maka semua itu bukanlah serupa dengan sifat-sifat  manusia (Mukholafatul lil hawadis/bersalahan dengan sesuatu yang baru).  Ini menyebabkan mereka tidak menyifatkan Allah itu demikian.  Apabila hendak menceritakan tentang Allah,  mereka merujuk kepada makhluk sahaja,  seperti jawapan Nabi Musa a.s kepada Firaun;  apabila Firaun bertanya;  "Apakah Tuhan sekelian alam itu sebenarnya?".  Jawab Nabi Musa a.s. ;  "Tuhan Yang Maha Suci Yang Melebihi tanggapan sifat-sifat,  Dialah Penggerak dan Pemerintah sekelian langit". 
Kedua 
Kelas kedua dalam golongan ini lebih tinggi lagi daripada yang tersebut itu(kelas pertama).  Mereka nampak bahawa sekelian langit itu berbilang-bilang(banyak) dan penggerakkan bagi tiap-tiap beberapa langit itu ialah makhluk yang bernama malaikat.  Dan malaikat ini pula berbilang-bilang iaitu banyak.  Perhubungan malaikat-malaikat  ini dengan cahaya-cahaya Ketuhanan adalah ibarat perhubungan bintang-bintang dengan semua cahaya lain yang kelihatan.  Kemudian mereka lihat bahawa langit-langit itu diselubungi oleh satu lingkungan; dan dengan gerak lingkungan ini semua yang lain berputar sekali dalam masa 24 jam.  Akhirnya, ..... Tuhan itu ialah Dia Yang Memberi gerak kepada lingkungan yang paling luar itu;  dan lingkungan paling luar ini menyelubungi semua yang lain.  Maka dengan itu (kata mereka) Tuhan itu mestilah tidak berbilang-bilang. 
Ketiga 
Kelas yang ketiga lebih tinggi lagi dari itu.  Kata mereka bahawa perhubungan gerak langsung pada benda-benda langit itu mestilah satu  tindakan perhambaan kepada Tuhan Sekelian Alam;  tindakan penyembahan dan ketaatan kepada perintahNya dan dilakukan oleh satu daripada makhluk-makhluk iaitu malaikat.  Perhubungan malaikat  ini dengan cahaya-cahaya Ketuhanan  Maha Suci itu ialah ibarat perhubungan bulan dengan lain-lain cahaya yang nampak. 
Mereka mengatakan bahawa Tuhan itulah yang ditaati oleh malaikat ini.  Maka Allah Subhanahuwa Taala  itulah mesti dianggap sebagi penggerak secara perintah(amar) sahaja,   dan bukan secara langsung dengan lakuan.  Penjelasan tentang "perintah" yang manakah dan apakah sebenarnya,  maka perkara ini tidaklah jelas dan sangat susah hendak difahami oleh kebanyakan orang.  Di samping itu pula,  perkara ini tidak termasuk dalam pembicaraan kitab ini. 
Semua yang tersebut itu adalah peringkat-peringkat yang terhijab oleh cahaya-cahaya tanpa  bercampur dengan  gelap. 
"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran) 
Bersambung ke tajuk yang terakhir..........
Allahu-A'lam 

4.  Matlamat Yang Dicari. 
 
________________________________________

    Bagi mereka yang telah mencapai (Mengenal Allah dengan sebenarnya) akan mendapat yang keempat.  Kepada mereka diterangkan bahawa yang ditaati itu,  jika dikenalkan sebagai Allah,  tentu sekali disifatkan sebagai Yang Maha Esa dan Maha Sempurna.  Tujuan kitab ini bukanlah untuk menghuraikannya.  Antara yang ditaati ini dengan Wujud Hakiki itu ialah ibarat perkaitan matahari dengan dengan cahayanya atau sesuatu yang menyala dengan api;  dan dengan itu "memalingkan muka-muka mereka"  kepada  Dia Yang Menggerakkan langit  dan Dia Yang Mengeluarkan Perintahh(Amar) untuk gerak mereka,  dan mencapai satu Wujud yang melampaui semua yang dicapai oleh penglihatan mata atau kesedaran batin manusia.  Ini adalah kerana mereka dapati ianya melampaui dan berasingan dari setiap sifat yang kita sebutkan dulu. 
    Yang ini pun terbahagi kepada beberapa kelas.  Bagi satu kelas dalam golongan ini,  seluruh apa yang nampak habis lenyap,  hapus dan fana;  namun begitu jiwa (ruh) itu sendiri tetap bertafakur tentang Keindahan dan Kekudusan Mutlak itu dan merenung dirinya dalam keindahanNya,  yang dikurnia kepadanya kerana ia telah mencapai Hadirat Ilahi.  Pada mereka, benda-benda yang nampak ini {tetapi bukan ruh yang melihat itu},  fana dan hancur sirnanya. 
    Di atas peringkat tersebut ada lagi peringkat yang hanya dicapai oleh beberapa orang pilihan sahaja,  iaitu mereka yang hancur lebur dalam Keagungan Wajah Yang Maha Suci dan Kebesaran Tuhan Yang Maha Mulia.  Dan dengan ini mereka sendiri pun fana dan lenyap hilang.  Tidak ada lagi ruang bagi tafakur diri kerana tidak ada yang bersangkutan dengan diri.  Tidak ada lagi yang tinggal kecuali Allah.  Ruh akan mengalami firmanNya;  "Semuanya hancur musnah kecuali Wajahnya"-(Al-Quran). Berkenaan ini telah kita bincangkan dalam bab pertama dan telah diterangkan juga apakah maksud yang mereka gelarkan keadaan ini sebagai  "persamaan" dan bagaimana mereka memandang perkara ini. 
    Demikian penjelasan kita tentang kelas-kelas orang yang terhijab juga di antara mereka itu  dalam perjalanan.  Tidak perlu naik peringkat demi peringkat,  dalam peringkat-peringkat yang telah kita sebutkan dulu,  dan kenaikan mereka itu tidak pula mengambil masa yang panjang dan lanjut,  tetapi hanya dalam masa yang singkat sahaja mereka telah mencapai makrifat dan mengakui Kebesaran dan Keagungan Allah itu melebihi segala-galanya.  Mereka mencapai peringkat makrifat ini dengan pantas sekali.  Kedatangan "Tajalli"  Tuhan melimpahi mereka sehingga "Keagungan WajahNya telah menelan"  segala yang diketahui dengan penglihatan deria atau kesedaran akal. 
    Mungkin jalan pertama (berperingkat demi peringkat) itu adalah jalanya Nabi Ibrahim a.s. (KhalilulLah);  dan yang kedua (jalan pantas sekaligus) itu jalannya Nabi Muhamad SAW. (HabibulLah).  Allah sahaja Yang Maha Tahu rahsia kemajuan perjalanan mereka dan maqam-maqam (stesyen-stesyen)  mereka dalam perjalanan ini. 
    Demikian penjelasan kita tentang kelas-kelas orang-orang yang terhijab oleh hijab-hijab.  Tidaklah hairan sekiranya semua maqam ini diperjeniskan sepenuhnya dan dikaji sepenuhnya tentang hijab-hijab orang-orang dalam perjalanan ini.  Maka akan didapati bahawa bilangan kelas-kelas ini boleh sampai kepada 70 000.  Namun,  jika saudara lihat baik-baik,  saudara dapati semuanya termasuk dalam bahagian-bahagian yang saya(Imam Ghazali) terangkan itu.  Seperti yang kita lihat,  mereka mestilah terhijab; 
• oleh sifat-sifat keinsanan mereka sendiri, atau 
• oleh deria, 
• khayalan, 
• akal yang memikir dan membuat keputusan, atau 
• oleh cahaya yang sebenarnya. 
    Sekianlah sahaja yang dapat saya jawab pertanyaan saudara,  meskipun perkara ini datang kepada saya semasa fikiran saya berbelah bahagi dan sedang bertafakur,  dan perhatian saya menumpu keepada perkara yang lain daripada perkara ini.  Saya harapkan supaya saudara maafkan saya kerana mungkin pena saya tersilap atau kaki saya tergelincir,  kerana bukannya mudah untuk menceburkan diri ke dalam lautan rahsia-rahsia Ketuhanan yang tidak bertepi itu;  dan sukar,  amat sukar sekali hendak mengarang dan menceritakan tentang cahaya-cahaya Maha Tinggi yang terletak jauh di sebalik tabir. 
Wallahu a'lam
 
T            A            M            A        T 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar