Pahlawan Segala
Pahlawan: SAIDINA ALI
Apabila berbicara tentang dunia persilatan, tidak lengkap rasanya ilmu
pengetahuan seseorang pesilat sekiranya dia tidak mengetahui serba sedikit
tentang ‘penghulu’ kepada segala pendekar iaitu Imamul Muhtadin Saidina Ali
ibni Abi Talib Karamullahu Wajhah.
Ketokohan
Saidina Ali sebagai pendekar terunggul di dunia terbukti dalam Perang Uhud.
Sewaktu pasukan Islam terpukul hebat, beliaulah yang paling gigih
mempertahankan Rasulullah SAW hingga terdengar suara malaikat Jibril
berkata: “Tiada pedang selain Zulfiqar dan tiada pahlawan selain Ali.”
Rasanya tidak ada lagi mana-mana pesilat walaupun sehebat Dato’ Laksamana
Hang Tuah yang mendapat pengiktirafan daripada malaikat Jibril.
Pedang
Zulfiqar asalnya milik Rasulullah SAW yang kemudiannya digunakan oleh
Saidina Ali. Sebahagian ulama mengatakan bahawa pedang inilah Raja Segala
Besi. Selepas Saidina Ali dibunuh secara curi, pedang Zulfiqar ini turut
lenyap dan ada riwayat mengatakan yang ia akan muncul semula pada akhir
zaman. Wallahu alam.
Pengaruh
Saidina Ali dapat dilihat dalam silat-silat Melayu yang mendakwa aliran
mereka mempunyai permainan pedang Saidina Ali, jeritan muktamad Saidina
Ali, buah-buah penangkap Saidina Ali dan sebagainya. Memang sewajarnyalah
ada pihak-pihak tertentu yang membuat kajian tentang sejauh manakah
pengaruh menantu Rasulullah SAW ini dalam seni beladiri di nusantara.
Orang
Arab memang terkenal dengan syair. Orang pertama yang mendendangkan
syair tentang kasih-sayang kepada Nabi Muhammad ialah bapa Saidina Ali
sendiri iaitu Abu Talib, yang terkenal sebagai pembela Rasulullah SAW dalam
menghadapi kaum kafir Quraisy.
Sewaktu
isterinya (Fatimah) mengandungkan Saidina Ali, Rasulullah telah menyatakan
hasrat baginda untuk mengahwini anak dalam kandungan itu sekiranya
perempuan. Abu Talib bersetuju. Dia juga mencadangkan agar Rasulullah
sendiri mengasuh bayi itu hingga besar jika lelaki pula.
Setelah
cukup masanya, Fatimah pergi berdoa di hadapan Ka’abah. Tuhan menunjukkan
kemuliaan kepada anak itu apabila Saidina Ali sendiri dilahirkan di dalam
Ka’abah. Kelahiran dalam Ka’abah itu adalah yang pertama dan yang terakhir
dalam sejarah umat manusia.
Fatimah
menamakan bayi lelaki itu Haidarah, yang bermaksud singa. Rasulullah SAW
tiba selepas itu lalu menamakannya pula sebagai Ali. Ketika itu Rasulullah
berusia tiga puluh tahun.
Saidina
Ali mempunyai nama gelaran ‘Abu Turab’ yang diberi oleh Rasulullah
SAW bermaksud ‘Bapak Pasir/ Debu/ Tanah’. Gelaran ini diperolehi kerana
Rasulullah tersua Saidina Ali yang sedang berbaring di atas tanah di Masjid
Nabawi lalu terus dipanggil baginda, “Ya Abu Turab’. Kemudian Rasulullah
menyapu tanah yang melekat di punggung Saidina Ali.
Dalam
peristiwa lain, Saidina Ali pernah tidur di bawah sebatang pokok kerana
letih berperang. Dia baring di atas tanah tanpa beralaskan apa-apa.
Rasulullah kejutkannya dengan memanggil nama tersebut.
Sumber
lain mengatakan yang Saidina Ali jika merasa marah dengan isterinya (Fatimah-
anak Rasulullah), dia diam sahaja lalu membawa hati dengan pergi ke masjid
dan berbaring di atas tanah. Sekiranya Rasulullah melihat keadaan ini,
tahulah baginda yang Saidina Ali ada krisis dengan isterinya yang
memerlukan bantuan baginda.
Bagaimanakah
fizikal pendekar agung ini? Tubuhnya agak rendah dan gemuk (berisi). Kedua
bahunya lebar. Tangannya berurat. Dadanya lebar dengan perut yang agak
besar. Jari-jemarinya halus tetapi kuat. Bentuk sebegini bolehlah disamakan
dengan fizikal ahli angkat berat pada zaman ini.
Matanya
lebar, bundar, hitam dan sayu. Raut wajahnya menarik dan selalu tersenyum.
Berkulit sawo matang. Kepalanya culah. Ketika berjalan banyak condong ke
depan. Pergerakannya lincah dan tangkas.
Pernah
berkahwin dengan sembilan orang wanita dan dianugerahkan Allah lebih kurang
tiga puluh orang anak. Beberapa orang anak lelakinya gugur syahid dalam
pembunuhan zalim di medan Karbala.
Dikatakan Saidina Ali adalah orang pertama yang memeluk Islam. Rasulullah
diangkat sebagai Rasul pada hari Isnin dan Saidina Ali Islam keesokannya.
Namun ada juga pendapat mengatakan Siti Khadijah (isteri Nabi) yang memeluk
Islam terlebih dahulu. Memeluk Islam dalam umur lapan ke dua belas tahun.
Namun sebelum itu beliau tidak pernah menyembah berhala.
Dikenali
juga dengan nama ‘Qadhim’ di kalangan kafir Quraisy yang bermaksud Si
Tukang Gigit. Pemka-pemuka Quraisy yang segan untuk bertindak ke atas
Nabi Muhammad kerana Abu Talib masih hidup, telah menghasut agar anak-anak
kecil melontar batu kepada baginda. Sudah tentulah Abu Talib tidak dapat
menahan perlakuan budak-budak.
Namun
begitu Saidina Ali sentiasa melindungi Rasulullah. Dia akan mengejar
budak-budak tadi lalu menggigit telinga dan hidung mereka. Budak-budak itu
tidak berani melawan Saidina Ali kerana dia memang handal bergusti. Abu
Talib sering mengumpulkan anak-anaknya untuk bergusti sesama sendiri dan
Saidina Alilah juaranya.
Saidina
Ali boleh dikatakan orang yang paling mahir bahasa Arab sesudah Rasulullah
kesan asuhan baginda terhadapnya dari kecil hinggalah dewasa sedangkan
Rasulullah merupakan orang Arab yang terfasih.
Selain
seorang pendekar, Saidina Ali juga seorang yang pandai akal. (Ada pendapat
mengatakan perkataan ‘pendekar’ itu asalnya pandai akal/ pendek akal/
panjang akal. Jika benar akhir perkataan ‘pendekar’ itu ‘akal’, sudah
tentulah orang sebelah utara menyebut ‘pendekar’ dengan ‘pendekai’. Tetapi
mereka menyebut ‘pendekar’ sebagai ‘pendekaq’. Maksudnya, hujung perkatan
‘pendekar’ itu bukanlah ‘akal’ atau huruf ‘lam’ tetapi tetap huruf R atau
‘ra’ jawi membuatkan pendapat tersebut boleh diketepikan).
Kebijaksanaan beliau menjawab pertanyaan rumit secara terus dan lancar
ketika itu juga amat menakjubkan. Pernah diajukan masalah dua orang yang si
A mempunyai 5 keping roti sementara si B ada 3 keping. Kemudian datang si C
makan bersama-sama mereka. Setelah makan si C bayar 8 dirham. Bagaimanakah
pembahagian yang paling adil untuk A dan B?
Kalau
mengikut pertimbangan kita, sudah tentulah A mendapat 5 dirham dan B
3 dirham. Namun Saidina Ali tanpa menggunakan mesin kira terus menjawab
ketika itu juga bahawa A mendapat 7 dirham dan B pula hanya 1 dirham. Ternyata
inilah pembahagian yang paling adil (sila fikirkan sendiri).
Pernah
juga sewaktu berada di atas mimbar, orang bertanyakan jarak di antara Timur
dengan Barat. Melihat kepada keadaan ketika itu sudah tentulah soalan
tersebut bertujuan menguji beliau. Saidina Ali memberikan jawapan yang
sesuai dengan soalan berbentuk menguji itu: “Jarak antara Timur dengan
Barat adalah jarak perjalanan matahari dalam masa sehari.”
Ada juga
orang bertanyakan jarak pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Jawan
beliau: “Jaraknya ialah empat jari (iaitu jarak antara mata dengan
telinga). Yang hak itu dapat dilihat dengan mata dan yang batil itu
(biasanya) didengar oleh telinga.”
Saidina
Ali juga merupakan guru utama ilmu-ilmu fiqh. Ini dapat dibuktikan melalui
sanad berikut: Imam Ahmad (pengasas mazhab Hambali) belajar daripada Imam
Syafie yang belajar daripada Imam Malik (pengasas mazhab Maliki) yang
belajar daripada Rabi’ah yang belajar daripada Ikrimah yang belajar
daripada Ibnu Abbas yang belajar daripada Saidina Ali.
Begitu
juga dengan sanad ini: Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi) belajar
daripada Jaafar As Shadiq yang belajar daripada Muhammad Al Baqir yang
belajar daripada Zainul Abidin yang belajar daripada Saidina Ali.
Dengan
itu, kesemua Imam Mazhab yang empat sebenarnya mengambil ilmu daripada
Saidina Ali. Sudah semestinyalah seorang yang ingin memperjuangkan dunia
persilatan turut memahirkan diri dalam bidang keagamaan agar tidak tersalah
jalan di kemudian hari.
Ketika Saidina Umar dan para sahabat buntu fikiran memikirkan permulaan
taqwim Islam, mereka minta pendapat Saidina Ali. Terus dijawabnya dengan
lancar, “Tetapkan saja mulai hari hijrahnya Rasulullah SAW.” Itulah taqwim
yang kita gunakan hingga ke hari ini.
Saidina
Ali pernah berkata, “Seandainya semua orang Arab maju hendak menyerang aku,
aku tak akan lari.” Kata-kata ini adalah untuk menunjukkan keperibadiannya
yang sebenar, bukan bertujuan menunjuk-nunjuk. Begitu juga dengan katanya:
“Tidak ada orang yang selamat berduel denganku.”
Setiap
kali berduel (lawan pedang satu sama satu), beliau pasti akan menang. Tidak
ada satu rekod pun menunjukkan yang beliau kalah menjadikannya
‘undefeated’. Terbunuhnya Saidina Ali hanyalah secara pukul curi pada waktu
gelap.
Kekuatannya boleh dilihat dalam peristiwa beliau mencantas badan Ibnu Wudd
(pendekar Quraisy) hingga terputus dua dengan sekali hayunan pedang sahaja
sedangkan musuhnya ketika itu memakai baju zirah (besi).
Begitu juga
dengan Marhab (pendekar Yahudi) yang terbelah kepalanya terus ke rahang
sedangkan dia memakai topi besi dengan sekali hayunan pedang. Ini
membuatkan musuh-musuhnya begitu gentar kerana mereka tahu, dengan berbaju
zirah dan bertopi besi pun tidak akan selamat jika lawan mereka Saidina
Ali.
Marilah
kita renungkan bagaimanakah kentalnya semangat juang Saidina Ali apabila
beliau ditanya: “Apakah engkau tidak berhasrat untuk membeli seekor kuda
pacuan (yang akan digunakan dalam peperangan?.” Jawabnya: ‘Aku tidak
memerlukan kuda pacuan kerana aku tidak akan lari daripada menghadapi musuh
yang menyerang dan tidak akan menyerang musuh yang lari.”
Pada
zaman itu, pihak musuh akan merasa bangga sekiranya ada di kalangan ahli
keluarga mereka yang terbunuh di tangan Saidina Ali kerana ini menunjukkan
keberanian berhadapan dengan pendekar teragung Rasulullah SAW. Sebaliknya
wajah mereka akan berubah apabila mendapat tahu yang ahli keluarga mereka
terbunuh bukan di tangan beliau.
Bagaimanakah
Saidina Ali boleh menjadi begitu kuat? Sebenarnya kegagahan beliau wujud
sejak zaman bayi lagi. Apabila dibedung oleh ibunya, kain bedung akan
terbuka. Kemudian dibedung pula dengan dua helai kain, pun terbuka juga.
Akhirnya dia dibiarkan tidak berbedung.
Ketika berhijrah ke Madinah, Saidina Ali bersama dua orang lelaki
membawa serombongan wanita yang semuanya bernama Fatimah.Tiba-tiba muncul
lapan orang kafir Quraisy yang menunggang kuda. Hanya Saidina Ali saja yang
berani mencabut pedang berhadapan dengan mereka.
Salah
seorang musuh menyerang lalu ditetak oleh Saidina Ali terus terbelah
tubuhnya apabila pedang beliau tembus dari atas ke pelana kuda. Alangkah
hebatnya! Ini membuatkan ketujuh-tujuh musuh lagi bertempiaran lari bersama
kuda-kuda mereka.
Saidina
Ali sangat kuat beribadah. Di dahinya ada kulit yang tebal kehitam-hitaman
tanda beliau membanyakkan sujud kepada Allah SWT. Cucu beliau yang bernama
Zainal Abidin solat seratus rakaat sehari tetapi sering mengeluh kerana
belum lagi mencapai taraf ibadah datuknya.
Kata
Khalifah Umar bin Abdul Aziz, khalifah dari Dinasti Umaiyah juga Mujaddid
kurun pertama Hijrah: “Orang yang paling zuhud di dunia ialah Saidina Ali
bin Abi Talib.”
Menurut Ibnu Abbas, Saidina Ali mempunyai empat kelebihan:
1. Beliau adalah orang pertama yang solat dengan Rasulullah SAW
2. Sentiasa membawa panji Rasulullah dalam pelbagai peperangan
3. Orang yang paling banyak memberi perlindungan kepada Nabi dalam
peperangan
4. Beliau memandikan dan memasukkan sendiri jenazah Rasulullah ke dalam
lahad
Sebagai
seorang pendekar yang terhormat, beliau tidak bersifat pendendam. Sebelum
meninggal dunia, beliau berpesan supaya orang yang menikamnya dilayan
dengan baik dan diberikan pengadilan yang sewajarnya. Jangan ganggu
keluarga pembunuhnya.
Pernah
seorang khawarij (musuh Saidina Ali dan Muawiyah) datang bertanyakan
masalah syariat Islam kepada Ibnu Abbas. Dia mendapat jawapan yang sangat
memuaskan hati lalu berkata: “Sesungguhnya aku belum pernah terjumpa orang
yang lebih cerdas daripada engkau.” Jawab Ibnu Abbas: “Ya, tapi aku sendiri
belum pernah melihat orang yang lebih cerdas daripada Saidina Ali.” Orang
itu berlalu dengan muka yang masam.
Pernah juga
seorang perempuan mengadu kepada Saidina Umar kononnya dia dirogol oleh
seorang lelaki kacak dengan memberikan bukti air mani yang melekat di kain
dan pahanya. Saidina Umar minta pendapat Saidina Ali lalu Saidina Ali
menuangkan air panas kepada cairan tersebut. Cairan itu membeku dan
ternyata ia adalah putih telur. Perempuan itu dihukum kerana memfitnah.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadith baginda:
“ Barangsiapa (yang menganggap) aku ini pemimpinnya, maka Ali adalah
pemimpinnya (juga).”
(Turmizi, Nasa’i, Ahmad dan lain-lain)
Menurut
Imam Ahmad pula, Saidina Alilah satu-satunya sahabat yang paling banyak
keutamaannya disebut dalam hadith-hadith.
Saidina
Ali juga merupakan model ‘sunnah’ yang paling utama memandangkan beliau
tinggal bersama-sama Rasulullah SAW sejak kecil lagi.
Bukti
kegagahan dan kependekaran Saidina Ali terlalu banyak untuk diriwayatkan.
Di antaranya ialah beliau berjaya merempuh dan memecahkan pintu kubu Yahudi
Bani Khaibar seorang diri sedangkan terdapat dua puluh orang musuh yang
menahannya dari dalam. Lebih dahsyat lagi, sebelah pintu yang sebegitu
besar dan berat itu dibuatnya perisai tangan.
Sewaktu
pembukaan Kota Mekah, terdapat sebuah berhala yang besar di atas Ka’abah.
Saidina Ali berjaya menolaknya jatuh sedangkan sepuluh orang pejuang yang
berpadu tenaga gagal berbuat demikian sebelum itu.
Dalam
satu peperangan lain, sebuah mata air tertindih dengan batu yang sangat
berat. Tiada siap pun yang dapat mengalihkannya kecuali Saidina Ali.
Sewaktu
kanak-kanak, salah seorang rakannya telah terjatuh ke dalam lubang yang
dalam. Saidina Ali mengangkat rakannya itu dengan menghulurkan sebelah kaki
sahaja.
Dalam
Perang badar, tujuh puluh orang musuh berjaya dibunuh oleh tentera Islam.
Tiga puluh empat daripadanya maut di tangan Saidina Ali.
Dalam
Perang Uhud pula, beliau menewaskan dua belas orang musuh dalam
pertandingan satu sama satu sebelum peperangan bermula.
Dalam
Peperangan Khandaq, seorang pahlawan Quraisy yang termasyhur bernama Amru
Ibnu Abdi Wudd dengan niat mengejek melangkah parit seorang diri ke tempat
tentera Islam. Dia meminta duel. Tiada seorang pun tentera Muslimin yang
berani bersuara kerana mereka tahu betapa handalnya Ibnu Wudd.
Namun
begitu sikap Saidina Ali amat berlainan. Tiga kali Ibnu Wudd mencanangkan
duel tanpa jawapan tetapi setiap kali itulah pula Saidina Ali bergerak ke
hadapan untuk menyahut cabarannya. Cuma dia dihalang oleh Rasulullah
memandangkan Ibnu Wudd bukan calang-calang pendekar.
Setelah
mendesak beberapa kali Rasulullah pun mengizinkan beliau pergi dengan hati
yang berat. Sungguh di luar dugaan, Ibnu Wudd terputus dua badannya
walaupun mereka baru berbalas beberapa kali tetakan. Terus luntur semangat
musyrikin Quraisy.
Sungguhpun beliau pendekar segala pendekar, tetapi dia tidak membina
kekayaan sebagaimana pendekar moden hari ini. Saidina Ali tidak pernah
tinggal dalam rumah batu (sedangkan orang Arab lain biasa berumah batu).
Tidak pernah makan makanan yang lazat-lazat. Tidak pernah memakai pakaian
yang halus dan mahal, semuanya kasar-kasar belaka.
Dalam usaha
untuk menjadi seorang pejuang silat, ikutilah contoh kezuhudan, keberanian,
kealiman, kebijaksanaan, ketakwaan dan lain-lainya sbagaimana yang
ditunjukkan oleh Saidina Ali.
Akhirnya, kita menutup riwayat ringkas Saidina Ali r.a. ini dengan dua buah
cerita menarik. Cerita pertama disampaikan oleh seorang pakar tempur dari
Ipoh, Perak.
Tersebut
dalam sebuah kitab lama, kononnya Saidina Ali pernah bertanya kepada
Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, adakah lagi pahlawan yang lebih handal
bermain pedang daripada aku?” Jawab baginda: “Ya, ada”.
Saidina
Ali begitu terkejut dengan jawapan tersebut lalu meminta Rasulullah
menunjukkan pahlawan itu kepadanya agar dapat dia bertukar-tukar fikiran
dan menguji kehandalan masing-masing. Rasulullah meminta Saidina Ali pergi
saja ke suatu tempat terpencil keesokan harinya. Di sana dia akan menemui
pahlawan yang dikatakan itu.
Saidina
Ali pergi ke sana lalu terlihat seorang lelaki yang menutup wajahnya dengan
kain (bertopeng) sedang berlatih jurus-jurus pedang seorang diri. Saidina
Ali pun memperkenalkan dirinya dan menyatakan tujuan kedatangannya.
Pahlawan
itu tidak keberatan lalu mereka pun berbalas tetakan dan tikaman pedang.
Akhirnya Saidina Ali tewas. Saidina Ali akur bahawa memang ada lagi orang
yang lebih handal daripada dirinya.
Sebaik-baik sahaja topengnya dibuka, ternyata pahlawan tersebut ialah
Rasulullah SAW sendiri! Kisah ini bersesuaian sekali dengan riwayat para
sahabat yang mengatakan Saidina Alilah orang yang paling banyak melindungi
Rasulullah dalam peperangan. Namun begitu apabila keadaan terlalu mendesak,
beliau sendiri pula turut berlindung di belakang Rasulullah.
Cerita
kedua, yang saya yakin hanyalah mainan kata orang-orang tua dahulu kala
disampaikan oleh seorang ustaz di Trong, Perak. Kononnya, asal biji buah
gajus/ janggus/ jambu ketereh itu berada di luar buahnya adalah kerana
terkejut dengan pekikan muktamad Saidina Ali lalu terus tersembul keluar
sehinggalah ke hari ini. Wallahu alam.
(Rujukan utama: IMAMUL MUHTADIN oleh HMH AL HAMID AL HUSAINI)
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar