Total Tayangan Halaman

Jumat, 12 Mei 2017

Mukmin Adalah Saudara Mukmin


Al-Sadiq a.s berkata: Mukmin itu adalah saudara mukmin, bagaikan matanya dan petunjuknya. Dia tidak mengkhianati saudaranya dan tidak pula menghinanya. Beliau a.s. berkata: Mukmin mendatangkan berkat kepada mukmin. Beliau a.s. berkata: Mukmin yang mejemput dua orang mukmin ke rumahnya, lalu memberi makan kepada mereka berdua sehingga kenyang adalah lebih baik daripada memerdekakan seorang hamba. Seorang mukmin yang memberi pinjaman kepada seorang mukmin kerana Allah, maka Allah akan menghitungkan pahala untuknya seperti pahala bersedekah. Seseorang mukmin yang berjalan kerana keperluan saudaranya maka Allah menulis kebaikan pada setiap langkahnya serta menghapuskan kejahatan pada setiap langkahnya, lalu diangkat untuknya beberapa darjat dan ditambahkan kepadanya sepuluh kebaikan, kemudian diberi syafaat pada sepuluh keperluan (hajat). Mukmin yang berdoa kepada saudaranya supaya zahirnya perkara ghaib, maka Allah akan mewakilkannya seorang malaikat yang akan berkata: Anda adalah sepertinya. Seseorang mukmin yang menyelamatkan saudaranya daripada kesusahan, maka Allah akan menyelamatkannya daripada kesusahan di akhirat. Seseorang mukmin yang membantu mukmin yang dizalimi (mu'minan mazluman) adalah lebih baik daripada berpuasa sebulan dan beriktikaf di Masjid Haram. Seseorang mukmin yang membantu mukmin mengikut kemampuannya, maka Allah akan membantunya di dunia dan akhirat. Beliau a.s. berkata: Mukmin yang menghina saudaranya sedangkan beliau mampu membantunya, maka Allah akan menghinanya di dunia dan di akhirat .

Beliau a.s. berkata: Muslim adalah saudara muslim dan hak muslim ke atas saudaranya ialah janganlah dia merasa kenyang sedangkan saudaranya lapar. Janganlah dia minum sepuas-puasnya sedangkan saudaranya dahaga. Janganlah dia memiliki pakaian berlebihan sedangkan saudaranya bertelanjang. Alangkah besarnya hak muslim ke atas saudara yang muslim.

Beliau a.s. berkata: Cintailah saudara muslim sebagaimana anda mencintai diri anda sendiri. Apabila anda perlu, maka mintalah daripadanya. Apabila dia meminta daripada anda, maka berilah kepadanya. Jangan anda merasa jemu untuk melakukan kebaikan kepadanya begitulah sebaliknya. Jadilah anda seorang yang baik terhadapnya, jika dia tidak ada (ghaib), maka jagalah dia semasa ketiadaannya. Apabila dia pulang, maka ziarahilah dia dengan penuh penghormatan, kerana dia adalah daripada anda dan anda daripadanya. Jika anda mencelanya, maka janganlah anda berpisah daripadanya sehingga anda memohon maaf. Jika dia mendapat kebaikan, maka anda bersyukurlah kepada Allah. Jika dia ditimpa bencana, maka bantulah dia. Apabila seorang mukmin berkata kepada saudaranya uffin, maka terputuslah wilayah antara mereka berdua. Apabila berkata seseorang lelaki: Anda adalah musuh aku, maka salah seorang daripada mereka berdua menjadi kafir, jika dia menuduh saudaranya dengan sesuatu tuduhan, maka imannya mengecil sebagaimana mengecilnya garam apabila terkena air.

Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya mukmin akan terpancar cahayanya kepada penghuni langit sebagaimana terpancarnya bintang-bintang di langit kepada penghuni bumi. Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya mukmin adalah wali Allah. Dia membantu dan menolong saudaranya. Dia tidak berkata kepada saudaranya melainkan kebenaran dan dia tidak takut selain daripada-Nya .

Daripada Hamzah al-Thumali berkata: Sesiapa yang memberi makan seorang mukmin yang kelaparan, nescaya Allah akan memberi makan buah-buahan di syurga kepadanya. Sesiapa yang memberi minum seorang mukmin yang dahaga, maka Allah akan memberi minuman yang istimewa kepadanya. Sesiapa yang memberi pakaian kepada seorang mukmin, maka Allah akan memakaikannya dengan pakaian yang hijau. Di dalam hadis yang lain menyebutkan dia sentiasa di dalam jaminan Allah selama beliau melakukan sedemikian .

Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya apabila dua orang mukmin bertemu dan berjabat tangan, maka Allah berdepan dengan mereka berdua dengan muka-Nya (zat-Nya). Dosa hilang dari muka mereka berdua sehingga mereka berdua berpisah. Beliau a.s. juga berkata: Demi Allah! Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik dari menunaikan hak mukmin. Beliau a.s. berkata: Demi Allah! Sesungguhnya hak seseorang mukmin lebih besar daripada Ka'bah (Wa l-Lahi inna l-mu'min la-a'zamu haqqan mina l-ka'bah). Beliau a.s. berkata: Doa seseorang mukmin untuk mukmin dapat menghindari bala dan mendatangkan rezeki .


Tidak ada komentar:

Posting Komentar