Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Ali a.s. diberitahu tentang bai'ah Abu Bakr dan kesibukan menguruskan jenazah Rasulullah Saw.



Sulaim bin Qais berkata: Aku telah mendengar Salman al-Farisi berkata: Apabila Rasulullah Saw. wafat, orang ramai telah melakukan apa yang mereka lakukan. Abu Bakr, Umar dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah telah datang lalu mereka bertengkar dengan orang Ansar dengan hujah Ali a.s. Mereka berkata: Wahai kaum Ansar! Quraisy lebih berhak urusan khilafah daripada kalian kerana Rasulullah Saw. adalah daripada Quraisy.

Muhajirin adalah lebih baik daripada kalian kerana Allah telah memulia dan melebihkan mereka di dalam kitab-Nya. Rasulullah Saw. bersabda: Para imam itu adalah daripada Quraisy . Salman berkata: Aku telah mendatangi Ali a.s. yang sedang memandikan jenazah Rasulullah Saw. Rasulullah Saw. telah mewasiatkan kepada Ali a.s. supaya tidak akan memandikannya selain daripada Ali a.s.

Lalu Ali bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah yang telah mengambil berat tentangku dalam hal ini? Beliau menjawab: Jibra'il a.s., Ali a.s. tidak menghendaki satu anggota pun melainkan dibalikkan untuknya. Apabila beliau selesai menyempurnakannya, beliaupun memasukkan aku, kemudian Abu Dhar, al-Miqdad, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain a.s.

Ali a.s. tampil kehadapan dan kami berdiri di belakangnya lalu beliau melakukan solat ke atasnya. 'Aisyah berada di dalam bilik dan tidak mengetahui, Allah telah menghijab penglihatannya pada masa itu. Kemudian beliau telah memasukkan sepuluh orang Muhajirin dan sepuluh orang Ansar.

Mereka telah masuk, berdoa dan keluar sehingga tidak seorang pun tinggal daripada Muhajirin dan Ansar melainkan mereka telah melakukan solat ke atasnya. Salman berkata: Maka aku telah memberitahu Ali a.s. yang sedang memandikan Rasulullah Saw. tentang perlakuan mereka. Aku berkata: Abu Bakr sekarang berada di atas mimbar Masjid Rasulullah Saw., mereka tidak suka membai'ahnya dengan satu tangan tetapi telah membai'ahnya dengan dua tangan, kanan dan kiri.

Ali a.s. berkata: Wahai Salman! Adakah anda mengetahui siapakah orang yang pertama membai'ahnya di atas mimbar Masjid Rasulullah Saw.? Aku menjawab: Tidak. Tetapi aku telah melihatnya di Dataran Bani Sa'idah ketika pertelingkahan dengan kaum Ansar. Orang pertama membai'ahnya ialah al-Mughirah bin Syu'bah, kemudian Busyir bin Sa'id, kemudian Abu Ubaidah bin al-Jarrah, kemudian Umar bin al-Khattab, kemudian Salim maula Abu Hudhaifah dan Mu'adh bin Jabal. Ali a.s. berkata: Aku bukan bertanya anda tentang mereka tetapi adakah anda ketahui siapakah orang pertama membai'ahnya ketika dia menaiki mimbar Masjid? Aku menjawab: Tidak.

Tetapi aku telah melihat seorang tua (syaikh kabir) berpegang pada tongkatnya dan di antara dua matanya terdapat kesan sujud. Orang pertama menaiki mimbar dalam keadaan menangis sambil berkata: Segala puji bagi Allah yang tidak mematikan aku sehingga aku melihat anda di tempat ini. Justeru itu, hulurkan tangan anda, maka Abu Bakrpun menghulurkan tangannya lalu dia membai'ahnya. Kemudian dia berkata: Hari ini seperti hari Adam. Kemudian diapun turun dan keluar dari Masjid. Maka Ali a.s. berkata: Wahai Salman! Adakah anda tahu siapakah orang itu? Aku menjawab: Tidak, tetapi kata-katanya membuatku berasa cemas seolah-olah dia telah meramal akan kematian Rasulullah Saw. Ali a.s. berkata: Itu adalah Iblis.

Rasulullah Saw. telah memberitahuku bahawa Iblis dan para sahabatnya telah menyaksikan perlantikanku oleh Rasulullah Saw. di Hari Ghadir Khum dengan perintah Allah dan telah memberitahu mereka bahawa aku adalah lebih aula daripada diri mereka sendiri dan memerintahkan mereka supaya orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir.

Lantas Iblis berkata kepada para sahabatnya: Ini adalah umat yang dirahmati dan terpelihara (ma'sumah). Maka tidak ada jalan bagi anda dan kita semua. Mereka telah diberitahu tentang jalan keluar mereka dan imam mereka selepas Nabi mereka. Lantas Iblis beredar dari tempat itu (Ghadir Khum) dalam keadaan berdukacita.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar