Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Kewafatan Rasulullah Saw. dan sabdanya bahawa Ahl Baitnya adalah sebaik-baik makhluk yang dipilih Allah



Sulaim berkata: Aku telah mendengar Salman al-Farisi berkata: Aku duduk di hadapan Rasulullah Saw. ketika sakit yang membawa kepada kewafatannya, lalu Fatimah a.s. datang. Manakala beliau melihat keadaan Rasulullah Saw., beliau menjadi terharu sehingga berlinang airmatanya di atas kedua pipinya.

Lantas Rasulullah Saw. bersabda kepadanya: Wahai anak perempuanku! Apakah yang telah membuat anda menangis? Beliau menjawab: Aku takut ke atas diriku dan anak-anakku akan kehilangan tempat bergantung selepas anda. Rasulullah Saw. menjawab dalam keadaan airmatanya berlinangan: Wahai Fatimah! Tidakkah anda mengetahui sesungguhnya kami Ahl al-Bait, Allah telah memilih untuk kami Akhirat ke atas Dunia, sesungguhnya kebinasaan ke atas semua makhluk-Nya adalah suatu kepastian.

Sesungguhnya Allah Ta'ala telah merenung ke Bumi, lalu Dia memilihku di kalangan mereka dan menjadikan aku seorang Nabi. Kemudian Dia merenung ke Bumi kali kedua, lalu Dia telah memilih suami anda dan Dia telah memerintahkanku supaya menikahkan anda dengannya. Dia telah memerintahkanku mengambilnya sebagai saudara, wazir, wasi dan menjadikanya khalifahku pada umatku. Justeru itu, bapa anda adalah sebaik-baik Nabi Allah dan Rasul-Nya. Sementara suami anda adalah sebaik-baik wasi dan wazir .

Dan anda adalah orang pertama yang akan mengikutiku (wafat) di kalangan keluargaku. Kemudian. Dia telah merenung ke Bumi kali ketiga, lalu Dia memilih anda dan sebelas lelaki daripada anak cucu anda dan suami anda . Lantaran itu, anda adalah penghulu wanita Syurga. Sementara dua anak lelaki anda adalah penghulu pemuda Syurga. Aku, saudaraku dan sebelas para imam dan para wasiku sehingga Hari Kiamat semuanya menjadi pembimbing dan mendapat petunjuk. Wasi pertama selepas saudaraku, adalah al-Hasan kemudian al-Husain, kemudian sembilan daripada anak anak al-Husain berada dalam satu martabat di Syurga .

Tidak ada martabat yang paling dekat kepada Allah selain daripada martabatku. Kemudian martabat Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Tidakkah anda mengetahui wahai anak perempuanku! adalah suatu penghormatan Allah kepada anda bahawa Dia telah mengahwinkan anda dengan orang yang paling baik daripada umatku dan sebaik-baik keluargaku, orang pertama memeluk Islam, mempunyai sopan-santun yang tinggi, ilmu yang banyak, jiwa yang paling tinggi, paling benar dalam percakapan, mempunyai hati yang paling berani, paling pemurah, paling zuhud di dunia dan paling kuat berjuang dengan segala tenaga untuk Islam.

Lantas Fatimah a.s. tersenyum gembira mendengar apa yang disabdakannya. Kemudian Rasulullah Saw. bersabda kepadanya: Sesungguhnya Ali mempunyai lapan keistimewaan dan kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Imannya dengan Allah dan Rasul-Nya mendahului orang lain. Keilmuannya dengan Kitab Allah dan Sunnahku di mana tidak ada seorang pun daripada umatku mengetahui semua keilmuanku selain daripada suami anda (laisa ahadun min ummati ya'lamu jami'a 'ilmi ghaira ba'li-ki), kerana Allah telah mengajariku keilmuan yang tidak diketahui oleh sesiapapun selain daripadaku. Dia telah mengajari para Malaikat dan para Rasul-Nya keilmuan , maka aku mengetahuinya .

Allah telah memerintahkanku supaya mengajarkan keilmuan tersebut kepada Ali (a.s.), maka aku melakukanya (amarani llahu an u'allima-hu iyya-hu fafa'altu). Lantaran itu, tidak ada seorang pun daripada umatku mengetahui keseluruhan keilmuanku, kefahamanku, kefakihanku selain daripadanya (laisa ahadun min ummati ya'lamu jami'a 'ilmi wa fahmi wa fiqhi kulla-hu ghaira-hu). Anda, wahai anak perempuanku! adalah isterinya. Sesungguhnya kedua-dua anak lelakiku al-Hasan dan al-Husain adalah anak lelaki umat ini .

Aku telah memerintahkannya melakukan perkara yang baik dan melarang perkara yang mungkar. Sesungguhnya Allah telah mengajarnya hikmah dan kepakaran dalam percakapan. Wahai anak perempuanku! sesungguhnya Allah menganugerahkan kami Ahl al-Bait dengan tujuh sifat di mana Dia tidak pernah menganugerahkannya kepada orang terdahulu dan terkemudian selain daripada kami. Aku adalah penghulu para nabi dan para rasul dan sebaik-baik mereka. Wasiku adalah sebaik-baik wasi. Wazirku adalah suami anda. Syahid kami adalah sebaik-baik syahid.

Fatimah berkata: Wahai Rasulullah! Adakah penghulu para syuhada' yang berperang bersama anda? Beliau menjawab: Tidak. Malah penghulu syuhada' daripada orang terdahulu dan terakhir selain para nabi dan para wasi. Ja'far bin Abu Talib yang telah berhijrah dua kali, mempunyai dua sayap dan terbang dengan dua sayapnya di Syurga bersama para Malaikat. Dua anak lelaki anda al-Hasan dan al-Husain adalah anak lelaki umatku dan penghulu pemuda Syurga. Dan daripada kamilah Mahdi umat ini yang mana Allah akan memenuhi Bumi ini dengan kesaksamaan dan keadilan sebagaimana ia dipenuhi dengan kezaliman dan penyiksaan.

Lalu Fatimah berkata lagi: Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang lebih baik anda sebutkan tadi? Beliau menjawab: Saudaraku Ali adalah orang yang paling baik di kalangan umatku, Hamzah dan Ja'far adalah umatku yang paling baik selepas Ali, anda, selepas dua anak lelakiku al-Hasan dan al-Husain dan selepas para wasi daripada anak lelakiku ini (Rasulullah Saw. telah memberi isyarat kepada al-Husain).

Di kalangan mereka adalah al-Mahdi dan orang yang datang sebelumnya lebih baik daripadanya. Dan yang pertama adalah lebih baik dari yang terakhir kerana beliau adalah imamnya sementara yang akhir adalah wasi pertama. Allah telah memilih untuk kami Ahl al-Bait, Akhirat ke atas Dunia. Kemudian Rasulullah Saw. melihat kepada Fatimah, suaminya dan dua anak lelakinya. Maka Rasulullah bersabda: Wahai Salman! Aku memerangi orang yang memerangi mereka dan berdamai dengan orang yang berdamai dengan mereka. Mereka akan bersamaku di Syurga.

Kemudian Rasulullah Saw. telah memandang kepada Ali a.s. dan bersabda: Wahai Ali! Anda akan menghadapi kecaman Quraisy dan kezaliman mereka ke atas anda. Jika anda mendapati pembantu-pembantu, maka tentangilah mereka. Perangilah mereka yang menentang anda dengan mereka yang bersetuju dengan anda.

Dan jika anda tidak mendapati pembantu-pembantu, maka bersabarlah, tahanlah tangan anda dan jangan mencampakkan diri anda kepada kebinasaan kerana anda bersamaku sebagaimana kedudukan Harun dengan Musa. Malah untuk anda, Harun adalah ikutan yang baik kerana dia berkata kepada saudaranya: Sesungguhnya kaumku telah menindasku dan hampir mereka membunuhku.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar