Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Pengesahan akan kebenaran Kitab Sulaim oleh Ali bin al-Husain a.s

.

Abban berkata: Aku telah mengerjakan haji pada tahun itu juga. Aku mengambil kesempatan berjumpa dengan Ali bin al Husain a.s. dan bersama beliau ialah Abu Tufail Amir ibn Wa'ilah, sahabat Rasulullah Saw. Beliau daripada kalangan sahabat Ali yang terpilih, bersamanya ialah Umar bin Ummi Salamah isteri Rasulullah Saw., aku telah membentangkan Kitab Sulaim kepadanya dan Ali bin al Husain a.s. pada setiap hari selama tiga hari.

Umar dan Amir telah membacakanya kepada Ali bin al Husain. Beliau berkata: Benar apa yang dikatakan Sulaim rahmatullahi'alaihi. Ini adalah hadis kami, kesemuanya kami ketahui.

Abu Tufail dan Umar bin Abu Salamah berkata: Semua hadis tersebut kami telah mendengar daripada Ali salawatullahi 'alaihi, Salman al-Farisi, Abu Dhar dan al-Miqdad. Aku berkata kepada Abu al-Hasan Ali bin al-Husain a.s. (aku jadikan diriku sebagai tebusan): Ia merisaukan aku kerana kandungannya menunjukkan kebinasaan semua umat Muhammad yang terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Tabi'in selain daripada Ahl Bait anda dan Syi'ah anda?

Beliau menjawab: Wahai saudara Abd al Qais! Tidakkah sampai kepada anda hadis Rasulullah Saw. bahawa beliau bersabda: "Umpama Ahl Baitku pada umatku sepertilah bahtera Nuh pada kaumnya. Sesiapa yang menaikinya akan berjaya dan sesiapa yang tidak menaikinya akan tenggelam (binasa) , atau umpama Pintu Taubat pada Bani Israil?" Aku menjawab: Ya.

Beliau bertanya kepadaku: Siapakah yang telah memberitahu anda? Maka aku menjawab: Aku telah mendengarnya daripada lebih seratus Fuqaha'. Beliau bertanya lagi: Daripada siapa? Aku menjawab: Aku telah mendengarnya daripada Hunsy bin al Mu'tamar. Beliau memberitahu bahawa beliau mendengarnya daripada Abu Dhar ketika beliau sedang berpegang pada Ka'bah dan meriwayatkan apa yang didengarinya daripada Rasulullah Saw. Beliau bertanya lagi: Daripada siapa lagi?

Aku menjawab: Daripada al-Hasan bin Abu al Hasan al-Basri dan beliau telah mendengarnya daripada Abu Dhar, al-Miqdad bin al Aswad dan daripada Ali bin Abu Talib salawatullahi 'alaihi. Beliau bertanya lagi: Daripada siapa? Aku menjawab: Daripada Sa'id bin al-Musayyab, Alqamah bin Qais, Abu Zabyan al-Janbi dan Abd al-Rahman bin Abu Laila. Semuanya menyatakan bahawa mereka telah mendengarnya daripada Abu Dhar.

Dan kami telah mendengarnya daripada Ali a.s., al-Miqdad dan Salman. Kemudian Umar bin Abu Salamah datang dan berkata: Demi Allah! aku telah mendengarnya daripada orang yang lebih baik daripada mereka semua. Aku telah mendengarnya daripada Rasulullah Saw, dua telingaku telah mendengarnya dan hatiku telah menjaganya. Ali bin al-Husain berkata: Tidakah hadis ini dapat menenangkan apa yang menakut dan merisaukan anda? Bertakwalah kepada Allah wahai saudara Abd al-Qais! Jika ia jelas kepada anda, maka terimalah dan jika tidak, berdiam diri lebih selamat. Kembalikan keilmuannya kepada Allah kerana anda masih mempunyai ruang yang luas antara langit dan bumi.

Abban berkata: Dewasa itu aku telah mengemukakan pertanyaan kepadanya apa yang aku tidak tahu dan apa yang tidak sepatutnya aku tahu. Maka beliau menjawab kesemua pertanyaanku.

Abban berkata: Kemudian aku telah berjumpa dengan Abu Tufail di rumahnya. Beliau telah menerangkan kepadaku tentang raj'ah daripada ahli Badr, Salman, al-Miqdad dan Ubayy bin Ka'ab. Abu Tufail berkata: Aku telah membentangkan raj'ah, setelah mendengar daripada mereka kepada Ali bin Abu Talib a.s. di Kufah. Beliau menjawab: Raj'ah adalah ilmu khas di mana umat tidak mengetahuinya dan dikembalikan keilmuannya kepada Allah.

Kemudian beliau membenarkan apa yang telah diberitahu oleh mereka mengenainya. Beliau membacakan kepadaku beberapa ayat al-Qur'an tentang raj'ah dan mentafsirkannya dengan lengkap sehingga aku percaya tentang raj'ah sebagaimana aku percaya kepada Hari Kiamat.

Antara persoalanku kepadanya: Wahai Amir al Mukminin! Beritahukan kepadaku di manakah letaknya Haudh Rasulullah Saw., adakah ia di dunia atau di akhirat? Beliau menjawab: Di Dunia. Aku bertanya lagi: Siapakah yang akan mengambilnya? Beliau berkata: Aku dengan tanganku ini dan para waliku, sementara musuh-musuhku akan dihindarkan daripadanya. Dalam riwayat yang lain pula: Aku akan memberikanya kepada para waliku dan aku akan menghalang musuh musuhku darinya.

Aku bertanya lagi: Apakah maksud perkataan al-Dabbah di dalam surah al-Naml (27): 82. "Apabila telah tiba perkataan (janji) siksa kepada mereka, kami keluarkan kepada mereka al-Dabbah yang melata di bumi yang mengatakan kepada mereka, bahawa manusia tidak yakin kepada ayat-ayat kami".

Beliau berkata kepadaku: Anda ingin mengetahui maksudnya? Aku berkata: Aku jadikan diriku sebagai tebusan. Beliau berkata: Al-Dabbah memakan makanan, berjalan-jalan di pasar dan mengahwini wanita. Aku berkata: Wahai Amir al Mukminin? Siapakah yang dimaksudkan dengan Dhar al-Ardh di mana bumi menjadi tenteram dengannya? Aku bertanya lagi: Wahai Amir al Mukminin, siapakah dia Siddiq umat ini, Faruq dan pemukanya serta Dhu Qarni-ha?

Wahai Amir al Mukminin, siapakah yang dimaksudkan di dalam firman-Nya, Surah Hud (11):17, ''Adakah orang yang mendapat keterangan daripada Tuhannya dan diikuti oleh saksi daripada-Nya (syahidun min-hu), firman-Nya dalam Surah al-Ra'd (13):43, ''…dan orang yang di sisinya 'ilm al- kitab", dan firman-Nya dalam Surah al-Zumar (39): 33, ''…dan orang yang membawa kebenaran dan membenarkannya" Amir al-Mukminin menjawab: Akulah yang dimaksudkan dalam ayat-ayat tersebut , sementara orang ramai (al-nas) semuanya kafirun selain daripadaku dan selain daripadanya .

Aku berkata: Anda sebutkanlah. Beliau berkata: Aku akan menyebutkannya kepada anda. Wahai Abu Tufail! Sekiranya aku memberitahu kepada semua Syi'ahku yang berperang bersamaku di mana mereka mengakui taat setia mereka kepadaku, mereka memanggilku Amir al-Mukminin. dan mereka menghalalkan jihad terhadap orang yang menentangku. Maka jika aku memberitahu mereka sebahagian daripada kebenaran yang aku tahu dalam al-Qu'ran yang diturunkan Jibril ke atas Muhammad Saw, nescaya mereka akan berkeliaran lari daripadaku. Hanya sebilangan kecil daripada Syi'ahku yang tinggal bersamaku seperti anda. Maka aku menjadi takut . Aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin, orang sepertiku akan meninggalkan anda atau tetap berada bersama anda? Beliau menjawab: Tidak! malah kalian akan tetap bersamaku.

Kemudian Ali a.s.berkata: Sesungguhnya urusan kami sulit dan menyulitkan di mana ia tidak akan diakui melainkan oleh tiga: Malaikat yang akrab (malak muqarrab), Nabi yang diutuskan (nabiyyun mursalun) dan Mukmin cerdik (mu'min najib) di mana Allah telah menguji keimanannya.

Wahai Abu Tufail! sesungguhnya apabila Rasulullah Saw. wafat, orang ramai telah menjadi murtad dalam keadaan sesat dan jahil, melainkan mereka yang dilindungi Allah seperti kami Ahl al-Bait .

Umar bin Udhinah berkata: Kemudian Abban telah menyerahkan kepadaku Kitab Sulaim bin Qais al-Hilali. Beberapa bulan selepas itu, Abban meninggal dunia. Ini adalah salinan Kitab Sulaim bin Qais al-Hilali di mana beliau telah menyerahkannya kepada Abban bin Abu 'Iyasy dan beliau membacakannya kepadaku. Abban telah menyatakan bahawa beliau telah membacakannya kepada Ali bin al-Husain a.s., lalu beliau berkata: Sulaim adalah benar, ini adalah hadis kami yang kami ketahuinya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar