Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Kata-kata Ali a.s. bahawa Imamah tidak layak melainkan untuk mereka a.s.



Abban daripada Sulaim berkata: Aku melihat Ibn Umar di majlis tersebut dalam keadaan hiba dan dua matanya berlinangan. Kemudian Ali a.s. sedang berhadapan dengan Talhah, al-Zubair, Ibn Auf dan Sa'd. Beliau berkata: Demi Tuhan! Sekiranya mereka berlima telah berbohong terhadap Rasulullah (Saw.), maka tidak halal bagi kalian mewalikan mereka. Dan sekiranya mereka benar, maka tidak halal wahai kalian berlima! memasukkan aku bersama kalian dalam Majlis Syura. Kerana memasukkan aku di dalamnya adalah menyalahi Rasulullah (Saw.) dan itulah kehendaknya!

Kemudian beliau berhadapan dengan orang ramai dan berkata: Beritahukan kedudukanku di sisi kalian dan apa yang kalian tahu tentangku. Adakah aku ini benar (saduq) di sisi kalian atau pembohong (kadhdhab)? Mereka menjawab: Benar lagi benar (siddiq sadduq). Tidak! Kami tidak pernah mengetahui anda berbohong semasa Jahiliah dan Islam. Ali a.s. berkata: Demi Dia yang memuliakan kami Ahl al-Bait dengan kenabian, maka Dia telah menjadikan Muhammad daripada kami dan Dia memuliakan kami selepasnya dengan menjadikan kami Imam al-Mukminin. Tidak ada seorangpun yang akan mencapainya dalam ertikata yang sebenar selain daripada kami.

Tidak layak imamah dan khilafah melainkan pada kami. Allah tidak menjadikannya sebagai habuan dan hak kepada orang lain. Adapun Rasulullah Saw. adalah penutup segala nabi, tidak ada selepasnya rasul atau nabi. Dia telah menutup para nabi dengan Rasulullah (Saw.) sehingga Hari Kiamat. Dia telah menutup kitab-kitab-Nya dengan al-Qur'an.

Dia telah menjadikan kami selepas Muhammad sebagai khalifah (khulafa') di Bumi-Nya dan para saksi (syuhada') ke atas makhluk-Nya. Dia telah mewajibkan ketaatan kepada kami di dalam kitab-Nya. Dia telah menyertakan kami dengan diri-Nya dan Nabi-Nya dalam ketaatan bukan dalam satu ayat daripada al-Qur'an. Allah telah menjadikan Muhammad seorang nabi dan menjadikan kami khalifah selepasnya pada makhluk-Nya dan sebagai para saksi ke atas makhluk-Nya. Dia telah mewajibkan ketaatan kepada kami di dalam kitab yang diturunkan-Nya.

Kemudian Allah SWT telah memerintahkan Nabi-Nya supaya menyampaikan kepada umatnya, maka beliau telah menyampaikannya kepada mereka sebagaimana Dia memerintahkannya. Justeru itu, siapakah yang lebih berhak dengan majlis Rasulullah (Saw.) dan kedudukannya? Sesungguhnya kalian telah mendengar Rasulullah (Saw.) ketika beliau mengutusku dengan Surah al-Bara'ah. Beliau bersabda: Tidak layak untuk menyampaikan tentang diriku melainkan aku atau seorang lelaki daripadaku. Lantaran itu, sahabat kalian (Abu Bakr) telah tidak layak untuk menyampaikan Sahifah sebesar empat jari daripadanya. Dia tidak layak untuk menyampaikannya selain daripadaku. Siapakah yang lebih layak dengan majlisnya dan tempatnya yang telah dinamakan secara khusus daripada Rasulullah?

Talhah berkata: Berikan penafsiran kepada kami bagaimana orang lain tidak layak menyampaikan (sesuatu) daripada Rasulullah sedangkan beliau telah bersabda kepada kita dan kepada semua orang: Hendaklah al-syahid menyampaikannya kepada al-ghaib. Dan beliau bersabda ketika Haji Wida': Allah memberi rahmat kepada orang yang mendengar sabdaku lalu menjaganya. Kemudian beliau menyampaikannya kepada orang lain. Mungkin orang yang membawa ilmu tidak memahaminya. Dan mungkin pembawa ilmu membawanya kepada orang yang lebih alim daripadanya. Tiga perkara di mana hati seorang muslim tidak akan lalai: Ikhlas amalan untuk Allah, dengar, taat dan menasihati pemerintah serta menyertai kumpulan mereka, kerana dakwah mereka meliputi orang di belakang mereka. Beliau Saw. telah berada di pelbagai tempat dan bersabda: Hendaklah al-syahid menyampaikannya kepada al-ghaib.

Maka Ali a.s. berkata: Sesungguhnya sabda Rasulllah pada Hari Ghadir Khum, pada Hari 'Arafah semasa Haji Wida' dan pada hari beliau wafat, dan pada akhir khutbah ketika beliau bersabda: "Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kalian dua perkara di mana kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Ahl Baitku. Kerana Yang Maha Halus dan Yang Maha Alim telah menjanjikan kepadaku bahawa sesungguhnya kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan kepadaku di al-Haudh seperti dua anak jari ini. Kerana salah satu daripada keduanya mendahului yang lain. Justeru itu, berpeganglah kalian dengan kedua-duanya, nescaya kalian tidak akan sesat dan tergelincir. Janganlah kalian mendahului mereka. Janganlah kalian berselisih dengan mereka dan janganlah kalian mengajari mereka, kerana mereka lebih alim daripada kalian".

Sesungguhnya beliau Saw. telah memerintahkan orang ramai (al-'Ammah) supaya menyampaikan kepada mereka yang ditemuinya di kalangan orang ramai tentang wajib mentaati para imam daripada Ali sehngga kepada Muhammad al-Mahdi dan wajib mentaati hak mereka. Justeru itu, perkara-perkara lain tidak dimaksudkan oleh beliau sedemikian selain daripada perkara tersebut. Sesungguhnya beliau telah memerintahkan orang ramai supaya menyampaikan kepada orang lain dengan alasan mereka tidak menyampaikannya daripada Rasulullah Saw. semua perkara yang diutuskan oleh Allah kepada orang lain.

Perhatikanlah, wahai Talhah! Beliau bersabda kepadaku dan kalian sedang mendengarnya: "Wahai saudaraku! Sesungguhnya tidak akan membayar hutangku dan tidak akan membersihkan dhimmahku (diriku) selain daripada anda. Andalah yang akan membersihkan dhimmahku dan akan berperang di atas Sunnahku". Manakala Abu Bakr dilantik menjadi khalifah, beliau tidak membayar hutang Rasulullah (Saw.), maka kalian telah memberi bai'ah kepadanya. Akulah yang telah membayar hutangnya. Beliau telah memberitahu kalian bahawa hutangnya tidak akan dibayar melainkan olehku. Dan apa yang diberikan oleh Abu Bakr kepada mereka bukanlah sebagai membayar hutangnya, kerana orang yang membayar hutangnya adalah orang yang membersihkan agamanya dan menunaikan amanahnya. Sesungguhnya orang yang menyampaikan daripada Rasulullah (Saw.) akan apa yang datang daripada Allah SWT adalah para imam yang diwajibkan oleh Allah mentaati mereka di dalam kitab-Nya dan Dia telah memerintahkan supaya mewalikan mereka, kerana orang yang mentaati mereka sesungguhnya mentaati Allah. Sesiapa menderhakai mereka, mendurhakai Allah.

Talhah berkata: Anda telah membebaskan aku daripada apa yang aku tidak tahu; tentang apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah (Saw.) sehingga anda menafsirkannya kepadaku. Semoga Allah memberi pahala semua umat ini kepada anda, wahai Abu al-Hasan! Wahai Abu al-Hasan! Satu perkara aku ingin bertanya kepada anda. Aku telah melihat anda keluar dengan kain yang tertutup (makhtum), anda berkata: "Aku masih sibuk dengan Rasulullah (Saw.); memandi dan mengafankannya". Kemudian anda pula sibuk dengan Kitab Allah sehingga anda telah mengumpulkannya tanpa meninggalkan meskipun satu huruf. Tetapi aku tidak pernah melihat apa yang anda tulis dan susun. Aku melihat Umar mengutus kepada anda ketika beliau dilantik menjadi khalifah supaya menghantarkannya kepadaku, tetapi anda telah menolaknya.

Lantas Umar telah memanggil orang ramai. Apabila dua orang lelaki telah memberi penyaksian ke atas satu ayat al-Qur'an, beliau telah menulisnya. Dan apa yang dipersaksikan hanya oleh seorang lelaki, maka ditolaknya tanpa menulisnya. Umar telah berkata dan aku mendengarnya: "Banyak lelaki yang hafaz al-Qur'an telah terbunuh di Yamamah". Justeru itu, al-Qur'an telah hilang. Seekor kambing betina (syatun) telah datang ke sahifah (catatan) di mana para penulis Umar sedang menulis, lalu ia memakannya. Maka hilanglah apa yang tertulis padanya.

Dan penulis pada hari itu adalah Uthman, apa pendapat anda? Aku mendengar Umar dan para sahabatnya yang menulis al-Qur'an pada masanya dan pada masa Uthman berkata: Sesungguhnya al-Ahzab menyamai surah al-Baqarah , al-Nur adalah seratus enam puluh ayat, al-Hujurat adalah enam puluh ayat. Di dalam riwayat yang lain, al-Hujurat adalah seratus sembilan puluh ayat. Apakah ini semua? Apakah yang menghalang anda-semoga Allah memberi rahmat kepada anda daripada mengeluarkan apa yang anda telah susun (allafta) untuk orang ramai. Dan aku telah menyaksikan Uthman ketika dia mengambil apa yang telah disusun oleh Umar. Maka dia mengumpulkan untuknya satu kitab. Dan dia memaksa orang ramai membaca satu Qira'at (bacaan). Dia mengoyak-ngoyakkan mushaf Ubayy bin Ka'ab dan Abdullah bin Mas'ud, lalu membakarnya dengan api. Apakah semua ini?

Amir al-Mukminin a.s. berkata: Wahai Talhah! Sesungguhnya setiap ayat yang diturunkan oleh Allah ke atas Muhammad adalah di sisiku dengan imla' Rasulullah (Saw.). Setiap halal, haram, had, hukum atau perkara yang dihajati oleh umat sehingga Hari Kiamat ada di sisiku, tertulis dengan imla' Rasulullah (Saw.) dan dengan tulisan tanganku sehingga peraturan penghormatan diri (arsy al-khidasy).

Talhah berkata: Setiap sesuatu sama ada kecil, besar, khas dan umum, baik yang telah berlaku dan akan berlaku sehingga Hari Kiamat tertulis di sisi anda? Beliau a.s. menjawab: Ya. Di samping itu Rasulullah ketika sakitnya telah memberitahu kepadaku anak kunci (miftah) seribu bab ilmu. Setiap bab mengandungi seribu bab. Sekiranya umat ini semenjak Rasulullah wafat mengikutiku dan mentaatiku, nescaya mereka dikurniakan oleh Allah dengan rezeki yang banyak.

Wahai Talhah! Tidakkah anda menyaksikan Rasulullah menyeru supaya dibawakan kertas untuk menulis padanya perkara di mana umat tidak akan sesat dan bersengketa. Maka sahabat anda (Umar) berkata: "Sesungguhnya Nabi Allah sedang meracau (yahjuru)". Maka Rasulullah Saw. menjadi marah? Talhah berkata: Ya. Sesungguhnya aku telah menyaksikannya.

Ali a.s. berkata: Apabila kalian keluar, beliau telah memberitahuku apa yang beliau ingin tulis. Orang ramai menjadi berat untuk menerimanya. Maka Jibra'il memberitahunya bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mengetahui akan perselisihan umat dan perpecahan mereka. Kemudian beliau menyeru supaya dibawakan sahifah (kertas catatan), lalu beliau telah mengimla'kan kepadaku apa yang mahu ditulisnya di atas kertas. Aku telah dipersaksikan oleh tiga orang; Salman, Abu Dhar dan al-Miqdad.

Beliau (Saw.) telah menamakan mereka yang akan menjadi para imam petunjuk (al-Huda) di mana Allah memerintahkan supaya mentaati mereka sehingga Hari Kiamat. Maka beliau menamakan aku sebagai orang pertama daripada mereka. Kemudian anakku al-Hasan, kemudian al-Husain, kemudian sembilan daripada anak lelaki kepada anak lelakiku ini iaitu al-Husain. Tidakkah begitu wahai Abu Dhar! Anda wahai al-Miqdad? Mereka berdua berkata: "Kami telah menyaksikan demikian itu di hadapan Rasulullah (Saw.)".

Talhah berkata: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda kepada Abu Dhar: Langit dan bumi sedikit sekali mempunyai orang yang lahjahnya lebih benar dan lebih baik daripada Abu Dhar. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya mereka berdua tidak memberi penyaksian melainkan ke atas perkara yang benar. Dan anda (Ali a.s.) lebih benar di sisiku daripada mereka berdua. Kemudian Ali a.s. bersemuka dengan Talhah, lalu berkata: Bertakwalah anda kepada Allah. Anda wahai al-Zubair! Anda wahai Sa'd! Anda wahai Ibn Auf! Bertakwalah kalian kepada Allah. Cintalah kalian kepada keridhaan-Nya. Pilihlah kalian apa yang ada di sisi-Nya. Janganlah kalian takut, kerana Allah, akan celaan orang yang mencela.

Talhah berkata: Aku tidak fikir wahai Abu al-Hasan! anda telah memberi jawapan kepada soalanku tentang al-Qur'an, kenapa anda tidak menzahirkanya kepada orang ramai? Beliau berkata: Wahai Talhah! Aku sengaja tidak memberi jawapan kepada soalan anda. Beliau berkata lagi: Beritahuku tentang apa yang ditulis oleh Umar dan Uthman. Adakah ia semuanya al-Qur'an atau sebahagiannya bukan al-Qur'an? Talhah menjawab: Malah semuanya al-Qur'an.

Beliau a.s. berkata: Sekiranya kalian mengambil apa yang ada di dalamnya, nescaya kalian akan berjaya daripada Api Neraka. Dan kalian memasuki Syurga, kerana di dalamnya hujah kami, penerangan tentang hak kami dan kewajipan mentaati kami. Talhah berkata: Memadailah bagiku jika ia adalah al-Qur'an. Talhah berkata lagi: Beritahuku tentang al-Qur'an yang ada di tangan anda, takwilnya, ilmu halal dan haram, kepada siapakah akan anda berikan? Siapakah orangnya selepas anda? Beliau a.s. menjawab: Kepada orang di mana Rasulullah (Saw.) memerintahkan aku supaya memberikannya kepadanya. Talhah berkata:Siapakah orangnya? Ali a.s. berkata: Wasiku dan orang yang paling aula dengan orang ramai selepasku iaitu anak lelakiku ini, al-Hasan. Kemudian anak lelakiku, al-Hasan akan menyerahkannya ketika kematiannya kepada anak lelakiku, al-Husain. Kemudian akan berpindah seorang kepada seorang daripada anak lelaki al-Husain sehingga yang akhir mereka mengembalikan kepada Rasulullah di Haudhnya. Mereka bersama al-Qur'an dan al-Qur'an bersama mereka. Mereka tidak akan berpisah dengannya dan ia tidak akan berpisah dengan mereka.

Adapun Mu'awiyah dan anak lelakinya akan mengikuti selepas Uthman. Kemudian dia akan diikuti oleh tujuh orang daripada anak lelaki al-Hakam bin Abi al-As seorang selepas seorang melengkapi dua belas imam yang sesat. Mereka itulah yang dilihat oleh Rasulullah (Saw.) di atas mimbarnya menolak umatnya mundur ke belakang.

Sepuluh daripada mereka adalah daripada Bani Umayyah dan dua orang lelaki yang telah mengasaskannya untuk mereka. Dan ke atas mereka berdua seumpama dosa umat ini. Mereka berkata: Semoga Allah memberi rahmat kepada anda, wahai Abu al-Hasan dan Allah akan membalas anda dengan sebaik-baik balasan daripada kami.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar