Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Penjelasan Ali a.s. tentang kumpulan yang berjaya dan mendapat petunjuk



Adapun kumpulan yang berjaya, mendapat petunjuk, beriman dan melakukan penyerahan yang bijaksana adalah kumpulan yang beriman denganku, menyerahkan diri kepada urusanku, mentaatiku, membersihkan dirinya daripada musuhku, mencintaiku, membenci musuhku yang telah mengetahui hak imamahku, kewajipan ketaatan kepadaku daripada Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Tidak pernah menjadi murtad dan mengesyaki hak kami dan kelebihan kami semenjak pencerahan Allah ke dalam hatinya. Justeru itu, Dia akan memasukkanya ke dalam golongan Syi'ah kami sehingga hatinya menjadi tenang dan yakin; tidak dicampuri syak bahawa sesungguhnya aku dan para wasiku selepasku sehingga Hari Kiamat adalah pemimpin muhtadun yang mana Allah telah menyebut mereka selepas diri-Nya dan Nabi-Nya dalam beberapa ayat al-Qur'an .

Dia telah membersihkan kami, menjaga kami dan menjadikan kami sebagai syuhada' ke atas makhluk-Nya, hujah-Nya di bumi, penyimpan khazanah ilmu-Nya, hikmah-Nya dan penterjemah kepada wahyu-Nya. Dia telah menjadikan kami bersama al-Qur'an dan al-Qur'an bersama kami. Kami tidak akan memisahkannya dan ia tidak akan memisahkan kami sehingga kami mengembalikannya di Haudh Rasulullah Saw. sebagaimana sabdanya. Itulah satu kumpulan daripada tujuh puluh tiga kumpulan yang berjaya daripada Api Neraka, daripada segala fitnah, kesesatan dan syubhat. Mereka itulah daripada ahli Syurga yang sebenarnya.

Mereka adalah tujuh puluh ribu yang memasuki Syurga tanpa hisab. Kesemua tujuh puluh dua kumpulan adalah terdiri daripada orang yang berpegang kepada agama (al-Mutadayyinun) tanpa kebenaran, pembantu kepada agama syaitan yang mengambilnya daripada Iblis dan para walinya. Mereka adalah musuh Allah, Rasul-Nya dan musuh Mukminin. Mereka akan memasuki Neraka tanpa hisab. Bersih daripada Allah dan Rasul-Nya.

Mereka mengsyirikkan Allah dan mengingkari-Nya. Mereka menyembah selain daripada Allah tanpa mengetahui-Nya. Mereka menyangka mereka melakukan perkara yang baik. Mereka akan berkata pada Hari Kiamat, Demi Allah! Wahai Tuhan kami! Kami bukanlah Musyrikin! Mereka bersumpah dengan nama Allah sebagaimana mereka bersumpah untuk kalian. Mereka menyangka bahawa mereka mempunyai asas, tetapi mereka adalah pembohong.

Sulaim berkata: Seorang lelaki berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Apakah pendapat anda tentang seorang lelaki yang berpegang pada satu pendirian, tetapi dia tidak menyalahkan kalian, tidak bermusuhan dengan kalian, tidak menentang kalian, tidak menjadikan kalian sebagai pemimpin (wali), tidak membersihkan dirinya daripada musuh kalian dan berkata: "Aku tidak mengetahui bahawa dia (Ali) adalah benar".

Ali a.s. berkata: Dia bukanlah daripada kumpulan tujuh puluh tiga. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah Saw. dengan tujuh puluh tiga kumpulan adalah penderhaka (al-Baghin,) penentang yang mengisytiharkan diri mereka dan diseru kepada agama mereka. Satu kumpulan daripadanya beragama dengan agama al-Rahman sementara tujuh puluh dua kumpulan beragama dengan agama Syaitan; berusaha untuk menerimanya dan membersihkan diri daripada Pencipta-Nya. Adapun orang yang mentauhidkan Allah, beriman dengan Rasulullah Saw., tetapi mereka tidak mengetahui dan tidak mengambil kesesatan musuh kami, tidak menentang sesuatupun, tidak menghalal atau mengharamkan sesuatu. Mereka tidak mengambil apa yang khilaf, tetapi mengambil apa yang diperintahkan Allah dan menahan dirinya dari melakukan perkara khilaf, malah mereka melakukan apa yang diperintahkan Allah atau meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Mereka tidak menentang sesuatupun. Tidak menghalal atau mengharamkan sesuatu yang tidak diketahuinya, namun mereka menyerahkan apa yang dimusykilkan kepada Allah SWT. Maka mereka adalah orang yang berjaya. Kumpulan ini adalah antara kumpulan Mukminun dan Musyrikun. Mereka adalah orang yang dihormati dan disegani. Mereka itulah yang dikenali sebagai Ashab al-Hisab, al-Mizan, al-A'raf dan Jahanamiyyun yang akan disyafa'atkan oleh para Nabi, para Malaikat dan Mukminun. Lantas mereka akan keluar daripada Neraka. dan dinamakan al-Jahanamiyyun.

Adapun Mukminun mereka akan berjaya, akan memasuki Syurga tanpa hisab. Sesunguhnya hisab akan dilakukan terhadap mereka yang mempunyai sifat-sifat antara Mukminin dan Musyrikin, orang yang dijinakkan hati mereka (al-Muallafah), pelaku dosa besar, orang yang mencampur-adukkan amalan yang baik dengan yang jahat. Adapun orang yang tertindas (al-Mustad'afin) yang tidak mampu mencari jalan keluar daripada kekafiran dan syirik untuk menjadi Mukminin yang 'arifin. Mereka adalah Ashab al-A'raf. Kedudukan mereka terserah kepada kehendak Allah (masyi'ah). Jika Dia mahu, Dia memasukkan seseorang daripada mereka ke Neraka dengan dosanya. Dan jika Dia memasukkannya ke Syurga adalah kerana rahmat-Nya. Aku bertanya: Adakah Dia memasukkan Neraka seseorang Mukmin yang 'arif dan pendakwah? Beliau (Ali) menjawab: Tidak. Aku berkata: Adakah Dia akan memasukkan ke Syurga mereka yang tidak mengetahui imamnya? Beliau menjawab: Tidak, melainkan jika dikehendaki oleh Allah. Aku berkata: Adakah seorang kafir atau musyrik akan memasuki Syurga? Beliau berkata: Tidak akan memasuki Neraka melainkan seorang kafir, melainkan jika dikehendaki Allah. Aku berkata: Sesiapa yang menemui Allah sebagai seorang Mukmin, mengetahui imamnya dan mentaatinya termasuk golongan ahli Syurga? Beliau berkata: Ya, apabila mereka menemui Allah dalam keadaan mukmin maka mereka terdiri daripada mereka yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah al-An'am (6): 82, "Orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan keimanan mereka dengan kezaliman"

Aku berkata: Sesiapa berjumpa Allah dalam kalangan mereka yang melakukan dosa besar? Beliau menjawab: Dia di atas kehendak Allah. Jika Dia menyiksanya, adalah dengan dosanya sebaliknya jika Dia membebaskan adalah kerana rahmat-Nya. Aku berkata: Adakah Dia memasukkan ke Neraka seorang Mukmin? Beliau menjawab: Ya, kerana dosanya. Ini kerana mereka bukanlah terdiri daripada Mukminin yang dimaksudkan oleh Allah sebagai Wali al-Mukminin. Manakala apa yang dimaksudkan oleh Allah dengan firman-Nya dalam Surah Yunus (10): 62, "Tiada ketakutan bagi mereka dan tidak pula mereka berdukacita", adalah Mukminun yang bertakwa kepada Allah yang melakukan perkara-perkara yang baik dan tidak mencampuradukkan keimanan mereka dengan kezaliman.

Aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Apakah Iman dan apakah Islam? Beliau berkata: Adapun Iman ialah pengakuan dengan makrifah dan Islam ialah apa yang anda perakukannya. Adapun al-Taslim (penyerahan) adalah untuk para wasi dan mentaati mereka. Dalam riwayat yang lain; Islam adalah apabila anda membuat pengakuan dengannya. Aku berkata: Iman adalah pengakuan (iqrar) selepas makrifah? Beliau berkata: Sesiapa yang Allah telah memperkenalkan diri-Nya, Nabi-Nya dan imam-Nya, kemudian mengakui ketaatan kepada-Nya, maka mereka adalah Mukmin.

Aku berkata: Makrifah adalah daripada Allah dan iqrar adalah daripada hamba? Beliau berkata: Makrifah daripada Allah adalah sebagai doa dan hujah. Dan iqrar dengan Allah adalah penerimaan hamba di mana Dia memberi limpah kurnia-Nya ke atas sesiapa yang Dia mahu. Makrifah adalah kurnian Allah di hati. Iqrar adalah perbuatan hati daripada Allah, penjagaan-Nya ('ismah) dan rahmat-Nya. Lantaran itu, sesiapa yang Allah tidak menjadikannya sebagai seorang 'arif, maka tidak ada hujah ke atasnya. Mereka hendaklah menahan dirinya daripada apa yang mereka tidak tahu. Maka Allah tidak akan mengazabnya kerana kejahilannya itu. Dia memujinya kerana amalan baiknya dan mengazabnya kerana amalan jahatnya.

Dia berupaya untuk melakukan amalan taat dan maksiat. Dia tidak berupaya untuk mengetahui dan berupaya untuk tidak mengetahui. Ini adalah mustahil. Perkara ini tidak berlaku melainkan dengan Qadha' Allah dan Qadar-Nya, ilmu-Nya dan Kitab-Nya tanpa paksaan. Dalam riwayat yang lain; tidak berlaku demikian itu melainkan dengan pertolongan Allah, ilmu-Nya dan kitab-Nya tanpa paksaan. Sekiranya mereka dipaksa, nescaya mereka dimaafkan dan tidak dipuji.

Dan sesiapa yang tidak mengetahui tentang usahanya, hendaklah dia merujuk kepada kami apa yang dimusykilkannya. Sesiapa yang memuji Allah di atas nikmat-Nya dan memohon ampun di atas kemaksiatannya, mencintai orang yang taat, memuji mereka kerana ketaatan mereka, membenci pelaku-pelaku maksiat dan mencela mereka, maka demikian itu sudah memadai dan kembalikanlah keilmuannya kepada kami.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar