Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Ali a.s. membawa Fatimah a.s. mendatangi sahabat Rasulullah Saw. bagi menuntut jawatan khalifah



Salman berkata: Apabila tiba waktu malam, Ali a.s. telah membawa Fatimah di atas keldai dan memegang dua anak lelakinya al-Hasan dan al-Husain a.s. dengan dua tangannya. Beliau tidak meninggalkan seorangpun ahli Badr yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar, melainkan menziarahi rumah mereka bagi menerangkan haknya kepada mereka dan menyeru mereka supaya membantunya. Maka tidak seorangpun daripada mereka menyahuti seruannya kecuali empat puluh empat lelaki. Lantas beliau memerintahkan mereka supaya datang pada keesokan paginya dalam keadaan kepala bercukur dan membawa bersama mereka senjata untuk memberi bai'ah kepadanya di atas dasar sanggup mati bersama.

Keesokannya, tidak seorangpun melakukannya melainkan empat orang sahaja. Maka aku bertanya kepada Salman: Siapakah mereka berempat itu? Jawabnya: Aku, Abu Dhar, al-Miqdad dan al-Zubair bin al-Awwam. Kemudian Ali a.s. datang kepada mereka pada malam berikutnya. Beliau telah berbincang dengan mereka lalu mereka berkata: Pagi tadi kami sahaja yang datang. Kemudian beliau datang kepada mereka pada malam ketiga namun tiada seorangpun berjumpa dengannya kecuali kami.

Manakala beliau sendiri telah melihat penipuan mereka dan sikap tidak mengambil berat mereka terhadapnya, beliaupun menghabiskan masa di rumahnya mengadap al-Qur'an, menyusun dan mengumpulkannya. Beliau tidak keluar dari rumahnya sehingga beliau selesai mengumpulkan al-Qur'an yang sebelum ini ditulis pada beberapa helai mushaf, pada pelepah tamar dan lain-lain. Apabila selesai mengumpulkan kesemuanya dan menulis tanzil, takwil, nasikh dan mansukhnya maka Abu Bakr menghantar perutusan kepadanya supaya keluar bagi memberi bai'ah kepadanya.

Lantas Ali a.s. menghantar perutusan kepadanya dengan menyatakan: Aku sibuk. Aku telah bersumpah bahawa aku tidak akan memakai pakaian yang lengkap kecuali untuk mengerjakan solat sehingga aku mengumpul al-Qur'an dan menyusunnya. Maka merekapun berdiam diri beberapa hari mengenainya.

Beliaupun siap mengumpulkannya dalam satu kain kemudian keluar kepada orang ramai yang sedang berhimpun bersama Abu Bakr di Masjid Rasulullah Saw., maka Ali a.s. menyeru dengan suaranya yang tinggi: Wahai manusia! Aku sentiasa sibuk semenjak kewafatan Rasulullah Saw., memandikannya dan seterusnya mengumpulkan al-Qur'an di dalam satu kain ini. Allah tidak menurunkan satu ayat ke atas Rasulullah Saw. melainkan aku mengumpulkannya. Tidak ada satu ayatpun, melainkan beliau membacakannya kepadaku dan telah mengajarkan kepadaku takwilnya.

Kemudian Ali a.s. berkata kepada mereka: Supaya kalian tidak akan berkata: Kami melupai perkara ini. Dan janganlah kalian berkata pada Hari Kiamat bahawa aku tidak menyeru kalian untuk membantuku dan aku tidak mengingatkan kalian tentang hakku dan tidak menyeru kalian kepada Kitab Allah daripada Fatihahnya hingga ke akhirnya.

Maka Umar berkata kepadanya: Apakah yang membuat anda berfikir bahawa kami perlu kepada apa yang anda dakwakan sedangkan kami mempunyai al-Qur'an? Kemudian Ali a.s. memasuki rumahnya. Umar berkata kepada Abu Bakr: Hantarkan perutusan kepada Ali supaya dia memberi bai'ah, kerana kita tidak kemana-mana sehingga dia memberi bai'ah. Sekiranya dia memberi bai'ah, kita akan menjamin keselamatannya. Maka Abu Bakr menghantar perutusannya supaya beliau menyahut seruan Khalifah Rasulullah. Maka perutusan itu mendatangi Ali a.s. dan memberitahunya .

Lantas Ali menjawab: Subhanallah! Alangkah cepatnya kalian membohongi Rasulullah Saw., sesungguhnya beliau dan orang di sekelilingnya mengetahui bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak melantik seseorang selain daripadaku. Lalu perutusan tersebut pulang dan memberitahu Abu Bakr apa yang dikatakan oleh Ali a.s.Abu Bakr berkata: Pergilah anda dan katakan kepadanya: Sahutilah seruan Amir al-Mukminin Abu Bakr. Diapun pergi berjumpa dengan Ali dan berkata apa yang telah diberitahu oleh Abu Bakr.

Maka Ali a.s. berkata: Subhanallah! Masa tidak lama, dia telah lupa. Demi Allah! Sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa gelaran ini tidak sesuai melainkan untukku. Sesungguhnya Rasulullah Saw. telah memerintahkan Abu Bakr di kalangan tujuh orang supaya memberi bai'ah kepadaku memimpin Muslimin. Orang pertama adalah dia dan sahabatnya Umar di kalangan tujuh orang.

Mereka berkata: Adakah perintah ini daripada Allah dan Rasul-Nya? Rasulullah Saw. menjawab kepada mereka berdua: Ya! Kebenaran daripada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Ali (a.s.) adalah Amir al-Mukminin, penghulu Muslimin dan pemegang bendera yang bergemerlapan. Allah mendudukannya di atas al-Sirat al-Mustaqim, maka beliau memasukkan para wali-Nya ke Syurga dan musuh-musuh-Nya ke Neraka.

Lantas perutusan tadi pulang dan memberitahu Abu Bakr apa yang dikatakan Ali a.s. Salman berkata: Merekapun mendiamkan diri mengenainya pada hari itu. Apabila tiba waktu malam, Ali a.s. telah membawa Fatimah a.s. di atas keldai sambil memegang kedua-dua anak lelakinya al-Hasan dan al-Husain dengan kedua-dua tangannya. Tiada seorangpun daripada sahabat Rasulullah Saw. melainkan beliau datang ke rumah mereka.

Beliau menyeru mereka dengan nama Allah tentang haknya dan mengajak mereka supaya membantunya. Tetapi tiada seorangpun yang menyahuti seruannya selain daripada kami berempat. Kami telah mencukur kepala dan memberi bantuan kepadanya. Al-Zubair adalah orang yang paling terserlah dalam memberi bantuan itu. Setelah Ali a.s. melihat sikap dingin orang ramai yang tidak memberi bantuan terhadapnya, malah mereka menyokong Abu Bakr dan membesar-besarkannya pula, beliaupun balik ke rumahnya.

Selanjutnya Umar berkata kepada Abu Bakr: Apakah yang menghalang anda menghantar perutusan kepadanya supaya dia memberi bai'ah kerana semua orang telah memberi bai'ah melainkan dia dan empat orang sahabatnya. Dalam hal ini, Abu Bakr adalah lebih lembut dan sopan, sementara yang kedua (Umar) adalah lebih kasar dan dingin. Abu Bakr berkata: Siapakah yang akan kami hantar? Umar menjawab: Kami akan menghantar Qunfudh. Dia seorang lelaki yang kasar dan dingin. Dia juga orang yang baru memeluk Islam yang berasal dari suku Bani Adi bin Ka'ab.

Maka Qunfudh telah dihantar bersama beberapa pembantunya. Apabila sampai, diapun memohon kebenaran Ali a.s. untuk masuk ke rumahnya. Namun Ali a.s. enggan memberi kebenaran, lalu merekapun pulang menemui Abu Bakr dan Umar yang sedang duduk di Masjid dan orang ramai berada di sekelilingnya. Mereka berkata: Kami tidak dibenarkan masuk. Umarpun berkata: Kalian pergi kembali dan masuklah ke rumahnya sama ada diberi kebenaran ataupun tidak. Maka merekapun pergi lalu memohon kebenaran untuk masuk.

Fatimah a.s. berkata: Aku akan menyusahkan kalian jika kalian memasuki rumahku tanpa izin, lalu mereka pun pulang tetapi Qunfudh al-Mal'un tidak pulang. Mereka yang pulang memberitahu bahawa Fatimah akan menyusahkan mereka jika mereka memasuki rumahnya tanpa keizinan. Lantas Umar menjadi marah dan bekata: Apakah hubungan urusan kami dengan perempuan?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar