Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Jawapan Ali a.s. kepada orang yang bertanya berkenaan Iman dan Islam



Daripada Abban bin Abu 'Iyasy daripada Sulaim bin Qais: Beliau berkata: Aku mendengar Ali bin Abu Talib a.s. ditanya oleh seorang lelaki tentang iman. Katanya: Wahai Amir al-Mukminin! Beritahuku tentang Iman di mana aku tidak akan bertanya kepada orang lain selain daripada anda. Ali a.s. berkata: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Saw. dan bertanya kepadanya soalan yang anda tanyakan kepadaku. Maka Nabi Saw. memberikan jawapan kepadanya sebagaimana aku akan berikan jawapan kepada anda.

Kemudian beliau mulai menceritakan kepadanya dan berkata: Duduklah, maka Ali a.s. telah berdepan dengan lelaki itu dan berkata: Tidakkah anda mengetahui bahawa Jibra'il telah mendatangi Rasulullah Saw. dalam bentuk seorang lelaki dan berkata kepadanya: Apakah Islam? Beliau menjawab: Syahadatain- tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, memberikan zakat, mengerjakan Haji di Ka'bah, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mandi janabah . Dia bertanya lagi: Apakah Iman? Beliau menjawab: Anda beriman dengan Allah, para Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, hidup selepas mati dan dengan qadar baiknya, jahatnya, manisnya dan pahitnya.

Manakala lelaki itu berdiri, Rasulullah Saw. berkata: Ini adalah Jibra'il a.s. mendatangi kalian untuk mengajar agama kalian. Setiap kali Rasulullah Saw. memberi jawapan, Jibra'il berkata: Anda memang benar. Dia bertanya: Bilakah Hari Qiamat? Beliau menjawab: Apakah yang disoal tentangnya padahal orang yang bertanya lebih mengetahui daripada orang yang ditanya! Dia berkata: Anda memang benar. Kemudian Ali a.s. berkata selepas selesai kata-kata Jibra'il: Anda memang benar. Sesungguhnya iman dibina atas empat tiang: Keyakinan, kesabaran, keadilan dan jihad. Keyakinan dibina di atas empat cabang: Syauq (kecintaan) syafaq (kebencian), zuhud dan penilain diri (taraqqub).

Justeru itu, sesiapa cintakan Syurga hendaklah dia menjauhi daripada syahwat. Sesiapa yang membencikan Neraka hendaklah dia menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Sesiapa yang zuhud di dunia maka segala musibah adalah kecil. Sesiapa yang menilai kematian, hendaklah dia bersegera melakukan kebaikan.

Kesabaran di atas empat cabang: Pemerhatian dengan hujah, takwil dengan hikmah, nasihat yang berkesan dan sunnah terdahulu. Sesiapa yang memerhatikan dengan bijaksana akan mendapati hujah. Sesiapa yang terserlah dalam hikmahnya akan mengetahui teladan. Sesiapa yang mengetahui teladan akan menakwilkan hikmah. Sesiapa yang dapat menakwilkan hikmah akan melihat teladan. Dan sesiapa yang dapat melihat teladan, seolah-olah dia berada bersama orang terdahulu.

Keadilan dibina atas empat cabang: Kesamaran fahaman, kecanggihan ilmu, hikmah yang tinggi dan taman pekerti. Sesiapa yang faham dia akan menerangkan sebahagian daripada ilmunya. Sesiapa yang mengetahui, akan menjadi 'arif terhadap jalan-jalan hikmat. Sesiapa yang mempunyai pekerti, tidak akan melampaui urusannya dan bergaul dengan orang ramai secara terpuji.

Jihad pula dibina di atas empat cabang: amr ma'ruf, nahyu munkar, kebenaran pada semua tempat, memarahi kerana Allah dan menentang kejahatan orang fasiq. Sesiapa yang menyuruh melakukan kebaikan, dia memperkukuhkan orang Mukmin. Sesiapa yang menegah kemungkaran, dia dapat menundukkan orang yang fasiq. Sesiapa yang bersifat benar pada semua tempat, akan mengalahkan musuhnya. Sesiapa yang menentang kejahatan (Munafiqin) dan memarahinya kerana Allah, Allah akan memarahinya untuknya. Itulah Iman, tiang-tiangnya dan cabang-cabangnya.

Dia berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Apakah tahap yang paling rendah seseorang itu menjadi Mukmin? Apakah tahap yang paling rendah seseorang itu menjadi kafir? Apakah tahap yang paling rendah seseorang itu menjadi sesat (dhallan)? Beliau berkata: Anda bertanya, maka dengarlah jawapannya dengan hati yang terbuka. Tahap yang paling rendah bagi seseorang itu menjadi Mukmin ialah apabila Allah memperkenalkan diri-Nya kepadanya, maka dia memperakui sifat ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya. Dia memperkenalkan kepadanya Nabi-Nya, maka dia pula memperakui kenabiannya dan risalahnya. Dia memperkenalkan kepadanya akan hujah-Nya di Bumi-Nya dan saksi-Nya atas makhluk-Nya, lantas dia memperakui ketaatan kepadanya. Dia berkata: Sekiranya dia tidak mengetahui semua perkara selain dari apa yang anda ceritakan? (Ali a.s. berkata): Ya. Apabila dia diperintahkan, dia mentaatinya. Apabila dia ditegah, dia berhenti.

Tahap yang paling rendah menjadi seorang kafir ialah dia mempercayai sesuatu perkara, kemudian menyangka bahawa Allah memerintahkannya padahal Allah melarangnya. Lantas dia menjadikannya agama. Oleh itu, dia membersihkan dirinya dan mematuhinya. Dia menyangka bahawa dia menyembah Allah yang memerintahkannya supaya melakukannya. Tahap yang paling rendah seorang itu menjadi sesat adalah dia tidak mengetahui hujah Allah di Bumi-Nya dan saksi-Nya ke atas makhluk-Nya di mana Allah memerintahkannya supaya mentaatinya dan mewajibkan wilayahnya ke atasnya.

Dia berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Sebutkanlah nama mereka kepadaku. Beliau berkata: Mereka telah disebut oleh Allah selepas diri-Nya dan Nabi-Nya, maka Dia berfirman dalam Surah al-Nisa' (4): 59, ''Hai orang yang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan Uli al-Amri daripada kamu". Dia berkata: Jelaskanlah mereka kepadaku? Beliau berkata: Mereka telah disebutkan oleh Rasulullah Saw. dalam khutbahnya yang terakhir di Ghadir Khum, kemudian beliau wafat. ''Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua perkara,kalian tidak akan sesat jika kalian berpegang kepada kedua -duanya: Kitab Allah dan Ahl Baitku Sesungguhnya Yang Maha Halus Lagi Mengetahui telah berjanji kepadaku bahawa kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga dikembalikan kepadaku di Haudh seperti kedua-dua anak jariku. Justeru itu berpeganglah kalian kepada kedua-duanya, nescaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya. Janganlah kalian mendahului mereka, nescaya kalian akan binasa. Janganlah kalian membelakangi mereka, nescaya kalian akan berpecah. Janganlah kalian mengajari mereka, kerana mereka lebih mengetahui daripada kalian"

Dia berkata: Sebutkanlah namanya kepadaku? Dia (Ali) berkata: Orang yang dilantik oleh Rasulullah Saw. di Ghadir Khum. Maka Rasulullah Saw. telah memberitahu mereka bahawa beliau lebih aula daripada mereka berbanding diri mereka sendiri. Orang yang datang (al-Syahid) hendaklah menyampaikanya kepada orang yang tidak datang (al-Gha'ib) daripada mereka. Maka aku berkata: Andalah orangnya, wahai Amir al-Mukminin? Beliau berkata: Akulah yang pertama daripada mereka dan yang paling afdal daripada mereka. Kemudian anak lelakiku al-Hasan selepasku yang lebih aula dengan al-Mukminin daripada diri mereka sendiri. Kemudian anak lelakiku al-Husain selepasnya yang aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri. Kemudian para wasi Rasulullah Saw. sehingga mereka dikembalikan ke Haudhnya satu demi satu. Lelaki itu telah berdiri di hadapan Ali a.s. lalu mengucup kepalanya, kemudian berkata: Anda telah menjelaskan kepadaku dan menyelamatkanku serta telah menghilangkan setiap sesuatu dari hatiku.

Abban daripada Sulaim berkata: Seorang lelaki telah datang kepada Amir al-Mukminin a.s. dan bertanya kepadanya tentang Islam? Maka Ali a.s. berkata: Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan Islam dan mempermudahkan syariatnya bagi mereka yang menganutinya dan memperkuatkan rukun-rukunnya bagi mereka yang memeranginya. Dia menjadikannya satu kekuatan bagi mereka yang menganutinya. Kedamaian bagi mereka yang memasukinya. Imam bagi mereka yang berimam dengannya. Perhiasan bagi mereka yang berhias dengannya. Persediaan bagi mereka yang mencintainya. Ikatan bagi mereka yang berpegang dengannya. Talian bagi mereka yang berpegang dengannya. Bukti bagi mereka yang mempelajarinya.

Cahaya bagi mereka yang mencari pencerahannya. Saksi bagi mereka yang bertengkar dengannya. Perpecahan bagi mereka yang menentangnya. Keilmuan bagi mereka yang menjaganya. Hadis bagi mereka yang meriwayatkannya. Hukuman bagi mereka yang melaksanakannya. Pekerti bagi mereka yang mencubanya. Penyembuhan bagi mereka yang memikirnya. Fahaman bagi mereka yang menghalusinya. Keyakinan bagi mereka yang menggunakan akalnya. Matahati bagi mereka yang cekal. Petanda bagi mereka yang tawsum (sujud).

Teladan bagi mereka yang menerima nasihat. Kejayaan bagi mereka yang benar. Kasih sayang bagi mereka yang inginkan islah. Kedekatan bagi mereka yang ingin mendekatinya. Kepercayaan bagi mereka yang bertawakal. Harapan bagi mereka yang menyerah. Pendahuluan bagi mereka yang melakukan kebaikan. Kebaikan bagi mereka yang menyegerakannya. Perisai bagi mereka yang bersabar. Pakaian bagi mereka yang bertakwa. Keterserlahan bagi mereka yang cerdik. Gua bagi mereka yang mencari keamanan. Kedamaian bagi mereka yang menyerahkan dirinya. Roh bagi mereka yang benar. Nasihat bagi mereka yang bertakwa. Kejayaan bagi mereka yang berjaya.

Demikianlah kebenaran di mana jalannya adalah petunjuk. Sifatnya adalah kebaikan. Kesannya adalah ketinggian. Manhaj yang baik. Tempat lahirnya pencerahan. Lampu petunjuk. Halus matlamat. Mudah isi kandungannya. Bersifat keseluruhan. Pelumba yang menang. Penderitaan bagi kecelakaan. Persediaan yang lama. Panglima yang mulia. Keimanan adalah manhajnya. Amalan yang baik adalah mercunya. Kefahaman adalah lampunya. Kematian adalah matlamatnya. Dunia adalah isi kandungannya. Kiamat adalah pembungkusnya. Syurga adalah matlamatnya. Api Neraka adalah kecelakaannya.

Ketakwaan adalah persediaannya. Orang yang baik adalah panglima-panglimanya. Dengan keimanan, ia menjadi pengukur ke atas kebaikan. Kebaikan akan melahirkan kefahaman. Dengan kefahaman, mereka akan takutkan kematian. Dengan kematian berakhirlah Dunia. Dengan Dunia akan melewati Kiamat. Dengan Kiamat akan menghampiri Syurga. Syurga menjadi idaman ahli Neraka. Neraka adalah peringatan bagi mereka yang bertakwa. Takwa adalah asas Iman. Maka itulah Islam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar