Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Khabar gembira untuk Ali a.s. dan peristiwa yang akan berlaku selepas kewafatan Rasulullah Saw.



Sulaim berkata: Ali bin Abu Talib a.s. telah menceritakan kepadaku dan beliau berkata: Aku pernah berjalan-jalan bersama Rasulullah Saw. di beberapa jalan di Madinah sehingga kami sampai di sebuah taman. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya taman ini. Rasulullah Saw. menjawab: Alangkah cantiknya tetapi untuk anda di Syurga lebih cantik lagi.

Kemudian kami sampai di taman yang lain dan aku berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya taman ini. Rasulullah Saw. menjawab: Alangkah cantiknya, tetapi taman anda di Syuga lebih cantik lagi. Sehingga kami sampai di taman ketujuh, aku berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya taman ini? Beliau menjawab: Taman anda di Syurga lebih cantik lagi .

Di akhir perjalanan beliau memelukku dan terus menangis, beliau bersabda: Dengan nama bapaku yang satu dan syahid, maka aku bertanya kepadanya: Apakah yang membuatkan anda menangis? Beliau menjawab: Dendam kesumat di dada mereka di mana mereka tidak akan menzahirkanya melainkan selepasku wafat iaitu dendam kesumat di Badr dan di Uhud. Aku berkata: Untuk keselamatan agamaku? (fi salamatin min dini). Beliau menjawab: Untuk keselamatan agama anda .

Justeru itu bergembiralah wahai Ali! Kerana hidup anda dan mati anda adalah bersamaku. Anda adalah saudaraku, anda adalah wasiku. Anda adalah pilihanku, wazirku, pewarisku, penggantiku, pembayar hutangku, pelaksana janjiku. Anda pembersih dhimmahku, pelaksana amanahku. Anda akan memerangi al-Nakithin , al-Qasitin dan al-Mariqin . Anda di sisiku sepertilah Harun di sisi Musa. Malah Harun menjadi ikutan yang baik bagi anda kerana beliau di tindas oleh kaumnya dan hampir mereka membunuhnya. Lantaran itu bersabarlah tentang kezaliman Quraisy dan penentangan mereka terhadap anda, kerana kedudukan anda sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa dan pengikutnya .

Sedangkan mereka sepertilah kedudukan al-'Ijl (Anak lembu jantan) dan para pengikutnya. Oleh itu, Musa telah memerintahkan Harun ketika beliau melantiknya sebagai penggantinya ke atas kaumnya dan berpesan: sekiranya mereka sesat dan beliau mendapati pembantu-pembantu maka hendaklah beliau menentang mereka bersama mereka. Dan sekiranya beliau tidak mendapati pembantu-pembantu maka hendaklah beliau menahan tangannya dan darahnya. Jangan memecahbelahkan mereka.

Wahai Ali! Allah tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan segolongan manusia menerima Islam secara sukarela (tau'an) dan segolongan yang lain secara terpaksa (karhan). Maka Allah menguasai orang yang menerima Islam secara terpaksa ke atas orang yang menerima Islam secara sukarela dan membunuh mereka supaya mereka mendapat pahala yang lebih besar.

Wahai Ali! Umat tidak berselisih selepas nabinya melainkan terserlah Ahl al-Batil ke atas Ahl al-Haq. Sesungguhnya Allah melupai (nasiya) perpecahan dan perselisihan ke atas umat ini. Jika Dia mahu, nescaya Dia jadikan mereka di atas petunjuk sehingga dua orang tidak akan berselisih faham dan tidak bertengkar mengenai perintahnya. Dan orang yang kurang kelebihannya tidak akan mengingkari kelebihan orang yang lebih baik.

Jika Dia mahu, nescaya Dia mempercepatkan azab kerana perubahan adalah juga daripada-Nya, sehingga si zalim dibohongi dan kebenaran diketahui kesudahannya. Tetapi Dia telah menjadikan Dunia sebagai tempat untuk beramal dan menjadikan Akhirat pula sebagai tempat yang kekal. Ini supaya Dia memberi balasan terhadap orang yang melakukan kejahatan dengan apa yang mereka lakukan dan memberi ganjaran terhadap orang yang melakukan kebaikan dengan kebaikan yang mereka lakukan. Maka aku berkata: Segala puji bagi Allah, bersyukur terhadap nikmat-Nya dan bersabar di atas ujian-Nya dengan penuh penyerahan dan meridhai Qadha'-Nya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar