Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Kata-kata Imam al-Baqir a.s: "Kami Ahl al-Bait menghadapi kezaliman daripada Quraisy

…"

Abban berkata: Abu Ja'far al-Baqir a.s. berkata kepadaku: Kami Ahl al-Bait telah menghadapi kezaliman daripada Quraisy, penentangan mereka terhadap kami dan pembunuhan mereka akan kami. Perkara yang sama akan dihadapi oleh Syi'ah kami dan pencinta-pencinta kami. Sesungguhnya Rasulullah Saw. ketika wafat, beliau telah melaksanakan hak kami. Beliau telah memerintahkan supaya kami ditaati, mewajibkan wilayah kami dan kasih sayang (al-Mawaddah) kepada kami. Justeru itu, beliau telah memberitahu mereka bahawa kami lebih aula (utama) daripada diri mereka sendiri. Beliau memerintahkan supaya orang yang hadir (al-Syahid) supaya menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir (al-Ghaib).

Sebaliknya mereka telah menentang Ali a.s., lalu mereka berhujah dengan beliau dengan hujah Rasulullah (Saw.) dan hujah orang ramai mengenainya. Mereka berkata: Anda memang benar. Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah bersabda sedemikian, tetapi beliau telah membatalkannya (nasakha-hu) dan bersabda: "Sesungguhnya kami Ahl al-Bait telah dimuliakan dan dipilih oleh Allah (SWT). Dia tidak meredai kami dengan Dunia. Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan untuk kami kenabian dan khilafah". Empat orang telah memberi penyaksian mengenainya. Mereka adalah Umar, Abu Ubaidah, Mu'adh bin Jabal dan Salim (maula Abu Hudhaifah).

Justeru itu, mereka telah menabur bibit kesamaran kepada orang ramai (syabbahu-hum), lalu membenarkan mereka, menolak mereka ke belakang dan mengeluarkan khilafah daripada sumber yang telah dijadikan oleh Allah. Mereka telah berhujah dengan kaum Ansar dengan hak kami dan hujah kami. Lantaran itu, mereka telah memberi bai'ah kepada Abu Bakr. Kemudian Abu Bakr telah memberikannya pula kepada Umar sebagai membalas jasanya mengenai khilafah. Kemudian Umar menjadikanya (khilafah) syura di kalangan enam orang. Kemudian Abd Rahman bin Auf telah menjadikannya untuk Uthman dengan syarat dia mengembalikannya kepadanya.

Tetapi Uthman telah mungkir janji lalu Abd Rahman bin Auf telah melahirkan keingkarannya dan kejahilannya. Kemudian dia dijangkiti penyakit taun pada masa hidupnya. Tetapi anak lelakinya telah menyangka bahawa Uthman telah meracuninya sehingga mati. Kemudian Talhah dan al-Zubair telah mengambil bahagian, lalu mereka telah memberi bai'ah kepada Ali (a.s.) secara suka rela tanpa paksaan. Kemudian mereka menarik balik bai'ah mereka daripada Ali (a.s.) dan mengkhianatinya pula. Mereka berdua telah pergi bersama 'Aisyah ke Basrah. Kemudian Mu'awiyah, thughat ahli Syam telah menyeru untuk menuntut darah Uthman, lalu mengisytiharkan perang ke atas kami. Kemudian Ahli Haura' (Khawarij) menentangnya supaya dia menghukum dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Jika mereka menghakimi dengan apa yang disyaratkan ke atas kedua-duanya, nescaya mereka menghakimi Ali Amir al-Mukminin sebagaimana dalam Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Kemudian Ahli Nahrawan telah menentangnya dan memeranginya. Kemudian mereka memberi bai'ah kepada al-Hasan bin Ali a.s. selepas bapanya dan membuat perjanjian dengannya. Kemudian mereka telah mengkhianatinya, menyerahkannya dan menghinanya. Kemudian mereka telah menikamnya dengan khanjar di pahanya. Mereka telah memusnahkan tentera-tenteranya dan mereka telah memperbaiki gelang kaki ummahat al-Aulad. Lantaran itu, beliau terpaksa berdamai dengan Mu'awiyah, kerana menjaga darahnya, darah Ahl Baitnya dan Syi'ahnya.

Mereka adalah sedikit, hak yang sedikit dan ketika itu beliau pula tidak mendapati pembantu-pembantu. Kemudian al-Husain a.s. telah dibai'ah oleh lapan belas ribu ahli Kufah. Namun akhirnya mereka telah mengkhianatinya, menentangnya sehingga beliau dibunuh. Seterusnya kami dihina, disisih, dihalang, dibunuh dan diusir. Kami menjadi takut kerana darah kami dan setiap orang yang mencintai kami. Pembohong-pembohong telah mendapat tempat kerana pembohongan mereka. Mereka telah mendekatkan diri kepada pemerintah-pemerintah dan kakitangan mereka melalui pembohongan mereka di setiap tempat dan menceritakan permusuhan kami dengan pemerintah-pemerintah mereka yang lalu dengan hadis-hadis palsu. Mereka telah meriwayatkan tentang kami apa yang kami tidak kata untuk menghina kami. Mereka telah melakukan pembohongan ke atas kami bagi mendekatkan diri mereka dengan pemerintah dan pembesar mereka dengan licik dan pendustaan.

Ini telah banyak berlaku pada zaman Mu'awiyah, selepas kematian al-Hasan a.s. Justeru itu, Syi'ah dibunuh di setiap tempat. Dipotong tangan dan kaki mereka. Disula semata-mata disebabkan tohmah dan prasangka kerana cinta dan setia kepada kami. Kemudian penindasan telah berlaku lebih dahsyat lagi sehingga ke zaman Ibn Ziyad selepas pembunuhan al-Husain (a.s.). Kemudian datang al-Hajjaj, lalu dia telah membunuh mereka (Syi'ah) dengan sewenang-wenangnya; berdasarkan tohmah dan prasangka sehingga seseorang lelaki itu dikatakan sebagai seorang zindiq atau majusi adalah lebih disenanginya daripada dikatakan bahawa dia adalah Syi'ah al-Husain salawatullahi 'alaihi.

Kadangkala anda melihat seorang lelaki dikatakan baik, warak dan benar telah meriwayatkan hadis-hadis yang besar dan pelik, melebih-lebihkan sesetengah pemerintah terdahulu di mana Allah tidak menjadikan untuk mereka sedemikian! Dia telah menyangka bahawa hadis-hadis tersebut adalah benar. Sementara orang ramai pula telah mendengar hadis-hadis tersebut daripadanya dan tidak mengenali tentang pembohongan dan keburukannya. Mereka telah meriwayatkan perkara-perkara yang buruk, hanya Allah sahaja yang mengetahui tentang Ali, al-Hasan dan al-Husain (a.s.). Sesungguhnya mereka telah meriwayatkan hadis-hadis palsu dan penuh dengan pembohongan.

Aku berkata kepadanya: Aslaha-ka llahu. Sebutkan hadis-hadis tersebut kepadaku? (Beliau berkata): Mereka telah meriwayatkan bahawa ''Dua penghulu bagi orang tua di Syurga adalah Abu Bakr dan Umar", ''Umar adalah Muhdathun", ''Malaikat mengajarnya", ''Kebenaran terdapat pada lidahnya (Umar)", ''Malaikat berasa malu kepada Uthman" sehingga Abu Ja'far a.s. telah menyebutkan lebih daripada seratus hadis. Mereka telah menyangka bahawa semua hadis tersebut adalah benar. Kemudian beliau berkata: Demi Tuhan! Semua hadis tersebut adalah bohong.

Aku berkata: Aslaha-ka llahu! Hadis-hadis tersebut tidak ada nilainya. Beliau a.s. berkata: Hadis-hadis tersebut ada yang palsu dan ada yang diubahsuai. Umumnya hadis-hadis tersebut adalah bohong dan batil. Wahai Tuhanku! Jadikanlah perkataanku ini perkataan Rasulullah Saw. dan perkataan Ali a.s. (Semoga) Umat Muhammad tidak akan berselisih faham mengenainya selepasnya sehingga Allah mengutuskan al-Mahdi a.s.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar