Total Tayangan Halaman

Minggu, 29 November 2015

Pujian al-Hasan al-Basri terhadap Ali a.s.



Abban berkata: Aku telah memberitahu hadis ini kepada al-Hasan al-Basri daripada Abu Dhar. Beliau berkata: Sulaim dan Abu Dhar memang benar, bahawa Ali bin Abu Talib mempunyai pendahuluan dalam agama, keilmuan, hikmah, fiqh, pemikiran, kesihatan, kelebihan, kesederhanaan, kekeluargaan, kemenantuan (sahr), pertolongan, peperangan, dermawan, keilmuan tentang hukuman, kekerabatan dan ujian. Sesungguhnya Ali dalam setiap urusan adalah terserah kepadaku. Justeru itu, Allah telah memberi rahmat kepada Ali dan bersalawat ke atasnya.

Kemudian beliau menangis sehingga basah janggutnya. Maka aku berkata kepadanya: Wahai Abu Sa'id! Adakah anda berkata kepada seseorang selain daripada Nabi Saw. apabila anda menyebutnya? Beliau berkata: Sebagaimana anda mengucapkan rahmat ke atas Muslimin apabila anda menyebut mereka. Salawat dan salam ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad. Sesungguhnya Ali adalah sebaik-baik keluarga Muhammad. Maka aku berkata: Wahai Abu Sa'id! Lebih baik daripada Hamzah, Ja'far, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain?

Maka beliau berkata: Ya. Demi Allah! Sesungguhnya beliau adalah lebih baik daripada mereka. Dan siapakah yang mengesyaki bahawa beliau adalah lebih baik daripada mereka? Aku berkata kepadanya: Dengan apa? Beliau menjawab: Tidak pernah dikaitkan dengan nama syirik, kekafiran, penyembahan berhala dan peminuman arak ke atasnya. Malah Ali lebih baik daripada mereka kerana beliau orang pertama menerima Islam, keilmuannya dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Sesungguhnya Rasulullah Saw. bersabda kepada Fatimah a.s.: "Suami anda adalah sebaik-baik umatku".

Sekiranya ada pada umat ini orang yang lebih baik daripadanya, nescaya beliau mengecualikannya. Sesungguhnya Rasulullah Saw. telah mempersaudarakan di kalangan para sahabatnya namun beliau telah mempersaudarakan Ali dengan dirinya sendiri. Justeru itu, Rasulullah Saw. adalah orang yang terbaik dari segi diri (nafsan) dan persaudaraan (akhan).

Beliau telah melantik Ali di Hari Ghadir Khum dan mewajibkan baginya al-Wilayah ke atas manusia sebagaimana beliau telah mewajibkannya ke atas dirinya sendiri . Beliau bersabda kepadanya: "Kedudukan anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa a.s." . Beliau tidak bersabda sedemikian itu kepada seorangpun daripada Ahl Baitnya dan umatnya selain daripada Ali a.s. Beliau mempunyai keistimewaan yang banyak mendahului orang lain. Maka aku berkata kepadanya: Siapakah orang yang paling baik daripada umat ini selepas Ali? Beliau (Al-Hasan al-Basri) berkata: Isterinya dan dua orang anak lelakinya. Aku berkata lagi: Kemudian siapa? Beliau berkata: Kemudian Ja'far dan Hamzah adalah sebaik-baik manusia.

Ashab al-Kisa' di mana ayat al-Tathir diturunkan untuk mereka. Rasulullah Saw. telah memeluk dirinya, Ali, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain. Kemudian Beliau bersabda: Mereka itulah kepercayaanku (thiqati), 'itrahku pada Ahl Baitku. Maka Allah telah menghilangkan daripada mereka kekotoran dosa dan membersihkan mereka sebersih-bersihnya. Maka Umm Salamah berkata: Masukkanlah aku dalam al-Kisa'. Beliau bersabda kepadanya: Wahai Umm Salamah! Anda dalam kebaikan dan kepada kebaikan. Sesungguhnya ayat ini telah diturunkan untuk aku dan mereka itu. Maka aku berkata: Allah! Wahai Abu Sa'id! Anda tidak meriwayatkannya tentang Ali a.s. dan aku tidak mendengar anda bercakap mengenainya. Beliau berkata: Saudaraku! Aku menjaga darahku daripada penguasa-penguasa yang zalim, Allah melaknati mereka. Wahai saudaraku! Jikalau tidak, aku akan melakukannya. Tetapi aku telah berkata apa yang aku dengar kepada seseorang, kemudian beliau menyampaikannya pula kepada mereka. Maka mereka akan menghalangku. Apa yang aku maksudkan adalah memarahi orang selain daripada Ali a.s. Lantaran itu, mereka telah menganggap aku bersama mereka. Bagiku firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminun (23): 96. ''Tolaklah kejahatan dengan cara yang paling baik" iaitu dengan bertaqiyyah".

Tidak ada komentar:

Posting Komentar