Total Tayangan Halaman

Kamis, 10 Desember 2015

Dialog Mu'awiyah dengan Ibn 'Abbas tentang tafsir al-Qur'an dan Hadis menurut Ahl al-Bait a.s.



Kemudian Mu'awiyah melalui hadapan kumpulan Quraisy. Apabila mereka melihatnya, maka semuanya berdiri melainkan Abdullah bin Abbas. Maka dia berkata kepadanya: Wahai Ibn Abbas! Apakah yang menghalang anda daripada berdiri sebagaimana berdirinya para sahabat anda melainkan wujudnya perasaan dendam kerana aku memerangi kalian pada Hari Siffin? Wahai Ibn Abbas! Sesungguhnya sepupuku Uthman telah dibunuh secara zalim (mazluman). Ibn Abbas berkata: Umar bin al-Khattab telah dibunuh secara zalim, maka dia menyerahkan urusan khilafah kepada anak lelakinya. Dia berkata: Umar dibunuh oleh seorang musyrik.

Ibn Abbas berkata: Siapakah yang membunuh Uthman? Dia menjawab: Orang Islam telah membunuhnya. Dia berkata: Itu dapat mengalahkan hujah anda dan menghalalkan darahnya sekiranya orang Islam yang membunuhnya. Maka mereka telah menghinanya dengan kebenaran. Mua'wiyah berkata: Kami telah menulis ke seluruh pelusuk bumi bahawa kami melarang daripada menyebut manaqib Ali dan Ahl Baitnya. Justeru itu, tahanlah lidah anda wahai Ibn Abbas. Dia berkata: Adakah anda melarangku daripada takwilnya? Dia menjawab: Ya. Ibn Abbas berkata: Manakah yang wajib ke atas kami, membacanya atau beramal dengannya? Dia berkata: Beramal dengannya. Dia berkata: Bagaimana kami beramal dengannya sebelum kami mengetahui sebab-sebab Allah menurunkannya ke atas kami? Dia berkata: Bertanyalah takwilnya kepada orang yang selain daripada anda dan keluarga anda.

Ibn Abbas berkata: Al-Qur'an telah diturunkan ke atas keluargaku, adakah aku akan bertanya tentangnya kepada keluarga Abu Sufyan, keluarga Abu Mu'id, Yahudi, Nasrani dan Majusi? Mua'wiyah berkata: Anda telah menukarkan kami dengan mereka? Dia berkata: Aku tidak menukarkan anda dengan mereka melainkan anda menegah umat daripada menyembah Allah berdasarkan al-Qur'an; suruhan, larangan, halal, haram, nasikh, mansukh, am, khas, muhkam dan mutasyabih. Sekiranya umat tidak bertanya tentang perkara tersebut, mereka binasa, berselisih faham dan sesat.

Mu'awiyah berkata: Bacalah al-Qur'an tetapi janganlah anda meriwayatkan sesuatu daripada apa yang Allah turunkan kepada kalian, dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah. Tetapi riwayatkanlah selain daripada itu. Ibn Abbas berkata: Allah berfirman di dalam Surah al-Taubah (9): 32 ''Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Allah enggan melainkan menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun dibenci oleh orang kafir". Mu'awiyah berkata: Cukuplah anda dan tahanlah lidah anda daripadaku. Sekiranya anda terpaksa melakukannya, maka lakukanlah secara rahsia (sirran) dan janganlah anda mendengarkannya kepada seseorang secara terang-terangan ('alaniyyatan). Kemudian Mua'wiyah kembali ke rumahnya lalu menghantar kepadanya lima puluh ribu dirham. (Di dalam riwayat yang lain seratus ribu dirham).


Penyiksaan terhadap Syi'ah Ali a.s. dan Ahl Baitnya a.s.

Kemudian penyiksaan berlaku dengan berleluasa pada setiap tempat ke atas Syi'ah Ali dan Ahl Baitnya a.s. Orang yang paling teruk menerima penyiksaan adalah penduduk Kufah kerana majoriti penduduk Kufah adalah Syi'ah. Ziyad telah menggabungkan dengan Basrah di bawah penguasaannya. Dia memantau pergerakan Syi'ah, mengetahui, mengenali dan mendengar percakapan mereka. Lantaran itu, dia telah membunuh mereka di mana-mana, mengusir, menakut-nakutkan, memotong tangan dan kaki, menyula mereka di batang-batang kurma, mengeluarkan mata dan mengusir mereka sehingga mereka meninggalkan Iraq. Tiada seorangpun daripada mereka yang tinggal melainkan dibunuh, disula, diusir atau melarikan diri.


Surat Mu'awiyah kepada para gabenor supaya tidak menerima penyaksian daripada Syi'ah Ali

Mu'awiyah telah menulis kepada para gabenornya di seluruh negara dengan menegaskan: Bahawa janganlah kalian menerima penyaksian seorangpun daripada Syi'ah Ali, Ahl Baitnya dan orang yang setia kepadanya yang melihat kelebihannya dan bercakap-cakap mengenai manaqibnya.


Surat Mu'awiyah supaya memperdekatkan Syi'ah Uthman dan orang yang meriwayatkan kelebihannya

Dia telah menulis kepada gabenor-gabenornya: Lihatlah di sisi kalian Syi'ah Uthman, pencintanya, keluarganya dan orang yang setia kepadanya yang melihat kelebihannya dan bercakap-cakap tentang manaqibnya. Maka kalian izinlah majlis-majlis mereka dan hormatilah mereka, perdekatkan dan muliakan mereka. Kalian tuliskan kepadaku apa yang diriwayatkan oleh setiap orang daripada mereka tentangnya dengan namanya, nama bapanya dan daripada siapa dia. Mereka melakukan sedemikian sehingga mereka memperbanyakkan hadis tentang Uthman.

Dia menghantar kepada mereka pakaian dan lain-lain. Dia memperbanyakkan untuk mereka Arab dan Mawali pada setiap tempat sehingga mereka menjadi ramai, lalu mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan kedudukan dan kemewahan sehingga tiada seorangpun yang mendatangi gabenor di setiap negeri dan tempat, melainkan mereka meriwayatkan kelebihan Uthman. Kemudian dituliskan namanya, didekati dan diberikan pertolongan kepadanya. Mereka tinggal di dalam keadaan sedemikian sehingga dikehendaki Allah.


Surat Mu'awiyah supaya meriwayatkan kelebihan Abu Bakr dan Umar

Kemudian Mua'wiyah menulis kepada para gabenornya: Bahawa hadis telah menjadi banyak mengenai Uthman dan tersebar di seluruh negara. Apabila sampai suratku ini, maka serulah mereka supaya meriwayatkan kelebihan Abu Bakr dan Umar kerana kelebihan dan keterawalan mereka berdua lebihku cintai, lebih tenang mataku dan mematahkan hujah Ahl Bait ini, dan lebih kuat ke atas mereka daripada manaqib Uthman dan kelebihannya. Lantaran itu, setiap amir dan kadi telah membacakan suratnya kepada orang ramai. Maka orang ramai mengambil riwayat tentang mereka dan kelebihan mereka.

Kemudian dia menulis satu surat yang menghimpunkan riwayat-riwayat tentang kelebihan mereka dan menghantarnya kepada gabenor-gabenornya serta memerintahkan mereka membacakannya di atas mimbar-mimbar masjid. Dia memerintahkan supaya melaksanakannya melalui guru-guru tadika lalu mereka mengajar kanak-kanak sehingga mereka meriwayatkannya dan mempelajarinya sebagaimana mereka mempelajari al-Qur'an. Mereka telah mengajar anak-anak perempuan, perempuan-perempuan dan pembantu-pembantu mereka.

Mereka tinggal sedemikian sehingga dikehendaki oleh Allah. Kemudian dia menulis satu surat dan dihantar ke seluruh negara: ''Kalian lihatlah siapa yang menjadi saksi, jika dia mencintai Ali dan Ahl Baitnya, maka padamkan namanya dari Dewan dan kalian janganlah menerima penyaksiannya".


Surat Mu'awiyah supaya membunuh sesiapa yang dituduh mencintai Ali a.s. dan Ahl Baitnya

Kemudian dia menulis surat yang lain: ''Sesiapa yang dituduh oleh kalian dan tidak ada bukti ke atasnya, maka bunuhlah dia". Justeru itu, mereka membunuh sesiapa sahaja berdasarkan tuduhan semata-mata, sangkaan dan syubhat di mana sahaja sehingga seseorang yang tersalah cakap maka kepalanya dipenggal. Penyiksaan yang paling besar dan dahsyat adalah di Iraq khususnya di Kufah. Syi'ah Ali a.s. yang terdiri daripada para sahabatnya di Madinah dan lain-lainnya, jika seorang yang dipercayai memasuki rumahnya kemudian memberitahu rahsianya kepadanya, nescaya dia menjadi takut kepada pembantunya dan hambanya.

Lantaran itu, mereka tidak memberitahu sehingga seseorang itu melakukan sumpah yang kuat. Perkara tersebut menjadi lebih tegang dan bertambah ramai musuh mereka di sisi mereka. Mereka telah mencipta hadis-hadis palsu tentang para sahabat mereka. Orang ramai dibesarkan dengan hadis-hadis tersebut dan mereka tidak belajar melainkan daripada mereka. Demikian juga ia telah berlaku kepada kadi-kadi, gabenor-gabenor dan fuqaha' mereka. Orang yang paling dahsyat melakukan fitnah adalah al-Qurra' (qari/guru agama) yang berpura-pura warak dan khusyuk, tetapi berbohong dan mengajar hadis-hadis palsu bagi mendapat ganjaran daripada pemerintah dengan menghadiri majlis mereka. Oleh itu, mereka mendapat harta dan pangkat.

Hadis-hadis dan riwayat-riwayat tentang mereka (Abu Bakr dan Umar) berada di tangan orang yang menganggap bahawa hadis-hadis tersebut adalah benar. Justeru itu, mereka meriwayatkan, mempelajari, mengajar dan mencintainya, dan memarahi orang yang menolaknya. Dengan itu, hadis-hadis tersebut telah berada di tangan orang yang mempunyai agama yang tidak pernah berbohong. Mereka memarahi ahlinya kerananya. Lantaran itu, mereka telah menerimanya dan meriwayatkannya di atas alasan ia adalah benar. Sekiranya mereka mengetahui bahawa ia adalah batil, nescaya mereka tidak akan meriwayatkan dan tidak akan beragama dengannya. Justeru kebenaran pada zaman itu adalah kebatilan dan kebatilan adalah kebenaran, kebenaran adalah pembohongan dan pembohongan adalah kebenaran.

Rasulullah Saw. bersabda: "Fitnah akan meliputi kalian sama ada yang muda ataupun yang tua". Ia menjadi perkara biasa kepada orang ramai dan mereka mengambilnya sebagai sunnah. Jika sedikit sahaja sunnah Umar diubah, mereka akan berkata: Orang ramai telah membawa kemungkaran kerana sunnah telah diubah. Apabila al-Hasan bin Ali a.s. wafat, fitnah dan bala makin membesar. Tidak ada seorang wali Allah melainkan menjadi takut dengan darahnya, sama ada dia melarikan diri atau diusir. Sementara musuh Allah menzahirkan bid'ah dan kesesatannya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar