Total Tayangan Halaman

Kamis, 10 Desember 2015

Penjelasan Nabi Saw. tentang keutamaan Ali a.s.



Ali bin Abu Talib a.s. berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah! Nasabkan aku, siapakah aku? Supaya orang ramai mengetahui kekerabatanku dengan anda. Maka beliau bersabda: Wahai Ali! Aku dan anda telah diciptakan daripada dua tiang daripada satu cahaya yang tergantung di bawah 'Arasy dan mengtaqdiskan Malaikat sebelum Dia menciptakan makhluk selama dua ribu tahun. Kemudian Dia telah menciptakan dua nutfah putih daripada dua tiang yang bertaut di antara keduanya.

Kemudian Dia memindahkan kedua-dua nutfah tersebut pada sulbi-sulbi yang mulia kepada rahim-rahim yang cerdik lagi bersih sehingga Dia menjadikan separuhnya pada sulbi Abdullah, dan separuhnya pada sulbi Abu Talib. Maka sebahagiannya adalah aku, dan sebahagian adalah anda sebagaimana firman Allah "Dialah yang telah menciptakan manusia daripada air dan Dia telah menjadikannya keturunan dan ipar, dan adalah Tuhan kamu Maha Berkuasa". Wahai Ali! Anda adalah daripada aku dan aku adalah daripada anda. Daging anda adalah dagingku. Darah anda adalah darahku. Anda adalah sebab antara Allah dan makhluk-Nya selepasku. Sesiapa yang mengingkari wilayah anda, sesungguhnya dia telah memutuskan sebab antaranya dan Allah. Dan dia berada di peringkat yang terkebawah.

Wahai Ali! Allah tidak akan dikenali melainkan denganku, kemudian dengan anda. Sesiapa yang mengingkari wilayah anda, sesungguhnya dia telah mengingkari Allah akan rububiyyah-Nya. Wahai Ali! Anda adalah bendera Allah yang akbar selepasku di Bumi. Anda adalah tiang yang akbar pada Hari Kiamat. Sesiapa yang berteduh di bawah kumpulan anda, maka dia berjaya. Kerana hisab makhluk adalah kepada anda. Tempat rujuk mereka adalah kepada anda.

Timbangan adalah timbangan anda. Sirat adalah Sirat anda. Tempat berhenti adalah tempat berhenti anda. Hisab adalah hisab anda. Sesiapa yang cenderung kepada anda, maka dia berjaya. Sesiapa yang menyalahi anda, maka dia binasa. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Kemudian beliau pun turun.


Kata-kata Quraisy: "Umpama Muhammad sepertilah pokok kurma yang tumbuh di dalam sampah"

Abban daripada Sulaim berkata: Apabila Quraisy telah berada di majlisnya, dia melihat seorang lelaki daripada Ahl al-Bait, lantas dia memotong percakapannya semasa duduk. Tiba-tiba seorang lelaki di kalangan mereka berkata: Umpama Muhammad pada Ahl al-Baitnya sepertilah pokok kurma yang tumbuh di dalam sampah. Kata-kata sedemikian telah sampai kepada Rasulullah (Saw.), lantas beliau menjadi marah. Kemudian beliau keluar, menaiki mimbar dan mendudukinya sehingga orang ramai berkumpul. Beliau berdiri memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Kemudian bersabda: Wahai manusia! Siapakah aku? Mereka berkata: Anda adalah Rasulullah (Saw.) Beliau bersabda: Aku adalah Rasulullah (Saw.) dan aku adalah Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Muttalib bin Hasyim. Kemudian beliau terus menyebut nasabnya sehingga berakhir kepada Nizar. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya aku dan Ahl Baitku adalah cahaya yang berjalan di hadapan Allah sebelum Allah menciptakan Adam dua ribu tahun. Apabila Cahaya tersebut bertasbih, para Malaikat turut sama bertasbih kerana tasbihnya. Apabila Dia menciptakan Adam, Dia meletakkan cahaya tersebut di sulbinya. Kemudian Dia menurunkannya ke Bumi pada sulbi Adam.

Kemudian Dia telah membawanya pada bahtera Nuh pada sulbi Nuh. Kemudian Dia mencampakkannya pada sulbi Ibrahim. Kemudian Dia sentiasa memindahkan kami pada sulbi-sulbi yang mulia sehingga Dia mengeluarkan kami daripada galian yang terbaik antara bapa-bapa dan ibu-ibu yang tidak pernah berzina.

Sesungguhnya kami Bani Abd al-Muttalib adalah penghulu Ahli syurga. Aku, Ali, Ja'far, Hamzah, al-Hasan, al-Husain, Fatimah dan al-Mahdi. Sesungguhnya Allah telah merenung kepada ahli Bumi satu renungan, maka Dia memilih daripada mereka dua lelaki. Salah seorang daripadanya adalah aku, lalu Dia mengutusku sebagai Rasul dan Nabi. Dan yang satu lagi adalah Ali bin Abu Talib.

Dia telah mewahyukan kepadaku supaya mengambilnya sebagai saudara, khalil, wazir, wasi dan khalifah. Sesungguhnya beliau adalah wali kepada setiap Mukmin selepasku. Sesiapa yang menjadikannya wali, maka Allah memuliakannya. Seiapa yang memusuhinya, maka dia telah memusuhi Allah. Tidak mencintainya melainkan Mukmin dan tidak membencikannya melainkan orang kafir. Beliaulah Dhar al-Ardh selepasku dan penghuninya. Beliaulah Kalimatu Llah al-Taqwa dan 'Urwah-Nya al-Wuthqa.

Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Dan Allah menyempurnakan cahayanya sekalipun dibenci oleh orang kafir. Sesungguhnya Allah merenung pada kali kedua, maka Dia memilih selepas kami dua belas wasi dan Ahl Baitku. Maka Dia menjadikan mereka sebaik-baik umatku seorang demi seorang seperti bintang-bintang di langit. Setiap kali satu bintang hilang, muncul pula bintang yang lain. Mereka adalah para imam yang mendapat petunjuk. Tipu-daya tidak akan memudaratkan mereka. Tidak ada penghinaan yang boleh menghina mereka. Mereka adalah hujah-hujah Allah di Bumi-Nya, saksi-saksi-Nya ke atas makhluk-Nya.

Penyimpan-penyimpan ilmu-Nya. Penterjemah-penterjemah wahyu-Nya dan galian-galian hikmat-Nya. Sesiapa yang mentaati mereka, maka dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai mereka, maka dia menderhakai Allah. Mereka bersama al-Qur'an dan al-Qur'an bersama mereka. Mereka tidak akan berpisah dengannya sehingga mereka dikembalikan ke atasku di al-Haudh. Hendaklah orang yang hadir memberitahu akan orang tidak hadir. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah.


Pemberitahuan Abu Dhar tentang keajaiban Hadis Nabi Saw. mengenai Ali

Abban bin Abi 'Iyasy daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku telah berkata kepada Abu Dhar: Beritahukan kepadaku rahima-ka-Llahu tentang keajaiban hadis yang anda dengar daripada Rasulullah (Saw.) mengenai Ali bin Abu Talib? Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sesungguhnya di sekeliling 'Arasy ada sembilan puluh Malaikat yang tidak bertasbih dan tidak pula beribadah melainkan ketaatan kepada Ali bin Abu Talib, membersihkan diri ke atas musuh-musuhnya dan beristighfar kepada Syi'ahnya.

Aku berkata: Adakah hadis yang lain daripada ini rahima-ka-Llahu? Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Allah sentiasa berhujah dengan Ali pada setiap umat yang diutuskan-Nya Nabi dan mempersaksikan mereka bahawa mengenali Ali adalah sebesar-besar darjat di sisi Allah. Aku berkata: Adakah hadis selain daripada ini rahima-ka-Llahu? Beliau berkata: Ya. Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sekiranya aku dan Ali tidak ada, nescaya Allah tidak dikenali. Sekiranya aku dan Ali tidak ada, nescaya Allah tidak disembah. Sekiranya aku dan Ali tidak ada, nescaya tidak ada pahala dan siksa. Tidak ada penutup yang menutupi Ali daripada Allah dan tidak ada hijab yang menutupinya daripada Allah. Beliaulah penutup (sitrun) dan hijab di antara Allah dan makhluk-Nya.


Pemberitahuan al-Miqdad tentang keajaiban Hadis Nabi Saw. mengenai Ali

Sulaim berkata: Kemudian aku telah bertanyakan al-Miqdad, maka aku berkata: Beritahukan aku rahima-ka-Llahu keutamaan hadis yang anda dengar daripada Rasulullah (Saw.) tentang Ali bin Abu Talib? Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sesungguhnya Allah telah menyatukan kekuasaan-Nya lalu memperkenalkan cahaya-cahaya-Nya akan diri-Nya. Kemudian Dia memfardukan kepada mereka suruhan-Nya dan mengharuskan mereka Syurga-Nya. Sesiapa yang mahu membersihkan hatinya daripada Jin dan manusia, hendaklah dia mengenali wilayah Ali bin Abu Talib. Sesiapa yang mahu memadamkan hatinya, hendaklah dia menahan dirinya daripada mengenali (ma'rifah) Ali bin Abu Talib.

Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa Adam tidak boleh mewajibkan Allah untuk menciptakannya, menghembuskan padanya daripada roh-Nya, menerima taubatnya dan mengembalikannya ke Syurga-Nya melainkan dengan kenabianku dan wilayah Ali selepasku. Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa Dia tidak memperlihatkan Ibrahim keajaiban alam malakut dan tidak mengambilnya sebagai khalil melainkan dengan kenabianku dan pengakuan kepada Ali selepasku. Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa Allah tidak bercakap dengan Musa sebarang percakapan, begitu juga 'Isa tidak mendirikan bukti (ayatan) bagi segala Alam melainkan dengan kenabianku dan mengenali Ali selepasku. Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa seseorang itu tidak menjadi Nabi melainkan dia mengetahui dan mengakui wilayah kami. Dan tidak berhak makhluk Allah "melihat" kepada-Nya melainkan dengan beribadat kepada-Nya, dan mengakui (Ali) selepasku. Kemudian beliau diam.

Maka aku berkata: Adakah hadis selain daripada ini rahima-ka-Llahu? Dia berkata: Ya. Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Ali adalah orang yang paling kuat beragama pada umat ini, saksi ke atas-Nya, pengendali hisab-Nya. Beliaulah tuan kepada kedudukan yang tinggi, jalan kebenaran, jalan Allah yang lurus, beliau adalah penunjuk selepasku dari kesesatan. Dengan beliaulah seorang itu dapat melihat kebenaran. Dengan beliaulah berjayanya orang yang berjaya. Dengan beliaulah seorang itu dapat mengelakkan dirinya dari kematian yang sia-sia dan aman daripada ketakutan. Dengan beliaulah kejahatan dipadamkan, kesedihan dihilangkan dan rahmat diturunkan.

Beliau adalah mata Allah yang melihat, telinga-Nya yang mendengar, lidah-Nya yang bercakap pada makhluk-Nya. Dialah tangan Allah yang terbentang ke atas hamba-Nya dengan rahmat, muka-Nya di Langit dan di Bumi, rusuk kanan-Nya yang zahir (janbu-hu al-Zahir al-Yamin), tali-Nya yang kuat lagi utuh. Ikatan-Nya yang kuat tanpa perpisahan. Pintu-Nya yang dikunjungi, rumah-Nya di mana sesiapa yang memasukinya adalah terselamat dan bendera-Nya di atas Sirat. Sesiapa yang mengenalinya, akan berjaya ke Syurga. Dan sesiapa yang mengingkarinya, akan masuk ke Neraka.


Kata-kata Salman al-Farisi bahawa Ali a.s. adalah pintu yang dibukakan Allah

Abban daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku mendengar Salman al-Farisi berkata: Sesungguhnya Ali (a.s.), adalah pintu yang telah dibukakan oleh Allah. Sesiapa yang memasukinya adalah Mukmin dan sesiapa yang keluar daripadanya adalah kafir.


Pemberitahuan Abdullah bin Abbas tentang apa yang berlaku selepas kewafatan Nabi Saw.

Abban daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku berada di sisi Abdullah bin Abbas di rumahnya. Bersama kami adalah sekumpulan Syi'ah Ali a.s. Kami bercakap-cakap sehingga beliau berkata: Wahai saudara-saudaraku! Rasulullah (Saw.) telah wafat dan sejak hari kewafatannya (hingga kini), beliau masih belum diletakkan ke lubang lahadnya sehingga orang ramai bercakap perkara yang lucu. Mereka menjadi murtad dan bersetuju di atas perkara yang bertentangan (khilaf).

Ali bin Abu Talib sibuk dengan urusan jenazah Rasulullah Saw. sehingga beliau selesai daripada memandi, mengkafan dan mengtahnitkannya. Lantas beliau meletakkan Rasulullah Saw. di lubang lahadnya. Kemudian beliau menumpukan sepenuh masa mengumpul al-Qur'an, tanpa memusatkan kepada wasiat Rasulullah (Saw.) kerana tujuannya bukanlah untuk kekuasaan (al-Mulk) dan Rasulullah (Saw.) telah memberitahunya tentang kaum yang akan belot.


Kejadian yang berlaku ke atas Ali a.s. dan Fatimah a.s. serta para mereka selepas membai'ah Abu Bakr

Manakala orang ramai telah menerima fitnah daripada dua lelaki itu Abu Bakr dan Umar), maka tidak tinggal melainkan Ali, Bani Hasyim, Abu Dhar, al-Miqdad dan Salman dalam bilangan yang sedikit. Umar berkata kepada Abu Bakr: Apa ini? Sesungguhnya orang ramai telah memberi bai'ah kepada anda selain lelaki ini, Ahl Baitnya dan beberapa orang lain. Lantaran itu, utuslah kepadanya.

Maka Abu Bakr pun mengutuskan sepupu Umar bernama Qunfudh dan berkata: Pergilah kepada Ali dan katakan kepadanya: Sahutilah seruan Khalifah Rasulullah (Saw.). Maka diapun pergi dan menyampaikannya. Lalu Ali (a.s.) berkata: Alangkah cepatnya kalian berbohong terhadap Rasulullah (Saw.), dan kalian telah menjadi murtad. Demi Tuhan! beliau tidak melantik selain daripadaku. Justeru itu, pulanglah wahai Qunfudh! Kerana anda adalah pesuruhnya. Ali berkata kepada anda: Demi Tuhan! Rasulullah (Saw.) tidak pernah melantik anda. Sesungguhnya anda memang mengetahui siapakah Khalifah Rasulullah (Saw.). Qunfudh pun pulang kepada Abu Bakr dan menyampaikan risalah kepadanya.

Maka Abu Bakr berkata : Ali memang benar bahawa Rasulullah (Saw.) tidak pernah melantikku. Maka Umar menjadi marah Dia melompat dan berdiri sambil berkata: Duduklah. Kemudian dia berkata kepada Qunfudh: Pergilah kepadanya dan katakan kepadanya: Sahutilah seruan Amir al-Mukminin Abu Bakr. Maka Qunfudh pun pergi sehingga dia berjumpa Ali (a.s.), lalu menyampaikan risalah.

Beliau a.s. berkata: Abu Bakr telah berbohong. Demi Tuhan! Kembalilah kepadanya dan katakan kepadanya: Anda telah menamakan diri anda bukan dengan nama anda. Sesungguhnya anda mengetahui bahawa Amir al-Mukminin adalah selain daripada anda. Lalu Qunfudh pun pulang dan memberitahu mereka berdua. Lantas Umar melompat di dalam keadaan marah dan berkata: Demi Tuhan! Sesungguhnya aku mengetahui kecetekannya dan kelemahan pendapatnya. Sesungguhnya urusan kita tidak akan berjalan dengan baik sehingga anda membunuhnya. Lantaran itu, biarkan aku mendatangi anda dengan kepalanya.

Maka Abu Bakr berkata: Duduklah. Namun Umar enggan. Dia bersumpah ke atasnya, lalu duduk. Kemudian dia berkata: Wahai Qunfudh! Pergilah dan katakan kepadanya: Sahutilah seruan Abu Bakr. Maka qunfudh pun pergi berjumpa Ali a.s. dan berkata: Wahai Ali! Sahutilah seruan Abu Bakr. Ali a.s menjawab: Aku terlalu sibuk. Lagipun aku tidak mahu meninggalkan wasiat khalilku dan saudaraku. Dia pergi kepada Abu Bakr dan memberitahunya. Lalu Umar melompat dalam keadaan marah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar