Total Tayangan Halaman

Kamis, 10 Desember 2015

Seruan Nabi Saw di Ghadir Khum dan Imamah Ali a.s."


Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar Abu Sa'id al-Khudri berkata: Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah menyeru orang ramai di Ghadir Khum pada hari khamis sambil memegang ketiak Ali bin Abu Talib a.s., dan mengangkatnya sehingga aku melihat keputihan di ketiak Rasulullah (Saw.) dan bersabda: Sesiapa yang menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku! Muliakanlah orang yang menjadikannya wali. Musuhilah orang yang memusuhinya. Tolonglah orang yang menolongnya. Hinalah orang yang menghinanya.

Abu Sa'id berkata: Beliau terus berdiri sehingga turun firman-Nya dalam Surah al-Ma'idah (5): 3, "Pada hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku, dan Aku meridhai Islam menjadi agamamu". Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Allahu Akbar kerana menyempurnakan agama, melengkapi nikmat dan keridhaan ilahi dengan risalahku, dan wilayah Ali selepasku.


Sya'ir Hasan bin Thabit tentang Ghadir Khum

Hasan bin Thabit berkata: Wahai Rasulullah (Saw.)! Izinkan aku untuk mengungkapkan beberapa bait sya'ir untuk Ali (a.s.). Maka beliau bersabda: Teruskanlah di atas berkat Allah. Hasan berkata: Wahai ketua-ketua Quraisy! Dengarlah kata-kataku dengan penyaksian Rasulullah (Saw.):

Tidakkah kalian mengetahui bahawa

Nabi adalah Muhammad

Di Ghadir Khum ketika beliau berdiri sambil menyeru

Jibril mendatanginya daripada sisi Tuhannya

Sesungguhnya anda adalah maksum

bukan seorang yang cuai

Sampaikan kepada mereka apa yang diturunkan oleh Allah

Tuhan mereka

Jika anda tidak melakukannya

dan memperingati si zalim

Di atas anda apa yang telah anda

sampaikan kepada mereka risalah-Nya

Jika anda takutkan permusuhan

Beliau berdiri manakala beliau mengangkat tangannya

Dengan tangan kanannya mengisytiharkannya

dengan suara yang tinggi

Beliau bersabda: Sesiapa yang menjadikanku maulanya

Hafazlah kata-kataku supaya tidak terlupa

Maula selepasku adalah Ali

Sesungguhnya aku dengannya meridhai untuk kalian

Wahai Tuhanku! Sesiapa yang mewalikan Ali, muliakanlah

Jadilah musuh kepada orang yang memusuhi Ali

Wahai Tuhanku! Tolonglah pembantu-pembantunya

Imam petunjuk seperti bulan yang penuh purnama

Wahai Tuhanku! Hinalah orang yang menghinanya

Dan jadikanlah ganjaran kepada mereka pada Hari Hisab.



Kata-kata Ali a.s.: "Bagiku sepuluh keistimewaan daripada Rasulullah (Saw.)"

Abban daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku telah mendengar Ali a.s. berkata: Bagiku sepuluh keistimewaan daripada Rasulullah (Saw.). Seseorang berkata kepadanya: Jelaskan kepada kami wahai Amir al-Mukminin! Maka beliau berkata: Rasulullah (Saw.) bersabda: Wahai Ali! Anda adalah saudara, anda adalah khalil, anda adalah wasi, anda adalah wazir, anda adalah khalifah pada keluarga dan hartaku pada masa ketiadaanku. Kedudukan anda di sisiku sepertilah kedudukan aku di sisi Tuhanku. Anda adalah khalifah pada umatku. Wali anda adalah waliku. Musuh anda adalah musuhku. Anda adalah Amir al-Mukminin, Penghulu Muslimin selepasku .

Kemudian Ali a.s. berdepan dengan para sahabatnya dan berkata: Wahai para sahabatku! Demi Tuhan, aku tidak mendahului sesuatu perkara melainkan apa yang telah dijanjikan kepadaku oleh Rasulullah (Saw.). Maka berbahagialah orang yang teguh kecintaan kepada kami Ahl al-Bait di hatinya agar imannya lebih teguh di hati daripada Bukit Uhud di tempatnya. Sesiapa yang tidak ada kecintaan kepada kami di hatinya akan berkurangan iman di hatinya seperti berkurangan garam di air. Demi Tuhan! Tidak ada sebutan di dunia yang lebih dicintai oleh Rasulullah (Saw.) daripada sebutanku. Tidak ada orang yang mengerjakan solat Dua Qiblat seperti solatku. Aku telah mengerjakan solat sebelum baligh.

Fatimah adalah sebahagian daripada Rasulullah (Saw.) adalah di bawahku. Beliau pada zamannya seperti Maryam binti 'Imran pada zamannya. Aku berkata kepada kalian perkara ketiga bahawa al-Hasan dan al-Husain (a.s.) kedua-duanya adalah anak lelaki umat ini. Mereka berdua daripada Muhammad (Saw.) sepertilah kedudukan dua mata pada kepala. Adapun aku seperti kedudukan dua tangan pada badan. Adapun Fatimah (a.s.) sepertilah kedudukan hati pada badan. Umpama kami sepertilah bahtera Nuh. Sesiapa yang menaikinya berjaya. Sesiapa yang tidak menaikinya tenggelam (binasa).


Doa Nabi Saw. terhadap 'Aisyah dan Hafsah: "Wahai Tuhanku! Tutuplah pendengaran mereka berdua"

Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar Ali a.s. berkata: Rasulullah Saw. berjanji kepadaku pada hari kewafatannya. Aku telah menyandarkannya di dadaku dan kepalanya di sisi telingaku. Dua perempuan itu telah mencuri dengar percakapan kami. Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Wahai Tuhanku! Tutuplah pendengaran mereka berdua.

Kemudian beliau bersabda: Wahai Ali! Apakah pendapat anda tentang firman Allah dalam Surah al-Bayyinah (98): 7, "Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal salih, maka mereka itulah sebaik-baik makhluk". Adakah anda mengetahui siapakah mereka? Aku berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Beliau bersabda: Sesungguhnya mereka itu adalah Syi'ah anda dan pembantu-pembantu anda, perjanjianku dan perjanjian mereka di Haudh pada Hari Kiamat. Kalian akan datang dalam keadaan wajah yang berseri-seri, kenyang dan kerehatan.

Wahai Ali! Firman Allah dalam Surah al-Bayyinah (98): 6, "Sesungguhnya orang kafir daripada Ahli al-Kitab dan Musyrikin di Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya dan mereka itulah sejahat-jahat makhluk". Mereka itu adalah Yahudi dan Bani Umayyah, dan Syi'ah mereka akan dibangkitkan pada Hari Kiamat sebagai orang yang celaka, kelaparan dan dahaga dalam keadaan wajah mereka kehitaman.


Kata-kata Mu'awiyah kepada Abdullah bin Ja'far: "Alangkah kuatnya anda membesar-besarkan al-Hasan dan al-Husain"

Abban daripada Sulaim berkata: Abdullah bin Ja'far bin Abi Talib telah memberitahuku bahawa beliau berkata: Aku berada di sisi Mu'awiyah, bersama kami ialah al-Hasan dan al-Husain dan di sisinya ialah Abdullah bin Abbas, maka Mu'awiyah telah berpaling kepadaku dan berkata: Wahai Abdullah! Alangkah kuatnya anda membesar-besarkan al-Hasan dan al-Husain. Mereka berdua bukanlah lebih baik daripada anda dan bapa mereka berdua bukanlah lebih baik daripada bapa anda. Sekiranya Fatimah bukanlah anak perempuan Rasulullah, nescaya aku akan berkata bahawa ibu anda Asma' binti 'Umaisy adalah lebih baik daripadanya.

Aku berkata: Demi Allah! Sesungguhnya anda mempunyai maklumat yang sedikit tentang mereka, bapa mereka dan ibu mereka berdua. Demi Tuhan! Mereka berdua adalah lebih baik daripadaku, bapa mereka lebih baik daripada bapaku dan ibu mereka adalah lebih baik daripada ibuku. Wahai Mu'awiyah! Sesungguhnya anda terlupa apa yang telah aku dengar daripada Rasulullah Saw. tentang mereka, bapa dan ibu mereka berdua. Aku menghafaz, menjaga dan meriwayatkannya. Dia berkata: Berikan buktinya wahai Ibn Ja'far! Demi Tuhan, anda bukanlah pembohong dan bukan pula dituduh berbohong.

Aku berkata: Ia lebih besar daripada apa yang ada pada diri anda. Dia berkata: Sekalipun ia lebih besar daripada seseorang atau semua orang, maka aku tidak peduli apabila Allah membunuh sahabat anda, memecah-belahkan perpaduan mereka dan urusan khilafah menjadi milik ahlinya. Lantaran itu, beritahukan kepada kami kerana kami tidak peduli apa yang anda perkatakan dan tidak akan memudaratkan kami apa yang kalian tidak ada. Aku berkata: Aku telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda ketika ditanya tentang firman-Nya di dalam Surah al-Isra' (17): 60, "Kami tidak menjadikan apa yang kami perlihatkan kepada engkau melainkan menjadi fitnah kepada manusia dan pokok kayu yang dilaknati di dalam al-Qur'an".

Beliau bersabda: Sesungguhnya aku telah melihat dua belas orang lelaki daripada para imam yang sesat menaiki mimbarku, kemudian mereka turun dan menolak umatku ke belakang. Di kalangan mereka adalah dua orang daripada suku yang berbeza; tiga daripada Bani Umayyah dan tujuh daripada anak lelaki al-Hakam bin Abi al-'As. Dan aku mendengarnya bersabda: Sesungguhnya Bani Abi al-'As apabila mereka sampai tiga puluh lelaki, mereka menjadikan Kitab Allah sebagai pendapatan, hamba-hamba Allah sebagai hak milik dan harta Allah berputar di kalangan mereka.

Wahai Mu'awiyah! Aku telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda di atas mimbarnya dan aku, Umar bin Abi Salmah, Usamah bin Zaid, Sa'd bin Abi Waqas, Salman al-Farisi, Abu Dhar, al-Miqdad dan al-Zubair bin al-'Awwam berada di hadapannya, beliau bersabda: Tidakkah aku aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Maka kami berkata: Ya, wahai Rasulullah! Beliau bersabda: Tidakkah para isteriku adalah ibu-ibu kalian? Maka kami berkata: Ya, wahai Rasulullah!

Beliau bersabda: Sesiapa yang aku adalah maulanya, maka Ali adalah maulanya dan aula dengannya daripada dirinya- Beliau telah menepok bahu Ali dengan dua tangannya- Wahai Tuhanku! Muliakanlah orang yang menjadikannya wali. Musuhilah orang yang memusuhinya. Wahai manusia! Aku adalah aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri dan mereka tidak ada urusan denganku. Kemudian anak lelakiku al-Hasan adalah aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri dan mereka tidak ada urusan dengannya.

Kemudian beliau kembali dan bersabda: Wahai manusia! Apabila aku mati syahid. maka Ali adalah aula dengan kalian daripada diri kalian. Apabila Ali mati syahid, maka anak lelakiku al-Hasan adalah aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri. Apabila al-Hasan mati syahid maka anak lelakiku al-Husain aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri. Apabila al-Husain mati syahid, maka anak lelakiku Ali bin al-Husain adalah aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri dan mereka tidak ada urusan dengannya.

Kemudian beliau melihat kepada Ali (a.s.) dan bersabda: Wahai Ali! Sesungguhnya anda akan berjumpanya dengannya, maka sampaikanlah salamku kepadanya. Apabila beliau mati syahid maka anak lelakiku Muhammad adalah aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri dan wahai al-Husain! Anda akan berjumpa dengannya, maka sampaikanlah salamku kepadanya. Kemudian seorang demi seorang daripada keturunan Muhammad aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri dan mereka tidak ada urusan dengannya. Semua mereka adalah pembimbing yang mendapat hidayah.

Maka Ali a.s. terus berdiri dalam keadaan menangis dan berkata: Dengan nama bapaku, anda dan ibuku wahai Nabi Allah! Adakah anda akan dibunuh? Beliau menjawab: Ya. Aku akan mati syahid kerana diracun dan anda akan dibunuh dengan pedang. Janggut anda akan dicelupkan dengan darah kepala anda. Anakku al-Hasan akan dibunuh dengan racun. Anakku al-Husain akan dibunuh dengan pedang oleh penzalim bin penzalim.

Mu'awiyah berkata: Sesungguhnya anda telah memperkatakan perkara yang besar. Sekiranya apa yang anda perkatakan itu adalah benar, maka sesungguhnya binasalah umat Muhammad yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar selain daripada kalian Ahl al-Bait, para wali kalian dan pembantu-pembantu kalian. Aku berkata: Demi Allah! Apa yang aku perkatakan itu adalah benar. Aku telah mendengarnya daripada Rasulullah (Saw.).

Mu'awiyah berkata: Wahai al-Hasan! Wahai al-Husain! Wahai Ibn Abbas! Apakah yang diperkatakan oleh Ibn Ja'far? Ibn Abbas berkata: Anda jangan percaya apa yang dikatakannya sehingga anda mengutuskan kepada mereka yang telah disebutkannya. Justeru itu, anda bertanyalah kepada mereka. Mu'awiyah telah mengutuskan Umar bin Abi Salmah dan Usamah bin Zaid, lalu dia bertanya kepada mereka berdua. Lantas mereka berdua memberi penyaksian: Bahawa apa yang dikatakan oleh Ibn Ja'far itu, telah kami dengar daripada Rasulullah (Saw.) sebagaimana beliau mendengarnya. Maka Mu'awiyah berkata: Wahai Ibn Ja'far! Kami telah mendengar tentang al-Hasan dan al-Husain serta bapa mereka berdua tetapi aku tidak mendengar tentang ibu mereka. Mu'awiyah seperti mempersendakan dan mengingkarinya.

Maka aku berkata: Aku telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Tidak ada di Syurga rumah yang paling mulia, afdal dan paling hampir kepada 'Arasy Tuhanku selain daripada rumahku. Bersamaku adalah tiga belas daripada Ahl Baitku; Saudaraku Ali, anak perempuanku Fatimah, dua anak lelakiku al-Hasan dan al-Husain dan sembilan daripada anak lelaki al-Husain yang telah dihilangkan kekotoran dosa oleh Allah dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya. Mereka adalah pembimbing yang mendapat hidayah. Aku adalah mubaligh daripada Allah. Sementara mereka adalah mubaligh daripadaku.

Mereka adalah hujah-hujah Allah ke atas makhluk-Nya, saksi-saksi-Nya di Bumi-Nya, Penyimpan-penyimpan ilmu-Nya dan galian-galian hikmah-Nya. Sesiapa yang mentaati mereka, dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai mereka, dia menderhakai Allah. Bumi tidak akan kekal tanpa mereka dan ia tidak sesuai melainkan dengan mereka. Mereka memberitahu umat tentang agama mereka, halal dan haram mereka, menunjukkan mereka apa yang diridhai oleh Tuhan mereka serta melarang mereka daripada kemurkaan Tuhan mereka dengan satu suruhan dan satu larangan. Tidak ada perselisihan dan perpecahan.

Yang akhir daripada mereka akan mengambil daripada yang awal mereka dengan imla'ku dan khat saudaraku Ali di mana mereka mewarisinya sehingga Hari Kiamat. Penduduk Bumi dalam keadaan kelalaian, kesesatan dan kebingungan selain daripada mereka, dan Syi'ah mereka. Para wali mereka tidak perlu kepada seorangpun daripada umat ini dalam urusan agama mereka sedangkan umat memerlukan mereka. Merekalah yang dimaksudkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya. Dia telah mengiringi ketaatan kepada mereka dengan ketaatan-Nya dan ketaatan Rasulullah (Saw.). Dia berfirman di dalam Surah al-Nisa' (4): 59, ''Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, dan Uli l-Amri daripada kamu".

Maka Mu'awiyah berdepan dengan al-Hasan, al-Husain, Ibn Abbas, al-Fadhl bin Abbas, Umar bin Abi Salmah dan Usamah bin Zaid lalu berkata: Kalian semua sependapat dengan Ibn Ja'far? Mereka berkata: Ya. Dia berkata: Wahai Bani 'Abd al-Mutalib! Sesungguhnya kalian menyeru kepada perkara yang besar dan kalian berhujah dengan hujah yang kuat. Sekiranya ia adalah benar, maka sesungguhnya kalian menyembunyikan sesuatu dan merahsiakannya pula sedangkan orang ramai di dalam kelalaian yang buta. Sekiranya apa yang mereka katakan itu benar, maka sesungguhnya binasalah umat ini, murtad daripada agamanya dan meninggalkan janji Nabi kita selain daripada kalian Ahl al-Bait dan sesiapa yang sependapat dengan kalian. Maka mereka itu sedikit sahaja.

Akupun berkata: Wahai Mu'awiyah! Sesungguhnya Allah berfirman dalam Surah al-Saba' (34): 131, "Dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur", firman-Nya dalam Surah Yusuf (12): 103, "Dan kebanyakan manusia bukanlah orang yang beriman, meskipun engkau mengharapkannya", dan firman-Nya dalam Surah Sad (38): 24, "Melainkan orang yang beriman dan beramal salih, tetapi sedikit sekali (bilangan) mereka" Dia berfirman kepada Nuh di dalam Surah Hud (11): 40, "Dan tiadalah beriman bersamanya melainkan sedikit sahaja".

Wahai Mu'awiyah! Mukminun adalah sedikit. Sesungguhnya perkara mengenai Bani Israil adalah lebih aneh di mana ahli-ahli sihir berkata kepada Fir'aun dalam Surah Taha (20): 72, "Maka hukumlah apa yang engkau akan hukumkan. Sesungguhnya engkau hanya menghukum semasa hidup di dunia ini". Mereka telah beriman dengan Musa (a.s.), membenarkan dan mengikutinya. Lalu beliau lari bersama mereka dan para pengikutnya daripada Bani Israil. Beliau telah membelah laut untuk mereka dan memperlihatkan mereka perkara-perkara yang aneh, lalu mereka membenarkan Musa dan Taurat. Mereka telah mengakui agamanya.

Maka beliau berjalan bersama mereka, lalu berjumpa dengan satu kaum yang sedang menyembah berhala, lantas mereka berkata dalam Surah al-A'raf (7): 138, "Wahai Musa, adakan bagi kami satu tuhan sebagaimana bagi mereka itu beberapa tuhan". Kemudian mereka mengambil anak lembu jantan (al-'Ijl), lalu menyembahnya kecuali Harun dan Ahl Baitnya. Al-Samiri berkata kepada mereka dalam Surah Taha (20): 88, "Inilah Tuhanmu dan Tuhan Musa". Dan beliau berkata kepada mereka selepas itu dalam Surah al-Ma'idah (5): 21, "Wahai kaumku masuklah kamu ke tanah suci (Syria) yang telah ditetapkan oleh Allah kepadamu". Jawapan mereka telah diceritakan oleh Allah dalam Surah al-Ma'idah (5): 22, "Wahai Musa! Sesungguhnya di dalam negeri itu ada satu kaum yang gagah perkasa, kami tidak akan masuk ke dalamnya sehingga mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, kami akan memasukinya".

Musa berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku tidak memiliki melainkan diriku sendiri dan saudaraku (Harun). Justeru itu, pisahkanlah antara kami dan kaum yang fasiq itu" (Surah al-Ma'idah (5): 25. Lantaran itu umat ini menurut contoh yang sama. Mereka yang mempunyai kelebihan dan terawal Islam, hidup bersama-sama Rasulullah Saw., mempunyai kedudukan yang hampir kepadanya serta mengakui agama Muhammad dan al-Qur'an. Tetapi apabila mereka ditinggalkan oleh Nabi, mereka berselisih, berpecah, hasad dan menyalahi imam mereka, dan wali mereka. Mereka mengkhianati janji mereka dengan Rasulullah (Saw.) melainkan sahabat kami di mana kedudukannya sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa, dan segelintir daripada orang yang berjumpa dengan Allah di atas agama mereka, dan iman mereka.

Sementara orang lain mundur ke belakang sebagaimana dilakukan oleh para sahabat Musa a.s. dengan mengambil anak lembu jantan (al-'Ijl dan menyembahnya, kerana mereka menyangka bahawa ia adalah tuhan mereka kecuali Harun, dua orang anak lelakinya dan beberapa orang daripada Ahl Baitnya. Nabi kita Saw. telah melantik untuk umatnya orang yang paling baik di Ghadir Khum, bukan pada satu tempat dan berhujah ke atas mereka dengannnya. Beliau memerintahkan supaya mereka mentaatinya dan memberitahu mereka bahawa kedudukannya di sisinya sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa.

Sesungguhnya beliau adalah wali kepada setiap Mukmin selepasnya. Setiap orang yang menjadikanya wali, maka Ali adalah walinya. Sesiapa yang aula dengannya daripada dirinya, maka Ali adalah aula dengannya. Beliau adalah khalifahnya pada mereka dan wasinya. Sesiapa yang mentaatinya, maka dia telah mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakainya, maka dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mewalikannya, maka dia telah mewalikan Allah. Sesiapa yang memusuhinya, maka dia telah memusuhi Allah. Tetapi mereka mengingkarinya, berpura-pura tidak tahu, lantas melantik selain daripadanya.

Wahai Mu'awiyah! Tidakkah anda ketahui bahawa Rasulullah (Saw.) ketika mengutus ke Mutah, beliau telah melantik ke atas mereka Ja'far bin Abi Talib. Kemudian bersabda: Jika Ja'far mati, maka Zaid bin Harithah. Sekiranya Zaid mati, maka Abdullah bin Rawwahah. Beliau tidak meridhai mereka membuat pilihan untuk diri mereka.

Adakah beliau telah meninggalkan umatnya tanpa menerangkan kepada mereka siapakah khalifahnya? Ya. Demi Tuhan! Beliau tidak meninggalkan mereka dalam keadaan buta dan syubhah. Tetapi mereka telah melakukan apa yang dilakukan oleh mereka selepas Nabi mereka. Mereka telah membohongi Rasulullah (Saw.), maka mereka binasa dan binasalah orang yang mengikuti mereka. Mereka telah sesat dan sesatlah orang yang mengikuti mereka. Maka amat jauh bagi orang yang zalim untuk berjaya.

Maka Mu'awiyah berkata: Wahai Ibn Abbas! Anda telah bercakap perkara yang besar. Persepakatan kami adalah lebih baik daripada perselisihan. Anda telah mengetahui bahawa umat tidak bersetuju dengan sahabat anda. Ibn Abbas berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Umat tidak akan berselisih selepas Nabi-Nya melainkan Ahli Batil menguasai Ahli Haq. Sesungguhnya umat ini telah bersepakat di atas beberapa perkara yang tidak ada khilaf, pertengkaran dan perpecahan iaitu Syahadatain, Solat yang lima, puasa bulan Ramadhan, Haji di Ka'bah dan beberapa perkara yang mengandungi suruhan Allah, dan larangan-Nya. Umpamanya pengharaman zina, pencurian, memutuskan silaturahim, pembohongan dan khianat.

Umat berselisih di dalam dua perkara. Salah satu daripadanya ialah umat telah melakukan pembunuhan dan perpecahan sehingga berpecah kepada beberapa kumpulan di mana sebahagian kumpulan melaknati kumpulan yang lain, dan membersihkan diri daripada sebahagian yang lain. Kedua: Tidak berlaku pembunuhan ke atasnya, tidak berpecah padanya, malah sebahagian mereka memberi ruang kepada yang lain iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Adapun yang telah berselisih, berpecah dan membersihkan diri daripada yang lain adalah kerajaan dan khilafah kerana mereka menyangka bahawa mereka lebih berhak dengan kedua-duanya daripada Ahl Bait Rasulullah (Saw.).

Justeru itu, sesiapa yang tidak mengambil apa yang bertentangan di kalangan Ahli Qiblat dan mengembalikannya kepada Allah, nescaya dia selamat dan berjaya daripada Api Neraka. Allah tidak akan bertanyakan kepadanya dua perkara yang dipertikaikannya. Sesiapa yang telah diberikan taufiq, pencerahan hati dan pengenalan kepada Uli l-Amr, maka dia adalah seorang yang bahagia.

Nabi Allah Saw. bersabda: Allah memberi rahmat kepada seseorang hamba yang bercakap benar, maka dia akan mendapat ganjaran atau dia diam tanpa bercakap. Para imam adalah daripada Ahl Bait kenabian, galian kerasulan, tempat turunnya al-Kitab dan wahyu, dan tempat rujukan Malaikat. Justeru itu, ia tidak layak melainkan padanya, kerana Allah telah mengkhususkannya untuk mereka di dalam Kitab-Nya dan di atas lidah Nabi-Nya (Saw.). Keilmuan adalah pada mereka kerana merekalah ahlinya. Al-Qur'an adalah di sisi mereka, batinnya, zahirnya, muhkamnya, mutasyabihnya, nasikhnya dan mansukhnya.

Wahai Mu'awiyah! Sesungguhnya Umar bin al-Khattab telah mengutusku pada masa pemerintahannya kepada Ali bin Abu Talib a.s: Sesungguhnya aku mahu menulis al-Qur'an di dalam satu Mushaf. Justeru itu, hantarkanlah kepada kami apa yang telah anda tulis daripada al-Qur'an. Maka Ali (a.s.) berkata: Demi Tuhan! Anda penggal kepalaku dahulu sebelum anda sampai kepadanya. Aku berkata: Kenapa beliau a.s. berkata: Sesungguhnya Allah berfirman "Tidak akan disentuhinya melainkan oleh orang yang disucikan".

Allah SWT maksudkan bahawa al-Qur'an tidak akan dapat dicapai melainkan oleh mereka yang disucikan. Allah SWT maksudkan kepada kami di mana Allah telah menghilangkan daripada kami kekotoran dosa dan membersihkan kami dengan sebersih-bersihnya. Dan Dia berfirman "Dan kami mewariskan al-Kitab kepada hamba-hamba kami yang kami pilih", maka kamilah hamba-hamba-Nya yang terpilih. Kamilah pilihan Allah. Kepada kamilah Dia telah memberi contoh. Di atas kamilah Dia telah menurunkan wahyu.

Lantas Umar menjadi marah dan berkata: Sesungguhnya Ibn Abi Talib menyangka dia sahaja yang tahu. Lantaran itu, sesiapa saja yang membaca sesuatu daripada al-Qur'an, hendaklah dia mendatangi kami dengannya. Apabila seorang lelaki datang membawa al-Qur'an, dia membacanya dan bersamanya orang lain yang menulisnya. Jika tidak, dia tidak akan menulisnya.

Wahai Mu'awiyah! Sesiapa yang berkata bahawa sebahagian daripada al-Qur'an telah hilang, maka dia berbohong. Malah kesemuanya ada di sisi ahlinya. Kemudian Umar memerintahkan para gabenornya dan kadi-kadinya, lalu berkata: Kalian berijtihadlah dan ikutilah apa yang kalian fikirkan betul. Justeru itu, Umar dan para gabenornya sentiasa melakukan perkara-perkara yang besar. Maka Ali bin Abu Talib telah memberitahu mereka dan berhujah ke atas mereka. Para gabenornya dan kadi-kadinya telah menghukum satu perkara dengan hukum yang bermacam-macam. Sementara Umar mengharuskannya untuk mereka. Kerana Allah tidak memberinya hikmah dan kecekapan bercakap.

Meskipun begitu kebanyakan Ahli Qiblat menyangka bahawa dia adalah galian ilmu bukan orang lain. Maka dengan Allah kami mohon pertolongan ke atas orang yang telah menentang hak mereka seperti anda. Kemudian mereka berdiri dan terus keluar.


Pertanyaan Hammam mengenai sifat-sifat Mukminin dan jawapan Ali a.s.

Daripada Abban bin Abi 'Iyasy daripada Sulaim berkata: Telah berdirilah seorang lelaki daripada sahabat Amir al-Mukminin a.s. bernama Hammam, seorang ahli ibadah yang gigih lalu berkata: Beritahukan kepadaku sifat-sifat Mukminin seolah-olah aku sedang melihat kepada mereka. Maka Amir al-Mukminin a.s. berasa berat untuk memberikan jawapan kepadanya.

Kemudian beliau berkata: Wahai Hammam! Bertakwalah kepada Allah dan berbuat baiklah, kerana Allah bersama orang yang bertakwa dan orang yang berbuat baik. Maka Hammam berkata kepadanya: Aku bertanyakan anda dengan Yang telah memuliakan anda, memberi keistimewaan kepada anda, mencintai anda dan memberi kelebihan kepada anda tentang sifat-sifat Mukminin. Maka Amir al-Mukminin a.s. berdiri di atas dua kakinya. Beliau memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya serta bersalawat ke atas Nabi, dan Ahl Baitnya a.s.

Kemudian beliau berkata: Amma ba'd. Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk dan ketika Dia menciptakannya, ia kaya dengan ketaatan mereka serta aman daripada kemaksiatan mereka, kerana kemaksiatan mereka tidak akan memudaratkan-Nya, begitu juga ketaatan mereka tidak akan memanfaatkan-Nya. Dia telah membahagi-bahagikan di kalangan mereka kehidupan mereka dan meletakkan kedudukan mereka di Dunia. Dia menurunkan Adam ke Dunia adalah sebagai balasan kepada apa yang telah dilakukannya. Allah telah melarangnya, tetapi beliau menyalahinya. Dia telah memerintahkannya, tetapi beliau menderhakai-Nya.

Lantaran itu, Mukminun di Dunia adalah Ahli Kelebihan. Mantiq mereka adalah kebenaran. Pakaian mereka adalah kesederhanaan. Perjalanan mereka adalah tawadhu'. Mereka tunduk kepada Allah dengan ketaatan. Mereka pergi di dalam keadaan merendahkan pandangan mereka daripada apa yang diharamkan oleh Allah ke atas mereka dan berdiri di dalam keadaan pendengaran mereka tertumpu kepada ilmu. Jiwa mereka di dalam kesusahan seperti jiwa mereka yang di dalam kesenangan meridhai Qadha' Allah.

Sekiranya tidak ada ajal yang telah ditulis oleh Allah untuk mereka, nescaya roh-roh mereka tidak akan tinggal pada jasad-jasad mereka walaupun sekejap, kerana syauq kepada pahala, dan takutkan azab. Betapa besarnya Pencipta pada diri mereka dan betapa kecilnya selain daripada-Nya pada pandangan mereka. Mereka dan Syurga seperti mereka telah melihatnya. Maka mereka dikurniakan nikmat. Mereka dan Neraka sepertilah mereka telah melihatnya. Maka mereka padanya diazab.

Hati mereka bersedih. Batasan mereka adalah dijamin. Badan mereka adalah kurus. Keperluan mereka adalah sedikit. Diri mereka adalah jujur. Pertolongan mereka pada Islam adalah besar. Mereka bersabar pada hari-hari yang pendek, kemudian mereka diikuti kerehatan yang berpanjangan. Satu perniagaan yang menguntungkan dan dipermudahkannya untuk mereka oleh Tuhan Yang Maha Mulia. Dunia menghendaki mereka, tetapi mereka tidak menghendakinya. Ia menuntut mereka, tetapi mereka menolaknya.

Adapun pada waktu malam, mereka membaca al-Qur'an dan bersedih dengannya. Mereka merujuk kepadanya untuk mengubati penyakit mereka. Tangisan dan kesedihan mereka begitu mendalam ke atas dosa-dosa yang dilakukan. Apabila mereka bertemu dengan ayat tasywiq (memberangsangkan), mereka cenderung kepadanya kerana tamakkannya. Air mata mereka berlinang di atas pipi mereka sambil mengharapkan Allah melepaskan mereka daripada Neraka. Apabila mereka bertemu dengan ayat takhwif (menakutkan), hati dan mata mereka tertumpu kepadanya. Kulit mereka menggeletar dan hati mereka menjadi lemah. Mereka menyangka suara Neraka di telinga mereka. Adapun mereka pada siang hari, adalah lemah lembut dan ulama baik yang bertakwa, seakan-akan dikuasai ketakutan.

Orang yang melihat menyangka bahawa mereka sakit, tetapi mereka bukanlah sakit. Malah mereka dicampur-aduk dengan perkara yang besar. Apabila mereka menyebut kebesaran Allah, kekuasaan-Nya, mengingati kematian dan azab Hari Kiamat, hati mereka menjadi kecut dan akal mereka menjadi lemah. Dan apabila mereka sembuh daripadanya, mereka bersegera kepada Allah dengan amalan yang baik. Mereka tidak meridhai Allah dengan sedikit. Dan mereka tidak membesar-besarkan apa yang mereka lakukan kepada-Nya. Mereka mengambil berat pada diri mereka dan daripada amalan yang dilakukan mereka mengharapkan pahala.

Jika seseorang daripada mereka dipuji, dia menjadi takut terhadap apa yang mereka perkatakan kepadanya, lalu berkata: Aku lebih mengetahui tentang diriku daripada orang lain, dan Tuhanku lebih mengetahui tentangku selain daripadaku. Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau mengambilku dengan apa yang mereka perkatakan. Jadilah aku kebaikan ke atas apa yang mereka sangkakan. Ampunilah aku di atas apa yang mereka tidak mengetahuinya, kerana Engkau mengetahui perkara yang ghaib dan penutup segala keaiban.

Anda boleh melihat tanda mereka; pada kekuatan beragama, keimanan pada keyakinan, cintakan ilmu, pandai bersahabat, khusyuk di dalam ibadat, menanggung penderitaan, kesabaran dalam kesusahan, memberi apa yang hak, mencari rezeki yang halal, cergas di dalam petunjuk, menjauhi ketamakan, meneruskan sesuatu di dalam istiqamah, teguh melawan syahwat, tidak terpedaya akan pujian orang yang jahil. Tidak menangguhkan amalan untuk kebaikan dirinya. Matlamatnya adalah kesyukuran, sibuk dengan zikir, bermalam dengan penuh kewaspadaan, dan bergembira pada waktu pagi. Berwaspada pada tempatnya. Bergembira apabila mereka mendapat kelebihan dan rahmat sekalipun dirinya sukar menerimanya.

Mereka mencampurkan sifat lemah-lembut dengan ilmu, dan ilmu dengan akal, anda melihatnya jauh tetapi cita-citanya dekat. Sentiasa meramalkan ajalnya. Hatinya khusyuk, memadai apa yang ada. Kuat mempertahankan agamanya, mati syahwatnya, menahan kemarahannya. Akhlaknya bersih, jirannya berasa aman dengannya, berpuas hati apa yang ditakdirkan terhadapnya. Kesabarannya kukuh, urusannya cekap, setia kepada janjinya, dan tidak menyembunyikan penyaksian musuh. Tidak melakukan sesuatu dengan riak, dan tidak meninggalkan sesuatu kerana malu. Kebaikan daripadanya adalah yang diharapkan dan kejahatan daripadanya adalah dijamin.

Mereka memaafi orang yang telah menzaliminya. Mereka memberi kepada orang yang menegahnya. Mereka menghubungi orang yang memutuskan silaturahim dengannya. Mereka tidak mempercepatkan apa yang disyakinya. Percakapannya lembut dan benar. Perbuatannya adalah baik, menghadapi kebaikan dan membelakangi kejahatan. Mereka adalah tenang di dalam gegaran, sabar di dalam menghadapi perkara yang dibencikannya. Bersyukur ketika senang. Tidak takut orang memarahinya. Tidak berasa bersalah apa yang mereka kasihi. Tidak mendakwa bukan haknya.Begitu juga dia tidak mengingkari haknya ke atasnya.

Mengakui kebenaran sebelum dipersaksikan ke atasnya. Tidak menghilangkan apa yang dijaganya. Tidak bermegah dengan gelaran. Tidak bersaing dengan sesiapapun. Tidak dikuasai oleh hasad, tidak memudaratkan jiran, dan tidak bergembira dengan musibah yang menimpa orang lain. Menunaikan amanah, bersegera kepada solat, lambat kepada kemungkaran. Menyuruh melakukan kebaikan, melarang kemungkaran. Tidak memasuki sesuatu perkara dengan kejahilan. Tidak keluar daripada kebenaran dengan kelemahan. Jika mereka diam, diamnya berfaedah. Dan jika mereka bercakap, mereka tidak akan bercakap perkara yang salah. Jika mereka ketawa, mereka tidak meninggikan suaranya.

Memadai apa yang ditakdirkan untuknya. Tidak menimbulkan kemarahan dan tidak dikuasai oleh hawa nafsunya. Tidak kedekut dan tidak pula tamak kepada bukan haknya. Bergaul dengan orang ramai untuk mengetahui dan diam untuk selamat. Bertanya supaya mereka memahaminya. Berniaga untuk mendapat ganjaran. Mereka tidak diam untuk kebaikan bagi meninggikan diri. Tidak bercakap untuk memaksa orang lain. Dirinya di dalam kepenatan sedangkan orang ramai di dalam kerehatan.

Mereka memenatkan diri untuk akhiratnya dan merehatkan orang ramai daripada dirinya. Jika diserang, mereka bersabar sehingga Allah memberi kemenangan untuknya selepasnya. Sesiapa yang menjauhinya, mereka memaafkannya. Sesiapa yang mendekatinya, mereka berlembut. Jika mereka berjauhan, bukanlah kerana meninggikan diri. Dekatnya bukanlah suatu tipu-daya. Malah kerana mengikuti orang yang terdahulu daripada ahli kebaikan. Dan mereka adalah imam bagi ahli kebaikan dan di belakang mereka

Beliau berkata: Hammam telah melaung, kemudian tidak sedarkan diri. Maka Amir al-Mukminin a.s. berkata: Demi Tuhan! Aku telah menduga kekhuatiranku terhadapnya, dan beliau berkata: Begitulah kesan nasihat yang tepat kepada ahlinya. Ada orang berkata kepadanya: Wahai Amir al-Mukminin! Apa gerangan anda wahai Amir al-Mukminin! Beliau berkata: Setiap ajal tidak akan melepasinya. Dan setiap sebab tidak akan melewatinya. Nanti! Janganlah anda melepasinya. Sesungguhnya Syaitan telah menghembuskan nafasnya di atas lidah anda. Kemudian Hammam telah mengangkat kepalanya, kemudian terjatuh, lalu meninggal dunia rahimahullah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar