Total Tayangan Halaman

Kamis, 10 Desember 2015

Ucapan Ali a.s. kepada Talhah dan al-Zubair semasa berjumpa dengan ahli Basrah dalam peperangan


Abban daripada Sulaim berkata: Manakala Amir al-Mukminin a.s. berjumpa ahli Basrah pada Hari Jamal, beliau menyeru al-Zubair: Wahai Abu Abdillah! Keluar kepadaku. Lantas para sahabatnya berkata kepadanya: Wahai Amir al-Mukminin! Anda keluar kepada al-Zubair yang mengkhianati bai'ahnya sedangkan dia berada di atas kuda yang siap dengan senjata dan anda berada di atas keldai tanpa senjata? Ali a.s. berkata: Sesungguhnya di atasku jubah yang tebal di mana tidak seorangpun mampu melarikan diri daripadanya kerananya. Sesungguhnya aku tidak akan mati dan tidak akan dibunuh melainkan di tangan orang yang paling celaka sebagaimana unta betina Allah telah dibunuh oleh orang Thamud yang paling celaka.

Maka al-Zubair pun keluar kepadanya. Maka beliau berkata: Di manakah Talhah (perintahkan) supaya dia keluar? Maka Talhah pun keluar. Beliau berkata: Adakah kalian berdua dan orang yang mempunyai ilmu daripada keluarga Muhammad serta Aisyah binti Abu Bakr mengetahui bahawa sesungguhnya ahli Jamal, ahli Siffin dan Nahrawan dilaknati di atas lidah Muhammad? Sesungguhnya rugilah orang yang berbohong. Al-Zubair berkata: Bagaimana boleh kami dilaknati sedangkan kami daripada ahli syurga? Ali a.s. berkata: Jika aku telah mengetahui bahawa kalian daripada ahli Syurga nescaya aku tidak menghalalkan peperangan dengan kalian.

Al-Zubair berkata: tidakkah anda telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda pada Hari Uhud: Talhah wajib memasuki Syurga. Dan sesiapa yang ingin melihat kepada syahid yang hidup berjalan di Bumi ini, maka hendaklah dia melihat kepada Talhah Atau tidakkah anda telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sepuluh daripada Quraisy akan berada di Syurga? Ali a.s. berkata: Sebutkan nama-nama mereka? Dia berkata: Fulan, fulan dan fulan sehingga dia menyebut sembilan nama. Antaranya Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah dan Sa'id bin Zaid bin 'Umru bin Nufail. Maka Ali a.s. berkata: Anda telah menyebut sembilan, maka siapakah yang ke sepuluh? Al-Zubair berkata: Anda.

Maka Ali a.s. berkata: Anda telah memperakui bahawa aku adalah daripada ahli Syurga. Adapun apa yang anda mendakwa untuk diri anda dan para sahabat anda maka aku adalah daripada orang yang mengingkarinya. Demi Tuhan! Sebahagian orang yang telah anda sebutkan akan berada di dalam Tabut di bawah Neraka Jahannam di mana di atasnya ada sebuah batu besar yang menutupi satu lubang. Apabila Allah mahu memanaskan Jahannam, Dia akan mengangkat batu itu lalu ia memanaskan Jahannam. Aku telah mendengar demikian itu daripada Rasulullah (Saw.). Jika tidak, Allah akan memenangkan anda denganku dan mengalirkan darahku dengan tangan anda. Dan jika tidak, Allah akan memenangkanku dengan anda dan para sahabat anda. Lantas al-Zubair kembali kepada para sahabatnya dalam keadaan menangis.

Kemudian Ali a.s. berpaling kepada Talhah. Beliau berkata: Wahai Talhah! Bersama kalian berdua adalah isteri-isteri kalian? Talhah berkata: Tidak. Beliau berkata: Kalian berdua bergantung kepada perempuan di mana tempatnya di dalam kitab Allah adalah duduk di rumah tetapi kalian berdua telah mempamerkannya di khemah-khemah. Rasulullah (Saw.) tidak dapat menyedarkan kalian berdua. Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya perempuan bercakap di balik hijab. Beritahukan kepadaku tentang solat Ibn al-Zubair dengan kalian berdua. Adakah salah seorang daripada kalian berdua meridhai sahabatnya. Beritahukan kepadaku tentang seruan kalian berdua kepada Arab Badwi bagi memerangiku dan apakah yang telah membawa kalian berdua melakukannya?

Maka Talhah berkata: Ini kerana kami enam orang dalam Syura. Seorang daripada kami telah mati dan seorang lagi dibunuh. Kami pada hari ini empat orang. Kami benci kepada anda. Maka Ali a.s. berkata: Itu bukan tugasku. Kami telah berada di dalam Syura tetapi urusannya bukan di tangan kami. Tetapi hari ini ia berada di tanganku. Apakah pendapat anda jika aku mahu selepas anda memberi bai'ah kepada Uthman, mengembalikannya kepada Syura, adakah ia untukku? Dia berkata : Tidak. Kenapa anda berkata demikian? Kerana anda telah memberi bai'ah dengan sukarela.

Ali a.s. berkata lagi: Bagaimana begitu? Sedangkan Ansar dengan pedang-pedang mereka yang terhunus berkata: Kalian hendaklah memberi bai'ah kepada salah seorang daripada kalian. Jika tidak, kami akan memenggal kepala kalian. Adakah seseorang telah berkata kepada anda dan sahabat anda sesuatu seperti ini pada masa kalian berdua memberi bai'ah kepadaku? Hujahku tidak memaksa anda memberi bai'ah adalah lebih jelas daripada hujah anda.

Sesungguhnya anda dan sahabat anda telah memberi bai'ah kepadaku secara sukarela, bukan paksaan. Kalian berdua adalah orang yang pertama memberi bai'ah kepadaku. Dan tidak seorangpun berkata bahawa kalian berdua akan memberi bai'ah kepadaku, atau kami akan membunuh kalian berdua. Maka Talhah pun beredar dari tempat itu. Dan peperangan bermula, lalu Talhah dibunuh sementara al-Zubair telah melarikan diri.


Pengakuan Ali a.s: "Rasulullah Saw. telah mengajarku seribu bab ilmu"

Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar satu hadis daripada Ali a.s.. Aku tidak tahu apakah yang sebenarnya. Aku mendengarnya berkata: Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah memberitahu kepadaku pada masa sakitnya dan mengajar kepadaku anak kunci seribu bab ilmu. Dan dibuka setiap bab akan seribu bab yang lain. Aku duduk dengan tenang di khemah Ali a.s. Beliau telah mengutus al-Hasan (a.s.) dan Ammar mengumpul orang ramai. Tiba-tiba Ali a.s. datang dan berkata: Wahai Ibn Abbas! Al-Hasan akan mendahului anda, bersamanya sebelas ribu lelaki kurang seorang atau dua orang.

Maka aku berkata kepada diriku (tentang kata Ali kepada Ibn Abbas): Sekiranya sebagaimana beliau berkata, maka ia adalah daripada seribu bab. Manakala al-Hasan meneruskan pengendalian tentera itu, aku mengucap selamat datang kepadanya. Maka aku bertanya kepada kerani tentera yang bersama-samanya tentang nama-nama mereka: Berapa orang tentera bersama anda? Dia menjawab: Sebelas ribu lelaki kurang seorang atau dua orang.


Kata-kata Ali a.s: "Bertanyalah kepadaku sementara aku masih ada"

Abban daripada Sulaim Berkata: Aku telah duduk di samping Ali (a.s.) di Masjid Kufah, orang ramai berada di sekitarnya maka beliau berkata: Kalian bertanyalah kepadaku sementara aku masih ada. Kalian bertanyalah aku tentang Kitab Allah. Demi Tuhan! Tidak ada satu ayat daripada kitab Allah yang telah turun melainkan Rasulullah (Saw.) telah membacakannya kepadaku dan mengajarku tentang takwilnya.

Ibn al-Kawa' berkata: Apakah yang diturunkan kepadanya sedangkan anda tidak ada bersamanya? Beliau berkata: Ya. Beliau (Saw.) telah membacakan kepadaku apabila aku berjauhan daripadanya. Apabila aku datang kepadanya, beliau bersabda: Wahai Ali! Allah telah menurunkan ayat selepas anda tidak ada, lalu beliau membacakannya kepadaku dan mengajarku akan takwilnya.


Penjelasan Ali a.s. kepada ketua Yahudi tentang perpecahan umat dan kata-katanya: "Jika aku diberi kedudukan…"

Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar Ali (a.s.) berkata kepada ketua Yahudi: Berapa kumpulankah kalian telah berpecah? Dia berkata: Kumpulan sekian dan kumpulan sekian. Ali a.s. berkata: Anda telah berbohong. Kemudian beliau berdepan dengan orang ramai dan berkata: Jika aku diberi kedudukan, nescaya aku menghukum ahli Taurat dengan Taurat mereka, ahli Injil dengan Injil mereka dan ahli al-Qur'an dengan a-Qur'an mereka.

Yahudi berpecah kepada tujuh puluh satu kumpulan. Tujuh puluh kumpulan ke Neraka dan satu kumpulan ke Syurga iaitu kumpulan yang mengikuti Yusya' bin Nun, wasi Musa. Nasara telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan. Tujuh puluh satu kumpulan ke Neraka dan satu kumpulan ke Syurga iaitu kumpulan yang mengikuti Syam'un, wasi 'Isa. Dan umat ini berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan. Tujuh puluh dua kumpulan ke Neraka dan satu kumpulan ke Syurga iaitu kumpulan yang mengikuti wasi Muhammad (Saw.). Dan beliau menepuk dadanya lalu berkata: Tiga belas daripada tujuh puluh tiga mencintaiku dan satu kumpulan daripadanya ke Syurga. Dan dua belas daripadanya ke Neraka.


Penjelasan Ibn 'Abbas kepada Sulaim tentang perkara paling besar pernah beliau dengar daripada Ali a.s.

Abban daripada Sulaim berkata: Aku berkata kepada Ibn Abbas: Beritahukan kepadaku perkara yang paling besar telah anda dengar daripada Ali a.s.? Maka dia telah memberitahuku apa yang telah aku dengar daripada Ali a.s. Beliau a.s. berkata: Rasulullah (Saw.) telah memanggilku dan di tangannya ada kitab. Maka beliau berkata: Ambillah kitab ini. Aku berkata: Wahai Nabi Allah! Apakah kitab ini? Beliau bersabda: Kitab yang telah dituliskan Allah, mengandungi ahli bahagia dan ahli celaka daripada umatku. Allah telah memerintahkanku supaya memberikannya kepada anda.


Pertanyaan Sulaim kepada Ibn Abbas mengenai Perang Siffin dan perkara yang berlaku semasa peperangan

Abban berkata: Aku telah Mendengar Sulaim bin Qais berkata: Aku bertanya kepadanya: Adakah anda telah menyaksikan peperangan Siffin? Ibn Abbas menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah anda telah menyaksikan peperangan Nahrawan? Dia menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Berapakah umur anda ketika itu? Dia menjawab: Empat puluh tahun. Aku berkata: Beritahukan kepadaku- rahmat Allah ke atas anda- Dia menjawab: Ya. Meskipun aku telah terlupa beberapa perkara tetapi aku masih tidak melupai hadis ini. Kemudian dia menangis. Dan dia berkata: Kalian berbaris, kamipun berbaris.

Maka Malik al-Asytar telah keluar dengan kudanya yang lengkap dengan senjata dan di tangannya lembing, mengetuk-ngetuk kepala kami sambil berkata: Betulkan barisan kalian. Setelah membetulkan barisan, beliau datang dengan kudanya sehingga berdiri antara dua barisan, kemudian memalingkan belakangnya kepada ahli Syam dan mengadapkan mukanya kepada kami. Maka beliau memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya serta bersalawat kepada Nabi (Saw.), kemudian berkata: Amma ba'd. Bahawa perhimpunan kita di sini pada hari ini adalah daripada Qada' dan Qadar-Nya kerana ajal-ajal telah hampir dan urusan-urusan telah berakhir dipimpin oleh penghulu Muslimin Amir al-Mukminin, sebaik-baik wasi, sepupu Nabi kami, saudaranya dan warisnya.

Pedang-pedang kami adalah pedang-pedang Allah. Sementara ketua mereka adalah anak lelaki kepada perempuan yang telah memakan hati, gua nifaq dan sebahagian daripada Ahzab yang memandu mereka kepada kecelakaan dan Neraka. Kami berharap dengan pembunuhan mereka, pahala daripada Allah dan mereka pula sedang menunggu pembalasan. Apabila peperangan bermula dan kuda merempuh ke arah orang yang terbunuh di pihak kita dan pihak mereka, kami berharap dengan memerangi mereka, kemenangan daripada Allah, lalu aku tidak mendengar melainkan suara gempur.

Wahai manusia! Rendahkan penglihatan kalian dan perkuatkanlah azam kalian dengan memotong kepala, kerana ia adalah lebih berkesan. Hadapilah mereka dengan muka-muka kalian. Ambillah pedang kalian dengan iman kalian. Justeru itu, pukullah pada sasarannya dan tikamlah dengan lembing ke arah perut kerana ia adalah sasaran pembunuhan. Cekalkan diri kalian menghadapi orang yang menuntut bela ke atas darah bapa-bapa dan saudara-saudara mereka.

Perkukuhkan semangat kalian untuk kematian supaya kalian tidak dihina dan dimalukan. Kemudian mereka bertembung dengan dahsyat di mana akibatnya tujuh puluh ribu Arab terbunuh. Peristiwa itu berlaku pada hari khamis sehingga satu pertiga malam, tanpa sujud kepada Allah meskipun satu sujud sehingga berlalunya waktu solat yang empat; Zuhur, 'Asr, Maghrib dan 'Isyak.


Kata-kata Ali a.s. semasa Peperangan Siffin

Sulaim berkata: Kemudian Ali a.s. berdiri memberi khutbah dan berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya kalian telah melihat musuh kalian berada di tahap yang terakhir kerana semua perkara yang telah berlaku akan dikira akhirnya dengan awalnya. Mereka bersusah-payah tanpa agama sehingga mereka sampai kepada kalian. Aku akan menyerang mereka di awal pagi insya' Allah dan menghukum mereka kepada Allah.

Berita ini telah sampai kepada Mu'awiyah, lalu dia, para sahabatnya dan ahli Syam menjadi takut. Lantas dia memanggil 'Umru bin 'As dan berkata: Wahai 'Umru! Dia akan menyerang kita pada waktu malam. Apakah pendapat anda? Dia menjawab: Tentera berkurangan. Mereka tidak berjuang dengan sepenuh tenaga. Dan anda bukan sepertinya. Kerana dia memerangi anda di atas asas yang jelas sementara anda memeranginya di atas asas yang kabur. Anda mahu hidup sementara dia mahu mati. Ahli Syam tidak takut jika Ali (a.s.) menang ke atas mereka, tetapi ahli Iraq takut jika anda menang ke atas mereka. Paksakan ke atas mereka satu perkara jika mereka menolaknya, mereka akan berpecah. Dan jika mereka menerimanya, mereka akan berpecah.

Anda serukan mereka kepada kitab Allah dan anda angkatkan mushaf-mushaf di hujung lembing, anda akan sampai kepada hajat anda. Aku masih menyimpannya untuk anda. Maka Mu'awiyah telah mengetahuinya dan berkata: Anda memang benar. Tetapi aku ada satu pendapat yang boleh menipu Ali iaitu tuntutanku ke atas Syam sebagai gantian. Ini adalah perkara yang pertama kali dia menolakku daripadanya. 'Umru tersenyum dan berkata: Di manakah anda wahai Mu'awiyah daripada tipu-helah Ali? Jika anda mahu, anda tulis.


Surat Mu'awiyah kepada Ali a.s. di Siffin

Sulaim berkata: Mu'awiyah telah menulis surat kepada Ali a.s. bersama Abdullah bin 'Uqbah. Amma ba'd. Sesungguhnya jika anda mengetahui bahawa peperangan mendatangkan bencana kepada kami dan anda, dan malah kita mengetahuinya, maka sebahagian kita tidak akan menyerang akan sebahagian yang lain, jika kita dapat mengawal akal kita. Maka telah berlakulah apa yang telah berlaku dan kita memperbaiki apa yang tinggal.

Aku telah meminta Syam daripada anda dengan syarat anda tidak memaksaku taat dan memberi bai'ah kepada anda, maka anda menolaknya. Allah telah memberi kepadaku apa yang anda halang. Aku menyeru anda kepada apa yang aku telah menyeru anda kelmarin. Kerana anda tidak mengharapkan kekal melainkan apa yang aku juga mengharapkannya dan anda tidak takut kepada mati melainkan apa yang aku takut.

Demi Tuhan! Hati menjadi lembut dan tentera telah pergi. Kami Bani 'Abd Manaf tidak ada kelebihan sebahagian kami ke atas sebahagian yang lain di mana yang mulia tidak dapat dihina dan yang lemah tidak diperhambakan, Wassalam.


Jawapan Ali a.s. kepada surat Mu'awiyah

Sulaim berkata: Manakala Ali a.s. membaca surat Mu'awiyah, beliau tersenyum dan berkata: Satu keanehan daripada Mu'awiyah dan tipu- dayanya kepadaku. Maka beliau menyeru penulisnya 'Ubaidillah bin Abi Rafi', dan berkata: Tulis amma ba'd. Sesungguhnya surat anda telah sampai kepadaku, anda telah menyebut di dalamnya bahawa peperangan telah mendatangkan bencana kepada kami dan anda, maka sebahagian kita tidak akan menyerang sebahagian yang lain. Aku dan anda, wahai Mu'awiyah! Mempunyai matlamat yang belum tercapai.

Adapun tuntutan anda akan Syam, maka aku tidak akan memberinya kepada anda hari ini apa yang aku telah menegahnya kelmarin. Dan adapun persamaan kami dalam ketakutan dan harapan, anda tidak dapat menghilangkan syak yang menguasai anda sedangkan aku dalam keyakinan.

Adapun kata-kata anda bahawa kami Bani 'Abd Manaf tidak ada kelebihan sebahagian ke atas sebahagian yang lain, begitu juga kami. Tetapi Umayyah tidak sama dengan Hasyim, Harb tidak sama dengan 'Abd al-Muttalib, Abu Sufyan tidak sama dengan Abu Talib, al-Taliq tidak sama dengan al-Muhajir, al-Munafiq tidak sama dengan Mukmin, dan pembohong tidak sama dengan orang yang bercakap benar. Di tangan kami kelebihan kenabian di mana kami menguasai Arab dan 'Ajam, Wassalam.

Apabila sampai surat Ali a.s. sampai kepada Mu'awiyah, dia merahsiakannya kepada 'Umru bin 'As. Kemudian memanggilnya dan membacakan kepadanya. Walau bagaimanapun 'Umru telah bergembira dengan surat itu kerana pada akhirnya dia telah melarang Mu'awiyah menulisnya. Tidak ada seorangpun daripada Quraisy yang membesar-besarkan Ali a.s. selepas hari itu selain daripada 'Umru yang menentangnya di atas kudanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar