Total Tayangan Halaman

Selasa, 08 Desember 2015

Perjumpaan seorang Nasrani dengan Ali a.s. dan kata-katanya tentang kelebihan Ahl al-Bait a.s.



Abban daripada Sulaim: Beliau berkata: Kami bertolak daripada Siffin bersama Amir al Mukminin salawatullahi 'alaihi. Dan tentera-tentera telah bermalam berhampiran Biara Nasrani. Tiba-tiba datang kepada kami daripada biara tersebut, seorang lelaki tua (syaikh kabir) tampan, mempunyai perawakan muka yang baik dan membawa kitab di tangannya sehingga dia mendatangi Amir al-Mukminin salawatu Llahi 'alaihi, lalu memberi salam kepadanya dengan khilafah

Maka Ali a.s. berkata: Selamat datang wahai saudaraku Syam'un Ibn Hamun, apa khabar anda rahima-ka Llahu. Dia menjawab: Baik, wahai Amir al-Mukminin! Penghulu Muslimin, wasi Rasul Rabbi l-'Alamin. Sesungguhnya aku adalah daripada keturunan hawari saudara anda 'Isa Bin Maryam a.s. salawatu Llahi 'alaihi daripada keturunan Syam'un Bin Yuhana. Dia adalah pengikut (hawari) terbaik 'Isa bin Maryam yang dua belas dan paling dikasihinya. Kepadanyalah 'Isa telah memberi wasiat dan kepadanyalah beliau memberi kitabnya, ilmunya dan hikmahnya. Ahl Baitnya sentiasa berpegang kepada agamanya. Mereka tidak kafir, tidak menukar dan mengubah agamanya.

Buku-buku ini adalah imla' di sisiku oleh 'Isa Bin Maryam dan dengan khat tangan bapa kami. Ia mengandungi perkara-perkara yang akan dilakukan oleh manusia selepasnya, daripada seorang pemerintah kepada seorang pemerintah dan apa yang mereka miliki. Apa yang akan berlaku pada zaman setiap pemerintah sehingga Allah mengutuskan seorang lelaki daripada Arab daripada anak Ismail bin Ibrahim Khalilullah dari negeri bernama Tihamah, dari qaryah yang dikenali dengan Makkah, dipanggil kepadanya Ahmad. Dua matanya luas diikuti dua keningnya, tuan unta betina dan keldai, tuan tongkat dan mahkota. Beliau mempunyai dua belas nama. Kemudian dia menyebutkan tempat beliau diutuskan, tempat lahir, hijrahnya, orang yang memeranginya, orang yang membantunya, orang yang memusuhinya, berapa lama beliau hidup dan apa yang dihadapi oleh umat selepasnya sehingga turunnya 'Isa Bin Maryam dari langit.

Kemudian dia telah menyebut di dalam al-kitab tentang tiga belas lelaki daripada anak-anak lelaki Ismail bin Ibrahim Khalilullah 'alaihim salla llahu, mereka sebaik-baik makhluk Allah, sekasih-kasih makhluk Allah kepada Allah. Sesungguhnya Allah memberi rahmat kepada orang yang mewalikan mereka, bermusuh terhadap orang yang memusuhi mereka. Sesiapa yang mentaati mereka, mendapat petunjuk. Sesiapa yang menderhakai mereka, adalah sesat.

Tertulis padanya nama-nama, keturunan mereka dan pengikut mereka, berapa lama hidup setiap orang daripada mereka seorang demi seorang, berapa orang daripada mereka yang bersembunyi dengan agamanya dan merahsiakannya daripada kaumnya dan siapa yang akan menzahirkannya sehingga Allah menurunkan 'Isa salla llahu 'alaihi ke atas yang akhir mereka. Maka 'Isa akan mengerjakan solat di belakangnya dan berkata: Sesungguhnya kalian adalah para imam di mana tidak patut bagi seseorang mendahului kalian. Maka dia pun maju ke depan, lalu mengerjakan solat dengan orang ramai dan 'Isa di belakangnya di barisan pertama.

Dan yang pertama mereka adalah yang paling afdhal dan paling baik. Baginya sepertilah pahala mereka dan pahala orang yang mentaati mereka, dan mendapat hidayah dengan hidayah mereka, beliau adalah Ahmad Rasulullah Saw. Namanya Ahmad, Yasin, al-Fattah, al-Khatam, al-Hasyir, al-'Aqib dan al-Mahi. (Di dalam riwayat yang lain di tempat al-Mahi, adalah al-Fattah dan al-Qa'id). Beliau adalah Nabi Allah, Khalilullah, Habibullah, Safiyyu-hu, Aminu-hu dan Khiratu-hu, beliau bersama orang yang sujud. (Di dalam naskhah yang lain: yara taqalubu-hu fi al-Sajidin yaitu di sulbi para nabi). Dia telah bercakap dengannya dengan rahmat-Nya.

Beliau menyebutnya bahawa beliau adalah makhluk Allah yang paling mulia kepada Allah dan yang paling dikasihi kepada Allah di mana Allah tidak mencipta makhluk sama ada Malaikat muqarrab atau nabi mursal, Adam dan mereka selain daripadanya lebih baik di sisi Allah dan tidak ada seorangpun yang lebih dikasihi kepada Allah selain daripadanya. Dia mendudukkannya pada Hari Kiamat di atas 'Arasy-Nya dan Dia memberi keizinan kepadanya untuk bersyafa'at pada setiap orang yang diberi syafa'at. Dengan namanyalah berlarinya qalam di Lauh Mahfuz pada Umm al-Kitab. Kemudian saudaranya yang mempunyai bendera (sahibal-Liwa') pada Hari Mahsyar yang paling besar, wasinya dan khalifahnya pada umatnya. Dan sekasih-kasih orang kepada Allah selepasnya adalah Ali bin Abu Talib, wali kepada setiap Mukmin selepasnya.

Kemudian sebelas imam daripada anak anak Muhammad. Dan yang pertama daripada Dua Belas Imam melahirkan dua orang, dinamakan dengan nama dua anak lelaki Harun; Syabar dan Syubair (al-Hasan dan al-Husain). (Di dalam naskhah yang lain, kemudian sebelas daripada anak-anaknya. Awal mereka melahirkan Syabar dan Syubair dan sembilan daripada Syubair seorang demi seorang. Di dalam naskhah pertama sembilan daripada anak lelaki yang paling kecil iaitu al-Husain seorang demi seorang). Dan yang akhir mereka adalah orang di mana 'Isa Bin Maryam akan mengerjakan solat di belakangnya. Padanya diterangkan setiap mereka yang memerintah daripada mereka, siapa yang menyembunyikannya dan siapa yang menzahirkannya.

Maka orang pertama daripada mereka yang menzahirkannya, akan memenuhi seluruh Bumi Allah dengan saksama dan adil, akan memiliki Timur dan Barat sehingga Allah menzahirkannya ke atas semua agama. Manakala Nabi (Saw.) diutuskan, bapaku masih hidup, dia telah membenarkannya dan beriman dengannya. Dia naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah. Dia adalah seorang lelaki tua dan telah mati tanpa penyakit.

Dia berkata: Wahai anakku! Sesungguhnya wasi Muhammad dan khalifahnya di mana nama dan sifatnya di dalam kitab, akan melalui anda apabila berlalunya tiga daripada imam sesat (a'immah al-Dalalah). Nama dan kabilah mereka disebut; fulan, fulan dan fulan beserta sifat-sifat mereka dan berapa tahun setiap orang daripada mereka memerintah. Dan apabila beliau melalui anda, maka keluarlah kepadanya dan berilah bai'ah kepadanya, berperanglah bersamanya menentang musuhnya, kerana berjihad bersamanya sepertilah berjihad bersama Muhammad.

Di dalam kitab ini wahai Amir al-Mukminin! Sesungguhnya dua belas imam daripada Quraisy dan daripada kaum bersamanya adalah daripada para imam yang sesat, memusuhi Ahl Baitnya dan menghalang mereka dari hak mereka, mengusir mereka dan menakut-nakutkan mereka, disebut seorang demi seorang dengan nama serta sifat mereka. Dan berapa lama setiap orang daripada mereka memerintah.

Apa yang dihadapi oleh anak-anak anda daripada mereka, pembantu-pembantu anda dan Syi'ah anda seperti pembunuhan, peperangan, bala dan ketakutan. Bagaimanakah Allah mengendalikan kalian daripada mereka, penguasa mereka dan pembantu mereka. Apa yang mereka akan hadapi daripada kehinaan, peperangan, bala, pembunuhan dan ketakutan daripada kalian Ahl al-Bait.


Seorang Nasrani telah memberi bai'ah kepada Ali bin Abu Talib a.s.

Wahai Amir al-Mukminin! Hulurkan tangan anda, aku akan memberi bai'ah kepada anda. Sesungguhnya aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Dan aku naik saksi bahawa anda adalah khalifah Rasulullah pada umatnya, wasinya, saksi-Nya ke atas makhluk-Nya dan Hujah-Nya di Bumi-Nya.

Sesunguhnya Islam adalah agama Allah. Dan sesungguhnya aku membersihkan diriku daripada setiap agama yang menyalahi agama Islam, kerana ia adalah agama Allah yang Dia telah memilihnya untuk diri-Nya dan meridhainya untuk para wali-Nya. Sesungguhnya ia adalah agama 'Isa bin Maryam dan sebelumnya mereka daripada para nabi Allah dan para Rasul-Nya. Ia adalah agama yang telah dianuti oleh orang yang terdahulu daripada bapa-bapaku.

Dan sesungguhnya aku akan mematuhi anda dan para wali anda. Aku membersihkan diriku daripada musuh anda. Aku akan mematuhi para imam daripada anak-anak lelaki anda. Aku membersihkan diriku daripada musuh mereka, orang yang menentang mereka dan orang yang membersihkan diri daripada mereka. Orang yang mendakwa hak mereka dan menzalimi mereka yang terdiri daripada orang terdahulu dan terkemudian. Kemudian dia memegang tangan Ali a.s. dan memberi bai'ah kepadanya.

Amir al-Mukminin berkata kepadanya: Berikan kitab anda kepadaku, lalu diapun memberikan kepadanya. Maka Ali a.s. berkata kepada salah seorang daripada sahabatnya: Berdirilah anda bersama lelaki itu, maka lihatlah kepada penerjemahannya, anda memahami percakapannya, maka hendaklah anda menyalinkannya ke dalam Bahasa Arab. Manakala dia membawa salinannya kepada Amir al-Mukminin Ali a.s., beliau berkata kepada anaknya al-Hasan: Wahai anakku al-Hasan! Bawakan kepadaku apa yang telah aku berikan kepada anda.

Wahai anakku! Bacalah dan lihatlah anda wahai fulan pada naskhah kitab ini, ia adalah khat tanganku dan imla' Rasulullah (Saw.). Lalu beliau membacanya, ia tidak menyalahinya meskipun satu huruf. Tidak ada yang terdahulu dan terkemudian seolah-olah satu imla' kepada dua lelaki. Maka beliau memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya lalu berkata: Segala puji bagi Allah, sekiranya Dia mahu, umat tidak akan berselisih faham dan tidak akan berpecah. Segala puji bagi Allah yang tidak melupakanku, tidak mensia-siakan urusanku dan tidak melemahkan ingatanku di sisi-Nya dan di sisi para wali-Nya, manakala Dia memperkecil dan melemahkan ingatan para wali Syaitan dan partinya.

Syi'ah Ali a.s. yang hadir pada hari itu berasa gembira, lalu mereka mengucapkan terima kasih kepadanya. Sebagaimana kata-katanya juga telah menyakitkan hati orang di sekelilingnya dan kami mengetahuinya daripada wajah-wajah mereka.


Ucapan Ali a.s: "Akulah yang telah mencungkil mata fitnah"

Abban daripada Sulaim Bin Qais berkata: Amir al Mukminin telah menaiki mimbar, maka beliau memuji Allah dan bersyukur kepadanya dan berkata: Wahai manusia! Akulah orang yang telah mencungkil (faqa'tu) mata fitnah. Tidak ada seorangpun berani menghadapinya selain daripadaku. Demi Tuhan! Sekiranya aku tidak ada di sisi kalian, nescaya ahli Jamal, ahli Siffin dan ahli Nahrawan tidak akan diperangi. Demi Tuhan! Jikalaulah kalian tidak bercakap dan tidak pula meninggalkan amal, nescaya aku akan memberitahu kalian apa yang telah ditetapkan oleh Allah di atas lidah Nabi-Nya. Bagi orang yang memerangi mereka benar-benar mengetahui kesesatan mereka dan arif dengan petunjuk yang kami di atasnya.

Kemudian beliau berkata: Kalian bertanyalah kepadaku apa yang kalian mahu sebelum kalian meninggalkanku. Demi Tuhan! Sesungguhnya aku lebih mengetahui jalan-jalan langit berbanding dengan jalan-jalan bumi. Aku adalah Ya'sub Mukminin, orang yang terawal, imam Muttaqin, penutup para wasi, waris para nabi dan khalifah Rabb al-'Alamin. Aku adalah dayyan al-Din pada Hari Kiamat dan pembahagi Allah (qasimu-llahi) antara ahli Syurga dan ahli Neraka.

Akulah al-Siddiqu l-Akbar dan al-Faruq yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Sesungguhnya di sisiku ilmu manaya dan balaya dan fasl al-khitab. Tidak ada satu ayat yang turun melainkan aku mengetahui pada apa ia diturunkan, di mana ia diturunkan dan kepada siapa ia diturunkan. Wahai manusia! Sesungguhnya kalian hampir tidak mendapatiku, sesungguhnya aku akan berpisah daripada kalian.

Sesungguhnya aku akan mati atau dibunuh. Orang yang paling celaka sedang menunggu untuk mencelupkannya ('an yakhdibaha) dari atasnya. (Di dalam riwayat yang lain, orang yang paling celaka sedang menunggu untuk mencelupkan ini daripada darah ini iaitu janggutnya dari darah kepalanya). Demi Dia yang telah mengembangkan bijian dan menciptakan makhluk hidup. Janganlah kalian bertanyaku tentang kumpulan yang melebihi tiga ratus ke atas antara kalian dan Kiamat melainkan aku memberitahu kalian penariknya, pemandunya dan pembuat suaranya (sa'iqu-ha wa qa'idu-ha wa na'iqu-ha), halaman rumah yang rosak bilakah ia rosak dan bilakah ia dibangunkan selepas kerosakannya sehingga Hari Kiamat.

Lantas berdiri seorang lelaki dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Beritahukan kami tentang bala (al-Balaya). Maka beliau berkata: Apabila penanya bertanya, maka hendaklah dia berfikir. Dan apabila dia bertanya, maka orang yang ditanya hendaklah menangguhkannya kerana di sebalik kalian banyak perkara yang berkumandang dan bala yang mendukacitakan. Demi Dia yang telah mengembangkan bijian dan mencipta makhluk hidup. Jika kalian tidak dapat memanfaatkan keberadaanku dan berlakulah perkara yang dicita-citakan serta bala yang sebenar, maka ramai orang yang bertanya akan menundukkan kepala mereka dan menyulitkan ramai orang yang ditanyakannya. (Di dalam naskhah yang lain, ramai orang yang ditanyakan itu telah gagal). Apabila berlakunya peperangan kalian dengan sebenarnya, maka Dunia menjadi bala ke atas kalian sehingga Allah membukakannya untuk orang yang baik (al-Abrar).

Seorang lelaki berdiri dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Beritahukan kami tentang fitnah (al-fitan)? Beliau berkata: Sesungguhnya fitnah apabila datang, tidak diketahui kepalsuannya. Dan apabila ia pergi, ia meninggalkan kesannya (asfarat). Sesungguhnya fitnah bagaikan ombak laut dan angin yang kencang menimpa satu negeri dan mengalahkan yang lain. Maka kalian tunggulah orang yang telah memegang bendera pada Hari Badr. Maka kalian tolonglah mereka, nescaya kalian akan ditolongi. Kalian berilah "ganjaran" kepada mereka, nescaya kalian akan dimaafkan. Sesungguhnya fitnah yang ditakuti ke atas kalian adalah fitnah Bani Umayyah. Ia adalah fitnah buta, pekak dan gelap. Fitnahnya bersifat umum, tetapi balanya adalah bersifat khusus. Bala akan menimpa orang yang melihatnya dengan mata hatinya (man absara fi-ha). Dan akan mengalahkan orang yang dibutakan hatinya daripadanya (man 'umia 'an-ha). Ahli batilnya (pembohongnya) menguasai ahli haknya (ahli kebenarannya). Mereka akan memenuhi bumi dengan kezaliman dan kediktatoran. Yang mengalahkan keangkuhannya, memecahkan tiangnya dan mencabutkan paksinya adalah Allah Rabb al-'Alamin dan Qasim al-Jabbarin.

Kalian akan mendapati Bani Umayyah sebagai tuan-tuan yang jahat (arbab su') seperti binatang buas (al-nab al-darus) yang melakukan apa sahaja. Fitnah mereka berterusan sehingga tidak mampu seseorang daripada kalian untuk menolong dirinya seperti pertolongan hamba terhadap dirinya daripada tuannya. Apabila tuannya tidak ada, dia memakinya. Dan apabila berhadapan dengannya, dia mentaatinya. (Di dalam riwayat yang lain, dia memaki di dalam hatinya. Di dalam riwayat yang lain, Demi Tuhan! Sekiranya mereka mengusir kalian di bawah setiap cakrawala, nescaya Allah akan mengumpulkan kalian untuk hari kejahatan mereka).

Seorang lelaki bertanya: Adakah jama'ah wahai Amir al-Mukminin selepas itu? Beliau berkata: Akan ada pelbagai jama'ah. Pemberian kalian, haji kalian, perjalanan musafir kalian, tetapi hati bermacam-macam. Seorang bertanya: Bagaimana hati bermacam-macam? Beliau menjawab: Beginilah. Beliau memasukkan anak anak jarinya dan berkata: Ini membunuh ini dan begitulah seterusnya.

Demikianlah berterusannya kezaliman Jahiliyah sehingga tidak ada cahaya petunjuk dan ilmu untuk dicontohi. Kami Ahl al-Bait selamat daripada perkara tersebut dan kami tidak melakukannya. Dia bertanya lagi: Apakah yang akan aku lakukan pada masa itu, wahai Amir al-Mukminin? Beliau berkata: Kalian lihatlah kepada Ahl Bait Nabi kalian. Jika mereka meminta bantuan kalian, maka bantulah mereka, nescaya kalian akan dimaafkan. Kerana mereka tidak akan mengeluarkan kalian daripada petunjuk dan tidak membawa kalian kepada kejahatan. Janganlah kalian mendahului mereka, nescaya kalian akan ditimpa bala dan akan ditertawakan oleh musuh-musuh kalian.

Dia bertanya lagi: Apakah akan terjadi selepas itu wahai Amir al-Mukminin? Beliau menjawab: Allah akan menyelamatkannya dengan seorang lelaki daripada keluargaku. Kemudian beliau akan menentang orang yang menghina mereka dan menuangkan mereka dengan gelas yang menyakitkan. Beliau tidak akan memberikan mereka dan tidak akan menerima daripada mereka selain daripada pedang dalam keadaan huru hara.

Beliau akan membawa pedang di atas bahunya selama lapan bulan sehingga mereka berkata: Apakah ini daripada Quraisy? Sekiranya dia daripada Quraisy dan daripada anak lelaki Fatimah, nescaya dia akan berlembut dengan kami. Allah akan menjadikan Bani Umayyah di bawah telapak kakinya dan akan mengisarkan mereka selumat-lumatnya. Firman-Nya di dalam Surah al-Ahzab (33): 61, 62; "Mereka terlaknat , mereka ditangkap dan dibunuh dengan sehebat-hebatnya di mana sahaja mereka berada. Dan tiada engkau dapati Sunnah Allah bertukar-tukar".

Amm ba'd (Adapun kemudian daripada itu). Apa yang pasti bahawa kesesatan dikisarkan dengan halus oleh kisarannya. Hanya Allahlah yang mengatasinya. Sesungguhnya aku dan keluargaku yang baik adalah orang yang paling lembut semasa kecil dan paling alim pada masa dewasa. Bersama kami bendera kebenaran dan petunjuk. Sesiapa yang mendahuluinya akan derhaka (maraqa). Sesiapa yang menghinanya akan dibalas. Sesiapa yang bersamanya akan diberkati. Kami Ahl al-Bait mengetahui daripada ilmu Allah, kami menerima daripada hukum Allah yang sebenar dan kami mendengar daripada kata-kata yang benar. Sekiranya kalian mengikut kami, nescaya kalian akan mendapat hidayah dengan basirah kami. Sekiranya kalian menentang kami, nescaya kalian akan diazab oleh Allah dengan tangan-tangan kami atau dengan apa yang Dia mahu.

Kami adalah mercu Islam, maka dengan kamilah pesalah akan dikaitkan dan kepada kamilah orang yang bertaubat akan dikembalikan. Demi Tuhan! Sekiranya kalian tidak gopoh dan kebenaran ditangguhkan, nescaya aku akan memberitahu kalian apa yang akan terjadi kepada pemuda-pemuda Arab dan Mawali (hamba). Justeru itu, janganlah kalian bertanya Ahl Bait Muhammad akan ilmu sebelum masanya. Dan janganlah kalian meminta kepada mereka akan harta di atas kesusahan kalian, maka kalian akan menyangka mereka bakhil. Sebenarnya mereka bukanlah bakhil. Kalian jadilah orang yang amanah dan janganlah menjadi gopoh dan tidak mampu menyimpan rahsia. Jadilah kalian daripada ahli kebenaran, nescaya kalian dikenali dengannya.

Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya dengan kekuasaan-Nya dan menjadikan di kalangan mereka kelebihan dengan ilmu-Nya. Dia menjadikan di kalangan mereka hamba-hamba di mana Dia memilih mereka untuk diri-Nya bagi berhujah dengan mereka ke atas makhluk-Nya. Justeru itu, Dia telah menjadikan petanda kepada orang yang mulia daripada mereka dengan ketaatan terhadap-Nya. Dan petanda kepada orang yang hina daripada mereka dengan kemaksiatan terhadap-Nya. Dia menjadikan pahala orang yang mentaati-Nya dengan berseri mukanya di negeri yang aman dan berkekalan yang tidak menyusahkan ahlinya. Dia menjadikan balasan orang yang melakukan maksiat terhadap-Nya dengan Api Neraka. Firman-Nya di dalam Surah Hud (11): 101, ''Kami tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri".

Wahai manusia! Sesungguhnya dengan kami Ahl al-Bait, Allah membezakan pembohongan. Dengan kami Allah mencabutkan belenggu kehinaan dari tengkuk kalian. Dengan kami Allah telah membuka sesuatu dan dengan kami Allah menamatkannya. Lantaran itu, ambillah iktibar melalui kami dan musuh kami, melalui petunjuk kami dan petunjuk mereka, melalui sirah kami dan sirah mereka, melalui mayat kami dan mayat mereka. Mereka mati dengan bermacam-macam penyakit seperti bisul dan kudis sementara kami mati dengan perut (racun), pembunuhan dan kesyahidan. Kemudian beliau berpaling kepada anak lelakinya lalu berkata: Wahai anakku! Hendaklah kalian yang besar berbuat baik kepada kalian yang kecil. Dan hendaklah kalian yang besar berlembut kepada kalian yang kecil. Janganlah jadi seperti orang yang bodoh, jahil yang tidak memberi keyakinan kepada Allah.

Demi Tuhan! Aku telah diajari untuk menyampaikan risalah, menyelenggarakan persiapan dan menyempurnakan kalimat. Sebab-sebab telah dibukakan kepadaku. Awan telah diperlakukan kepadaku Alam malakut telah diperlihatkan kepadaku di mana ia tidak pernah luput daripada ingatanku. Perkara yang telah berlalu tidak mengikatku. Tidak ada seorang pun yang berkongsi denganku pada apa yang telah dipersaksikan oleh Tuhanku pada hari penyaksian.

Dengan aku, Allah menyempurnakan janji-Nya dan menyempurnakan kalimat-Nya. Akulah al-Ni'mah yang Allah telah kurniakan kepada makhluk-Nya. Akulah Islam di mana Allah telah meridhainya untuk diri-Nya. Semua itu adalah kurniaan Allah kepadaku. Dan dengannya Allah menghina musuhku. Seorang itu tidak menjadi imam melainkan dia mengetahui ahli wilayahnya sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Ra'd (13): 7, ''Sesungguhnya engkau hanya memberi ingatan dan setiap kaum ada orang yang menunjukinya".

Tidak ada komentar:

Posting Komentar