Total Tayangan Halaman

Selasa, 08 Desember 2015

Penjelasan Ali a.s. bahawa Nabi Saw. telah memberitahunya mengenai apa yang sedang berlaku





Kemudian Mu'awiyah menulis surat kepada Amir al-Mukiminin a.s. Sekiranya apa yang anda kata, dakwa dan penyaksian yang anda minta daripada para sahabat anda itu benar, maka binasalah Abu Bakr, Umar, Uthman dan semua Muhajirin dan Ansar selain daripada anda, Ahl Bait anda dan Syi'ah anda? Sedangkan telah sampai kepadaku bahawa anda menunjukkan kasihan belas terhadap mereka. Sesungguhnya anda mempunyai dua wajah dan tidak ada yang ketiga. Sama ada anda bertaqiyyah jika anda membersihkan diri daripada mereka kerana khuatir bahawa tentera-tentera anda yang memerangiku akan melarikan diri daripada anda.

Jika apa yang anda dakwakan itu adalah batil dan suatu pembohongan, maka telah datang kepadaku sebahagian daripada mereka yang anda percaya, maka anda berkata kepada Syi'ah anda dan kumpulan anda yang jahat bahawa sesungguhnya aku telah mendengar mengenai tiga imam yang sesat, maka perjelaskan kepadaku tentang Abu Bakr, Umar dan Uthman? Apabila anda mendengarku, adakah anda berlembut terhadap salah seorang daripada para imam yang sesat? Maka itulah maksudku. Buktinya kami melihat anda dengan mata kami, maka kami tidak perlu bertanya sedemikian itu kepada orang yang selain daripada kami. Jika tidak, kenapa anda membawa perempuan anda Fatimah, anda memegang al-Hasan dan al-Husain dengan tangan anda?

Apabila Abu Bakr diberi bai'ah, maka anda tidak meninggalkan seorangpun daripada ahli Badr dan al-Sabiqah (orang terawal Islam) melainkan anda menyeru mereka dan meminta bantuan mereka bagi menentangnya. Tetapi anda tidak mendapat bantuan melainkan daripada empat orang: Salman, Abu Dhar, al-Miqdad dan al-Zubair. Aku berangan-angan jika anda benar, nescaya mereka akan menyahut seruan anda dan akan membantu anda, tetapi anda telah mendakwa perkara yang batil dan apa yang tidak diperakui oleh mereka.

Telingaku telah mendengar anda berkata kepada Abu Sufyan ketika dia berkata kepada anda: Anda telah kalah wahai ibn Abu Talib untuk menguasai kerajaan sepupu anda (Rasulullah). Dan orang yang telah mengalahkan anda hanyalah suku Quraisy yang paling lemah; Taim dan 'Adi. Dan dia telah menyeru anda untuk membantu anda. Anda berkata: Sekiranya aku mendapati pembantu-pembantu seramai empat puluh orang lelaki daripada Muhajirin, Ansar dan al-Sabiqah, nescaya aku menentang lelaki itu. Manakala anda tidak mendapati selain daripada empat orang lelaki, anda memberi bai'ah kepadanya secara terpaksa.

Sulaim berkata: Amir al-Mukminin Ali a.s. telah menulis surat kepada Mu'awiyah. Amma ba'd, aku telah membaca surat anda. Aku dapati tulisan anda pelik dan panjang. Adalah suatu bala yang besar ke atas umat ini kerana mempunyai orang seperti anda untuk menjaga urusan mereka secara umum atau khusus. Anda adalah orang yang anda ketahui dan anak lelaki kepada orang yang anda ketahui. Dan aku adalah orang yang anda telah ketahui dan anak lelaki kepada lelaki yang anda telah ketahui. Aku akan memberi jawapan kepada surat anda dengan jawapan di mana anda dan wazir anda Ibn al-Nabighah 'Umru yang bersetuju dengan anda, tidak akan dapat memahaminya. Dialah yang telah menyuruh anda menulis surat ini dan membaikinya untuk anda, dihadiri Iblis serta para sahabatnya yang melampau.

Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah memberitahuku bahawa beliau telah melihat di dalam mimpinya dua belas lelaki para imam sesat daripada Quraisy di atas mimbar Masjidnya. Mereka menaiki mimbar Rasulullah (Saw.) dan turun daripadanya di dalam bentuk beruk (al-Qurud) dan menolak umatnya ke belakang dari jalan yang benar. Wahai Tuhanku! Dia telah memberitahuku nama-nama mereka seorang demi seorang dan berapa lama setiap orang daripada mereka memerintah.

Sepuluh daripada mereka adalah daripada Bani Umayyah dan dua daripada mereka daripada suku yang bermacam-macam daripada Quraisy. Dan di atas mereka berdua adalah dosa semua umat sehingga Hari Kiamat, dan semua azab mereka. Tidak ada darah yang mengalir tanpa haknya, tidak ada kemaluan (farj) yang dinodai dan tidak ada hukum yang benar melainkan dosanya ke atas mereka berdua. Aku telah mendengarnya bersabda: Sesungguhnya Bani al-'As apabila sampai tiga puluh orang lelaki, mereka menjadikan Kitab Allah sebagai pendapatan, hamba Allah sebagai khaulan (hamba sahya) dan harta Allah berpusing di kalangan mereka.

Dan beliau bersabda: Wahai saudaraku! Sesungguhnya anda bukanlah sepertiku. Sesungguhnya Allah memerintahkanku supaya berterus-terang dengan kebenaran dan Dia memberitahuku bahawa Dia menjagaku daripada manusia. Dia memerintahkanku supaya berjihad walaupun seorang diri. Dia berfirman di dalam Surah al-Nisa' (4): 84, "Berjuanglah engkau pada jalan Allah dan janganlah engkau membebankan melainkan dirimu sendiri" Dan Dia berfirman di dalam Surah al-Anfal (8): 65, ''Hai Nabi! Ajaklah orang beriman berperang". Aku telah tinggal di Makkah beberapa lama tetapi Dia tidak memerintahkanku berperang, kemudian Dia memerintahkanku berperang kerana agama tidak diketahui melainkan denganku dan padaku. Begitu juga dengan syari'at, sunnah, hukum-hukum, halal dan haram.

Orang ramai selepasku diseru melakukan apa yang diperintahkan Allah dan apa yang aku perintahkan mereka pada anda iaitu menjadikan anda wali. Lantaran itu, kepura-puraan mereka mencintai anda adalah menyalahi apa yang diturunkan Allah pada anda. Sekiranya anda mendapati pembantu-pembantu bagi menentang mereka, maka perangilah mereka. Sekiranya anda tidak mendapati pembantu-pembantu, maka tahanlah tangan anda dan jagalah darah anda. Dan ketahuilah sekiranya anda menyeru mereka, mereka tidak akan menyahuti seruan anda. Justeru itu, jadikan seruan anda sebagai hujah ke atas mereka.

Sesungguhnya anda wahai saudaraku! Bukanlah sepertiku. Sesungguhnya aku telah mendirikan hujah anda dan menzahirkan kepada mereka apa yang telah Allah turunkan untuk anda. Sesungguhnya tidak diketahui bahawa aku adalah Rasulullah (Saw.). Sesungguhnya hakku dan ketaatan kepadaku adalah wajib sehingga aku menzahirkan sedemikian. Sesungguhnya aku telah menzahirkan hujah anda dan mendirikan urusan anda sekalipun anda berdiam diri daripada mereka dan anda tidaklah berdosa, hanya aku lebih suka anda menyeru mereka sekalipun mereka tidak menyahuti seruan anda dan tidak menerima anda. Kezaliman Quraisy akan berlaku kepada anda, lantaran itu aku takut jika anda menentang mereka tanpa sokongan yang kuat maka mereka akan membunuh anda.

Taqiyyah adalah daripada agama Allah. Tidak ada agama bagi mereka yang tidak ada taqiyyah. Sesungguhnya Allah telah "menetapkan" perselisihan, dan perpecahan ke atas umat ini. Sekiranya Dia mahu, nescaya Dia menghimpunkan mereka di atas petunjuk. Dua orang tidak akan berselisih dan bertengkar di dalam satu urusan dan orang yang kurang kelebihan tidak akan mengingkari kelebihan orang melebihinya. Jika Dia mahu, nescaya Dia mempercepatkan azab ke atas mereka.

"Perubahan" juga daripada-Nya sehingga Dia membohongi orang yang zalim dan memberitahu di mana kesudahannya akan kebenaran. Allah telah menjadikan Dunia tempat beramal dan Akhirat tempat pahala dan balasan. Dia berfirman di dalam Surah al-Najm (53): 31 ''Supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang telah melakukan kejahatan dengan apa yang mereka lakukan dan memberi balasan kepada orang yang melakukan kebaikan dengan kebaikan". Aku berkata: Bersyukur kepada Allah di atas nikmat-Nya, kesabaran di atas ujian-Nya, penyerahan dan ridha dengan Qadha'-Nya.

Kemudian beliau (Saw.) bersabda: Wahai saudaraku! Bergembiralah kerana hidup dan mati anda adalah bersamaku. Anda adalah saudaraku, wasiku, wazirku dan warisku. Anda akan memerangi di atas Sunnahku, anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa. Anda seperti Harun adalah ikutan yang baik ketika kaumnya menindas dan menentangnya sehingga hampir mereka membunuhnya.

Justeru itu, bersabarlah dengan kezaliman Quraisy terhadap anda. Dendam kesumat di dada mereka, dendam Badr dan warisan Uhud. Sesungguhnya Musa telah memerintahkan Harun ketika beliau melantiknya kepada kaumnya: Sekiranya mereka sesat dan anda mendapati pembantu-pembantu, hendaklah anda menentang "mereka" dengan mereka. Dan sekiranya anda tidak mendapatkan pembantu-pembantu, hendaklah anda menahan tangan dan menjaga darah anda. Janganlah anda memecah-belahkan di antara mereka.

Andapun lakukanlah sedemikian, jika mempunyai pembantu-pembantu maka perangilah mereka. Namun jika anda tidak mendapati pembantu-pembantu maka tahanlah tangan dan jagalah darah anda. Seandainya anda memerangi mereka nescaya mereka akan membunuh anda. Ketahuilah! Jikalau anda tidak menahan tangan anda dan menjaga darah anda apabila anda tidak mendapati pembantu-pembantu, aku khuatir orang ramai akan kembali menyembah berhala dan mengingkari bahawa aku adalah Rasulullah (Saw.).

Justeru itu, tentangilah mereka dengan hujah dan tinggalkanlah mereka supaya orang yang menentang anda (al-Nasibun), dan pemberontak-pemberontak anda (al-Baghun) akan binasa. Sementara orang awam dan khassah akan selamat. Sekiranya anda mendapati pembantu-pembantu suatu hari nanti untuk mendirikan Kitab dan Sunnah, maka perangilah mereka di atas ta'wil al-Qur'an sebagaimana anda telah memerangi mereka di atas tanzil al-Qur'an. Sesungguhnya orang yang akan binasa daripada umat ini adalah orang yang menentang anda (nasaba la-ka) dan salah seorang daripada para wasi anda, bermusuhan, menentang dan beragama menyalahi apa yang kalian di atasnya.

Aku mahu wahai Mu'awiyah! Jika aku berlembut terhadap anda, Talhah dan al-Zubair serta istighfarku untuk kalian, bukanlah bermaksud untuk membenarkan kebatilan, malah Allah menjadikannya sebagai laknat ke atas kalian dan suatu penyiksaan. Anda, Talhah dan al-Zubair tidak kurang juga dari segi jenayah, dosa, bid'ah dan kesesatan berbanding dengan orang yang telah memberi jalan kepada anda dan sahabat anda yang anda sedang menuntut darahnya. Mereka berdua telah mendorong kalian supaya menzalimi kami Ahl al-Bait dan mereka membuat kalian menghina kami.

Allah berfirman di dalam Surah al-Nisa' (4): 51-4, ''Tidakkah engkau ketahui orang yang diberi sebahagian daripada Kitab, mereka percaya kepada Jibt dan Taghut dan mereka berkata kepada orang kafir: "Mereka ini (orang kafir) lebih baik daripada orang yang beriman ke jalan yang lurus". Merekalah yang dilaknati Allah dan siapa yang dilaknati Allah, maka dia tidak mendapat pembantu untuk mereka. Bahkan adakah bagi mereka bahagian daripada kerajaan? Jika ada, mereka tidak mendatangkan kebajikan kepada manusia walaupun sedikit. Bahkan adakah mereka dengki kepada manusia (al-Nas) di atas apa yang dikurniakan kepada mereka daripada kelebihan-Nya?" Maka kamilah manusia (al-Nas) dan kamilah yang dihasad-dengkikan.

Allah berfirman dalam Surah al-Nisa' (4): 54, ''Sesungguhnya kami telah kurniakan kepada keluarga Ibrahim al-Kitab dan al-Hikmah, dan kami kurniakan kepada mereka kerajaan yang besar (Mulkan 'Aziman)". Allah telah menjadikan mereka para imam Sesiapa yang mentaati mereka, mereka mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai mereka, mereka menderhakai Allah. Mereka tidak mengakui al-Kitab, al-Hikmah dan kenabian pada keluarga Nabi Ibrahim dan mereka mengingkarinya pada keluarga Muhammad.

Wahai Mu'awiyah! Jika anda, sahabat anda, mereka sebelum anda daripada taghut ahli Syam, Yaman, Badwi Rabi'ah dan Mudar mengingkarinya. Allah berfirman dalam Surah al-An'am (6): 89, ''…maka kami telah sediakan kaum lain yang tidak mengingkarinya" Wahai Mu'awiyah! Sesungguhnya al-Qur'an adalah kebenaran, cahaya, petunjuk, rahmat dan penawar bagi Mukminin. Firman-Nya di dalam Surah al-Sajdah (41): 44, ''Dan bagi orang yang tidak beriman di telinga mereka ada penutup dan al-Qur'an itu bagi mereka adalah buta".

Wahai Mu'awiyah! Sesungguhnya Allah tidak akan meninggalkan satu jenispun daripada jenis-jenis kesesatan dan para penyeru ke Neraka melainkan Dia telah berhujah ke atas mereka di dalam al-Qur'an, Dia melarang daripada mengikuti mereka dan Dia menurunkan ke atas mereka al-Qur'an yang bercakap. Tidak ada satu ayatpun di dalam al-Qur'an melainkan ia mempunyai pengertian zahir dan batin. Dan tidak ada satu hurufpun melainkan ia mempunyai takwilnya. Firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran (3): 7, ''…dan tidak mengetahui takwilnya melainkan Allah dan al-Rasikhun fi 'ilm". al-Rasikhun adalah kami keluarga Muhammad dan Allah telah memerintahkan semua umat supaya berkata: ''Kami telah beriman dengan-Nya, semuanya di sisi Tuhan kami dan tidak akan mengingati-Nya melainkan Ulu-l al-Bab" Lantaran itu, hendaklah mereka menyerahkan kepada kami. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa' (4): 83, "Sekiranya mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Uli l-Amr daripada mereka nescaya orang yang meneliti antara mereka mengetahuinya." Merekalah yang telah bertanya mengenainya dan menuntutnya.

Aku mahu jika orang ramai ketika wafatnya Rasulullah (Saw), mereka menyerah kepada kami, mengikut kami dan merujuk kepada kami, (jika itu berlaku)) nescaya mereka akan dikurniakan rezeki yang banyak. Tetapi apabila anda menunjukkan ketamakan anda, wahai Mu'awiyah! Apa yang mereka terlepas daripada kami adalah lebih banyak daripada kami terlepas daripada mereka.

Sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat pada aku dan pada anda dalam surah khas, tetapi umat telah menakwilnya secara zahir dan mereka tidak mengetahui pengertian batin, iaitu Surah al-Haqqah (69): 19, 25, ''Adapun orang yang diberi kitabnya dengan tangan kanannya dan orang yang diberi kitabnya dengan tangan kirinya". Ayat ini mengenai imam yang sesat dan imam petunjuk (huda). Setiap satu daripada kedua-duanya mempunyai para sahabat yang memberi bai'ah kepadanya; aku dan anda wahai Mu'awiyah! Anda adalah tuan rantai besi (sahib salsilah). Allah berfirman dalam Surah al-Haqqah (69): 25, 26, ''Aduhai kiranya, janganlah hendaknya diberikan buku amalanku. Dan aku tidak mengetahui apakah perhitunganku" Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda sedemikian itu.

Demikian juga setiap imam sesat sebelum anda atau selepas anda akan menghadapi penghinaan dan azab yang sama daripada Allah SWT. Dia menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Isra' (17): 60, ''Kami tidak menjadikan penglihatan (mimpi) yang kami memperlihatkan kepada engkau melainkan sebagai fitnah kepada manusia dan pokok yang dilaknat di dalam al-Qur'an". Rasulullah (Saw.) telah melihat dua belas imam sesat di atas mimbar Masjidnya yang menolak orang ramai ke belakang. Dua orang lelaki daripada Quraisy dan sepuluh orang daripada Bani Umayyah. Yang terawal daripada sepuluh adalah sahabat anda yang anda sedang menuntut darahnya. Anda, anak lelaki anda dan tujuh daripada anak lelaki al-Hakam bin Abi al-'As. Yang terawal mereka adalah Marwan. Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) telah melaknat dan mengusirnya kerana mencuri dengar percakapan isteri Rasulullah (Saw).

Wahai Mu'awiyah! Kami Ahl al Bait, Allah telah memilih untuk kami Akhirat ke atas Dunia. Aku telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda mengenai anda, wazir anda dan sahabat anda: Apabila Bani Umayyah sampai tiga puluh lelaki, mereka akan mengambil Kitab Allah sebagai pendapatan, hamba Allah sebagai hamba milik dan harta Allah berpusing di kalangan mereka. Wahai Mu'awiyah! Sesungguhnya Nabi Allah Zakaria dibunuh dengan gergaji, Yahya disembelih dan dibunuh oleh kaumnya kerana mereka menyeru mereka kepada Allah SWT dan juga kerana Dunia adalah hina di sisi Allah. Para wali Syaitan memerangi para wali al-Rahman. Allah berfirman dalam Surah Ali 'Imran (3): 21, ''Sesungguhnya orang yang ingkar akan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa kebenaran serta membunuh orang yang menyuruh manusia melakukan keadilan, maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab yang pedih".

Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) memberitahuku bahawa Bani Umayyah akan mencelup janggutku daripada darah kepalaku dan sesungguhnya aku meminta mati syahid. Anda akan menguasai umat selepasku. Anda akan membunuh anak lelakiku al-Hasan dengan racun sebagai satu pengkhianatan. Anak lelaki anda Yazid (Laknatu Llah) akan membunuh anak lelakiku al-Husain dan akan menguasai daripadanya seorang anak lelaki kepada penzina perempuan.

Dan umat akan dikuasai selepas anda oleh tujuh daripada anak lelaki Abi al-'As dan anak-anak lelaki Marwan bin al-Hakam dan lima daripada anak lelakinya melengkapi dua belas imam di mana Rasulullah (Saw.) melihat mereka melompat di atas mimbar Masjidnya seperti lompatan beruk, menolak umatnya daripada agama Allah ke belakang. Akibatnya mereka akan menerima azab yang pedih pada Hari Kiamat. Allah akan mengeluarkan khilafah daripada mereka dengan bendera hitam yang akan datang dari Timur. Allah akan menghina mereka dan membunuh mereka di mana-mana. Sesungguhnya seorang lelaki daripada anak lelaki anda yang dilaknati dan keras hati di mana Allah telah mencabut daripadanya perasaan kasihan belas, bapa-bapa saudaranya daripada anjing seolah-olah aku sedang melihat kepadanya. Jika aku mahu aku akan menyebut namanya, sifatnya dan berapa umurnya. Dia akan menghantar tentera ke Madinah, melakukan pembunuhan dan fahisyah yang dahsyat. Seorang lelaki daripada anak lelakiku akan melarikan diri daripada mereka. Beliau akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya ia dipenuhi dengan kezaliman dan kediktatoran. Aku mengetahui namanya, di mana beliau pada hari itu serta alamatnya.

Beliau adalah daripada anak lelaki kepada anak lelakiku al-Husain yang akan dibunuh oleh anak lelaki anda Yazid. Beliau adalah penuntut bela darah bapanya, maka beliau melarikan diri ke Makkah. Ketua tentera akan membunuh seorang lelaki daripada anak lelakiku di Ahjar al-Bait. Kemudian tentera tersebut berjalan menuju ke Makkah. Aku mengetahui nama pemimpin mereka dan nama-nama mereka, dan-tanda-tanda kuda mereka. Apabila mereka memasuki al-Baida', mereka akan ditelan Bumi. Allah berfirman dalam Surah al-Saba' (34): 51, ''Jika engkau melihat ketika mereka terkejut, maka tidak ada tempat lari dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat". Beliau berkata: Di bawah telapak kaki mereka. Tidak seorangpun daripada tentera tersebut tinggal melainkan seorang lelaki di mana Allah menukarkan mukanya ke belakang.

Allah akan mengutus beberapa kaum kepada imam al-Mahdi dengan bilangan yang ramai. Demi Tuhan! Aku mengetahui nama-nama mereka, nama pemimpin mereka dan keadaan penunggang mereka. Maka al-Mahdi akan memasuki Ka'bah, lalu menangis dan berdoa. Allah berfirman dalam Surah al-Naml (27): 62, ''Bahkan siapakah orang yang menunaikan hajat orang yang melarat apabila dia meminta dan menghilangkan kemelaratannya, dan mengangkat kamu menjadi khalifah di muka bumi ?" Ayat ini diturunkan khas kepada kami Ahl al-Bait secara khusus.

Demi Tuhan! Wahai Mu'awiyah, aku menulis kepada anda wahai Mu'awiyah! Aku tahu anda tidak akan mengambil faedah daripadanya. Sesungguhnya anda bergembira apabila aku memberitahu anda bahawa anda akan menguasai khilafah dan anak lelaki anda adalah selepas anda, kerana Akhirat bukanlah menjadi perhatian anda, dan anda mengingkari Hari Kiamat. Anda akan menyesal sebagaimana menyesalnya orang yang telah mengasaskan urusan khilafah untuk anda. Dan dia telah membuat anda menghina kami ketika penyesalan tiada guna lagi.

Di antara yang mendorongku menulis surat kepada anda adalah supaya Syi'ahku dan ketua-ketua sahabatku mengambil iktibar daripadanya. Atau ia dibaca oleh seseorang di pihak anda, maka Allah mengeluarkannya daripada kesesatan kepada petunjuk, daripada kezaliman anda, kezaliman para sahabat anda dan fitnah mereka. Lagipun aku pula suka berhujah ke atas anda. Justeru itu, aku memerintahkan penulisku supaya membuat salinan untuk Syi'ahku dan para sahabatku.

Mu'awiyah telah menulis surat kepadanya mengucapkan tahniah: Tahniah kepada anda wahai Abu al-Hasan! Anda memiliki Akhirat dan tahniah juga kepada kami kerana kami memiliki Dunia.


Mu'awiyah memasuki Madinah selepas pembunuhan Ali a.s. dan apa yang berlaku kepada penduduknya

Abban daripada Sulaim dan Umar ibn Abi Salmah berkata: Mu'awiyah semasa pemerintahannya telah datang ke Madinah dalam perjalanannya menunaikan Haji selepas Amir al-Mukminin salawatu llahi 'alaihi dibunuh, dan perdamaiannya dengan al-Hasan a.s. (Di dalam riwayat yang lain selepas kematian al-Hasan a.s.) Maka dia disambut oleh penduduk Madinah, kebanyakannya daripada Quraisy bukan Ansar. Lantas dia bertanya mengenainya. Ada orang menjawab: Mereka memerlukan binatang tunggangan, lantas Mu'awiyah berpaling kepada Qais bin Sa'd bin 'Ubadah dan berkata: Wahai orang Ansar! Kenapa kalian tidak menyambutku bersama saudara-saudara Quraisy kalian?

Maka Qais sebagai ketua Ansar berkata: Kami tidak mempunyai binatang tunggangan wahai Amir al-Mukminin! Dia bertanya: Di manakah unta-unta itu? Qais berkata: Kami telah memusnahkannya pada Hari Badr, Uhud dan selepasnya di hadapan Rasulullah (Saw.), ketika kami memerangi anda dan bapa anda kerana Islam sehingga zahir urusan Allah sedangkan kalian membencinya. Mu'awiyah berkata: Wahai Tuhanku ampunilah!

Qais berkata: Sesungguhnya Rasulullah (Saw.) bersabda: Kalian akan melihat selepasku keutamaan diberi kepada orang lain. Kemudian dia berkata: Wahai Mu'awiyah! Anda menghina kami dengan unta-unta kami? Sesungguhnya kami berperang dengan anda di atasnya pada Hari Badr sedangkan kalian berperang untuk memadamkan cahaya Allah dan menjadikan kalimah Syaitan lebih tinggi. Kemudian anda dan bapa anda memeluk Islam secara terpaksa disebabkan kami telah memerangi anda kerananya.

Maka Mu'wiyah berkata: Seolah-olah anda telah bermurah hati ke atas kami dengan memberi bantuan kepada kami? Maka bagi Allah dan Quraisy semua kelebihan itu. Tidakkah kalian telah bermurah hati kepada kami wahai kaum Ansar dengan bantuan yang kalian berikan kepada Rasulullah sedangkan beliau daripada Quraisy, beliau adalah sepupu kami dan daripada kami. Bagi kamilah kelebihan tersebut jika Allah jadikan kalian pembantu-pembantu kami dan pengikut-pengikut kami, maka Dia akan memberi hidayah kepada kalian dengan kami.

Qais berkata: Sesungguhnya Allah telah mengutus Muhammad Saw. sebagai rahmatan li-l 'Alamin. Maka Dia mengutusnya kepada semua manusia. Kepada jin, manusia; merah, hitam dan putih. Dia telah memilihnya kerana kenabiannya dan mengkhususkannya dengan risalahnya. Maka orang pertama yang membenarkannya dan beriman dengannya adalah sepupunya Ali bin Abu Talib a.s. Sementara Abu Talib telah menghalang kafir Quraisy daripada menyakitinya dan memintanya supaya meneruskan risalah Tuhan-Nya. Beliau sentiasa mempertahankannya daripada disakiti sehingga bapa saudaranya Abu Talib mati. Kemudian beliau memerintahkan pula kepada anak lelakinya supaya membantunya pada setiap kesusahan dan ketakutan.

Allah telah memilih Ali a.s. di kalangan Quraisy dan memuliakannya di kalangan Arab dan al-'Ajam. Rasulullah Saw. mengumpulkan Bani Abd al-Muttalib, di kalangan mereka adalah Abu Talib dan Abu Lahab. Mereka pada hari itu seramai empat puluh orang lelaki. Rasulullah Saw. menjemput mereka dan Ali sebagai pembantunya. Rasulullah Saw. berada di pangkuan bapa saudaranya Abu Talib dan bersabda: Sesiapa di kalangan kalian yang diundang ingin menjadi saudaraku, wazirku, wasiku, khalifahku pada umatku dan wali kepada setiap Mukmin selepasku? Mereka terus membisu sehingga beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

Maka Ali a.s. berkata: Aku wahai Rasulllah salla llau 'alaika. Maka beliau meletakkan kepalanya di pangkuannya dan meludahnya di dalam mulutnya lalu bersabda: Wahai Tuhanku! Penuhilah dirinya dengan keilmuan, kefahaman dan hikmah. Kemudian beliau bersabda kepada Abu Talib: Wahai Abu Talib! Dengarlah sekarang untuk anak lelaki anda dan patuhilah. Sesungguhnya Allah telah menjadikan kedudukannya di sisi Nabinya sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa. Rasulullah Saw. telah mempersaudarakan Ali dengan dirinya sendiri.

Justeru itu, beliau tidak meninggalkan sesuatupun daripada kelebihannya (manaqibnya) melainkan beliau menyebutkannya dan berhujah dengannya. Beliau berkata: Di kalangan mereka adalah Ja'far bin Abu Talib al-Tayyar di Syurga dengan dua sayap di mana Allah mengkhususkannya dengan demikian itu di kalangan manusia. Di kalangan mereka adalah Hamzah Sayyidu al-Syuhada'. Di kalangan mereka adalah Fatimah penghulu wanita Syurga.

Apabila anda mengeluarkan daripada Quraisy Rasulullah, Ahl Baitnya dan 'Itrahnya yang baik. Maka kami, demi Tuhan! Adalah lebih baik daripada kalian wahai Quraisy, lebih mencintai Allah, Rasul-Nya dan Ahl Baitnya berbanding dengan kalian. Apabila Rasulullah (Saw.) wafat, kaum Ansar telah berkumpul kepada bapaku. Kemudian mereka berkata: Kami akan memberi bai'ah kepada Sa'd. Maka Quraisy datang, lalu mereka bertengkar dengan kami dengan hujah Ali dan Ahl Baitnya a.s. Mereka bertengkar dengan kami dengan hujahnya dan kerabatnya. Justeru itu, mereka telah menzalimi al-Ansar dan mereka juga telah menzalimi keluarga Muhammad a.s. dan anak-anaknya selepasnya.

Lantas Mu'awiyah menjadi marah dan berkata: Wahai Ibn Sa'd! Daripada siapakah anda mengambil ini, daripada siapakah anda meriwayatkannya dan daripada siapakah anda mendengarnya. Adakah bapa anda memberitahu anda sedemikian dan anda telah mengambil daripadanya? Qais berkata: Aku telah mendengarnya dan aku mengambilnya daripada orang yang lebih baik daripada bapaku dan lebih besar hak ke atasku daripada bapaku. Dia bertanya: Siapa? Qais menjawab: Ali bin Abu Talib (a.s.) orang paling alim daripada umat ini dan Siddiqnya di mana Allah telah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Ra'd (13): 43, ''Katakanlah: Dan memadai bagi Allah sebagai saksi antara aku dan kamu dan orang yang di sisinya 'ilm al-kitab".

Dia tidak meninggalkan walaupun satu ayat yang turun kepada Ali melainkan menyebutnya. Mu'awiyah berkata: Siddiq umat ini adalah Abu Bakr, Faruqnya adalah Umar dan orang yang di sisinya 'ilm al-kitab adalah Abdullah bin Salam. Qais berkata: Orang yang paling berhak dan aula dengan nama- nama ini adalah orang yang Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah Hud (11): 17 kepadanya, ''Adakah (orang kafir itu sama dengan) orang yang telah mendapat keterangannya daripada Tuhannya dan diikuti saksi daripada Allah?". Dan orang yang telah dilantik oleh Rasulullah (Saw.) di Ghadir Khum, maka beliau bersabda: "Sesiapa yang aku aula dengannya daripada dirinya" Dan semasa peperangan Tabuk ''Anda daripadaku sepertilah kedudukan Harun daripada Musa melainkan tidak ada Nabi selepasku.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar