Total Tayangan Halaman

Selasa, 08 Desember 2015

Surat Mu'awiyah kepada gabenor Ziyad tentang Syi'ah Ali a.s.



Abban daripada Sulaim berkata: Penulis Ziyad bin Samiyyah adalah seorang Syi'i, dan beliau adalah sahabatku. Beliau membacakan kepadaku surat yang ditulis oleh Mu'awiyah kepada Ziyad sebagai jawapan kepada suratnya.

Amma ba'd (adapun kemudian daripada itu), sesungguhnya anda telah menulis kepadaku bertanyakan tentang Arab, siapakah yang paling mulia daripada mereka, siapakah yang paling hina, siapakah yang paling akrab, siapakah yang paling jauh, siapakah yang paling aman dan siapakah yang paling ditakuti?

Aku, wahai saudaraku, adalah orang yang paling mengetahui tentang Arab. Aku melihat kepada suku daripada Yaman, maka aku memuliakan mereka pada lahirnya ('Alaniyyati), tetapi aku menghina mereka secara senyap-senyap (fi s-Sirri). Demikianlah aku telah lakukan kepada mereka. Aku memuliakan mereka pada majlis-majlis mereka dan aku menghina mereka ketika bersendirian. Mereka adalah orang yang paling jahat di sisiku. Kelebihan anda dan kemurahan anda selain daripada mereka, adalah rahsia daripada mereka.

Aku melihat kepada Rabi'ah ibn Nazar, maka aku memuliakan ketua-ketua mereka dan aku menghina orang awam mereka. Kerana orang awam mereka mengikut ketua-ketua mereka. Aku melihat kepada Mudar, maka aku lakukan polisi pecah dan perintah. Kerana jika anda melakukan sedemikian, maka itu adalah cukup untuk membendung yang lain. Aku melihat kepada al-Mawali (asal hamba) dan orang yang memeluk Islam daripada orang 'Ajam, maka lakukanlah kepada mereka dengan sunnah Umar bin al-Khattab. Kerana itu adalah satu penghinaan kepada mereka bagi mengahwini Arab dan Arab pula tidak boleh mengahwini mereka. Sementara Arab boleh mewarisi mereka, dan mereka pula tidak boleh mewarisi Arab.

Hendaklah anda memotong pemberian dan upah kepada mereka. Jika mereka dihantar ke Medan perang, tugas mereka adalah membaiki jalan dan memotong pokok-pokok. Tidak seorangpun daripada mereka dibenarkan untuk menjadi imam kepada orang Arab di dalam solat. Tidak seorangpun daripada mereka dibenarkan berada di saf pertama di dalam solat jika ia dihadiri oleh Arab melainkan bagi memenuhi saf. Janganlah anda melantik seorangpun daripada mereka ke kampung-kampung pendalaman Muslimin. Tidak seorangpun daripada mereka dibenarkan bagi melakukan hukuman ke atas Muslimin. Kerana ini adalah sunnah dan sirah Umar pada mereka. Balasan-Nya daripada umat Muhammad dan Bani Umayyah secara khusus adalah sebaik-baik balasan.

Sekiranya dia (Abu Bakr) dan sahabatnya (Umar) tidak melakukannya dengan kekuatan dan kekerasan pada agama Allah, nescaya kami dan semua umat akan menjadi Mawali kepada Bani Hasyim. Mereka mewarisi khilafah seorang demi seorang sebagaimana Kaisar dan Kisra. Tetapi Allah telah mengeluarkannya daripada Bani Hasyim dan menjadikannya untuk Bani Taim bin Murrah, kemudian keluar kepada Bani 'Adi bin Ka'ab. Tidak ada pada Quraisy dua suku yang lebih hina daripada kedua-duanya. Aku tidak bertolak-ansur, lalu mereka berdua memberi laluan kepada kami mengenainya. Kami lebih berhak dengannya daripada mereka berdua dan keturunan mereka berdua, kerana kami mempunyai kekayaan dan mahir di dalam peperangan. Kami adalah lebih akrab kepada Rasulullah tentang pertalian rahim daripada mereka berdua.

Kemudian sahabat kami Uthman telah mendapatnya melalui Syura dan keridhaan umum selepas Syura selama tiga hari yang terdiri daripada enam ahli. Tetapi ada orang yang telah mendapatnya tanpa Syura sebelumnya. Manakala sahabat kami dibunuh secara zalim, maka kami telah mendapatkannya, kerana siapa yang dibunuh secara zalim maka kami jadikan kekuasaan (sultanan) bagi walinya.

Wahai saudaraku! Jika Umar telah menjadikan diyah hamba separuh diyah al-Mawali sebagai sunnahnya, nescaya ia adalah lebih hampir kepada takwa. Jika aku dapati jalan kepadanya, aku harap orang ramai akan menerimanya nescaya aku akan melakukannya. Tetapi aku hampir dengan peperangan, maka aku takut perpecahan orang ramai dan perselisihan mereka ke atasku. Cukuplah apa yang telah disunnahkan oleh Umar pada mereka sebagai penghinaan kepada mereka.(Di dalam riwayat yang lain: Wahai saudaraku! Sesungguhnya jika Umar tidak menjadikan diyah al-Mawali separuh daripada diyah Arab sebagai sunnah, demikian itu lebih hampir kepada takwa, nescaya Arab tidak ada kelebihan ke atas orang 'Ajam).

Apabila sampai suratku ini, maka hinalah orang 'Ajam dan janganlah anda meminta tolong dengan seorangpun daripada mereka dan janganlah anda menunaikan hajat mereka. Demi Tuhan! Sesungguhnya anda adalah anak lelaki Abu Sufyan. Anda telah keluar daripada sulbinya. Sesungguhnya anda memberitahuku dan anda di sisiku wahai saudaraku adalah benar. Anda telah membaca surat Umar kepada al-Asy'ari di Basrah, anda pada masa itu penulisnya sedangkan dia adalah gabenornya di Basrah.

Anda adalah orang yang paling hina di sisinya, anda pada hari itu terasa hina diri kerana anda menyangka anda adalah maula Thaqif. Jika anda mengetahui pada hari itu secara yakin seperti keyakinan anda pada hari ini bahawa anda adalah anak lelaki Abu Sufyan, nescaya anda membesarkan diri anda dan anda menjadi sombong menjadi penulis (kerani) kepada al-Asy'ari. Anda dan kami mengetahui secara yakin bahawa Abu Sufyan mengikut jejak langkah Umayyah bin 'Abd Syamsin. Ibn Abi Mu'it memberitahuku bahawa sesungguhnya anda telah membaca surat Umar kepada Abu Musa al-Asy'ari.

Dia telah menghantar kepadanya tali sepanjang lima jengkal (Asybar) dan berkata kepadanya: Bentangkannya kepada ahli Basrah. Sesiapa yang anda dapati daripada al-Mawali dan orang 'Ajam yang memeluk Islam sepanjang lima jengkal, maka kemukakannya dan penggalkan kepalanya. Lantaran itu, Abu Musa telah bermesyuarat dengan anda mengenainya, maka anda menentangnya dan anda memintanya supaya merujuk balik, maka dia melakukannya. Lantas anda membawa surat itu kepada Umar. Anda melakukannya kerana ta'assub anda kepada al-Mawali. Anda pada masa itu menyangka bahawa anda adalah hamba kepada Thaqif. Anda selalu bersama Umar sehingga anda membuatnya meninggalkan pendapatnya. Dia ditakutkan oleh perpecahan orang ramai, lalu meninggalkan pendapatnya.

Anda berkata kepadanya: Apa yang membuat anda terasa selamat sedangkan anda memusuhi Ahl Bait ini. Mereka akan datang beramai-ramai kepada Ali bagi menentang anda. Lantaran itu, dia akan menghilangkan kerajaan anda? Justeru itu, berhentilah daripada melakukannya. Aku tidak tahu wahai saudaraku bahawa anak yang lahir daripada Abu Suftan lebih menjadi ancaman ke atas mereka seperti anda menolak pendapat Umar dan anda telah menghalangnya.

Dan dia memberitahuku bahawa apa yang membuatnya mengubah pendapatnya di dalam memerangi mereka kerana anda berkata bahawa anda telah mendengar Ali bin Abu Talib berkata: Orang A'jam akan menentang kalian kembali kerana agama ini, sebagaimana kalian telah memukul mereka pada permulaan. Dan dia berkata: Allah akan memenuhi tangan-tangan kalian daripada orang A'jam untuk menjadi singa yang tidak akan lari, maka mereka akan memenggal kepala kalian dan akan mengalahkan kalian daripada kumpulan kalian. Dia berkata kepada anda bahawa dia telah mendengarnya daripada Rasulullah (Saw.). Maka inilah yang mendorongku untuk menulis surat ini kepada sahabat anda di dalam memerangi mereka. Aku telah berazam untuk menulis kepada semua gabenorku di seluruh negara.

Maka aku berkata kepada Umar: Janganlah anda lakukan, wahai Amir al-Mukminin!. Aku tidak berasa aman kerana Ali akan menyeru mereka untuk membantunya. Mereka adalah ramai dan anda mengetahui tentang keberanian Ali dan Ahl Baitnya serta permusuhannya terhadap anda dan sahabat anda. Justeru itu, anda telah menolak pendapatnya. Anda memberitahuku bahawa anda menolaknya di atas dasar asabiyah dan anda tidak akan berpatah balik sebagai pengecut. Anda memberitahuku bahawa anda telah memberitahu Ali semasa pemerintahan Uthman, maka dia memberitahu anda bahawa pemegang-pemegang bendera hitam (Ashab Rayat al-Sud) yang datang dari Khurasan adalah orang A'jam. Merekalah yang akan mengalahkan Bani Umayyah di atas kerajaan mereka dan membunuh mereka di mana-mana.

Sekiranya anda, wahai saudaraku! Tidak menolak pendapat Umar mengenainya, nescaya sunnah telah berlaku dan Allah memusnahkan mereka dan khalifah-khalifah selepasnya akan menjadikannya sunnah sehingga tidak tinggal seorangpun daripada mereka. Mereka membahayakan agama. Alangkah banyaknya apa yang telah disunnahkan oleh Umar pada umat ini yang menyalahi Sunnah Rasulullah, tetapi orang ramai mengikutinya dan mengambilnya sebagai sunnah.

Lantaran itu, ini adalah seperti sebahagian daripadanya. Antaranya dia telah memindahkan Maqam Ibrahim daripada tempat yang telah diletakkan oleh Rasulullah, gantang Rasulullah dan cupaknya ketika dia mengubah dan menambahkannya, larangannya terhadap orang yang berjanabah daripada melakukan tayammum, dan banyak lagi perkara yang bermacam-macam yang melebihi seribu bab, tetapi yang paling besar, paling kami sukai dan menyenangkan kami adalah hilangnya khilafah daripada Bani Hasyim (wa aqarru-ha li a'yini-na za'ilatu l-khilafati min Bani Hasyim), daripada ahlinya dan tempatnya.

Kerana khilafah tidak layak selain daripada mereka dan Bumi tidak layak melainkan dengan mereka. Apabila anda membaca suratku ini, maka rahsiakan isi kandungannya dan musnahkannya Dia berkata: Manakala Ziyad membaca surat tersebut, dia menghentaknya ke tanah kemudian datang kepadaku sambil berkata: Neraka Wail bagiku, daripada apa yang telah aku keluar dan pada apa yang telah aku masuk. Aku adalah daripada Syi'ah Ali Muhammad, lalu aku memasuki Syi'ah Syaitan, partinya dan Syi'ah orang yang telah menulis surat ini. Sesungguhnya perumpamaanku demi Tuhan! Seperti Iblis yang enggan sujud kepada Adam kerana takbur, kafir dan hasad.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar