Total Tayangan Halaman

Kamis, 10 Desember 2015

Pertanyaan Sulaim kepada al-Miqdad tentang kelebihan Ali a.s. dan penjelasannya



Abban daripada Sulaim berkata: Aku bertanya al-Miqdad tentang Ali a.s., beliau berkata: Kami telah bermusafir bersama Rasulullah Saw. sebelum beliau memerintahkan isteri-isterinya memakai hijab. Akulah satu-satunya khadamnya pada masa itu. Rasulullah (Saw.) mempunyai hanya satu lihaf sahaja dan bersamanya 'Aisyah. Rasulullah (Saw.) telah tidur antara Ali a.s. dan 'Aisyah di mana tidak ada lihaf selain daripadanya.

Apabila Rasulullah (Saw.) bangkit daripada tidurnya pada waktu malam, beliau meletakkan lihafnya di tengahnya antara Ali a.s. dan 'Aisyah sehingga lihaf menyentuhi hamparan di bawah mereka berdua. Rasulullah Saw. bangkit daripada tidurnya lalu mengerjakan solat sementara Ali a.s. tidak dapat tidur kerana demam. Rasulullah (Saw.) berjaga malam kerana kesakitan Ali a.s. Beliau mengerjakan solat malam, kemudian datang kepada Ali a.s. bagi melihat keadaannya. Begitulah keadaan Rasulullah (Saw.) sehingga tiba waktu pagi.

Manakala beliau mengerjakan solat bersama-sama para sahabatnya pada pagi hari, beliau berdoa: Wahai Tuhanku! Sembuhkanlah penyakit Ali dan beliaulah yang membuatku berjaga malam. Maka Ali a.s. menjadi sembuh bagaikan terlepas daripada ikatan. Kemudian Rasulullah (Saw.) bersabda: Bergembiralah wahai saudaraku! Beliau bersabda sedemikian di hadapan para sahabat yang sedang mendengarnya. Ali a.s. berkata: Allah telah mengembirakan anda dengan kebaikan wahai Rasulullah (Saw.) dan menjadikan aku sebagai tebusan.

Beliau bersabda lagi: Sesungguhnya aku tidak memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia memberikannya kepadaku. Aku tidak memohon sesuatu untuk diriku melainkan aku memohonnya untuk anda seumpamanya. Sesungguhnya aku telah menyeru Allah supaya mempersaudarakan antaraku dan anda, maka Dia telah melakukannya. Aku telah memohon kepada-Nya supaya Dia menjadikan anda wali kepada setiap Mukmin selepasku, maka Dia telah melakukannya. Aku memohon kepada-Nya apabila Dia memakaikan kepadaku pakaian kenabian dan kerasulan supaya memakaikan kepada anda pakaian wasi dan keberanian, maka Dia telah melakukannya.

Aku memohon kepada-Nya supaya Dia menjadikan anda wasiku, warisku dan penyimpan ilmuku, maka Dia telah melakukannya. Aku telah memohon kepada-Nya supaya menjadikan kedudukan anda di sisiku seperti kedudukan Harun di sisi Musa, dan membantuku dengan anda serta melibatkan anda dalam urusanku, maka Dia telah melakukannya selain tidak ada nabi selepasku, maka aku telah meridhainya. Aku memohon kepada-Nya supaya menikahkan anda dengan anak perempuanku dan menjadikan anda bapa kepada anak-anakku, maka Dia telah melakukannya.

Maka seorang lelaki (Umar) berkata kepada sahabatnya: Apakah pendapat anda tentang apa yang beliau (Rasulullah Saw.) telah pohon? Demi Tuhan! Sekiranya beliau memohon kepada Tuhannya supaya menurunkan Malaikat ke atasnya bagi menolongnya menentang musuhnya atau mengeluarkan harta simpanan untuk beliau dan para sahabatnya berbelanja ketika perlu, adalah lebih baik untuknya daripada apa yang beliau telah pohon. Sementara sahabatnya (Abu Bakr) pula berkata: Segantang kurma adalah lebih baik daripada apa yang telah beliau pohon.


Kata-kata Abd al-Rahman al-Azadi ketika kematian Mu'adh Bin Jabal dan ucapan: "Neraka Wail untukku"

Abban berkata: Aku mendengar Sulaim berkata: Aku telah mendengar Abd al-Rahman bin Ghunim al-Azadi al-Thumali, menantu Mu'adh bin Jabal, orang paling alim dalam ilmu fekah di Syam, berkata: Mu'adh bin Jabal mati disebabkan penyakit Taun. Aku telah menyaksinya pada hari kematiannya. Sementara orang ramai sibuk dengan penyakit Taun. Dia berkata: Aku telah mendengarnya ketika nazak (ihtidar), dan tidak ada orang lain selain daripadaku. Peristiwa ini berlaku pada masa pemerintahan Umar bin al-Khattab.

Mu'adh berkata: Neraka untukku, neraka untukku (wailun li wailun li). Aku berkata dalam diriku: Orang yang terkena penyakit Taun meracau dan berkata perkara-perkara yang pelik. Aku pun berkata: Adakah anda meracau rahima-ka-llahu? Mu'adh berkata: Tidak. Aku berkata lagi: Kenapa anda menyeru dengan Neraka Wail? Dia berkata: Kerana aku telah mewalikan musuh Allah ke atas wali Allah. Maka aku berkata: Siapakah mereka? Dia menjawab: 'Atiq dan Umar di atas khalifah Rasulullah dan wasinya Ali bin Abu Talib. Aku berkata: Anda memang meracau?

Maka dia berkata: Wahai Ibn Ghunim! Demi Allah aku tidak meracau. Ini adalah Rasulullah (Saw.) dan Ali (a.s.) sedang berkata: Wahai Mu'adh! Bergembiralah dengan Api Neraka, anda dan para sahabat anda yang berkata: Jika Rasulullah (Saw.) mati atau dibunuh kita akan menjauhkan khilafah daripada Ali dan dia tidak akan sampai kepada khilafah selama-lamanya. Anda, 'Atiq, 'Umru, Abu 'Ubaidillah dan Salim. Maka aku bertanya: Wahai Mu'adh! Bilakah ini? Dia menjawab: Pada Haji Wida'. Kami berkata: Kami menentang Ali. Justeru itu, dia tidak akan dapat khilafah selama kami masih hidup.

Manakala Rasulullah (Saw.) wafat, aku berkata: Aku memberi jaminan kepada kalian akan kaumku Ansar. Lantaran itu, kalian berilah jaminan kepadaku akan Quraisy. Kemudian aku telah menyeru pada masa Rasulullah (Saw.) Basyir bin Sa'd dan Asyad bin Hudair kepada orang yang telah kami memeterai perjanjian tersebut, lalu mereka berdua telah memberi bai'ah kepadaku mengenainya. Aku berkata: Memang anda meracau. Dia berkata: Letakkan pipiku di tanah. Dia (Mu'adh) terus menyeru dengan Neraka Wail dan kecelakaan sehingga dia mati.

Ibn Ghanim berkata kepadaku: Aku tidak pernah memberitahu sesiapa mengenainya sebelum anda. Tidak. Demi Tuhan! Selain daripada dua lelaki. Sesungguhnya apa yang telah aku dengar daripada Mu'adh adalah menakutkan aku. Lantaran itu, aku mengerjakan Haji dan berjumpa orang yang mengikuti kematian Abu 'Ubaidah dan Salim maula Abu Hudhaifah, aku bertanya: Salim tidak dibunuh pada Hari al-Yamamah? Dia menjawab: Ya. Dia telah memberitahuku bahawa mereka berdua telah berkata perkara yang sama sebagaimana Mu'adh, tidak lebih dan tidak kurang.


Penyaksian Muhammad bin Abu Bakr akan perkataan bapanya ketika mati dan sebutan "Tabut"

Abban berkata: Sulaim berkata: Aku telah memberitahu Muhammad bin Abu Bakr tentang hadis Ibn Ghunim semuanya. Dia berkata kepadaku: Rahsiakan perkara ini kerana bapaku juga ketika matinya telah berkata seperti kata-kata mereka. 'Aisyah berkata: Sesungguhnya bapaku telah meracau. Muhammad berkata: Aku telah berjumpa Abdullah bin Umar, maka aku memberitahunya apa yang dikatakan oleh bapaku ketika kematiannya. Maka dia berkata: Rahsiakan perkara ini. Demi Tuhan! Bapaku telah berkata sebagaimana bapa anda berkata, tidak lebih dan tidak kurang. Kemudian Abdullah bin Umar khuatir aku akan memberitahu Ali a.s. mengenainya, kerana dia mengetahui akan kasihku kepadanya, lalu berkata: Sesungguhnya bapaku telah meracau.

Maka aku telah mendatangi Amir al-Mukminin Ali a.s., lalu aku memberitahunya apa yang aku dengar daripada bapaku, dan apa yang diberitahu kepadaku oleh Abdullah bin Umar. Amir al-Mukminin Ali a.s. berkata: Orang yang lebih benar daripada anda dan Ibn Umar telah memberitahuku tentang bapanya, bapa anda, Abu 'Ubaidah, Salim dan Mu'adh. Aku berkata: Siapakah orangnya? Beliau berkata: Ada orang yang telah memberitahuku. Dia berkata: Aku telah mengetahui apa yang dimaksudkannya, maka aku berkata: Anda memang banar wahai Amir al-Mukminin. Aku telah menjangka ada orang yang telah memberitahu anda. Tidak ada seorangpun yang menyaksikan bapaku berkata sedemikian selain daripadaku.

Dia berkata: Aku berkata kepada Abd al-Rahman bin Ghunim: Mu'adh telah mati disebabkan oleh penyakit Taun sebagaimana berlaku kepada Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah. Dia berkata: Disebabkan oleh bisul. Aku berjumpa dengan Muhammad bin Abu Bakr dan berkata: Adakah mereka berdua telah menyaksikan kematian bapa anda selain daripada saudara anda Abd al-Rahman, 'Aisyah dan Umar. Adakah mereka mendengar daripadanya apa yang anda telah mendengarnya? Dia berkata: Mereka telah mendengar daripadanya, lalu mereka menangis dan berkata: Dia sedang meracau. Aku bukan mendengar kesemuanya.

Aku berkata: Apakah yang telah didengar oleh mereka daripadanya? Mereka berkata: Dia telah meyeru dengan Neraka Wail dan kecelakaan, maka Umar berkata kepadanya: Wahai Khalifah Rasulullah! Kenapa anda menyeru dengan Neraka Wail dan kecelakaan? Dia berkata: Ini Muhammad dan Ali sedang memberi khabar gembira kepadaku dengan Neraka. Di tangannya Sahifah di mana kami telah memeterai perjanjian ke atasnya di hadapan Ka'bah seraya berkata: Anda telah melaksanakannya, lantas anda dan sahabat anda menentang wali Allah. Maka bergembiralah dengan Api Neraka yang terkebawah.

Apabila Umar mendengarnya, dia terus keluar dan berkata: Sesungguhnya dia sedang meracau. Dia menjawab: Tidak. Demi Tuhan! Aku tidak meracau. Umar berkata: Anda yang kedua daripada dua orang ketika kedua-duanya di Gua? Abu Bakr berkata: Sekarang ini juga. Tidakkah aku telah memberitahu anda bahawa Muhammad berkata kepadaku semasa aku bersamanya di Gua: "Bahawa aku melihat bahtera Ja'far dan para sahabatnya belayar di laut".

Aku berkata: Perlihatkanlah kepadaku? Maka beliaupun menyapu mukaku, lantas aku melihat kepadanya. Aku yakin pada masa itu bahawa beliau adalah seorang ahli sihir (Sahir). Umar berkata: Wahai mereka itu! Sesungguhnya bapa kalian sedang meracau, lantaran itu rahsiakan apa yang kalian dengar daripadanya supaya Ahl al-Bait tidak mentertawakan kalian. Kemudian dia keluar. Dan saudaraku pun keluar untuk berwuduk bagi mengerjakan solat.

Maka dia (Abu Bakr) memperdengarkan kata-katanya kepadaku yang tidak didengari oleh mereka. Aku berkata kepadanya semasa aku bersendirian dengannya: Wahai bapaku! Katalah: La ilaha illa Llah. Dia berkata: Tidak. Aku tidak akan berkata: La ilaha illa Llah selama-lamanya. Aku tidak mampu untuk berkata sedemikian sehingga aku memasuki Tabut. Manakala bapaku menyebut Tabut, aku menyangka dia sedang meracau. Aku berkata kepadanya: Tabut yang mana? Dia berkata: Tabut daripada api yang ditutupi dengan penutup daripada Api Neraka di dalamnya dua belas orang lelaki. Aku dan sahabatku ini. Aku berkata: Umar? Dia berkata: Ya. Dan sepuluh orang lagi di Neraka Jahannam yang terkebawah di mana di atasnya sebuah batu besar yang menutupi satu lubang.

Apabila Allah mahu memanaskan Neraka Jahannam, Dia mengangkat batu tersebut. Aku berkata: Adakah anda sedang meracau? Dia berkata: Tidak. Demi Tuhan! Aku tidak meracau. Allah melaknati Ibn Sahhak kerana dialah yang telah menghalangku daripada peringatan selepas dia datang kepadaku. Justeru itu, dia adalah sejahat-jahat sahabat (Qarin), Allah melaknatinya. Lekatkan pipiku di tanah, maka aku lekatkan pipinya ke tanah.

Dia terus menyebut Wail dan kecelakaanya sehingga aku memberi isyarat mata kepadanya. Kemudian Umar pun masuk dan berkata: Adakah dia telah berkata sesuatu selepasku? Maka aku faham apa yang dikatakan olehnya. Dia berkata: Allah merahmati Khalifah Rasulullah, lantaran itu rahsiakanlah. Dia sedang meracau. Kalian sekeluarga terkenal dengan perkara tersebut ketika sakit. 'Aisyah berkata: Anda memang benar. Mereka semuanya berkata: Janganlah ada seorangpun di kalangan kalian yang akan memberitahu kepada sesiapapun. Lantaran itu, Ibn Abu Talib dan Ahl Baitnya akan bergembira.

Sulaim berkata: Aku berkata kepada Muhammad bin Abu Bakr: Siapakah yang telah meriwayatkan kepada Amir al-Mukminin tentang apa yang mereka berlima ucapkan? Dia berkata: Rasulullah (Saw.). Beliau telah melihatnya di dalam mimpi setiap malam. Hadisnya mengenainya di dalam tidur sepertilah hadisnya semasa jaga. Kerana Rasulullah (Saw.) bersabda: "Sesiapa yang melihatku di dalam tidurnya, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Kerana Syaitan tidak dapat menyerupaiku dan para wasiku sama ada di dalam tidur atau jaga sehingga Hari Kiamat".

Sulaim berkata: Aku berkata kepada Muhammad bin Abu Bakr: Siapakah yang telah memberitahu anda tentang perkara ini? Dia berkata: Ali a.s.. Maka dia berkata: Aku telah mendengar juga sebagaimana anda mendengarnya. Aku berkata kepada Muhammad: Mudah-mudahan Malaikat telah meriwayatkannya. Dia berkata: Begitulah. Aku berkata: Adakah Malaikat meriwayatkan kepadanya?

Dia berkata: Tidakkah anda membaca al-Qur'an di dalam Surah al-Anbiya' (21): 25, ''Dan kami tidak mengutus sebelum anda seorang Rasul atau Nabi (atau Muhaddath)". Aku berkata: Amir al-Mukminin Muhaddath? Dia menjawab: Ya. Fatimah juga Muhaddathath sedangkan beliau bukanlah seorang Nabi perempuan. Sarah isteri Ibrahim dapat bersemuka dengan Malaikat, lantas mereka telah memberi berita gembira kepadanya dengan Ishak. Dan selepas Ishak adalah Ya'qub sedangkan beliau bukanlah seorang Nabi perempuan.


Kata-kata Ali a.s. bahawa para wasinya adalah muhaddathun dan nama mereka

Sulaim berkata: Apabila Muhammad bin Abu Bakr dibunuh di Mesir, maka kamipun mengucapkan takziah kepada Amir al-Mukminin a.s. Aku telah memberitahunya apa yang telah diberitahu kepadaku oleh Muhammad. Aku juga memberitahunya apa yang telah diberitahu kepadaku oleh Abd al-Rahman bin Ghunim. Beliau berkata: Muhahammad memang benar rahima-hu -Llah. Beliau adalah seorang syahid yang diberikan rezeki. Wahai Sulaim! Sesungguhnya para wasiku adalah sebelas orang lelaki daripada anak lelakiku, semuanya adalah para imam Muhaddathun.

Aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Siapakah mereka? Beliau a.s. berkata: Anak lelakiku ini al-Hasan, kemudian anak lelakiku ini al-Husain, kemudian anak lelakiku ini. Beliau memegang tangan cucunya Ali bin al-Husain yang masih menyusu. Kemudian lapan daripada anak lelakinya seorang demi seorang. Merekalah yang Allah telah bersumpah dengan mereka di dalam firman-Nya; Surah al-Balad (90): 3, "Demi bapa dan apa yang diperanakkan" . "Bapa" adalah Rasulullah (Saw.) dan aku. Sementara "apa yang diperanakkan" adalah sebelas para wasi. Aku berkata: Dua imam dalam satu masa. Beliau berkata: Ya. Seorang diam, tidak bercakap sehingga mati yang pertama.


Sabda Nabi Saw. bahawa umatnya akan berpecah kepada tiga kumpulan dan penjelasan mengenainya

Abban daripada Sulaim berkata: Aku telah mendengar Abu Dhar, Salman dan al-Miqdad berkata: Kami duduk di sisi Rasulullah Saw. di mana tidak ada orang lain selain daripada kami. Tiba-tiba sekumpulan Muhajirin yang terdiri daripada ahli Badr sampai. Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Umatku akan berpecah selepasku kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan adalah di atas kebenaran. Mereka sepertilah emas setiap kali diletak di atas api, ia akan bertambah baik dan bernilai. Imam mereka adalah salah seorang daripada tiga.

Kumpulan ahli Batil. Mereka sepertilah besi setiap kali dimasukkan ke dalam api, ia akan bertambah buruk dan busuk. Imam mereka adalah salah satu daripada yang tiga. Dan kumpulan yang tidak ada pendirian lagi sesat, tidak berpihak kepada sesiapa. Imam mereka adalah salah satu daripada tiga. Aku telah bertanya kepada mereka tentang tiga imam. Mereka berkata: Imam kebenaran dan pertunjuk adalah Ali bin Abu Talib. Imam yang tidak ada pendirian (mudhabdhabin) adalah Sa'd bin Abi Waqqas. Dan aku mahu mereka menamakan imam yang ketiga namun mereka enggan memberitahuku tetapi memberi gambarannya sehingga aku mengetahui siapakah yang mereka maksudkan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar