Total Tayangan Halaman

Selasa, 08 Desember 2015

Penjelasan Rasulullah Saw. tentang keutamaan Ahl Baitnya a.s.



Beliau bersabda: Apakah gerangan mereka yang menghinaku dengan kerabatku. Dan sesungguhnya mereka mendengar daripadaku apa yang aku kata tentang kelebihan mereka; kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka, apa yang Allah mengkhususkan untuk mereka dengan hilangnya kekotoran dosa dan kesucian yang Allah kurniakan kepada mereka. Sesungguhnya aku memberitahu mereka tentang kelebihan Ahl Baitku dan orang yang terbaik mereka daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepadanya, memuliakannya, melebihkannya ke atas orang yang mendahuluinya dalam Islam, ujian-Nya padanya, kekerabatannya dengan. Sesungguhnya beliau adalah daripadaku seperti kedudukan Harun daripada Musa. Kemudian kalian menyangka umpama aku pada Ahl Baitku seperti pokok kurma yang tumbuh di dalam sampah Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya, maka Dia telah membahagikannya kepada dua kumpulan.

Maka Dia menjadikan aku orang yang terbaik di kalangan dua kumpulan itu. Kemudian Dia menjadikan satu kumpulan tersebut kepada tiga kumpulan yang terdiri daripada syu'yuban (suku-suku), qaba'ila (kabilah-kabilah) dan buyutan (rumah-rumah).

Maka Dia menjadikan aku orang yang terbaik di kalangan suku, dan kabilah, kemudian Dia menjadikan mereka buyutan, lalu Dia menjadikan aku baitan (rumah) yang terbaik sebagaimana firman-Nya ''Sesungguhnya Allah mahu menghilangkan daripada kamu Ahl al-Bait kekotoran dosa dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya". Maka aku dapati pada Ahl Baitku dan 'Itrahku, aku dan saudaraku Ali bin Abu Talib. Hanya Allah telah merenung pada penduduk Bumi satu kali renungan, maka Dia memilih aku daripada mereka.

Kemudian Dia telah merenung pada penduduk Bumi pada kali kedua, maka Dia memilih saudaraku Ali, wazirku, wasiku dan khalifahku pada umatku. Wali setiap Mukmin selepasku. Maka Dia telah mengutusku sebagai Rasul, Nabi dan Dalil. Maka Dia mewahyukan kepadaku supaya mengambil Ali sebagai saudara, wali, wasi dan khalifah pada umatku selepasku. Sesungguhnya beliau adalah wali kepada setiap Mukmin selepasku. Sesiapa yang menjadikannya wali maka Allah memberkatinya. Sesiapa yang memusuhinya maka Allah memusuhinya. Sesiapa yang mencintainya maka Allah mencintainya. Sesiapa yang memarahinya maka Allah memarahinya.

Beliau tidak akan dicintai melainkan oleh Mukmin dan tidak akan dimarahi melainkan oleh orang kafir. Beliau adalah rabb-al ardh (tuan bumi) selepasku dan penghuninya. (Di dalam naskhah yang lain beliau adalah zarr al-Ardh dan penghuninya). Beliau adalah Kalimah Allah al-Taqwa, 'Urwat Allah al-Wuthqa (ikatan Allah yang kuat). Firman-Nya dalam Surah al-Taubah (9): 32, ''Adakah kalian mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut kalian dan sesungguhnya Allah adalah penyempurna cahaya-Nya, sekalipun dibenci oleh Musyrikun" Dan musuh-musuh Allah mahu memadamkan cahaya saudaraku. Tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya.

Wahai manusia! Hendaklah orang yang datang menyampaikan sabdaku ini kepada orang yang tidak datang (ghaiba-kum). Wahai Tuhanku persaksikanlah! Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah merenung kali ketiga, maka Dia memilih daripada mereka selepasku dua belas wasi daripada Ahl Baitku, mereka itu adalah sebaik-baik umatku. Daripada mereka sebelas imam selepas saudaraku (akhi) seorang demi seorang.

Setiap kali seorang imam mati, seorang daripada mereka mengambil tempatnya. Mereka seumpama bintang-bintang di langit. Setiap kali satu bintang hilang, satu bintang yang lain timbul (tala'a) kerana mereka adalah para imam yang mendapat hidayat. Tidak akan memudaratkan mereka oleh tipu daya orang yang menipu, penghinaan orang yang menghina mereka. Malah Allah akan memudaratkan orang yang menipu mereka dan menghina mereka. Maka mereka adalah hujah Allah di Bumi-Nya, saksi-saksi-Nya terhadap makhluk-Nya.

Sesiapa yang mentaati mereka, mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai mereka, maka menderhakai Allah. Mereka bersama al-Qur'an dan al-Qur'an bersama mereka. Mereka tidak akan berpisah dengan al-Qur'an dan al-Qur'an tidak akan berpisah dengan mereka sehingga mereka dikembalikan kepadaku di Haudhku.

Imam yang pertama adalah sebaik-baik mereka iaitu Ali a.s.. Kemudian anak lelakiku al-Hasan. Kemudian anak lelakiku al-Husain. Kemudian sembilan daripada anak lelaki al-Husain. Ibu mereka adalah anak perempuanku Fatimah salawatullahi 'alaihim, selepas mereka adalah Ja'far bin Abu Talib sepupuku dan saudara kepada saudaraku dan bapa saudaraku Hamzah bin Abd al-Muttalib. Aku adalah sebaik-baik Rasul dan para nabi. Fatimah ialah anak perempuanku adalah penghulu wanita Syurga. Ali di mana anak-anak lelakinya adalah para wasi, adalah sebaik-baik wasi. Ahl Baitku adalah sebaik-baik bait (rumah) para nabi. Dua anak lelakiku adalah penghulu pemuda Syurga.

Wahai manusia! Sesungguhnya syafaatku menjadi harapan kalian. Tidak seorangpun anak yang dilahirkan oleh datukku Abd al-Muttalib berjumpa Allah dalam keadaan tauhid dan tidak mengsyirikkan-Nya dengan sesuatu pun melainkan Dia memasukkannya Syurga meskipun dosanya sebanyak batu-batu kecil (al-Hasa) dan buih air laut.

Wahai manusia! Kalian hormatilah ('Azzimu) Ahl Baitku pada masa hidupku dan selepas matiku. Kalian muliakanlah mereka, kalian lebihkanlah mereka kerana tidak halal bagi seseorang itu berdiri dari majlisnya kerana seseorang melainkan kerana Ahl Baitku. Sesungguhnya jika aku berada di perkarangan pintu Syurga, maka Tuhanku melahirkan sifat tajalli kepadaku dan memberi izin kepadaku untuk bersyafaat nescaya aku tidak akan mengutamakan orang lain daripada Ahl Baitku. Wahai manusia! Kalian beritahuku tentang nasabku, siapakah aku? Lantas seorang lelaki daripada kaum Ansar berdiri dan berkata: Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada kemaraham Allah dan kemarahan Rasul-Nya.

Beritahuku wahai Rasulullah! Siapakah yang telah menyakiti anda (adha-ka) pada Ahl Bait anda sehingga kami penggal kepalanya, atau hendaklah dia berbuat baik kepada 'Itrahnya. Maka beliau berkata: Beritahu nasabku? Aku adalah Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Muttalib bin Hasyim sehingga beliau mengaitkan nasabnya dengan Nizar. Kemudian berterusan nasabnya kepada Ismail bin Ibrahim Khalilullah, kemudian bersabda : Sesungguhnya aku dan Ahl Baitku adalah tinah (tanah) di bawah 'Arasy kepada Adam, nikah tanpa zina. Pernikahan Jahiliyah tidak berlaku kepada kami. Justeru itu, kalian bertanyalah kepadaku .

Demi Tuhan! Tidak akan bertanyaku seorang lelaki tentang bapanya, ibunya dan nasabnya melainkan aku memberitahunya mengenainya. Seorang lelaki berdiri dan bertanya: Siapakah bapaku? Beliau bersabda: Bapa anda adalah fulan di mana anda mengaitkan diri anda dengannya. Lelaki itu lalu memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya, dan berkata: Sekiranya anda mengaitkan aku dengan nasab (nasabta-ni) orang lain aku tetap meridhai dengan sepenuhnya. Kemudian seorang lelaki lain berdiri dan berkata: Siapakah bapaku? Maka beliau bersabda: Bapa anda adalah fulan bukan bapa yang dikaitkan dengannya. Maka lelaki itupun keluar daripada Islam (irtadda). Kemudian lelaki lain berdiri dan berkata: Adakah aku daripada ahli Syurga atau daripada ahli Neraka? Maka beliau bersabda: Daripada ahli Syurga. Kemudian seorang lelaki berdiri dan berkata: Adakah aku daripada ahli Syurga atau daripada ahli Neraka? Beliau bersabda: Daripada ahli Neraka.

Kemudian Rasulullah Saw. bersabda dalam keadaan marah: Apakah yang menghalang orang yang menghina Ahl Baitku, saudaraku, wazirku, wasiku, khalifahku pada umatku dan wali kepada setiap Mukmin selepasku, berdiri dan bertanyaku: Siapakah bapanya, di mana dia, di Syurga atau di Neraka? Maka Umar bin al-Khattab pun berdiri dan berkata: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada kemarahan Allah dan kemarahan Rasul-Nya. Maafkan kami wahai Rasulullah, nescaya Allah memaafi anda. Ampunilah kami, nescaya Allah mengampuni anda. Simpanlah rahsia kami (Ustur-na), nescaya Allah menyimpan rahsia anda. Maaflah kami, nescaya Allah bersalawat ke atas anda. Maka Rasulullah (Saw ) terasa malu (istaha) dan berhenti (kaffa).

Ali a.s. berkata: Dialah (Umar) sahib al-'Abbas yang telah dihantar oleh Rasulullah (Saw.) dalam keadaan berjalan kaki dan berkata: Sesungguhnya al-Abbas telah menegah zakat hartanya, maka Rasulullah (Saw.) menjadi marah dan bersabda: Segala puji bagi Allah yang memaafkan kami Ahl al-Bait daripada kejahatan yang mencemarkan kami (yulattikhuna) dengannya. Sesungguhnya al-Abbas tidak menegah zakat hartanya tetapi anda menyegerakan ke atasnya. Dia menyegerakan zakat beberapa tahun. Kemudian dia datang kepadaku selepas itu dan meminta berjalan bersamanya kepada Rasulullah (Saw.) bagi tujuan mendapatkan keridhaannya, maka aku telah melakukannya.

Dialah sahib Abdullah bin Abi Salul manakala Rasulullah (Saw.) berjalan ke hadapan untuk mengerjakan solat ke atasnya, maka dia memegang kain Rasulullah (Saw.) dari belakang seraya berkata: Sesungguhnya Allah melarang anda daripada mengerjakan solat ke atasnya. Justeru itu, adalah tidak halal bagi anda mengerjakan solat ke atasnya. Rasulullah (Saw.) bersabda: Sesungguhnya aku mengerjakan solat ke atasnya kerana menghormati anak lelakinya. Dan aku berharap agar tujuh puluh orang lelaki daripada suku bapanya dan keluarganya memeluk Islam kerananya. Apakah anda tahu apa yang aku kata! Sesungguhnya aku telah berdoa kepada Allah ke atasnya.

Dialah sahib Rasulullah (Saw.) pada Hari Hudaibiyah manakala Rasulullah Saw. menulis surat perjanjian, dia (Umar) berkata: Adakah kita memberi kehinaan kepada agama kita? Kemudian dia mulai mengelilingi tentera Rasulullah, mengapi-apikan mereka seraya berkata: Adakah kita memberi kehinaan kepada agama kita? Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Pergilah kalian daripadaku atau anda mahu aku mengkhianati dhimmahku?

Di dalam riwayat yang lain: Kalian keluarkannya (Umar) daripadaku. Adakah anda mahu mengkhianati dhimmahku? Sesungguhnya aku akan menyempurnakan apa yang aku telah tuliskan untuk mereka. Wahai Suhail! Ambillah anak lelaki anda Jundalan. Maka dia mengikatnya dengan ikatan yang kuat pada besi. Kemudian Allah menjadikan tindakan Rasulullah (Saw.) kepada kebaikan, kewarasan, petunjuk, kemuliaan dan kelebihan.

Dialah sahib Hari Ghadir Khum, semasa dia dan sahabatnya berkata ketika Rasulullah (Saw.) melantikku (nasabani) sebagai wali : Apa gerangannya beliau mengangkat orang yang tidak ada guna (ma ya'lu an yarfa'a khassisata-hu)? Sementara sahabatnya pula berkata: Apa gerangannya beliau mengangkat ketiak sepupunya (ma ya'lu raf'an bi-dhab'i ibn 'ammi-hi)? Dia berkata kepada sahabatnya: Ini adalah suatu kehormatan! Maka muka sahabatnya tiba-tiba berubah dan berkata: Tidak! Demi Tuhan, aku tidak akan mendengar dan tidak mentaati selama-lamanya (la asma'u wa la uti'u abadan). Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan sombong, lalu diikuti juga oleh sahabatnya.

Maka Allah menurunkan firman-Nya mengenainya di dalam Surah al-Qiyamah (75): 31-35, "Maka dia tidak membenarkan dan tidak pula mengerjakan solat, tetapi mendusta dan berpaling (daripada kebenaran), kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan sombong. Lebih patut (siksa) bagimu, maka ia lebih patut. Kemudian lebih patut (siksa) bagimu, maka ia lebih patut", sebagai janji ancaman (wa'idan) dan peringatan yang keras daripada Allah untuknya.

Dialah yang datang kepadaku ketika itu aku bersama Rasulullah (Saw.), melawatku dengan sekumpulan para sahabatnya manakala sahabatnya mengelipkan mata kepadanya. Maka dia berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anda telah menjanjikan kepada kami tentang Ali satu janji, sesungguhnya aku melihat apa yang terjadi padanya sekarang. Sekiranya dia mati, kepada siapa? Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Persilakan duduk. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

Maka Rasulullah Saw. berhadapan dengan mereka berdua dan bersabda: Beliau tidak akan mati di dalam kesakitannya ini sehingga kalian berdua memenuhinya dengan kemarahan dan melakukan pengkhianatan dan kezaliman terhadapnya. Kemudian kalian berdua mendapatinya masih bersabar dan cekal. Beliau tidak akan mati sehingga berjumpa kalian berdua dalam keadaan yang mencemaskan. Beliau tidak akan mati melainkan mati syahid.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar