Total Tayangan Halaman

Selasa, 08 Desember 2015

Surat Mu'awiyah kepada Ali a.s. yang dihantar oleh Abu al-Darda' dan Abu Hurairah



Abban daripada Sulaim berkata: Abu Hurairah al-'Abdi menyangka sesungguhnya dia telah mendengarnya daripada Umar ibn Abi Salmah bahawa Mu'awiyah memanggil Abu Darda' dan kami bersama Amir al-Mukminin (a.s.) di Siffin. Dan dia memanggil Abu Hurairah.

Kemudian dia berkata kepada mereka berdua: Kalian berdua pergilah kepada Ali, maka sampaikan salamku kepadanya dan katakan kepadanya: Demi Tuhan! Sesungguhnya aku mengetahui bahawa anda adalah orang yang paling aula dengan khilafah, dan lebih berhak dengannya daripadaku. Kerana anda daripada Muhajirin yang terawal dan aku daripada Tulaqa'. Aku bukan seperti anda yang terawal masuk Islam, kekerabatan anda dengan Rasulullah, keilmuan anda dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Kaum Muhajirin dan Ansar telah memberi bai'ah kepada anda selepas mereka bermesyuarat selama tiga hari. Kemudian mereka mendatangi anda dan memberi bai'ah kepada anda secara sukarela, tanpa paksaan.

Dan orang pertama yang memberi bai'ah kepada anda adalah Talhah dan al-Zubair. Kemudian mereka berdua telah menarik bai'ah daripada anda, menzalimi anda dan menuntut apa yang mereka tidak ada hak. Telah sampai kepadaku bahawa anda menguzurkan diri daripada pembunuhan Uthman dan anda membersihkan diri daripada darahnya. Anda menyangka bahawa dia dibunuh semasa anda berada di rumah anda. Sesungguhnya anda berkata ketika dia dibunuh: Wahai Tuhanku! Aku tidak meridhainya dan cenderung kepadanya.

Dan anda telah berkata kepadanya pada Hari Jamal ketika mereka menyeru: Wahai pemberontak-pemberontak Uthman! Anda berkata: Tundukkan pembunuh-pembunuh Uthman hari ini, kerana muka-muka mereka ke Neraka. Adakah kami telah membunuhnya? Sesungguhnya dia telah dibunuh oleh mereka berdua dan isteri-isteri mereka berdua. Mereka telah memerintahkan pembunuhannya dan aku pada masa itu berada di rumahku. Aku adalah sepupu Uthman dan orang yang menuntut darahnya. Sekiranya perkara tersebut sebagaimana anda katakan, maka berilah kepada kami pembunuh-pembunuh Uthman, kami akan membunuh mereka wahai sepupu kami dan kami akan memberi bai'ah kepada anda dan menyerahkan urusan khilafah kepada anda. Ini adalah yang pertama.

Adapun yang kedua: Mata-mataku telah memberitahuku dan surat-surat daripada para penyokong Uthman telah sampai kepadaku dan di kalangan mereka ada yang berperang bersama anda. Kami menganggapnya sebagai orang yang sependapat dengan anda dan meridhai perintah anda. Tetapi hawa nafsunya bersama kami dan hatinya di sisi kami, namun jasadnya bersama anda dan anda melahirkan (kepatuhan) kepada wilayah Abu Bakr dan Umar serta berlembut dengan mereka berdua sedangkan anda tidak melakukan sedemikian kepada Uthman dan anda tidak melaknatinya.

Telah sampai kepadaku bahawa anda apabila bersama kumpulan anda yang jahat dan Syi'ah anda yang sesat lagi pembohong, anda membersihkan diri anda daripada Abu Bakr, Umar dan Uthman serta melaknati mereka. Anda mendakwa bahawa anda adalah wasi Rasulullah (Saw.) pada umatnya dan khalifahnya pada mereka. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas Muslimin mentaati anda dan memerintahkan supaya menjadikan anda sebagai wali di dalam Kitab-Nya dan Sunnah Nabi-Nya. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan Muhammad melakukan sedemikian itu pada umatnya dan menurunkan ke atasnya firman-Nya dalam Surah al-Ma'idah (5): 67 "Hai Rasul! Sampaikan apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan sekiranya kamu tidak melakukannya, maka kamu tidak menyampaikan amanat-Nya dan Allah akan memelihara kamu daripada (gangguan) manusia"

Maka beliau telah mengumpulkan Quraisy, Ansar dan Bani Umayyah di Ghadir Khum. Beliau telah menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah kepada anda. Beliau memerintahkan supaya orang yang datang menyampaikannya kepada orang yang tidak datang. Beliau memberitahu mereka bahawa anda adalah aula dengan mereka daripada diri mereka sendiri dan kedudukan anda di sisinya sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa. Dan telah sampai kepadaku bahawa anda tidak memberi khutbah melainkan anda berkata sebelum anda turun dari mimbar anda: Demi Tuhan! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling aula dan aku masih dizalimi semenjak Rasulullah (Saw.) wafat.

Sekiranya apa yang sampai kepadaku mengenai anda itu adalah benar, maka kezaliman Abu Bakr dan Umar terhadap anda adalah lebih besar daripada kezaliman Uthman. Kerana telah sampai kepadaku bahawa anda berkata: Rasulullah (Saw.) wafat dan kami adalah saksi-saksinya. Umar telah memberi bai'ah kepada Abu Bakr tanpa meminta anda menjadi pemimpin dan tidak pula bermesyuarat dengan anda. Dua lelaki itu telah bertengkar dengan kaum Ansar dengan hak anda, hujah anda dan kekerabatan anda dengan Rasulullah (Saw.).

Sekiranya mereka berdua menerima anda dan memberi bai'ah kepada anda, nescaya Uthman adalah orang yang paling cepat melakukannya kerana kekerabatan anda dengannya dan hak anda ke atasnya; dia adalah sepupu anda (dua kali). Abu Bakr menjadi khalifah, kemudian memberinya kepada Umar ketika matinya tanpa bermesyuarat dengan anda dan tidak pula meminta anda menjadi khalifah ketika dia melantiknya.

Kemudian Umar menjadikan anda Ahli Syura di kalangan kalian berenam. Dia mengeluarkan kaum Muhajirin, Ansar dan selain daripada mereka. Maka kalian melantik Ibn 'Auf pada hari ketiga semasa kalian melihat orang ramai berhimpun dan menghunus pedang mereka. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa sekiranya matahari terbenam dan kalian masih tidak memilih salah seorang daripada kalian, mereka akan memenggal kepala kalian. Mereka akan melaksanakan perintah Umar dan wasiatnya. Maka kalian melantik Ibn 'Auf, lalu dia memberi bai'ah kepada Uthman. Lalu kalian memberi bai'ah kepadanya.

Kemudian Uthman dikepong, lalu dia meminta bantuan, tetapi kalian tidak membantunya. Dia telah menyeru kalian, tetapi kalian tidak menyahut seruannya. Bai'ahnya berada di tengkuk kalian, wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Kalian menjadi saksi, kalian membenarkan orang-orang Mesir sehingga mereka membunuhnya dan beberapa kumpulan daripada kalian telah membantu pembunuhannya.

Orang ramai telah menghinanya, maka kalian dalam perkara ini adalah antara pembunuh, pesuruh dan pengecut. Kemudian orang ramai memberi bai'ah kepada anda dan anda lebih berhak dengannya daripadaku. Lantaran itu, dapatkan aku pempunuh-pembunuh Uthman sehingga aku membunuh mereka semua dan aku akan menyerahkan urusan khilafah kepada anda. Aku dan semua kumpulanku daripada Ahli Syam akan memberi bai'ah kepada anda.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar