Total Tayangan Halaman

Selasa, 08 Desember 2015

Pemberitahuan Ali a.s. tentang pembahagian ulama dan manusia



Sulaim bin Qais berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan a.s. meriwayatkan kepadaku dan berkata: Sesungguhnya Nabi Saw. bersabda: Dua perkara yang tidak pernah kenyang. Cinta kepada Dunia dan cinta kepada Ilmu. Kedua-duanya tidak pernah kenyang. Sesiapa yang memadai daripada Dunia di atas apa yang telah dihalalkan oleh Allah, akan selamat. Sesiapa yang mengambilnya tanpa halal, akan binasa (halaka) melainkan dia bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Sesiapa mengambil ilmu daripada ahlinya dan beramal dengannya, akan berjaya (naja). Sesiapa menghendakinya kerana Dunia, akan binasa dan itulah habuannya.

Dan ulama terbahagi kepada dua. Ulama yang beramal dengan ilmunya- ia berjaya dan ulama yang meninggalkan ilmunya- ia binasa. Sesungguhnya ahli Neraka tersiksa dari kebusukkan bau ulama yang meninggalkan ilmunya. Sesungguhnya ahli Neraka yang paling menyesal adalah seorang lelaki yang telah mendakwah seorang hamba Allah. Justeru itu, dia menyahuti dakwahnya dan mentaati Allah. Lantaran itu, dia masuk Syurga. Sementara pendakwah menderhakai Allah. Lantaran itu, dia masuk Neraka kerana meninggalkan ilmunya, menurut hawa nafsunya dan kemaksiatannya terhadap Allah.

Ia mengandungi dua perkara. Menurut hawa nafsu dan panjang angan-angan (tul al-'amal). Adapun menurut hawa nafsu, maka dia akan menentang kebenaran. Adapun panjang angan-angan, maka dia akan melupai Akhirat. Sesungguhnya Dunia berjalan ke belakang dan Akhirat berjalan ke hadapan. Dan setiap keduanya mempunyai anak-anak (banun), maka jadilah kalian daripada anak-anak Akhirat, jika kalian berupaya. Dan janganlah kalian jadi daripada anak-anak Dunia. Kerana hari ini amal tanpa hisab dan esok hisab tanpa amal.

Sesungguhnya permulaan berlakunya fitnah adalah kerana hawa nafsu yang dituruti, hukum-hukum yang dicipta menyalahi hukum Allah dan penggunaan kuasa ke atas orang lain secara berleluasa. Tetapi kebenaran semata-mata, tidak akan ada perselisihan. Begitu juga kebatilan semata-mata, tidak akan diikuti oleh orang yang mempunyai akal, tetapi kedua-duanya diambil sedikit, kemudian dicampur-aduk, maka di sinilah Syaitan menguasai ke atas mereka. Dan berjayalah "orang yang telah memperolehi kebaikan daripada kami", al-Anbiya' (21): 101.

Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Bagaimanakah kalian apabila fitnah menyelubungi kalian di mana yang muda membesar di dalamnya sementara yang besar menjadi tua. Lantas mereka mengambilnya sebagai sunnah (sunnatan). Apabila sunnah mereka diubah sedikit sahaja kepada Sunnah Rasulullah Saw., mereka berkata: Orang ramai telah membawa kemungkaran. Kemudian ujian berterusan, fitnah semakin halus sebagaimana api memakan kayu. Kisaran mengeluarkan debu halusnya. Orang ramai mendalami ilmu, tanpa agama dan belajar tanpa amal. Mereka mencari Dunia dengan agama.

Kemudian beliau (a.s.) berdepan dengan Ahl Baitnya dan Syi'ahnya lalu berkata: Sesungguhnya para imam sebelumku telah melakukan perkara-perkara yang besar dan menyalahi Rasulullah (Saw.) dengan sengaja. Jika aku menyuruh orang ramai meninggalkannya dan memindahkan (Maqam Ibrahim) daripada tempatnya ke tempat pada masa Rasulullah (Saw.), nescaya tenteraku akan lari daripadaku sehingga tidak tinggal dalam tenteraku selain daripadaku dan sedikit daripada Syi'ahku yang telah mengetahui kelebihanku dan imamahku daripada Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.

Apa pendapat kalian, sekiranya aku menempatkan Maqam Ibrahim pada tempat yang telah ditempatkan oleh Rasulullah Saw., mengembalikan Fadak kepada pewaris-pewaris Fatimah a.s., mengembalikan timbangan dan ukuran seperti yang lazim pada zaman Rasulullah Saw., mengembalikan tanah kepada orang yang telah diberikan oleh Rasulullah Saw., mengembalikan rumah Ja'far kepada pewaris-pewarisnya dan memisahkannya dari Masjid (kerana mereka telah merampas dan memasukkannya ke dalam Masjid), mengembalikan hukum-hukum yang kejam yang dipaksa oleh khalifah-khalifah terdahulu ke atas wanita-wanita dan secara tidak sah dipisahkan daripada suami mereka, mengembalikan jizyah kepda Bani Taghlab, mengembalikan tanah Khaibar yang telah dibahagi-bahagikan, memansuhkan dewan-dewan pemberian dengan meneruskan pemberian kepada semua orang sebagaimana dilakukan pada masa Rasulullah Saw. tanpa menjadikannya tertumpu di kalangan orang kaya, memulihkan pajak bumi, menyamakan kaum Muslimin di dalam masalah nikah kahwin, melaksanakan khumus sebagaimana difardukan Allah SWT, memulihkan Masjid Nabi seperti bentuknya yang asal pada zaman Nabi Saw., menutup pintu-pintu yang dibuka (selepas kewafatan Rasul) dan membuka pintu-pintu yang ditutup (selepas kewafatan Rasul).

Mengharamkan penyapuan di atas al-Khuffain, mengenakan hukum had ke atas peminum nabidh, memerintahkan halalnya Mut'ah Wanita (nikah Mut'ah) dan Mut'ah Haji sebagaimana pada zaman nabi, memerintahkan takbir lima kali dalam solat jenazah, mewajibkan kaum Muslimin membaca Bismillahi r-Rahmani r-Rahim dengan suara yang nyaring pada masa solat, mengeluarkan orang yang dimasukkan bersama Rasulullah Saw. di dalam Masjidnya di mana Rasulullah Saw. telah mengeluarkannya (Abu Bakr dan Umar) memasukkan orang yang telah dikeluarkan selepas Rasulullah Saw. (beliau sendiri) di mana Rasulullah telah memasukkannya, memaksa kaum Muslimin dengan hukum al-Qur'an dan talak menurut Sunnah, mengambil zakat menurut jenis-jenisnya yang sembilan, mengembalikan wuduk basuh dan solat kepada waktunya, syari'atnya dan tempatnya, mengembalikan ahli Najran ke tempat mereka, mengembalikan layanan terhadap tawanan perang Farsi dan bangsa-bangsa lain kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.

Sekiranya aku melaksanakan semua ini, nescaya mereka akan mengembara meninggalkanku. Demi Allah! ketika aku perintahkan orang supaya tidak melakukan solat jama'ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardu dan memberitahu mereka bahawa solat sunat berjama'ah (tarawih) adalah bid'ah; sekelompok tenteraku yang pernah berperang di pihakku mulai berteriak: Wahai kaum Muslimin! Ali mahu mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunnat Tarawih pada bulan Ramadhan. Mereka berteriak begitu rupa sampai aku khuatir mereka akan memberontak. Sayang! Betapa menderitanya aku berada di hadapan orang yang menentangku sekuat tenaga dan mentaati pemimpin-pemimpin mereka yang sesat (a'immati al-Dalal) dan penyeru-penyeru mereka ke Neraka (al-Du'at ila al-Nar).

Dan tidak diberi saham kerabat (sahm dhi al-Qurba) melainkan dengan perintah Allah kepada mereka yang disebut di dalam firman-Nya, Surah al-Anfal (8): 41, ''Jika kamu beriman kepada Allah dan apa yang telah diturunkan ke atas hamba kami pada hari perceraian pada hari bertempur dua kaum" Maka kamilah yang dimaksudkan oleh Allah dengan dhi l-Qurba wa l-Yatama wa l-Masakin wa Ibn s-Sabil. Semua mereka adalah daripada kami secara khusus, kerana Dia tidak menjadikan untuk kami saham sedekah (zakat) kerana Allah telah memuliakan Nabi-Nya Saw. dan memuliakan kami dengan Dia tidak memberi makan kepada kami kotoran manusia (zakat).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar