Total Tayangan Halaman

Selasa, 08 Desember 2015

Jawapan Ali a.s. kepada Mu'awiyah melalui Abu al-Darda' dan Abu Hurairah



Manakala Ali membaca surat Mu'awiyah yang disampaikan kepadanya oleh Abu Darda' dan Abu Hurairah, Ali a.s. berkata kepada Abu Darda' dan Abu Hurairah: Kalian berdua telah menyampaikan kepadaku apa yang diutuskan oleh Mu'awiyah. Justeru itu, kalian berdua dengarlah daripadaku dan sampaikanlah kepadanya: Katakan kepadanya bahawa Uthman tidak lebih daripada menjadi salah satu daripada dua orang lelaki. Sama ada dia seorang imam yang dapat petunjuk, haram darahnya, wajib membantunya, tidak halal kemaksiatannya dan umat tidak boleh menghinanya. Atau seorang imam yang sesat, halal darahnya, tidak halal mewalikannya dan membantunya. Lantaran itu, dia tidak terlepas daripada salah satu daripada dua sifat.

Wajib pada hukum Allah dan hukum Islam ke atas Muslimin selepas mati imam mereka atau dia dibunuh dalam keadaan sesat atau dalam keadaan mendapat hidayah (muhtadiyan), tetapi dizalimi (mazlum) atau dia dibunuh dalam keadaan zalim, halal darahnya atau haram darahnya, janganlah mereka melakukan sesuatu perkara atau mereka mencipta perkara yang baru, janganlah mereka mengemukakan bantuan, malah janganlah mereka memulakan sesuatu sebelum mereka memilih untuk diri mereka seorang imam yang baik, alim, warak dan arif dengan Qadha' dan Sunnah.

Kerana dialah yang akan menumpukan kepada urusan mereka, memberi hukuman di kalangan mereka, mengambil hak orang yang dizalimi daripada orang yang zalim, menjaga keselamatan mereka. Dia memungut Fai' mereka, mendirikan hujah mereka dan memungut zakat mereka. Kemudian mereka merujukkan hukuman mengenai imam mereka yang dibunuh kepadanya supaya dia menghukum mereka dengan kebenaran. Sekiranya imam mereka dibunuh di dalam keadaan dizalimi, dia akan menghukum untuk para walinya dengan darahnya.

Sekiranya dia dibunuh di dalam keadaan dia sendiri seorang yang zalim, maka dalam menjatuhkan hukuman ke atasnya, beberapa perkara hendaklah diambil-kira. Inilah perkara pertama yang harus mereka lakukan iaitu mereka memilih seorang imam yang akan menumpukan urusan mereka. Dan sekiranya pemilihan itu untuk mereka, mereka mengikutinya dan mematuhinya. Dan sekiranya pemilihan itu bagi Allah dan Rasul-Nya, maka Allah telah cukup bagi mereka membuat renungan dan pemilihan mengenainya. Rasulullah (Saw.) telah meridhai untuk mereka seorang imam dan memerintahkan mereka mentaati dan mengikutinya.

Orang ramai telah memberi bai'ah kepadaku selepas pembunuhan Uthman. Kaum Muhajirin dan Ansar memberi bai'ah kepadaku selepas mereka bermesyuarat denganku selama tiga hari. Mereka jugalah yang telah memberi bai'ah kepada Abu Bakr, Umar dan Uthman serta memperkukuhkan imamah mereka. Aku adalah ahli Badr dan terawal Islam daripada Muhajirin dan Ansar. Hanya mereka telah memberi bai'ah kepada orang sebelumku tanpa mesyuarat dengan orang ramai dan bai'ahku adalah dengan mesyuarat daripada orang ramai.

Sekiranya Allah SWT telah menjadikan pilihan kepada umat, maka merekalah yang memilih untuk diri mereka. Dan pilihan mereka adalah lebih baik bagi mereka daripada pilihan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka. Maka mereka telah memilihku dan memberi bai'ah kepadaku. Bai'ahku adalah bai'ah petunjuk (huda), aku adalah imam yang wajib ditaati dan dibantu. Mereka telah bermesyuarat tentangku dan mereka memilihku secara ijmak. Sekiranya Allah SWT yang memilih, maka Dia telah memilihku untuk umat dan melantikku menjadi khalifah ke atas mereka. Dan Dia memerintahkan mereka supaya mentaatiku dan membantuku di dalam kitab-Nya yang diturunkan dan Sunnah Nabi-Nya Saw. Itu adalah lebih menguatkan hujahku dan mewajibkan hakku.

Sekiranya Uthman dibunuh pada masa Abu Bakr dan Umar, Mu'awiyah wajib memerangi mereka berdua dan keluar bagi menuntut darahnya? Abu Hurairah dan Abu Darda' berkata: Tidak. Ali a.s. berkata: Demikian juga denganku. Sekiranya Mu'awiyah berkata: Ya. Maka kalian berdua katakan kepadanya: Jika begitu, adakah harus bagi orang yang dizalimi dengan satu kezaliman atau dibunuh oleh seorang pembunuh lalu memecahkan perpaduan Muslimin dan menyeru untuk dirinya sedangkan anak lelaki Uthman lebih aula menuntut darah bapanya daripada Mu'awiyah?

Beliau berkata: Abu Darda' dan Abu Hurairah terdiam. Kemudian mereka berdua berkata: Anda telah membuat kami insaf. Ali a.s. berkata: Mudah-mudahan Mu'awiyah dapat menginsafkan aku jika dia dapat menyempurnakan kata-katanya dan membenarkan apa yang telah dia beri kepadaku; iaitu anak-anak lelaki Uthman, mereka pula sudah matang dan bukan kanak-kanak lagi dan bukan pula hamba ke atas mereka. Hendaklah mereka datang, aku akan kumpulkan antara mereka dan pembunuh-pembunuh bapa mereka.

Sekiranya mereka lemah daripada hujah mereka, maka hendaklah mereka mempersaksikan untuk Mu'awiyah bahawa sesungguhnya dia adalah wali mereka, wakil mereka di dalam peperangan dan pertengkaran mereka. Hendaklah mereka duduk bersama musuh-musuh mereka di hadapanku sebagaimana duduknya orang yang bersengketa kepada imam dan wali di mana mereka mengakui hukumannya dan akan melaksanakannya.

Aku akan melihat kepada hujah mereka dan hujah musuh mereka. Sekiranya bapa mereka dibunuh dalam keadaan di mana dia adalah seorang yang zalim, maka darahnya adalah halal. Sekiranya dia dibunuh dalam keadaan dizalimi, maka darahnya adalah haram dan aku akan tebuskan mereka daripada pembunuh-pembunuh bapa mereka. Jika mereka mahu, mereka boleh membunuh pembunuh-pembunuh bapa mereka. Jika mereka mahu, mereka boleh memaafkan mereka. Dan jika mereka mahu, mereka boleh menerima diyah. Para pembunuh Uthman adalah di dalam tenteraku, mereka mengakui pembunuhannya. Mereka meridhai dengan hukumanku ke atas mereka. Justeru itu, anak-anak Uthman dan Mu'awiyah hendaklah datang kepadaku sekiranya dia adalah wali mereka dan wakil mereka. Hendaklah mereka berdebat dengan para pembunuhnya dan menuntut penghakiman mereka sehingga aku menghukum mereka dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya Saw.

Sekiranya Mu'awiyah bersungguh-sungguh mengadakan sebab-sebab dan kebatilan-kebatilannya maka hendaklah dia membuktikannya, Allah akan membantunya. Abu Darda' dan Abu Hurairah berkata: Anda telah menyedarkan kami. Anda telah menambah separuh dan anda telah menghilangkan sebabnya. Dan anda telah mematahkan hujahnya. Anda membawa hujah yang kuat lagi benar tanpa kekurangan ke atasnya. Kemudian Abu Hurairah dan Abu Darda' keluar, lalu berhadapan dengan dua puluh ribu lelaki yang berpuas hati dengan hukuman. Mereka berkata: Kami adalah pembunuh Uthman berikrar dan ridha dengan hukum Ali a.s. ke atas kami dan untuk kami.

Lantaran itu, para wali Uthman hendaklah datang kepada kami dan membicarakan kami di hadapan Amir al-Mukminin (a.s.) untuk tuntutan darah bapa mereka. Sekiranya wajib ke atas kami dibunuh balas atau diyah, kami akan bersabar dengan hukumannya dan kami telah menyerahkan diri kami sepenuhnya. Maka mereka berdua berkata: Tidak halal bagi Ali menolak kalian atau membunuh kalian sehingga mereka membicarakan kalian di hadapannya. Maka beliau akan menghukum antara kalian dan para sahabat kalian dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya Saw.

Abu Darda' dan Abu Hurairah meninggalkan tempat itu dan terus datang berjumpa Mu'awiyah, memberitahunya tentang apa yang dikatakan oleh Ali a.s., pembunuh-pembunuh Uthman dan Abu al-Nu'man bin Daman. Mu'awiyah berkata: Apakah jawapan yang diberikannya kepada kalian berdua tentang sifat berlembutnya terhadap Abu Bakr dan Umar dan tidak terhadap Uthman, beliau membersihkan diri daripadanya secara rahsia, dakwaannya bahawa Rasulullah telah melantiknya, beliau sentiasa dizalimi semenjak Rasulullah wafat? Mereka berdua berkata: Ya.

Beliau menunjukkan sifat berlembutnya terhadap Abu Bakr, Umar dan Uthman di sisi kami dan kami telah mendengarnya. Kemudian beliau berkata kepada kami: Sekiranya Allah telah menjadikan pilihan kepada umat, maka merekalah yang memilih dan memikir untuk diri mereka. Oleh itu pilihan mereka untuk diri mereka dan pendapat mereka mengenainya adalah lebih baik bagi mereka daripada pilihan Allah dan Rasul-Nya (Saw.). Maka mereka telah memilihku dan memberi bai'ah kepadaku.

Justeru itu, bai'ahku adalah bai'ah pertunjuk. Aku adalah imam yang wajib ke atas manusia membantuku kerana mereka telah bermesyuarat denganku dan mereka telah memilihku. Sekiranya pilihan Allah dan Rasul-Nya Saw. adalah lebih baik bagi mereka daripada pilihan mereka untuk diri mereka mengenainya, maka sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah memilihku untuk umat, melantikku menjadi khalifah ke atas mereka, memerintahkan mereka supaya membantuku dan mentaatiku di dalam kitab Allah yang yang diturunkan ke atas lidah nabi-Nya yang diutuskan. Itu adalah lebih menguatkan hujahku dan mewajibkan hakku.


Ali a.s. menyebut keutamaannya dan orang ramai mengakui akan kebenarannya

Kemudian beliau a.s. menaiki mimbar di dalam kem tenteranya, mengumpul orang ramai, termasuk Muhajirin dan Ansar menghadirinya. Kemudian beliau memuji Allah dan bersyukur kepadaNya. Kemudian berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya sifat-sifat kelebihanku (manaqib) adalah tidak terkira banyaknya selepas Allah menurunkannya di dalam kitab-Nya dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah (Saw.) adalah mencukupi bagiku daripada semua kelebihanku. Adakah kalian mengetahui bahawa Allah telah melebihkan di dalam kitab-Nya yang bercakap akan orang yang awal Islam (al-Sabiq) bukan hanya satu ayat dalam kitab-Nya ke atas orang lewat Islamnya (al-Masbuq).

Sesungguhnya tidak ada seorangpun daripada umat ini yang mendahuluiku kepada Allah dan Rasul-Nya? Mereka menjawab: Ya. Beliau berkata: Aku menyeru kalian kepada Allah bahawa Rasulullah (Saw.) ditanya tentang firman-Nya di dalam Surah al-Waqi'ah (56): 10-11 ''Dan orang dahulu yang terdahulu (al-Sabiqun al-Sabiqun) mereka itulah orang yang hampir di sisi Tuhan" Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Allah telah menurunkanya kepada para nabi dan para wasi mereka. Aku adalah Nabi dan Rasul Allah yang terbaik (afdal), dan wasiku Ali adalah wasi yang terbaik. Maka berdirilah tujuh puluh orang ahli Badr kebanyakannya terdiri daripada kaum Ansar dan selebihnya daripada Muhajirin. Antara mereka ialah Abu al-Haitham bin al-Taihan, Khalid bin Zaid dan Abu Ayyub al-Ansari. Dan di kalangan Muhajirin ialah 'Ammar bin Yasir. Mereka berkata: Kami memberi penyaksian bahawa kami telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda sedemikian.

Beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah dalam Surah al-Nisa' (4): 59, ''Hai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan Uli I-Amri min-kum" dan firman-Nya dalam Surah al-Mai'dah (5): 55, "Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang yang beriman yang mendirikan solat dan memberikan zakat" Kemudian firman-Nya dalam Surah al-Taubah (9): 16, ''…dan mereka tidak mengambil selain daripada Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman untuk menjadi penyimpan rahsia"

Maka orang ramai bertanya: Wahai Rasulullah (Saw.)! Adakah ia diperuntukkan kepada sebahagian Mukminin atau umum untuk semua Mukminin? Maka Allah SWT telah memerintahkan Rasul-Nya supaya mengajar dan mentafsirkan kepada mereka tentang wilayah sebagaimana beliau mentafsirkan kepada mereka tentang solat, puasa, zakat dan haji mereka. Maka beliau telah melantikku di Ghadir Khum. Beliau bersabda: Sesungguhnya Allah mengutusku dengan satu perutusan di mana ia menyempitkan dadaku. Aku menyangka sesungguhnya orang ramai akan membohongiku. Dia berjanji kepadaku supaya aku menyampaikannya atau Dia akan menyiksaku. Berdirilah Ali, kemudian beliau menyeru: solat jami'ah. Maka beliau mengerjakan solat zohor bersama mereka.

Kemudian beliau bersabda: "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah adalah maulaku dan aku adalah maula Mukminin dan lebih aula dengan mereka daripada diri mereka sendiri. Mereka yang telah menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku! Muliakanlah orang yang mewalikannya. Musuhilah orang yang memusuhinya. Bantulah orang yang membantunya. Hinalah orang yang menghinanya".

Lantas Salman al-Farisi berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah! Kepatuhan kepadanya seperti apa (wula'u-hu ka-madha)? Beliau bersabda: Kepatuhan kepadanya adalah seperti kepatuhan kepadaku (wula'u-hu ka-wilayati). Sesiapa yang aku lebih aula dengannya daripada dirinya, maka Ali adalah lebih aula dengannya daripada dirinya. Dan Allah menurunkan firman-Nya di dalam Surah al-Mai'dah (5): 3, "Pada hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu dan Aku meridhai Islam sebagai agamamu"

Maka Salman al-Farisi berkata: Wahai Rasulullah! Adakah ayat ini diturunkan kepada Ali secara khusus? Maka beliau bersabda: Padanya dan pada para wasiku sehingga Hari Kiamat Salman berkata: Wahai Rasulullah! Terangkan tentang mereka kepada kami. Beliau bersabda: "Ali adalah saudaraku, wazirku, wasiku, warisku, khalifahku pada umatku, waliku kepada setiap Mukmin selepasku dan sebelas imam daripada keturunannya, al-Hasan dan al-Husain. Kemudian sembilan daripada anak-anak al-Husain seorang demi seorang. Al-Qur'an bersama mereka, dan mereka bersama al-Qur'an. Mereka tidak akan berpisah dengannya sehingga mereka dikembalikan kepadaku di al-Haudh". Lalu berdirilah dua belas orang daripada ahli Badr sambil berkata: Kami naik saksi bahawa kami telah mendengar hadis tersebut daripada Rasulullah (Saw.) sebagaimana yang anda katakan adalah sama. Anda tidak menambah atau mengurangkan meskipun satu huruf. Dan berkata tujuh puluh orang lagi: Kami telah mendengar sedemikian itu tetapi kami tidak menghafaz kesemuanya. Mereka itu (yang membuat pengakuan) adalah dua belas orang yang terpilih dan yang terbaik di kalangan kami. Beliau berkata: Kalian memang benar. Bukan semua orang menghafaznya. Sebahagian mereka adalah lebih kuat ingatan daripada yang lain.

Maka berdirilah empat orang dari kalangan dua belas orang itu. Mereka adalah Abu al-Haitham bin Taihan, Abu Ayyub, Ammar dan Khuzaimah bin Thabit- Dhu al-Syahadataini (penyaksiannya menyamai dua orang). Mereka berkata: Kami naik saksi bahawa kami telah mendengar sabda Rasulullah Saw. dan kami menghafaznya. Beliau (Saw.) bersabda pada hari itu dalam keadaan berdiri sementara Ali a.s. berdiri di sisinya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku supaya melantik untuk kalian seorang imam, dan wasi Nabi kalian pada kalian. Beliau adalah khalifahku pada umatku dan pada keluargaku selepasku.

Demi Dia yang mewajibkan ke atas Mukminin dalam Kitab-Nya supaya mentaatinya, dan Dia telah memerintahkan di dalam Kitab-Nya supaya mewalikannya, maka aku merujuk kepada Tuhanku kerana takut kritikan ahli Nifak dan pembohongan mereka. Maka Dia mengancamku supaya aku menyampaikannya atau Dia menyiksaku. Wahai manusia! Sesungguhnya Allah memerintahkan solat kepada kalian dalam kitab-Nya. Aku telah menerangkannya kepada kalian dan aku telah menjadikannya sebagai sunnah. Begitu juga dengan zakat, puasa dan haji, di mana aku telah menerang dan mentafsirkannya kepada kalian. Dan Dia memerintahkan wilayah dalam Kitab-Nya. Sesungguhnya aku memberi penyaksian kepada kalian, wahai manusia! Sesungguhnya ia adalah dikhususkan untuk Ali bin Abu Talib, dan para wasi daripada anak-anakku dan anak-anak saudaraku serta wasiku.

Ali adalah yang pertama. Kemudian al-Hasan. Kemudian al-Husain. Kemudian sembilan daripada anak lelaki al-Husain. Mereka tidak akan meninggalkan al-Kitab sehingga mereka dikembalikan kepadaku di al-Haudh. Wahai manusia! Aku telah memberitahu kalian imam kalian, penunjuk kalian dan pembawa kalian kepada petunjuk. Beliau adalah saudaraku Ali bin Abu Talib. Kedudukannya pada kalian adalah seperti kedudukanku pada kalian.

Justeru itu, kalian ikutlah beliau untuk agama kalian dan taatilah beliau dalam segala urusan kalian kerana di sisinya terdapat segala ilmu yang telah Allah ajarkan kepadaku. Allah memerintahku supaya mengajarnya segala ilmu dan aku memberitahu kalian bahawa ilmu berada di sisinya. Kalian bertanyalah kepadanya dan belajarlah daripadanya dan daripada para wasinya selepasnya. Janganlah kalian mengajar mereka dan janganlah kalian mendahului mereka. Janganlah kalian membelakangi mereka kerana mereka bersama kebenaran dan kebenaran bersama mereka, dan mereka tidak akan meninggalkannya.

Kemudian Ali a.s. berkata kepada Abu Darda' dan Abu Hurairah serta mereka yang di sekitarnya: Wahai manusia! Adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan di dalam Kitab-Nya; Surah al-Ahzab (33): 33 "Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan segala kekotoran (dosa) daripadamu hai Ahl al-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya", maka Rasulullah (Saw.) telah mengumpulkanku, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain di dalam satu kain (al-Kisa').

Beliau lalu bersabda: Mereka itulah 'Itrahku dan Ahl Baitku. Maka Dia telah menghilangkan daripada mereka kekotoran dosa, dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya. Maka Umm Salamah berkata: Dan aku? Maka beliau bersabda: Sesungguhnya anda dalam kebaikan. Sesungguhnya ayat ini diturunkan padaku, pada saudaraku Ali, anak perempuanku Fatimah, anak lelakiku al-Hasan dan al-Husain salawatullahi 'alaihim secara khusus, kerana tidak ada orang lain selain daripada kami. Dan kepada sembilan daripada anak al-Husain selepasku. Maka semua mereka berdiri lalu berkata: Kami memberi penyaksian bahawa Umm Salamah telah meriwayatkan kepada kami sedemikian. Maka kami bertanyakan Rasulullah (Saw.) mengenainya, maka beliau memberitahu kami sebagaimana Umm Salamah telah meriwayatkannya kepada kami.

Ali a.s. berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah! Adakah anda mengetahui bahawa sesungguhnya Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Taubah (9): 119, "Hai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan jadilah kamu bersama orang yang benar (al-Sadiqin)". Maka Salman berkata: Wahai Rasulullah! Adakah ayat ini umum atau khusus? Maka beliau bersabda: Adapun al-Mukminun adalah umum kerana jama'ah Mukminun diperintahkan sedemikian. Adapun al-Sadiqin adalah khusus untuk Ali bin Abu Talib dan para wasinya selepasnya sehingga Hari Kiamat .

Dan aku berkata kepada Rasulullah (Saw.) semasa peperangan Tabuk. Wahai Rasulullah! Kenapakah anda melantikku? Beliau bersabda: Madinah tidak sesuai melainkan untuk aku dan anda. Kedudukan anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa melainkan kenabian kerana tidak ada nabi selepasku. Maka berdirilah beberapa orang lelaki daripada Muhajirin dan Ansar dan berkata: Kami memberi penyaksian bahawa kami telah mendengar sedemikian daripada Rasulullah (Saw.) semasa peperangan Tabuk.

Maka beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah! Adakah kalian mengetahui bahawa Allah telah menurunkan di dalam Surah al-Hajj (22): 77 ''Hai orang yang beriman, rukuklah, sujudlah dan sembahlah Tuhan kamu…". Maka Salman berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang anda menjadi saksi ke atas mereka. Mereka adalah syuhada' (saksi-saksi) yang telah dipilih oleh Allah ke atas manusia dan Dia tidak menjadikan ke atas mereka kesulitan dalam agama, millah Ibrahim? Beliau bersabda: Dimaksudkan dengan demikian itu adalah tiga belas orang manusia. Aku, saudaraku dan sebelas orang daripada anak lelakiku. Maka mereka menjawab: Ya.

Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah berdiri memberi khutbah dan beliau tidak lagi memberi khutbah selepas itu, dan beliau bersabda: "Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Ahl Baitku. Sesungguhnya Yang Maha Halus lagi Maha Alim telah berjanji kepadaku bahawa kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga ia dikembalikan kepadaku di al-Haudh?" Mereka berkata: Ya. Sesungguhnya kami telah menyaksikan semuanya.

Beliau berkata: Allah adalah cukup bagiku. Lalu berdirilah dua belas orang lelaki dan mereka berkata: Kami memberi penyaksian bahawa Rasulullah (Saw.) ketika berkhutbah pada hari beliau wafat, maka Umar berdiri separuh marah dan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah semua Ahl Bait anda? Beliau bersabda: Tidak. Tetapi para wasiku, saudaraku adalah di kalangan mereka, wazirku, warisku, khalifahku pada umatku dan wali kepada setiap Mukmin selepasku. Ini adalah yang awal daripada mereka dan yang terbaik mereka. Kemudian wasiku adalah daripada anak lelakiku ini. Beliau memberi isyarat kepada al-Hasan. Kemudian wasinya ini. Beliau memberi isyarat kepada al-Husain. Kemudian wasiku adalah daripada anak lelakiku ini dan akan dinamakan oleh saudaraku.

Kemudian wasinya akan dinamakan. Kemudian tujuh daripada anak lelakinya seorang demi seorang sehingga mereka dikembalikan kepadaku di al-Haudh. Mereka adalah syuhada' Allah di Bumi-Nya, hujah-Nya ke atas makhluk-Nya. Sesiapa yang mentaati mereka, maka mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai mereka, maka menderhakai Allah. Lalu berdirilah tujuh puluh ahli Badr sambil berkata: Kami telah memahami apa yang kami telah terlupa. Kami memberi penyaksian bahawa kami telah mendengar sedemikian daripada Rasulullah (Saw.).

Beliau a.s. tidak meninggalkan sesuatupun melainkan menyeru mereka mengenainya sehingga beliau mengakhiri manaqibnya dan apa yang disabdakan Rasulullah (Saw.) kepadanya. Mereka telah membenarkannya dan memberi penyaksian bahawa semuanya adalah benar. Manakala Abu Darda' dan Abu Hurairah memberitahu Mu'awiyah kesemuanya, dia berkata: Wahai Abu Darda'! Wahai Abu Hurairah! Sekiranya apa yang kalian riwayatkan kepadaku ini adalah benar, maka binasalah Muhajirin dan Ansar selain daripadanya, Ahl Baitnya dan Syi'ahnya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar